Isnin, 13 April 2009

Antara Benci dan Rindu 16

Air mata yang mengalir aku kesat apabila terdengar ketukan di pintu bilik tidurku. Hilang berterbangan semua ingatanku pada kenangan yang mengguris itu. Terfikir olehku untuk apa aku mengingatinya lagi, sedangkan kutahu ia akan mengundang air mataku jua nanti. Tapi walau kucuba untuk melupakannya ia tetap menjelma tanpa diundang di fikiranku ini. Seterusnya menambahkan perasaan benciku terhadap bekas suamiku itu.

“Ifa dah tidur ke?” Terdengar suara ibu di luar bersama ketukan-ketukan kecil. Pantas aku bangun mendapatkan cermin. Menilik sedikit mataku yang membengkak akibat terlalu lama menangis. Bedak miyami aku capai dan menempek sedikit di wajah untuk menghilangkan kesuraman diwajahku ini.

“Kejap ibu,” pekikku. Setelah memastikan semuanya berada dalam keadaan baik barulah aku membukakan pintu. Sememangnya dari tadi lagi aku mengunci pintu. Tidak mahu tertangkap oleh ibu dan abah dalam keadaan aku bersedih begini. Kerna aku tahu hati mereka akan terluka sekiranya melihat aku bersedih. Maklum sajalah hanya aku permata hati mereka.

“Ada apa bu?” tanyaku setelah membukakan pintu. Sebolehnya aku berwajah ceria.

“Kenapa mata Ifa merah?” tanya ibu, risau. Tangannya ramah menyentuh wajahku. Aku hanya tersenyum sumbing sambil menggeleng perlahan.

“Ifa ngantuklah bu. Sebab tu mata merah. Ibu bukan tak tahu anak ibu ni. Kalau mengantuk sangat sampai meleleh air mata,” dalihku. Semetelah pula memang sifatku begitu. Kukira ibu pun sudah faham benar dengan sifatku yang satu ini. Mataku akan berair seperti orang menangis jika aku terlalu mengantuk. Dan ini kukira alasan yang amat munasabah buatku.

Ibu menggeleng kepala sambil tersenyum. “Kalau mengantuk tidurlah. Jangan memaksa diri. Kan dah merah mata tu? Esok nak pergi kerja dengan mata merah tu ke? Kang dah tak cantik anak ibu,” ujar ibu lembut. Aku tersenyum manis membalas kata-kata ibu. Rasa bersalah semakin membukit apabila mendengar kata-kata ibu. Maafkan Ifa ibu sebab menipu ibu. Ifa tak nak susahkan hati ibu dan abah.

“Kejap lagi Ifa tidurlah ek? Emm, ibu datang bilik Ifa ada apa-apa ke bu?”

“Tak ada apa-apa. Ibu tengok bilik Ifa cerah tadi. Sebab tu ibu datang tengok, dah tidur ke belum anak ibu ni.”

“Ooooo..kejap lagi Ifa tidur yea bu. Sikit lagi Ifa nak siapkan kerja Ifa tu. Ifa pun dah tak tahan ngantuk dah ni,” kataku. Ahh, kerja apa sangatlah yang aku buat melainkan bersedih saja dari tadi.

“Yelah, cepat tidur yea. Nanti terlewat bangun pulak. Ibu pun nak masuk tidur ni,” ujar ibu.

Aku hanya mengangguk. Tapi saat ibu ingin berpaling aku terperasankan sesuatu. Pantas tangan ibu kucapai. Ibu yang terkejut dengan perbuatanku itu mengerutkan dahi tidak mengerti.

“Kenapa Ifa?”

“Kenapa muka ibu pucat?” wajah ibu kuamati. Memang pucat sekali. Hairan pula aku sebab pagi tadi ibu kelihatan sihat sahaja.

“Tak ada apa-apalah. Ibu Cuma pening kepala saja. Dari petang tadi lagi berdenyut-denyut kepala ni. Sebab tu ibu ajak abah balik dulu tadi. Lagipun Rizal ada temankan Ifa. Dia pun suruh ibu dengan abah balik dulu lepas makan sebab tengok ibu macam dah tak tahan sangat,” terang ibu. Oh, patutlah ibu dan abah tinggalkan aku dengan Yusrizal tadi. Aku ingatkan ibu dengan abah memang berniat untuk meninggalkan aku dengan lelaki itu. Berdosanya aku sebab terfikir yang bukan-bukan dengan orang tuaku tadi.

“Kenapa tak beritahu Ifa dulu tadi?”

“Ibu memang saja minta Rizal jangan beritahu Ifa sebab Rizal kata tadi ada benda yang nak dibincangkan dengan Ifa. Kalau beritahu Ifa mesti Ifa nak ikut ibu balik kan?”

Betul juga apa yang difikirkan ibu itu. Aku memang akan cepat risau. Apatah lagi kalau ianya melibatkan orang tuaku.

“Dahlah, Ifa pergilah tidur. Nanti lewat pulak bangun esok. Kelas Ifa pukul 8 kan? Tak usah nak risaukan ibu. Esok lepas bangun tidur oklah ni.”

“Yelah, ibu pun rehat cukup-cukup. Muka ibu pucat sangat. Risau Ifa tengok.”

“Yelah, ibu nak masuk tidurlah ni. Selamat malam sayang.”

“Selamat malam bu.”

Sepeninggalan ibu, aku kembali termenung di atas katil. Mataku langsung tidak mengantuk seperti yang aku katakan kepada ibu tadi. Itu semua hanya alasan semata.

Hari ini adalah hari yang paling sedih buatku selepas aku kembali mendapatkan semangat diri beberapa tahun yang dulu. Aku telah berazam untuk tidak bersedih lagi. Tapi nampaknya aku telah melanggar azamku itu. Ahh, Ya Allah hatiku tidak tenang sekali pada saat ini. Apa yang harus aku lakukan? Terfikir hendak mengerjakan solat sunnat dua rakaat dan membaca Al-Quran terikat diriku yang uzur pula. Jadi apa yang harus aku lakukan? Lebih baik aku tidur. Mungkin pagi esok aku akan lebih tenang.

Lalu, aku merebahkan diri di atas katil selepas menutup suis lampu. Membiarkan cahaya lampu tidur sahaja menyimbahi ruang bilikku ini. Namun, baru sahaja akuhendak melelapkan mata, telefon bimbitku menjerit nyaring dengan tiba-tiba. Aku mengintai jam kecil di atas meja. Sudah menunjukkan pukul 12.15 minit malam. Siapa pula yang menelefonku tengah-tengah malam begini? Lalu, tanpa membiarkan telefon itu menjerit lebih lama aku mencapainya. Tertera nombor yang tidak kukenali di skrin. Dahiku berkerut. Tetapi panggilan itu tetap kujawab.

