Ahad, 15 Januari 2017

Fatin Nabila 2

“Assalamualaikum....
Tangan Maimunah yang lincah mencuci pinggan terhenti apabila suara seorang lelaki memberi salam menyapa telinganya.
“Assalamualaikum..” Laung suara itu lagi. Kali ini lebih kuat. Maimunah terus saja mencuci tangan dilap pada tuala kecil yang tersangkut di tingkap. “Siapa pula yang datang petang-petang ni?” Bebel Maimunah sendirian.
“Kassim....oo Kassim...Assalamualaikum.”
“Waalaikumussalam.. Sekejap, ya!” Maimunah melajukan langkah ke ruangan depan. Sebaik sahaja sampai di muka pintu, satu wajah yang kurang digemarinya menyapa mata.
Ooo....Hj Amran. Pak Kassim tak ada di rumah. Dia ke pekan beli barang. Mungkin lambat sikit balik tu. Ada apa, ya?” Tanya Maimunah.
“Tak ada la Munah. Aku ni saja nak comfirm dengan Kasim jadi ke nak satukan aku dengan anak saudara kau si Fatin tu. Sebab kalau boleh aku nak cepatkanlah majlis tu. Aku ni bukannya apa. Cuma orang cakap benda yang baik buat apa nak dilambatkan. Lagi cepat lagi bagus, ya tak? Hj Amran terus menyatakan tujuan kedatangannya ke situ.
Maimunah sedikit mencebik dengan kata-kata Hj Amran itu. Meluat pula melihat gelagat orang tua yang tidak sedar diri. Dalam usia yang layak dipanggil ’atuk’ masih punya hati hendak berkahwin dengan anak dara. Nampak saja macam alim, haji lagi! Tapi pantang nampak perempuan muda. Kalau lelaki itu masih muda remaja lainlah. Ini sudah bercucu! Tidakkah orang tua itu berasa malu dengan anak-anak yang sudah berkeluarga? 
Bukan saja Fatin, aku pun nak muntah tengok muka orang tua ni.’ Desis hati Maimunah.
 “Munah!” Bentak Hj Amrah tiba-tiba. Geram pula kerana dari tadi dia bertanya tetapi tiada jawapan dari wanita itu.
Maimunah tersentak.
“Ish, kau ni mengalamun pulak. Aku tanya ni mana Fatin. Tak nampak pun?”
Tersengih Maimunah kerana tertangkap sedang mengelamun. Nasib baik lelaki itu tidak punya kuasa psikik untuk mendengar kata-kata orang lain. Kalau tidak, dialah orang pertama yang akan dikejar dengan parang Hj Amran keliling kampung.
“Err.. Fatin tidur. Biasalah petang-petang macam ni.” Jawab Maimunah selamba. Entah betul, entahkan tidak anak saudaranya sedang tidur. Dia main hentam saja! Rimas dengan pertanyaan orang itu berkenaan dengan Fatin.
“Tidur petang-petang macam ni? Elok sangatlah biar anak dara tidur waktu macam ni. Hilang seri muka tu nanti. Kalau macam ni elok sangatlah kau kahwinkan dia dengan aku cepat. Ada juga kerja hendak dibuatnya dari tidur 24 jam.” Bebel Hj Amran sambil tersengih. Menzahirkan maksud yang tersirat.
Turun naik nafas Maimunah kerana menahan mulutnya dari mengeluarkan kata-kata kesat kepada Hj Amran.
Okaylah, aku balik dulu. Sampaikan salam aku pada Kassim.”
Seperti tahu apa yang sedang difikirkan oleh wanita di hadapannya, Hj Amran terus meminta diri. Dia berlalu dengan menaiki Velfire kebanggaannya.
Sepeninggalan lelaki itu, Maimunah terus sahaja masuk ke dalam rumah untuk mencari Fatin. Sepanjang hari dia tidak nampak anak dara itu. Sewaktu dia balik pun rumahnya kelihatan berkunci seperti masa dia tinggalkan. Pagi tadi dia keluar untuk ke kedai di hujung simpang bagi membeli barang keperluan harian. Dia tidak mengkhabarkan kepada Fatin yang dia akan keluar kerana tidak mahu mengganggu anak itu. Sudah dua hari emosi Fatin terganggu dengan keputusan mengejut suaminya. Bermakna sudah dua hari gadis itu hanya terperuk di dalam bilik. Namun, apabila tiba waktu untuk memasak Fatin akan keluar untuk menyediakan makan tengahari. Selepas makan, gadis itu akan kembali menghilang ke biliknya. Hai, kasihan Fatin. Keluh Maimunah.
“Fatin...oo...Fatin..” Panggil Maimunah sambil mengetuk pintu anak gadis itu.
Tiada sahutan. Maimunah mencuba lagi. Kali ini bersama ketukan yang lebih kuat. Dia sedikit tersentak apabila pintu itu terbuka dengan sendirinya.
‘Aik, tak berkunci?’ Bisiknya sendirian. Maimunah pelik.
“Fatin...!” Maimunah memnggil lagi. Perlahan-lahan dia melangkah masuk ke dalam bilik Fatin.
