Sabtu, 10 November 2012

Kau Yang Kunanti 36


Pedal minyak ditekan laju. Matanya cuba difokuskan sehabis baik pada kereta yang berada di hadapannya. Jarak pemanduan dipastikan agar tidak terlalu hampir untuk mengelak jejaknya dikesan. Perut yang memboyot tidak menghalangnya untuk memandu sendirian tanpa diawasi sesiapa. Pemandunya juga diberikan cuti. Dia sudah bosan asyik diawasi ke sana ke mari. Sudah lama dia tidak memandu. Dia juga rindukan kereta kesayangan. Lalu, dia tega mengingkari perintah si suami. Walaupun pada hakikatnya, jarang perintah suami diturutinya. Tapi dia peduli apa? Yang penting dia gembira.
Sakit hatinya saat ini terasa membahang sehingga ke kepala. Adegan sepasang suami isteri yang kelihatan gembira berpimpin tangan ke parking kereta membuatkan dia memberhentikan keretanya di bahu jalan dengan serta-merta. Mujur kereta yang berada di belakangnya masih jauh. Jika tidak pasti berlaku insiden perlanggaran di situ.
Restoran McDonalds yang terletak di tepi lebuh raya memudahkannya untuk mengintip pergerakan kedua manusia itu.
Gurau senda dan tawa gembira sepanjang langkah ke kereta membuatkan hatinya dibakar cemburu yang menggila. Apatah lagi apabila matanya dijamu dengan lagak romantik si lelaki yang membukakan pintu untuk si wanita! Tanpa sedar stereng kereta ditumbuk geram.
Rupanya sudah sejauh ini hubungan mereka. Selama ini dia kira Amirah masih lagi tidak dapat menerima kehadiran Hakim dalam hidupnya. Hatinya juga tidaklah terlalu risau bila memikirkan keadaan itu walaupun hanya pertengkaran yang menghiasi rumah mereka setiap kali suaminya pulang bermalam.
Saat kereta Hakim mula meninggalkan tempat parkir, dia sudah bersiap sedia untuk menekan pedal minyak. Masuk sahaja kereta itu ke lebuh raya, dia terus mengekori. Entah apa yang menyebabkan dia bertindak sedemikian dia pun tidak tahu. Bukan kerana cemburu! Tapi dia seperti dapat merasakan keanehan pada pasangan itu. Dia menjeling jam di tangan. Sudah menghampiri jam empat petang. Bukankah ini waktu bekerja? Jadi bagaimana mereka boleh berada di restoran McDonalds pada waktu sebegini. Jika Hakim dia tidak hairan, kerana syarikat itu milik keluarganya. Jadi dia bebas untuk ke mana saja dan bila-bila masa! Tapi Amirah! Perempuan itu makan gaji!
Tapi bila difikirkan semula mungkin madunya itu mengambil cuti tahunan atau pun cuti sakit! Ahh, tak! Dia tidak rasa begitu. Pasti ada sesuatu yang dia tidak tahu!
Dia mengekori kereta itu sehinggalah Audi A4 milik Hakim memasuki kawasan parkir bawah tanah. Dia tidak turut sama ke parkir itu. Dia lebih senang memberhentikan kereta di hadapan bangunan Faruk Group. Hatinya semakin pelik! Kenapa Amirah dibawa ke Faruk Group? Bukankah madunya itu bekerja di syarikat lain? Kenapa tidak dihantar ke pejabat wanita itu sahaja?
Untuk tidak mengusutkan kepalanya, dia memakirkan keretanya dan melangkah ke kaunter pengawal yang terletak berhampiran dengan pintu masuk utama. Pengawal keselamatan yang sedang bertugas dihampiri.
