Rabu, 23 Jun 2010

Kau Yang Kunanti 5

Hakim nyata terkejut dengan kata-kata biadab Sofiana sebentar tadi.

“Apa yang Sofi cakapkan ni??” Marah Hakim. Wajah isterinya itu dipandang dengan riak marah dan geram yang begitu membukit. Sempat juga dia menangkap perubahan riak di wajah Amirah. Mungkin tidak menyangka yang Sofiana akan mengherdiknya sebgeitu sekali. Isteri keduanya itu ternyata tidak berubah. Sifat dengkinya terhadap Amirah tidak pernah hilang. Dan Hakim yakin sifat dengkinya itu akan lebih bermaharajalela bila melihat perubahan Amirah itu. Bagaimana cara hendak menangani sifat buruk Sofiana ini? Ahh, dia pun sudah malas hendak memikirkannya! Dia sudah bosan! Yang penting baginya adalah mendapatkan Amirah semula. Itu misinya sekarang.

“Betullah apa yang Sofi cakap. Perempuan ni sebenarnya nak merampas abang daripada Sofi. Sebab tu dia datang balik. Buat-buat tak kenal konon. Padahal nak tarik perhatian abang. Kau ingat aku tak tahu tektik kotor kau tu? Jangan haraplah perempuan. Aku takkan benarkan!!” herdik Sofiana lagi. Hakim mula berasa serba-salah. Terasa mahu sahaja melayangkan tangannya di pipi isterinya itu. Bicaranya semakin kurang ajar sekarang. Tetapi disabarkan hatinya. Bimbang lain pula yang akan terjadi nanti. Lagipun Sofiana sedang sarat mengandung.

“Hei, perempuan! siapa yang merampas siapa sebenarnya ni? Aku ke kau? Cuba kau fikir balik? Aku rasa kau yang merampas suami aku,” bidas Amirah dengan nada lembut tetapi sinis. “Perempuan tak tahu malu. Perampas suami orang!!” Kasar pula antonasinya kali ini. Amirah seakan melepaskan geramnya. Reaksinya itu mengejutkan Hakim dan Sofiana. Mereka seakan tidak percaya mendengarnya. Manakala Marissa pula hanya tersenyum bangga di dalam kereta. Selama ini Amirah tidak begini. Dia wanita yang lemah-lembut dan kurang berbalas kata. Kalau dia terluka pun dia hanya akan menangis. Tapi nampaknya kali ini Hakim dan Sofiana terpaksalah bersedia untuk berdepan dengan Amirah yang baru. Berkat ajarannya selama ini. Bangga juga menajdi guru tidak bertauliah temannya itu.

“Hei, kau tu yang perampas sebenarnya! Kau rampas kekasih aku!!” Sofiana semakin menggila. Panas hatinya mendengar kata-kata Amirah yang dianggap lancang sebentar tadi. Bagaimana Amirah seberani itu? sedangkan sewaktu di kampus dahulu wanita itu paling tidak berani membantah kata-katanya. memang mereka teman rapat. Tetapi dia berteman dengan gadis itu kerana dia fikir dia boleh menggunakan Amirah. Apa yang disuruh pasti akan turuti. Hasilnya dia boleh tenang berpacaran walaupun tugasan yang diberikan pensyarah berlambak. Semuanya diserahkan kepada gadis itu.

“Sofi sudahlah tu, tak elok bertengkar dekat sini. Malu kalau orang tengok. Lagipun Sofi tengah mengandung. Apa kata kalau Sofi pergi tunggu dalam kereta. Kejap lagi abang datang,” pujuk Hakim. Tetapi nampaknya pujukannya itu tidak berjaya mengeluarkan kedua wanita yang sedang merenung sesama sendiri itu. Pujukannya bagaikan dibawa angin lalu. Hakim semakin kuatir. Bimbang sekiranya pergaduhan antara isteri-isterinya ini akan menutup peluangnya memujuk Amirah kembali ke sisi. Hati yang terluka seperti Amirah perlu diubati dengan berhati-hati.

