Ahad, 27 Jun 2010

Kau Yang Kunanti 6

Jam sudah menunjukkan angka 4.30 minit petang. Hakim semakin gelisah. Apa yang dicari masih juga tidak menunjukkan tanda-tanda akan berjumpa. Sekejap lagi pasti Sofiana akan pulang. Kalau dia tidak cepat entah bilalah dia punya peluang untuk mencari lagi.

Seingatnya ‘Business Card’ Amirah telah tersimpan kemas di dalam kocek seluarnya. Apabila pulang ke rumah kad tersebut telah diletakkan di bawah tilam sebaik sahaja Sofiana menghilang diri ke dalam bilik air. Semua itu dilakukan untuk mengelakkan dari diketahui isterinya itu. Namun perancangan yang begitu rapi nampaknya masih jua sia-sia. Pada keesokkan hari kad itu hilang begitu sahaja. Sedangkan Hakim telah bercadang untuk terus ke rumah isteri pertamanya itu setelah tamat waktu kerja. Hendak pergi pada waktu siang bimbang pula jika isterinya bekerja.

Hakim bergerak pula ke arah almari yang menempatkan pakaian isterinya. Segala isi di dalamnya diselongkar. Setiap satu pakaian Sofiana dibuka daripada lipatan dan dikibarkan ke udara. Mungkin kad itu terselit di mana-mana. Dan dia berharap dengan kibaran itu akan menyebabkan kad itu tercampak keluar.

Namun, setelah hampir semua pakaian isterinya diselongkar, Hakim hanya mampu melepaskan keluhan kecewa. Kad itu masih juga tidak dijumpai. Dia meramas rambut dan ditebak ke belakang. Pingggang dicekak dengan kedua belah tangan sambil matanya meligas pantas ke setiap pelosok bilik. Bukan sahaja di bilik malah sudah hampir segenap pelosok rumah sudah dicarinya. Operasi mencarinya itu sudah dilancarkan sejak dua minggu dahulu. Saat di mana dia menyedari akan kehilangan kad itu. Hendak ditanya kepada Sofiana bimbang isterinya itu mengamuk pula. Dia cukup masak dengan perangai Sofiana yang tidak gemar nama Amirah disebut oleh dirinya.

Lalu, untuk mengelakkan kekecohan, Hakim bertindak mencarinya ketika Sofiana keluar bekerja. Setiap hari dia pasti akan pulang awal ke rumah. Tanpa sempat menggantikan pakaian kerja, kad itu terus dijejaki. Masa yang ada tidak sepatutnya diabaikan. Fikir Hakim.

Entah mengapa hatinya kuat mengatakan kad itu tidak hilang begitu sahaja. Ada seseorang yang telah mengambilnya dari bawah tilam tempat dia merebahkan diri pada setiap malam. Lagipun mereka hanya tinggal berdua. Tiada siapa lagi yang boleh dikenakan tuduhan melainkan Sofiana. Dia yakin Sofiana telah menyaksikan perilakunya dengan teman Amirah dua minggu lepas, iaitu ketika kad perniagaan isteri pertamanya itu dilempar ke luar kereta. Dan jika itu berlaku sudah tentu Sofiana akan berusaha untuk mengambil kad itu darinya. Mungkin juga Sofiana tidak berniat hendak ke bilik air tetapi berniat ingin mengintainya. Ahh, kenapa dia begitu lalai? Seharusnya alamat dan nombor telefon itu telah dihafalnya sebelum disimpan. Sekurang-kurangnya, kalau kad itu hilang pun dia masih boleh mengingati alamat dan nombor telefon Amirah.

Bukan niat di hati hendak berburuk sangka kepada isteri keduanya itu. Tetapi, berdasarkan sifat cemburu yang ditunjukkan buat Amirah memungkinkan segalanya. Hakim yakin memang dia tidak pernah menyentuh kad itu selepas disimpan dibawah tilam. Dia amat yakin itu! Jadi siapa lagi kalau bukan Sofiana? Kalau benarlah telahannya, entah bagaimana dia hendak menyifatkan cemburu Sofiana yang di tahap kritikal itu. Sedangkan Amirah juga isterinya. Amirah juga punya hak untuk diberikan perhatian sebagai seorang isteri. Seharusnya Sofiana tidak perlu mempersoalkan tentang itu kerana selama ini memang dia sentiasa melebihkan Sofiana.

