Fail yang terisi beberapa keping kertas ditolak
menghampiri Amirah yang sedari tadi duduk tidak terkutik di sebelah Hakim. Dia
hanya memandang tanpa kata. Jiwanya terasa kosong. Kalau sebelum ini dia begitu
beria mahu mempercepatkan proses tandatangan perjanjian, tapi kali ini dia
begitu keliru. Adakah benar segala tindakannya sekarang? Perkara ini telah di bincangkan
dengan Marissa sebelum ini. Dan dia tahu dia perlu berkorban buat anaknya,
Nasuha. Hanya itulah cara bagaimana dia menjaga hak anaknya. Takkan sesekali
dia membiarkan Sofiana menguasai segala hak mereka sewenangnya.
“Puan bacalah dulu. Kalau tak ada apa-apa bantahan Puan
boleh turunkan tandatangan,” kata Encik Iqbal, peguam Faruk Group.
Perlahan-lahan fail tersebut dicapai dan dibaca dengan
teliti. Setiap perkataan tidak dibiarkan terlepas dari santapan matanya.
Nampaknya Hakim menepati janji. Setiap syarat yang diletakkan tempohari telah
dimasukkan berturutan ke dalam dokumen perjanjian.
“Any additional
condition sayang?” Hakim bertanya. Dilihatnya Amirah agak pendiam hari ini.
Sepatah ditanya sepatah juga dijawab. Bimbang pula Hakim melihatnya.
Tanpa menjawab pertanyaan itu, Amirah terus mencapai pen
yang dihulurkan oleh Encik Iqbal lalu menurunkan tandatangan. Kemudian, fail
itu diserahkan kepada Hakim untuk lelaki itu berbuat perkara yang sama.
Akhirnya barulah Encik Iqbal akan menurunkan tandatangan beliau. Sah sudahlah
perjanjian ini.
Selesai sesi menurunkan tandatangan Encik Iqbal
menyerahkan satu lagi fail.
“Ini dokumen penyerahan dan pengambilalihan saham yang
telah ditandatangani oleh semua ahli lembaga pengarah. Sila baca dan faham. Kemudian,
Puan boleh sign di sini.” Encik Iqbal menunjukkan tempat yang perlu Amirah
turunkan tandatangan.
Agak lama jugalah Amirah mengambil masa untuk
menghabiskan semua isi dalam dokumen itu. Kemudian, seperti tadi Amirah
menurunkan tandatangan.
“Okay, nampaknya selesai sudah sesi kita pada petang ini.
Saya akan minta setiausaha sediakan salinan perjanjian dan diserahkan kepada
yang berkenaan,” ujar Encik Iqbal sambil mengemas briefcasenya.
“Kalau tak ada apa-apa saya minta diri dulu.”
Hakim dan Amirah hanya menganggukkan kepala.
“Abang hantar Encik Iqbal dulu. Mira tunggu sekejap, ya?”
Sekali Amirah hanya menganggukkan kepala.
Sepeninggalan Hakim dan peguam itu, Amirah hanya duduk di
kerusi sambil memandang ke sekeliling bilik pejabat suaminya yang cukup besar
dan selesa. Bilik pejabat ini sudah tidak asing kepadanya suatu ketika dahulu.
Dia ingat selepas berpisah dengan Hakim dia tidak berpeluang lagi menjejakkan
kaki ke sini. Tapi rupanya takdir hidupnya masih lagi dengan Hakim. Entahlah,
dia sendiri tidak tahu hendak berbuat apa.
Selepas peristiwa tempohari, Amirah terus mengambil
keputusan untuk meletak jawatan. Notis 24 jam terus sahaja disampaikan kepada
setiausaha Faris keesokan harinya. Dia sudah tidak sanggup mahu berhadapan dengan
lelaki itu lagi. Dan dia juga pasti Faris juga tidak mahu memandang wajahnya.
Jadi untuk apa lagi dia di sana?
Kebetulan Hakim ada menelefonnya untuk memberitahu
dokumen perjanjian telah disediakan oleh peguam Faruk Group. Hanya tunggu untuk
ditandatangan sahaja. Atas sebab itulah dia berada di sini hari ini.
Kedengaran pintu ditolak dari luar. Dia tidak menoleh
kerana dia tahu pasti Hakim yang memasuki bilik itu setelah menghantar Encik
Iqbal sebentar tadi.
“Sorry, lama ke
sayang tunggu?”
Amirah hanya menggelengkan kepala sebagai jawapan.
