Khamis, 19 Mac 2009

Antara Benci dan Rindu 3

Selepas makan malam, aku dan Nisa membantu Mak Idah mengemas ruang makan itu. kalau ikutkan hati memang malas aku hendak meringankan tangan. Dengan perutku yang “full tank” ini cukup untuk membuatkan aku tidur nyenyak hingga ke esok pagi. Tapi apakan daya, lahir sebagai anak perempuan memang itulah kerjanya. Kalau tak menolong dikatakan malas pula.

Sesudah mengemas Nisa mengajak aku berbual di laman banglo itu. Aku hanya turutkan. Lagipun sudah lama aku tidak menghabiskan masa di laman indah yang mama ciptakan ini. Mama memang kreatif orangnya. Aku masih ingat ketika aku masih menjadi menantu rumah ini dulu, aku sering menghabiskan masa di sini. Laman ini membuatkan fikiran kutenang. Terasa tidak ada satu pun masalah yang aku hadapi sekiranya aku berada di sini.

Kami melabuhkan punggung di kerusi kayu yang tersedia di tengah laman itu. aku semakin kagum dengan hasil kerja mama. Laman ini bertambah cantik. Malah semakin luas. Kalaulah aku mempunyai laman secantik ini sudah tentu dari pagi hingga ke malamlah aku bertapa di sini. Dan ibu pun mungkin tidak mengenali lagi anaknya. Kerana aku sudah bertukar kerjaya dari seorang pensyarah kepada penunggu laman terhormat. Hehehehhh…..

Aku dan Nisa terus berbual hingga tidak sedar malam sudah lewat benar. Bukan kami saja, malah ibubapaku dan bekas ibubapa mentuaku juga nampaknya masih tidak mahu mengakhiri hari ini. Terlalu banyak yang dibualkan. Sesekali terdengar hilai tawa mereka dari ruang tamu. Cuma Yusrizal aku tidak tahu kemana. Mungkin sudah masuk tidur.

“Akak, kalau Nisa tanya sikit akak jangan marah ya?”

“Belum tanya lagi macam mana nak marah Nisa,” balasku cuba berseloroh. Nisa hanya tersenyum. Ahh, gadis ini terlalu murah dengan senyuman.

“Janji jangan marah tau?” pintanya lagi. Akhirnya aku menganggukkan kepala.

“Emmm…akak masih marahkan abang Rizal ke?”

Soalan Nisa yang kufikir terlalu drastik itu benar-benar membuatkan aku bungkam. Terus-terang aku katakan, aku tidak tahu hendak berkata apa. Untuk sementara aku hanya membiarkan soalan Nisa begitu saja.

“Akak?”

Aku alihkan pandangan kearah Nisa. Kelihatan gadis itu seperti tidak sabar-sabar untuk mendengar butir bicaraku.

“Nisa rasa macam mana?” tanyaku pula.

“Kalau dari pandangan Nisa memang nampak macam akak marahkan abang lagi. Tapi entahlah…” jawab Nisa.

“Kalau itu yang Nisa nampak.. so macam tulah,” jawabku acuh tak acuh. Malas sebenarnya mahu membincangkan hal ini. Lagipun Nisa adalah adik Yusrizal. Takkanlah aku hendak mengutuk si abang depan adiknya pula. Tidakkah itu keterlaluan? Lainlah kalau yang didepanku ini Linda, teman baikku. Bolehlah juga aku buat ketupat. Sepanjang lima tahun ini pun sudah banyak mana ketupat yang kubuat dengan Linda. Tidak terkira olehku.

“Alah, cakaplah kak Ifa. Anggap saja Nisa sebagai tempat luahkan perasaan. Akak tak boleh pendam saja apa yang akak rasa. Sesekali kena diluahkan juga. Betul tak?”

“Tak ada apa yang hendak diluahkan Nisa. Semuanya sudah selesai. Antara akak dengan abang sudah tak tak ada apa-apa lagi. Jadi, tak usahlah kita bincangkan lagi hal ni ya,” pintaku. Berharap benar pengertian dari Nisa.