“Hello.”

“Hello Ifa. Belum tidur lagi?”

Aku pantas mematikan talian apabila suara si pemanggil menyapa gegendang telingaku. Tidak mahu suara itu lebih lama menyapaku. Perasaan benciku padanya hari ini begitu memuncak.

Namun beberapa saat kemudian telefon bimbitku kembali menjerit. Dan si pemanggil adalah orang yang sama. Laju sahaja tanganku menekan punat cancel. Tidak ingin aku menjawab panggilan dari lelaki itu. Untuk apa dia menghubungi aku? Adakah hanya ingin menambah rasa sakit hatiku ini? Dan aku akan pastikan dia tidak akan berjaya melakukan itu.

Kali ketiga telefon bimbitku berbunyi terus aku menukar modenya ke silent. Biarlah berapa kali telefon ini hendak berbunyi pun pasti tidak akan mengangguku lagi kerana ia sudah bisu. Biar padan dengan muka Yusrizal. Biar dia rasa sakitnya hati bila tidak dipedulikan.

Keesokkannya, apabila aku bangun benda yang pertama yang aku cari sudah semestinya telefon bimbitku. Bukan untuk melihat berapa missed calls ataupun mesej yang telah ditinggalkan buatku semalam, tetapi untuk melihat pukul berapakah aku mencelikkan mata dari mimpi-mimpi yang tidak berapa indahku semalam. Kadang-kadang aku terfikir untuk apalah aku bersusah payah melihat jam di telefon bimbitku sedangkan jam kecil sudah tersedia di atas mejaku. Tapi itulah kesan teknologi yang perlu aku akui keberkesanannya terhadap pengguna-pengguna seperti aku. Ternyata pengusaha-pengusaha telefon bimbit telah berjaya membuatkan telefon bimbit sebagai suatu aset yang sangat berharga pada masa sekarang.

Tapi nampaknya niatku terpaksa ditangguhkan buat sementara apabila mataku disapa beberapa perkataan di skrin telofon bimbitku.

3 mesagge received

15 missed calls

Fuh, banyaknya! Tak tidur ke Yusrizal semalam? Tak ada kerja agaknya melainkan mengacau aku. Pantas punat ‘read’ aku tekan. Hendak juga aku lihat pesanan apa yang lelaki itu tinggalkan untukku.

Syg nape x jawab cal abg?

Itulah mesej pertama Yusrizal. “Sebab aku malas nak cakap dengan kaulah,” bisikku sendirian. Menyakitkan hati saja. Mesej kedua aku buka dan kubaca.

Syg dah tido ke?

Mesej kedua Yusrizal. Kulihat masa mesej itu diterima. 1.55 am? Uissshh..tak tido ke mamat ni?

Xpela kalo syg dah tido. Nite syg. N sori pasal td. Abg x brmaksud nk igtkn syg tntg peristiwa dlu. Truly sori. Luv u so much..

Errr..meremang pula ku rasa belakang tengkukku ini. Love you konon! Senang saja lelaki itu mengucapkan kata cinta. Maklumlah, lelaki playboy sepertinya memang mudah menuturkan itu kerana bagi mereka ucapan itu tiada makna. Hanya untuk bersuka-suka. Tapi bagi diriku ucapan itu sangat bermakna. Melambang rasa cinta yang tidak terhingga kepada pasangan dan bukan untuk dibuat main seperti yang dilakukan Yusrizal. Dan aku tidak akan mudah percaya pada ucapan cinta yang dilafazkan lelaki seperti Yusrizal. Tak mungkin!

Selepas membuang semua mesej dari inbox aku meletakkan telefon bimbitku di meja solek. Sempat juga aku meneliti mataku di cermin. Manalah tahu kalau-kalau mataku sembab pula pagi ini kerana menangis semalam. Aku menarik nafas lega kerana tangisanku semalam tidak meninggalkan kesan-kesan itu.

Aku tersenyum di hadapan cermin. Terasa bodoh pula aku menagisi semua kenangan itu. Aku menangis, sedangkan mungkin Yusrizal sedang ketawa kesukaan kerana berjaya membuatkan aku menangis. Sudah tentu ia umpama kemenangan buat lelaki itu. Ahh, untuk apa lagi aku memikirkan lelaki itu? Lebih baik aku mandi dan membersihkan diri.

Selepas berpuas hati dengan penampilanku pagi ini aku turun ke bawah. Sempat kulihat jam di tangan. Sudah menunjukkan pukul 7 pagi. Aku perlu bertolak awal ke UUM hari ini kerana aku punya kelas tepat pukul 8 pagi. Hai, agak malang aku semester ini. Tidak seperti semester sebelumnya. Kelasku setiap hari akan bermula pada pukul 10 pagi. Dapatlah aku menolong ibu apa yang patut dahulu sebelum bertolak ke UUM. Tapi tidak pada semester ini. Terutama sekali pada hari ahad dan rabu.

Suatu perkara yang tidak dapat aku biasakan lagi adalah aku terpaksa bekerja pada hari ahad. Kalau di negeri lain hari inilah yang ditunggu-tunggu, tapi tidak pada pekerja-pekerja yang mencurahkan khidmat di negeri Kedah ini. Cuti kami hanyalah pada hari sabtu. Itulah hujung minggu di sini. Tapi nasib baik jugalah aku bekerja sebagai pensyarah. Cutiku juga sudah semestinya lebih daripada pekerja-pekerja lain.

Aku menuruni anak tangga untuk ke dapur. Tiba-tiba perasaan hairan melanda hatiku ini. Selalunya waktu begini ibu sudah sibuk di dapur. Aku yang berada di bilik tingkat atas pun akan terbau aroma masakan ibu. Tapi untuk hari ini tiada pula aroma itu menyapa hidungku. Takkan ibu tak bangun lagi? Mustahillah. Abah yelah jugak. Sebab abah akan masuk pejabat pukul 9 pagi. Tapi itu tak bermakna ibu juga perlu bangun lewat. Jarang sekali ibu berbuat begitu. Sebagai seorang isteri, ibu akan memastikan semuanya tersedia awal untuk suami dan anak tercinta. Aku tahu itu kerana aku juga pernah menjadi seorang isteri suatu ketika dahulu.