Kedudukannya masih seperti tadi. Hakim yang sedang bertenggek pada meja di
hadapannya langsung tidak dipedulikan. Dia hanya tunduk menekur lantai.
“Sayang kenapa ni? Abang tengok sayang diam saja hari ni.
Sayang tak gembira ke?”
Amirah mengeluh perlahan. Sememangnya dia tidak begitu
gembira. Selepas kejadian tempohari emosinya terganggu. Dia lebih banyak
menyendiri di dalam bilik melayani Nasuha. Hanya anak kesayangannya saja yang
mampu mengubah ketidaktentuan emosinya itu.
“Sorry..”
Perlahan sahaja kedengaran suara itu. Terpinga-pinga juga Hakim meneliti butir
bicara isterinya yang menekur itu.
“Pardon?” Hakim
mendekatkan sedikit kepalanya ke wajah Amirah.
“I’m sorry.”
Hakim mengerutkan dahi.
“Untuk apa?”
“Pasal hari tu.”
Kenapa dia meminta maaf dia sendiri tidak pasti. Yang dia
tahu dia perlu meminta maaf. Dia telah berlaku kurang ajar dengan suaminya
sendiri. Bukan dia tidak pernah bertindak begitu sebelum ini. Tapi entah
mengapa, kejadian itu begitu menganggu ketenangan hatinya. Mungkin kerana itu
ucapan maaf ini terlepas dari bibirnya.
“Hey...” Hakim
mengangkat wajah ayu yang sedari tadi menunduk. Memaksa sepasang mata cantik
itu memandang wajahnya. Senyuman manis dihadiahkan buat isteri tercinta. Berharap
senyuman itu berjaya mententeramkan hati yang sedang lara itu.
“Abang tak marah pun. Kalau abang ditempat Mira pun
mungkin abang akan buat perkara yang sama. Atau mungkin lebih teruk.”
“I know I had being
too rude that day. I just..” Bicara Amirah terhenti apabila jemari Hakim
sudah menghalang bibirnya dari berkata-kata.
“It’s okay.
Abang tak marah. Bagi abang, sayang tak ada apa-apa salah pun dengan abang. In fact, I feel grateful of second chances
giving to me. Dan abang berjanji dengan diri abang sendiri yang abang
takkan sia-siakan peluang yang ada. Thank you so much sayang. Thanks sebab sudi
terima abang yang dan banyak lukakan hati sayang. I love you so much,”ujar Hakim.
Dia mencapai kedua belah jemari Amirah lalu dikucup
bertalu-talu. Dalam hati dia berasa gembira kerana Amirah tidak menarik
tangannya seperti selalu. Kali ini, wanita itu hanya membiarkan perlakuannya.
Dia rasa bersyukur. Mungkin kebahagiaan rumahtangga yang hilang dahulu akan
mereka kecapi semula.
“Sofiana tahu tak pasal ni?”
Pertanyaan Amirah menghentikan perlakuan Hakim. Lelaki
itu terdiam untuk seketika. Namun, tautan tangan mereka tidak dilepaskan.
Jemari halus itu dielus lembut.
“Sayang, tak perlulah risau pasal tu. Abang dah jelaskan
pada dia yang kita akan bersama semula. Cuma..” Hakim berjeda.
“Cuma?” Amirah meminta Hakim menyambung katanya yang
tergantung.
“Cuma pasal perjanjian ni tak perlulah kita beritahu dia.
Abang bimbang dia akan tuntut perkara yang sama. Sedangkan papa dan mama tak
mengiktiraf hak dia dalam Faruk Group,” beritahu Hakim.
“Dia tak marahkah bila abang beritahu dia yang kita akan
bersama semula?”
Hakim tersenyum. Jemari Amirah semakin rancak dielus.
“Suka atau tak dia kena terima. Sayang juga isteri abang. Dan kita tak pernah
bercerai. Sememangnya kita harus hidup bersama. Bukan hidup terpisah macam ni.”
Kata-kata Hakim kembali membuatkan Amirah menekur lantai.
Memikirkan Sofiana cukup menyesakkannya.
“Sayang.... kenapa ni?” Sekali lagi Hakim mengangkat
wajah si isteri.
“Sofiana tak suka kan?” Amirah serkap jarang. Jawapan
Hakim sebentar tadi cukup menyakinkan bahawa isteri kedua suaminya tidak
bersetuju dengan rancangan mereka.
Kegusaran jelas terpancar di wajah Amirah. Dia faham itu.
