Selasa, 20 Mac 2012

Kau yang Kunanti 16

Peristiwa semalam benar-benar menguji kesabarannya. Hakim telah bertekad tidak mahu melepaskannya. Walaubagaimana cara yang dia gunakan untuk memujuk lelaki itu tetap tidak membuahkan hasil. Kadang dia berfikir yang lelaki itu begitu tamak. Sanggup mendera perasaan seorang isteri demi kepuasan diri sendiri. Tiadakah belas kasihan untuk isteri terbuang seperti dirinya ini?

Selepas pertengkaran mereka semalam, masing-masing mendiamkan diri dan tidak bertegur sapa. Mungkin Hakim memberikan ruang untuknya berfikir. Atau lelaki itu sebenarnya sedang menenangkan hati yang sedang disirami amarah. Sehinggalah ibu bapa mentuanya turun selepas menunaikan solat barulah suaminya itu bersuara. Itupun hanya meminta diri untuk turut menunaikan solat.

Dia sedar pandangan penuh tanya dari kedua ibu bapa mentunya itu tetapi pura-pura untuk tidak melayan. Dan dia juga sedar pertengkaran mereka didengari oleh mereka berdua. Sememangnya malu menguasai diri. Tetapi ibu bapa mentuanya pasti sudah maklum akan hal ini. Untung juga mereka mengetahui keadaan dia dan suami saat ini sangat teruk. Ibarat retak menanti belah! Mungkin Datin Intan dan Datuk Faruk dapat menasihatkan anak lelakinya itu melepaskannya. Itu lebih baik dari dia terus melakukan dosa kerana membenci suami sendiri. Walaupun pada hakikatnya sayang masih berbaki! Tetapi luka juga menggunung tinggi. Mungkin inilah takdir untuk dirinya.

Kerlipan ‘mesengger’ di sudut bawah skrin komputer menarik perhatiannya. Tetikus dilarikan. Pesanan dari Faris!

‘Dah decide nak pergi dgn sape?’

Amirah mengerutkan dahinya. Tidak faham dengan pertanyaan itu. Pantas jari-jemarinya bermain di atas keyboard.

‘Pergi mana?’ balasnya.

‘U tak baca email ke?’

Email? Tergesa-gesa dia membuka email. Patutlah! Sedari pagi dia tidak membuka email. Apa agaknya perkara yang sedang ditanyakan oleh Faris ini?

Parti Hari Jadi anak Dato’ Kuzir?!! Bila pula ni? Laju sahaja tangannya melarikan tetikus ke bawah. Butir-butir program dibaca dengan teliti. Semua staf diwajibkan hadir? Pelik ni!

Setelah semua isi kandungan e-mail dibaca dan difahami, Amirah kembali membalas pesanan Faris.

‘Kenapa semua diwajibkan hadir? Tu kan party hari jadi je.’

‘Mmg selalu mcm tu. Setiap party yg dia adakan mesti dihadiri semua staf. For networking he said. He invited all Mega Construction business partners.’

‘Ooo..’

‘So mcm mna? U nak pegi dgn sape?’

Faris bertanya lagi. Amirah terdiam sebentar. Dengan siapa lagi kalau bukan dengan Marissa. Tapi bagaimana pula dengan Nasuha?

‘I pergi dengan Marissa la.’

Balas Amirah tanpa ragu-ragu.

‘Marissa kan tak dapat hadir. Dia dapat excuse sebab baru balik dari oustation.’

Hah? Alamak!! Baru dia teringat yang Marissa sekarang sedang berada di Langkawi kerana menguruskan projek syarikat di sana. Seminggu dia akan berada di sana. Memanglah dia pulang sebelum parti Dato’ Kuzir. Tapi sudah tentulah dia perlukan rehat yang cukup setelah seminggu menguruskan projek di Langkawi.

‘Yela..I lupa. Mungkin I ikut budak2 ofis je. U?’

Putus Amirah. Itu sajalah yang dapat difikirkannya.