Tetapi itu semua kisah enam bulan yang dulu. Sebaik sahaja Amirah meninggalkan dirinya, dia bertekad untuk bertindak adil kepada Amirah dan Sofiana biarpun isteri pertamanya itu telah hilang tanpa khabar berita. Dia serik! Dan dia fikir dia harus belajar untuk berlaku adil. Oleh itu, dia tidak pernah lupa untuk bermalam di rumah Amirah walaupun isteri dan anaknya itu tidak ada. Dia rela tidur sendirian di rumah itu asalkan dia tidak melakukan kesalahan yang sama sehingga menyebabkan Amirah meninggalkannya. Perasaan bersalah akan menguasai diri jika dia tidak pulang ke rumah itu pada hari giliran Amirah. Dia tidak mahu menyakiti hati isterinya itu lagi. Dia juga hanya memekak telinga apabila Sofiana mengatakan dirinya gila.

“Abang ni dah gila agaknya. Isteri pertama abang tu dah tinggalkan rumah tu. Buat apa lagi abang nak pergi bermalam di sana. Tinggal sajalah di sini. Bukan ada sesiapa pun di sana. Hantu adalah.”

Begitulah kata Sofiana buat dirinya. Tapi kata-kata itu sudah jarang sekali didengari sekarang. Mungkin isteri keduanya itu sudah bosan mengulangi perkara yang sama lantaran sikap tidak ambil pusing Hakim.

Hari pertama bermalam di rumah itu tanpa Amirah dia berasa sungguh sayu. Mata yang tidak mahu lelap dipaksa jua. Sungguh seksa dirasakan tidur tanpa ditemani orang yang disayangi. Sudah hampir dua tahun mereka melayari alam rumahtangga. Dan baru malam itulah dia tidur sendirian. Seakan terbayang-bayang tubuh Amirah di sisinya setiap kali dia merebahkan tubuh di katil itu. Tapi dia sedar semua itu hanya ilusi seseorang yang begitu merindui isterinya. Mungkinkah perasaan yang sama dirasakan Amirah semenjak dia mengahwini Sofiana? Ya Allah, dia berasa sungguh berdosa memperlakukan isterinya sedimikian rupa. Kenapa dia terlalu bodoh? Kenapa dia selemah itu? Kenapa dia membiarkan nafsu menguasai akal fikiran? Kalaulah dia menguatkan hati untuk menangkis godaan Sofiana dahulu, tentu semua ini tidak akan berlaku.

“Ya Rabbi..apa ni bang? Kenapa selerakkan semua baju-baju Sofi ni?”

Terperanjat Hakim apabila disapa suara nyaring Sofiana yang membingit. Matanya terpaku ke arah Sofiana yang sedang bercekak pinggang di muka pintu. Sempat juga dia menjeling ke arah jam di dinding. Baru menunjukkan pukul 5 petang. Kenapa isterinya itu pulang pula hari ini? Sedangkan waktu kerjanya tamat pada pukul 5.30 petang? Sungguh dia tidak bersedia hendak berdepan dengan Sofiana dengan keadaan bilik yang lintang pukang begini. Cadangnya dia akan kembali mengemas pakaian-pakaian isterinya itu selepas ini. Dia yakin dalam masa setengah jam baju-baju itu akan tersusun rapi di dalam almari seperti sebelumnya. Tapi nampaknya rencananya telah berantakan. Dia sudah tertangkap menyelerakkan pakaian-pakaian isterinya itu. Dan dia pasti sekejap lagi telinganya akan menanah dijamah suara Sofiana yang boleh menggegarkan seisi rumah.