Pantas aku mencari kelibat ibu. Tempat pertama tentulah didapur. Tapi tidak pula kelihatan ibu disitu. Kemana pula ibu ni? Aku keluar dari ruangan dapur dan menuju ke ruang tamu pula. Manalah tahu kalau-kalau ibu ada di situ. Dan jantungku bagai berhenti berdegup apabila terpandang tubuh kaku ibu disitu. Terlepas beg berisi laptop di tanganku ini. Laju sahaja aku mendapat ibu lalu memangku kepalanya. Apa yang terjadi kepada laptopku itu aku tidak peduli. Apa yang lebih penting sekarang ialah ibu.

“Ibu, kenapa ni? Ibu bangun bu,” panggilku bersama tangisan. Pipi ibu kutepuk berkali-kali. Tapi ibu masih tidak juga tidak sedarkan diri. Tidak pernah aku melihat ibu pengsan begini. Hatiku dilanda kerisauan yang teramat. Ya Allah janganlah apa-apa yang buruk berlaku pada ibuku.

“Ibu bangun bu. Jangan buat Ifa takut bu,” rayuku lagi. Tapi tubuh ibu masih jua kaku.

“Abah!!!!!!”

Ahad, 12 April 2009

Antara Benci dan Rindu 15

“Cantiknya!!!!”

Gaun malam berwarna biru muda yang mama tunjukkan kepadaku benar-benar membuatkan aku teruja. Dengan fabrik shifon yang telah dialas di bahagian dalam baju dan labuci bertaburan di bahagian dada, benar-benar menaikkan seri gaun itu lagi. Ditambah pula dengan jahitan manik di tepi kain sudah cukup membuatkan aku tidak berkelip mata. Keinginan untuk memiliki gaun itu juga begitu memuncak. Tetapi aku segera melupakan keinginanku itu apabila mataku tertancap pada tanda harga yang tergantung bersebelahan dengan gaun itu. RM700? Fuh, mahal giler! Dengan duit sebanyak itu bisa menampung kehidupanku selama sebulan. Tidak sanggup rasanya hendak aku habiskan dalam masa sehari.

“Cantikkan Ifa? Cubalah. Manalah tahu kalau seseuai dengan Ifa.”

“Eh, tak perlulah mama. Sesuai tu Ifa rasa memang sesuai. Tapi yang tak sesuai sekarang ni duit aje,” ujarku dengan nada gurauan. Aku tertawa kecil dengan kataku sendiri.

Ketika itu kami sedang berada di sebuah butik yang agak terkenal di kalangan orang-orang ternama seperti mama. Malam esok mama akan menghadiri jamuan tahunan AMA Holdings bersama papa. Jadi hari mama telah meminta aku menemaninya untuk mengambil baju yang telah ditempah mama sebulan lalu untuk dipakai pada malam itu. Butik inilah yang menjadi tempat mama dan rakan-rakan mama menempah pakaian. Kata mama pilihan di sini memang banyak. Selain mempunyai pakar perunding fesyen yang berpengalaman, mereka juga sangat menitikberatkan kepuasan pelanggan. Itulah yang menyebabkan mama menjadi salah seorang pelanggan tetap disini.

“Ish, yang tu jangan difikirkan sangat. Kalau difikirkan memang sampai bila pun tak ada peluang kita nak bergaya dengan baju cantik-cantik. Dah pergi cuba saja. Cantik tu!”

“Tak perlulah mama. Membazir saja. Lagipun Ifa nak buat apa dengan baju tu. Nak pakai pergi keje pun macam melampau sangat,” bantahku, lembut. Tidak mahu mengguris perasaan ibu mentuaku itu.

“Laa, esokkan annual dinner company kita. Bolehlah pakai esok. Takkan nak pakai baju lama kot. Ifa tu salah seorang isteri ahli Board of Directors. So, kenalah bergaya sikit.”

“Ifa tak pergilah mama,” beritahuku.

“Eh, takkan Ifa tak pergi? Rizal kan pergi esok? Takkan nak biarkan Rizal pergi seorang?”
Suamiku pergi? Tapi kenapa Rizal tak cakap apa-apa pun? Sebelum ini aku ingatkan suamiku itu tidak turut serta. Nak jawab apa kat mama ni? Memang nampak peliklah kalau Yusrizal pergi tanpa aku, kerana aku ini isterinya. Sebagai salah seorang ahli lembaga pengarah sudah semestinya agak janggal sekiranya dia pergi berseorangan.

“Dah, tak payah nak buat muka macam tu. Sekarang ni Ifa pergi cuba baju tu? Kita tengok sesuai ke tak? Ifa kena pergi majlis tu esok, tahu?”

Alamak, mama sudah mengeluarkan arahan. Bermakna aku sudah tidak punya pilihan lain. Mama pula sudah memanggil pekerja di butik itu dan menyuruhnya menurunkan gaun itu. Aku sudah tidak dapat berbuat apa-apa melainkan hanya menurut.

Ish, macam seksi pula baju ni! Bisikku sendirian di hadapan cermin. Sudah hampir 10 minit aku berada di dalam fitting room yang telah disediakan di butik itu. Enggan keluar kerana malu. Gaun ini memang cantik tapi kelihatan agak seksi. Tidak pernah aku memakai gaun yang secantik ini. Selama ini hanya baju kurung yang menjadi pakaianku. Kalau berseluar pun aku akan pastikan seluar yang kupakai itu bersaiz ‘L’. Manakala, blause pula akan kupastikan juga bersaiz ‘L’ iaitu jauh lebih besar daripada saiz tubuhku yang lebih kecil. Bagiku, ia lebih selesa.

Sedangkan baju ini pula lebih mengikut bentuk tubuh. Terserlahlah bentuk tubuhku yang sebenanrnya dengan gaun ini. Walaupun tiada seinci tubuhku yang terdedah, tetapi aku masih berasa malu kerana tidak biasa.

“Ifa, dah sudah ke belum?” Ketukan di muka pintu bilik persalinan itu memeranjatkan aku yang sedang kalut sendiri.

“Kejap mama. Ifa nak keluarlah ni,” laungku dari dalam. Aduh, apa-apa pun aku mesti keluar. Kasihan mama yang sudah lama menunggu. Lalu, dengan berat hati aku melangkah keluar selepas meletakkan tudung di kepala. Sekadar menutup rambutku yang terdedah. Takut juga sekiranya ada pengunjung lelaki di situ. Free saja mengumpul dosa. Dosa besar pulak tuh!

“Aduh, cantiknya menantu mama,” kata mama sebaik saja aku keluar dari fitting room. Kedua belah tangan mama mencapai bahuku lalu ditelek setiap inci tubuhku. Merona wajahku apabila dipuji sebegitu. Apatah lagi apabila aku menyedari kehadiran dua pembantu butik di situ. Mereka tersenyum melihatku. Entah untuk apa mereka tersenyum aku sendiri tidak mengerti.