‘I ingat nak ajak u pergi sama. Sudi tak?’

Barulah Amirah memahami kenapa Faris begitu beria bertanya. Dia tersenyum sambil jemarinya laju menaip.

‘Seganlah..Nanti apa pula kata staf yang lain bila tengok I pegi dgn u?’

‘Apa yang nak disegankan? Biarlah dia orang nak mengata apa pun. Kita bukan buat salah. Boleh ya? U pegi dgn I? Tak kesian ke dkt I tak ada teman ni?’

Amirah tertawa kecil sambil menggelengkan kepala. Mulalah nak buat ayat merajuk tu.

‘Nantilah I fikirkan. I risaukan anak I. Sape nak jagakan dia nanti?’

‘Betul juga. Kalau susah2 sangat apa kata u bawa saja dia.’

Bawa Nasuha? Amirah tertanya-tanya sendiri. Relevankah cadangan Faris itu?

‘Boleh ke?’

‘Nape pula x boleh?’

Faris bertanya kembali. Walaupun parti hari jadi, Amirah yakin ia tentu diadakan dalam keadaan yang agak formal kerana Dato’ Kuzir menjemput semua rakan niaganya. Kalaulah Nasuha buat perangai bagaimana dia mahu melayannya nanti?

‘Nantilah I gtau u. Sekarang ni I need to get back to my work. Bye..’

Faris bersandar pada kerusi empuknya sambil tersenyum. Dia amat yakin yang Amirah tidak akan menghampakannya. Dia benar-benar berharap dapat berpasangan dengan wanita itu di majlis Dato’ Kuzir nanti. Dan dia juga patut berterima kasih kepada Marissa kerana bertugas di luar kawasan. Kalau tidak tentu dia tiada peluang untuk bersama dengan Amirah.

Langit membiru yang dapat dilihat dari tingkat 16 itu sedikit mendamaikan hatinya. Hari demi hari bilangan angka pada usianya semakin meningkat. Tapi hingga ke saat ini dia masih belum mempunyai pasangan hidup. Bukan dia tidak pernah bercinta. Sudah lebih dari tiga kali sebenarnya. Tapi semuanya putus di tengah jalan kerana salah dirinya sendiri. Dia terlalu mementingkan kesempurnaan. Dan akhirnya dia ditinggalkan. Semua itu benar-benar menyebabkan dia serik untuk bercinta lagi. Takut sekiranya dia akan mengecewakan pasangannya untuk kesekian kali. Dan dia juga mengambil masa yang terlalu lama untuk mengubah sikap buruknya ini. Menyediakan diri untuk bercinta semula.

Semenjak Amirah bekerja di sini, dirasakan hari itu sudah pun tiba. Hatinya terbuka lagi untuk mengasihi dan dikasihi. Dia menyedari itu apabila hatinya mula tertarik dengan janda beranak satu itu. Jika sebelum ini, janda sudah pasti tidak akan berada dalam senarai calon pasangan hidupnya. Tapi semua itu berubah dalam sekelip mata. Wajah itulah yang sering kali hadir dalam jaga dan lenanya.

Setiap hari dia seperti tidak sabar hendak datang ke pejabat. Kadang-kadang dia rela tidak bersarapan pagi dengan ibunya di rumah. Puas juga dia dileteri sebelum dia berjaya berada di dalam kereta seawal pukul 7 pagi. Semua itu dilakukan kerana tidak mahu terlepas peluang untuk bersarapan dengan Amirah. Dia tahu setiap pagi Amirah dan Marissa akan bersarapan di restoran berhampiran. Dan setiap kali itulah wajahnya akan menempel di situ.

Pernah juga Marissa bertanya kepadanya.

“Hi, boss! Sekarang ni saya tengok boss dah kerap breakfast dekat sini? Ada apa-apa ke?”

Dia tersenyum. Marissa adalah pekerja yang telah lama berkhidmat. Sudah tentu dia dapat melihat perubahan ketuanya ini.