“Habis salah aku ke bila suami kau kejar aku macam ni? Bukan aku yang cari dia tahu? Dia yang datang cari aku!! Sebab apa? Sebab dia dah tak nakkan kau lagi!! kau tu yang terhegeh-hegeh nakkan dia!!”

“Kurang ajar punya perempuan!!” Sofiana sudah mengangkat tangan ingin menampar pipi gebu Amirah. Tetapi pantas dihalang Hakim. Tubuh wanita itu diperangkap kemas didalam pelukannya. Tidak akan dibenarkan tangan itu mencecah seinci pun tubuh isteri pertamanya itu.

Sofiana meronta-ronta ingin dilepaskan. Rontaannya begitu menggila. Dia seakan tidak sedar yang dirinya sedang sarat mengandung. Apa yang ada dalam fikirannya adalah ingin mengerjakan wanita yang sedang berdiri angkuh dihadapannya sambil berpeluk tubuh. Senyuman kebanggaan dihadiahkan buat Sofiana tanda kemenangan kerana Hakim sedang berusaha untuk melindunginya. Makin menambahkan sakit hati Sofiana.

“Abang kata sudah Sofi!!” tengking Hakim kuat. Membuatkan semua yang ada di situ beserta dua orang wanita yang baru memasuki kawasan letak kereta itu terkejut. Suara tangisan Nasuha yang berada di dalam kereta juga jelas kedengaran. Mungkin merasakan dirinya yang sedang dimarahi. Kanak-kanak memang begitu. Amirah pantas mendapatkan anaknya. Nasuha dipeluk erat. Belakang anak kecil itu digosok agar dapat mengurangkan rasa terkejutnya. Tidak berapa lama kemudian tangisan itu semakin mereda.

“Sofi pergi tunggu dalam kereta!!” Menyedari akan hal itu, Hakim merendahkan suaranya. Tetapi masih kedengaran tegas ditambah pula dengan wajah yang begitu bengis. Sofiana bengang kerana dimarahi begitu dihadapan Amirah. Terasa tebal kulit wajahnya saat ini. Inilah kali pertama Hakim meniggikan suara kepadanya. Dihadapan Amirah pulak tu!! Makin memuncak rasa sakit hatinya buat Amirah saat ini.

“Pergi!! Arah Hakim sekali lagi. Tanpa menuggu lama, Sofiana mencapai kunci kereta yang dihulurkan dan berlalu dari situ dengan jelingan yang begitu tajam buat Amirah.

Hakim menarik nafas lega. Dialihkan pandangan kepada Amirah yang sedang memujuk anak mereka. pandangannya tumpah ke situ. Sudah lama dia tidak menatap wajah anaknya, Nasuha. Terasa rindu begitu mencengkam dada saat ini. Hati yang panas sebentar tadi serta-merta sejuk begitu sahaja. Terus langkahnya diatur menghampiri mereka berdua.

“Hi, my little princess! Ingat abah lagi tak sayang?” Hakim menegur anaknya. Nasuha yang sudah berhenti menangis memalingkan wajah dan merenung lelaki di hadapannya. Lama wajah itu diamati sebelum segaris senyuman riang terukir di bibir comelnya.

“Abah..” Panggilnya dengan nada pelat sambil menghulurkan tangan minta didukung. Amirah dan Hakim berpandangan sesama sendiri. Tidak menyangka tempoh 6 bulan masih tidak menghilangkan memori anak kecil itu pada abah yang begitu rapat dengannya suatu ketika dahulu.

Hakim pantas mengambil Nasuha dari dukungan Amirah. Wajah comel itu dikucup bertalu-talu. Tubuh itu juga dipeluk erat bagi melepaskan rindu. Nasuha ketawa riang bila digauli begitu oleh abahnya. Amirah dan Marissa yang menjadi pemerhati drama sebabak itu hampir menitiskan air mata. Menyaksikan betapa dalam rindu anak sekecil Nasuha buat abahnya. Tiba-tiba rasa bersalah hadir di dalam hati Amirah kerana telah memisahkan mereka berdua.

