Ahad, 29 Januari 2012

Kau Yang Kunanti 15

Setelah menikmati makan tengahari, mereka berehat di sofa sambil menikmati pencuci mulut yang telah disediakan oleh Hakim sebentar tadi. Ingatkan beria mahu menolong Amirah memasak..tapi rupanya hanya menolong mengupas buah-buahan. Alasannya, mahu merasai masakan dari air tangan isteri. Tapi itu lebih baik dari terpaksa bergesel tubuh dengan Hakim di dapur yang akan terhad ruangannya itu.

Nasuha pula sudah ditidurkan semula oleh neneknya setelah penat bermain. Anak itu pasti keletihan kerana hanya tidur tidak sampai satu jam pun. Naluri seorang ibu kuat mengatakan yang anak kecilnya itu boleh merasakan kedatangan keluarga abahnya ini. Dan dia juga tidak mahu melepaskan peluang untuk bermain dengan mereka dengan hanya tidur sahaja. Akhirnya selepas keletihan dia terlentok di bahu abahnya yang juga kepenatan melayan kerenah jantung hati mereka itu.

“Mira, kami semua ada hadiah untuk Mira dengan Suha.” Beritahu Datin Intan. Amirah mengerutkan dahi. Hadiah?

“Hadiah? Hadiah apa, ma?” Tanya Amirah.

“Hadiah biasa-biasa saja. Pergi ambil dalam kereta Kim,” pinta Datin Intan kepada anaknya. Patuh arahan itu, Hakim bangun dari tempat duduknya. Lega juga Amirah bila Hakim mula meninggalkan sofa itu. ‘Macam tak ada tempat lain. Sebelah aku juga mahu menempel.’ Walaupun sofa berangkai tiga ini mampu menampung tiga orang, tapi ia seakan kecil buat Hakim. Duduknya terlalu rapat sehingga Amirah terpaksa menginjak ke hujung sofa.

Entah hadiah apalah yang mahu diberikan buat mereka? Dan kenapa pula mahu memberi hadiah? Hari lahirnya dan Suha lambat lagi? Atau adakah Datin Intan dan Datuk Faruk baru pulang dari luar negara? Kebiasaannya, bila mentuanya itu pergi bercuti ke luar negara pasti akan ada buah tangan untuk mereka semua.

“Kenapa nak bagi kami hadiah, ma?” Tanya Amirah, sopan. Bimbang pula dikatakan seperti tidak sudi menerima pemberian orang.

Datin Intan hanya tersenyum sahaja. Dia sudah dapat mengagak akan pertanyaan itu. Pasti menantunya itu kehairanan akan kehadiran hadiah-hadiah itu. Jujurnya dia tidak punya sebab khusus mengapa hadiah itu diberikan. Cuma dia terasa ingin memberi setelah lama tidak bersua muka dengan menantu dan cucunya itu.

“Hakim pun ada belikan hadiah untuk Suha dengan Mira, tau? Kamu mesti suka nanti,” beritahu Datin Intan lagi. ‘Hakim pun ada belikan hadiah? Untuk apa?’ Makin menambahkan rasa ingin tahu di hati Amirah.

Tidak lama kemudiaan, Hakim melangkah ke dalam rumah bersama kotak hadiah yang penuh di tangan. Terlopong dia sebentar. Banyaknya hadiah! Takkan semua itu untuk dia dan Nasuha yanga baru menginjak usia satu tahun enam bulan itu?

Selepas meletakkan hadiah di atas meja kopi, Hakim kembali mengambil tempat duduk di sebelah Amirah. Jantung yang sudah pun reda kembali berdetak laju. Dia ni!! Amirah mendengus perlahan. Siap dengan jelingan tajam lagi. Sengaja menghantar makna yang dia tidak menyukai apa yang dilakukan oleh suaminya itu. Tapi semua itu seakan tidak memberi kesan kepada Hakim. Malah, dia sengaja memeluk bahu Amirah dan menarik tubuh itu rapat ke tubuhnya. Terjengil biji mata Amirah dengan tindakan selamba suaminya itu. Manakala ibu dan bapa mentuanya sudah tersenyum-senyum melihat gelagat mereka berdua.

Perlahan-lahan, Amirah cuba mengalihkan tangan itu dari terus melingkar di bahunya. Tetapi makin erat pula cengkamannya.