“Cantik lah Ifa. Padan sangat dengan Ifa. Kalau Ifa pakai ni memang tak berkelip mata Rizal nanti. Kita beli ya?”

“Tapi mahal sangat la ibu. Sayang rasanya nak keluarkan 700 ringgit untuk beli baju ni,” aku cuba berkompromi dengan ibu. Berharap agar ibu faham dengan apa yang aku fikirkan. Gajiku sebagai account executive tidak seberapa. Walaupun hakikatnya aku punya suami yang kaya raya, tapi ia tetap tidak merubah kehidupanku. Nampak saja tinggal di rumah mewah, tetapi kehidupanku tidak semewah dan sebahagia yang difikirkan.

Boleh dikatakan hampir keseluruhan barang dapur aku yang sediakan dengan menggunakan duit aku sendiri. Yusrizal jarang sekali memberikan aku duit untuk berbelanja seperti lazim yang dilakukan oleh seorang suami. Sementelah pula dia jarang menyentuh barang-barang yang aku beli dan dan hidangan yang aku sediakan. Kebiasaannya, aku hanya memasak untuk diri aku sendiri. Mungkin itulah yang difikirkan lelaki itu. Untuk apa dia memberikan aku duit sekiranya dia langsung tidak memakannya.

Lelaki itu hanya akan memberikan aku duit sekiranya dia terniat untuk berbuat demikian. Dan selalunya dia tidak akan memberikannya secara langsung kepadaku. Dia hanya akan meninggalkan di atas meja makan bersama satu nota kecil yang menyatakan itu adalah untuk perbelanjaanku sehari-hari. Begitulah siksanya kehidupanku bersama Yusrizal. Dia bukan sahaja menyiksa aku secara zahir tapi juga batin.

“Alah, tak payah nak kasi alasan dekat mama. Kita beli saja gaun ni. Mama belanja!”

Terkejut aku dengan kata-kata mama itu. Masakan mama hendak belikan gaun itu untukku. Ah, segannya. Bukannya murah pulak tu. Nanti apa pula kata Yusrizal dan papa?

“Eh, tak payahlah susah-susah ibu. Oklah Ifa beli. Biar Ifa yang bayar sendiri.”

“Dah tak payah nak mengada-ngada. Mama belanja! Sekarang Ifa pergi salin baju ni,” arah mama dengan suara tegasnya. Kecut aku dibuatnya. Baru pertama kali aku melihat wajah mama segarang ini. Patutlah Nisa mengatakan yang mamanya juga seorang yang garang dalam kelembutannya itu. Hari ini baru aku dapat melihatnya. Suprise! Suprise!

Selesai urusan mama, dia mengikut aku pulang ke rumah. Risau juga aku sekiranya mama bertanya ke mama anak lelakinya itu. Jawapan apa yang harus aku berikan kerana hari cuti begini selalunya Yusrizal akan menghabiskan masa dengan kekasih kesayangannya. Lelaki itu jarang sekali melekat di rumah. Nampaknya aku terpaksa menipu lagi. Hai, banyak sungguh penipuan yang telah aku lakukan semenjak berkahwin dengannya.

Namun, aku sedikit hairan apabila sampai dirumah kereta milik Yusrizal ada terpakir di porch. Hairan pula aku. Yusrizal tak keluarkah hari ni? Selamat aku dari soalan mama dan yang pastinya aku tidak perlu menipu.

“Masuklah mama. Rumah semak sikit. Ifa tak sempat nak mengemas hari ni,” sopan aku menjemput mama masuk ke dalam rumah.

“Semak apa macam ni Ifa. Cantik aje mama tengok. Pandai Ifa menghias rumah. Nampak ringkas tapi cantik,” puji mama sambil matanya galak meliar ke sekeliling rumahku. Seperti pengkritik pula aku melihatnya. Segan pula aku dengan mama. Walaupun sudah berusia tapi tenaga mama masih utuh. Boleh dikatakan keseluruhan hiasan dalam rumah dan landskap luar adalah kerja mama. Mama memang meminati bidang hiasan dalaman dan mempunyai ijazah dalam bidang itu. Tapi minatnya hanya direalisasikan ke atas rumahnya saja kerana papa tidak membenarkan ibu bekerja. Betul juga bila aku fikirkan tindakan papa. Untuk apa mama penat bekerja sedangkan harta yang papa kumpul memang tidak habis di makan.

“Rizal mana ni Ifa?”

“Ada kat atas kot. Jap Ifa pergi tengok.”

“Tidolah tuh!” Gumam mama. Aku hanya tersenyum.

“Mama duduklah dulu ek. Ifa pergi kejutkan abang kejap.”

Mama mengangguk. Aku mula mendaki anak tangga menuju ke bilik Yusrizal. Gentar juga hatiku untuk memasuki biliknya. Selama ini Yusrizal memang melarang keras aku menjejakkan kaki ke bilik itu. Tapi untuk hari ini aku terpaksa melanggar larangannya.

Aku mengetuk pintu bilik Yusrizal perlahan. Takut didengari mama. Hairan pula orang tua itu nanti. Masakan hendak masuk ke bilik sendiri perlu ketuk dahulu. Tiada balasan! Selepas berfikir panjang aku memulas tombol pintu biliknya lalu menjengah ke dalam. Benar seperti yang dikata mama. Yusrizal kelihatan enak berselubung. Terfikir olehku yang dia masih belum bangun tidur sedari pagi lagi. Mata mestilah mengantuk sekiranya hampir subuh menjelang baru nampak batang hidungnya.

“Abang...” panggilku perlahan. Takut pula kalau-kalau memeranjatnya lelaki itu.

“Abang...” sekali lagi aku memanggil. Namun masih tiada balasan. Alah, liatnya nak bangun. Apa yang harus aku lakukan? Teragak-agak aku hendak menyentuhnya. Tapi apa jalan yang aku ada?

“Abang..” panggilku bersama goncangan lembut di bahunya. Perlahan-lahan Yusrizal membukakan mata. Kelihatan payah benar suamiku hendak memfokuskan pandangan. Sedangkan aku sudah gementar di dada menanti reaksinya apabila melihat aku nanti.
Seperti yang aku jangkakan. Pantas Yusrizal bangun. Matanya tajam merenungku. Aku terus menunduk. Tidak berani menentang pandangannya. Tambahan pula dia tidak berbaju. Hanya berseluar pendek. Malu aku melihatnya.

“Kenapa kau masuk bilik aku ni? Kan aku dah kata jangan masuk bilik aku. Kau tak faham ke?!!!!”

Bergegar tubuhku mendengar suaranya yang lantang itu. Hilang kata-kata yang telah aku hafal tadi.

“Apsal kau diam?!!!”