Semenjak dua tiga bulan ini sifat sebenar Sofiana seakan terbuka di depan mata sedikit demi sedikit. Segala perilaku manja dan menggodanya dahulu hilang begitu sahaja. Ini mungkin juga disebabkan sikap Hakim sendiri yang lebih banyak menghabiskan masa untuk mencari Amirah. Tetapi itu tidak bermakna dia membiarkan Sofiana begitu sahaja. Tanggungjawabnya buat isteri keduanya itu dijalankan seperti biasa. Cuma Sofiana sahaja yang terasa diabaikan lantaran dikuasai cemburu yang menggila. Disebabkan bosan dengan sikap Sofiana itulah Hakim mengambil langkah tidak kisah. Sampai masanya Sofiana juga perlu diajar untuk menghormati hak orang lain, fikirnya.

“Dengan cadar tak berkemas. Barang-barang habis terbalik. Pakaian berlipat abang selerakkan. Eh, apa kena dengan abang ni? Abang tahu tak betapa penatnya Sofi nak kemaskan semua ni? Yang abang selerakkan kenapa? Apa yang abang cari?” Seperti yang dijangkakan Hakim, isterinya itu sudah mula membebel. Pada waktu itu Hakim bagaikan melihat nenek tua yang sedang meleteri anaknya. Berkeriut sana sini.

“Tak ada apa-apa,” jawabnya malas.

“Kalau tak ada apa-apa masakan berselerak sampai macam ni?” Tempelak Sofiana. Suaranya begitu meninggi. Kadang-kadang terasa tercabar juga ego seorang suami jika setiap hari diherdik sebegitu oleh seorang isteri. Tapi Hakim berusaha menyabarkan hatinya. Sofiana pula sedang mengandung. Jika dilayan egonya itu mahu terbalik rumah ini dia kerjakan.

“Sofi tak kira. Sofi nak abang kemaskan balik semua ni. Sekejap lagi kalau Sofi naik tak siap kemas juga lagi abang tidur dekat luar malam ni.” Sofiana memberikan amaran. Amaran yang langsung tidak mengocak kelakian Hakim. Namun dia tidak membalas. Sedar kesilapan sendiri. Kalau memang sudah dia yang selerakkan memang dialah yang akan kemaskan. Tidak perlu diingatkan tentang itu.

Selama ini pun boleh dikatakan dialah yang akan membantu isterinya itu melakukan kerja rumah. Dia sudah biasa melakukannya. Amirah yang mengajarnya sehingga dia tidak kekok bila berada di dapur. Dan bila berkahwin dengan Sofiana pun tabiat itu masih dikekalkan. Akan tetapi tabiatnya itu telah menyebabkan Sofiana semakin liat hendak melakukan kerja rumah. Dia hanya akan mengemas jika keadaan rumah terlalu teruk. Memasak pun hanya pada hari minggu. Bimbang sekiranya jemari halusnya menjadi kasar. Selalunya mereka akan makan di luar sahaja. Sarapan pula disediakan jika berkesempatan. Itu pun hanya roti bakar sahaja menjadi alas perut. Kalau hendak merasa makan nasi goreng atau mee goreng terpaksalah dia yang turun ke dapur.

Namun itu semua tidak menghalangnya untuk terus menyanyangi wanita itu. Segala keburukan isterinya itu hanya dipandang sebelah mata. Baginya itu tidak mencacatkan rasa cintanya buat Sofiana. Asalkan Sofiana pandai memanjakan dirinya dan pandai menjaga penampilan diri, itu sudah cukup baginya.

Tetapi entah mengapa hari demi hari Hakim merasakan dirinya semakin bosan dengan semua itu. Kecantikan Sofiana sudah tidak memberikan apa-apa makna semenjak Amirah meninggalkannya. Tanpa dia sedari, dia sudah pandai merindui cara layanan Amirah buat dirinya. Cara Amirah memanjakan dirinya. Dan juga cara Amirah menjalankan tanggungjawabnya sebagai seorang isteri. Dia rasakan diri Amirah terlalu sempurna sebagai isterinya. Tidak ada satu pun perlakuan Amirah yang tidak dirinduinya. Semuanya seakan terlayar di hadapan mata.

“Cepat kemas sekarang,” arah Sofiana lagi sebelum berlalu ke bilik air. Sempat juga dihadiahkan jelingan buat suaminya itu.

“Err, Sofi!” Panggil Hakim.