“Pak cik tumpang tanya.” Dia bersuara lembut. “Ada tak bekerja yang bernama Nur Amirah di sini?”
“Nur Amirah? Yang mana satu puan. Sebab ramai Nur Amirah di sini.”
“Hmm..” Dia pura-pura berfikir. “Suami dia bernama Amir Hakim?”
Pengawal keselamatan itu sedikit terperanjat. “Isteri kepada Tuan Amir Hakim Bin Datuk Faruk maksud puan?”
“Tuan Amir Hakim Bin Datuk Faruk? Saya tak pasti pula pak cik. Tapi yang saya tahu suami dia bernama Amir Hakim!” Dia terpinga-pinga. Konon, tidak mengetahui Amir Hakim adalah seorang anak ahli perniagaan terkenal. Padahal, suaminya juga! Masakan dia tidak tahu? Demi memastikan lakonannya berjaya dia rela buat-buat dungu!
Berkerut dahi pengawal keselamatan itu. “Kalau Nur Amirah isteri kepada Amir Hakim memang tak lain dan tak bukan Tuan Amir Hakimlah orangnya!” Berjeda. Pengawal keselamatan itu meneliti Sofiana sekali lagi. Boleh saya tahu puan ni siapa?”
Sofiana mengetab bibir. Banyak tanya pula pak cik ni! Orang tanya tu jawab sajalah!
“Saya ni kawan dia. Dah lama tak jumpa. Tadi saya nampak dia dekat bagunan ni. Tak sempat pula nak bertegur sapa dia dah hilang. Maklumlah, saya ni nak jalan laju pun dah tak larat.”
Pengawal keselamatan itu tersenyum sebaik sahaja Sofiana selesai menerangkan tujuan kedatangannya. Dia yakin dengan kata-kata wanita di hadapannya ini. Dalam keadaan sarat begini sudah tentulah langkahnya tidak selaju perempuan yang tidak hamil.
“Ya puan. Puan Nur Amirah bekerja di sini. Sebagai Pengurus Kewangan.” Beritahu pengawal keselamatan itu. “Puan nak berjumpa dengan dia ke?”
“Tak apalah pak cik. Saya rasa lebih baik saya datang lain kali saja. Terima kasih ya, pak cik?” Tanpa menunggu lama Sofiana terus meninggalkan kaunter pengawal itu.
Pintu kereta dihempas kuat sebaik sahaja tubuhnya selamat berada di dalam perut kereta. Kurang ajar! Rupanya Amirah sekarang adalah Pengurus Kewangan Faruk Group! Sedikit pun Hakim tidak mengkhabarkan tentang itu kepadanya sebelum ini. Ternyata suaminya ini banyak berdrama sekarang. Patutlah wajah itu berseri benar sejak kebelakangan ini. Rupanya isteri pertamanya sentiasa berada di depan mata. Tidak dapat bermalam di rumah tidak mengapa. Di pejabat juga boleh melepaskan rindu dendam. Hakim memang tidak adil! Arghh..!!
Itu yang dia tahu! Bagaimana pula dengan apa yang dia tidak tahu? Tak boleh jadi! Dia perlu tahu apa yang dia tidak tahu. Nak mengorek dari Hakim sudah tentu tiada harapan. Entah mengapa dia terasa sukar benar mahu menguruskan Hakim sekarang. Kata-kata rayuan dan pujukannya langsung tidak berbekas pada lelaki itu. Dalam keadaan sarat begini pun dia gagal mengalihkan perhatian suaminya untuk bermalam di rumah madunya itu. Lantas, telefon bimbitnya dikeluarkan. Jemarinya menari-nari di atas skrin. Selepas menghantar khidmat pesanan ringkas, dia memecut meninggalkan perkarangan Faruk Group dengan hati yang masih mendongkol geram.