“Fat...” Maimunah terdiam apabila mendapati bilik anak gadis itu kosong. Fatin tidak kelihatan di mana-mana. Dia mula tidak sedap hati. Pantas Maimunah membuka almari pakaian. Juga kosong?! Dia mula panik.
“Ya Allah, kemana pula Fatin ni? Takkan dah lari?”
Maimunah kembali ke ruang tamu untuk mendapatkan telefon bimbitnya. Nombor telefon Fatin di dailnya.
This is the voice mail box for the number....” Maimunah terus mematikan talian.
Nampaknya Fatin tidak mengaktifkan telefon bimbitnya. Satu perkara yang jarang Fatin lakukan.
Tanpa berfikir panjang Maimunah mengatur langkah ke rumah peninggalan keluarga Fatin. Mungkin Fatin berada di sana. Mana tahu kalau gadis itu merajuk dengan arahan melampau suaminya. Tapi takkanlah sampai lari dari rumah?
Selalu juga Fatin menjenguk rumah itu. Dia akan menyapu halaman dan mengemas apa yang perlu. Walaupun dia tidak tinggal di situ, tapi dia tidak mahu rumah itu terus usang selepas peninggalan kedua orang tuanya.
Hati Maimunah semakin gusar apabila dari jauh kelihatan pintu dan tingkap rumah itu tertutup rapat. Sudah menunjukkan yang Fatin tidak berada di situ. Namun, Maimunah tidak mahu cepat membuat konklusi. Dia memberi salam dan memanggil nama Fatin beberapa kali. Dia amat berharap panggilannya bersahut. Akan tetapi, tiada sebarang sahutan yang diterimanya. Maimuunah tidak putus asa. Dia terus mencari Fatin di sekeliling rumah. Manalah tahu Fatin berada di belakang dan tidak mendengar panggilannya. Namun, usahanya ternyata sia-sia. Fatin tidak berada di situ. Jadi betullah Fatin sudah lari? Tapi ke mana? Gadis itu bukannya ada saudara lain selain mereka. Saudara jauh ramailah.
“Ya Allah Fatin. Janganlah buat mak long risau. Ke mana kamu ni?”
Maimunah mencuba lagi mendail nombor telefon Fatin. Dia mengeluh hampa. Masih lagi masuk ke peti suara.
Penat berdiri Maimunah melabuhkan punggung di tangga. Cuba berfikir dengan tenang.
“Munah, apsal yang kau duduk dekat tangga rumah si Fatin ni? Nampak macam risau, je?” Tegur Hasnah. Jiran yang tinggal bersebelahan dengan rumah keluarga Fatin.
“Nah, kau ada nampak Fatin balik sini, tak?” Terus Maimunah bertanya.
“Tak ada pulak. Minggu lepas adalah aku nampak dia.” Balas Hasnah.
Jawapan Hasnah semakin menguatkan telahannya. Namun, dia cuba berfikiran positif. Mungkin Fatin ke rumah kawannya? Hah, kawan?! Sarah! Ya, Sarah. Dia mesti tahu sesuatu.
“Kenapa Munah? Resah, je. Fatin tak ada dekat rumah kau ke?” Hasnah bertanya lagi apabila melihat keresahan Maimunah.
“Err.. Tak ada apa-apalah. Biasanya dia akan datang sini mengemas. Aku nak minta dia belikan barang dekat kedai depan tu. Nak masak tak cukup bahan pula. ” Bohong Maimunah. Takkanlah dia hendak mengkhabarkan yang mungkin Fatin sudah lari dari rumah? Apa pula kata wanita itu nanti? Dan suaminya? Mati dia akan dikerjakan lelaki itu kalau semua orang kampung tahu akan hal ini.
“Kalau tak ada dekat sini mungkin ke rumah Sarahlah, tu agaknya.” Kata Maimunah lagi. Sekadar meredakan telahan Hasnah.
“Mungkinlah tu. Mereka kan rapat?” Balas Hasnah pula. Dia langsung tidak mengesyaki apa-apa.
“Aku ke rumah Sarah dululah, Nah.”
“Yelah.”
Dengan langkah yang agak laju, Maimunah memutuskan untuk ke rumah Sarah pada waktu itu juga. Dia sudah tidak betah untuk berlama-lama. Jika suaminya bertanya apa yang mahu dijawab pada orang tua itu? Begini saja pun entah apa yang bakal diterimanya. Pak Kassim punya baran bukan boleh diduga!

“Apa?! Kau tak jumpa Fatin?” Sedikit terjerit Sarah apabila mengetahui akan hal itu.
“Ye.. dah merata aku cari. Sekeliling pudu raya tu aku pusing. Tapi batang hidung dia langsung aku tak jumpa.” Beritahu Acik.
“Aduh, macam mana ni? Fatin tu bukannya familiar dengan KL, tu. Yang beg kau kenapalah waktu tu jugak kena ragut?” Keluh Sarah. Risau benar dia dengan keadaan Fatin, teman baiknya. Sangkanya semuanya berjalan lancar seperti yang dirancang kerana dari pagi dia tidak mendapat sebarang panggilan. Pada perkiraannya mungkin menjelang subuh Fatin selamat tiba di pudu raya.
