Ahad, 29 Julai 2012

Kau Yang Kunanti 27


Audi A4 milik Hakim kini menyusuri masuk ke perkarangan banglo mewah milik Datuk Faruk sekeluarga. Amirah memandang ke sekeliling. Sudah lama dia tidak menjejakkan kaki ke sini. Keadaan rumah ini masih sama. Landskapnya juga sama. Mungkin ada sedikit perubahan. Tapi tetap cantik dan mendamaikan. Ciri-ciri kehijauan yang diidamkan oleh setiap penghuni kota.
“Sayang, kita dah sampai.” Suara Hakim memecah kebisuan yang menjadi peneman mereka sepanjang perjalanan. Sesekali ada juga suara Hakim bertanya. Tapi hanya dijawab sepatah dua oleh Amirah. Dia malas mahu bersuara. Lagipula, anaknya sedang tidur. Jika terganggu tidur si kecil mulalah hendak merengek. Mereka juga yang susah nanti.
“Nyenyaknya dia tidur.” Hakim mengusap pipi si kecil. Kuat betul tidur hari ini. Selepas bangun dari tidur petang tadi, Nasuha terus aktif semula. Tiada satu kerja yang dapat dilakukan melainkan menemani si kecil yang kelihatan riang bermain. Disebabkan penat, anaknya itu menyambung tidurnya lagi di dalam kereta.
“Tu, mama dah keluar. Tak sabar benar nak jumpa Mira dengan Suha,” beritahu Hakim selepas menangkap kelibat si ibu yang terkocoh-kocoh melangkah keluar. Sudah pastilah mahu mendapat menantu dan cucu kesayangan.
Amirah berpaling ke arah pintu. Benar! Datin Intan sedang menuju ke arah kereta suaminya. Dia pantas membuka daun pintu dan melangkah keluar sambil mengendong Nasuha. Senyuman diberikan buat wanita itu.
“Eh, dah sampai!”
Amirah menghulurkan tangan, mahu bersalaman. Datin Intan menyambut salamnya. Pipinya juga dikucup kiri dan kanan oleh wanita itu.
“Mama apa khabar?”
“Alhamdulillah, sihat! Mira macam mana? Mama tengok semakin berseri menantu mama ni. Semakin cantik,” puji Datin Intan buat menantunya. Tubuh Amirah ditelek dari atas ke bawah.
“Mira pun sihat, ma. Alhamdulillah.”
“Ni cucu nenek ni. Laa..cucu nenek tidur. Baru nenek nak main-main dengan dia.”
Datin Intan mengucup pipi cucunya bertalu-talu. Kucupan itu membuatkan tidur si kecil sedikit terganggu. Nasuha bergerak-gerak sebelum mencelikkan matanya. Anak itu terpisat-pisat sendirian. Namun, sebaik sahaja melihat wajah si nenek terus sahaja senyuman terbit di bibir comel itu.
“Alah, comelnya cucu nenek ni. Meh, sini sayang. Nenek rindu sangat dekat dia.”
Terus sahaja Nasuha di ambil dalam kendongan ibunya. Di agah sehingga si kecil ketawa mengekek. Gembira kerana dapat bertemu dengan neneknya.
“Mira jom masuk. Hakim bawa Mira masuk.”
Nasuha terus dibawa ke dalam rumah. Meninggalkan pasangan suami isteri itu diluar. Amirah menggelengkan kepala dengan gelagat ibu mentuanya itu. Gembira benar dapat bertemu dengan cucu kesayangannya itu.
“Tengok mama tu. Ditinggalnya kita bila dapat cucu dia. Tak patut betulkan, sayang?”
Amirah hanya tersenyum dengan komen Hakim itu.
“Jom masuk, sayang. Abang nak mandi ni. Badan dah rasa melekit dah.”
Si isteri hanya menganggukkan kepala.