“Lepaslah...” Bisik Amirah pada Hakim tanpa menzahirkan kelakuannya. Dia pasti gelagat mereka pasti dalam renungan kedua mentuanya itu. Jadi, dia tidak boleh terlalu keterlaluan dalam memprotes.

“Lepaslah abang.....” Pinta Amirah sekali lagi. Seperti tadi, permintaan itu tidak di layani oleh Hakim. Dia senang berada rapat dengan isterinya itu. Langsung tidak dipedulikan pada mata-mata nakal ibu dan bapanya. Perasan malu juga dilemparkan ke tepi demi menyembuhkan penyakit yang ubatnya sudah tentu adalah Amirah sendiri.

“Ni semua hadiah untuk Mira dan Suha.” Suara Datin Intan berjaya mengeluarkan pasangan suami isteri itu dari dunia mereka sendiri. Kesemua mata kini hanya tertumpu kepada wanita itu.

“Yang ini dari mama dan papa. Yang ini pula dari Hakim,” beritahu Datin Intan. Mata Amirah tertumpu kepada hadiah pemberian Hakim berbanding pemberian mentuanya. Kelihatan dua kotak kecil di atas meja kopi itu. Manakala, hadiah dari mentuanya pula dibalut di dalam kotak yang agak besar. Peliknya! Dia ingatkan hanya mama yang mahu memberikannya hadiah. Dari Hakim pun ada juga? Tapi untuk apa hadiah ini? Sengaja mahu memujuk? Huh...!

“Tengoklah Mira. Mama harap Mira suka.”

“Buat apa susah-susah bagi hadiah ni mama. Mama dan papa dah datang pun Mira dah cukup happy.” Kali kedua Amirah bertanya reaksi Datin Intan tetap sama. Dia hanya tersenyum sahaja. Fahamlah Amirah yang ibu mentuanya itu tidak suka dia bertanya lagi.

Kotak yang besar itu dicapai juga. Ditilik sekeliling kotak itu sebelum dibuka. Perlahan-lahan kotak itu digoncangnya. Berniat mahu mengetahui apakah gerangan hadiah di dalamnya. Wajahnya tidak usah dicakap. Ceria benar! Siapa yang tidak gembira jika mendapat hadiah?

“Bukalah sayang. Goncang macam tu bukannya tahu hadiah apa yang mama kasi.”

Amirah menjeling suaminya di sisi. ‘Sibuk sahaja! Suka hatilah orang nak buat apa pun! Pergi main jauh-jauh boleh, tak? Asyik menempel sahaja.’

Pembalut hadiah itu dibuka berhati-hati. Bimbang akan mengoyakkan pembalut yang begitu cantik bagi dirinya. Nanti bolehlah disimpan dan digunakan semula jika perlu.

Kini isi di dalam kotak itu sudah kelihatan. Dia memandang pada Datin Intan yang berada di depannya. Wanita itu sedang tersenyum kepadanya sambil menjungkitkan kening. ‘Baju? Nampak macam cantik.’

Fabrik yang tampak elegan dan mewah itu dicapai dan di angkat ke udara. Terlopong dia melihatnya. Cantiknya....!!!

“Mama, cantiknya gaun ni. Thank you so much, ma?” Amirah sudah meluru mendapatkan ibu mentuanya dan dicium pipi tua itu. Dia begitu terharu dengan hadiah itu. Sudah lama dia mengimpikan punya gaun seindah ini. Terima kasih kepada Datin Intan kerana telah merealisasikan mimpinya itu.

“Sama-sama. Cuba tengok hadiah Suha pula.” Pinta Datin Intan. Perasaannya begitu teruja mahu menunjukkan hadiah cucunya. Dia begitu gembira kerana pemberiannya dihargai sebegitu rupa.

Amirah patuh dengan permintaan Datin Intan. Kotak yang sama dicapai dan diambil sehelai lagi gaun yang sama warna tetapi berlainan rekaan. Comelnya..!!

“Kalau Suha pakai mesti nampaknya comel, kan mama?”

Datin Intan menganggukkan kepala. Dalam hati semasa membeli gaun kanan-kanak ini, dia telah membayangkan rupa Nasuha di dalam gaun ini. Pasti comel seperti ibunya juga.

“Tengoklah hadiah Hakim pula, Mira.” Datuk Faruk yang hanya mendengar, tiba-tiba bersuara. Kasihan pula dia melihat anak lelakinya yang seperti tidak sabar mahu menunggu Amirah membuka hadiah darinya.

