Selasa, 29 Mei 2012

Kau yang Kunanti 21


Tuk..tuk..tuk!!
“Masuk!” Arah Amirah dari dalam tanpa mengangkat muka walaupun sekejap. Tangannya sibuk melarikan pen di atas kertas.
“Cik Mira, ada kiriman bunga.”
Amirah pantas mengangkatkan kepala. Kiriman bunga lagi? Masuk hari ini sudah seminggu dia menerima kiriman sebegitu. Jenis bunga yang sama. Dan jumlah kuntuman bunga yang sama. Dua puluh lima kuntum mawar semuanya. Yang membezakan adalah ucapan pada kad yang diselitkan. Apa pula kali ini agaknya.
Dia hanya mengisyaratkan agar pembantunya meletakkan bunga itu di atas meja.
“Thanks, Yati.”
Matanya tunak memandang jambangan bunga yang telah diletakkan. Dia mengeluh perlahan. Dia yakin ia dari orang yang sama. Pembantunya juga telah diberi amanah untuk menerima kiriman itu tanpa melihat isi kad yang terselit di dalamnya. Kakitangan lain tidak dibernarkan! Dia yakin mereka yang lain tidak akan kuat untuk memegang amanah yang telah diberikan. Tambahan pula dalam keadaan gosip yang menimpa dirinya sekarang.
Heboh dalam pejabat mengatakan jambang bunga itu adalah dari Faris. Sikap lelaki itu pula mendiamkan diri apabila ditanya menguatkan mulut mereka berkata-kata.
Sepanjang seminggu dia menerima kiriman ini, dia dapat melihat perubahan sikap Faris. Lelaki itu seperti tidak mesra seperti dahulu. Lelaki itu juga sering menolak untuk makan tengahari bersama. Katanya masih kenyang. Mereka yang tidak mahu terus bertanya hanya menerima alasan yang diberikan.
Amirah mengeluh perlahan. Jambangan bunga menjadi santapan matanya sekali lagi. Kad kecil yang dihiasai reben merah ditarik perlahan. Dia mengerutkan dahi. Kata-kata pada kad itu tidak seperti biasa. Bukan kata-kata sebenarnya. Ia lebih kepada ajakan!
Sayang..
       Sudi tak lunch dengan abang hari ni?
                                           Regards
                                           Your beloved husband.
Perasannya!! Amirah mengomel di dalam hati. Your beloved husband, konon!
Pelik pula apabila dia memikirkan ajakan Hakim ini. Adakah ini termasuk dalam agenda Hakim untuk memujuknya kembali? Ahh, pusingnya apabila diasak sebegini. Tidak bolehkah Hakim membiarkannya hidup tenang tanpa gangguan. Lelaki itukan sudah punya pengganti. Kenapa masih lagi memburunya?
Telefon bimbitnya tiba-tiba sahaja berbunyi nyaring. Menandakan ada SMS yang perlu segera dibaca kerana dia yakin pesanan itu adalah dari suaminya. Memang itu adalah kebiasaan buat Hakim. Selepas kiriman lelaki itu diterima, pasti akan disusuli oleh pesanan SMS atau panggilan telefon.
Abg harap syg sudi..
Amirah mengeluh lagi. Jawapan apa yang patut dia berikan. Haruskah dia bersetuju? Ataupun memandang sepi ajakan itu. Entah mengapa dia mahu menimbangkan pelawaan itu. Sedangkan dia sepatutnya menolak sahaja. Bukankah dia membenci suaminya? Huh..pusing!
Lalu, untuk tidak menambahkan pusing di kepala Amirah mencapai pen semula dan meneruskan kerjanya seperti biasa. Biarlah! Fahamlah agaknya Hakim, jika tidak membalas pesanan itu. Hendak menolak secara terus terasa tidak sampai hati pula. Lebih baik dia berdiam diri begini.