“Itulah. Aku manalah sangka akan jadi macam ni. Sarah kau tolong telefon dia. Tanya dia dekat mana. Aku tak ingat nombor telefon dia. Lepas tu kau update aku.” Pinta Acik. Seperti Sarah, dia juga risau akan Fatin.
Dia sudah berjanji akan menjemput Fatin di terminal bas pudu raya. Namun, tidak semena-mena beg tangannya diragut ketika dia berasak-asak dengan orang ramai yang baru sahaja tiba di terminal itu. Dek kerana itu, dia terus buntu untuk mencari Fatin kerana dia langsung tidak menghafal nombor telefon temannya itu. Puas dia berpusing ke sana ke sini hampir dua jam, namun bayang Fatin langsung tidak kelihatan di mana-mana. Disebabkan kepenatan, Acik terus memutuskan untuk beredar dari terminal bas itu. Lagipun, dia perlu membuat laporan polis atas kehilangan beg tangannya itu. Sebaik selesai semuanya barulah dia pulang dan menghubungi Sarah melalui akaun ‘Facebook’nya.
“Kenapa baru sekarang kau nak beritahu aku? Kenapa tak dari pagi lagi?” Bebel Sarah.
“Kan aku dah cakap, aku busy buat laporan polis. Macam mana aku nak telefon kau?”
“Yelah, yelah. Aku telefon dia sekarang. Harap-harap tak ada apa-apalah yang jadi dengannya.” Doa Sarah.
Okay, lepas tu update aku. Ingat!”
Okay.” Sarah terus mematikan talian. Lalu, nombor telefon Fatin didail. Tidak berapa lama selepas itu, Sarah mematikan talian. Dia mendail lagi. Dua, tiga kali Sarah melakukan perkara yang sama. Namun, tiada sahutan diterima dari talian sebelah sana.
“Ya Allah, mana kau ni Fatin? Kenapa kau off  pula telefon, tu?” Bebel Sarah sambil masih cuba menghubungi temannya itu. Tapi ternyata talian gagal ditembusi.
Setelah lima kali mencuba, Sarah menghubungi Acik semula. Baru dua deringan terus talian bersambung. Nampak benar yang Acik sedang menunggu panggilan darinya.
“Hah, Sarah! Macam mana? Dapat call Fatin?” Betubi-tubi soalan dari Acik. Tidak sabar mahu mengetahui keadaan temannya itu.
“Aku tak dapat call dia. Handphone dia off.”
“Hah!!” Acik gagal menahan nada suaranya. Inilah yang dia paling takutkan. “Maybe dia tak ada signal kot. Kau cubalah lagi.” Ujar Acik sekadar mahu menyedapkan hati.
“Acik, aku dah cuba banyak kalilah. Tak dapat!”
“Aduh, macam mana ni? Aku risaulah Sarah.” Keluh Acik. Dalam masa yang sama dia menyesali kelalaiannya. Kalaulah dia membawa beg tangan yang agak lusuh pasti semua ini tidak akan berlaku. Beg tanganya yang mahal itu mungkin telah menarik perhatian peragut.
Tapi sebagai manusia, dia manahlah mampu mengagak apa yang akan terjadi. Dia bukan punya kuasa luar biasa yang dapat menghidu malang yang bakal menimpa.
“Kau ingat aku tak risau? Sudahlah aku yang bagi idea supaya dia lari!” Tempelak Sarah.
“Habis tu kita nak buat macam mana ni?” Soal Acik. Jujur dia tidak tahu bagaimana mahu menangani masalah ini.
“Macam ni. Apa kata kau pergi lagi sekali ke terminal bas tu. Kau cari dia lagi sekali. Manalah tahu kalau jumpa. Fatin tu bukan tahu selok belok KL pun. Mungkin dia masih ada dekat sana tunggu kau.” Cadang Sarah. Itu sajalah idea yang dia ada sekarang. Dia tidak boleh berfikir dengan tenang ketika ini. Hatinya penuh dengan rasa risau akan keadaan Fatin.
Tapi dalam masa yang sama dia juga kasihankan Acik. Maklumlah, baru kena ragut! Banyak barang berharga di dalamnya. Nasib baik Acik dari kalangan keluarga yang berada. Setakat telefon bimbit, duit dan barang yang lain. Dia pasti semua itu dapat disediakan semula oleh ibu bapa Acik. Buktinya lihatlah sendiri. Acik lebih risaukan teman mereka berbanding barang-barangnya yang hilang.
“Kalau tak jumpa?” Soal Acik.
“Kalau tak jumpa?” Sarah mengulang kembali kata-kata Acik. Soalan itu lebih ditujukan buat diri sendiri sambil memikirkan apa yang bakal mereka lakukan untuk menjejaki Fatin. “Ahh, kau pergilah cari dulu! Nanti aku fikirkan nak buat apa.”
Yelah...yelah!” Balas Acik.
“Eh, Acik.” Tahan Sarah. “Kes kau macam mana? Dapat tangkap peragut tu?” Tanya Sarah. Sedari tadi hanya perihal Fatin yang dibangkitkan sehingga dia lupa si Acik juga sedang dalam masalah.
“Ingatkan kau tak nak tanya pasal aku.” Ujar Acik dengan nada lirih yang dibuat-buat.