“Sesekali nak merasa breakfast kat luar salah ke? Lagipun I teringin juga nak rasa masakan dekat restoran yang you all kata sedap sangat tu.”

Itulah alasan yang dikira relevan pada masa itu. Nasib baik jugalah Marissa tidak lagi bertanya selepas itu. Malah, dia diterima dengan senang hati bersarapan bersama mereka.

Pada ibunya juga telah dikhabarkan tentang perasaannya itu. Gelaran janda beranak satu yang disandang oleh Amirah membuatkan dia mendapat tentangan hebat dari Puan Laila pada awalnya. Tapi setelah dipujuk, wanita itu merestui juga. Malah, sekarang Puan Laila pula tidak sabar-sabar mahu dia melamar Amirah. Tidak sabar mahu mendapat cucu segera katanya. Sudah lama rumah mereka tidak diserikan dengan suara kanak-kanak. Hendak harapkan kakaknya, entah bilalah akan menjenguk mereka di sini? Sekarang cuma mereka berdua yang menghuni banglo mewah itu setelah ayahnya pulang ke Rahmatullah 5 tahun lepas.

Dia juga sebenarnya sedang menunggu masa yang sesuai untuk melamar wanita pujaannya itu. Tapi sampai ke saat ini Amirah masih belum mengetahui tentang perasaannya ini. Tentang niatnya yang mahu mengambil wanita itu sebagai isteri. Amirah dilihatnya seperti tidak memerlukan seorang lelaki sebagai pengganti suaminya. Sukar benar hendak mengduga hati wanita itu. Perbualan mereka juga selama ini lebih tertumpu kepada soal kerja. Bila ditanya soal peribadi Amirah hanya akan tersenyum dan perbualan mereka akan terhenti begitu sahaja. Cuma Marissa sahaja orang yang memegang rahsia Amirah. Itu yang boleh dia rumuskan apabila melihat keakraban mereka berdua. Lagi pula mereka adalah teman serumah. Mungkin Marissa boleh membantunya! Senyuman manis tiba-tiba terukir di bibir merahnya.

“So, you dah decide nak pergi dengan siapa?” Tanya Faris ketika mereka sedang enak menikmati makan tengahari. Kebiasaannya mereka akan makan berempat. Tapi hari ini hanya mereka berdua kerana Marissa dan Alwi, iaitu Chief Operating Officer Mega Construction Sdn Bhd bertugas di luar kawasan.

Amirah mengangkat kepalanya seketika sebelum kembali menikmati makan tengharinya. Dia hanya menggeleng sebagai jawapan. Tadi dia telah menelefon Marissa dan bertanyakan tentang kehadiran wanita itu ke parti Daro’ Kuzir. Jawapan Marissa amat mengecewakannya. Seperti yang diduga Marissa akan pulang lebih awal dari parti itu. Tapi tidak mahu menghadirinya kerana ingin merehatkan diri. Namun kesudian Marissa untuk menjaga Nasuha amat melegakannya. Walaupun ditegah dia tetap mahu menolong. Rindu pada Nasuha katanya.

“You pergi dengan I, okay? Pedulikan apa orang nak kata. Yang penting kita tahu apa yang kita buat.” Faris mula memancing umpan. ‘Tolonglah setuju,’ hatinya berbisik.

“I takut you segan pula berpasangan dengan I ni.” Amirah meluahkan ketidaksenangan hatinya. Memang itulah yang sering dia fikirkan. Selama ini pun sudah banyak kata-kata yang tidak senak sampai ke telinganya. Walaupun marah, dia cuba mengawalnya. Untuk apa kemarahan itu? Hanya akan merosakkan diri sendiri. Jadi, apa yang dia perlu lakukan adalah tidak mempedulikan kata-kata orang lain. Ada benarnya juga kata-kata Faris tadi!