Riuh rendah banglo milik Datuk Faruk malam itu. Suara si kecil yang ceria membuatkan rumah itu seperti sedang mengadakan pesta. Datuk dan nenek pula tidak jemu melayan keletah cucu yang tersangat aktif daripada biasa.
Amirah hanya tersenyum mendengar keriuhan itu. Jarang sekali anaknya segirang dan seceria ini. Pasti Nasuha akan tidur lena pada malam ini. Atau lebih tepat lagi kepenatan.
Ketika ini dia sedang berada di dapur bagi mencuci pinggan mangkuk yang telah digunakan untuk makan malam mereka. Datin Intan disuruh berehat kerana sudah pasti kepenatan bertukus-lumus di dapur seharian bagi menyediakan makanan kegemarannya. Dia sangat berterima kasih untuk itu. Pembantu rumah juga di benarkan berehat awal setelah mengemas meja makan.
Kenyang benar dia hari ini. Makanan malam yang disediakan Datin Intan enak sekali. Sudah lama dia tidak merasa air tangan ibu mentuanya. Hari ini dia benar-benar melepaskan rindu.
Setelah segalanya selesai, Amirah mendapatkan yang lain di ruang tamu. Hampir terlopong dia melihat si anak yang telah menunggang-langgangkan ruang tamu itu. Bersepah! Ibu mentuanya pula tidak melarang. Penatlah bibik mahu mengemas esok. Amirah menggelengkan kepala melihat telatah anaknya.
“Suha buat apa ni, sayang? Bersepah dah rumah atuk dan nenek,” kata Amirah selepas berjaya menangkap tubuh si kecil. Nasuha hanya meneruskan aktivitinya. Kata-kata si ibu langsung tidak dipedulikan. Malah, dia begitu seronok meletakkan kertas-kertas yang telah dikoyak ke dalam pangkuan Amirah. Isyarat kanak-kanak yang sudah dihafalnya. Pastilah anak itu mahu mengajaknya bermain bersama.
“Biarlah Mira. Dia tengah seronok tu. Lagipun semua majalah-majalah ni dah lama. Biarlah Suha buat main,” getus Datin Intan menyebelahi tindakan cucu kesayangan.
“Bersepah sangat ni mama. Suha ni jangan dibiarkan. Lasak sangat si kecik ni.”
“Tak apa Mira. Biarlah dia nak sepahkan macam mana pun. Mama tak kisah. Mama seronok tengok dia seronok. Cuba Mira tengok, ceria benar dia.” Datin Intan mengusap kepala si kecil.
Amirah tersenyum memandang si anak. Memang jelas nampak keriangan di wajah itu. Keceriaan yang tidak dapat dia berikan. Kasih sayang yang dia berikan adalah kasih sayang seorang ibu. Tidak akan sama dengan kasih sayang yang diberikan oleh mereka. Ternyata selama ini Nasuha begitu mendambakan suasana sebegini. Anak itu telah biasa dibajai dengan kasih sayang yang tidak terperi daripada datuk dan neneknya. Tapi dia telah memisahkan mereka beberapa bulan. Kejamkah dia?
“Mama, papa. Mira minta maaf sebab dah pisahkan Suha daripada mama dan papa. Mira berdosa.”
Datin Intan berpandangan dengan Datuk Faruk. Wajah menantu yang kelihatan suram dipandang silih berganti dengan wajah si suami.
“Papa dan mama faham Mira. Tak usahlah Mira risaukan pasal tu. Yang penting sekarang Mira dan Hakim dah kembali bersama,” ujar Datuk Faruk. Cuba memujuk menantu yang kelihatan menyesal dengan tindakannya. Sejujurnya dia dan isteri tidak pernah menaruh rasa marah terhadap perbuatan Amirah. Dia faham dengan apa yang dilalui wanita itu. Selama ini pun Amirah sangat baik dengan mereka. Mereka bersyukur dikurniakan menantu sebaik Amirah.
Tentang syarat yang dikenakan Amirah kepada Hakim juga mereka tidak kisah. Amirah hanya menjaga haknya. Hak yang telah lama dikianati Hakim dan Sofiana. Lebih baik begitu. Sekurang-kurangnya Hakim tidak berani lagi membuat hal. Dan dia rasa Hakim juga berat hati mahu berenggang dengan Amirah selepas ini. Perubahan menantunya akan mengikat kaki Hakim. Sofiana juga tidak mampu menandingi menantu sulongnya.
“Betul tu, Mira. Janganlah difikirkan sangat tentang hal itu. Apa yang lebih penting sekarang ni Mira tumpukan pada keluarga. Suha, anak yang sedang membesar. Kasih sayang kita amat penting untuk menjamin masa depannya.”
Amirah menganggukkan kepala. Si kecil yang dilayani datuknya menjadi santapan mata. Kata-kata Datin Intan dan Datuk Faruk ternyata benar. Mulai hari ini dia berharap dia telah melakukan sesuatu yang baik untuk Nasuha.