“Anak abah sihat?” Hakim bertanya kepada Nasuha dengan wajah yang ceria. Berasa begitu bertuah mempunyai anak secomel dan sepintar Nasuha. Walaupun terpisah selama enam bulan, anak itu tidak pernah melupakannya. Tengoklah sekarang. Tangan kecil itu sedang memeluk lehernya erat. Tanda dia juga merindui abahnya.

Nasuha hanya tertawa riang sebagai jawapan kepada persoalan abahnya itu. Dia memang masih tidak boleh bertutur tetapi bicara orang dewasa mungkin boleh difahami. Dan dia akan bertindak balas dengan caranya sebagai anak kecil yang baru berusia setahun dua bulan.

“Abah rindu anak abah.” Sekali lagi sebuah ciuman hinggap di pipi tembam anaknya itu. Geram benar dia melihat pipi Nasuha. Semakin berisi. Membuatkan dia tidak berhenti-henti hendak menciumnya. “Suha hidup baik-baik tak dengan ibu selama abah tak ada? Mestilah kan? Anak abah kan bijak? Sayang dia..”

Hakim terus berkomunikasi dengan anaknya tanpa mengira pandangan Amirah dan Marissa yang tunak ke arahnya. Dia begitu rindukan anaknya. Sudah tidak peduli akan pandangan tidak selesa Amirah buatnya. Mungkin isterinya itu tidak senang melihat kemesraan dia dan anak mereka. Dalam hati dia sudah tersenyum senang. Mungkin inilah cara yang terbaik untuk membawa isteri dan anaknya pulang ke rumah. Melalui anaknya. ‘Terima kasih sayang, abah. Suha dah buka jalan untuk abah. Tolong abah pujuk ibu ya, sayang?’ Bicara Hakim dalam hati. Berharap isyarat matanya dapat difahami oleh hati si anak.

“Suha mari dekat ibu, sayang. kita dah nak balik.” Amirah cuba mengambil Nasuha daripada Hakim. Masa yang diberikan buat Hakim untuk melepaskan rindu buat Nasuha sudah memadai, fikirnya. Namun Amirah sedikit tersentak apabila anaknya itu menggeleng tidak mahu. Semakin kejap pelukan tangan kecilnya di leher Hakim.

“Sayang, jangan macam tu. Jom kita balik. Suha budak baik kan? Nanti ibu bagi susu.” Sekali lagi Amirah mencuba. Susu terpaksa dijadikan umpan untuk merenggangkan pelukan erat itu. Lagipun sudah hampir dua jam anak itu tidak diberikan susu. Tentu dia sudah lapar benar.

Telahan Amirah benar. Mudah sahaja tubuh kecil itu beralih ke dalam dukungannya pula. Wajah Hakim ternyata kecewa. Berat benar rasa hatinya hendak melepaskan Nasuha kepada ibunya. Tapi dia terpaksa.

“Abang minta maaf bagi pihak Sofiana tadi,” ujar Hakim dengan nada penuh rasa bersalah.

“Tak apa,” balas Amirah pendek. Malas dia hendak memanjangkan semua itu. Akhirnya dia jua yang sakit hati.

“Mira maafkan abang, ya? Ikut abang balik rumah kita. Bina semula rumahtangga kita.”

Amirah menggelengkan kepala. “Sudahlah bang. Kisah kita sudah tamat!”

“Siapa kata? Mira masih isteri abang yang sah. Suha tu anak kita.” Hakim kembali bernada tegas tetapi masih kedengaran perlahan. Terpaksa menjaga perlakuannya kerana sedar mereka berdua sedang diperhatikan oleh teman Amirah dan anak mereka.

“Ooo..kalau itu yang mengikat kita sekarang, senang saja. Abang ceraikan Mira!!” Kata Amirah tanpa berfikir panjang. Kala itu tentu sahaja bergegar tiang arasy kerana seorang isteri sedang menuntut cerai daripada suaminya.

“Astaqfirullahazim..Mira. Mira sedar tak apa yang Mira cakap ni??”