“Mira, berapa kali I nak cakap ni?! I tak kisah, okay. Yang penting I selesa berkawan dengan you. Orang lain tak bolehlah tentukan apa yang boleh dan tak boleh kita lakukan, kan?” Faris mula membebel. “Macam mana sekalipun you kena ikut I. I tak nak you pergi seorang diri. Bahaya! No excuses!”

Faris pantas menegakkan jari telunjuknya apabila dilihatnya Amirah seperti mahu membantah. Tersenyum wanita itu dengan lagak diktator majikannya. Akhirnya dia hanya bersetuju.

“I will fetch you at 8pm sharp. Jangan lambat, ya?”

“Okay! Tapi boss, kita balik awal, ya? I tak nak balik lambat sangat. Kasihan Suha di rumah.”

“Oklah. Dont worry, kita pergi tunjuk muka sahaja. Lepas tu kita balik. I tahu you tak boleh tinggalkan anak you lama-lama, kan?”

“Thanks boss sebab memahami saya.”

“My pleasure.”

Seperti biasa Amirah akan singgah ke rumah jirannya mengambil Nasuha setelah pulang dari bekerja. Dari luar rumah lagi dia dapat mendengar suara nyaring dan ceria puterinya. Keceriaan itu diselang-selikan dengan suara Kak Nana yang sibuk menegah Nasuha supaya jangan berlari-lari. Tersenyum dirinya apabila mendengar suara puteri comel itu. Tidak sabar dia mahu memeluk dan mencium pipi tembam itu.

Namun, saat kakinya semakin menghampiri pintu rumah Kak Nana telinganya dapat menangkap sesuatu.

“Iya, Nana! Aku ni bukan nak buat cerita. Tapi semua jiran-jiran dah nampak dia bawa masuk lelaki dalam rumah dua minggu lepas. Dalam pukul 12 tengah malam baru lelaki tu keluar dari rumah dia.”

Amirah mengerutkan dahi. Tentang siapakah mereka sedang bualkan ini?

“Ish, mungkin sedara dia agaknya! Tak baik kita ni berburuk sangka.” Kedengaran suara Kak Nana pula.

“Sedara apanya? Selama dia kat sini dah lebih 7 bulan, pernah ke kita nampak sedara-mara dia datang melawat? Hah, kalau betul pun sedara dia, kenapa datang malam? Waktu Marissa tak ada pula, tu? Kalau dah dasar janda tu, semuanya gatal. Dah lama tak merasa! Baik kamu jaga-jaga Nana. Kang tak pasal-pasal suami kamu diambilnya.”

Kali barulah jelas butir bicara mereka. Sudah tentu orang yang sedang mereka bualkan adalah dirinya sendiri. Patutlah selama seminggu ini dia sering terserempak dengan jiran-jiran yang memandang jelik kepadanya. Bila ditegur mereka akan menjawab endah tidak endah sahaja.

Dia memegang kejap pagar rumah Kak Nana. Sedikit berkecil hati dengan tuduhan itu. Tidak pernah dia mahupun Marissa membawa lelaki masuk ke dalam rumah sewa mereka. Yang ada hanyalah suami dan bapa mentuanya. Salahkah itu?

Namun, dia tidak menyalahkan jiran-jirannya itu. Mereka tidak mengetahui duduk perkara yang sebenar. Yang mereka tahu dia adalah janda beranak satu. Tapi itu bukan dari mulutnya sendiri. Semua itu kesimpulan mereka kerana tidak melihat suaminya di mana-mana. Dan untuk memudahkan cerita dia hanya tersenyum. Mengiyakan tidak, menafikan juga tidak!

“Apalah Kak Kiah cakap macam tu. Saya kenal dengan Amirah tu. Sejak dia datang sini sayalah yang menjaga anaknya. Lembut, sopan. Takkanlah nak buat benda-benda tak senonoh macam tu?”

Sejuk hatinya buat seketika apabila mendengar kata-kata Kak Nana yang seperti menyebelahinya.