“Mira dah pukul 1 la. Jom lunch. Perut aku dah lapar sangat dah ni.” Marissa menjengul di muka pintu.
Pantas Amirah melirik jam dinding di dalam biliknya ini. Ya Allah! Dah sampai masa makan tengahari! Cepatnya! Terasa tidak sedar masa yang berlalu.
Okay,” balas Amirah sambil mematikan monitor dan mencapai dompet serta telefon bimbitnya. Tidak lupa juga laci meja kerjanya dikunci rapat. Bimbang juga ada yang panjang tangan.
Kes seumpama itu pernah terjadi di pejabat ini suatu ketika dahulu. Sehingga ke hari ini si pencuri tidak dapat dijejaki. Sedangkan si mangsa sudah separuh nanar kehilangan wang dan harta benda.
Terasa seperti tidak percaya. Kecurian bisa juga berlaku dalam persekitaran orangnya sudah cukup dewasa. Sudah layak menjadi ibu bapa. Tetapi masih lagi melakukan kerja seperti kanak-kanak tadika yang kempunan mahu membeli gula-gula.
“Jom!” Ajak Amirah kepada kedua orang temannya yang sedang menanti di luar pejabat. Siapa lagi kalau bukan Marissa dan Alwi. Teman rasminya ketika makan tengahari. Tetapi keahlian mereka tidak seperti biasa dek kerana Faris jarang menyertai mereka selama seminggu ini. Entah apa yang tidak kena, dia sendiri tidak tahu.
“Faris tak join kita lagi ke hari ni?” Tanya Amirah kepada temannya itu.
Mereka berdua hanya menggelengkan kepala sebagai tanda jawapan.
“Kenapa? Banyak kerja?” Tanya Amirah lagi.
“Katanya kenyang lagi,” balas Alwi.
“Kenyang? Dia kan tak sarapan pagi tadi?”
Alwi hanya mengjungkitkan bahu. Dia sendiri berasa hairan dengan perubahan temannya itu. Tidak pernah dia melihat Faris semurung itu. Dia kerap melihat Faris termenung jauh. Lagaknya seperti menghadapi masalah negara. Kerjanya juga banyak bertangguh. Nasib baik jugalah dia bos. Kalau tidak sudah lama Faris akan didatangi surat ‘cinta’ dari Bahagian Sumber Manusia.
Bukan dia tidak pernah bertanya. Tapi lelaki itu hanya mengatakan dia tidak cukup rehat dan penat. Sedangkan bagi Alwi pula, alasan yang diberikan temannya itu tidak bisa diterima sama sekali. Setiap hari dia melihat lelaki itu hanya termenung di meja. Kerja apa sangatlah dilakukan? Dan dari mana datangnya penat? Penat termenung, mungkin!
Lagipun dia kenal Faris. Hidupnya sudah biasa bergelumang dengan kerja. Tidak pernah lelaki itu merungut penat dan tidak cukup rehat walaupun terpaksa menyudahkan kerja di rumah.
“Tak apalah. Mungkin betullah tu dia kenyang. Jomlah,” ajak Amirah. Tidak mahu terus memanjangkan soal Faris. Mungkin bisa disambung ketika makan nanti. Masa makan tengahari cuma satu jam. Mereka perlu memanfaatkan masa yang ada.