Terkejut Hakim dengan permintaan Amirah yang tidak disangka-sangka. Marissa yang masih berada di dalam kereta juga nyata terkejut. Begitu mudah Amira meminta perpisahan.

“Mira sedar bang. Mira masih waras. Mungkin itu yang lebih baik untuk kita..” Ujar Amirah selamba. Tiada langsung riak bersalah di wajahnya. Itulah yang mengecewakan Hakim.

“Baik? Baik macam mana Mira? Dengan memutuskan hubungan yang lalal ni? Dengan memisahkan kasih sayang ayah dan anaknya? Itu yang Mira kata baik?”

“Ya! Memang itu yang terbaik. Mira sedar Mira orang ketiga dalam hubungan abang dan Sofiana. Jadi bila kita bercerai abang boleh teruskan hidup abang dengan dia tanpa gangguan. Dan Mira pun boleh teruskan hidup dengan orang lain.”

Hakim memandang wajah Amirah dengan renungan yang tajam dan sarat dengan persoalan. Kata-kata akhir Amirah sebentar tadi menambahkan rawannya.

“Dengan orang lain? Dengan siapa? Mira dah ada pengganti abang?”

“Ada pengganti atau tidak itu semua tak penting.”

“Penting bagi abang Mira. Mira kena ingat, Mira tu masih isteri abang. Jangan cuba-cuba nak main kayu tiga belakang abang.” Hakim memberikan amaran tegas. Terasa cemburu naik ke kepala. Dalam tempoh enam bulan terpisah pelbagai perkara boleh berlaku. Adakah isterinya itu sudah mempunyai teman baru. Kalau tidak masakan Amirah boleh berubah sebegini.

“Jangan cuba-cuba nak main kayu tiga konon. Habis abang dengan Sofiana tu macam mana pula, hah? Abang lagi teruk. Abang main kayu tiga belakang Mira. Alih-alih Mira dapat berita yang abang dah kahwin! Apa perasaan Mira waktu tu? Boleh abang bayangkan tak?”

Terdiam Hakim ditempelak isterinya. Dalam hati mengakui kesilapan diri. Jika dibandingkan dengan apa yang dia telah lakukan dahulu memang melampau. Mabuk cinta terhadap Sofiana sehingga lupa anak dan isteri. Dan sekarang dia sedang menanggung akibatnya.

“Abang minta maaf Mira. Abang sedar abang silap.” Nada suara Hakim berubah lembut. Dalam keadaan begini kenapa dia masih mahu menyakiti hati isterinya? Sepatutnya Amirah perlu dipujuk dengan lemah-lembut. Tapi lain pula yang terjadi. “Sebab tu abang nak bawa Mira balik ke rumah kita. Abang nak tebus semua kesilapan abang. Kita balik ya, sayang?”

Amirah menggelengkan kepala. “Semua tu tak mudah bang. Bagaimana dengan Sofiana? Abang fikir dia mahu berkongsi abang dengan Mira? Dia tak akan pernah mahu abang. Abang dah dengar sendiri kan tadi?”

“Soal Sofi, Mira jangan risau. Tahulah abang nak memujuknya nanti. Yang penting sekarang, Mira ikut abang balik.” Pujuk Hakim bersungguh-sungguh. Butir bicara Amirah sebentar tadi seakan memberikan sinar baru buat dirinya. Apa yang dilakukan sekarang adalah terus memujuk Amirah supaya percaya dengan dirinya.

“Tak mudah bang. Orang macam Sofiana tu sanggup lakukan apa sahaja untuk memisahkan kita berdua. Dan Mira nak abang tahu, Mira pun tak mahu dimadukan. Biarlah orang nak kata Mira pentingkan diri atau apa saja, Mira tak peduli. Kalau Mira tak dapat lebih baik kita berpisah.”