Pantas wajah yang ceria sebentar tadi berganti dengan wajah tampak riak. Berat pula perasaannya pabila menerima pemberian itu. Tetapi dia tidak punya pilihan melainkan menerima.

Amirah terkedu saat kilauan batu permata singgah pada matanya. Lagi satu mimpi yang ditunaikan hari ini. Dia langsung tidak menyangka yang Hakim mahu menghadiahkan seutas rantai emas putih bertatahkan permata yang cukup indah. Dia memandang Hakim dengan perasaan tidak percaya.

“Cantik, kan? Hakim yang pilih sendiri. Untuk Suha pun ada.”

Benar! Seperti mama, Hakim juga tidak lupa menyediakan hadiah untuk si manjanya. Juga barangan kemas yang merupakan gelang tangan berloceng.

“Abang sengaja beli yang ada loceng. Anak kita tu makin lasak. Nanti senanglah kita cari dia kalau hilang,” beritahu Hakim sambil mengeluarkan rantai emas putih itu dari kotaknya. Bagus juga cadangan Hakim itu. Pasti comel si kecil kesayangannya nanti setelah dipakaikan gelang ini. Harap janganlah di rosakkan pula gelang mahal pemberian abahnya ini. Kanak-kanak jika dia diberi sesuatu yang agak asing, pasti akan ditilik seharian. Apatah lagi kalau diletakkan di tangan. Berloceng pula. Dapat saja dia bayangkan apa yang akan dilakukan anaknya nanti.

Dia tersentak apabila rambut panjangnya yang telah diikat ekor kuda ditolak ke tepi. Lebih memeranjatkan orang yang mengalihkan rambutnya itu adalah Hakim. Lelaki itu tersenyum menyambut panahan mata Amirah yang penuh dengan persoalan.

“Biar abang pakaikan.”

Kaku tubuh Amirah apabila diperlakukan begitu. Bukan dia tidak punya tenaga untuk menolak. Tapi dia sedang berusaha menjaga perlakuan di hadapan kedua mentuanya. Tidak sampai hati mahu menghilangkan senyuman yang menguntum indah di wajah keduanya. Mereka pasti gembira melihat gelagat dia dan suami.

Sedang hatinya begitu merusuh. Tidak rela diperlakukan sebegitu rupa. Tiada langsung niat di hati mahu membiarkan rantai pemberian Hakim itu menghias lehernya. Walaupun dia begitu teruja dengan hadiah mahal itu, tetapi tidak bermakna dia akan memakainya. Jangan ingat dengan memberikan rantai itu sebagai hadiah akan meranapkan segala kelukaan yang telah lama bertapak. Takkan semudah itu!

“Cantik pun. Barulah nampak terisi sikit leher tu. Sebelum ni nampak kosong saja,” komen Datin Intan buat menantunya itu.

“A, ah. Cuba tengok mama ni. Macam-macam ada..” Pantas sahaja Datuk Faruk mengusik isterinya. Apa lagi? Keluarlah muncung itik Datin Intan tidak lama selepas itu. Geli hati pula Amirah melihatnya. Manakala Hakim hanya menggeleng kepala dengan gelagat kedua ibu bapanya itu. Dia sudah terbiasa dengan semua itu. Papanya kalau tidak mengusik satu hari memang tak sah!

“Tapi Mira ni papa tengok memang tak suka pakai barang kemas. Cincin pun tak ada.” Tambah Datuk Faruk. Amirah hanya menarik senyuman hambar. Ada masa pula Datuk Faruk meneliti dirinya.

Komen Datuk Faruk membuatkan Hakim menyedari sesuatu. Pantas jari-jemari isterinya dicapai dan diteliti. Amirah yang terkejut dengan perlakuan Hakim cepat sahaja mahu merungkaikan tautan jemari mereka. Pasti Hakim sudah perasan!

“Mana cincin kahwin kita?” Tanya Hakim.

Amirah sudah melarikan pandangan dari renungan Hakim. Seperti yang telah diduga. Kenapalah Datuk Faruk menegurnya di depan Hakim?

“Mira..abang tanya ni. Mana cincin kahwin kita?” Tanya Hakim lagi dalam nada suara tertahan-tahan. Tidak disangka Amirah sampai sanggup menanggalkan cincin pernikahan mereka kerana marahkan dirinya. Sedangkan sepanjang tempoh pernikahan mereka lima tahun lepas tidak sesekali cincin itu dibiar lama terpisah dari jari manisnya.

