Isnin, 13 April 2009

Antara Benci dan Rindu 16

Air mata yang mengalir aku kesat apabila terdengar ketukan di pintu bilik tidurku. Hilang berterbangan semua ingatanku pada kenangan yang mengguris itu. Terfikir olehku untuk apa aku mengingatinya lagi, sedangkan kutahu ia akan mengundang air mataku jua nanti. Tapi walau kucuba untuk melupakannya ia tetap menjelma tanpa diundang di fikiranku ini. Seterusnya menambahkan perasaan benciku terhadap bekas suamiku itu.

“Ifa dah tidur ke?” Terdengar suara ibu di luar bersama ketukan-ketukan kecil. Pantas aku bangun mendapatkan cermin. Menilik sedikit mataku yang membengkak akibat terlalu lama menangis. Bedak miyami aku capai dan menempek sedikit di wajah untuk menghilangkan kesuraman diwajahku ini.

“Kejap ibu,” pekikku. Setelah memastikan semuanya berada dalam keadaan baik barulah aku membukakan pintu. Sememangnya dari tadi lagi aku mengunci pintu. Tidak mahu tertangkap oleh ibu dan abah dalam keadaan aku bersedih begini. Kerna aku tahu hati mereka akan terluka sekiranya melihat aku bersedih. Maklum sajalah hanya aku permata hati mereka.

“Ada apa bu?” tanyaku setelah membukakan pintu. Sebolehnya aku berwajah ceria.

“Kenapa mata Ifa merah?” tanya ibu, risau. Tangannya ramah menyentuh wajahku. Aku hanya tersenyum sumbing sambil menggeleng perlahan.

“Ifa ngantuklah bu. Sebab tu mata merah. Ibu bukan tak tahu anak ibu ni. Kalau mengantuk sangat sampai meleleh air mata,” dalihku. Semetelah pula memang sifatku begitu. Kukira ibu pun sudah faham benar dengan sifatku yang satu ini. Mataku akan berair seperti orang menangis jika aku terlalu mengantuk. Dan ini kukira alasan yang amat munasabah buatku.

Ibu menggeleng kepala sambil tersenyum. “Kalau mengantuk tidurlah. Jangan memaksa diri. Kan dah merah mata tu? Esok nak pergi kerja dengan mata merah tu ke? Kang dah tak cantik anak ibu,” ujar ibu lembut. Aku tersenyum manis membalas kata-kata ibu. Rasa bersalah semakin membukit apabila mendengar kata-kata ibu. Maafkan Ifa ibu sebab menipu ibu. Ifa tak nak susahkan hati ibu dan abah.

“Kejap lagi Ifa tidurlah ek? Emm, ibu datang bilik Ifa ada apa-apa ke bu?”

“Tak ada apa-apa. Ibu tengok bilik Ifa cerah tadi. Sebab tu ibu datang tengok, dah tidur ke belum anak ibu ni.”

“Ooooo..kejap lagi Ifa tidur yea bu. Sikit lagi Ifa nak siapkan kerja Ifa tu. Ifa pun dah tak tahan ngantuk dah ni,” kataku. Ahh, kerja apa sangatlah yang aku buat melainkan bersedih saja dari tadi.

“Yelah, cepat tidur yea. Nanti terlewat bangun pulak. Ibu pun nak masuk tidur ni,” ujar ibu.

Aku hanya mengangguk. Tapi saat ibu ingin berpaling aku terperasankan sesuatu. Pantas tangan ibu kucapai. Ibu yang terkejut dengan perbuatanku itu mengerutkan dahi tidak mengerti.

“Kenapa Ifa?”

“Kenapa muka ibu pucat?” wajah ibu kuamati. Memang pucat sekali. Hairan pula aku sebab pagi tadi ibu kelihatan sihat sahaja.

“Tak ada apa-apalah. Ibu Cuma pening kepala saja. Dari petang tadi lagi berdenyut-denyut kepala ni. Sebab tu ibu ajak abah balik dulu tadi. Lagipun Rizal ada temankan Ifa. Dia pun suruh ibu dengan abah balik dulu lepas makan sebab tengok ibu macam dah tak tahan sangat,” terang ibu. Oh, patutlah ibu dan abah tinggalkan aku dengan Yusrizal tadi. Aku ingatkan ibu dengan abah memang berniat untuk meninggalkan aku dengan lelaki itu. Berdosanya aku sebab terfikir yang bukan-bukan dengan orang tuaku tadi.

“Kenapa tak beritahu Ifa dulu tadi?”

“Ibu memang saja minta Rizal jangan beritahu Ifa sebab Rizal kata tadi ada benda yang nak dibincangkan dengan Ifa. Kalau beritahu Ifa mesti Ifa nak ikut ibu balik kan?”

Betul juga apa yang difikirkan ibu itu. Aku memang akan cepat risau. Apatah lagi kalau ianya melibatkan orang tuaku.

“Dahlah, Ifa pergilah tidur. Nanti lewat pulak bangun esok. Kelas Ifa pukul 8 kan? Tak usah nak risaukan ibu. Esok lepas bangun tidur oklah ni.”

