Ahad, 12 April 2009

Antara Benci dan Rindu 15

“Cantiknya!!!!”

Gaun malam berwarna biru muda yang mama tunjukkan kepadaku benar-benar membuatkan aku teruja. Dengan fabrik shifon yang telah dialas di bahagian dalam baju dan labuci bertaburan di bahagian dada, benar-benar menaikkan seri gaun itu lagi. Ditambah pula dengan jahitan manik di tepi kain sudah cukup membuatkan aku tidak berkelip mata. Keinginan untuk memiliki gaun itu juga begitu memuncak. Tetapi aku segera melupakan keinginanku itu apabila mataku tertancap pada tanda harga yang tergantung bersebelahan dengan gaun itu. RM700? Fuh, mahal giler! Dengan duit sebanyak itu bisa menampung kehidupanku selama sebulan. Tidak sanggup rasanya hendak aku habiskan dalam masa sehari.

“Cantikkan Ifa? Cubalah. Manalah tahu kalau seseuai dengan Ifa.”

“Eh, tak perlulah mama. Sesuai tu Ifa rasa memang sesuai. Tapi yang tak sesuai sekarang ni duit aje,” ujarku dengan nada gurauan. Aku tertawa kecil dengan kataku sendiri.

Ketika itu kami sedang berada di sebuah butik yang agak terkenal di kalangan orang-orang ternama seperti mama. Malam esok mama akan menghadiri jamuan tahunan AMA Holdings bersama papa. Jadi hari mama telah meminta aku menemaninya untuk mengambil baju yang telah ditempah mama sebulan lalu untuk dipakai pada malam itu. Butik inilah yang menjadi tempat mama dan rakan-rakan mama menempah pakaian. Kata mama pilihan di sini memang banyak. Selain mempunyai pakar perunding fesyen yang berpengalaman, mereka juga sangat menitikberatkan kepuasan pelanggan. Itulah yang menyebabkan mama menjadi salah seorang pelanggan tetap disini.

“Ish, yang tu jangan difikirkan sangat. Kalau difikirkan memang sampai bila pun tak ada peluang kita nak bergaya dengan baju cantik-cantik. Dah pergi cuba saja. Cantik tu!”

“Tak perlulah mama. Membazir saja. Lagipun Ifa nak buat apa dengan baju tu. Nak pakai pergi keje pun macam melampau sangat,” bantahku, lembut. Tidak mahu mengguris perasaan ibu mentuaku itu.

“Laa, esokkan annual dinner company kita. Bolehlah pakai esok. Takkan nak pakai baju lama kot. Ifa tu salah seorang isteri ahli Board of Directors. So, kenalah bergaya sikit.”

“Ifa tak pergilah mama,” beritahuku.

“Eh, takkan Ifa tak pergi? Rizal kan pergi esok? Takkan nak biarkan Rizal pergi seorang?”
Suamiku pergi? Tapi kenapa Rizal tak cakap apa-apa pun? Sebelum ini aku ingatkan suamiku itu tidak turut serta. Nak jawab apa kat mama ni? Memang nampak peliklah kalau Yusrizal pergi tanpa aku, kerana aku ini isterinya. Sebagai salah seorang ahli lembaga pengarah sudah semestinya agak janggal sekiranya dia pergi berseorangan.

“Dah, tak payah nak buat muka macam tu. Sekarang ni Ifa pergi cuba baju tu? Kita tengok sesuai ke tak? Ifa kena pergi majlis tu esok, tahu?”

Alamak, mama sudah mengeluarkan arahan. Bermakna aku sudah tidak punya pilihan lain. Mama pula sudah memanggil pekerja di butik itu dan menyuruhnya menurunkan gaun itu. Aku sudah tidak dapat berbuat apa-apa melainkan hanya menurut.

Ish, macam seksi pula baju ni! Bisikku sendirian di hadapan cermin. Sudah hampir 10 minit aku berada di dalam fitting room yang telah disediakan di butik itu. Enggan keluar kerana malu. Gaun ini memang cantik tapi kelihatan agak seksi. Tidak pernah aku memakai gaun yang secantik ini. Selama ini hanya baju kurung yang menjadi pakaianku. Kalau berseluar pun aku akan pastikan seluar yang kupakai itu bersaiz ‘L’. Manakala, blause pula akan kupastikan juga bersaiz ‘L’ iaitu jauh lebih besar daripada saiz tubuhku yang lebih kecil. Bagiku, ia lebih selesa.

