Khamis, 1 Julai 2010

Kau Yang Kunanti 7

Sudah dua minggu peristiwa di tempat letak kereta itu berlalu. Namun, ia tidak menghalang Amirah untuk terus mengingatinya. Puas dihalau memori itu dari singgah ke kotak fikirannya, tetapi ia datang menjengah jua. Ia seakan besi magnetik yang hanya mahu melekat di sudut fikirannya. Masih jelas di ingatan renungan Hakim yang mengasyikkan dan pelukan hangatnya. Tidak dilupakan juga riak penuh kejutan dan tidak percaya yang jelas sekali terukir di wajah itu.

Amirah akui walau sekeras mana pun dia bersuara menyatakan kelukaan, rasa rindu itu tetap hadir dicelah-celah kepedihan yang sekian lama bermukim di hati. Hakim tidak banyak berubah. Masih kacak dan tampan seperti dahulu. Cuma tubuhnya agak susut sedikit. Mungkinkah suaminya itu merindui dirinya? Tanpa sedar air matanya menitis di pipi. Meratapi nasib dirinya kini. Tapi untuk apa? Dia yang memilih jalan hidupnya begini. Alangkah bagus jika masa boleh diundurkan? Dia mahu pulang kembali ke zaman belajar mereka di Universiti Malaya agar saat cintanya menyulami hati Hakim dapat dielakkan. Jadi tidak perlulah dia merasa peritnya hidup saat ini. Tidak semena-mena Amirah terkenangkan saat di mana Hakim melamarnya. Saat di mana Hakim berjanji tidak akan mensia-siakannya. Betapa indahnya waktu itu.

“Kahwin dengan Hakim?” Amirah mengulangi pertanyaan Hakim yang baru sahaja menyapa telinganya. Mata yang sedikit sepet dibulatkan. Telinga yang sedari tadi hanya difokuskan kepada gelagat pasangan yang berada di sebelah mereka terus dipusatkan kepada Hakim. Lelaki itu sedang merenungnya dengan pandangan penuh mengharap. Dia seakan tidak percaya. Berkali-kali dia bertanya kepada diri sendiri. Dia salah dengar atau apa?

Namun anggukan lelaki itu membuatkan jantung Amirah berdegup kencang. Ternyata dia tidak salah dengar. Jadi inikah perkara penting yang hendak dibicarakan lelaki itu sehingga membawanya ke restoran berorientasikan selera Itali ini?

“Hakim bergurau kan?” Tanya Amirah cuba mencari kepastian di sebalik renungan itu.

“Tak, Hakim serius!” Jelas Hakim beserta gelengan yang menunjukkan dia tidak main-main. Menandakan apa yang lahir daripada bibirnya adalah suara hati yang penuh keikhlasan.

“Tapi kenapa tiba-tiba?”

Amirah sebenarnya keliru. Selama mereka berteman tidak pernah mereka berdua berbincang tentang perasaan. Mereka hanya sekadar teman rapat yang saling memerlukan antara satu sama lain. Namun, perubahan Hakim semenjak mereka mula memasuki alam pekerjaan sedikit ketara. Sesuatu yang tidak pernah mereka lakukan adalah bergayut berjam-jam di telefon selepas jam 11 malam. Tapi itulah yang terjadi selepas sebulan lelaki itu mula bekerja sebagai jurutera di salah sebuah syarikat pembinaan terkenal di ibu negara. Walaupun pelik dengan perubahan itu, tetapi rasa bahagia tidak dapat diusir pergi. Dia senang dengan perubahan perhubungan mereka itu.

“Bukan tiba-tiba. Dah lama sebenarnya Hakim fikirkan tentang hal ni. Tapi baru hari ini Hakim berani bersuara,” jelas Hakim lagi.

“Tapi...kita kan cuma teman rapat Hakim?”

Kelihatan lelaki itu menganggukkan kepala. Tanda mempersetujui kata-kata wanita dihadapannya ini.

“Memang kita teman rapat. Tapi tak salahkah kalau kita berkahwin. Kita halal untuk bernikah,” ujar Hakim dalam nada bergurau. Jelas senyuman mengusik terukir di wajahnya.

“Seriuslah Hakim. Janganlah main-main,” tegur Amirah. Dia tidak suka Hakim bercanda pada waktu kritikal begini. Hakim sedang melamarnya. Dan sekarang dia dalam keadaan yang tidak percaya. Bagaimana seorang teman melamar temannya sendiri? Sepatutnya Hakim cuba menyakinkannya saat ini. Bukan dengan bercanda begitu.