“Sorrylah, aku risaukan Fatin sangat. Macam mana dia dekat sana seorang diri. Tempat yang dia tak biasa pula, tu.” Luah Sarah dengan nada kesal.
“Yelah, aku faham. Tak apalah kes aku tu, kau tak payah risaukan. Duit dalam wallet tak banyak pun. Aku bukannya suka bawa cash banyak-banyak. Handphone pun aku boleh guna yang lain. Aku kan ada dua handphone? Kad kredit, kad ATM semua dah block. Esok aku nak pergi bank buat yang baru.”
“Yeke? Baguslah. Untung jadi anak orang kaya macam kau, kan? Kena ragut pun relaks saja.”
“Alhamdulillah. Bukan aku yang kaya. Mak bapak aku yang kaya. Aku menumpang senang saja.” Ujar Acik berseloroh. Itulah sifatnya yang disenangi semua orang. Walaupun anak orang berada sikap merendah diri sememangnya sudah sebati dengan diri Acik. Sikap itulah menjadi kunci bersahabatan mereka semasa menuntut di sekolah agama dulu.
“Balik-balik itu sajalah jawapan, kau. Aku dah boleh hafallah Acik.” Usik Sarah. Kedengaran suara ketawa Acik di sebelah sana.
“Okaylah. Aku nak keluar cari Fatin ni.”
“Okay. Apa-apa tolong update aku. Kau tu hati hati. Jangan tunjuk sangat orang kaya.” Nasihat Sarah.
“Alright.” Balas Acik disulami ketawa kecil.

Sarah melabuhkan punggung di pangkin di halaman rumahnya. Dia mengeluh berat. Teringat sewaktu Fatin datang berjumpanya dengan wajah yang kusut 2 hari lepas. Gadis itu menangis teresak-esak di bahunya.
“Sarah tolong aku. Aku tak nak kahwin dengan Hj Amran tu.”
“Aku faham. Kau sabarlah.” Pujuk Sarah. Dia terkejut dengan berita yang dibawa temannya itu. Tiba-tiba wajah tua Hj Amran terbayang di mata. Meremang bulu romanya sejerus selepas itu. Bagai tidak percaya orang tua itu adalah bakal suami Fatin.
“Macam mana aku nak sabar, Sarah? Ada ke patut dengan Hj Amran tu, pak long nak kahwinkan aku. Tak ada orang lain ke? Hj Amran tu sudah ada 3 orang isteri. Lagipun dia dah layak jadi datuk aku!” Omel Fatin dalam esakannya.
Sarah menahan ketawanya. Fatin..Fatin. Omelan Fatin mengundang lucu di hatinya. Dalam sedih begitu pun masih lagi mampu merapu. Tapi hendak melepaskan ketawa memang dia tidak sampai hati. Fatin kelihatan terlalu sedih.  
“Ya, aku faham.”
“Kau tolonglah aku, Sarah. Apa yang aku nak buat ni? Aku tak nak kahwin dengan orang tua tu.” Bahu Sarah digoncangnya kuat. Berharap sangat Sarah dapat membantunya mengatasi masalah ini.
“Okay..okay. Aku tolong kau. Jangannya gegar aku macam ni. Mahu bergegar kepala otak aku. Macam mana nak bagi idea dekat kau nanti.”
Fatin melepaskan kedua belah bahu Sarah. Air matanya dikesat. Dia cuba menenangkan sebak di dadanya.
“Kau dah cuba berbincang dengan pak long kau ke? Cakaplah kau tak nak kahwin dengan orang tua gatal tu.”
Ya Allah Sarah. Kalau aku boleh pujuk pak long aku tak adalah aku melalak macam ni. Aku dah cuba tapi pak long tak nak dengar apa-apa. Dia tetap nak aku kahwin dengan Hj Amran tu. Katanya dia dah banyak terhutang budi dengan orang tua tu. Dia bukan minta persetujuan dari aku. Tapi paksa aku untuk kahwin.”
Bulat mata Sarah mendengarnya. “Hish, ni kes berat ni Kenapa jadi sampai macam ni sekali? Yelah, kalau terhutang budi sekali pun takkanlah sampai nak jual anak buah? Dengan lelaki bujang tak apalah juga. Ini dengan orang tua tu? Eeee...seram!” Ujar Sarah diiringi dengan liuk-lentok pada bahunya. Menunjukkan betapa gelinya dia pada saat itu.
“Sarah, apa yang patut aku buat sekarang. Aku takut. Aku tak tahu nak buat apa.”
“Hmmm..” Sarah berjeda. Bebola matanya liar ke sana sini tanda dia sedang memikirkan sesuatu. Jari jemarinya pula menari-nari di atas permukaan meja.
“Kau lari rumah!” Terpacul perkataan itu dari mulut Sarah setelah lama mendiamkan diri.
“Huh?!!” Terperanjat Fatin mendengarnya. “Lari rumah? Kau dah gila?”
“Habis tu kau kata pak long kau tetap nak kahwinkan kau dengan Hj Amran, kan? Itu sajalah jalannya. Aku tak boleh nak fikirkan apa-apa lagi.”