Puan Laila duduk di ruang tamu sambil menantikan anak terunanya turun. Dia tahu anaknya itu akan keluar lagi malam ini. Dia naik risau dengan Faris kebelakangan ini. Selalu sahaja keluar malam dan pulangnya pula kala waktu menginjak ke dinihari. Kadang-kadang dia juga pernah membasuh baju Faris yang berbau masam. Dia bukanlah terlalu naif sehingga tidak tahu itu adalah bau arak! Dia sangat tahu! Kerana suatu ketika dahulu Faris juga berperangai seperti sekarang.
Hatinya kuat mengatakan Faris tidak akan kembali ke perangai lamanya. Dia sangat bersyukur tentang itu. Sekurang-kurangnya kesibukan kerja melalaikan Faris sehingga tiada masa untuk melakukan aktiviti sosialnya. Tapi ternyata anggapannya salah sama sekali! Hatinya tertanya-tanya, apa yang menyebabkan anaknya itu berubah dalam sekelip mata.
Satu perkara yang dia perasan, Faris kerap kali akan melarikan diri dan cuba mengelakkan daripada berbual tentang Amirah. Kerap kali juga dia bertanya khabar wanita itu. Tapi kerap kali juga Faris akan menarik muka dan cepat sahaja dia mengalihkan topik perbualan. Pasti ada sesuatu yang anak terunanya itu sembunyikan.
Mata Puan Laila terpaku ke arah tangga sebaik sahaja mendengar derap langkah Faris. Dia mengerling di dinding. Sudah menunjukkan angka 10 malam. Malam ini adalah malam minggu! Pasti Faris anaknya itu akan memijak lantai rumah kembali ketika subuh hampir menjelang! Itulah yang kerap kali terjadi pada malam minggu. Pasti Faris menghabiskan masa di kelab-kelab di sekitar Kuala Lumpur.
“Eh umi! Tak tidur lagi?” Faris menegurnya uminya sebaik sahaja ternampak kelibat wanita itu diruang tamu. Uminya itu kelihatan seperti sedang termenung jauh.
“Faris nak keluar lagi ke malam ni?”
Anggukan Faris membuatkan Puan Laila mengeluh hampa. Walaupun dia sudah menjangkakan hal itu, namun entah mengapa dia tetap kecewa.”Selalu sangat Faris keluar. Tak kasihan dekat umi ke, sayang? Umi sorang-sorang tak ada siapa temankan.” Keluh Puan Laila.
Faris menggosok-gosok belakang tengkuknya. Bohonglah, jika dia tidak kasihankan uminya. Selama ini pun dia yang menemani wanita itu. Tapi bagaimana dia hendak betah di rumah sedangkan fikiran benar-benar kusut. Jika dia keseorangan tiada lain yang difikirkan melainkan Amirah! Jadi, lebih baik dia keluar berhibur dan melupakan segala kekusutan.
“Faris dah janji dengan kawan umi. Tak elok pula kalau tiba-tiba tak datang.”
“Habis, Faris tinggalkan umi sorang-sorang kat rumah ni elok sangatlah?” balas Puan Laila. Tiada niatnya untuk bertekak. Cuma dia mahu anaknya memahami perasaannya saat ini. Dia sering ditinggalkan sendirian di rumah. Sunyi dan sepi! Tiada siapa yang boleh diajak bersembang. Paling ditakutkan jika semputnya menyerang! Pada siapa dia mahu meminta pertolongan?
“Umi, Faris pergi sekejap saja. Umi jangan risaulah,” pujuk Faris. Huh, sekejapnya itu mahunya sehingga ke pagi. Lepas tu terbungkang hingga matahari tegak di atas kepala. Itu awallah juga. Kadang-kadang sehingga malam mahu menjelma barulah dia mencelikkan mata. Kemudian dia bersiap hendak keluar semula. Jadi berapa masa sangatlah yang dia gunakan untuk menemani uminya?
Tapi untuk meredakan perasaannya uminya saat ini, terpaksalah dia berjanji.
“Jangan nak menipu umi! Kalau hujung minggu begini, sampai subuhlah baru nampak muka Faris!
Faris kematian kata. Memang ada benarnya. Tapi takkanlah dia hendak mengiyakannya pula.