“I do. I do serious about this matter. Hakim tak main-main. Hakim memang nak Mira jadi isteri Hakim. Bukan lagi sekadar teman biasa. Tapi teman yang akan menemani Hakim hingga ke akhir hayat. Yang boleh menyayangi Hakim dan yang bisa Hakim cinta.”

“Cinta?”

Perlahan-lahan Hakim menganggukkan kepala. “Yes, cinta! Hakim cintakan Mira!”

Terlopong Amirah mendengarnya. Cinta? Hakim menyintainya? Tapi sejak bila? Bukankah lelaki itu menyintai Sofiana sehingga hampir gagal dalam peperiksaan akibat ditinggalkan wanita itu. Dan Amirah yakin, cinta untuk Sofiana masih ada di hati Hakim. Tapi bagaimana pula hari ini Hakim mengatakan cinta padanya?

“Kenapa? Terkejut?”

Sudah tentu Amirah terkejut dengan pengakuan itu. Siapa yang tidak terperanjat apabila seseorang yang telah dianggap teman baik meluahkan perasaan. Kalau orang lain mungkin dia boleh percaya. Tapi ini Hakim! Lelaki yang begitu setia pada cintanya walaupun telah dikianati.

“Hakim kan terlalu cintakan Sofiana? Macam mana tiba-tiba Hakim cintakan Mira pula. Tak masuk akallah Hakim. Kalau Hakim nak bergurau pun, ini bukan masa yang sesuai.”

Sekali lagi lelaki itu menggelengkan kepala. Jemari halus Amirah di atas meja dicapai lalu diusap mesra. Senyuman manis dihulurkan buat Amirah. Gadis itu semakin keliru. Matanya memandang jemarinya yang digenggam oleh Hakim. Satu lagi perkara yang tidak pernah dilakukan oleh lelaki itu sebelum ini. Amirah pula seakan terkaku dengan usapan itu. Lalu, bertindak membiarkan saja.

“Hakim dah katakan yang Hakim bukan bergurau. Hakim serius. Mungkin dulu Hakim cintakan Sofiana separuh mati. Tapi sekarang tak lagi. Dia dah tinggalkan Hakim. Kisah kami dah jadi sejarah. Bukankah Mira jugak yang nasihatkan Hakim supaya berpijak di bumi yang nyata dan jangan ikutkan perasaan kecewa? Hakim ikut nasihat Mira. Dan bila Hakim sedar masih ada cinta yang menanti Hakim. Putus cinta tak bermaksud the end of world kan? Hakim jumpa cinta tu Mira. Cinta tu ada depan Hakim sekarang,” terang Hakim panjang lebar. Matanya terus-terusan merenung sepasang mata hazel milik Amirah. Membuatkan gadis itu malu lalu menunduk dan membuang pandang ke arah tautan jemari mereka.

Buat sementara waktu mereka Hakim dan Amirah hanya mendiamkan diri. Amirah sibuk memikirkan lamaran Hakim. Manakala, Hakim pula hanya membuang pandang ke arah gadis itu. Mungkin memberikan sedikit masa untuk gadis itu berfikir.

“Mira takut kalau keputusan Hakim ni dibuat hanya disebabkan Hakim berasa sunyi. Yelah, selepas Sofiana pergi, Hakim tak pernah cari pengganti kan?” Duga Amirah.

“Siapa cakap Hakim tak pernah cari pengganti?”

Amirah mengangkat kepala. Merenung wajah yang agak serius itu. Kenapa Hakim bertanya sebegitu? Adakah Hakim pernah mencari pengganti Sofiana? Tapi kenapa dia tidak tahu? Ahh, sedar Amirah! Kau siapa pada dia. Cuma seorang teman. Takkan semua perkara hendak diceritakan pada engkau?!

“Mungkin sudah jodoh kita Mira. Mira hadir dalam hidup Hakim bila Hakim begitu kecewa. Mira berjaya mengisi kekosongan hati Hakim ni. Hingga Hakim rasa Hakim tak pernah sunyi walaupun tak ada teman istimewa. Kerana bagi Hakim, Miralah teman istimewa Hakim. Hakim tak tahu sejak bila Hakim pandai merindui Mira? Tapi Hakim yakin Mira adalah cinta Hakim. Dan Hakim juga yakin, Mira pun berperasaan yang sama kan?”

