Selasa, 1 Disember 2009

Kau yang kunanti 4

“Itu saja yang abang nak cakap? Dah habis? Kalau dah habis, Mira nak balik,” ujarnya beserta jelingan.

Namun langkahnya terhenti apabila Hakim dengan pantas menghalangnya. Amira sedaya-upaya cuba melepaskan lengannya dari cengkaman kuat suaminya.

“Apa ni abang? Lepaskanlah,” gumamnya.

Rontaan yang agak agresif dari Amirah memaksa Hakim melepaskan pegangannya. Terasa belas juga melihatkan wajah bersih isterinya berkerut-kerut menahan sakit.

“Kenapa Mira buat abang macam ni?”

“Buat macam mana?”

“Kenapa Mira tinggalkan abang?”

Tidak semena-mena wanita itu ketawa kecil. Menganggap persoalan Hakim sedikit menggeletek hatinya. “Mira rasa abang tahu kenapa.”

“Sebab Sofiana?”

Amirah tidak menjawab. Hanya renungan mata yang sedikit sayu dilepaskan sebagai jawapan kepada suaminya itu.

“Maafkan abang Mira. Abang tahu abang bersalah kerana mengabaikan Mira. Abang janji selepas ni perkara macam ni takkan berlaku lagi. Abang akan berlaku adil kepada isteri-isteri abang dan anak kita,” janji Hakim.

Sekali lagi Amirah melepaskan tawa bernada sindiran.

“Sudahlah abang. Tak perlu berjanji kalau diri sendiri tak mampu nak menunaikannya. Biarkan saja Mira dengan hidup baru Mira sekarang. Abang pun sudah punya kehidupan baru dengan Sofiana.”

“Tak sayang. Ini bukan omong kosong. Abang benar-benar maksudkannya,” ujar hakim bersungguh-sungguh.

Dia sedar, sukar bagi Amirah untuk mempercayai kata-katanya setelah apa yang berlaku. Kepercayaan isterinya itu seakan hilang begitu sahaja. Malah kekadang dia terasa bercakap dengan seseorang yang bukan isterinya. Terlalu jauh perbezaan yang dirasakan walaupun baru 6 bulan mereka terpisah.

Namun begitu, dia tidak menyalahkan Amirah. Memang layak isterinya itu berkelakuan begitu terhadapnya. Dan dia akur dengan apa yang ada dihadapan matanya sekarang ini.

“Abang ingat tak, abang pernah berjanji perkara yang sama dulu? Tapi apa yang berlaku? Abang abaikan Mira. Abang tak tunaikan janji abang yang kononnya akan bertindak adil pada Mira dan anak kita. Jadi apa bezanya sekarang? Tak mustahil perkara yang sama akan berlaku lagi.”

“Jangan cakap macam tu sayang. Abang dah sedar sekarang betapa pentingnya Mira dan Suha dalam hidup abang. Abang tak akan sia-siakan Mira dan anak kita lagi.” Hakim masih berusaha memujuk. Berharap agar janji-janjinya bakal melembutkan hati isterinya itu. Dia tahu, Amirah tidaklah sekeras mana. Masih dia ingat sewaktu Amirah mendapat tahu tentang perkahwinannya dengan Sofiana. Pada mulanya memang terpancar riak kecewa yang teramat sangat pada wajah itu. Tapi setelah dibanjiri dengan janji-janji manis Hakim, perlahan-lahan bibir itu mengukirkan senyuman. Menandakan yang isterinya itu sudah mampu menerima semuanya. Hakim yakin isterinya itu mudah untuk dipujuk.

Berlainan pula dengan Amirah. Janji-janji manis Hakim seakan belati tajam yang menusuk tangkai hatinya. Makin lelaki itu berjanji makin dalam dirasakan tusukan itu. Hatinya makin luka berdarah. Pada Amirah janji-janji itu hanya sandiwara belaka oleh seorang insan yang begitu mendambakan sesuatu. Sesudah dimiliki, entah ditunaikan atau tidak janjinya itu?