Sedangkan baju ini pula lebih mengikut bentuk tubuh. Terserlahlah bentuk tubuhku yang sebenanrnya dengan gaun ini. Walaupun tiada seinci tubuhku yang terdedah, tetapi aku masih berasa malu kerana tidak biasa.

“Ifa, dah sudah ke belum?” Ketukan di muka pintu bilik persalinan itu memeranjatkan aku yang sedang kalut sendiri.

“Kejap mama. Ifa nak keluarlah ni,” laungku dari dalam. Aduh, apa-apa pun aku mesti keluar. Kasihan mama yang sudah lama menunggu. Lalu, dengan berat hati aku melangkah keluar selepas meletakkan tudung di kepala. Sekadar menutup rambutku yang terdedah. Takut juga sekiranya ada pengunjung lelaki di situ. Free saja mengumpul dosa. Dosa besar pulak tuh!

“Aduh, cantiknya menantu mama,” kata mama sebaik saja aku keluar dari fitting room. Kedua belah tangan mama mencapai bahuku lalu ditelek setiap inci tubuhku. Merona wajahku apabila dipuji sebegitu. Apatah lagi apabila aku menyedari kehadiran dua pembantu butik di situ. Mereka tersenyum melihatku. Entah untuk apa mereka tersenyum aku sendiri tidak mengerti.

“Cantik lah Ifa. Padan sangat dengan Ifa. Kalau Ifa pakai ni memang tak berkelip mata Rizal nanti. Kita beli ya?”

“Tapi mahal sangat la ibu. Sayang rasanya nak keluarkan 700 ringgit untuk beli baju ni,” aku cuba berkompromi dengan ibu. Berharap agar ibu faham dengan apa yang aku fikirkan. Gajiku sebagai account executive tidak seberapa. Walaupun hakikatnya aku punya suami yang kaya raya, tapi ia tetap tidak merubah kehidupanku. Nampak saja tinggal di rumah mewah, tetapi kehidupanku tidak semewah dan sebahagia yang difikirkan.

Boleh dikatakan hampir keseluruhan barang dapur aku yang sediakan dengan menggunakan duit aku sendiri. Yusrizal jarang sekali memberikan aku duit untuk berbelanja seperti lazim yang dilakukan oleh seorang suami. Sementelah pula dia jarang menyentuh barang-barang yang aku beli dan dan hidangan yang aku sediakan. Kebiasaannya, aku hanya memasak untuk diri aku sendiri. Mungkin itulah yang difikirkan lelaki itu. Untuk apa dia memberikan aku duit sekiranya dia langsung tidak memakannya.

Lelaki itu hanya akan memberikan aku duit sekiranya dia terniat untuk berbuat demikian. Dan selalunya dia tidak akan memberikannya secara langsung kepadaku. Dia hanya akan meninggalkan di atas meja makan bersama satu nota kecil yang menyatakan itu adalah untuk perbelanjaanku sehari-hari. Begitulah siksanya kehidupanku bersama Yusrizal. Dia bukan sahaja menyiksa aku secara zahir tapi juga batin.

“Alah, tak payah nak kasi alasan dekat mama. Kita beli saja gaun ni. Mama belanja!”

Terkejut aku dengan kata-kata mama itu. Masakan mama hendak belikan gaun itu untukku. Ah, segannya. Bukannya murah pulak tu. Nanti apa pula kata Yusrizal dan papa?

“Eh, tak payahlah susah-susah ibu. Oklah Ifa beli. Biar Ifa yang bayar sendiri.”

“Dah tak payah nak mengada-ngada. Mama belanja! Sekarang Ifa pergi salin baju ni,” arah mama dengan suara tegasnya. Kecut aku dibuatnya. Baru pertama kali aku melihat wajah mama segarang ini. Patutlah Nisa mengatakan yang mamanya juga seorang yang garang dalam kelembutannya itu. Hari ini baru aku dapat melihatnya. Suprise! Suprise!

Selesai urusan mama, dia mengikut aku pulang ke rumah. Risau juga aku sekiranya mama bertanya ke mama anak lelakinya itu. Jawapan apa yang harus aku berikan kerana hari cuti begini selalunya Yusrizal akan menghabiskan masa dengan kekasih kesayangannya. Lelaki itu jarang sekali melekat di rumah. Nampaknya aku terpaksa menipu lagi. Hai, banyak sungguh penipuan yang telah aku lakukan semenjak berkahwin dengannya.

Namun, aku sedikit hairan apabila sampai dirumah kereta milik Yusrizal ada terpakir di porch. Hairan pula aku. Yusrizal tak keluarkah hari ni? Selamat aku dari soalan mama dan yang pastinya aku tidak perlu menipu.