Telahan Hakim membuatkan Amirah gelisah tiba-tiba. Bagaimana Hakim tahu tentang perasaannya? Adakah ia begitu jelas ketara? Tapi tak mungkin! Dia sudah sedaya-upaya berlagak biasa walaupun hatinya begitu menyintai Hakim. Semua itu dilakukan untuk mengelakkan salah faham diantara dia dan Sofiana. Dia takut jika gadis itu menunduhnya tergila-gilakan kekasih orang. Tapi semenjak Sofiana meninggalkan Hakim perasaan itu semakin kuat mencengkam jiwa.

Siapa yang tidak jatuh hati dengan Hakim. Boleh dikatakan semua wanita yang mengenali Hakim akan merelakan hati mereka kepada lelaki itu. Tapi Sofiana yang dipilihnya. Sepatutnya gadis itu bersyukur. Tapi lain pula yang terjadi. Hakim ditinggalkan. Dan takdir telah menemukan Amirah dan Hakim dalam satu tugasan berkumpulan yang melibatkan subjek teras universiti. Semenjak itulah mereka semakin rapat. Kata Hakim, dia lebih senang bekerja dengan Amirah berbanding ahli kumpulan yang lain. Pada waktu itu Amirah terasa bagaikan mimpi apabila dapat duduk berdua-duaan dengan Hakim di perpustakaan untuk berbincang tentang tugasan tersebut. Satu perkara yang hanya terbayang dalam angan-angannya. Tapi itulah kuasa takdir Allah!

“Ap..apa yang Hakim cakapkan ni? Mak..maksud Hakim, Mira cintakan Hakim? Merepeklah Hakim ni,” dalih Amirah. Dalam diam dia mengutuk diri. Kenapa dia tergagap-gagap menuturkan kata? Mungkin itu semua akan menambahkan keyakinan Hakim pada telahannya sebentar tadi.

“Kalau merepek kenapa Mira genggam tangan Hakim kuat sangat ni? Mira gelabah, ya?”

Amirah nyata terkejut dengan teguran Hakim itu. Pantas matanya beralih ke arah itu. Benar! Pada saat ini dia sedang menggenggam jemari kasar Hakim dengan eratnya. Sehingga timbul segala urat yang ada. Entah bila dia pun tidak sedar. Pantas tangannya ditarik. Mahu melepaskan tautan jemari itu. Namun dia sedikit terpinga-pinga apabila Hakim tidak membenarkan. Tautan jemari mereka masih erat. Cuma yang berbeza bukan dia lagi yang menggenggam, tapi Hakim.

“Tak perlu nak menipu diri sendiri Mira. Hakim tahu Mira pun menyintai Hakim. Please terima lamaran Hakim. Dan Hakim berjanji tak akan sia-siakan Mira.”

“Macam mana dengan Sofiana?”

“Dia tak ada kena mengena lagi dengan Hakim. Mungkin dah bahagia dengan kekasih baru. Hakim pun berhak cari kebahagian diri Hakim sendiri. Kita kahwin, ya? Minggu depan Hakim minta parents Hakim jumpa dengan parents Mira untuk bincang pasal kita.”

Sekali lagi Amirah terlopong. “Cepatnya!”

Hakim tergelak dengan reaksi Amirah. “Lagi cepat lagi bagus, sayang. Hakim dah tak sabar ni,” bisik Hakim mesra. Hanya untuk pendengaran Amirah. Gadis itu tertunduk malu. Dalam diam dia mengukir senyuman. Hati sudah berbunga riang. Ternyata hari itu merupakan hari paling bahagia dalam hidupnya. Dilamar oleh orang yang dia cintai. Dan akhinya dia mengangguk setuju.

Lamunan Amirah terhenti apabila kedengaran loceng rumah tiba-tiba berdenting beberapa kali. Menandakan ada tetamu yang sedang menunggu di luar. Amirah mengerutkan dahi. Siapa pula yang ingin menziarahinya pada malam-malam begini? Dia membuang pandang ke arah jam yang tergantung di dinding. Sudah menunjukkan jam 10 malam. Walaupun bagi sesetengah orang waktu sebegitu masih terlalu awal, tapi tidak bagi Amirah. Baginya waktu sebegini semua orang sudah sepatutnya beristirehat di rumah. Bukan lagi mengunjungi rumah orang.