“Memanglah pak long aku tetap nak aku kahwin dengan orang tua tu. Tapi takkanlah sampai aku kena lari dari rumah? Kalau pak long dan mak long marah aku macam mana? Aku tak ada saudara lain dah, Sarah. Cuma mereka sajalah keluarga aku sekarang.”
“Kau ada idea yang lebih baik?”
Pertanyaan Sarah membuatkan Fatin terdiam. Sejujurnya dia tidak punya cara untuk lari dari masalah ini. Perlahan-lahan dia menggelengkan kepala.
“Macam ni. Aku cadangkan kau lari ke Kuala Lumpur.”
“Kuala Lumpur? Tempat tu besar Sarah. Aku tak biasa dengan tempat tu. Macam mana aku nak teruskan hidup? Aku dengar macam-macam benda buruk ada dekat sana. Takutlah!” Pangkah Fatin. Mendengar nama tempat itu sahaja sudah menggerunkannya. Inikan pula hendak ke sana.
“Ish, kau dengarlah dulu cakap aku ni.” Tekan Sarah. Geram pula kerana Fatin asyik memotong cakapnya.
Fatin terus menutup mulutnya.
“Kau ingat Acik?”
Fatin menganggukkan kepala. Mana mungkin dia lupa pada teman sekepalanya itu.
“Diakan tinggal dekat sana? Kita minta tolong dialah. Kau pergi tinggal dengan dia. Kerja dekat sana. Bila keadaan dah reda barulah kau balik sini.”
Ya, Acik! Hampir lupa yang teman sewaktu zaman belajarnya itu tinggal di Kuala Lumpur. Walaupun sudah beberapa tahun berlalu, mereka masih lagi berhubungan rapat.
“Yelah Acik! Tapii...nak ke dia tolong aku?”
“Haruslah nak. Kalau dia tak nak memang aku cepuk kepala dia. Lagipun dia kan pernah ajak kita ke sana. Kerja dengan dia? Kau dah lupa?”
‘ Betul juga.’ Bisik Fatin. Teringat sewaktu Acik beriya mengajak mereka ke sana bekerja dengannya. Tetapi sebagai gadis kampung seperti mereka memang sukar untuk mereka mengorak langkah. Dia dan Sarah seakan tiada keyakinan untuk kesana. Dia tidak sanggup apabila membayangkan kehidupan bandar yang jauh berbeza dengan kehidupan mereka di kampung ini.
“Kau setuju?” Tanya Sarah. Sedari tadi dia menanti Fatin memberikannya jawapan.
“Aku ada pilihan lainkah?”
Sarah pantas menggelengkan kepala. Terus dia mencapai telefon bimbit dan menghubungi Acik. Seperti yang dijangkakan, Acik sangat teruja mendengar pengkabaran itu. Sementelah dia sudah lama mengharapkan teman-temannya ke sana.

Begitulah rancangan mereka. Sepatutnya rancangan itu berjalan dengan lancar. Sesungguhnya mereka hanya merancang. Tuhan yang menentukan. Perancangan Allah itu lebih hebat. Dia bukan mahu mempersoalkan semua itu. Tapi dia sangat risaukan temannya. Selagi dia tidak tahu akan keadaan Fatin selagi itulah dia tidak akan tenang.
Dia berharap agar Acik dapat menemui Fatin. Jika tidak bagaimana dia mahu mengkhabarkan pada keluarga Fatin yang gadis itu hilang? Dan tidakkah mereka akan menyalahkannya kerana menghasut Fatin agar melarikan diri?
“Aduh, Fatin. Harap-harap kau tak ke mana-mana. Kau masih ada dekat terminal bas tu, kan? Kalau tak macam mana kami nak buat? Takkan nak report polis?” Sarah bermonolog sendirian.
“Nak report polis untuk apa?”
“Oi mak engkau!” Terkejut Sarah. Hampir terloncat dia dibuatnya. Mujurlah tidak terkeluar perkara yang bukan-bukan dari mulutnya. Maklumlah sajalah kalau sudah melatah. Bukannya boleh dirancang ayat apa yang bakal terpacul di mulut nanti.
“Eh, Mak Munah.” Tergamam Sarah apabila Maimunah sudah berdiri tegak dihadapannya. Tertera jelas riak ingin tahu di wajah itu. Dia menelan air liur yang terasa kelat.
“Kenapa kamu macam terkejut sangat jumpa Mak Munah?”
Sekali lagi Sarah menelan air liur. “Eh, tak ada apa-apalah Mak Munah.” Sarah berusaha keras untuk menyembunyikan air mukanya. “Ada apa Mak Munah? Nak jumpa mak, ke?”
“Tak, Mak Munah datang nak jumpa kamu.” Tekan Maimunah di hujung kata-katanya.
“Err..oo....keyyyy. Ada apa ya Mak Munah?” Sarah pura-pura bertanya. Padahal dari riak wajah itu dia sudah dapat mengagak tujuan kedatangan wanita itu.
“Kamu tahu mana Fatin pergi?” Tidak mahu berteka-teki, Maimunah terus bertanya.
“Hah? Fa..Fatin? Ma..manalah Sarah tahu.” Sarah cuba berdalih.