“Itulah kamu! Bila akau kata sikit kamu kata aku buat fitnah. Terpulanglah Nana. Tapi nanti kalau suami kamu tiba-tiba dapat dekat dia kamu jangan menyesal.” Kasar suara kedengaran di telinga Amirah. Mungkin panas hati kerana segala omongannya tidak berjaya menghasut Kak Nana.

“Bukan saya kata Kak Kiah buat fitnah. Tapi kita tak tahu siapa lelaki tu. Tak semua janda tu jahat Kak Kiah. Lagipun dia jiran paling dekat dengan saya. Marissa pun saya kenal orangnya macam mana. Janganlah Kak Kiah jadikan kisah hidup Kak Kiah menyebab Kak Kiah nak membenci Amirah.”

“Hish, bercakap dengan kamu ni memang tak pernah menyenangkan hati. Balik-balik aku juga yang kena. Yang jahat! Dahlah, aku nak balik! Ingat Nana, kalau jadi apa-apa dekat kamu jangan cari aku lagi.”

“Kak Kiah, janganlah macam tu. Janganlah sebab benda kecil ni kita nak bermusuh pula.”

“Ahh, benda kecil benda besar ke? Masalahnya kamu dah sakitkan hati aku1”

“Kak....”

Kedengaran suara kedua wanita itu semakin lama semakin kuat dan hampir kepadanya. Semua itu berlaku terlalu pantas. Tidak sempat dia hendak menyembunyikan diri. Alih-alih tubuh kedua wanita itu sudah terpacul di muka pintu. Dia tergamam. Mereka juga kelihatan kaget melihat dia berada di situ.

“Mira?! Dah lama ke Mira ada dekat sini?” Tanya Kak Nana kepadanya.

“Er..tak baru je sampai. Nak ambil Suha. Apa khabar Mak Cik Kiah?” Amirah berbasa-basi. Walaupun wanita itu telah manabur fitnah buat dirinya, tapi itu semua tidak boleh dijadikan sebab untuk dia tidak menghormati wanita itu.

Mak Cik Kiah hanya mencebik sebelum berlalu meninggalkan mereka. Lennggang wanita tua itu dihantar dengan pandangan mata yang sayu.

“Mira dah dengar semuanya, kan?” Kak Nana bertanya sebaik sahaja tubuh wanita sudah tidak kelihatan lagi.

Amirah hanya tersenyum tawar tanda mengiyakan pertanyaan itu. Kak Nana terus memeluk bahu Amirah untuk menenangkan perasaan ibu muda itu.

“Dahlah, jangan ambil hati sangat. Kak Kiah tu memang macam tu. Jomlah kita masuk. Suha pun dah tak sabar nak jumpa kamu tu. Dari tadi bertanya. Penat akak nak menjawabnya.”

Tubuh Amirah terus didorong masuk ke dalam rumahnya. “Suha sayang. Ibu dah sampai ni.”

“Bu..bu..bu!!”

Amirah merendahkan kedudukan sebaik sahaja ternampak kelibat anaknya terkedek-kedek berlari mendapatkannya. Tangannya didepakan. Nasuha terus hilang dalam pelukan hangat ibunya. Hati yang rawan seakan berlari menjauhi sebaik sahaja wajah puteri kesayangan mengukir senyuman ceria buat dirinya. Bertalu-talu ciuman dihadiahkan di pipi montel Nasuha.

“Bu angis!” Ujar anak itu dalam pelatnya. Matanya bulat merenung mata si ibu yang digenangi air mata.

“Mamau..mamau.” Nasuha menggelengkan kepalanya sambil tangan comel itu berusaha mengesat air mata si ibu yang belum pun mengalir. Tanda dia tidak mahu ibunya mengalirkan air mata.

Pantas Amirah menangkap tangan kecil itu lalu dikucupnya. Entah datang dari mana air mata ini? Adakah dia berasa sedih dengan fitnah yang dilontarkan buat dirinya sebentar tadi? Sudahlah hidup bersendiri tanpa suami. Kini, satu kejiranan pula memandang jelik kepadanya.