Terlintas di fikiran mungkin Marissa sudah pulang. Tapi takkanlah secepat itu? Sedangkan gadis itu baru sahaja dua hari berada di kampung. Katanya mahu menghabiskan cutinya selama seminggu di kampung. Masakan sudah berubah fikiran? Amirah sudah mula bersoal-jawab sendirian. Sesungguhnya dia takut hendak menjenguk ke luar. Sudah berbagai cerita seperti kes rogol dan pecah rumah yang dibacanya melalui dada-dada akhbar. Apatah lagi tinggal dia dan anaknya sekarang di rumah itu. Lagilah membuatkan wanita itu gentar.

Loceng rumah kembali berdenting. Mungkin tetamu itu merasakan dia sudah terlalu lama menunggu di luar, lalu tetamu itu membunyikannya sekali lagi. Dengan penuh berhati-hati Amirah menyelak langsir lalu menjengah ke luar. Dia seakan tidak percaya apabila matanya menangkap batang tubuh Hakim sedang berdiri di luar. Dengan pantas Amirah kembali menutup langsir itu lalu bersandar di balik pintu.

“Macam mana dia boleh datang ke sini? Dari mana dia tahu aku tinggal di sini? Hakim mengintip aku ke?” Amirah bermonolog sendirian. Dia sudah dilanda keresahan. Otaknya galak berfikir tentang tujuan suaminya itu datang ke rumahnya.

Dia memandang Nasuha yang sedang bermain sendirian di ruang tamu. Tiba-tiba dia jadi takut dengan kehadiran suaminya itu. Mungkinkah Hakim mahu merampas Nasuha daripadanya? Tidak!! Dia tidak akan benarkan. Nasuha adalah anaknya. Lelaki itu tidak berhak merampas anak ini daripada ibunya.

Amirah tidak berniat untuk keluar dan menjemput lelaki itu masuk. Biar lenguh jemari lelaki itu menekan loceng. Tetapi dia akan sesekali melangkah keluar.

Seperti yang diharapkan, loceng rumah itu tidak lagi kedengaran selepas beberapa minit dibunyikan. Amirah menarik nafas lega. Hakim sudah berputus asa barangkali. Namun tidak berapa lama kemudian telefon bimbitnya pula berdering. Pantas dia mencapai telefon bimbitnya yang terletak di meja kopi di ruang tamu itu.

“Nombor siapa ni?”

Hairan juga kerana si pemanggil tiada dalam senarai kenalannya. Tanpa mengesyaki apa-apa, Amirah terus menjawab panggilan tersebut.

“Hello, assalamualaikum.”

“Waalaikumussalam,” jawab orang disebelah sana. “Mira, abang ni!”

Untuk kesekian kali Amirah terperanjat. Hampir terlepas telefon di tangan. Bagaimana pula Hakim mendapatkan nombor telefon bimbitnya. Dia benar-benar todak percaya. Nampaknya Hakim benar-benar telah mengintipnya. Suaminya itu punya banyak wang. Mungkin tidak ada masalah sekiranya dia mengeluarkannya sedikit untuk tujuan itu.

“Mira, abang dekat luar ni. Abang tahu Mira ada dekat dalam. Abang nampak bayang-bayang Mira tadi. Tolong bukakan pintu pagar ni, sayang. Bang nak jumpa Mira dengan anak kita,” pinta Hakim lembut.

“Buat apa abang datang sini? Macam mana abang tahu alamat dan nombor telefon Mira? Siapa yang beritahu abang?” Bertubi-tubi soalan yang keluar dari mulut Amirah. Dia tidak berganjak sedikit pun dari tempat dia berdiri.

“Semua tu tak penting Mira. Yang penting sekarang tolong bukakan pintu pagar ni. Abang nak jumpa Mira dan anak kita,” pinta Hakim lagi. Dia sudah mundar-madir diluar. Tidak sabar menunggu isterinya itu membukakan pintu. Dia mahu menatap wajah itu lagi. Sudah dua minggu wajah Amirah menemani tidurnya. Hampir saban malam lenanya bermimpikan isterinya itu. Sehingga dia dan Sofiana bergaduh besar gara-gara isteri keduanya itu menangkap dia menyebut nama Amirah ketika tidur. Itulah penangan Amirah buat dirinya. Dia menjadi terlalu rindu untuk memeluk tubuh itu.

“Buat apa datang ke sini? Mira tak nak jumpa abang!”

“Tapi abang nak jumpa Mira dan Nasuha. I miss both of you so much. Please sayang, open the gate.” Hakim merayu pula. Dia tahu bukan senang dia akan memujuk Amirah sekarang ini. strategi perlu ada.