“Kamu jangan cuba nak buat-buat tak tahu pula. Mak Munah tahu kamu mesti tahu kemana Fatin pergi. Dia kan kawan baik kamu? Setiap hari melepak saja dengan kamu. Tak mungkin dia tak ada cerita apa-apa pada kamu.” Asak Maimunah.
“Tak..ap..apa Mak Munah cakap ni? Sarah tak tahu kemana Fatin pergi.” Dalih Sarah. Gerun dia melihat wajah tertekan Maimunah itu.
“Mak Munah tahu kamu tahu. Tolonglah Fatin. Mak Munah risau sangat ni. Mak Munah call langsung tak dapat. Dia bukan pernah ke mana-mana.”
Sarah menggaru kepala yang tidak gatal. Macam mana ni? Dia berbisik sendiri dalam hati.
“Mak Munah, Sarah memang tak tahu.” Sarah masih cuba berdalih. Manalah tahu wanita itu akan beralah dan terus meninggalkannya.
Bukan dia berahsia. Tapi dia khuatir akan menambahkan bimbang di hati Maimunah. Hanya Maimunah sahaja yang sayangkan Fatin. Tidak seperti suaminya yang lebih sayangkan wang ringgit daripada anak saudara sendiri. Sudahlah hidupnya sekarang yatim piatu. Hanya mengharapkan belas ehsan sanak saudara terdekat.  
“Tolonglah Fatin.” Bahu Sarah dipegang kuat. “Mak Munah rayu pada kamu. Mak Munah tahu kamu tahu sesuatu.” Rayu Maimunah.
Sarah semakin tertekan. Apatah lagi apabila air mata sudah mula berlinangan dalam kelopak mata itu.
“Eh, Kak Munah. Tijah ingatkan dengan siapalah si Sarah ni duk bersembang. Dengan Kak Munah rupanya. Ada apa Kak Munah? Nampak macam cemas saja?”
Sutijah, ibu kepada Sarah tiba-tiba muncul di antara mereka. Dia yang sedang membelai tanamannya di belakang rumah cekap sahaja menangkap suara dua manusia di hadapan rumahnya.
Sarah mengeluh berat. Yang pasti kehadiran ibunya pasti akan menambahkan kekusutan di antara mereka.
“Tijah kau kena tolong aku. Tolong pujuk Sarah ni beritahu aku dekat mana Fatin sekarang ni.”
‘Dah agak dah.’ Bisik Sarah dalam hati.
Sutijah mengerutkan dahi. “Suruh Sarah beritahu Fatin dekat mana? Kenapa pula? Fatin tak ada dekat rumah ke?”
“Tak ada! Fatin dah lari dari rumah!”
“Hah? Lari dari rumah? Eh, Kak Munah ni jangan main-main.”
“Ya Allah, Tijah. Buat apalah aku nak main-main benda macam ni. Kau tak nampak ke aku tengah risau sekarang ni? Muka aku ada nampak macam orang tengah main-main, ke?”
Sutijah mengamati wajah cemas di hadapannya. Memang tiada tanda-tanda yang wanita itu bergurau. Tapi takkanlah Fatin sampai lari dari rumah? Tapi kenapa pula? Ikut boyfriend? Tak mungkin! Belum pernah lagi dia ternampak Farin berpasangan dengan sesiapa. Baginya Fatin seorang gadis yang baik, lemah lembut dan sopan. Tak mungkin Fatin mengambil keputusan senekad itu.
“Tapi kenapa Fatin nak lari dari rumah pula? Akak dengan abang Kassim dera dia, ya?” Tuduh Sutijah.
Sarah sudah menepuk dahi. Manakala, Maimunah sudah bercekak pinggang sambil memandang ibu Sarah dengan mata yang mengecil. Kembang kempis dadanya dengan tuduhan Sutijah itu.
“Err..bukan eh?” Sutijah yang menyedari akan keterlanjurannya sudah tersengih, segan.
“Fatin lari sebab tak mahu kahwin dengan Hj Amran?”
“Hah?!” Kali ini Sutijah sudah tidak dapat mengawal rasa terkejutnya. “Hj Amran? Akak, Hj Amran yang dah beristeri tiga, tu? Yang umurnya lagi tua dari akak tu?”
Pantas Maimunah menganggukkan kepala. Mengiyakan kata-kata Sutijah.
“Eh, dah gila ke apa abang Kassim nak kahwinkan dengan Fatin? Apa dah lupus ke lekaki muda dekat kampung kita ni? Bukan Fatin saja. Kalau Tijah dipaksa kahwin dengan Hj Amran tu pun Tijah tak mahu.”
Maimunah sudah menjeling. “Kalau kau, aku rasa Hj Amran pun tak nak kahwin dengan kau.” Balas Maimunah selamba.
“Amboi akak, jangan pandang Tijah sebelah mata. Tijah ni jadi rebutan dekat kampung ni tahu masa muda-muda dulu.” Sutijah sudah mula melalut.
Kali ini Maimunah mencebik pula. Ke situ pula orang tua ni. Orang tengah resah fikirkan si Fatin, dia sibuk nak buka hikayat lama. Manakala, Sarah pula sudah pening dengan gelagat kedua wanita yang berada di hadapan matanya ini.
