Khamis, 19 Mac 2009

Antara Benci dan Rindu 5

“Terima kasih ya,” ucapku kepada penghantar bunga itu. Selepas menutup pintu aku memerhatikan jambangan bunga mawar yang masih di dalam genggamanku. Selalunya bunga mawar ini hanya akan menjadi makanan tong sampah sahaja. Tapi nampaknya niatku itu terpaksa dibatalkan dahulu untuk hari ini kerana tong sampah di luar sudah penuh dengan bunga-bunga kiriman Yusrizal. Terpaksalah aku bersabar sementara menunggu pekerja mengosongkan tong sampah itu.

“Sabar ya wahai bunga. Kejap lagi aku akan pastikan tempat kau kat dalam tong sampah tu. Tapi kan antara semua bunga yang dihantar pada aku, kaulah yang paling bertuah. Sempat juga kau merasa duduk dalam bilik aku yang cantik ni.”

Seperti selalu, pasti sekeping kad akan dikepilkan bersama. Teringin juga aku hendak mengetahui apa pula yang mahu diluahkan Yusrizal di situ. Sebelum ini pun aku tidak pernah lupa untuk membaca kata-kata yang telah dicoretkan Yusrizal untuk diriku. Aku suka bila Yusrizal merayu sebegitu. Ternyata dendam lama masih tidak mampu kukikis. Biar dia pula merasai bagaimana perasaanku apabila merayu pada dirinya dulu. Rayuan yang tidak pernah dipedulikan. Malah ditong sampahkan begitu sahaja.

Sayangku, andai bisa diputarkan masa,

Pasti aku tidak akan berasa derita rindu seperti hari ini,

Kerna akulah lelaki yang paling bertuah memiliki isteri sebaikmu,

Sayangku, andai bisa diputarkan masa,

Aku akan pastikan kaulah wanita yang paling bahagia di dunia ini,

Kerna aku akan cuba menjadi suami terbaik buatmu.

~Yusrizal~

“Huh!”

“kalaulah boleh diputarkan waktu, takkan aku begitu bodoh hendak menerima lamaranmu. Kerna ku tahu derita yang bakal kau rencanakan untuk diriku,” aku menyambung puisi Yusrizal.

Selama tiga hari ini Yusrizal tidak akan lupa untuk mengirimkan bunga untuk aku. hatiku tertanya-tanya mengapa Yusrizal masih sanggup membazirkan wang, sedangkan aku tidak memberikan respon terhadap kesungguhannya itu. Mungkin juga playboy seperti Yusrizal masih berpegang kuat kepada pepatah melayu yang mengatakan perempuan seperti kerak nasi yang akan jadi bubur sekiranya dicurahkan dengan air. Kalau itulah yang ada dalam fikirannya, ternyata lelaki itu salah perhitungan kerana aku bukan seperti wanita yang selemah itu.

Deringan telefon bimbitku sedikit membuatkan aku tersentak. Menandakan satu sms telah diterima. Cepat sahaja aku mencapainya kerana aku sememangnya sedang menunggu sms daripada seorang pensyarah yang akan memaklumkan tarikh dan waktu untuk mesyuarat bagi semua pensayarah perakaunan kewangan lanjutan.

Namun tatkala melihat nombor yang tidak dikenali hatiku sedikit hairan. Tapi mungkin juga rakan pensyarahku itu menggunakan nombor baru ataupun dia pinjam telefon orang lain. Lalu, punat “Read” kutekan.

Hai Ifa, You got the flowers?-Yusrizal-

Shit! Dia lagi? Sudahlah aku cukup semak dengan bunga yang dikirimkan setiap hari. Kini ditambah pula dengan sms ini. Makin menyerabutkan kepalaku. Namun begitu otakku masih sempat memikirkan dari mana pula lelaki itu mendapatkan nombor telefon bimbitku? Ini mesti kerja Nisa. Sah, memang kerja dia! Aku tidak pernah memberikan nombor telefonku kepada sesiapa kecuali dia. Ish, tak boleh harap betul budak ni. Sudah berapa kali aku mengingatkan dirinya supaya jangan memberikan nombor telefonku kepada abangnya itu. Ish, geram betul! Kini apa pula yang harus aku lakukan untuk menghadapi lelaki ini.