“No, pergilah balik bang. Jangan ganggu kami berdua lagi,” bantah Amirah.

“Ok, fine! Kalau Mira tak nak bukakan pintu pagar tak apa. Abang akan bunyikan hon kereta. Biar semua orang dekat taman di keluar. Mira nak macam tu?” Ugut Hakim. Kalau sudah dengan cara memujuk tidak berjaya, terpaksalah dia menggunakan kekerasan.

“Tak usah nak mengugut Mira. Mira takkan termakan dengan ugutan abang tu. Yang Mira nak sekarang abang baliklah. Kasihan Sofiana dekat rumah sorang-sorang. Dah hampir larut malam dah ni.”

“Pandailah dia nak menjaga dirinya sendiri. Dia dah biasa dekat rumah sorang-sorang. So, sekarang tak usah nak fikirkan orang lain. Fikirkan pasal kita saja.”

“Senangnya abang bercakap. Abang tahu tak sikap abang yang suka ambil mudah semua perkara ni dah buatkan Mira dan Suha menderita. Abang senang-senang berkahwin lain tanpa keizinan Mira. Lepas tu abang senang-senang abaikan tanggungjawab abang pada kami berdua. Sekarang abang nak senang-senang tinggalkan isteri yang abang sayang separuh mati tu kat rumah seorang diri malam-malam macam ni? Huh, senangkan bang?”

“Mira, abang datang sini bukan nak cari gaduh. Abang nak selesaikan hal kita. Tolonglah jangan nak mengungkit hal-hal lepas pada waktu macam ni. Kalau Mira nak marah, nak mengamuk, kat dalam nanti. Katalah apa saja yang Mira nak kata. Abang akan dengar.”

“Tidak! Mira takkan benarkan abang jejakkan kami abang kat dalam rumah Mira ni. Baliklah bang.”

Kedengaran dengusan kasar Hakim di corong telefon itu. Mungkim suaminya itu geram dengan sikapnya yang sukar untuk dipujuk. Tapi itu semua bukan salahnya. Hakim yang buat dirinya berubah sebegini. Hakim yang sepatutnya bertanggungjawab.

“Okay. Abang akan kira sampai tiga. Kalau Mira tak keluar jugak, abang akan bunyikan hon kereta ni,” ugut Hakim untuk kesekian kalinya. Kali ini dia tidak main-main. Dia benar-benar serius dengan apa yang dikatakannya. Dia yakin ini sahaja cara untuknya berjumpa dengan Amirah.

“Suka hati abanglah. Mira malas nak layan,”kata Amirah. Sikap endah tak endah isterinya itu membuatkan dirinya tercabar.

“Okay, satu....dua..”

Amirah hanya mengangkat kening sambil tersenyum sinis. Dia amat yakin yang Hakim tidak akan tega memalukan diri sendiri.

“Tiga...!!”

Tidak lama selepas itu kedengaran bunyi hon kereta bertalu-talu diluar. Sungguh bising dan membingitkan. Amirah terkejut. Manakala, Nasuha yang leka bermain menangis kuat kerana terkejut. Sungguh dia tidak menyangka Hakim akan mengotakan kata-katanya sebentar tadi. Fikirnya Hakim hanya mengugut.

“Abang..abang stop!!!” Amirah terpaksa menghalang akhirnya. Namun Hakim tidak mengendahkan kata-katanya. Bunyi hon kereta yang kuat itu masih kedengaran. Ia pasti akan menganggu jiran-jiran yang sedang beristirehat. Ahh, Hakim begitu menjengkilkan!

“I said stop it, bang!!!”

“Abang tak akan berhenti selagi Mira tak keluar!!” Balas Hakim sambil masih terus membunyikan hon. Suaminya itu memang sudah gila.

“Okay..okay Mira keluar. Puas hati? Sekarang tolong hentikan. Nanti jiran-jiran marah,” pohon Amirah. Sejurus selepas itu bunyi hon tersebut sudah tidak kedengaran lagi. Amirah menarik nafas lega.

“Okay..kalau Mira tak keluar, abang akan bunyikan hon ni lagi. Baik Mira cepat keluar. Sebelum abang hilang sabar,” kata Hakim sambil tersenyum puas. Dia sudah menang.

Amirah terus mematikan talian. Hatinya sebal. Sebal dengan sikap Hakim yang sedikit memaksa. Sejak bilalah suaminya berperangai begini. Setahunya Hakim tidak gemar memaksa. Mungkin sudah terkena badi si Sofiana. Gumamnya sendirian.