“Masuklah mama. Rumah semak sikit. Ifa tak sempat nak mengemas hari ni,” sopan aku menjemput mama masuk ke dalam rumah.

“Semak apa macam ni Ifa. Cantik aje mama tengok. Pandai Ifa menghias rumah. Nampak ringkas tapi cantik,” puji mama sambil matanya galak meliar ke sekeliling rumahku. Seperti pengkritik pula aku melihatnya. Segan pula aku dengan mama. Walaupun sudah berusia tapi tenaga mama masih utuh. Boleh dikatakan keseluruhan hiasan dalam rumah dan landskap luar adalah kerja mama. Mama memang meminati bidang hiasan dalaman dan mempunyai ijazah dalam bidang itu. Tapi minatnya hanya direalisasikan ke atas rumahnya saja kerana papa tidak membenarkan ibu bekerja. Betul juga bila aku fikirkan tindakan papa. Untuk apa mama penat bekerja sedangkan harta yang papa kumpul memang tidak habis di makan.

“Rizal mana ni Ifa?”

“Ada kat atas kot. Jap Ifa pergi tengok.”

“Tidolah tuh!” Gumam mama. Aku hanya tersenyum.

“Mama duduklah dulu ek. Ifa pergi kejutkan abang kejap.”

Mama mengangguk. Aku mula mendaki anak tangga menuju ke bilik Yusrizal. Gentar juga hatiku untuk memasuki biliknya. Selama ini Yusrizal memang melarang keras aku menjejakkan kaki ke bilik itu. Tapi untuk hari ini aku terpaksa melanggar larangannya.

Aku mengetuk pintu bilik Yusrizal perlahan. Takut didengari mama. Hairan pula orang tua itu nanti. Masakan hendak masuk ke bilik sendiri perlu ketuk dahulu. Tiada balasan! Selepas berfikir panjang aku memulas tombol pintu biliknya lalu menjengah ke dalam. Benar seperti yang dikata mama. Yusrizal kelihatan enak berselubung. Terfikir olehku yang dia masih belum bangun tidur sedari pagi lagi. Mata mestilah mengantuk sekiranya hampir subuh menjelang baru nampak batang hidungnya.

“Abang...” panggilku perlahan. Takut pula kalau-kalau memeranjatnya lelaki itu.

“Abang...” sekali lagi aku memanggil. Namun masih tiada balasan. Alah, liatnya nak bangun. Apa yang harus aku lakukan? Teragak-agak aku hendak menyentuhnya. Tapi apa jalan yang aku ada?

“Abang..” panggilku bersama goncangan lembut di bahunya. Perlahan-lahan Yusrizal membukakan mata. Kelihatan payah benar suamiku hendak memfokuskan pandangan. Sedangkan aku sudah gementar di dada menanti reaksinya apabila melihat aku nanti.
Seperti yang aku jangkakan. Pantas Yusrizal bangun. Matanya tajam merenungku. Aku terus menunduk. Tidak berani menentang pandangannya. Tambahan pula dia tidak berbaju. Hanya berseluar pendek. Malu aku melihatnya.

“Kenapa kau masuk bilik aku ni? Kan aku dah kata jangan masuk bilik aku. Kau tak faham ke?!!!!”

Bergegar tubuhku mendengar suaranya yang lantang itu. Hilang kata-kata yang telah aku hafal tadi.

“Apsal kau diam?!!!”

“Se..se..be..benarnya mama abang datang. Mama ada kat bawah. Ifa dah ketuk pintu tadi, tapi abang tak dengar.”

“What? Mama datang?” Pantas saja Yusrizal melompat dari katil. “Apsal kau tak cakap awal-awal?”

Membulat mataku melihat gelagat Yusrizal yang kelam-kabut. Laju saja kakinya melangkah ke bilik air selepas mencapai tuala. Terpinga-pinga aku dengan gelagat Yusrizal.

Namun beberapa saat kemudian dia keluar semula. “Aku nak kau bawa apa-apa yang patut barang kau masuk ke dalam bilik ni. Lepas tu kau kunci pintu bilik kau. Aku tak nak mama tahu yang kita duduk bilik berasingan. Lagi satu kemas katil ni. Aku nak mandi.”

Selesai ‘menyampaikan amanat’ kepadaku dia kembali semula ke dalam bilik air. Aku pula tidak menunggu lama. Pantas kakiku menuju ke bilikku dan mencapai apa yang patut memindahkannya ke bilik Yusrizal. Selepas mengemas katil Yusrizal, aku turun mendapatkan mama. Kasihan mama terpaksa menunggu lama.