Perlahan-lahan tangan sasa Hakim mencapai bahu Amirah dan memaksa wanita itu
bangun berhadapan dengannya. Si isteri hanya menurut. Sekali lagi jemari Amirah
dikucup sayang.
“Pasal dia tak usahlah sayang fikirkan. Yang penting kita
kembali bersama. Tak ada siapa dapat pisahkan kita, sayang. Kecuali maut! Dan
abang janji kali ni abang akan jaga rumahtangga kita sebaiknya. Syarat sayang
abang akan cuba penuhi sehabis daya. Abang tak nak kesilapan yang sama berlaku
lagi. Abang akan pikat sayang semula. Setapak pun abang takkan biarkan sayang
jauh dari abang.”
Suara Hakim yang semakin lama semakin membisik syahdu
hampir membuatkan Amirah terbuai. Adakah Hakim sudah kembali pada sifat
asalnya? Seorang suami dan ayah yang jiwanya penuh dengan kasih sayang? Ahh,
hakikatnya Hakim tidak pernah berubah. Dia tetap seperti dahulu. Jarang
meninggikan suara. Layanannya sentiasa lembut. Cuma kesalahan yang pernah
dilakukan Hakim adalah tidak adil dalam membahagikan giliran! Tapi impak
perlakuan Hakim itu begitu menusuk tangkai hatinya. Dan dia pasti semua wanita
di luar sana juga tidak boleh menerima pengabaian seperti itu.
“Sayang, abang sangat-sangat rindukan sayang. Rindukan
anak kita. Sangat-sangat rindu,” luah Hakim sepenuh hati. Sememangnya dia
sangat merindukan isteri dan anaknya. Syukur, akhirnya kedua orang
kesayangannya telah kembali kepadanya. Dendam rindu itu pasti akan terlerai
nanti.
“Sayang rindukan abang tak?” Hakim bertanya. Berniat mahu
menyelami hati si isteri. Sudah lama mereka tidak berbicara dari hati ke hati
seperti ini.
Pertanyaan Hakim tidak mampu dijawab Amirah. Dia hanya
menjatuhkan pandangan pada dada bidang suami. Renungan Hakim yang mengharapkan
jawapan tidak mahu dibalas. Walaupun hakikat perasaan yang disimpan benar-benar
memihak kepada lelaki itu.
“Abang tahu sayang rindukan abang, kan?” Hakim menebak
sendiri. Sebagai suami dia sudah arif benar dengan lenggok bahasa si isteri.
Cuma Amirah masih sangsi dengannya. Itu adalah batu penghalang yang cukup besar
buatnya pada masa ini.
“I miss you too sayang. So much.” Hakim bangun lalu mengucup
dahi Amirah sebelum tubuh langsing itu di bawa ke dalam dakapan. Pelukannya
cukup erat. Seakan tidak mahu dilepaskan lagi wanita kesayangannya pergi.
Amirah sedikit terperanjat dengan perlakuan Hakim. Namun,
dia hanya membiarkan. Sekurang-kurangnya pelukan itu berjaya juga menghilangkan
kerinduan Amirah yang tertahan berbulan lamanya. Cuma untuk mengangkat tangan
membalas pelukan itu dia merasakan tidak mampu. Hatinya yang terluka tidak
mungkin langsung terubat hanya dengan sebuah pelukan sayang dari suaminya itu.
Kuakan daun pintu pantas membuatkan pelukan Hakim
terlerai. Amirah juga lekas menjarakkan tubuh mereka. Kelihatan Datuk Faruk
melangkah memasuki bilik itu sambil mendukung
Nasuha. Ayah mentuanya itu cepat sahaja mencapai tubuh montel Nasuha
sebaik sahaja dia menjejakkan kaki ke pejabat itu. Dia menasihatkan mereka
melakukan urusan tandatangan tanpa Nasuha bersama. Lebih senang menjalani
prosedur jika tiada anak kecil. Lagipun, katanya dia sangat merindui cucunya.
Lalu, Nasuha terus dibawa memasuki bilik pejabatnya.
“Opps..papa menganggu ke?” Datuk Faruk bertanya nakal.
Bibir tuanya mengukir senyuman. Perlakuan suami isteri itu tadi jelas
dipandangannya. Bukan dia sengaja mahu memecah masuk. Tapi dia sudah biasa
begitu jika melawat anak lelakinya waktu bekerja. Terlupa pula yang anaknya
tidak bersendirian ketika ini. Suami isteri yang sudah lama terpisah pastilah
menggunakan masa yang ada untuk melepaskan rindu.