Panggilannya itu serta-merta menghentikan langkah lambat Sofiana yang baru sahaja sampai di muka pintu bilik air. Isterinya itu berpaling. Matanya terus dipakukan ke mata suaminya. Wajahnya masih menunjukkan riak marah.

“Ada apa?” Sofiana bertanya dengan nada suara yang mendatar.

Hakim pula serba-salah hendak bertanya. Tapi dia sudah penat berprasangka. Alang-alang sudah tertangkap lebih baik dia berterus-terang sahaja.

“Ada apa ni, bang? Sofi nak mandi ni!” Sofiana mengulangi pertanyaannya.

“Abang nak tanya, ada tak Sofi ternampak business kad yang abang letak bawah tilam ni?”

Sofiana memerhati ke arah tempat yang ditunjukkan Hakim. Dia terdiam untuk beberapa ketika sebelum menggelengkan kepala. Hakim cuba mencari riak kejujuran di wajah itu. Namun dia gagal mengesannya. Dia hanya mampu memandang tubuh isterinya itu menghilangkan diri ke dalam bilik air. Tidak berapa lama kemudian kedengaran air pancur mencurahkan ke lantai.

Hakim melabuhkan punggung dibirai katil. Hendak bertanya berlebihan bimbang pula dikatakan menuduh. Tapi dia yakin isterinya itu ada kena-mengena dengan kehilangan kad itu. Kalau tidak masakan Sofiana hanya menggelengkan kepala tanda menafikan. Tidak pula dia bertanya kad perniagaan siapa yang Hakim letakkan di bawah tilam itu. Selalunya isterinya itu banyak pula tanyanya.

Keluhan kasar dilepaskan. Semua tempat sudah dicari. Di mana lagi tempat yang berkemungkinan kad itu disorokkan? Atau mungkin kad itu telah dibuang ke dalam tong sampah? Atau mungkin juga telah dibakar? Ohh, tidak! Tidak sanggup dia membayangkan itu semua. Hanya itu sahaja jalan untuk dia sampai kepada isteri pertamanya.

Kepalanya dipegang dengan kedua belah tangan. Rambutnya pula diramas. Dalam kekecewaan itu tiba-tiba dia seakan tersedar. Cuma satu! Cuma satu tempat lagi yang dia tidak berpeluang untuk mencari. Dengan pantas dia berlari ke meja solek. Tas tangan Sofiana di capai lalu segala isi didalamnya dikeluarkan. Pergerakannya pantas. Bila-bila masa sahaja Sofiana akan keluar dari bilik air itu.

Perfume, lipstick dan barangan yang tidak berkenaan ditolak ke tepi. Dompet Sofiana dibuka lalu ditilik satu persatu ruangan yang berada di dalamnya. Pelbagai kad yang dijumpai tetapi masih bukan kad yang dikehendakinya. Lalu, dompet itu juga ditolak ke tepi. Tas tangan isterinya itu dicapai semula. Setiap kocek yang ada di dalam tas tangan itu diperiksa. Tiba-tiba dia terasa sesuatu yang keras dan agak kecil pada kocek paling belakang pada tas tangan itu. Hatinya tiba-tiba berdegup kencang. Terketar-ketar tanganya membukakan kocek itu. Dan akhirnya, apa yang diinginkan kini telah berada di tangannya. Pelbagai perasaan yang berbaur di dalam hatinya saat ini. Gembira, marah dan benci bercampur aduk menjadi satu.

Gembira kerana akhirnya kad itu dijumpai semula. Peluang untuknya bertemu dengan isteri dan anaknya terbuka semula. Marah dan benci akan sikap Sofiana yang seboleh mungkin cuba untuk memisahkan mereka. Jangkaannya selama dua minggu ini memang tidak salah. Ternyata Sofiana orang yang bertanggungjawab ke atas kehilangan kad itu. Betul kata Amirah. Isteri keduanya itu akan sanggup melakukan apa sahaja asalkan dirinya dimiliki seorang diri. Lalu, tanpa membuang masa Hakim terus menghafal setiap patah perkataan yang tertulis di atas kad itu. Dia tidak mahu pisang berbuah dua kali.