Amirah keresahan. Hakim pula semakin mendesak. Jawapan apa yang harus diberikan? Tambahan pula kedua mentuanya itu pasti sedang menanti Amirah membuka mulut.

“Mira..?”

“Emm..abang jom kita solat. Kita tak solat lagi, kan? Dah lama zohor masuk waktu,” ajak Datin Intan tiba-tiba. Agak janggal juga dia berada di tengah-tengah anak dan menantunya yang kelihatan seperti sudah ada bunga-bunga pertengkaran. Lebih baik dia dan suami meninggalkan anak dan menantunya untuk berbincang.

“Alah, awal lagi ni! Perut abang kenyang sangat. Ingat nak rehat-rehat sekejap.”

Datin Intan menjegilkan mata kepada suaminya. Tidak cukup dengan itu peha Datuk Faruk dicubit geram. Terlompat orang tua itu dek panahan berbisa isterinya. Ternyata dia masih belum memahami isyarat mata yang diberikan.

“Eh, mana boleh macam tu! Solat tak boleh dilengah-lengahkan, tau!” Guman Datin Intan. Matanya masih dijegilkan sambil memuncungkan sedikit bibirnya kepada kedua anak dan menantunya.

“Aa..a’ah, betul! Solat tak boleh ditangguhkan. Jomlah kita solat dulu.” Datuk Faruk pantas mengangkat punggung apabila berjaya memahami isyarat yang diberikan isterinya.

“Mira... I need some explanation. Please...!” Hakim terus mendesak sebaik sahaja ibu bapanya hilang ditingkat atas. Dalam diam dia cukup berterima kasih kepada mereka kerana memahami situasinya ini. Dia sememangnya memerlukan ruang untuk berbincang dengan Amirah.

Hakim mengetap bibir. Sudah berkali-kali ditanya, tapi isterinya masih belum menunjukkan tanda-tanda yang dia akan membuka mulut. Dia cuba bersabar. Perlahan-lahan tubuh Amirah dipaksa mengadapnya.

“Mira answer me. I am asking you. Where is the ring?”

“Jangan risau. Mira masih menyimpannya.” Akhirnya Amirah bersuara juga.

“Kenapa Mira tak pakai?”

Tangan sasa yang masih mencengkam bahunya ditepis lembut. Dia bangun menghampiri jendela. “Untuk apa? Kita bukan macam dulu lagi.”

“Tapi kita masih suami isteri, Mira. Cincin tu menunjukkan antara kita ada ikatan yang tersimpul mati.”

“Huh?” Kedengaran tawa sinis Amirah. “Tersimpul mati? Cubalah abang tengok keadaan kita sekarang. Ikatan tu memang ada. Tapi untuk apa? Sedangkan kita sudah jauh darinya.”

“Abang tak pernah mengharapkan itu semua berlaku, sayang.” Hakim pantas mendekati isterinya. “Abang tak pernah menjauh dari perhubungan ni. Tapi Mira! Mira yang melarikan diri!”

“Sekarang abang nak salahkan Mira atas apa yang berlaku? Ya, memang salah Mira! Mira lari tinggalkan abang. Tapi pernah tak abang fikir kenapa Mira buat semua ni? Kalau abang ditempat Mira, bolehkah abang terima isteri abang ni curang dengan lelaki lain, hah?” Berombak-ombak dada Amirah menahan marah. Kata-kata suaminya memang tidak boleh diterima. Kenapa dia dipersalahkan kerana meninggalkan Hakim? Sedangkan itu bukanlah masalah utama mereka. Hakim telah menduakannya! Itulah sebab kenapa keadaan mereka seperti ini. Suami isteri, tetapi tidak sebumbung.

“Mira!” Terus tubuh tinggi lampai itu dipeluk Hakim erat. Rontaan dan pukulan-pukulan halus di dadanya tidak diperdulikan. Kata-kata akhir Amirah amat memberi kesan buat dirinya. Tidak dapat dibayangkan semua itu berlaku. Dia tahu Amirah sedang merujuk kepada dirinya. Amirah mengganggapnya curang! Sedangkan semua itu tidaklah seteruk yang disangka.

“Abang sayangkan, Mira. Abang cintakan Mira! Tolonglah sayang, jangan macam ni. Keadaan kita tidak seteruk mana. Kita masih ada peluang untuk membetulkannya.”