“Mama... mana mama letak kain pelikat Kim?”
Kesemua mereka yang berada di ruang tamu sedikit tersentak dengan suara kuat Hakim dari tingkat atas. Sudah tentulah lelaki itu dari biliknya. Datin Intan sudah menggelengkan kepala. Hakim kalau mencari sesuatu pasti tidak akan jumpa.
“Mira pergi tengok Hakim tu apa yang dia nak? Mira tahukan mana mama selalu letak pakaian dia?”
Dalam keterpaksaan Amirah hanya menganggukkan kepala. Hendak menolak apa pula kata mentuanya. Dia adalah isteri Hakim. Sewajarnya isterilah yang akan mengambil tahu makan dan pakai suami. Bukan ibu lagi.
Perlahan-lahan Mira menapak mendapatkan Hakim di biliknya. Bilik yang pernah mereka huni bersama suatu ketika dahulu. Daun pintu ditolak. Sebaik sahaja kakinya melangkah ke kamar itu hatinya mula berdebar kencang. Berada di dalam satu bilik dengan Hakim membuatkan dia gelisah sendiri. Sudah lama dia tidak merasai suasana sebegini. Pastilah segalanya terasa kekok.
Amirah mencari kelibat Hakim. Kelihatan lelaki itu sedang memunggah almarinya. Ini lagi satu tabiat Hakim yang benar-benar dia tidak digemari. Hanya tahu memunggah lalu dibiarkan begitu sahaja. Kalau mencari sesuatu pasti tidak akan jumpa. Lalu, untuk mengelakkan situasi ini biasanya dia yang akan menyediakan pakaian Hakim. Kalau dibiarkan pasti bersepah. Penatlah dia mahu mengemas semula.
“Mama, mana mama letak ni? Dah penat Kim cari?”
Suara Hakim mematikan lamunan Amirah. Dia pantas mendapatkan Hakim yang masih lagi berusaha mencari. Amirah pantas menarik laci di bawah dan mengeluarkan kain pelikat yang diminta.
Hakim yang menyedari kehadiran si isteri pantas menghentikan gerakan. Mati-mati dia menyangkakan Datin Intan yang memasuki biliknya tadi.
“Nah, kain pelikat yang abang nak!” Amirah menghulurkan kain pelikat itu kepada Hakim.
Hakim menyambutnya dengan senyuman ceria. “Thanks sayang. Abang ingatkan mama tadi.”
Amirah tidak membalas apa-apa. Sebaliknya, dia menyibukkan diri dengan mengemas semula almari pakaian yang telah disepahkan.
“Eh, sayang tak payahlah buat! Abang sepahkan. Jadi, biarlah abang yang kemaskan!”
“Tak apalah. Abang pergilah solat. Abang belum solat lagi, kan?”
Hakim hanya mengiyakan. Sememangnya dia belum lagi menunaikan solat magrib. Magrib pula sudah dihujung waktu. Dia sekeluarga biasanya akan makan malam sebelum magrib. Datin Intan sememangnya menitikberatkan soal pengambilan makan malam. Disebabkan itulah mamanya masih kelihatan cantik dan bergaya dalam usianya sekarang. Ilmu kecantikannya juga telah diturunkan kepada Amirah. Mungkin disebabkan itu isterinya kelihatan cantik dan mengiurkan walaupun sudah beranak satu.
Dia memandang Amirah yang leka mengemas pakaian. Dalam hati terselit rasa bahagia. Tidak lupa mengucap syukur kerana dia masih berpeluang merasai suasana seperti ini. Suasana di mana Amirah menyediakan makan dan pakainya seperti suatu ketika dahulu.
“Sayang tak solat sama? Kita berjemaah?”
“Mira dah solat tadi.”
Hakim mengerutkan dahi. “Sayang solat di mana? Dari tadi sayang tak masuk pun bilik ni?”
Puas Hakim menunggu. Selepas makan malam tadi dia terus ke atas untuk mengerjakan solat. Dia amat berharap Amirah akan menurutinya kerana dia teringin benar mahu bersolat jemaah dengan isterinya. Baru sekarang isterinya muncul. Itupun setelah dia meminta mamanya mencarikan kain pelikat untuknya. Tetapi, dia tetap gembira. Sekurang-kurangnya Amirah muncul juga untuk menbantunya mencari kain pelikat yang diminta.
“Dalam bilik solat. Abang pergilah solat. Waktu dah nak habis.”
Hakim menganggukkan kepala. Namun sesaat kemudian dia kembali berpaling. “Sayang tak nak mandi ke? Sehari tak mandi ni tak apa ke?”