“Abang..” Kedengaran suara Sofiana kembali memecah keheningan bilik. Namun suara itu tidak meninggi seperti tadi. Suara itu kedengaran seperti seseorang yang sedang ketakutan. Perlahan-lahan Hakim berpaling merenungi isterinya itu. Wajahnya begitu bengis. Pada waktu itu dia dapat melihat dengan jelas tubuh Sofiana yang hanya berbalut tuala paras dada itu menggigil hebat.

Hakim mengangkat kad nama itu lalu ditunjukkan kepada Sofiana. “Apa maksud semua ni?” Soalnya dengan nada marah yang cuba ditahan. “Macam mana kad ni boleh ada dalam beg tangan Sofi? Sedangkan kad ni abang simpan bawah tilam. Boleh Sofi jelaskan?”

“Er..er kad tu...kad tu..” Sofiana berusaha mengerah otak untuk mencari alasan. Tapi nampaknya otaknya gagal berfungsi saat ini. Dia tidak tahu hendak memberikan alasan apa. Sememangnya dia yang mencuri kad itu. Semua itu dilakukan untuk menghalang Hakim dari menjejaki isterinya. Silapnya juga kerana tidak membakarkan saja kad itu. Pada awalnya dia memang berniat begitu. Entah bagaimana dia boleh terlupa. Dan sekarang Hakim telah menjumpai kad itu di dalam tas tangannya.

“Macam mana kad ni boleh ada dalam beg tangan Sofi?” Soal Hakim lagi. Kali ini soalannya itu dituturkan lambat-lambat. Sengaja memberikan isyarat gesaan dari pertanyaannya itu.

“Er..Sofi..Sofi..” Sekali lagi Sofiana gagal mengemukakan alasan. Sungguh akal penipunya amat buntu. Sedangkan gelagatnya itu telah memberikan kepastian kepada Hakim. Tidak perlu disoal lagi. Isterinya itu memang berhati busuk.

“Sofi apa?!!!” Hakim sudah mula menengking. Tersentak tubuh Sofiana dek kerana terkejut. Air matanya terus membanjiri kelopak mata. Tidak pernah dirinya ditengking sebegitu oleh Hakim. Namun sejak Amirah dijumpai tengkingan itu kerap kali kedengaran. Yang pasti semua itu telah membangkitkan kebenciannya buat Amirah berlipat kali ganda.

“Sofi sengaja curi kad ni supaya abang tak dapat jumpa dengan Amirah lagi kan?” Hakim menjawab bagi pihak Sofiana. Dilihatnya isterinya itu sudah tidak mampu lagi berkata-kata. Orang bersalah memang begitu. Dia memang jarang marah. Tapi sekali dia marah ia akan meletup seakan gunung berapi yang sudah lama tidak meletuskan lavanya.

“Kenapa Sofi buat macam ni? Apa yang Sofi dengki sangat dengan Amirah, hah? Selama ni pernah ke abang abaikan tanggungjawab abang pada Sofi? Takkan? Habis apa yang tak cukup lagi? Kenapa nak halang abang jumpa dengan isteri pertama abang? Kenapa Sofi nak pisahkan kami?”

Sofiana mengangkat kepalanya. Mata yang berair dipaksa menentang sinar kemarahan yang terpancar di mata suaminya. “Sebab Sofi nak abang jadi milik Sofi seorang,” jawab Sofiana dalam tangisan.

Hakim menolak rambutnya ke belakang. “Masyaallah Sofi. Apa yang Sofi merepekkan ni? Sofi sedar tak Amirah juga isteri abang. Dia isteri pertama abang. Dia juga ada hak ke atas abang. Sama macam Sofi. Kenapa pula sekarang sifat tamak timbul dalam diri Sofi? Kenapa dulu Sofi cakap Sofi sanggup berkongsi kasih abang dengan Amirah? Kenapa sekarang lain pula?” Marah Hakim lagi. Rasa marah yang begitu membukit cuba dikawal ke tahap minima. Mungkin sudah tiba masanya dia perlu berkomunikasi dari hati ke hati dengan isterinya itu. Dia perlu menyingkap rasa yang tersimpan si sebalik wajah yang cantik itu.