Akan dipastikan yang hatinya tidak mudah untuk mengaku kalah dengan suaminya itu kali ini. Hakim perlu diajar tentang erti kesetiaan dan keadilan. Itu azamnya!

“Berlaku adil konon,” ejek Amirah. “Mira muak tahu tak dengan janji abang tu. Janji yang tak mungkin abang akan tunaikan kerana dalam hati abang hanya ada Sofiana. Mira ni cuma pengubat kesunyian abang je. Atau mungkin sekadar pelepas nafsu abang di saat abang menginginkan Sofiana!”

“Mira!!” Tempik Hakim beserta dengan pegangan kejap di kedua belah bahu isterinya itu. Wajah tenangnya sebelum ini bertukar menjadi merah padam. Tidak menyangka Amirah sanggup menuduhnya sehingga ketahap itu. Seakan ada batu besar jatuh ke atas kepalanya apabila kata-kata itu keluar dari bibir Amirah. Tuduhan yang terlalu berat untuk digalasnya.

Selama ini tidak pernah terlintas dihatinya untuk menjadikan Amirah sebagai tempat melampiaskan nafsunya. Apatah lagi mendambakan Sofiana di saat bermesra dengan Amirah. Tidak pernah sama sekali! Dia mendatangi Amirah kerana diri Amirah sendiri. Bukan orang lain. Kenapa sampai begitu sekali prasangka isterinya?

Amirah pantas menepis tangan Hakim yang bergayut di bahunya. Dia tidak mahu disentuh. Terasa terlalu asing sentuhan yang begitu didambakan suatu masa dahulu. Wajah tegang suaminya langsung tidak dipedulikan. Bahkan dia begitu teruja untuk menambahkan tegang di wajah itu.

“Abang tak pernah anggap macam tu. Tak pernah! Cuma waktu itu...”

“Cuma apa? Abang lebih sayangkan Sofiana, macam tu?”

“Tidak Mira. Abang tak pernah membeza-bezakan isteri abang. Kasih sayang abang sama saja.”

“Sama?” Ejek Amirah. “3 hari bermalam di rumah isteri pertama sepanjang 3 bulan berkahwin tu sama ke abang? Hah?” Tempelaknya. Sakit hati usah dicakap apabila kisah 6 bulan lepas diungkit semula.

“Abang..abang..” Hakim tidak tahu jawapan apa yang harus diberikan kepada isteri pertamanya itu. Bimbang jika alasannya bakal menambah kelukaan di hati Amirah. Sedangkan dia tidak mahu perkara itu berlaku. Cukuplah sekali. Dia tidak mahu berpisah dengan isterinya itu lagi.

Tidak mungkin dia mengkhabarkan tentang kerapuhan hatinya dek pujukan Sofiana yang sentiasa mahu bersamanya sehingga melupakan Amirah yang saban malam menunggu kepulangannya di rumah. Dia hanya akan menjenguk isterinya itu di waktu siang. Itupun hanya sekejap cuma. Apatah lagi Amirah tidak pernah menunjukkan rasa tidak puas hati dengan tindakannya itu. Semakin membuatkan dia berani mengabaikan tanggungjawabnya itu.

Namun sungguh tidak disangka isteri yang selama ini begitu lemah-lembut dan mendengar kata mengambil keputusan untuk meninggalkannya. Hanya sepucuk surat beserta kalung hadiah perkahwinan darinya yang ditinggalkan sebagai perkhabran terakhir. Saat itu barulah dia merasakan kehilangan. Barulah dia myesal di atas pengabaiannya selama ini.

“Abang tak ada jawapannya bukan? Jadi biar Mira yang yang berikan jawapannya. Abang lebih sayangkan Sofiana! Itu jawapannya!”

Hakim menggeleng-gelengkan kepalanya. Tanda tidak bersetuju dengan kata-kata Amirah.

“Sudahlah abang. Abang tak perlu risau. Mira takkan ganggu hubungan abang dengan Sofiana. Biarlah Mira hidup dengan cara Mira sendiri. Selamat tinggal abang!!”