Hakim tersenyum senang saat Amirah muncul di muka pintu. Wajah itu tampak masam mencuka. Mungkin marah dengan tindakannya sebentar tadi.

‘Maafkan abang sayang. Abang terpaksa.’

Senyuman Hakim semakin melebar apabila ternampak puteri kecil kesayangan mereka dalam dukungan Amirah. Nasuha nampak begitu comel di matanya. Sama comel dengan ibunya. Hakim tidak dapat menafikan kedua-dua wajah itu sudah mendapat tempat teristimewa dalam hatinya saat ini. Tiada lagi wajah Sofiana. Hilang entah kemana dia sendiri tidak tahu.

p/s: hi kawan2..new episod Kau Yang Kunanti untuk anda. Enjoy reading and feel free to leave me some comments..

8 ulasan:

  1. uhhuhu
    xmo la honey2 ni
    create la hero bru

    BalasPadam
  2. mau Hakim ngan Mira jgk. Cintai Hakim bt Mira xpernah padam cuma xsalah langkah ja. Ada chance tuk baiki. Sapa kt hidup bmadu xleh bahagia. Jika ketua keluarga pandai mainkan peranan dlm m'urus keluarga n isteri2. Insyallah akn bhagia dunia akhirat.Sofiana harus diajar tuk hormat hak org lain, klu nk Hakim kn la bkorban, tul x. Sedar2 la Sofiana.

    BalasPadam
  3. Jgn la Mira bcerai ngan Hakim. Nnti ceta ni sm ja cam ceta pnulis ln. Hnya kerana suami bkahwin ln harus cerai. Writer u should make this story different from other writer. Sy nk tgk camna Hakim settle mslh dia ngan Mira n mslh Sofiana n Mira. Serlahkan credibility Hakim sbgai ktua keluarga, pmimpin. xnk wujud org ke-3 between Mira n Hakim ya. That my suggestion for u. :)

    BalasPadam
  4. biarlah mira dengan org lain... biar hakimi tue dpt pengajaran... biar kimi denga sofi, selayaknya bersama coz dua2 huhuhu...
    cite nie best... thumbs up to the writer... ;)

    BalasPadam
  5. watak Faris tu tak menyerlah lagi
    mungkin sebab tu all readers nak Hakim dan Mira

    BalasPadam
  6. meluat giler ngan tindakan hakim tuh...main ugut2 pulak...menyampah btol!

    kalo ida tanye saye, saye suggest ida satukan amirah ngan either faris atau lelaki lain yg lebih layak...bukan ape, pade saye hakim & amirah bersatu balik nmpak sangat xrealistik...come on, perbuatan hakim tuh kejam laaaa...siap kawin tanpe pengetahuan amirah lagi....kat situ jek dah nampak die bukan jenis yang setia...kalo nak salahkan sofiana tuh, mmg terang2 die 'home-wrecker'....tapi hakim dok layan smpai die pujuk utk kawen skali sedangkan awak tuh da kawin, siap ade anak lagi..ape nak jawab?

    tambahan pulak die xberlaku adil...bile amirah dah xde baru nak tsedar...kalo bende tuh berlaku kt perempuan skang, saye jamin, confirm hakim xkan bjaye pujuk punyer...unless dat woman is stu***....

    BalasPadam
  7. btol kata miss violet. watak faris belum menyerlah lg. romantik dia.. caring dia.. sume blom tahu lg. tu yg hakim jd pilihn.

    sy x kesa mana2 hero. yg pntg, romantik n caring dkt amirah n anak dia tu.

    BalasPadam
  8. saye setuju ngan komen tanpa nama tuh....

    hakim sebagai ketua keluarga xsepatutnye wat cmtuh kat amirah..lebih2 lagi amirah tuh isteri no 1 die....dah kawen xmintak izin, pastu blaku xadil plak tuh...

    tolong pair-up amirah ngan lelaki lain yer kak ida, baru best....saye dah bole agak, msti ramai yang nak mintak amirah+hakim..tapi saye xmcm dorg, sumer nak hepi ending ngn hakim..cliche sangat laaa....

    ~diana~

    BalasPadam

Hi kawan2..Selepas baca jangan lupa tinggalkan komen tau..wajib!!! hehee..sebabnya Ida suka baca komen kawan2..Nak tau jugak best ke tidak setiap post Ida ni..komen tau!!