“Sofi tahu. Tapi dia rampas abang dari Sofi. Salahkah kalau Sofi nakkan hak Sofi semula? Lagipun kalau Sofi tak menyatakan kesanggupan untuk bermadu, mahukah abang ambil Sofi sebagai isteri? Mahukah abang ceraikan Amirah? Takkan? Sofi terpaksa!” Balas Sofiana, berani.

“Jadi Sofi perdayakan abang selama ni? Sungguh abang tak sangka Sofi. Hati Sofi busuk! Tak ada hati perut! Abang ingat selama ni Sofi ikhlas menerima Amirah sebagai madu, tapi abang silap. Abang menyesal sebab terpedayakan dengan janji-janji Sofi. Abang menyesal! Kerana Sofi, abang abaikan Amirah dan anak kami!” Luah Hakim dengan nada kesal yang teramat. Dia terduduk di birai katil. Dia benar-benar tidak menyangka yang dia telah termakan dengan janji-janji manis wanita yang berada di hadapannya ini. Sungguh dia tidak sangka!

Sofiana meluru ke arah suaminya. Dia melutut di sisi Hakim. Kaki lelaki itu dipeluk erat. Hatinya luluh melihat keadaan suaminya itu. Hakim tampak begitu kecewa. Dia tidak sanggup melihat keadaan Hakim itu. Tapi apa yang lebih dia tidak sanggup ialah mendengar kata-kata penyesalan Hakim ke atasnya. Suaminya itu seolah-olah menyesal mengahwininya.

“Abang jangan cakap macam tu bang. Sofi minta ampun. Tapi apa yang Sofi lakukan adalah kerana Sofi terlalu cintakan abang. Sofi tak sanggup berkongsi kasih abang dengan orang lain. Apatah lagi Amirah. Teman baik Sofi sendiri. Sofi tak boleh terima abang. Dia rampas abang daripada Sofi. Kerana dia abang tinggalkan Sofi,” rayu Sofiana sambil menyembamkan wajahnya di kaki Hakim. Air matanya menderu laju. Besar harapannya agar Hakim memaafkannya dan melupakan segala yang telah berlaku. Biarlah hidupnya dan Hakim bahagia seperti di awal perkahwinan mereka. Saat di mana Hakim sentiasa memberikan perhatian kepada dirinya seorang walaupun ada Amirah di antara mereka.

Rayuan Sofiana makin menyebabkan hati Hakim bertambah panas. Terus dia bangun dan menarik kakinya kasar. Tarikan itu menyebabkan pautan Sofiana terlepas. Semakin kuat esakannya kedengaran.

“Siapa cakap Amirah rampas abang daripada Sofi, huh? Sofi jangan nak letakkan kesalahan sendiri di bahu orang lain. Sofi yang tinggalkan abang. Konon nak mengejar lelaki kaya yang mampu nak melayan tabiat Sofi yang kuat bershopping tu. Masa tu abang ni apalah sangat. Tak berduit. Sebab tu Sofi tinggalkan abang kan? Sofi tahu tak abag kecewa sangat masa tu. Amirahlah yang banyak merawat kelukaan abang sehingga abang jatuh cinta dengan dia. Dia gadis biasa, tapi penuh dengan kelembutan. Sebab cinta kami berkahwin. Abang memang cintakan dia. Dan sekarang Sofi nak katakan yang Amirah rampas abang daripada Sofi? Nonsense!! Tilik kesalahan diri sebelum menuding jari pada orang lain. Sepatutnya Sofi bersyukur Amirah masih boleh menerima perkahwinan kita. Kalau tak disebabkan Sofi mungkin kita bertiga sudah bahagia sekarang. Tapi Sofilah penyebab rumahtangga kita berantakan!! Sofi penyababnya!!”

Hakim berkata kuat. Segala kekecewaannya seolah-olah cuba dikeluarkan bersama. Tapi itu dirasakan masih tidak cukup. Hatinya masih belum tenang. Sedangkan Sofiana makin galak menangis.