Tubuh yang begitu kuat menghimpit ditolak sepenuh tenaga. Terlepas juga rangkulan itu. “Betulkan keadaan? Macam mana? Dengan cara ceraikan Sofiana? Atau Mira?”

“Lagi satu! Abang kata keadaan kita tidak seteruk mana?” Ulang Amirah. Sedarkah Hakim dengan apa yang dikatakannya sebentar tadi? “Mungkin, ya! Tapi itu pada abang. Bukan pada Mira. Bagi Mira, abang dah menduakan Mira! Dan itu Mira tak boleh terima bila suami Mira diambil orang. Bolehkah abang bayangkan?”

Tercengang Hakim dengan kata-kata isterinya. Bukan itu yang dimaksudkan dengan ‘betulkan keadaan’ yang dikatakannya sebentar tadi. Bukan dengan cara menceraikan isteri-isterinya. Dia berkahwin bukan untuk bercerai.

Dia faham dengan apa yang dilalui Amirah sekarang. Bila dia berkahwin dua bukan bermakna dia membuang isteri pertama. Cuma dia pernah tersalah langkah. Tapi dia sudah nekad mahu berubah dan berlaku adil.

Hakim mendekati Amirah semula. Tujahan Amirah sebentar tadi telah menjarakkan kedudukan mereka.

“Bukan begitu maksud abang, sayang. Abang takkan ceraikan isteri-isteri abang. Abang sayangkan kedua-duanya. Kita masih boleh berbahagia bertiga, Mira. Asalkan kita semua redha pasti kita akan termui jalan tu. Abang cuma harapkan perngertian dari Mira.”

“Kenapa Mira yang harus megerti? Kenapa bukan abang dan Sofiana? Kenapa abang tak cuba fahami isteri abang yang telah diabaikan setelah abang berkahwin dengan dia? Mira pernah mengerti antara abang dan Sofiana, Mira adalah orang ketiga. Sebab tu Mira redha bila abang menikahi dia. Tapi apa yang abang balas? Apa?!! Tidak cukupkah lagi pengertian Mira ni abang?” Amirah berkata lirih. Sakit hati yang disimpan sekian lama diluahkan lagi. Kalau Hakim mengharapkan pengertian darinya, dia juga mengharapkan perkara yang sama.

“Tapi kalau itu abang harapkan, Mira akan cuba penuhi.” Putus Amirah akhirnya.

Kepala yang menunduk terus ditegakkan bila mendengar patah kata isterinya. Wajah yang keruh kembali ceria. Matanya begitu bersinar dan galak melihat isterinya. Kata-kata Amirah seakan memberi harapan buat dirinya. “Betulkah, sayang?”

“Ya!”

“Thanks, sayang. I really appreciated it. Abang janji abang takkan ulang kesilapan abang lagi. Abang janji!” Tubuh isterinya mahu dipeluk lagi tanda terima kasih yang tidak terhingga. Namun, dia kaget apabila tangan halus itu menghalang perbuatannya.

“Jangan salah faham. Dengar dulu apa yang Mira nak cakapkan,” pinta Amirah.

“Apa sayang? Cakaplah...abang dengar,” kata Hakim dalam debaran yang menggila.

Amirah menyedup nafasnya dalam. Selepas menghembusnya perlahan, barulah dia berbicara. “Mira mengerti kalau abang tak mahu menceraikan Mira dan dia. Tapi jangan harap Mira rela hidup bermadu. Dari itu Mira rela diceraikan. Agar abang akan hidup berbahagia dengan dia.”

Membuntang mata Hakim mendengarnya. Lain benar dengan telahannya sebentar tadi. “Again? Mira tahu tak masuk kali ni sudah berapa kali Mira minta cerai dari abang? Istighfar Mira. Bercerai bukan penyelesaian masalah. Fikirkan anak kita. Apa akan jadi pada dia nanti?”

Amirah beristighfar dalam hati. Sungguh dia tahu dia telah meminta perkara halal yang paling dibenci oleh Allah s.w.t. Luka yang mendalam membuatkan dia lupa tentang semua itu. Tapi apa lagi yang bisa dia pinta selain dari itu? Untuk apa rumahtangga ini kalau hatinya tidak mungkin meredhakan apa yang telah dilakukan Hakim pada dirinya? Jadi ini sahaja jalan yang ada untuk dia bisa bebas dari ikatan ini. Mungkin masih ada lelaki yang telah ditakdirkan untuk dirinya. Mungkin juga dia akan menemui kebahagiaan yang diimpikan. Tentang Nasuha tahulah dia menjaganya.