Dalam diam dia mengucapkan syukur. Mungkin anak dan
menantunya akan berbaik semula selepas ini.
“Tak adalah papa. Masuklah. Kenapa dengan Suha tu?” Hakim
bertanya. Anaknya itu kelihatan sedang merengek manja dalam dukungan datuknya.
Mata dan hidungnya sudah memerah.
“Mengantuk agaknya cucu datuk ni. Mata pun dah layu.”
“Ololo..anak abah ngantuk, ya?” Tubuh Nasuha sudah
berpindah ke dalam dukungan abahnya pula. Pipi anaknya dicium sayang. Punggung
si anak ditepuk mesra. Mendodoi si kecil agar terlena. Namun, rengekan Nasuha
masih belum reda.
“Ini mesti nak ibu dia ni. Kalau nak tidur tak ada ibu
tak sahkan, sayang?” Hakim berbicara dengan anaknya. Begitulah sifat Nasuha
jika mahu tidur. Hanya ibunya saja yang mampu menidurkannya.
“Ibu..” Panggil Nasuha perlahan dalam dukungan Hakim.
Pantas Hakim menyerahkan Nasuha kepada isterinya. “Sayang tidurkan Suha dekat
sofalah. Kasihan dia dah mengantuk sangat tu.”
Amirah hanya menurut cadangan Hakim. Anaknya dibaringkan
di sofa berangkai tiga. Hakim pantas mengambil bantal kecil dan disendalkan di
kiri kanan anaknya. Kepala Nasuha juga dialas dengan bantal. Hakim menghulurkan
susu yang sudah disediakan oleh Amirah setiap kali ingin ke mana-mana.
Mungkin kerana terlalu mengantuk, anak itu cepat sahaja
tertidur. Susu di dalam botol tidak luak langsung.
“Kasihannya dia. Penat sangat la tu main tadi. Penat papa
nak kejar dia. Berlari-lari kat dalam pejabat papa.” Wajah Datuk Faruk
kelihatan ceria bercerita tentang keletah cucunya.
Amirah hanya tersenyum mendengarnya sambil menepuk
punggung si anak yang sudah lena diulit mimpi. Hakim turut tersenyum. Kepala
anaknya diusap lembut. Tidak mahu menganggu tidur si anak yang baru mengundang
tiba.
“Macam mana? Dah selesai?” Tanya Datuk Faruk. Tapi dari
apa yang dilihat semuanya seperti sudah selesai. Peguam mereka juga sudah tidak
ada.
“Alhamdulillah pa. Semua dah selesai,” jawab Hakim sambil
tersenyum memandang si isteri. Hatinya cukup senang dengan sifat keibuan yang ada
pada Amirah. Terasa cintanya semakin melimpah-ruah buat wanita itu.
“Alhamdulillah.” Datuk Faruk mengucap syukur. Nampaknya
impian mereka untuk melihat Amirah dan Hakim bersatu kembali sudah tercapai.
Kali ini biarlah rumahtangga anak menantu mereka tiada pergolakan lagi. Dan dia
juga berharap Sofiana tidak akan menganggu keharmonian rumahtangga Hakim dan
Amirah.
Walaupun dia tidak bersetuju dengan tindakan anaknya
mengahwini Sofiana, sebagai orang tua tidak pula dia menyuruh Hakim menceraikan
Sofiana semata-mata kerana tidak mahu menerima perempuan itu sebagai menantu.
Terpulang kepada Hakim sendiri untuk menguruskan rumahtangganya. Dia dan isteri
tidak mahu masuk campur. Bagi mereka hanya Amirah menantu mereka. Hak Sofiana
sebagai menantu tidak langsung diiktiraf dalam Faruk Group. Hak itu sedari dulu
adalah hak Amirah dan anak-anak dari Amirah. Bukan dari Sofiana. Isteri kedua
Hakim hanya berhak menuntut harta Hakim sahaja. Hak itu tidak akan sesekali dia
dan isteri nafikan.
“Bila Hakim nak pindah ke rumah Mira ni?”
Hakim tersenyum senang dengan pertanyaan papanya. Sekilas
isterinya dijeling lagi.
“Ikut Mira la papa. Kim tunggu signal dari isteri Kim ni
aje.”
Kata-kata Hakim membuatkan Amirah memandang suaminya itu.