Okaylah, esok Faris temankan umi. Umi cakap saja mana umi nak pergi, Faris akan bawa.” Faris mula memancing. Mungkin ini sajalah yang dapat dia lakukan untuk melepaskan dirinya saat ini.
Namun, tawaran Faris langsung tidak menarik perhatian Puan Laila. Dia meneliti wajah kacak anaknya. Wajah itu nampak tenang. Namun dari sinar mata itu Faris seperti memendam sejuta kekecewaan.
“Duduk dulu Faris! Umi nak cakap dengan Faris sikit!”
Faris mula serba-salah. Dia sudah terlewat dari masa yang dijanjikan. Pasti Anggeline akan menarik muncung lagi, Lagipun, dia bimbang uminya akan menimbulkan soal Amirah. Apa mahu dijawabnya?
“Faris dah lewatlah umi. Kawan Faris mesti dah menunggu tu!” Faris beralasan.
“Biarkan mereka menunggu! Urusan keluarga lebih penting dari urusan maksiat Faris tu!” Puan Laila mula meninggikan suara. Dia tidak akan membiarkan Faris mengelak lagi. Dia mahu tahu apa yang sebenarnya terjadi sehingga menyebabkan Faris terjerumus ke dunia lamanya. Dunia yang penuh dengan maksiat! Sebagai seorang ibu dia sangat kecewa dengan Faris kerana gagal mengawal diri dan membezakan  baik buruk walaupun sudah berusia 32 tahun! Dalam masa yang sama dia juga kecewa dengan dirinya kerana gagal mendidik Faris menjadi seorang yang beriman. Mungkin dari segi kerjaya, anaknya ini sangat berjaya. Tapi untuk apa jika dalamannya kosong dan kotor?
Suara lantang Puan Laila membuatkan Faris akur dengan arahan uminya. Duduknya dilabuhkan berhadapan dengan wnaita itu. Dia sebenarnya masih terkejut. Jarang uminya meninggikan suara seperti itu! Apa yang penting sangat mahu dibincangkan uminya sehingga wajah itu nampak tegang benar?
“Apa nak jadi dengan Faris ni? Umi tengok Faris dah mula buat perangai Faris semula! Cuba cerita dengan umi. Faris ada masalahkah?”
Faris mengeluh perlahan. Sudah diagak perkara ini yang akan dibangkitkan. Namun, dia tidak punya kekuatan untuk meluahkan semua itu.
“Tak ada apa-apa umi. Umi yang fikir bukan-bukan. Faris macam biasa saja!” Tenang Faris menjawab kata-kata uminya.
“Macam biasa? Macam biasa apa kalau macam ni? Balik lewat malam! Berpeleseran hingga ke pagi. Mabuk! Itu yang Faris kata biasa?”
“Alaa..Faris pun macam ni juga dulu. Cuma dua tiga tahun ni Faris sibuk dengan kerja. Tak ada masa untuk diri sendiri.!
Puan Laila beristigfar dalam hati. Kalau diikutkan hatinya mahu sahaja dia menampar mulut yang enak sahaja berkata-kata. Faris seakan-akan tidak punya agama! Ya Allah! Ampunkanlah hambamu kerana gagal mendidik anakku ke jalanmu Ya Allah!
“Faris bercakap macam Faris langsung tak buat salah! Faris sedar tak ni?”
“Umi, Faris dah cukup dewasalah umi. Faris tahu jalan mana yang harus Faris pilih. Umi janganlah risau. Selama ni pun Faris tak pernah abaikan umi, pun. Cuma sekarang ni Faris perlukan masa untuk diri Faris sendiri.”
“Dengan memilih jalan maksiat ni? Ini jalan yang Faris cari selama ni?”
Faris mengeluh perlahan. “Faris bukan buat apa-apa pun, umi! Selama dua tahun lebih ni Faris beri sepenuhnya tumpuan pada karier Faris. Sekarang bila semua dah kukuh, tak salahkan kalau Faris enjoy?”
“Mengucap Faris! Faris sedar tak Faris sedang menghancurkan hidup Faris sendiri? Bukan ini caranya untuk Faris lepaskan tekanan kerja. Banyak lagi cara lain, sayang! Faris tak sayangkan umi ke? Kenapa jadi sampai macam ni, sayang? Pasti ada sesuatu yang membuatkan Faris berubah sampai macam ni!”