“Ampunkan Sofi bang. Sofi salah tinggalkan abang. Tapi dia tak sepatutnya muncul diantara kita bang. Dia tak sepatutnya ambil kesempatan. Memang Sofi tinggalkan abang untuk bersama dengan Akmal. Tapi abang percayalah, Sofi tak pernah cintakan orang lain melainkan abang. Sofi tak cintakan Akmal. Sofi hanya cintakan abang sorang.”

“Owwhh..dengan abang cinta. Jadi dengan Akmal, Sofi cintakan duit dia sajalah, begitu? Sebab tulah Sofi merayu nak balik pada abang dulu. Sampai sanggup hendak menjadi isteri kedua? Sebab abang dah bekerja? Berjawatan besar, macam tu? Sikap tamak Sofi memang tak pernah berubah kan? Harga cinta Sofi terlalu murah.”

Sofiana menggelengkan kepala. Kaki Hakim cuba dipeluknya semula. Namun suaminya itu lebih pantas menghindar. Dia tidak ingin disentuh wanita itu buat masa ini. Dia tidak rela!

“Ampunkan Sofi bang. Sofi janji Sofi takkan buat lagi. Sofi hanya cintakan abang. Sofi nak hiudp bahagia di sisi abang selamanya. Sofi nak abang!” Sofiana merayu lagi. Dalam hati dia menyesal kerana meninggalkan Hakim dahulu. Kalaulah dia tahu Hakim akan berjaya seperti sekarang, sudah pasti dia tidak akan meninggalkan lelaki itu. Dan pastinya Amirah tidak berpeluang untuk merampas cinta lelaki itu.

“Sudahlah Sofi, abang dah penat. Selagi Sofi tak berubah, selagi itulah jiwa Sofi akan sakit melihat kebahagiaan rumahtangga abang dengan Amirah. Sepatutnya Sofi bergembira kerana kita berjaya mengharungi hidup berkongsi tanpa ada masalah. Bukan berusaha meruntuhkan kebahagian orang lain dan membina kebahagiaan diri sendiri dia atasnya. Abang nak ingatkan Sofi, sama ada Sofi suka atau tidak abang akan tetap bawa Amirah dan anak kami pulang. Dia isteri abang. Dan berhak dapat hak dia ke atas abang. Sofi ingat tu!”

Sebaik sahaja ayat itu dituturkan, Hakim terus melangkah keluar. Tidak sedikit pun dia berpaling ke arah Sofiana yang sedang meraung memanggil namanya. Cuba menghalangnya daripada meneruskan niat murninya itu. Biar keluar air mata darah sekali pun, dia tidak akan berganjak dari keputusannya. Dia sudah tekad! Amirah dan Nasuha perlu dibawa pulang! Tunggu sayang, abang akan tawan hatimu semula.


p/s: ni new eps utk pembaca semua. sori kalau eps kali agak kureng skit. lepas ni insyaallah Ida akan selalu update blog ni. harap semua pembaca sudilah baca Kau Yang Kunanti ni ek. Lepas baca jangan lupa tinggalkan komen tau..Selamat membaca dan mengomen..hehee

4 ulasan:

  1. tq,ida..harap hakim dpt berlaku adil dgn isteri2nya...ajar sikit sofiana tu!.

    BalasPadam
  2. pehhh!! sgt sronok tgk hakim marah!! muahahaha..
    oppss!!

    kisah cinta amirah n hakim terjalin kembali. weooo~~

    BalasPadam
  3. sofiana tuh mmg terang2 bsalah, tp hakim pon xterkecuali..so due2 tuh yg salah....

    amirah & nasuha berhak meneruskan hidup masing2....cz kalo xde lelaki dlm idop amirah, die x mati pon kan? so xpyh trime hakim tuh balik....once u screwed up, there's no turning back...

    BalasPadam
  4. sofi tu memang terang2 bersalah.. patutnye hakim tu ajarlah betul2 si sofi tu.. dia kejam sgt.. smpai mira blh tinggalkan hakim..
    x pun ceraikan jer si sofi tu.. kejam sgt sofi tu..

    BalasPadam

Hi kawan2..Selepas baca jangan lupa tinggalkan komen tau..wajib!!! hehee..sebabnya Ida suka baca komen kawan2..Nak tau jugak best ke tidak setiap post Ida ni..komen tau!!