Aku tidak berniat ingin membalas sms yang dihantarnya. Lalu sms itu ku “delete”. Tak mahu ia berada di dalam telefon bimbitku lebih lama. Kalau boleh aku tidak mahu semua tentang Yusrizal menghantui diriku. Cuma satu yang tak bisa kukikis. Kenangan! Ya, kenangan lalu yang begitu memeritkan. Seandainya kenangan itu juga boleh ku”delete” seperti yang kulakukan terhadap sms itu, pasti akan kulakukan. Tapi mana mungkin!

Semenjak daripada itulah aku sering diganggu dengan sms Yusrizal saban hari. Hampir sahaja aku menukar nombor telefon, tapi apabila mengingatkan yang nombor ini telah kudaftarkan di uum niatku itu kumatikan sahaja. Jika aku menukarkan nombor telefon bimbitku banyak pula prosedur yang perlu aku jalani untuk mendaftarkan kembali nombor itu.

Gangguan itu berterusan hinggalah ke hari ini. Sudah tiga bulan ia berlanjutan. Tapi sekali pun aku tidak pernah mempedulikannya. Sms-sms yang dihantar Yusrizal hanya kubiarkan sepi. Selama tiga bulan ini jugalah Yusrizal tidak pernah lupa untuk mengirimkan bunga untukku. Tidak terkira berapa banyak wang yang Yusrizal habiskan. Tapi apa yang dihairankan jika sudah menjadi anak orang berada.

Ketukan di muka pintu mematikan lamunanku. Daripada bunyi ketukan itu aku sudah kenal akan orangnya. Pantas bibirku tersenyum.

“Come in,” laungku..

Pabila daun pintu dikuak terpacullah wajah lelaki yang suatu ketika dahulu terlalu sukar untuk aku lupakan.

“Hai sibuk ke?”

“Tak adalah, tengah berangan je.”

Daniel tersenyum lagi. Tanpa disuruh Daniel menarik kerusi lalu menempat dirinya disitu.

“So, hari ni dapat bunga lagi?” tanya Daniel. Dia sudah maklum akan kiriman bunga daripada Yusrizal itu. Bukan niatku untuk mencanangkan itu semua. Tapi siapa yang tidak hairan apabila setiap hari penghantar bunga akan mengunjungi bilikku. Lagi pula aku yang selalu memenuhkan tong sampah itu sehinggakan setiap hari pekerja terpaksa mengosongkannya.

“Macam biasalah,” jawabku sambil memuncungkan bibirku kearah letaknya bunga itu.

“Hai, dah tak buang nampak. Kenapa, nak buat hiasan kat dalam bilik ke?”

“Tak adalah. Dah buang tebiat agaknya I nak buat macam tu. Tong sampah penuhlah. Nanti I buanglah,” ucapku dengan muka menyampah. Daniel tersenyum menggeleng.

“Tong sampah tu tiap-tiap hari makan bunga. Kesian dia. Kasilah dia makan benda lain pulak.”

“Biarlah dia makan bunga. Sedap apa? Bukan senang nak dapat tu.”

“Kesian ex-husband you tu. Penat-penat dia belikan you bunga setiap hari tapi you buang macam tu saja.”

“Buat apa I nak kesiankan dia? Dia tak pernah kesiankan I pun.”

“Mungkin dia dah berubah, Ifa. Cubalah bagi dia peluang.”

“Untuk apa? Supaya dia dapat sakitkan hati I lagi. No way!! I dah serik dengan lelaki buaya macam tu.”

Daniel mengangkat bahu. “Suka hati you la. I Cuma nasihat. Jangan nanti you menyesal sudah.”

“Nope! I takkan sesekali menyesal dengan lelaki macam tu. Sia-sia saja.”

“Well, we’ll see. Emm..so jadi tak lunch nanti?”

“Yup, sure.”

“Kalau macam tu jumpa lunch hour nanti ek.”

“Ok.”

Perut yang berlagu riang memaksa aku melirik ke arah jam tangan. Patutlah, Sudah pukul 12.45 petang. Tidak lama selepas itu kedengaran ketukan di muka pintu bilikku. Aku tersenyum kerana pada anggapanku sudah tentulah Daniel yang menungguku untuk makan bersama.

“Daniel tunggu kejap. I nak kemaskan meja ni,” laungku dari dalam bilik. Namun aku sedikit hairan dengan bunyi ketukannya hari ini. Terasa lain benar. Mana pergi trademark ketukannya itu. Mungkin dia sudah malas hendak melagukan ketukan itu lagi. Hehhe…

Setelah berpuas hati, pantas tanganku mencapai dompet kecil dan telefon bimbit. Lalu menyumbat kedalam kocek seluarku. Lebih muda begitu. Aku tidak gemar membawa tas tangan. Ngeri rasanya apabila membaca suratkhabar yang menceritakan tentang kejadian ragut. Aku tidak mahu kejadian itu terjadi kepada diriku pula. Jalan terbaik adalah dengan membiarkan tanganku kosong.