“Tak ada apa-apa umi. Kan Faris dah cakap tadi? I just needs time for me. Dahlah umi. Faris dah lambat ni!” Faris sudah berkira-kira untuk bangun dan meninggalkan rumah. Namun, suara uminya yang menagan membuatkan Faris kembali menghenyakkan punggungnya ke sofa.
“Umi belum habis cakap lagi, Faris.” Puan Laila mula mengendurkan suaranya. “Terus terang umi tak percaya semua ni disebabkan tekanan kerja. Pasti ada sebab lain?” Tebak Puan Laila. Faris tidak akan begini hanya disebabkan tekanan kerja. Selama hampir tiga tahun Faris mengembangkan kariernya, tidak pernah dia melihat Faris tertekan begini. Dia sangat kenal dengan anak lelakinya ini!
“Siapa perempuan yang hantar Faris balik malam tu? Dia jugak yang selalu call ke rumah ni nak cakap dengan Faris, kan? Umi tak rasa itu Amirah!”
Sebaris nama yang disebutkan Puan Laila pantas mengangkat kepala Faris daripada tertunduk menekur lantai. Perubahan pada raut wajah si anak menguatkan lagi telahannya. Pasti ada kena-mengena dengan Amirah! Sudah beberapa minggu nama itu tidak meniti di bibir Faris. Walaupun mereka tidak pernah bersua, namun daripada ciri-ciri yang pernah dikhabarkan padanya dulu sudah cukup untuk dia membezakan perempuan yang sangat digila-gilakan Faris itu.
“Tak, tu bukan Amirah! Itu kawan Faris!”
“Kawan? Kawan apa kalau sampai berpeluk, bergesel macam tu!”
“Umi, dia cuma tolong hantar Faris balik! Tu asaja!” Faris beralasan.
“Tak payahlah Faris nak tipu umi. Umi belum buta lagi! Faris dengan perempuan tu sekarang, kan?”
Faris mengeluh lagi. Sesungguhnya dia terlupa pada siapa dia cuba menipu saat ini. Perlahan-lahan Faris menganggukkan kepala. Sukar untuk membohongi orang yang telah melahirkannya ke dunia ini.
“Jadi macam mana dengan Amirah?  Bukankah dulu Faris sangat menyintainya sampai sanggup pujuk umi terima dia sebagai menantu?
“Itu dulu umi. Sekarang ni Faris dengan dia tak ada apa-apa hubungan lagi!” Dengus Faris dengan nada kasar. Dia tertekan jika terus diasak begini oleh Puan Laila. Sudah kerap kali umi membangkitkan hal ini. Nampaknya dia tidak mungkin dapat mengelak lagi. Biarlah uminya tahu status hubungannya dan Amirah sekarang. Dan dia berharap isu Amirah akan terus berkubur begitu sahaja.
Puan Laila mengeluh hampa. Benar seperti sangkaannya semenjak dia mengetahui kewujudan perempuan lain dalam hidup Faris. Walaupun dia pernah menentang niat Faris untuk memperisterikan Amirah suatu masa dahulu, tidak bermakna dia menerima anak dara sebarangan untuk dijadikan menantu. Dia pasti tidak akan menerima perempuan ‘kaki kelab’ diangkat menjadi teman hidup Faris. Tidak akan!
“Jadi, sebab Amirahlah Faris berubah sampai macam ni?” Puan Laila masih lagi mahu menyelidik tanpa mempedulikan wajah tegang Faris.
“Sudahlah umi. Tak usahlah nak di sebut-sebut nama dia lagi. Faris dengan dia tak mungkin berjodoh!”
“Tapi kenapa?”
“Sudahlah umi. Faris tak ada masa nak bertegang-urat dengan umi sebab perempuan penipu tu! Faris nak keluar. Kawan Faris mesti dah lama tunggu!”
Faris sudah bangun dari sofa. Belum pun sempat dia meninggalkan ruang tamu itu, Puan Laila bersuara semula.
“Jawab umi dulu Faris! Kenapa Faris dan Amirah tak mungkin berjodoh?”
“Sebab dia bukan janda. Dia masih isteri orang! Puas hati umi sekarang?!”
Tanpa pamitan, Faris terus meninggalkan rumah bersama dentuman pintu yang kuat. Meninggalkan Puan Laila yang diam tidak terkutik. Dia masih tidak percaya dengan apa yang dikatakan Faris sebentar tadi. Amirah bukan janda? Amirah isteri orang? Jadi, selama ini Faris menaruh hati terhadap isteri orang? Ya Allah....