“Se..se..be..benarnya mama abang datang. Mama ada kat bawah. Ifa dah ketuk pintu tadi, tapi abang tak dengar.”

“What? Mama datang?” Pantas saja Yusrizal melompat dari katil. “Apsal kau tak cakap awal-awal?”

Membulat mataku melihat gelagat Yusrizal yang kelam-kabut. Laju saja kakinya melangkah ke bilik air selepas mencapai tuala. Terpinga-pinga aku dengan gelagat Yusrizal.

Namun beberapa saat kemudian dia keluar semula. “Aku nak kau bawa apa-apa yang patut barang kau masuk ke dalam bilik ni. Lepas tu kau kunci pintu bilik kau. Aku tak nak mama tahu yang kita duduk bilik berasingan. Lagi satu kemas katil ni. Aku nak mandi.”

Selesai ‘menyampaikan amanat’ kepadaku dia kembali semula ke dalam bilik air. Aku pula tidak menunggu lama. Pantas kakiku menuju ke bilikku dan mencapai apa yang patut memindahkannya ke bilik Yusrizal. Selepas mengemas katil Yusrizal, aku turun mendapatkan mama. Kasihan mama terpaksa menunggu lama.

“Hah, mana Rizal? Dah bangun belum?” tanya mama.

“Kejap lagi abang turun. Dia tengah mandi,” beritahuku.

“Laa, baru nak mandi? Ish, apalah nak jadi dengan budak tuh. Tak berubah-berubah perangai walaupun dah kahwin. Kamu tu nasihatlah sikit suami kamu tu. jangan dibiarkan sangat. Jangan sampai dia ingat kamu tak kisah, nanti lagi menjadi perangainya. Zaman bujang dulu bolehlah. Tapi sekarang dah ada isteri. Buat cara dah ada isteri. Bukan sesuka hati jea nak bangun ke tak nak bangun,” leter mama. Aku hanya tersenyum mendengar bebelan mama.

“Yelah, nanti Ifa nasihatlah abang tu. Lagipun kami baru kahwin ma. Mungkin abang dah biasa macam tu. Tak biasa lagi hidup berumahtangga ni,” belaku. Terpaksalah aku berbuat begitu. Takkanlah aku hendak join mama mengutuk suamiku. Nampak sangatlah nanti yang aku juga tidak menyenangi sikapnya yang satu itu. Eh, buka satu tapi banyak!

“Mama duduklah dulu. Ifa nak ke dapur buat air. Kesian mama terpaksa tunggu lama. Mesti dahaga.”

Mama hanya mengangguk kepala. Aku menuju ke dapur lalu menyediakan minuman untuk kami bertiga. Nescafe susu menjadi pilihanku kerana kedua beranak itu memang sangat gemarkan minuman itu. Selepas siap aku menatang dulang yang berisi air dan sedikit kuih-muih ke ruang tamu.

“Minumlah mama. Ni jelah yang ada. Ifa tak sempat nak beli barang-barang dapur lagi.”

“Yelah,” kata mama lalu mencapai cawan dan mencicip sedikit minuman yang aku sediakan.
Dalam masa yang sama Yusrizal melangkah turun. Terus saja lelaki itu mendapatkan mamanya. Dicium tangan dan pipi wanita itu. Mama kelihatan gembira dengan perbuatan anaknya itu.

“Dah lama sampai mama?” tanya Yusrizal.

“Hmm..dah nak balik dah baru Rizal nak turun,” ujar mama. Nadanya seperti sedikit merajuk.

“Alah, sorrylah mama. Rizal ngantuk sangat. Ada kerja yang perlu Rizal selesaikan semalam. Lepas subuh baru Rizal tidur, tahu?” bohong Yusrizal. Mungkin untuk menyedapkan hati wanita itu. Sedangkan aku lebih tahu hakikatnya.

Namun aku sedikit tersentak apabila suamiku itu melabuhkan punggung disebelahku. Begitu hampir sehingga menghilangkan jarak antara tubuhku dan tubuhnya. Itu semua menjadikan aku tidak selesa. Maklumlah, sebelum ini tidak pernah pun dia menyentuhku apatah lagi hendak duduk berdua serapat ini. Memang mustahil!

“Yelah,” kata mama sekadar menerima alasan anak lelakinya itu.

“Minumlah bang,” pelawaku kepada Yusrizal. Suamiku itu menganggukkan kepala sambil menghadiahkan senyuman manis buatku. Hatiku sedikit terusik dengan senyuman itu. Kacaknya dia. Tangan yang memegang cawan terasa sedikit bergegar. Nasib baik Yusrizal cepat mengambilnya dari tanganku. Kalau tidak mungkin mama akan perasaan rasa gementarku itu.

“Tadi sayang pergi beli apa dengan mama?”

Gulp..sayang? terasa tidak tertelan kuih yang baru kujamah. Suaranya lembut dan romantik sekali. Kukira panggilan sayang itu sudah tidak mungkin kedengar. tetapi nampaknya hari ini aku telah diberi peluang untuk mendengarnya.

“Belli baju. Tapi mama yang belikan untuk Ifa,” jawabku perlahan.

“Beli baju?” Terangkat sedikit kening Yusrizal.

“Aah Rizal. Cantik sangat Ifa bila pakai baju tu. Sebab tu mama belikan untuk dia. Rizal nak tengok? Mana Ifa baju yang kita beli tu?”

“Er..ada kat sana,” jawabku sambil menunjuk ke arah meja makan.

“Pergilah ambil. Kasi Rizal tengok.”

“Er..tak payahlah kot,” bantahku lembut.

“Laa..apa pula tak payah. Kasilah suami kamu ni tengok. Apa yang nak dimalukan?”

“Aah..sayang. Biarlah abang tengok. nak juga abang tahu, betul ke cantik baju tu.”

Aku tidak punya pilihan melainkan terpaksa membenarkan Yusrizal melihatnya.
“Emm..cantiknya!” puji Yusrizal. “Tapi sayang nak pakai kemana dengan baju cantik macam ni?”

“Laa..tanya pula Rizal ni. Ke majlis esoklah. Rizal tak pergi ke? Mama tanya Ifa tadi, dia cakap dia tak pergi.”

Aku melontarkan pandangan ke arah lelaki itu yang kelihatan sedikit gelisah.

“Eh, mestilah pergi,” kata Rizal. “Abang lupa nak cakap dengan sayang. Nasib baik mama dah cakap. Esok majlis pukul 8.30 ek. Ifa siaplah, nanti abang balik jemput Ifa sebab abang ada hal sikit dengan Syam petang esok,” beritahu suamiku. Hatiku girang tidak terkata. Nampaknya Yusrizal sekadar telupa. Kufikir lelaki itu memang tidak mahu mengajakku.

