Rabu, 20 Mei 2009

Antara Benci dan Rindu 21

Telah genap seminggu ibu keluar dari hospital. Ibu juga sudah semakin sihat. Sudah boleh bergelak ketawa dan sudah boleh melakukan aktiviti seharian. Cuma ibu tidak boleh selincah dulu kerana luka pembedahan ibu masih belum pulih sepenuhnya. Mungkin tidak berapa lama lagi akan sembuh.

Aku memerhati ibu yang kelihatan gembira sekali dikelilingi teman-temannya. Bukan main seronok lagi ibu berbual-bual. Tersenyum aku melihatnya. Senang hati dapat melihat ibu bergelak ketawa begitu. Hari ini keluargaku telah mengadakan sedikit kenduri doa selamat sebagai tanda kesyukuran kerana ibu telah sembuh daripada penyakitnya. Selain itu, dapatlah juga merapatkan hubungan kami sesama jiran.

Setelah penat melakukan bermacam-macam kerja aku melepaskan lelah di dapur. Terasa letih benar badanku hari ini. Hampir keseluruhan badanku terasa sengal. Kalaulah dapat aku melelapkan mata saat ini alangkah baiknya. Tentu aku akan tertidur sehingga ke pagi dengan nyenyak sekali.

Jam yang berdenting sebanyak sebelas kali menandakan hari sudah hampir dinihari. Tetamu juga sudah beransur pulang. Yang tinggal hanya jiran-jiran terdekat. Dalam hati aku berdoa agar mereka cepat pulang. Dapatlah aku menghabiskan semua kerja dan merehatkan badanku yang keletihan ini.

"Hai, penat nampak!" tegur Nisa yang baru masuk ke dapur. Aku hanya menghadiahkan senyuman padanya.

"Ramai jugak tetamu yang datang ye kak? Kata jemput sikit saja. Nasib baik makanan cukup."

"Itulah, akak pun tak tahu yang abah jemput ramai macam ni. Naik letih akak."

"Nisa pun letih jugak ni," ujar Nisa sambil menumbuk-numbuk bahunya lembut. Kasihan aku melihat wajah Nisa yang berkerut-kerut. Aku yakin Nisa tidak biasa melakukan kerja-kerja seperti ini. Maklumlah, anak orang kaya. Tapi gadis itu tidak cerewet. Tetap mahu meringankan tulang. Nasib baiklah keluarga bekas mentuaku dan jiran-jiran sudi membantu. Kalau tidak mahunya aku terkulai sebelum majlis bermula.

"Hai, kat sini rupanya budak-budak berdua ni! Ingatkan hilang ke mana."

Mama sudah tercegat di muka pintu sambil bercekak pinggang.

"Orang letihlah mama. Kasi la rehat sekejap," balas Nisa.

"Semua orang letih. Jom kita siapkan kerja. Sikit aje lagi. Lepas tu semua boleh rehat."

"Semua tetamu dah balik ke mama?"

"Dah balik semua dah. Tinggal kita je ni."

"Ifa ke depan dululah. Nak mengemas. Nisa rehatlah kalau letih. Kesian, tak berhenti-henti buat kerja tadi," ujarku. Lagipun Nisa adalah tetamu. Sepatutnya tidak perlu beria-ria melakukan kerja.

"Eh takde rehat-rehat. Pergi depan kemaskan apa yang patut!" marah mama. Aku lihat Nisa menarik muncung. Tidak senang kerana dipaksa mama. Aku tergelak dengan kelakuannya. Comel sungguh!!

Masing-masing terkulai di ruang tamu sebaik sahaja selesai mengemas dan mencuci pinggan. Letih sungguh nampaknya. Aku mengusap-usap kepala Nisa yang sudah terlentok dibahuku. Kasihan aku melihatnya.

"Mama sekeluarga tidur sinilah ye malam ni. Dah letih sangat Ifa tengok tu."

"Tak payah susah-susahlah Ifa. Satu hal pulak kamu sekeluarga nak menguruskan kami nanti."

"Tak ada susahlah mama. Tidur sinilah. Nisa ni pun dah tertidur dah."

"Betul cakap Ifa tu, Maria. Tidur sini ajelah. Esok baru balik. Dalam keadaan letih ni nak bawa kereta pun tak daya jadinya,"pujuk abah pula.

"Betul tu mama. Rizal tak larat dah ni," ujar Yusrizal pula sambil memicit-micit bahunya. Aku tersenyum melihat gelagatnya. Tapi senyuman itu aku sembunyikan dari pandangan semua orang. Agaknya inilah pertama kali Yusrizal melakukan kerja-kerja sebegini. Rasakan!