“Hah, mana Rizal? Dah bangun belum?” tanya mama.

“Kejap lagi abang turun. Dia tengah mandi,” beritahuku.

“Laa, baru nak mandi? Ish, apalah nak jadi dengan budak tuh. Tak berubah-berubah perangai walaupun dah kahwin. Kamu tu nasihatlah sikit suami kamu tu. jangan dibiarkan sangat. Jangan sampai dia ingat kamu tak kisah, nanti lagi menjadi perangainya. Zaman bujang dulu bolehlah. Tapi sekarang dah ada isteri. Buat cara dah ada isteri. Bukan sesuka hati jea nak bangun ke tak nak bangun,” leter mama. Aku hanya tersenyum mendengar bebelan mama.

“Yelah, nanti Ifa nasihatlah abang tu. Lagipun kami baru kahwin ma. Mungkin abang dah biasa macam tu. Tak biasa lagi hidup berumahtangga ni,” belaku. Terpaksalah aku berbuat begitu. Takkanlah aku hendak join mama mengutuk suamiku. Nampak sangatlah nanti yang aku juga tidak menyenangi sikapnya yang satu itu. Eh, buka satu tapi banyak!

“Mama duduklah dulu. Ifa nak ke dapur buat air. Kesian mama terpaksa tunggu lama. Mesti dahaga.”

Mama hanya mengangguk kepala. Aku menuju ke dapur lalu menyediakan minuman untuk kami bertiga. Nescafe susu menjadi pilihanku kerana kedua beranak itu memang sangat gemarkan minuman itu. Selepas siap aku menatang dulang yang berisi air dan sedikit kuih-muih ke ruang tamu.

“Minumlah mama. Ni jelah yang ada. Ifa tak sempat nak beli barang-barang dapur lagi.”

“Yelah,” kata mama lalu mencapai cawan dan mencicip sedikit minuman yang aku sediakan.
Dalam masa yang sama Yusrizal melangkah turun. Terus saja lelaki itu mendapatkan mamanya. Dicium tangan dan pipi wanita itu. Mama kelihatan gembira dengan perbuatan anaknya itu.

“Dah lama sampai mama?” tanya Yusrizal.

“Hmm..dah nak balik dah baru Rizal nak turun,” ujar mama. Nadanya seperti sedikit merajuk.

“Alah, sorrylah mama. Rizal ngantuk sangat. Ada kerja yang perlu Rizal selesaikan semalam. Lepas subuh baru Rizal tidur, tahu?” bohong Yusrizal. Mungkin untuk menyedapkan hati wanita itu. Sedangkan aku lebih tahu hakikatnya.

Namun aku sedikit tersentak apabila suamiku itu melabuhkan punggung disebelahku. Begitu hampir sehingga menghilangkan jarak antara tubuhku dan tubuhnya. Itu semua menjadikan aku tidak selesa. Maklumlah, sebelum ini tidak pernah pun dia menyentuhku apatah lagi hendak duduk berdua serapat ini. Memang mustahil!

“Yelah,” kata mama sekadar menerima alasan anak lelakinya itu.

“Minumlah bang,” pelawaku kepada Yusrizal. Suamiku itu menganggukkan kepala sambil menghadiahkan senyuman manis buatku. Hatiku sedikit terusik dengan senyuman itu. Kacaknya dia. Tangan yang memegang cawan terasa sedikit bergegar. Nasib baik Yusrizal cepat mengambilnya dari tanganku. Kalau tidak mungkin mama akan perasaan rasa gementarku itu.

“Tadi sayang pergi beli apa dengan mama?”

Gulp..sayang? terasa tidak tertelan kuih yang baru kujamah. Suaranya lembut dan romantik sekali. Kukira panggilan sayang itu sudah tidak mungkin kedengar. tetapi nampaknya hari ini aku telah diberi peluang untuk mendengarnya.

“Belli baju. Tapi mama yang belikan untuk Ifa,” jawabku perlahan.

“Beli baju?” Terangkat sedikit kening Yusrizal.

“Aah Rizal. Cantik sangat Ifa bila pakai baju tu. Sebab tu mama belikan untuk dia. Rizal nak tengok? Mana Ifa baju yang kita beli tu?”

“Er..ada kat sana,” jawabku sambil menunjuk ke arah meja makan.

“Pergilah ambil. Kasi Rizal tengok.”