“Mira!!”
Amirah pantas berpaling sebaik sahaja terdengar namanya dilaungkan. Begitu juga Marissa dan Alwi. Melinggas mata masing-masing mencari si pemanggil.
Tergamam dia buat seketika apabila berjaya mengesan di pemanggil. Lelaki itu kelihatan mengatur langkah bergaya mendapatkan dirinya. Memang dia akui lelaki ini mempunyai pesona yang tinggi. Sebab itulah dia mempunyai dua isteri.
“Mira, abang dah lama tunggu Mira kat sini. Kenapa tak balas SMS abang?”
Hakim terus sahaja bertanya sebaik sahaja tubuh sasanya berada berhadapan dengan Amirah. Sempat juga dia menghulurkan senyuman buat Marissa. Tetapi dia tidak berniat mahu berbuat perkara yang sama dengan lelaki yang sedang mendampingi isterinya kala ini. Cemburu? Ya, dia memang cemburu. Walaupun saat ini mereka bertiga! Baginya lelaki mana pun jua yang cuba mendekati Amirah adalah pesaingnya. Dia perlu menjadi lebih berhati-hati. Walaupun hakikatnya dia sangat mengenali Alwi.
Tidak tertelan air liur Amirah mendengar pertanyaan Hakim. Sempat dijeling Alwi.  Ternyata lelaki itu bingung. Apatah lagi Hakim membahasakan dirinya ‘abang’. Menjelaskan ada hubungan penting antara dua insan ini.
Dalam hati dia mengutuk diri kerana terlupa tentang ajakan suaminya ini. Sepatutnya dia lebih berhati-hati memandangkan Hakim sudah menjadi seorang lelaki yang tidak mudah dijangka tingkahnya.  Bila-bila masa sahaja boleh berubah angin!
Sorry, Mira terlupa.” Hanya itu yang mampu dibalas.
Hakim tersenyum senang. Bicara Amirah yang sopan amat dihargai.
“Tak apa. Jom..abang belanja sayang makan.”
Erk? Sayang? Makin bertambah kerutan di dahi Alwi. Dia memandang Amirah dan Hakim silih berganti sebelum matanya tunak memandang Marissa. Dia mengharapkan jawapan dari temannya itu kerana Marissa dilihat sangat tenang menerima situasi ini. Tidak bekerut dahi seperti dirinya.
“Erk, hi Hakim?” Alwi tiba-tiba mencelah di tengah-tengah perbualan Hakim dan Amirah. Tangannya dihulurkan untuk bersalaman. Macam tidak adil pula mereka semua menjadikannya seperti tunggul sahaja.
Hakim menyambut huluran itu dengan wajah tanpa riak. Terselit rasa bersalah kerana tidak menegur rakan niaganya ini. Cemburu punya pasal!
“Hi, you all nak pergi lunch ke?” Hakim sekadar berbasa-basi.
Alwi menganggukkan kepala. “Tadi memang nak pergi lunch. Tapi since you buat special appearance kat sini, tergendala sekejap la.” Sempat lagi lelaki itu berlelucon.
Hakim tersenyum mendengar kata-kata Alwi itu. Sedar dia telah membuatkan mereka semua melengahkan masa makan tengahari yang ketika sudah pun berlalu 10 minit.
“Sorry I cuma nak ajak Mira lunch sama. Dia tak jawab SMS I, sebab tu I ke sini,” terang Hakim.
“Ohh..tapi boleh I tahu apa hubungan kau orang berdua? Selama ni tak pernah pun I nak kau orang bertegur sapa dekat office. Tak tahu pula kau orang berdua saling kenal.”
“Masing-masing sibuk dengan urusan kerja. Lagipun I rasa tak elok kalau I mengganggu akauntan you ni. Tak fasal-fasal terlewat tutup akaun pula setiap bulan,” jelas Hakim tanpa memberitahu hal yang sebenar.
Amirah sudah menarik nafas lega. Mati-mati tadi dia berfikir yang Hakim akan membocorkan rahsia mereka berdua. Jika itu terjadi, tidak tahulah apa kata Alwi buat dirinya nanti.
Dalam rasa kelegaan itu sempat juga isyarat mata diberikan kepada Marissa supaya membantunya keluar dari situasi ini kerana dia melihat Alwi seperti tidak berpuas hati dengan jawapan yang diberikan Hakim.
“Er Alwi. Apa kata kita gerak sekarang. Dah pukul berapa ni. Nanti lewat pula masuk office,” ujar Marissa selepas memahami isyarat yang diberikan.
Alwi melihat jam di tangan. Dia bersetuju dengan kata-kata Marissa itu. Walaupun tidak berpuas hati dengan jawapan yang diberikan Hakim, tapi mereka masih mempunyai banyak masa untuk membincangkan tentang hal itu.
“Okaylah, kalau macam tu nanti kita jumpa lagi. Time is running out. We need to go.” Alwi memutuskan untuk berlalu akhirnya. Sekali lagi dia menghulurkan tangan untuk berjabat salam sebelum mereka meninggalkan pasangan itu.