"Tapi esokkan Rizal kerja? Sempat ke nak pergi kerja esok?"

"Rizal tak masuk office kot esok. Tak ada yang penting pun esok."

"Kalau macam tu, kita tidur sini ajelah." Akhirnya mama memberikan persetujuan.

"Macam tulah. Hah, Ifa! Jom ikut ibu kemaskan bilik."

Aku mengangguk. Aku ingin bangun. Tapi agak sukar kerana kepala Nisa sudah terlentok di bahuku.

"Hoi, Nisa! Bangunlah. Tak senonoh betul anak dara ni." Yusrizal yang berada di sebelah Nisa memukul bahu adiknya. Terpisat-pisat gadis itu bangun.

"Apa abang ni? Jelous la tu tengok Kak Ifa usap kepala Nisa. Abang tak boleh!"

Bergema seisi rumah apabila Nisa berkata begitu. Merona merah wajahku dengan kata-kata sepontan Nisa. Cepat saja aku melangkah ke atas.

Keesokkannya aku bangun seawal yang mungkin untuk menyediakan sarapan. Aku kira aku yang awal sekali bangun, tapi rupanya aku silap kerana ibu sudah mendahului aku. Tapi kalau diikutkan, aku memang tidak akan bisa menyaingi ibu kerana ibu setiap hari akan bangun awal.

"Awal bangun hari ni," tegur ibu sebaik sahaja aku memasuki dapur. Sapaan ibu itu kalau diteliti betul-betul dengarnya seperti menyindirku. Senyuman sumbing aku hadiahkan buat ibu.

"Biasalah bu."

"Nisa dah bangun?" Ibu bertanya.

"Belum lagi. Kejap lagi bangunlah tu. Nak kejutkan kesian pulak. Letih sangat Ifa tengok dia."

Semalam Nisa tidur bersamaku. Rumah kecil seperti ini hanya terdapat empat buah bilik di dalamnya. Tidak seperti rumah Yusrizal di Kualala Lumpur dan rumahnya sendiri sekarang. itu pun nasib baik jugalah semua perabot di dalam bilik sudah kami sediakan sejak awal-awal lagi. Bimbang sekiranya ada sanak-saudara yang mahu tumpang bermalam.

"Dah, mari tolong ibu."

Aku mendapatkan ibu. "Apa sarapan kita hari ni, bu?"

"Ibu ingat nak masak nasi lemak. Dah lama tak makan nasi lemak."

"Bagus jugak tu. Ifa pun dah lama tak makan nasi lemak yang ibu buat."

Kami memasak dengan ceria sekali pagi itu. Maklumlah, sudah lama tidak berbual begini. Banyak benar perkara yang kami ceritakan sehingga tidak sedar telah mengejutkan seisi rumah.

"Maaflah semua. Kami ni bising sangat sampai bangun semua orang," kata Ibu yang ketika itu sudah selesai memasak. Aku pula membuat minuman.

"Tak adalah. Memang dah waktu bangun pun sekarang ni. Nak tidur sampai pukul berapa?" Mama membalas kata-kata ibu. Mungkin tidak berasa enak kerana ibu menyalahkan diri sendiri.

"Dapat tidur nyenyak semalam?"

"Memang nyenyak Shima. Tak sedar apa-apa pun! Tahu-tahu dah pagi."

"Sampai ada orang tu berdengkur," sampuk papa. Tidak lain dan tidak bukan mesti mahu mengenakan mama.

"Eh, mana ada! Abang tu yang kuat berdengkur nak mengata kita pulak?" bangkang mama, tidak mahu kalah. Aku ketawa melihat telatah pasangan suami isteri itu.

"Eh, Rizal dengan Nisa mana? Tak bangun lagi ke?" tanya abah tiba-tiba. Mungkin baru menyedari ketiadaan kedua beradik itu.

"Belum bangun lagilah tu. Budak berdua tu memang macam tu. Selagi matahari tak meninggi selagi tu tak bangun. Ifa tolong mama kejutkan Nisa dengan Rizal," pinta mama.

"Hah, Ifa?" Keliru aku dengan permintaan mama. Kalau Nisa bolehlah aku kejutkan. Tapi Rizal?? Ahh, apa susah? Lepas kejutkan Nisa, suruhlah Nisa kejutkan abang dia! "Yelah, Ifa kejutkan!"

Aku mendaki anak tangga menuju ke bilikku. Sebaik sahaja pintu bilik dibuka terpacul wajah Nisa yang baru selesai mandi. Tubuh gadis itu pula hanya dibaluti tuala.

"Sorry kak. Nisa pinjam towel."

"Gunalah Nisa. Kejap lagi Nisa turun ek. Kita sarapan sama-sama. Lepas tu tolong kejutkan abang Nisa ya."