“Yelah, ibu pun rehat cukup-cukup. Muka ibu pucat sangat. Risau Ifa tengok.”

“Yelah, ibu nak masuk tidurlah ni. Selamat malam sayang.”

“Selamat malam bu.”

Sepeninggalan ibu, aku kembali termenung di atas katil. Mataku langsung tidak mengantuk seperti yang aku katakan kepada ibu tadi. Itu semua hanya alasan semata.

Hari ini adalah hari yang paling sedih buatku selepas aku kembali mendapatkan semangat diri beberapa tahun yang dulu. Aku telah berazam untuk tidak bersedih lagi. Tapi nampaknya aku telah melanggar azamku itu. Ahh, Ya Allah hatiku tidak tenang sekali pada saat ini. Apa yang harus aku lakukan? Terfikir hendak mengerjakan solat sunnat dua rakaat dan membaca Al-Quran terikat diriku yang uzur pula. Jadi apa yang harus aku lakukan? Lebih baik aku tidur. Mungkin pagi esok aku akan lebih tenang.

Lalu, aku merebahkan diri di atas katil selepas menutup suis lampu. Membiarkan cahaya lampu tidur sahaja menyimbahi ruang bilikku ini. Namun, baru sahaja akuhendak melelapkan mata, telefon bimbitku menjerit nyaring dengan tiba-tiba. Aku mengintai jam kecil di atas meja. Sudah menunjukkan pukul 12.15 minit malam. Siapa pula yang menelefonku tengah-tengah malam begini? Lalu, tanpa membiarkan telefon itu menjerit lebih lama aku mencapainya. Tertera nombor yang tidak kukenali di skrin. Dahiku berkerut. Tetapi panggilan itu tetap kujawab.

“Hello.”

“Hello Ifa. Belum tidur lagi?”

Aku pantas mematikan talian apabila suara si pemanggil menyapa gegendang telingaku. Tidak mahu suara itu lebih lama menyapaku. Perasaan benciku padanya hari ini begitu memuncak.

Namun beberapa saat kemudian telefon bimbitku kembali menjerit. Dan si pemanggil adalah orang yang sama. Laju sahaja tanganku menekan punat cancel. Tidak ingin aku menjawab panggilan dari lelaki itu. Untuk apa dia menghubungi aku? Adakah hanya ingin menambah rasa sakit hatiku ini? Dan aku akan pastikan dia tidak akan berjaya melakukan itu.

Kali ketiga telefon bimbitku berbunyi terus aku menukar modenya ke silent. Biarlah berapa kali telefon ini hendak berbunyi pun pasti tidak akan mengangguku lagi kerana ia sudah bisu. Biar padan dengan muka Yusrizal. Biar dia rasa sakitnya hati bila tidak dipedulikan.

Keesokkannya, apabila aku bangun benda yang pertama yang aku cari sudah semestinya telefon bimbitku. Bukan untuk melihat berapa missed calls ataupun mesej yang telah ditinggalkan buatku semalam, tetapi untuk melihat pukul berapakah aku mencelikkan mata dari mimpi-mimpi yang tidak berapa indahku semalam. Kadang-kadang aku terfikir untuk apalah aku bersusah payah melihat jam di telefon bimbitku sedangkan jam kecil sudah tersedia di atas mejaku. Tapi itulah kesan teknologi yang perlu aku akui keberkesanannya terhadap pengguna-pengguna seperti aku. Ternyata pengusaha-pengusaha telefon bimbit telah berjaya membuatkan telefon bimbit sebagai suatu aset yang sangat berharga pada masa sekarang.

Tapi nampaknya niatku terpaksa ditangguhkan buat sementara apabila mataku disapa beberapa perkataan di skrin telofon bimbitku.

3 mesagge received

15 missed calls

Fuh, banyaknya! Tak tidur ke Yusrizal semalam? Tak ada kerja agaknya melainkan mengacau aku. Pantas punat ‘read’ aku tekan. Hendak juga aku lihat pesanan apa yang lelaki itu tinggalkan untukku.

Syg nape x jawab cal abg?

Itulah mesej pertama Yusrizal. “Sebab aku malas nak cakap dengan kaulah,” bisikku sendirian. Menyakitkan hati saja. Mesej kedua aku buka dan kubaca.

Syg dah tido ke?

Mesej kedua Yusrizal. Kulihat masa mesej itu diterima. 1.55 am? Uissshh..tak tido ke mamat ni?

Xpela kalo syg dah tido. Nite syg. N sori pasal td. Abg x brmaksud nk igtkn syg tntg peristiwa dlu. Truly sori. Luv u so much..

Errr..meremang pula ku rasa belakang tengkukku ini. Love you konon! Senang saja lelaki itu mengucapkan kata cinta. Maklumlah, lelaki playboy sepertinya memang mudah menuturkan itu kerana bagi mereka ucapan itu tiada makna. Hanya untuk bersuka-suka. Tapi bagi diriku ucapan itu sangat bermakna. Melambang rasa cinta yang tidak terhingga kepada pasangan dan bukan untuk dibuat main seperti yang dilakukan Yusrizal. Dan aku tidak akan mudah percaya pada ucapan cinta yang dilafazkan lelaki seperti Yusrizal. Tak mungkin!