Amirah berhenti mengemas. Seharian dia tidak mandi tentulah rimas. Dia hanya memandikan Nasuha petang tadi. Nasib baik dia sentiasa menyediakan keperluan si anak jika hendak ke mana-mana. Jika tidak, terpaksalah Nasuha memakai pakaian yang sama. Sedangkan dia pula masih tidak membersihkan diri setelah seharian menempuh hari yang panjang. Bagaimana hendak mandi sekiranya dia hanya datang sehelai sepinggang. Tidak mengapalah, sekejap lagi Hakim akan menghantarnya pulang. Di rumah sewanya sajalah dia mandi.
“Tak apalah. Mira mandi dekat rumah sajalah nanti.”
Hakim tersenyum mendengar kata-kata si isteri. Dari riak wajah Amirah dia dapat membaca apa yang tersirat di hati. Perlahan-lahan dia menapak ke almari semula. Pintu ke tiga almari ditolak. Bersusun pakaian wanita di dalamnya. Dia memilih, sebelum menyerahkan sepasang pijamas buat Amirah.
Amirah mengerutkan dahi. Dia tidak menyambut huluran suaminya. Dalam hatinya tertanya-tanya milik siapakah pakaian-pakaian wanita yang bersusun ini? Sedangkan setahunya Hakim tidak tinggal di sini? Mungkin sesekali lelaki itu akan bermalam di rumah orang tuanya. Kerana itulah pakaian Hakim masih berada di sini. Tapi pakaian wanita ini milik siapa? Hampir penuh almari ketiga itu dengan pakaian wanita. Adakah milik Sofiana?
“Ambillah. Lepas tu sayang pergi mandi. Mesti rimas seharian tak mandi, kan?”
Hakim mengerutkan dahi apabila Amirah masih lagi tidak menyambut hulurannya. Isterinya kelihatan seperti berfikir sesuatu. Sesekali mata si isteri singgah pada isi almari yang masih terbuka pintunya.
“Baju-baju perempuan ni semua siapa punya? Sofiana?” Akhirnya Amirah bertanya juga.
Sudah di agak itulah yang bermain-main dalam fikiran Amirah. “Semua ni milik Mira. Ambillah.” Disangkutnya pijamas itu ke bahu Amirah. Hendak menyentuh si isteri bimbang pula terbatal wuduknya. “Pakaian dalam pun ada dalam almari tu. Sayang pilih sajalah yang mana sayang nak. Abang main beli saja. Tapi abang rasa dah betul dah saiz sayang.”
Hakim berkata selamba. Bibirnya sempat menguntum senyuman sebaik sahaja menangkap pipi si isteri yang kemerahan. Dia melihat jam di dinding. Waktu maghrib semakin meninggalkan mereka. Cepat-cepat dia menukar seluar yang dipakai dengan kain pelikat yang disediakan Amirah sebentar tadi.
Amirah pantas membalikkan tubuhnya. Dia malu melihat Hakim menukar pakaiannya. Sudah lama dia tidak berdepan situasi itu. Dalam hati menggerutu geram. Selamba sahaja suaminya itu menukar pakaian di hadapannya.
“Oh ya sayang, sebelum abang terlupa. Mama dan papa nak sayang tidur sini malam ni. Dia orang tak puas lagi nak bermain dengan cucu. Harap sayang tak ada bantahan, ya? Kasihan mama dan papa.”
Sempat lagi Hakim memberitahu sebelum suaminya itu mengangkat takbir. Patutlah Hakim memberikannya pijamas ini bukannya pakaian yang sesuai untuk dia pulang ke rumah. Sekali lagi hatinya mengdongkol geram. Kenapa Hakim tidak memberitahunya sedari awal. Pasti ini semua rancangan licik Hakim. Lelaki itu pasti tahu jika dia menyampaikan niat mama dan papa awal pasti Amirah akan berkeras menolak. Sekarang hendak menolak pun sudah terlambat. Bila sudah berhadapan dengan wajah kedua mentuanya itu pasti dia tidak akan sampai hati hendak menolak.
Dengan hati yang membengkak Amirah menapak jua ke arah almari dan menyambung tugasan yang tergendala sebentar tadi. Setelah siap semuanya dia beralih pula pada almari yang menempatkan pakaian wanita itu. Dia tercari-cari pakaian dalam yang dimaksudkan Hakim. Banyak sekali pakaian wanita di situ. Pelbagai fesyen dan pelbagai gaya. Semuanya kelihatan masih baru dan tidak terusik sedikit pun. Bau pakaian-pakaian itu pun masih berbau ‘kedai’. Benarkah Hakim membelikan untuknya?
Amirah menarik pula laci di bawah almari. Hampir terlopong dia melihatnya. Pelbagai bentuk dan warna. Semuanya pula masih bertanda harga. Menandakan ia masih tidak dipakai sesiapa. Dia meneliti satu persatu. Emm...memang saiznya. Pandai juga suaminya memilih. Ah, lantaklah! Alang-alang Hakim sudah menyediakan semua, baik dia pakai sahaja tanpa banyak soal. Sedikit rasa terharu menyapa hati dengan keperihatinan suaminya.