"Alah, akak pergilah kejutkan abang. Nisa nak pakai baju ni."

"Nisa pakailah baju dulu. Lepas dah siap, kejutlah abang."

"Nisa rasa baik akak pergi kejutkan dia sekarang. Nisa ni siap lambat! Kalau lepas Nisa siap baru nak kejutkan abang, alamatnya tak sarapanlah kita. Akak kejutkan abang ek. Jumpa nanti." Gadis itu terus menutup pintu bilik. Meninggalkan aku yang terkulat-kulat di situ. Apa yang harus aku lakukan? Kejutkan atau tidak? Kalau perempuan tak apa. Ini lelaki! Janggal pula rasanya walaupun kami pernah menjadi suami isteri suatu ketika dahulu. Tapi itu lima tahun lepas!

Setelah puas berfikir akhirnya aku menapak juga ke bilik yang dihuni Yusrizal. Pintu bilik itu aku ketuk. Beberapa ketukan yang aku buat masih tidak berjaya membuatkan Yusrizal bangun. Dalam hati mendongkol geram. Tidur mati agaknya!

Aku memngetuk lagi pintu bilik itu. Untuk menerjah masuk tidak akan sesekali aku lakukan. Hampir kebas tanganku ini barulah pintu bilik dibuka. Terpacul Yusrizal yang hanya bertuala tanpa baju. Rambut dan tubuh yang masih basah menandakan lelaki itu baru sahaja selesai mandi. Seksi habis! Pantas aku mengalihkan pandangan dari tubuhnya itu. Serta-merta wajahku terasa hangat.

"Morning sayang," sapa Yusrizal. Ceria!

"Mama panggil sarapan."

"Ok, kejap lagi abang turun."

"Kalau macam tu saya turun dulu."

"Eh, nanti dulu Ifa!"

Panggilan Yusrizal membuatkan langkah kakiku terhenti. Namun pandanganku masih bukan padanya. Aku lebih rela memandang dinding rumah daripada memandang tubuhnya yang sasa itu.

"Ada apa?"

"Emm...Ifa juling ke?"

Pertanyaannya membuatkan mataku terarah kepadanya. Tepat! Berani dia kata aku juling?

"Tak adalah. Dari tadi abang tengok Ifa asyik pandang tempat lain je. Sedangkan Ifa tengah bercakap dengan abang bukan dinding tu kan?"

Aku mengetap bibir. Terasa dengan sindiran tajam lelaki yang berada di hadapanku ini. Yusrizal pula hanya tersenyum mengejek. Geram aku melihat gelagatnya saat itu.

"Suka hati sayalah saya nak pandang mana pun! Mata saya!"

"Yela, abang tahulah mata sayang. Tapi selalunya kalau kita bercakap dengan seseorang kita kena pandang matanya kan? Bukan tempat lain. Silap-silap orang tersalah sangka pula."

"Nak buat macam mana? Dinding tu lagi lawa daripada awak!" Aku menjawab selamba. Tidak mahu kalah dengan usikannya.

"Yeke? Ke sebab malu tengok abang macam ni?"

"Kalau dah tahu tu kenapa tak pakai baju?"

"Eh, bukan salah abang. Ifa yang ketuk macam nak roboh pintu. Tak sempat nak pakai baju, abang buka ajelah pintu. Kang tak pasal-pasal abang kena ganti pula pintu ni."

"Dahlah. Malas nak layan awak." Aku mula mengorak langkah. Malas mahu bertikam lidah dengan Yusrizal yang gemar benar mengusik sejak kebelakangan ini. Pantang ada peluang pasti aku dikenakan sehingga membuatkan pipi aku merah padam. Marah dan malu! Hairan! Lain benar sikapnya dengan Yusrizal yang dulu. Kenapa dengan tiba-tiba aku rasakan lelaki ini bukan lelaki yang sama aku nikahi dulu?

Namun belum pun sampai dua langkah, aku terasa lenganku dicengkam kuat kemudian ditarik ke belakang. Dek kerana terkejut aku menoleh. Semakin membuatkan aku terkejut apabila wajahku terlalu hampir dengan lelaki yang berada di hadapanku ini. Lidahku kelu tidak terkata. Mataku hanya mampu memandang ke dalam anak matanya.

"I like when you're blushing. So cute, sayang!" bisiknya.