Hakim menjeling Amirah di sisi yang hanya mendiamkan diri sepanjang perjalanan mereka ke restoran yang telah dipilihnya untuk menghabiskan masa tengahari bersama isteri tercinta. Dia mengharapkan Amirah akan menyukainya.
“Sayang?”
Tersentak Amirah yang ketika itu begitu asyik menikmati pemandangan di luar walaupun tidak ada yang menarik untuk tontonan matanya. Lebih senang begitu daripada melayani Hakim yang sangat menyakitkan hati.
Bukan panggilan sayang itu yang menyentakkan hatinya. Tetapi genggaman jemari Hakim di atas belakang tangannya terasa menjengkelkan. Sentuhan itu terlalu asing buat dirinya setelah 8 bulan terpisah. Pantas dia mengalihkan tangannya.
Tetapi tindakannya telah menyebabkan telapak tangan Hakim jatuh di atas pehanya pula. Sebagai seorang suami yang sudah lama tidak menyentuh isteri, Hakim tidak melepaskan peluang. Dia langsung tidak mengalihkan tangannya. Malah peha Amirah dicengkam dan diusap lembut.
Terlopong Amirah dengan tindakan berani Hakim. Hati yang terbakar semakin membara.  Senyuman nakal suaminya itu makin menambahkan maraknya api dalam dada. Pantas tangan Hakim yang masih mencengkam pehanya ditepis kasar. Wajah garang ditayangkan. Menunjukkan betapa dia tidak menyukai kelakuan nakal Hakim itu.
“Jangan nak menggatal pula  kat sini!” Tempelak Amirah dengan suara yang tertahan-tahan.
“Tak salahkan? Abang menggatal bukan dengan orang lain pun, dengan isteri abang sendiri,” balas Hakim dengan lancar. Masih disulami senyuman nakalnya.
Dia tahu Amirah marah. Tapi itu lebih baik daripada wanita itu hanya diam membisu. Dia lebih suka Amirah begini.
“Tapi Mira tak suka!!” Tegas Amirah lagi.
“Dulu suka je!”
Amirah mengetap bibir. Ada saja jawabnya!
“Itu dulu!”
Hakim menjeling lagi isterinya. “Jadi sekarang dah tak sukalah?”
Amirah mendengus kasar. Geram kerana Hakim masih bertanyakan soalan yang sedari awal lagi telah ditegaskan olehnya. Dia sememangnya tidak suka dengan perlakuan nakal Hakim itu. Walaupun suatu ketika dahulu aksi sebegitu sangat biasa antara mereka. Malah lebih mesra dari itu pun pernah. Kalau tidak dari mana datangnya Nasuha? Tetapi perpisahan telah membuatkan mereka seperti orang asing.
Malas mahu bertelegah, Amirah kembali mendiamkan diri. Kalau buka mulut ada sahaja mahu dibahaskan. Namun dia sedar, perperangan mulut itu berpunca dari dirinya. Dek kerana sakit hati, lidahnya sering sahaja mengungkit kelukaan lalu. Dia sedar Hakim berusaha memujuk hatinya. Bicara lelaki itu sentiasa sopan melayani kerenahnya.
Suaminya itu tidak langsung berubah. Dulu, kini dan selamanya. Hakim tetap Hakim. Cuma sikap lelaki itu berubah selepas mendirikan rumahtangga buat kali kedua. Dia bukan menjadi perengus dan pemarah. Bicara lelaki itu tetap lembut memujuk. Namun lebih kepada memujuk supaya dia merestui nasib diri yang telah dimadukan.
Tapi Hakim lupa, semua itu belum cukup! Amirah cuma minta Hakim berlaku adil! Tidak banyak yang dia pinta. Tapi kenapa itu pun susah lelaki itu mahu tunaikan?