Hakim yang baru selesai mengaminkan doa berpaling saat terdengar pintu bilik air dibuka. Dia tersenyum melihat tubuh Amirah yang kelihatan segar selepas membersihkan diri. Kepalanya juga sudah tidak ditutupi tudung seperti tadi.  Dia begitu terpesona dengan rambut panjang Amirah yang dilepas bebas. Tidak diikat seperti selalu. Mungkin memberi ruang rambutnya bernafas setelah seharian berbungkus.
“Cantik rambut sayang. Pandai sayang jaga.”
Tiada balasan dari pihak Amirah. Isterinya itu hanya diam sambil menyisir rambut panjangnya. Dari cermin itu dia dapat melihat begitu tajam sekali pandangan Hakim buat dirinya. Sungguh dia malu diperhatikan seperti itu. Tetapi dia bersikap selamba. Tidak mahu si suami sedar akan kegugupannya. Jika lelaki itu tahu pasti dirinya akan menjadi bahan usikan nanti.
“Sayang marahkan abang ke?”
Hampir terlepas sikat di tangan kerana terkejut dengan kehadiran Hakim yang tiba-tiba. Entah bila lelaki itu berada di belakangnya dia pun tidak sedar. Terlalu asyik menyisir rambut panjangnya.
Sorry, abang terkejutkan sayang.” Hakim pantas memohon maaf. Tidak menyangka kehadirannya telah memeranjatkan Amirah.
“Tak apa. Mira tak perasaan abang datang.” Amirah kembali memandang cermin. Dari cermin itu dia dapat melihat wajah bersih suami yang tersenyum memandangnya.
“Sayang tak jawab soalan abang lagi.”
“Soalan mana?” Amirah bertanya semula.
Hakim tersenyum lebar. Ternyata fikiran Amirah tidak di situ. Entah kemanalah fikiran isterinya saat ini.
“Abang tanya sayang marahkan abang ke?”
Amirah meletakkan sikat di atas meja solek semula. Dia memandang Hakim melalui cermin.
“Mira nak marah untuk apa?”
“Sebab abang tak beritahu awal-awal yang mama nak sayang bermalam kat sini.”
Amirah mengetap bibir. ‘Tau pun,’ desisnya di dalam hati.
“Tak adalah.” Gumam Amirah.
Perlahan-lahan Hakim membalikkan tubuh si isteri. Dari tutur kata dia sudah mengetahui yang Amirah sedang memendam rasa.
Sentuhan Hakim membuatkan Amirah seperti terkena kejutan elektrik. Dia mengeraskan badan.
“Abang tahu sayang marah. Abang minta maaf, ya? Mama berharap sangat. Kalau abang beritahu awal pada sayang pasti sayang tak mahu ikut abang.”
Amirah menolak perlahan kedua belah tangan suami yang bergayut di bahunya. Tidak selesa disentuh sebegitu. Lagipun, jarak mereka yang hampir menyukarkannya untuk bernafas.
“Tak apalah, nak buat macam mama. Mira nak turun bawah. Nak tengok Suha.”
Alasan yang diberikan untuk mengelakkan diri saat ini. Dia rimas berlama-lama di situ. Terasa sukar dirinya bernafas kerana setiap masa di awasi sang suami. Hakim yang dikenalinya sangat romantik. Dulu, lelaki itu sentiasa menempel di sebelahnya. Di mana ada dia di situlah Hakim. Jadi, sebelum semua itu berlaku sekarang lebih baik dia melarikan diri. Dia belum bersedia!
Hakim hanya mengangguk kepala. Dia menghantar pemergian si isteri dengan pandangan mata sehinggalah tubuh genit itu hilang dibalik pintu.
Dia mengeluh berat. Amirah masih dingin dengannya. Tapi dia bersyukur sikap Amirah tidak seperti sebelumnya. Sudah boleh membalas kata-katanya dalam nada yang lembut. Tidak lagi marah-marah. Dia perlu bijak menangani si isteri. Amirah dan Nasuha akan dilimpahi dengan kasih sayang yang tidak terhingga. Kalau dulu Amirah memujinya sebagai seorang suami yang romantik. Kali ini dia akan menjadi lebih lagi. Sehingga Amirah lemas dalam kasih sayangnya. Hanya itu yang mampu melembutkan hati wanita itu. Jika dia berkeras juga pasti semua akan menjadi kucar-kacir. Dia telah berjanji untuk membahagiakan Amirah. Berikanlah kesempatan itu Ya Allah.