Aku duduk berteleku di atas katil sambil memeluk lutut. Peristiwa siang tadi masih berlegar-legar di kotak fikiranku ini. Entah mengapa sukar benar untuk aku melupakannya. Terngiang-ngiang kata-katanya dan terbayang-bayang alis matanya yang memukau itu. Tidak pernah aku mahu menatap lama mata itu sebelum ini. Dan hari ini aku berpeluang. Tapi bayangan itu pula seakan sukar benar mahu meninggalkan fikiranku sehingga saat ini. Ia membuatkan otakku tidak berhenti mengelamun sejak dari pagi tadi.

Ish, apa kena dengan aku ni? Dah gila agaknya? Untuk apa aku mengingati lelaki yang telah menyebabkan aku bergelar janda sekarang ni? Buat sakit kepala saja. Lebih baik aku tidur. Esok aku perlu bangun awal untuk masuk mengajar.

Ketukan di muka pintu mematikan niatku yang ingin merebahkan kepala sebentar tadi.

"Masuklah!" tempik aku dari dalam. Tersenyum aku kepada ibu yang sedang berjalan mendapatkan aku. Ibu melabuhkan punggung di sebelahku.

"Ibu tak tidur lagi?"

Ibu menggelengkan kepala. "Ibu nak cakap dengan Ifa sikit."

"Cakaplah bu."

"Betul ke Ifa nak kahwin dengan Rizal semula?"

Aku mengerutkan dahi. Dari mana pula ibu tahu semua ini? Seingatku kami tidak pernah membincangkan hal ini lagi walaupun ibu sudah seminggu keluar dari hospital. Semua orang seakan lupa tentang itu.

"Siapa yang beritahu ibu?"

"Bekas mentua Ifa yang beritahu tadi. Pada mulanya ibu tak percaya. Tapi bila abah mengiyakan baru ibu percaya. Kenapa tiba-tiba Ifa nak kahwin dengan Rizal semula? Sedangkan sebelum ni Ifa yang menolak?"

"Ibu tak suka ke Ifa rujuk semula dengan Rizal?"

"Bukan tak suka Ifa. Tapi dulu Ifa yang tak suka bila ibu dan abah terima lamaran Rizal. Siap mogok lagi dengan ibu dan abah!"

"Mungkin Ifa nak kasi peluang dekat Rizal. Ibu juga yang cakap dulu Rizal yang sekarang tak sama dengan Rizal yang dulu."

"Jangan cuba nak bohong dengan ibu, Ifa. Ifa jadi anak ibu bukannya setahun dua. Tapi dah hampir 28 tahun. Ibu faham sangat perangai Ifa tu. Baik Ifa beritahu ibu perkara yang sebenarnya. Ini ada kaitan dengan duit tiga puluh ribu yang kita pinjam tu ke?" tanya ibu. Terkejut aku kerana ibu sudah awal-awal lagi dapat menghidunya. Ternyata fikiran ibu benar-benar tajam.

Perlahan-lahan aku menganggukkan kepala. Untuk apa lagi disembunyikan? Ibu tidak akan percaya sekiranya aku berdalih.

"Kenapa Ifa tak beritahu ibu? Kalau ibu tahu tak mungkin ibu akan buat pembedahan ni. Biarlah ibu sakit, tak apa. Asalkan anak ibu tak menderita!"

"Sebab itulah Ifa tak nak beritahu ibu. Ifa takut ibu tak nak jalani pembedahan tu."

"Ifa tak perlu berkorban begini, sayang," ujar ibu sambil membelai-belai rambutku.

"Tak apa bu. Ifa redha. Ifa nak tengok ibu cepat sembuh. Ifa tak ada adik-beradik. Ifa hanya ada ibu dan abah saja tempat bermanja. Sebab tu Ifa tak nak terjadi apa-apa pada ibu. Ifa sayang ibu," luahku lalu memeluk tubuh ibu erat. Air mataku gugur. Kesedihanku turut mengundang kesedihan ibu. Bergenang air mata ibu mendengar luahan hatiku itu.

"Ibu pun sayangkan Ifa. Terima kasih sayang."

5 ulasan:

  1. hoho..best2..smbung lg..! xsbr nk bce bile ifa ngn rizal da jd suami isteri blik..tuka font warne leh x? susahla nk bce..mekasih..!

    -cheesecake-

    BalasPadam
  2. a'ah..x sabar nk tngu ifa ngan rizal dah jd suami isteri blk..
    mesti best..huhu..
    cpt2 smbg ye..

    BalasPadam
  3. ohh... cepatlah nikahkan ifa dan rizal ni, tak sabar ni

    BalasPadam
  4. best nye..
    bile la dorang nak baik nie..

    BalasPadam

Hi kawan2..Selepas baca jangan lupa tinggalkan komen tau..wajib!!! hehee..sebabnya Ida suka baca komen kawan2..Nak tau jugak best ke tidak setiap post Ida ni..komen tau!!