Faris melemparkan pandangan ke bawah. Menikmati gelagat manusia dari aras pejabatnya. Minuman nescafe yang disediakan sendiri sebentar tadi dihirup sedikit. Hanya itulah hidangan tengaharinya. Sedari pagi perutnya tidak terasa lapar. Sebab itulah dia menolak ajakan Marissa dan Alwi untuk makan tengahari bersama.
Tidak dinafikan dia sedikit kecewa kerana Amirah langsung tidak datang bertanyakan khabarnya. Tidakkah wanita itu perasan akan perubahannya ini? Dan yang paling penting tidakkah wanita itu tahu perubahan ini adalah berpunca daripada bunga yang diterima Amirah hampir setiap hari melalui khidmat pernghantaran?
Arrghh..fikirannya benar-benar berserabut. Dia memandang fail-fail yang bertimbun di atas meja. Makin banyak pula kerjanya yang terbengkalai. Entahlah! Dia seperti kehilangan tumpuan untuk menyemak fail-fail itu. Apa yang dibaca dan diteliti seperti tidak meresap masuk ke dalam otaknya. Membuatkan dia marah kepada dirinya sendiri lalu menutup fail itu tanpa membukanya semula. Kalaulah perkara ini sampai ke pengetahuan Dato’ Kuzir lunyai telinga dibebelkan.
Cemburu! Ya dia sememangnya cemburu. Selepas parti hari jadi di rumah Dato’ Kuzir ramai teman-teman dunia perniagaanya merisik Amirah dari dirinya. Amirah benar-benar mencuri perhatian semua jejaka pada malam itu. Walaupun wanita itu berpasangan dengan dirinya, masih ada lagi yang mahu bertanya? Tidakkah mereka terfikir kemungkinan Amirah adalah teman wanitanya? Lelaki jenis inilah yang akan menjadi perosak bangsa. Sengaja mahu memusnahkan hubungan orang lain demi kepuasan sendiri.
Rasa cemburu itu ditambahkan pula dengan kehadiran bunga yang setiap hari dikirimkan buat Amirah. Teringin benar dia mahu mengetahui siapakah gerangan penghantar bunga itu. Adakah daripada teman-temannya yang berminat dengan Amirah? Atau orang lain?
 Tapi dia tidak berpeluang untuk melakukan itu kerana Hayati pembantu Amirah begitu pantas mengambil pesanan dan diserahkan kepada Amirah. Seperti ada sesuatu yang wanita itu sorokkan dari dirinya. Tapi apa? Siapa penghantar itu sehingga Amirah sanggup menjadikan bunga itu sebagai hiasan di sudut pejabatnya?
Lalu, beginilah jadinya dia. Menyendiri dan memendam rasa. Begitu kuat sekali penangan cinta Amirah sehingga mampu membuatkan dia murung seperti ini. Semua ini benar-benar telah membuatkan moodnya berubah mendadak. Sehingga Amirah pun malas mahu dilayan.
 Huh....
Faris kembali menglemparkan pandangan keluar. Menjamu mata dengan gelagat manusia yang dia kira sudah kembali dari makan tengahari.
Namun, pandangan matanya jatuh pada kereta Audi A4 yang baru saja berhenti di hadapan bangunan pejabatnya. Dia mengamati susuk tubuh yang keluar dari tempat duduk pemandu. Hakim? Dia buat apa dekat sini? Hari setahunya dia tidak mempunyai temujanji dengan lelaki itu.
Gelagat Hakim diperhatikan. Lelaki itu kelihatan berlari anak ke pintu sebelah tempat duduk pemandu lalu membukakan pintu. Gelagat lelaki romantik yang jarang-jarang dapat dilihat dalam dunia sekarang.
Buntang matanya saat menangkap batang tubuh Amirah yang baru keluar dari kereta milik Hakim itu. Dia seperti tidak percaya! Cis, Hakim! Sudah beristeri masih lagi mahu memcuba nasib mengurat janda orang? Kurang ajar. Patutlah lelaki itu begitu beriya memerhatikan Amirah pada malam itu. Rupa dia sudah terpikat dengan Amirah. Dasar lelaki hidung belang!
Dan persoalannya sekarang? Kenapa pula Amirah melayan? Tidakkah dia tahu yang lelaki itu sudah berkahwin? Hakim! Kau lebih pantas dari lelaki-lelaki yang mahu mengenali Amirah rupanya.
Ini tak boleh jadi! Dia perlu bertindak sekarang kalau dia tidak mahu Amirah terlepas ke tangan lelaki lain.