“Tak sayang, ibu tak nangis. Ibu cuma rindu anak ibu saja. Suha rindu ibu, tak?”

Nasuha mengangguk laju. Mengiyakan pertanyaan ibunya. Sekali lagi pipi itu dikucup sebelum tubuh kecil itu dipeluk erat.

Kak Nana yang sedari tadi memerhati turut mengesat air mata yang tiba-tiba mengalir. Sayu hatinya melihat kedua beranak itu berpelukkan. Bijak anak kecil ini. Dia seperti memahami gelojak jiwa yang sedang dialami ibunya. Dia tumpang bersimpati. Kata-kata berupa fitnah yang dilontarkan Kak Kiah mungkin memberikan tamparan yang hebat buat Amirah.

Walaupun dia tidak pasti sama ada apa yang dikatakan Kak Kiah itu benar atau tidak, dia tidak mahu cepat percaya. Selagi perkara itu tidak berlaku di depan matanya dia tidak akan mudah terpedaya. Dia antara jiran yang paling rapat dengan Amirah dan Marissa kerana rumah mereka bersebelahan. Dan dia pasti mereka berdua adalah wanita yang terpelihara akhlaknya. Apa yang berlaku seperti yang diwar-warkan Kak Kiah mungkin ada penjelasan yang baik dari pihak Amirah.

p/s: blog updated..Enjoy ya!

7 ulasan:

  1. bodohnya cerita..

    BalasPadam
  2. Ida berilah peluang Amirah dgn Faris...biarlah mereka bahagia...Hakim terlalu tamak...pentingkan diri
    sendiri...biar dia hidup dgn penyesalan.
    Kenapa lambat sambung...apa pun akak follow...

    ~kak min~

    BalasPadam
    Balasan
    1. satukn ler dgn hakim...dia lbh berhak...hakim kena adil n bertanggungjawab hehehe

      Padam
  3. ida..dera sikit hakim..jgn buat amirah can tu...xmooo...ler....biar amirah bahagia dgn pilihannya....ermmm....dgn faris pun ok gak...

    BalasPadam
  4. Poligami ni isu yg sensitif...terlalu sukar bagi wanita untuk menerimanya kerana ia melibatkan hati & perasaan. Rata2 yg berpoligami ni sukar berlaku adil...
    kerana sisuami mudah dipengaruh oleh isteri2...siapa yg lebih pengaruhnya dia yg akan dilebihkan oleh suami & yg lain akan terabai. Hakim dlm ketegori ini mudah dipengaruhi & tidak berlaku adil...
    Memang Hakim lebih berhak pada Mira tapi mampukah dia berlaku adil??? Kesian Mira...hanya Ida yg boleh tolong.

    BalasPadam
  5. Memanglah si Hakim ni tamak betul.. dua-dua dia nak...
    Kalau rasa tak boleh berlaku adil lepaskan jelah Mira
    biarlah Mira mencari kebahagiaan dgn Faris itu adalh
    lebih baik. Ida berilh pula pd Mira kebahagiaan
    berumah tangga dgn Si Faris pula setelah hatinya dilukai
    oleh suami sendiri. Lembutkanlh hati Hakim supaya lepaskn
    Mira secara baik dan dpt Mira mengecapi kebahagiaan dgn
    org lain pula ye Ida... kerna Ida saja yg dpt menentukan
    hala tuju cite ni dan juga berasaskan komen-komen yg
    diterima... cepat sambung ye tiap kali terpaksa tunggu
    lama baru dpt baca n3 baru...

    BalasPadam
  6. i vote for mira wif faris.. plss!

    BalasPadam

Hi kawan2..Selepas baca jangan lupa tinggalkan komen tau..wajib!!! hehee..sebabnya Ida suka baca komen kawan2..Nak tau jugak best ke tidak setiap post Ida ni..komen tau!!