Amirah mengelap tangan setelah mencuci semua pinggan kotor yang digunakan untuk makan malam mereka. Di luar kedengaran suara riang Nasuha sedang bermain bersama abahnya. Sesekali anak itu menjerit nyaring diusik Hakim. Dia tersenyum senang. Hatinya mengucap syukur ke hadrat Ilahi. Selama seminggu ini hatinya benar-benar tenang dan bahagia. Walaupun hidup bermadu, namun mereka masih lagi mampu bergembira.
Dia bergerak ke kabinet dapur dan menyediakan nescafe panas untuk suaminya. Setelah siap, dia mula menyertai Hakim dan anak mereka bersama minuman di tangan.
“Minum bang.” Pelawa Amirah.
Dengan senyuman bermadu, Hakim menyambut cawan yang dihulurkan si isteri. Matanya tidak langsung dialihkan dari wajah ayu Amirah. Malah, dia tertunggu-tunggu Amirah menyiapkan kerjanya di dapur sementara dia melayani Nasuha bermain. Tidak betah andainya berjauhan hatta sekejap. Dia benar-benar terasa seperti pengantin baru. Hubungan perasaan antara mereka berdua sangat hangat mengalahkan pasangan yang baru melangsungkan perkahwinan. Adakah perpisahan selama lapan bulan ini telah menjadikan mereka lebih menghargai perasaan masing-masing? Mungkin juga!
“Lamanya sayang dekat dapur,” getus Hakim.
“Banyak kerja dekat dapur tu.” Punggungnya dilabuhkan di sebelah Hakim.
Hakim menganggukkan kepala. Faham dengan kesibukan si isteri yang bertukus-lumus menguruskan rumahtangga setelah penat bekerja seharian. Namun, tiada langsung riak kepenatan terlukis pada wajah bersih itu. Malah, urusan rumahtangga diselesaikan dengan senyuman menguntum di bibir.
“Anak ibu main apa tu, sayang?” Amirah menegur anaknya. Rambut ikal si kecil di usap manja. Sedari tadi anaknya begitu asyik dengan patung Barbie yang dibelikan abahnya baru-baru ini. Sudah sebakul mainan Nasuha tersimpan dalam bilik si kecil itu. Kalau datang ‘mood’nya hendak bermain, habis dipunggah segala mainan yang ada. Penat pula Amirah hendak mengemasnya selepas itu.
“Bu..baby nak usyu..” Adu Nasuha sambil menyuakan patung di tangan. Tergelak Amirah dan Hakim dengan telatah comel itu.
“Baby nak susu ke Suha yang nak susu ni?” Dengan kasih seorang ibu, Amirah melayani anaknya.
Nasuha menggelengkan kepala dengan wajah yang agak serius. Menjadikan telatahnya sangat comel di mata pasangan suami isteri itu.
“Baby..”Jemari kecilnya menunjuk pada patung di tangan. Masih lagi tidak mahu mengaku. Sedangkan sebagai ibu, dia sangat arif dengan setiap keletah si kecil.
“Yelah, nanti ibu buatkan susu untuk baby, ya?”
Nasuha tersenyum ceria sebaik mendengar kata putus si ibu. Dia kembali tenggelam dengan patung mainan di sekelilingnya.
Amirah menyandarkan tubuhnya di sofa untuk melepaskan lelah. Agak lama berdiri di dapur membuatkan tubuhnya sedikit letih. Namun terselit kepuasan dalam diri kerana berjaya menjalankan tanggungjawabnya sebagai seorang isteri dan juga ibu.
“Penat?” Tanya Hakim.
“Sikit,” balasnya sambil tersenyum.
“Kasihan isteri abang. Nak abang urutkan?”
Pelawaan suami ditolak dengan gelengan kecil. Bibirnya pula tersenyum manis. “Tak apalah abang. Tak adalah penat sangat pun. Mira dah biasa.”
Hakim melebarkan tangannya pada penyandar sofa di belakang tubuh Amirah. Kedudukannya seperti sedang memeluk tubuh genit itu.
“Abang tahu isteri abang ni ‘superwomen’. Cantik lagi! Bertuah abang punya isteri macam Mira.”
Makin melebar senyuman si isteri menerima pujian dari suaminya.
“Sofiana?”
Terdiam Hakim buat seketika apabila nama isteri keduanya tiba-tiba di sebut di tengah-tengah kemesraan mereka. Timbul dalam hati sedikit rasa tidak senang dengan keadaan itu. Entah mengapa, dapat dia rasakan nama itu telah menyuramkan sedikit perasaan hangatnya kala ini.
“Abang tak bertuah punya isteri cantik dan bergaya macam Sofiana?” Amirah terus bertanya tanpa dapat mengesan perubahan pada raut wajah Hakim. Dia tidak punya niat lain. Dia cuma ingin tahu!
“Sayang dah lupa syarat-syarat perjanjian kita?”
Amirah mengerut dahi apabila ditujah dengan soalan seperti itu. “Kenapa tiba-tiba abang cakap macam tu?”
Hakim tersenyum kecil. Jemari kasarnya bermain pada anak rambut yang terjatuh di dahi si isteri.
“Kalau sayang ingat, sayang takkan tanya abang macam tu tadi?”
“Tanya abang? Salahkah Mira bertanya? Mira cuma nak tahu, saja!” Pelik pula dia rasakan. Soalannya itu dia kira tiada langsung kaitan dengan syarat-syarat mereka.
“Syarat ketiga, Sofiana tak berhak mengganggu masa abang pada malam giliran sayang dengan apa cara sekalipun! Sayang dah lupa?”
Giliran Amirah pula terdiam dengan teguran si suami. Setegar itukah Hakim berusaha melunaskan syarat mereka sehingga perkara sekecil itu pun dia bisa peka? Sedangkan orang yang meletakkan syarat pun tidak seteliti itu! Sedikit rasa terharu menghuni hatinya.
“Malam ni adalah malam giliran sayang. Masa abang sepenuhnya untuk sayang dan anak kita. Abang tak nak ada perkara lain menganggu kita.” Perlahan-lahan Hakim mendekatkan bibirnya ke telinga Amirah. “What all I need is you...” Dia berbisik lembut di telinga itu. Sebuah kucupan hangat juga singgah di situ seusai kalimah indah itu terungkap di bibirnya.
Meremang belakang tengkuk Amirah dengan bisikan romantik itu. Tidak semena-mena wajahnya menghangat dan memerah. Tidak terpanggung kepalanya saat itu. Dia berasa sangat malu. Namun, riak bahagia jelas terpamer pada wajah itu. 