Naik juling mata Marissa melihat temannya yang sedari ke hulur ke hilir di hadapannya. Entah apalah yang menganggu fikiran Amirah sekarang ini. Nasib baik jugalah Nasuha sudah lama ditidurkan. Kalau tidak anak itu juga pening melihat telatah ibunya saat ini.
“Eh, Mira! Cubalah kau duduk diam kat sini. Cerita dekat aku apa yang jadi? Ni asyik ke hulu ke hilir. Buat menyakitkan mata aku saja,” omel Marissa setelah tidak tahan dengan gelagat temannya yang sedari tadi menghalang siaran televisyen yang dtontonnya.
“Aku ada masalah besar ni Rissa!” Luah Amirah. Dia sudah mengambil tempat di sebelah Marissa.
“Masalah apa pula ni? Ni tak lain tak bukan pasal Hakim, laki kau tu kan?”
Amirah pantas menganggukkan kepala. Hanya Marissa tempatnya mengadu. Tapi kalau Marissa sudah mendirikan rumahtangga bagaimana agaknya hidupnya nanti? Tiada lagi teman untuk berbicara dan mengadu nasib. Kalau dekat tidak mengapalah juga. Ini tidak, sampai ke Indonesia! Entah bilalah mereka akan bertemu lagi.
“Kenapa pula dengan laki kau tu?”
“Dia tu memang dah gila!” Omel Amirah sambil menjuihkan bibirnya. Menunjukkan betapa dia tidak berpuas hati saat ini.
“Gila? Apa pula yang dia buat kali ni sampai kau kata dia dah gila tu?”
Amirah mengeluh berat...


p/s: blog updated..enjoy ya!

7 ulasan:

  1. Harap Amirah akan dpt melarikan diri drp cengkaman Hakim. Harap Hakim dpt membimbing dan memimpin isteri keduanya. Dan suka jika plot cerita ni membenarkan Amirah utk mencari kebahagiaan dgn pasangan suami yg baru....

    BalasPadam
  2. Apelah yg dibuat oleh Hakim pula pada Mira ye...
    nk lagi Ida cepat sambung ye...

    BalasPadam
  3. Ulasan ini telah dialihkan keluar oleh pengarang.

    BalasPadam
  4. Hakim berilah Mira bahagia pula dengan pilihan sendiri..... Rasanya Faris boleh bahagiakan Mira.... Kalau Mira kembali pada Hakim x sepenuh hati pun x baik juga kan.... Elakkan lah Mira dari Hakim.... dengan isteri keduanya yang x betul tu nanti Mira yang jadi mangsa......

    BalasPadam
  5. hakim...hakim...tu lah x ingat diri b4 bemadu dulu..

    BalasPadam
  6. hmm saya tetap harap Hakim ngan Mira hidup bersama..
    hehehe maybe still old school kot. ><'

    BalasPadam
  7. Harap mira beri Hakim peluang menebus kesilapan nya yang dulu dan still nak Hakim dengan Mira .. Mira dengan Hakim Sweet Couple gitu lorh :-D

    BalasPadam

Hi kawan2..Selepas baca jangan lupa tinggalkan komen tau..wajib!!! hehee..sebabnya Ida suka baca komen kawan2..Nak tau jugak best ke tidak setiap post Ida ni..komen tau!!