Keesokkan harinya, seawal jam 5 petang aku sudah memastikan segalanya tersedia. Pakaianku sudah digosok. Alatan make-upku juga sudah tersedia. Tinggal untuk dipakai sahaja. Terasa tidak sabar pula hendak menggayakan pakaian yang dibeli mama untukku di majlis malam ini. Apatah lagi aku bakalan berjalan beriringan dengan suamiku pula. Alangkah indahnya. Aku akan memastikan penampilanku sedikit berbeza malam ini. Biar dapat mencuri sedikit tumpuan Yusrizal buatku.

Yusrizal sedari pagi lagi sudaj keluar rumah bersama beg kecil. Apa pula yang berada di dalam beg itu tidak pula aku ambil tahu. Mungkin dia pergi berjumpa dengan Syam seperti yang dia beritahuku semalam.

Namun, sehingga pukul 9 malam, batang hidung suamiku langsung tidak kelihatan. Aku mula gelisah. Pada fikiranku tentu majlis sudah bermula. Mana pergi suamiku ini? Ahh, mungkin dia ada hal kot? Bisikku sendiri. Sekadar untuk menyedapkan hatiku. Aku melabuhkan punggung di sofa sambil sesekali mataku menjengah keluar apabila sesekali terdengar bunyi enjin kereta menyusuri di depan rumahku. Tapi aku hampa. Suamiku masih jua tidak kelihatan. Aku melihat jam di dinding. Sudah menunjukkan pukul 9.15 malam. Aku terus-terusan melihat jam itu sehingga tidak sedar bilakah masanya aku terlelap.

Apabila aku sedar hari sudah pagi. Pantas aku bangun dan menjengah keluar. Kelihatan kereta Yusrizal elok sahaja terpakir di porch. Fahamlah aku kini dengan apa yang berlaku. Suamiku itu memang tidak berniat hendak membawaku kemajlis itu. Telahanku semakin kuat apabila menerima panggilan daripada mama. Kata mama anak kesayangannya itu memberitahu aku tidak sihat dan tidak dapat menghadiri majlis itu. Aku tidak punya pilihan melainkan mengiyakan saja kata-kata Yusrizal itu. Tetapi hatiku pedih apabila mama memberitahu ada seorang wanita menemani Yursizal malam itu. Kata mama wanita itu adalah klien syarikat. Sedangkan firasat aku lebih kuat mengatakan itu adalah Anne. Hancur luluh hatiku saat itu. Air mata lahu sahaja membasahi pipiku. Sedarlah aku akan kedudukan aku disisi Yusrizal sekarang. Aku ibarat patung yang tidak bernyawa bagi dirinya.

Rabu, 1 April 2009

Antara Benci dan Rindu 14

Aku mengetuk-ngetuk meja sambil melihat jauh ke luar melalui cermin kaca sebuah retoran yang dipilih Yusrizal sebagai tempat kami untuk menjamu selera tengahari itu. Ibu, abah dan Yusrizal sibuk memilih makanan yang pelbagai. Sedangkan aku pula menjadi penunggu setia di sini. Aku tidak berniat untuk makan. Seleraku sudah hilang! Kukira hendak menelan dua butir nasi pun sudah tidak mampu. Aku hanya meminta abah membelikan aku minuman sahaja untuk alas perutku tengahari ini. Apa lagi kalau bukan teh ais kegemaranku.

Pada mulanya hairan juga orang tuaku kerana aku menolak untuk makan. Puas dipujuk mereka. Tidak ketinggalan juga Yusrizal. Katanya, takut perutku masuk angin. Penyibuk! Biarlah perut aku nak masuk angin, bukan perut dia. Yang sibuk sangat kenapa? Sifat degilku bukan mudah untuk dilenturkan. Apatah lagi jika melibatkan bekas suamiku itu, lagilah menjadi keras kepalaku. Aku tetap berkeras tidak mahu makan. Aku memberikan alasan yang aku kenyang. Mungkin ibu dan abah malas mahu memujuk lagi, lalu mereka terus berlalu untuk mengambil makanan.

“Hai, termenung jauh nampak!”

Aku mencebikkan bibir. Walaupun mataku masih menghala keluar tapi aku sudah tahu gerangan empunya suara itu. Makin menyampah aku dibuatnya.

“Ni, air yang Ifa pesan.” Yusrizal menghulurkan bekas berisi minuman kepadaku. Tanpa memandang wajahnya, aku terus mencapai gelas itu dan menghirup airnya. Tidak aku peduli pada mata nakal Yusrizal yang memerhati tingkah-lakuku. Yang aku tahu tekakku harus dibasahkan. Aku memang dahaga saat itu.

Selepas separuh gelas teh ais aku hirup barulah aku melepaskan straw dari bibirku. Lega rasanya. Terasa sejuk sikit badanku ini. Barulah senang hati. Namun kesenangan itu sedikit terganggu apabila terperasankan mata Yurizal yang masih tidak sedikit pun beralih dari wajahku ini.

“Kenapa pandang saya macam tu?” tanyaku, tidak puas hati. Lain macam saja cara lelaki ini pandang aku. Tiba-tiba otakku berfikir kemungkinan Yusrizal telah mengenakanku. Jangan-jangan dia dah letak ubat tidur kat dalam air ni? Tak pun dia dah pukau aku dengan air ni? Lagipun aku bukan meminta dia yang membelikan air ini, tapi abah. Kenapa dia pula yang membawakan minuman untuk aku. Mana abah? Aku pun satu, terus saja minum tanpa berfikir panjang. Kalau betullah dia dah letakkan something kat dalam air ni, maknanya aku sudah terlambat untuk mengelak.

“Mengutuk abanglah tu.” Yusrizal berserkap-jarang. Tapi nampaknya serkap jarang lelaki itu mengena pula.

“Yang awak pandang saya macam tu kenapa? Jangan-jangan awak dah masukkan ubat tidur kat dalam air ni. Tu yang awak pandang saya macam tu, tak tengok ubat tu berkesan ke tak, kan?”

Kata-kataku disambut oleh hilaian ketawa Yusrizal. Tapi masih lagi dalam volum yang kurasakan agak slow.

“Sampai macam tu sekali prasangka Ifa terhadap abang? Sayang, takdenyer abang nak buat benda-benda tak berfaedah tu. Buang masa aje.”

“Habis mana abah? Kan saya minta abah yang belikan, bukan awak!”

“Abah yang minta abang bawakan dekat Ifa,” terangnya.