Selepas membuang semua mesej dari inbox aku meletakkan telefon bimbitku di meja solek. Sempat juga aku meneliti mataku di cermin. Manalah tahu kalau-kalau mataku sembab pula pagi ini kerana menangis semalam. Aku menarik nafas lega kerana tangisanku semalam tidak meninggalkan kesan-kesan itu.

Aku tersenyum di hadapan cermin. Terasa bodoh pula aku menagisi semua kenangan itu. Aku menangis, sedangkan mungkin Yusrizal sedang ketawa kesukaan kerana berjaya membuatkan aku menangis. Sudah tentu ia umpama kemenangan buat lelaki itu. Ahh, untuk apa lagi aku memikirkan lelaki itu? Lebih baik aku mandi dan membersihkan diri.

Selepas berpuas hati dengan penampilanku pagi ini aku turun ke bawah. Sempat kulihat jam di tangan. Sudah menunjukkan pukul 7 pagi. Aku perlu bertolak awal ke UUM hari ini kerana aku punya kelas tepat pukul 8 pagi. Hai, agak malang aku semester ini. Tidak seperti semester sebelumnya. Kelasku setiap hari akan bermula pada pukul 10 pagi. Dapatlah aku menolong ibu apa yang patut dahulu sebelum bertolak ke UUM. Tapi tidak pada semester ini. Terutama sekali pada hari ahad dan rabu.

Suatu perkara yang tidak dapat aku biasakan lagi adalah aku terpaksa bekerja pada hari ahad. Kalau di negeri lain hari inilah yang ditunggu-tunggu, tapi tidak pada pekerja-pekerja yang mencurahkan khidmat di negeri Kedah ini. Cuti kami hanyalah pada hari sabtu. Itulah hujung minggu di sini. Tapi nasib baik jugalah aku bekerja sebagai pensyarah. Cutiku juga sudah semestinya lebih daripada pekerja-pekerja lain.

Aku menuruni anak tangga untuk ke dapur. Tiba-tiba perasaan hairan melanda hatiku ini. Selalunya waktu begini ibu sudah sibuk di dapur. Aku yang berada di bilik tingkat atas pun akan terbau aroma masakan ibu. Tapi untuk hari ini tiada pula aroma itu menyapa hidungku. Takkan ibu tak bangun lagi? Mustahillah. Abah yelah jugak. Sebab abah akan masuk pejabat pukul 9 pagi. Tapi itu tak bermakna ibu juga perlu bangun lewat. Jarang sekali ibu berbuat begitu. Sebagai seorang isteri, ibu akan memastikan semuanya tersedia awal untuk suami dan anak tercinta. Aku tahu itu kerana aku juga pernah menjadi seorang isteri suatu ketika dahulu.

Pantas aku mencari kelibat ibu. Tempat pertama tentulah didapur. Tapi tidak pula kelihatan ibu disitu. Kemana pula ibu ni? Aku keluar dari ruangan dapur dan menuju ke ruang tamu pula. Manalah tahu kalau-kalau ibu ada di situ. Dan jantungku bagai berhenti berdegup apabila terpandang tubuh kaku ibu disitu. Terlepas beg berisi laptop di tanganku ini. Laju sahaja aku mendapat ibu lalu memangku kepalanya. Apa yang terjadi kepada laptopku itu aku tidak peduli. Apa yang lebih penting sekarang ialah ibu.

“Ibu, kenapa ni? Ibu bangun bu,” panggilku bersama tangisan. Pipi ibu kutepuk berkali-kali. Tapi ibu masih tidak juga tidak sedarkan diri. Tidak pernah aku melihat ibu pengsan begini. Hatiku dilanda kerisauan yang teramat. Ya Allah janganlah apa-apa yang buruk berlaku pada ibuku.

“Ibu bangun bu. Jangan buat Ifa takut bu,” rayuku lagi. Tapi tubuh ibu masih jua kaku.

“Abah!!!!!!”

6 ulasan:

  1. hida knp sedih sangat nie bilalah ifa nie nak bahagia ek

    BalasPadam
  2. erm....
    lepas satu- satu..... sedey betul..

    tp citer nie memang best...
    CAN'T WAIT FOR THE NEXT N3

    BalasPadam
  3. very good story....keep it up..ok...wish luck for u ....wain for ur next entry...

    BalasPadam
  4. alamak..
    ksian giler si ifa nie..
    pas satu-satu..
    jgn lar mak dy meninggal..
    nak mak dy id0p ag.

    BalasPadam
  5. aku agak kan...lepas ni, mesti mak dia suh die kahwin ngan rizal jg..

    BalasPadam

Hi kawan2..Selepas baca jangan lupa tinggalkan komen tau..wajib!!! hehee..sebabnya Ida suka baca komen kawan2..Nak tau jugak best ke tidak setiap post Ida ni..komen tau!!