“Eh, aku datang sini nak cari Fatin. Bukan nak bersembang benda yang merepek ni.” Maimunah pantas mengalih topik kepada tujuan asal mereka. Sudah jauh mereka tersasar agaknya. Melayan Sutijah ni memang tak habis. Waktu macam ni pun masih lagi boleh main-main. Yang kita ni dah separuh mati risaukan si Fatin.
“Oh, maaf Kak Munah. Tijah lupa.” Sekali lagi Maimunah tersengih. Sesiapa yang melihat pasti berbuulu juga hatinya
“Hah, Sarah? Mana Fatin pergi?” Sutijah terus sahaja bertanya kepada si anak. Seperti Maimunah dia juga yakin yang Sarah tahu sesuatu.
Aduh, kalau sudah ibunya sendiri yang bertanya agak sukar untuknya berbohong.
“Se..se..sebenarnya. Sebenarnya....” Sarah masih menimbangkan kewajarannya memberitahu Maimunah. Namun, keadaaan sekarang sudah agak mendesak.
“Sebenarnya apa, Sarah?” Desak Maimunah lagi. Sarah dirasakan bercakap terlalu perlahan.
“Sebenarnya.. Fatin lari ke Kuala Lumpur.”
“Hah? Kuala Lumpur?”
Perlahan-lahan Sarah menganggukkan kepalanya. Tanda mengiyakan kenyataannya sebentar tadi.
“Ta..tapi dia ke mana?” Kalut Maimunah bertanya. Ya Allah, Kuala Lumpur? Sedangkan ke pekan pun jarang benar Fatin menjejakkan kaki. Inikan pula ke Kuala Lumpur?
“Rumah kawan kami masa belajar dekat sekolah agama dulu.”
Maimunah menarik nafas lega. “Alhamdulillah.” Hilang risaunya sedikit kerana yakin Fatin berada bersama temannya. Yang pasti, tentu dari kalangan yang baik-baik kerana bersekolah agama. Sekurang-kurangnya Fatin berada di suatu tempat yang selamat. Fikirnya.
“Er..tapi...”
Kata-kata Fatin yang terhenti seketika membuatkan Maimunah kembali melarikan pandangan pada wajah Sarah. “Kenapa?”
“Err..kawan saya tak jumpa dia?” Sambung Sarah sambil tersengih.
Maimunah menganggukkan kepala. Namun selepas beberapa saat... “Apa? Kawan kamu tak jumpa Fatin? Ap..apa maksud kamu ni?”
“Acik tak jumpa Fatin. Sepatutnya pagi tadi dia pergi jemput Fatin dekat Terminal Pudu Raya. Tapi dia kena ragut pula. Handphone semua kat dalam beg. Dia tak dapat nak hubungi Fatin. Puas dia pusing dekat terminal tu tapi tetap tak jumpa.”
“Ya Allah, takkan langsung tak jumpa? Dia tak cari betul-betul ke?” Ujar Sutijah dengan nada risau.
“Dah mak. Terminal Pudu Raya tu besar mak. Bukan macam dulu lagi. Situ tempat tumpuan. Boleh sesat kat sana kalau tak biasa. Kalau tak ada handphone memang jenuh nak mencari. Itupun dekat 2 jam Acik pusing-pusing kat sana. Tapi bayang Fatin langsung tak jumpa. Inipun Acik keluar lagi mencari Fatin. Harap-harap jumpalah.” Terang Sarah.
Maimunah sudah terduduk di pangkin sambil menggosok dadanya. Air matanya laju sahaja mengalir di pipi. Semakin risau dia dibuatnya. Entah bagaimana nasib anak saudaranya itu.
‘Fatin kenapa buat macam ni nak? Kenapa tak bincang dengan mak long dulu. Kenapa terburu-buru?’ Rintih Maimunah dalam hati.
“Kak Munah sabarlah. In Sha Allah Fatin baik-baik saja.” Pujuk Sutijah sambil mengusap bahu wanita itu. Pilu juga hatinya melihat keadaan Maimunah.
“Aku risau Tijah. Aku risau sangat. Fatin tu dekat sini pun jarang ke mana-mana. Inikan pula Kuala Lumpur. Dia tak pernah ke sana Tijah. Aku rasa gagal. Aku gagal pegang amanah adik ipar aku yang mintak aku jaga Fatin macam anak aku sendiri.” Rintih Maimunah.
Sebagai seoarang penjaga buat Fatin dia memang terasa gagal memegang amanah arwah Mahani iaitu ibu kepada Fatin. Sebelum mereka meninggal dunia sempat wanita itu berjumpanya dan meninggalkan pesan agar dia menjaga Fatin seperti anak sendiri. Pada ketika dia langsung tidak terfikirkan akan perkara buruk yang akan berlaku. Lagipun mereka hanya meninggalkan Fatin bersamanya untuk beberapa hari kerana menghadiri majlis perkahwinan saudara jauh mereka di Kelantan. Fatin tidak turut serta kerana kereta sudah penuh. Sebagai anak yang lebih tua Fatin mengalah lalu memberi peluang kepada adik-adiknya berjalan-jalan.