“Yelah, mana abah? Takkan lama sangat pilih makanan?” tanyaku sambil mataku melilau mencari abah dan ibu. Tapi tidak pula aku nampak kelibat mereka berdua. Kemana mereka pergi?

“Abah dan ibu makan dah nak habis pun,” ujarnya sambil memuncungkan bibir ke arah meja makan yang terletak di sudut belakang restoran itu. Aku pantas mengalihkan pandangan. Alangkah terkejutnya aku apabila mataku menangkap kelibat mereka. Benar kata Yusrizal. Abah dan ibu sudah hampir selesai makan. Maknanya mereka memang sengaja membiarkan aku di sini bersama lelaki ini. Tiba-tiba saja aku merasakan ada gunung berapi yang bakal meletus. Sampai hati abah dan ibu buat macam ni. Kalau aku tahu lebih awal ini yang bakal mereka lakukan sudah tentu aku pulang dulu. Menyakitkan hati saja. Boleh juga merasa hidangan yang bakal aku masak sendiri. Ini tidak, terpaksa melangut mengadap muka mamat selenge ni. Hilang selera aku! Omel aku sendirian.

“Dah tak payah nak buat muka macam tu. Tak baik tahu marahkan orang tua,” tegur Yusrizal. Eleh, nak tunjuk baik konon! Tapi bila difikirkan ada benarnya juga. Berdosanya aku kerana marahkan ibu dan abah. Dengan jelas pulak tuh, aku tunjukkan kemarahanku. Malu pula aku dengan Yusrizal.

“Saya nak baliklah,” beritahuku dan terus mencapai handphone dan dompet kecilku.

Yusrizal yang baru menjamah makanan terkejut. “Eh, takkan dah nak balik. Abang makan pun tak habis lagi. Nanti ibu nak balik dengan sape?” tanyanya dengan suara yang agak cemas.

“Ada saya peduli awak dah habis makan ke belum? Pasal ibu awak tak payah nak risaukan. Abah boleh hantarkan. Tak pun apa kata awak buat amal jariah sikit. Tolong hantarkan ibu balik ek,” kataku selamba dan berura-ura hendak bangun. Tapi nampaknya Yurizal lebih pantas. Tanganku digengamnya kuat. Tanda tidak membenarkan aku berganjak dari tempat dudukku itu.

“Eh, apa pegang-pegang ni? Lepaslah!” marahku sambil cuba melepaskan genggaman tangan kasar itu.

“Abang akan lepaskan, tapi sebelum tu sayang kena janji yang sayang akan temankan abang makan,” ugutnya. Aku mengetapkan bibir tanda tidak puas hati. Ah, lelaki ini penuh dengan ugutan.

Aku masih cuba melepaskan genggaman tangannya. Tidakku peduli kepada ugutannya itu kerna aku yakin jika aku berusaha pasti akan berjaya, ahaks. Boleh pakai ke pepatah saat macam ni? Ah, lantaklah. Yang penting tanganku harus dilepaskan.

“Ish, lepaslah. Sakit tahu tak? Tangan dahlah macam gorila!”

Sempat lagi aku mengutuk tangannya itu. Yusrizal melepaskan tawanya apabila mendengar kata-kataku itu. Kuat pulak tuh. Merona wajahku apabila pengunjung-pengunjung restoran yang duduk berdekatan dengan kami mula hilang minat terhadap makanan mereka kerana mungkin merasakan apa yang berlaku di depan mata mereka saat ini lebih menarik.

“Eh, awak tak malu ke? Semua orang dah tengoklah!”

“Biarlah orang tengok. Abang peduli apa. Kalau Ifa tetap berdegil, abang tak kisah kalau kita perlu begini sampai esok pagi!” ugutnya lagi.

Tak boleh jadi ni. Sudah penat aku mencuba tetapi masih tidak menampakkan hasil. Lenganku sudah berbirat dikerjakan dek manusia bertangan gorila ni. Peminat-peminatku drama sebabak yang aku persembahkan dengan Yurizal saat ini semakin bertambah. Malu tak usah dicakap. Kalaulah ada studentku di sini memang kes naya. Heboh satu UUM nanti, ‘pensyarah fakulti perakaunan main tarik tangan dengan lelaki’! Abah, ibu tolong Ifa! Mataku pantas mencari ibu dan abah. Pandangan penuh mengharap aku lemparkan buat mereka. Berharap mereka sudi menghentikan perbuatan tak berakal Yusrizal ini.

Dari jauh dapat kulihat riak kerisauan di wajah ibu. Mungkin takut sekiranya Yusrizal melakukan perkara-perkara yang tidak baik terhadapku. Tahu pun risau! Tapi tinggalkan aku berdua dengan lelaki sewel ni. Aku alih pandangan buat abah pula. Abah tersenyum melihatku. Ahh, abah! Waktu gawat macam ni pun boleh senyum lagi. Tapi senyuman abah disusuli dengan anggukan pula. Apa erti anggukan itu? Aku kurang mengerti. Abah seakan memahami kerutan di dahiku ini. Lalu abah memberikan isyarat mulut dan tangan terhadapku. Barulah aku mengerti. Rupanya abah mahu aku duduk semula. Ah, tidak! Aku takkan ikut kehendak lelaki ini. Tapi kalau aku tak turutkan aku juga yang bakal malu. Makin ramai pula peminatku nanti. Alamak, tak boleh jadi ni! Pengurus restoran pun dah menjeling semacam ni. Malunya!

Lalu tanpa berfikir panjang aku kembali duduk di hadapan Yusrizal. Lelaki itu lantas tersenyum senang. Mungkin merasakan kemenangan di pihaknya. Aku menjeling tajam. Tak apa, hari ni hari kau. Hari aku belum sampai lagi. Sampai hari aku nanti tahulah nasib kau wahai manusia bertangan gorila! Cemuhku di dalam hati.

“Hello, saya dah duduk kan? So, boleh tak lepaskan tangan saya ni?”

“Ok,” ujar lelaki itu. Masih tersenyum. Langsung tiada riak bersalah diwajahnya kerana telah memalukan aku. Ahh, dasar lelaki muka tembok! “Rasa macam tak nak lepas. Seronok pulak!”

Aku menjegilkan mata. Dia tertawa kelucuan dengan tingkahlakuku itu. Kemudian dia kembali menjamah makanannya.

Aduh, sakitnya tanganku ini. Merahnya! Berbirat pulak tuh! Alamak, berapa hari nak hilang ni? Sakitnya hati. Kalau ikutkan hati mahu aku cekik saja lelaki ini biar mati. Kecik-kecik tak nak mampus. Dah besar menyusahkan orang.

“Nape? Sakit ke?” Yusrizal bertanya tiba-tiba. Mungkin dia perasan riak wajahku yang berkerut-kerut sambil menggosok lenganku yang digenggamnya tadi.