Pintu bilik kubuka. “I’m coming Da….” Mulutku ternganga. Tidak percaya dengan apa yang mataku saksikan sendiri. Mustahil!! Bagaimana dia boleh ada disini?

“Rizal?? Apa yang awak buat disini?”

Lelaki itu hanya tersenyum tenang. Mungkin dia sudah menjangkakan reaksi sebegitu daripadaku.

“Hai Ifa. Apa khabar?”

“Awak buat apa kat sini? Macam mana awak boleh ada dekat sini?”

Soalanku tidak dijawab malah dia masih tersengih seperti kerang busuk. Sungguh aku tidak menyangka akan bertemunya semula. Sangkaku pertemuan di rumahnya 3 bulan lepas adalah yang terakhir tapi ternyata tidak! Yusrizal masih mahu menganggu hidupku.

“Ifa tak nak jemput abang masuk ke?”

Aku yang masih dalam keadaan terkejut seakan tersedar. Mataku meliar memerhati sekeliling. Takut sekiranya ada pensyarah-pensyarah lain yang ternampak gelagat kami berdua.

“Maaf, saya dah janji dengan kawan,” jawabku.

“Lunch ke?”

Aku mengangguk tanda mengiyakan.

“Erm…jom lunch dengan abang. Abang pun tak makan lagi ni.”

“Saya dah janji dengan oranglah,” ulangku lagi dengan nada menyampah. Cakap bahasa melayu pun tak paham.

“Emm..cancellah. Abang datang jauh-jauh ni sebab nak jumpa Ifa. Dengan kawan esok-esok pun lunch sama.”

“Suka hati awak saja nak suruh saya cancel. Saya dah berjanji dengan orang.”

“Ifa tak kesian dengan abang ke? Abang datang jauh-jauh ni. Kerja yang berlambak dekat office pun abang tinggalkan semata-mata nak jumpa dengan Ifa.”

“Saya tak suruh pun awak buat semua tu. Awak yang rela hati nak buat. So jangan nak salahkan saya. Sekarang ni can you excuse me? Saya dah lapar. Mengadap muka awak ni bukannya mengenyangkan,” tempelakku. Sengaja menyakitkan hatinya. Sengaja cari pasal siapa suruh. Sendiri buat sendiri tanggunglah.

Aku pantas melepaskan diri sebaik sahaja mengunci pintu bilikku. Yusrizal hanya kubiarkan terkulat-kulat memerhatikan tingkah-lakuku. Baru sahaja aku berkira-kira hendak menelefon Daniel dan memaklumkan bahawa aku sedang menunggunya di tepi kereta tiba-tiba aku terasa rentapan kuat dipergelangan tanganku. Terdorong aku kehadapan. Tindakan yang drastic membuatkan tubuhku kehilangan imbangan.

“Rizal apa ni? Lepaslah.”

“Abang nak lunch dengan Ifa sekarang.”

“Tapi saya dah janji dengan oranglah. Awak ni tak faham bahasa ke?” marahku. Namun nada suara masih cuba kukawal kerana takut terdengar dek orang lain. Lain pula jadinya nanti.

“Abang tak peduli! Cancelkan saja lunch tu. Sekarang abang nak Ifa ikut abang,” tegasnya. Dengan langkah kaki yang cuba kukawal agar tidak tersungkur ditambah pula dengan tingkah-laku Yusrizal yang tidak sopan membuatkan hatiku membengkak. Namun aku tidak daya melawan apabila kamu mula menuruni tangga. Aku hanya menuruti langkahnya. Genggaman tanganku masih tidak dilepaskan. Walaupun sakit, aku hanya mampu bertahan. Tidak elok sekiranya ada para pelajar yang terlihat adegan perbalahan antara kami berdua pula. Saat itu hatiku terlalu sebal dengan tindakan Yusrizal itu.

2 ulasan:

  1. sakit mate la....kaler2 tulisan die...
    kaler putih je pun da ok..

    BalasPadam
  2. font besarkan lagi ek...sakit mata ler...

    BalasPadam

Hi kawan2..Selepas baca jangan lupa tinggalkan komen tau..wajib!!! hehee..sebabnya Ida suka baca komen kawan2..Nak tau jugak best ke tidak setiap post Ida ni..komen tau!!