Hakim memandang Amirah dengan riak tidak percaya. Terasa kusut fikirannya saat ini. Amirah sedang memberikan kata dua. Sama ada mahu meninggalkan Sofiana atau dia sahaja yang akan pergi. Dan dia yakin kata-kata Amirah itu ada benarnya juga. Sofiana tidak akan bersetuju dengan hubungan mereka. kadang-kadang dia berasa hairan dengan sikap Sofiana. Sebelum kahwin dahulu dia begitu bersungguh-sungguh menyatakan kesanggupan untuk hidup bermadu. Juga begitu bersungguh-sungguh memberikan persetujuan supaya Hakim dapat melebihkan Amirah di peringkat awal perkahwinan mereka. Itu semua dilakukan untuk mengambil hati isteri pertamanya itu. Selepas kepercayaan daripada Amirah diperolehi, dia akan bertindak adil terhadap kedua isterinya itu. Tetapi lain pula yang terjadi. Sofiana sering menjadikan alahan di peringkat awal mengandung sebagai alasan untuk memanggil Hakim pulang ke rumah. Dan Hakim tiada pilihan melainkan menuruti. Tetapi bila sampai ke rumah, dilihatnya isteri keduanya itu sihat-sihat sahaja.

“Kenapa? Susahkan nak buat keputusan? Mira yakin abang juga takkan pernah tinggalkan isteri abang tukan? Maklumlah, cinta pertama! Susah nak dilupakan. Sebab tu Mira tak nak abang buat keputusan. Biar Mira saja yang berundur.”

“Tak, jangan buat keputusan terburu-buru Mira. Banyak cara lain lagi kita boleh lakukan untuk selesaikan masalah kita ni. Asalkan Mira mengikhlaskan hati, kita akan dapat bahagia bertiga.”

Kata-kata Hakim membuatkan hati Amirah tiba-tiba panas. “Mira yang patut mengikhlaskan hati? Kenapa Mira? Kenapa bukan Sofiana atau abang sendiri? Selama ni ada Mira bersuara tak puas hati bila abang kahwin lagi? Ada Mira pergi serang Sofiana? Tak ada bang? Malah, Mira yang mengikhlaskan hati menerima kecurangan abang pada Mira. Mira redha. Tapi nampaknya keredhaan Mira tu masih tak cukup untuk abang kan? Abang nak suruh Mira redha macam mana lagi? Redha abang abaikan Mira? Redha biarkan abang bermalam setiap hari di rumah isteri kedua? Macam tu ke baru dikira mengikhlaskan hati? Hah???”

Hakim terdiam diherdik begitu. Mujurlah Nasuha sudah diambil teman Amirah sebentar tadi. kalau tidak tentu anaknya itu akan menangis bila mendengarkan suara ibunya yang meninggi. Nampaknya dia tersilap kata. Kata-kata berupa pujukan sebentar tadi telah menaikkan suhu kemarahan Amirah padanya. Dia tidak bermaksud begitu. Dia punya maksud lain disebalik kata-katanya sebentar tadi. Tapi bagaimana harus diterangkan kepada isterinya itu. Dia sendiri tidak tahu bagaimana hendak menyusun kata-kata.

“Dahlah bang, Mira nak balik!” Kata Amirah, lalu melangkah untuk ke tempat duduk pemandu. Sudah lama rasanya dia disitu. Sekarang dia perlu pulang untuk meredakan kemarahannya itu.

“Nanti dulu Mira. Kita belum habis berbincang,” tahan Hakim. Dia tidak mahu isterinya itu pergi dengan membawa rasa sakit hati. Mereka perlu mencapai kata sepakat. Kalau Amirah pergi bergitu sahaja bagaimana dengan rumahtangga mereka. Takkan hendak dibiarkan sepi begitu sahaja.

“Nak bincang apa lagi abang? Semuanya dah selesai. Itu sahaja jalannya. Kita bercerai. Mira tak mahu menyusahkan sesiapa lagi.”

“Tak, abang takkan pernah ceraikan Mira!!”

“Terpulanglah abang. Abang buatlah keputusan abang sendiri. Semuanya terletak pada tangan abang sekarang. Mira pergi dulu.”