Amirah sudah mula melangkah. Hakim kalut. Tidak! Dia tidak akan membiarkan isterinya itu pergi lagi. Dia sudah berjanji pada dirinya untuk membawa pulang isterinya itu ke rumah mereka. Dengan pantas dia menyambar pergelangan tangan Amirah lalu ditarik ke dalam pelukan. Tubuh itu dirangkul erat seperti tidak mahu dilepaskan lagi.

Amirah yang begitu melangkah mendapatkan kereta tersentap perasaannya apabila terasa tubuhnya terhumban ke dalam pelukan suaminya. Untuk beberapa ketika dia hanya mahu menurut kehendak Hakim kerana seluruh tubuhnya pada waktu itu seakan kaku. Bagai terdengar-dengar deguoan pantas jantungnya saat ini.

Selepas mendapat kekuatan, tubuh Hakim cuba ditolak menjauhinya dengan sekuat hati. Tetapi tidak berjaya. Pelukan itu terlalu kemas dan hampir-hampir menyekat pernafasannya. Dalam hati timbul perasaan malu kerana dia pasti adegan panas ini menjadi tontonan Marissa yang masih menunggunya di dalam kereta. Lama mereka berkeadaan begitu. Hendak menolak dia tidak berdaya. Lalu diturutkan saja kehendak Hakim itu. tubuhnya hanya dilepaskan apabila kedengaran suara seorang perempuan menjerit marah.

“Abang!!”

“Sofiana!!” Bisik Amirah perlahan.

“Apa yang abang buat ni hah??” Marah Sofiana lalu menarik tangan tubuh Hakim menjauhi Amirah. Wajahnya bengis seperti singa lapar.

“Sofi, ini Mirah! Isteri pertama abang, madu Sofi!” Beritahu Hakim dengan wajah gembira.

Sofiana menatap wajah Amirah sekilas sebelum menghadiahkan jelingan tajam buat wanita itu.

“Tak payah cakap pun Sofi dah tahu. Hei, perempuan! kau jangan ingat bila kau dah berubah macam ni kau akan dapat rampas Hakim daripada aku. Aku takkan benarkan! Hakim tetap milik aku dari dulu lagi!” Tempelak Sofiana. Bencinya pada wanita itu semakin meluap-luap. Apatah lagi apabila melihatkan perubahan Amirah sekarang. Dia terasa kedudukannya di sisi Hakim tergugat. Amirah ternyata jauh lebih cantik dari dirinya.

Selama ini dia telah berusaha keras untuk merampas Hakim daripada Amirah kembali. Semua itu didorong oleh rasa sakit hatinya apabila mengetahui Hakim telah mengahwini budak sekelasnya sendiri. Perempuan kampung yang selekeh. Dia berasa begitu tercabar. Walaupun pada hakikatnya mereka telah pun berpisah pada waktu itu atas kesilapan dirinya sendiri, sehingga menyebabkan orang tua Hakim menolaknya keras untuk dijadikan menantu. Tetapi di tidak peduli kerana Hakim begitu menyayanginya dan sanggup melupakan kesilapannya itu. Oleh itu, sedaya upaya dia cuba merosakkan rumahtangga mereka berdua. Dan rancangannya berjaya. Tetapi hanya untuk sementara. Hakim ternyata tidak dapat melupakan isteri pertamanya. Lelaki itu telah berusaha bersungguh-sungguh untuk menjejaki Amirah. Dia berasa kalah untuk sekali lagi. Setiap hari mereka bergaduh. Semuanya gara-gara Amirah. Harapannya untuk hidup lebih bahagia dengan ketiadaan Amirah hanya tinggal harapan.

Dan hari ini apa yang dibimbangkannya selama ini telah berlaku. Amirah telah kembali dengan penampilan baru. Penampilan yang nyata akan membuatkan Hakim tidka tidur lena. Dia kalah lagi untuk kesekian kalinya.

p/s: sorii kawan2 sbb da lama x update cite ni..ida balik dah seminggu tapi sibuk siapkan manuskrip antara benci dan rindu..sori sekali lagi. ni hadiah untuk penantian anda semua. enjoy dan jangan lupa tinggalkan komen..