“Maafkan Mira. Tapi itu sahaja jalan yang kita ada. Abang tak sanggup nak melepaskan kami berdua, kan? Jadi biarlah Mira yang mengundurkan diri. Tentang Suha tak perlulah dibimbangkan. Tahulah Mira uruskannya. Selama ini pun Mira dah biasa uruskan dia sendiri. Dan dia pun tak perlukan kasih sayang abahnya yang pasti akan terbahagi dua bila abang sudah punya anak dengan Sofiana nanti.”

Mencerlung mata Hakim mendengarnya. Bibirnya diketap geram. “Kenapa Mira selalu berfikiran negatif pada abang? Ya, memang anak abang dengan Sofiana bakal lahir tak lama lagi. Tapi tak bermakna abang akan abaikan Suha. Sudah berkali-kali abang katakan, yang abang akan berlaku adil pada Mira dan Suha? Kenapa Mira masih tak mahu percaya?” Kata Hakim sambil menumbuk dinding. Walaupun berdinding batu, berdentum juga bunyi tumbukan itu. Tidak dapat melepaskan geram pada Amirah dinding rumah pula menjadi mangsa. Sakit hatinya Tuhan sahaja yang tahu. Kedegilan Amirah seakan mencabarnya.

“Jangan ingat abang akan tunaikan permintaan Mira tu. Selama-lamanya Mira tetap akan menjadi isteri abang!!”

p/s: blog updated..enjoy ya!

8 ulasan:

  1. ya allah bencinya hakim ni, gi je la makamah mira. hakim ni manusia yg pntgkn diri sendri la, dia ingt senang ker hdup bpoligami ni. tahu tak dia, andai kata setiap hak istri ptama itu dhabiskn untk istri kdua, hkumnya haram. hakim ni sah2 xleh blaku adil, baik untk sofia or amirah. dulu mira dh bgi ksempatan, dia yg salah. pleasa jgn biar mira lmbut ati. sbaik2 mana pn pompuan, mana yg rela dmadu, trutama madu mcm sofia tu. hebatkn hati seorg lelaki, boleh mncintai 2wanita pda 1 masa.

    BalasPadam
  2. hakim tu cintanya nafsu babi!!!!!

    BalasPadam
    Balasan
    1. tolong jangan nak mencarut kat sini.. kalau nak komen silakan!! tapi bukan mencarut..hormat sikit blog orang...

      Padam
  3. bestnya ada lagi n3 baru... sudah terlambat Hakim
    untuk untuk mengubah keadaan. Hati Mira telah terlalu
    terluka bila suami yg dicintai dn dipercayai telah
    menduakannya. Mira lebih rela diceraikan dari hidup
    bermadu dari hati yg tidak redha dgn apa yg Hakim tlh
    lakukan kepadanya. Lebih elok sekiranya Mira dgn
    bosnya...

    BalasPadam
  4. Hakim apabila rasa tak bahagia mulalah membandingkan Mira dgn Sofiana...barulah nampak kelebihan Mira...mulalah terhegeh2 macam gila talak... memujuk. Kalau terus bersama tapi tak bahagia buat apa...dlm hati sentiasa berperasangka buruk...akan menambahkan dosa...lebih baik bercerai...mana tahu ada kebahagiaan yg menanti...kan Mira masih muda dan cantik. Nama saja Hakim tapi hakim yg tak adil.
    Bagi Hakim tentulah nak pasang dua sekali...berasa hebat...lelaki...tak memikirkan perasaan isteri2 yg di madukan yg penting dia berasa megah.
    Bermadu...madu bagi suami tapi hempedu bagi isteri.
    ~ kak min ~

    BalasPadam
  5. mmg best teruskan n3......geram dengan hakim ni tamak betul.....kasi ajar dengan dia....haha....

    BalasPadam
    Balasan
    1. tamaknya hakim, kesian mira, sofiana sorang pun dia tak boleh nak handle mcm mana nak adil pd mira, balik2 mira juga yg kena beralah, alasannya nanti sofiana ada anak kecillah, dlm pantanglah, takut tinggal soranglah, seribu satu alasan,

      Padam

Hi kawan2..Selepas baca jangan lupa tinggalkan komen tau..wajib!!! hehee..sebabnya Ida suka baca komen kawan2..Nak tau jugak best ke tidak setiap post Ida ni..komen tau!!