p/s: Blog updated..Terlewat lagi kan..?? Hmm..sangat letih..Asyik kena stay back kat ofis siapkan keje..Sorry..Enjoy anyway..

Khamis, 8 November 2012

Novel Lelong Lagi!!






Hi, kawan2..ni update novel2 terpakai yg Ida nak jual..Sape2 nak beli leh la tengok2 dulu..Then pm Ida kat fb k. Harga x termasuk postage RM6 utk setiap buku..
 
Diingatkan! RM6 untuk setiap buku. Kos postage yg di charge adalah reasonable. Kalau tak percaya boleh rujuk laman web Pos Malaysia


Terbitan Kaki Novel

1. Penjara Rindu (Nia Arissa) = RM 14

2. Bukan Cinta Monyet (Hasliza Ismail) = RM 14

3. Kau Pemilik Hati (Ayumi Syafiqah) = RM 15

4. Kau Milikku (Aisha Hamza) = RM 18

5. Syurga di Wajahmu (Laina Hanni) = RM 13

6. Sayang Cikgu Ketat-Ketat (Rafina Mimi Abdullah) = RM 13

7. Qaseh Nuralia Imani (Arin Arida) = RM16

8. Biar Cinta Bertaburan (Yusnida Tajudin) = RM 12

9. Aku Untukmu (Tulip Ungu) = RM 13

10. Hello Mr. Perfect (Wanniey Zakaria) = RM15

11. Bisikan Kata Hati (Dila Dyna) = RM15

12. Kalau Memang Harus Begitu (Acik Lana) = RM27


Terbitan Alaf 21

1. Laman Rindu (Hasreeyati Ramli) = RM10

2. Kasih Yang Suci (Meen Zulaikha) = RM10

3. Uda dan Dara (Aisya Sofea) = RM12

5. Sayangku Merajuk (Ayu Emelda) = RM15


Terbitan Buku Prima

1. Hingga ke Akhirnya (Siti Nur Dhuha) = RM17

2. Biarkan ia Pergi (Liza Nur) = RM10


Terbitan Fajar Pakeer

1. Jiranku Kekasihku (Lysa Allysa) = RM 14

2. Saat Hati Merelakan (Emma Rusdi) = RM 10

3. Entah Bila Bersemi (Auni Amauni) = RM 12


Terbitan Karya Seni
1.   Jauh Dari Cinta (Adah Hamidah) = RM 15

Harga bergantung juga pada kondusi naskah novel tsb.


Kalau ada yg nak beli pm Ida kat fb ea.. SERIOUS BUYER ONLY. Jadi sebelum nak pm Ida tu tanyalah pada diri anda adakah anda “serious buyer” itu.


Insyaallah penghantaran akan dibuat dlm kadar segera selepas bukti pembayaran dilampirkan....