Kedua pasang mata sedang terarah kepadanya. Menanti jawapan.
“Insyaallah minggu depan pa. Sebab kawan serumah Mira tu
akan pindah keluar hujung minggu ni lepas dia nikah.”
Sedar tak sedar tarikh pernikahan Marissa dan tunangnya
sudah pun hampir. Sebaik sahaja melangsungkan pernikahan Marissa akan berpindah
keluar dari rumah sewa mereka dan bercuti selama dua minggu untuk mengadakan
persiapan majlis perkahwinannya.
“Baguslah macam tu. Habis tu rumah dekat Damansara macam
mana?”
Amirah pantas melarikan pandangan apabila Datuk Faruk
bertanyakan soal itu. Disebabkan syaratnya mereka terpaksa meninggalkan rumah
mereka di Damansara. Hakim, anak kepada Datuk Faruk terpaksa tinggal di rumah
yang tidak semewah mana.
“Rumah tu Kim ingat nak jual pa. Buat sementara waktu ni
Kim tinggal dulu dekat rumah sewa Mira tu. Kim tak nak Mira terus terluka bila
tinggal di sana. Mungkin Kim akan beli rumah lain untuk kami sekeluarga nanti.”
Amirah mengerutkan dahi? Hakim mahu menjual rumah mereka
di Damansara? Tapi kenapa Hakim tidak pernah berbincang dengannya sebelum ini?
Kata suaminya tadi, dia tidak mahu Amirah terkenangkan kenangan lalu bila
tinggal di sana? Ya, memang itulah sebabnya dia mahu Hakim berpindah masuk ke
rumah sewanya. Tapi tidaklah pula disuruh Hakim menjual rumah itu. Adakah Hakim
begitu bertekad mahu menjaga hati dan perasaannya? Sedikit sebanyak kesungguhan
Hakim itu menjentik sanubarinya.
Datuk Faruk menganggukkan kepala. Dalam diam dia
bersetuju dengan perancangannya anaknya itu. Hakim sudah menjadi seorang yang
semakin sensitif dengan perasaan isterinya. Biarlah. Itu adalah satu perubahan
yang baik. Perpisahan telah mengajar Hakim untuk lebih menghargai.
“Terpulanglah pada Hakim. Papa ikutkan saja. Asalkan anak
menantu papa bahagia. Papa dan mama pun tumpang gembira. Cuma papa harap,
pandai-pandailah kamu berdua menjaga rumahtangga kamu berdua selepas ini.
Jangan lakukan kesilapan yang sama. Kalau ada masalah tu bawa-bawalah
berbincang. Jangan ambil keputusan terburu-buru.” Nasihat Datuk Faruk kepada
anak dan menantunya. Sebagai orang tua sudah pastilah dia mahu melihat mereka
bahagia.
Amirah menundukkan kepala. Dia pasti kata-kata Datuk
Faruk itu ditujukan buat dirinya. Kerana tindakan terburu-burunya mereka hidup
terpisah selama hampir lapan bulan lamanya.
“Hakim dengar nasihat papa ni. Sebagai lelaki yang
mempunyai dua isteri, kamu harus lebih bijak menguruskan rumahtangga. Adil dan
saksama itu penting. Berat tanggungjawab suami ni Kim. Senget bahu kamu kalau
berlaku tidak adil terhadap isteri-isteri. Berdosa besar!”
Hakim menganggukkan kepala. Dia memahami apa yang cuba
disampaikan oleh papanya. Dia sudah belajar dari kekhilafan lalu. Kali ini dia
bertekad untuk berubah. Seperti kata papanya, dia harus menjadi lebih bijak.
Harus!
“Papa janganlah risau. Insyaallah, Kim akan berlaku adil
terhadap isteri-isteri Kim. Pengalaman lalu benar-benar membuatkan Kim sedar
akan kesilapan yang telah Kim lakukan. Kim janji yang Kim takkan ulang lagi.”
“Yalah. Papa nak balik ke bilik ni. Mira malam ni makan
dekat rumah, ya? Mama dah pesan suruh beritahu Mira tadi. Dia nak masak makanan
kegemaran Mira. Jangan lupa, ya? Kasihan mama nanti. Kim, jangan lupa bawa Mira
dengan Suha malam ni.”
“Insyaallah papa,” jawab Amirah. Dia mengetap bibir.