Tapi ternyata pesanan itu membawa maksud yang lain. Mereka pergi bukan untuk beberapa hari. Tapi untuk selama-lamanya. Pergi yang tak mungkin akan kembali. Dan pesanan itulah yang dipegang Maimunah sehingga ke hari ini. Walaupun Kassim adalah kelaurga kandung Mahani, ternyata wanita itu lebih percayakan dirinya untuk menjaga zuriat mereka.
“Akak kena kuat. Tijah yakin Fatin dalam keadaan baik. Dia sudah besar. Tijah yakin dia boleh jaga diri. Kita banyakkan berdoa semoga tak lama lagi Fatin akan hubungi kita, ya?” Pujuk Sutijah lagi. Walaupun sebenarnya dia sendiri tidak yakin dengan kata-katanya. Tapi itulah yang bisa dia katakan untuk memujuk hati wanita di hadapannya ini.
Sutijah memandang anaknya. “Sarah, memang dah tahu ke rancangan Fatin ni?”
Setelah agak lama barulah Sarah menganggukkan kepala. Sutijah mengeluh. “Kenapa tak beritahu awal-awal pada kami. Kenapa Sarah biarkan Fatin ambil tindakan macam tu? Sarah tahukan bahaya Fatin ke sana seorang diri?”
“Sarah tahu. Tapi semua ni tak sepatutnya jadi macam ni. Sarah kasihankan Fatin. Dia betul-betul tak nak kahwin dengan Hj Amran. Sedangkan Pak Kassim pula nekad nak nikahkan Fatin dengan orang tua tu. Jadi Sarah setuju. Lagipun Acik ada di sana. Fatin akan selamat bersama Acik. Manalah Sarah tahu akan jadi begini. Kalau Sarah tahu Sarah sendiri takkan benarkan Fatin pergi.”
Air mata Maimunah semakin laju mengalir. Kesal sungguh dia dengan apa yang terjadi. Kalaulah suaminya tidak memaksa Fatin, pasti gadis itu masih bersamanya saat ini.
“Kak Munah, janganlah macam ni. Tijah pula yang risau melihatnya.”
“Hati aku tak tenang Tijah. Kalau Fatin tak hubungi aku selama-lamanya apa aku nak jawab pada Firas? Takkan aku nak beritahu yang adik dia dah lari dari rumah? Tahun ni dia dah habis belajar. Tak lama lagi saja budak tu nak balik.” Luah Maimunah. Ya benar. Fatin masih lagi punya seorang abang yang masih lagi menuntut di London. Firas Ahmad namanya. Tidak lama lagi Firas akan menamatkan pengajian dan akan pulang ke tanahair. Jika sehingga ke saat itu Fatin masih lagi tidak ditemui apa yang harus dia khabarkan kepada anak saudaranya itu?
“Mak Munah jangan risau. Acik akan cuba cari Fatin kat sana. Kalau perlu kita buat report polis. In Sha Allah kita akan jumpa dia.” Usul Sarah.
“Betul tu Kak Munah. Lagipun Tijah yakin Fatin anak yang baik. Dia kan sayang akak? Lambat laun mesti dia akan hubungi akak juga. Sama-samalah kita berdoa yang Fatin dalam keadaan baik.”
Apa lagi yang harus dikatakan? Itu sajalah yang mereka mampu lakukan saat ini. Jauh dalam lubuk hati Maimunah dia berharap yang Fatin akan menghubunginya dan memaklumkan akan keberadan gadis itu. Dengan itu barulah hatinya akan tenang.
“Jom la Kak Munah naik ke rumah Tijah dulu. Nanti boleh kita cerita panjang.” Pelawa Sutijah.
“Tak nak aku nak balik. Aku nak minta Shila tolong aku carikan Fatin kat sana.” Tolak Maimunah. Dia sudah bangun dan bersedia untuk berlalu.
“Shila kan kat Johor? Macam mana dia nak cari Fatin?”
“ Dia dah pindah kat KL sekarang ni, ikut suami dia. Hanya dia dapat tolong aku.” Terang Maimunah.
“Tapi Mak Munah janganlah tergesa-gesa. Apa kata kita tunggu berita dari Acik dulu. Kalau dia tak jumpa juga baru Mak Munah minta tolong dengan Kak Shila. Lagipun, KL tu besar Mak Munah. Mana kita nak cari dia?”
Maimunah terdiam sambil berfikir sejenak. Ada betul juga kata-kata Sarah. Lagipun, Shila juga masih baru berada di sana. Masih belum tahu selok belok Kuala Lumpur.
“Betul tu Kak Munah. Kita tunggu dulu berita dari kawan mereka ni dulu.” Sokong Sutijah.
“Baiklah kalau macam tu. Nanti kalau ada berita dari kawan kamu tolong beritahu Mak Munah, ya?” Pesan Maimunah.
Sarah menganggukkan kepala. “Baiklah Mak Munah.”
“Kalau macam tu, Sarah jom temankan mak ke rumah Mak Munah kamu ni, risau pula nak dibiarkan Mak Munah balik sorang-sorang dengan keadaannya macam ni.” Ajak Sutijah. Sarah hanya menurut tanpa banyak soal. Lalu, perlahan-lahan mereka membontoti langkah Maimunah.