Hakim bertambah kalut. Kali ini dia memang sedang melihat Amirah sedang menghampiri keretanya. Wanita itu benar-benar ingin meninggalkannya lagi.

“Mira nanti dulu. Boleh tak Mira bagi alamat dan phone number Mira?” Pinta Hakim. Ya, memang itu perkara yang sepatutnya Hakim minta dari tadi. Tanpa semua itu peluangnya untuk bertemu dengan isterinya tidak akan pernah ada lagi.

Amirah memandang suaminya sekilas sebelum berlalu meninggalkan suaminya di situ. Permintaan Hakim hanya dibiarkan sepi. Sekali lagi Hakim kehampaan. Hendak mengejar dia tidak berdaya. Hendak memaksa pula tidak sanggup. Bimbang hati isterinya akan lebih terluka. Oleh itu, perkara yang boleh dilakukannya adalah hanya melihat isterinya mengerluarkan kereta dari tempat parkir.

‘Selepas ini bagaimana hendak abang menghubungimu, sayang? kenapa Mira nak tinggalkan abang lagi?’ Rintihnya dalam hati. Dia seakan berputus asa. Namun ada sesuatu yang pelik sedang berlaku. Matanya terpaku kepada rakan Amirah yang duduk disebelah tempat pemandu. Wanita itu sedang mengeyitkan mata kepadanya sambil menunjukkan isyarat pada kad yang sedang dipegangnya. Hakim tidak memahami. Perilaku gadis itu seakan sedang mengelak daripada pengetahuan Amirah yang sedang sibuk mengundurkan kereta. Kad tersebut tiba-tiba sahaja dilontarkan keluar daripada kereta. Dengan pantas Hakim mendapatkan kad itu lalu memeriksa isinya. Saat itu hatinya berbungan riang. Kad itu merupakan “business kad” Amirah. Dalam hati dia amat berterima kasih kepada rakan Amirah itu. Senyuman tidak lepas dari bibirnya apabila mengenangkan hubungannya dengan Amirah yang layu suatu ketika dahulu akan kembali mekar.

Hakim pantas memasukkan kad itu ke dalam kocek seluar untuk mengelakkan daripada diketahui Sofiana. Bimbang sekiranya isteri keduanya itu bertindak merosakkan kad itu. Dia juga yang akan putih mata. Tanpa dia sedar perlakuannya sudah lama diperhatikan oleh Sofiana.

“Jangan ingat aku akan biarkan kau berdua bersama semula. Sampai ke mati aku takkan biarkan. Hakim milik aku seorang!! Aku akan musnahkan satu-satunya jalan untuk Hakim kembali kepada Amirah! Kau memang silap Amirah kerana cari pasal dengan aku!!”

8 ulasan:

  1. laki cmni x layak dimaafkan...
    mintak fasakh je...

    jgn buat mira mudah time hakim..
    n jgnla kc mira bermadu...
    kalo la si sofi 2 keguguran..
    dpn muker..
    perampas!

    BalasPadam
    Balasan
    1. aq sokong!! laki jnis cm tu g campak lombong!

      Padam
  2. hehee..saba2 jgn emo..nnt Ida pulak serba salah nak tulis..saba ye kawan2..

    BalasPadam
  3. eee..geramnya dgn sofiana 2..rasa mcm nak tarik2 saje rambut dia spi botak..hahahaha,emosi lebih ni!..thanks ida, pandai u tulis cerita ni..sambung...

    BalasPadam
  4. matikan je watak sofi tu..... jatuh tangga ke takpun dia sebenarnya ada affair dgn lelaki lain.

    BalasPadam
  5. yeye...kak ida dah mule buat entry ..hehe..ni yg sayang kak ida nieh..hehe

    BalasPadam
  6. akhirnye .. da lame tgu leh bukak blog nie

    BalasPadam

Hi kawan2..Selepas baca jangan lupa tinggalkan komen tau..wajib!!! hehee..sebabnya Ida suka baca komen kawan2..Nak tau jugak best ke tidak setiap post Ida ni..komen tau!!