Nampaknya terpaksalah pula dia ke rumah ibubapa mentuanya di Wangsa Maju malam
nanti. Hendak menghampakan kasihan pula. Mama sudah bersusah-payah menyediakan
makanan kegemarannya. Lagipun, dia juga jarang melawat ibubapa mentuanya. Hanya
Hakim yang kerap dia temui. Itupun Hakim yang akan datang bertemunya. Hendak mengharapkan
dia entah bilalah?
“Hmm..mama tu mungkin dah rindukan menantu dan cucunya la
tu. Selalu dia bertanya bila abang nak bawa Mira dan Suha ke rumah. Malam ni
ikut abang balik rumah, ya? Mama berharap sangat tu,” ujar Hakim sebaik sahaja
Datuk Faruk meninggalkan mereka.
Anggukan diberikan sebagai persetujuan. Hakim tersenyum
senang. Dipandang si anak yang lena benar tidurnya. Dahi kecil itu dikucup
sayang. Hanya tuhan sahaja tahu betapa bahagianya dia saat ini.
Wajah si isteri pula dipandang sayang. ‘Abang takkan persiakan
peluang yang sayang berikan,’ bisik Hakim di dalam hati.
Renungan Hakim dibalas cuma seketika. Perhatiannya
diberikan kepada si anak yang sudah pun lena. Dia segan dengan renungan itu.
Renungan yang mampu membuatkan dadanya berdebar kencang.
Tidak lama lagi mereka akan kembali sebumbung. Entah bagaimanalah
nanti. 8 bulan terpisah benar-benar membuatkan dia janggal bila bersama Hakim.
Minggu hadapan akan bermulalah rutin hariannya sebagai seorang isteri semula. Tapi
kali ini rutinnya agak berbeza. Dia bukan lagi suri rumah sepenuh masa. Dia
perlu bijak membahagikan masa pada kerjaya dan juga rumahtangga.
time kasih utk n3 ni.....harap mira bahagia dgn keputusan dia ni
BalasPadamyes teman sokong...biar la hakim n mira bhgia tuk selamanya...
BalasPadammungkin ni dah jodoh hakim dgn amira kot.
BalasPadambagi la faris jumpa jodoh dgn wanita lain.
betul2..hrp mira bahagia dgn hakim..at least hakim berhak dpt peluang utk buktikan kata2 yg dia lafazakan tu..hope mira dan hakim selalu la berbincang kalo ada mslh dlm rumahtangga..jgn asyik lari dri masalah...tntg faris tu..hrp dia doakan kebahgiaan mira..he deserves someone better than mira..
BalasPadamcik penulis (saya refer kpd n3 yang lepas)
BalasPadamusah bersedih dengan kritikan yang diberikan
ambil ia dari sudut yang positif
pembaca berhak memberikan komen dari pembacaannya
mungkin komen itu agak kasar sedikit tapi itu menandakan pembaca menghayati apa yang dibaca
at least pembaca ada memberikan komen daripada
membaca kemudian tidak meninggalkan komen
(mungkin agaknya penulis inginkan begitu(?))
jika penulis mengatakan pembaca itu "ter'emo' dengan cerita yang dipaparkan, tidak mustahil juga penulis juga terlalu "emo" dgn. komen2 pembaca. Maaf jika saya katakan yang cik penulis sukar untuk menerima komen pembaca, w/pun komen tersebut bersifat positif supaya penulis boleh menghasilkan cerita yang terbaik.
Thanks utk komen anda...
PadamMungkin benar apa yg awak katakan. Saya mungkin 'teremo' dengan komen pembaca. Agaknya mungkin komen sebegitu adalah hadiah yg patut sy dapat setelah penat mengerah otak.
Dan mungkin juga benar saya tidak boleh menerima komen pembaca. Mungkin anda fikir saya hanya inginkan komen yg berunsur pujian sahaja. Terpulanglah..setelah ABDR selamat dibukukan dan KYK sudah dipertengahan cerita baru sekali saya meluahkan perasaan saya di sini. Fikirkanlah..
cpt smbg ya...best nak tahu apa cite bila duduk sama boleh ke berlaku adil macam mana dgn bos lamanya....
BalasPadamye!!!dah ada sambungan..tahniah cik penulis atas semangat anda..tapi kalo wife second tahu...mesti habis lah...
BalasPadamHakim peluang kedua yang diberikan oleh Amirah janganlah dipersiakan ..... gunakan sebaik mungkin.....
BalasPadamsalam dek,sambung dek cepat2 jgn buat pembaca ternanti nanti...akak nk g..........pleeeeease.
BalasPadam