“Tak adalah, sedap sangat...,” jawabku dengan nada ceria yang dibuat-buat. Sudah nampak muka kita berkerut ditanya lagi. Apa dia ingat tangan dia tu lembut macam perempuan? Yang halus dan pasti tidak akan meninggalkan kesan sebegini di lenganku?

“Nanti hilanglah tu. Sakit sekejap aje,” ujar Yusrizal lebih kepada memujuk. Senang saja bercakap. Bukan dia yang rasa, tapi aku.

“Ifa...” panggil Yuzrizal apabila aku tidak memberikan apa-apa reaksi terhadap kata-katanya tadi. Aku memandangnya sekilas. Kemudian kembali menumpukan perhatian kepada lenganku.

“Ifa...” panggilnya sekali lagi. Kali ini suaranya kedengaran keras sedikit. Mungkin marah kerana aku tidak mengendahkannya.

“Boleh tak cepat sikit makan tu. Kalau ginilah awak makan sampai bila pun tak luak nasi tu. Saya nak balik ni!” Pantas aku memintas percakapannya. Malas mahu mendengar butir bicaranya yang lebih kepada perkara-perkara yang tidak berfaedah.

Wajah Yusrizal sedikit berubah dengan kata-kataku itu. Namun, dengan perlahan-lahan dia kembali menyambung semula makan. Tiada lagi suara yang kedengaran selepas itu. Sehinggalah dia selesai makan. Aku menarik nafas lega. Bermakna aku sudah boleh pulang ke rumah. Cepat saja aku mengemas barang-barangku. Bersedia untuk pulang.

“Nak kemana tu? Abang belum habis bercakap dengan Ifa lagi ni?”

“Apa lagi? Saya nak baliklah. Ibu dengan abah mesti dah lama tunggu!”

“Ibu dan abah agaknya dah sampai rumah dah pun!”

“What?” Aku pantas mengangkat wajah. Yusrizal hanya tersenyum sambil mengalihkan pandangan ke arah tempat yang diduduki oleh abah dan ibu tadi. Aku juga pantas memusingkan wajahku ke belakang. Benar seperti yang dikatakan Yusrizal. Meja makan yang diduduki oleh ibu dan abah sudah kosong. Bertambah kecewa aku diperlakukan sebegitu. Kenapa ibu dan abah hendak pulang tidak maklumkan kepada aku dulu? Kenapa tinggalkan aku begini? Sakitnya hati! Memang dah meletup ni!

“Jangan marahkan mereka. Abang yang suruh ibu dan abah pulang dulu. Abang ada perkara nak cakapkan dengan Ifa. Nak minta tolong sebenarnya,” terang Yusrizal dengan nada yang lembut. Pandailah, nak minta tolong suara lembut bukan main. Hai Yusrizal, kalaulah kau bersuara lembut begini dahulu sudah mungkin bukan layanan yang sebegini aku persembahkan buatmu. Biarpun kau tidak mencintai aku, tetapi aku tidak kisah kerana layanan sebegini sudah mencukupi buatku.

“Awak nak minta tolong apa? Cepatlah?” Aku mula berkompromi. Malas lagi hendak bergaduh. Hanya menambahkan kedutan di wajahku ini. Cepat tua kata orang tua jika selalu marah-marah. Walaupun ternyata aku bukanlah muda remaja lagi.

“Hujung minggu ni company abang ada buat annual dinner. Jadi abang nak ajak Ifa temankan abang, boleh tak?”

“What? Temankan awak? Tak naklah!” Pantas saja aku memberikan jawapan tanpa berfikir dahulu. Memang mustahil aku menemankan lelaki itu ke majlis-majlis seperti itu.

“Alah Ifa, please. Abang tak tahu nak ajak sape ni. Abang bukan kenal sesiapa pun dekat sini melainkan Ifa sorang,” rengek Yusrizal dengan wajah kasihannya. Aku menjeling. Geli pula bila Yusrizal merengek seperti itu.

“Ooo..maknanya kalau ada orang yang awak kenal, awak takkan ajak sayalah, macam tu? Kalau macam tu saya dengan senang hatinya boleh offer kawan-kawan saya yang masih single kalau awak nak,” kataku dengan nada terkilan. Aku sendiri tidak mengerti mengapa aku perlu berasa terkilan bila Yusrizal berkata begitu. Perasaan aku pada waktu seperti mengkehendaki supaya Yusrizal mengajak aku kerana dia sememangnya mahu aku menemankannya.

“No, jangan salah anggap sayang. Bukan begitu maksud abang. Kalau boleh memang abang nak Ifa yang temankan abang. Ifa masih ingat dulu, masa kita masih suami isteri? Abang tak bawa Ifa kan? Tapi abang bawa Anne. Ifa ingat tak?”

Serta-merta wajahku berubah. Terasa ada air mata yang bergenang bilaku ingat peristiwa itu. Sebak mencengkam jiwa. Pantas aku alihkan wajah dari pandangan Yusrizal.

“Abang tahu Ifa terluka malam tu. Hati abang tersentuh bila abang pulang, abang tengok Ifa tertidur dekat sofa dengan pakaian yang mama belikan untuk dinner malam tu. Ifa tunggu abang ambil Ifa kan? Abang...”

“Cukup! Saya tak nak dengar!” serentak dengan itu air mataku menderu laju menuruni pipi. Cepat juga aku mengesatnya. Aku tidak mampu mengawal kesedihan bila mengenangkan peristiwa itu. Hilang maluku saat itu.

Yusrizal pula kelihatan tergamam apabila melihat aku menangis. “Ifa, abang.....abang tak bermaksud nak lukakan hati Ifa. Oh, no! What i’ve done? Ifa, please jangan menangis,” pujuk Yusrizal.

Namun itu belum cukup untuk menenangkan perasaan aku. Makin banyak pula air mataku mengalir. Sudah lama aku tidak menangis. Hari ini seakan-akan luahan perasaan buatku. Di depan Yurizal pula.

“Ifa, abang minta maaf kalau abang dah buat Ifa terluka. Abang tak bermaksud macam tu,” pujuk Yusrizal lagi.

“Saya nak balik!” aku terus bangun dan berlalu dari situ. Tidak berpaling lagi. Yusrizal juga tidak menghalang aku lagi. Aku malu sebenarnya. Menjatuhkan airmata di depannya memang tidak aku duga. Daripada dulu lagi aku memang tidak akan sesekali menangis di hadapannya, kecuali kalau aku benar-benar terluka. Tapi itu jarang sekali berlaku. Tapi kenapa hari ini mudah benar air mataku jatuh?