p/s: sori baru upload n3..internet Ida kena terminate baru-baru ni. Baru byr semalam. Sori la ea kawan2.

6 ulasan:

  1. wah... hakim still tidak berterus terang dgn amirah dgn segala tindak tanduknya... still menjalankan strateginya tanpa mendpt persetujuan amirah terlebih dahulu dan membuatkan amirah terperangkap dlm situasi yg tidak dikehendakinya... that means hakim memaksa amirah menuruti kehendaknya... dan amirah pulak masih di takuk lama, membiarkan si suami merencanakan situasi... hmmm....

    BalasPadam
  2. sekarang bolehlah, nak manjakan suha tu lebih2, nanti anak sofia keluar, mesti bnyak prob punya. entah2 mak bapa mentua mira pun akan sayang dgn cucu baru dorg tu...

    BalasPadam
  3. huhu..kasi la chance dulu kat hakim, mira dan suha nak merasa bahgia ..dh penat la tgk diaorg asyik main tarik tali...;)cik writer kasi chance tauu..tau...bab sofi tu kita smua tunggu dan lihat...

    BalasPadam
  4. Bila anak Hakim dan Sofi lahir adakah hati Hakim akan turu berubah????.... kita tengok.... tapi yang pasti hati mama dan papa Hakim x akan berubah pada Sofi yang telah merosakan rumahtangga menantu kesayangan mereka.... Insyallah....

    BalasPadam
  5. kita tggu apa jadi lepas ni....tak sabar nak tggu n3....

    BalasPadam
  6. wah!!!sudah berbaik sikittttttt. tp kan apa jadi dgn wife dia satu lagi ya?

    BalasPadam

Hi kawan2..Selepas baca jangan lupa tinggalkan komen tau..wajib!!! hehee..sebabnya Ida suka baca komen kawan2..Nak tau jugak best ke tidak setiap post Ida ni..komen tau!!