“Er..tak payahlah kot,” bantahku lembut.

“Laa..apa pula tak payah. Kasilah suami kamu ni tengok. Apa yang nak dimalukan?”

“Aah..sayang. Biarlah abang tengok. nak juga abang tahu, betul ke cantik baju tu.”

Aku tidak punya pilihan melainkan terpaksa membenarkan Yusrizal melihatnya.
“Emm..cantiknya!” puji Yusrizal. “Tapi sayang nak pakai kemana dengan baju cantik macam ni?”

“Laa..tanya pula Rizal ni. Ke majlis esoklah. Rizal tak pergi ke? Mama tanya Ifa tadi, dia cakap dia tak pergi.”

Aku melontarkan pandangan ke arah lelaki itu yang kelihatan sedikit gelisah.

“Eh, mestilah pergi,” kata Rizal. “Abang lupa nak cakap dengan sayang. Nasib baik mama dah cakap. Esok majlis pukul 8.30 ek. Ifa siaplah, nanti abang balik jemput Ifa sebab abang ada hal sikit dengan Syam petang esok,” beritahu suamiku. Hatiku girang tidak terkata. Nampaknya Yusrizal sekadar telupa. Kufikir lelaki itu memang tidak mahu mengajakku.

Keesokkan harinya, seawal jam 5 petang aku sudah memastikan segalanya tersedia. Pakaianku sudah digosok. Alatan make-upku juga sudah tersedia. Tinggal untuk dipakai sahaja. Terasa tidak sabar pula hendak menggayakan pakaian yang dibeli mama untukku di majlis malam ini. Apatah lagi aku bakalan berjalan beriringan dengan suamiku pula. Alangkah indahnya. Aku akan memastikan penampilanku sedikit berbeza malam ini. Biar dapat mencuri sedikit tumpuan Yusrizal buatku.

Yusrizal sedari pagi lagi sudaj keluar rumah bersama beg kecil. Apa pula yang berada di dalam beg itu tidak pula aku ambil tahu. Mungkin dia pergi berjumpa dengan Syam seperti yang dia beritahuku semalam.

Namun, sehingga pukul 9 malam, batang hidung suamiku langsung tidak kelihatan. Aku mula gelisah. Pada fikiranku tentu majlis sudah bermula. Mana pergi suamiku ini? Ahh, mungkin dia ada hal kot? Bisikku sendiri. Sekadar untuk menyedapkan hatiku. Aku melabuhkan punggung di sofa sambil sesekali mataku menjengah keluar apabila sesekali terdengar bunyi enjin kereta menyusuri di depan rumahku. Tapi aku hampa. Suamiku masih jua tidak kelihatan. Aku melihat jam di dinding. Sudah menunjukkan pukul 9.15 malam. Aku terus-terusan melihat jam itu sehingga tidak sedar bilakah masanya aku terlelap.

Apabila aku sedar hari sudah pagi. Pantas aku bangun dan menjengah keluar. Kelihatan kereta Yusrizal elok sahaja terpakir di porch. Fahamlah aku kini dengan apa yang berlaku. Suamiku itu memang tidak berniat hendak membawaku kemajlis itu. Telahanku semakin kuat apabila menerima panggilan daripada mama. Kata mama anak kesayangannya itu memberitahu aku tidak sihat dan tidak dapat menghadiri majlis itu. Aku tidak punya pilihan melainkan mengiyakan saja kata-kata Yusrizal itu. Tetapi hatiku pedih apabila mama memberitahu ada seorang wanita menemani Yursizal malam itu. Kata mama wanita itu adalah klien syarikat. Sedangkan firasat aku lebih kuat mengatakan itu adalah Anne. Hancur luluh hatiku saat itu. Air mata lahu sahaja membasahi pipiku. Sedarlah aku akan kedudukan aku disisi Yusrizal sekarang. Aku ibarat patung yang tidak bernyawa bagi dirinya.

3 ulasan:

  1. kejap mama..
    kejap g ibu plak..
    hope writer lbey berhati-hati..

    BalasPadam
  2. awak yg x baca betol2..mama tu mak mertua dia sayang..ini part flashback..

    BalasPadam
  3. wahhhhhhh sedih giler.... tp xpe nk smbg bc lg.... dh nangis nih...

    BalasPadam

Hi kawan2..Selepas baca jangan lupa tinggalkan komen tau..wajib!!! hehee..sebabnya Ida suka baca komen kawan2..Nak tau jugak best ke tidak setiap post Ida ni..komen tau!!