Walaupun bekas adik iparku kelihatan tidak puas hati tapi dia terpaksa turutkan kehendakku. Nisa tidak memaksa orangnya. Cukup memahami. Tidak hairanlah sekiranya aku telah menganggapnya sebagai adik kandungku sendiri. Lagipun aku anak tunggal. Tidak ada kakak atau adik perempuan yang boleh berkongsi suka dan dukaku. Pada Nisa lah aku luahkan segala-galanya sepanjang tempohku menjadi isteri Yusrizal dulu. Hanya Nisa yang mengetahui perihal rumahtanggaku dengan abangnya dulu. Itupun kerana Nisa turut ternampak adegan maksiat antara Yusrizal dengan teman wanitanya yang berlaku dirumah kami 5 tahun lepas.

Ketika itu aku baru pulang dari kampung kerana menziarah abah yang kurang sihat. Yusrizal tidak turut serta. Selepas mendapat keizinannya aku pulang seorang diri. Nasiblah ibu dan abah tidak banyak menyoal. Mereka hanya menerima alasanku yang menantu mereka itu sibuk dengan tugas pejabatnya.

Selepas beberapa hari di kampung dan kesihatan abah sudah semakin baik aku putuskan untuk pulang. Sebaik tiba di pudu raya aku cuba menelefon Yusrizal untuk meminta dia menjemputku. Tapi talian telefon bimbitnya tidak aktif. Beberapa kali kucuba tapi masih tiada balasan. Akhirnya aku terpaksa meminta bantuan Nisa. Adik iparku itu tidak banyak soal. Gadis itu muncul setelah 15 minit aku menunggu.

Sebaik sampai dirumah, aku pelik kerana kereta Yusrizal ada terpakir di porch. Bermakna Yusrizal tidak kemana-mana. Ahh, mungkin dia tidur. Sebab itu dia matikan talian kerana tidak mahu diganggu. Tapi kenapa hatiku tidak enak?

Nisa kujemput masuk. Gadis itu hanya menurut. Aku memulas tombol pintu. Semakin pelik apabila aku dapati pintu rumahku tidak berkunci. Dan sebaik pintu utama rumah kutolak, alangkah terperanjatnya aku dan Nisa dengan adegan yang terhidang depan mata kami. Aku apatah lagi! Hampir terjelopok tubuhku dilantai. Seakan tidak percaya lelaki yang bersama wanita itu adalah suamiku. Wanita itu hanya berpakaian dalam manakala Yusrizal hanya mengenakan seluar pendek. Mereka kelihatan asyik sekali berkucupan sehingga tidak langsung menyedari kehadiran kami di situ. Jadi inilah alasan mengapa Yusrizal tidak mahu mengikutku pulang ke kampung. Ingin menghabiskan masa bersama teman wanitanya tanpa gangguan aku.. menitis air mataku saat itu.

Mereka hanya tersedar apabila Nisa berdehem kuat. Terkocoh-kocoh wanita itu mengenakan pakaiannya semula. Manakala Yusrizal sudah merenungku dengan pandangan mencerlang. Mungkin marah kerana aku membawa pulang adiknya yang secara tidak sengaja turut menyaksikan adegan sebabak itu. selama ini tiada seorang pun tahu, tapi sekarang rahsianya pecah didepan adiknya sendiri.

“Apa yang abang buat ni hah? Abang tak malukah? Abang tu dah kahwin tau? Heii perempuan kau buat apa dekat sini hah?? Keluar!!!” pekik Nisa. Adik iparku kelihatan marah benar. Hampir saja dia menampar perempuan itu tapi nampaknya perempuan itu lebih pantas bertindak. Dia menjadikan tubuh Yusrizal tempatnya berlindung.

“Nisa jangan kurang ajar!!!” pekik Yusrizal pula.

“Nisa yang kurang ajar ke abang dengan perempuan ni yang kurang ajar? Sampai hati abang buat macam ni kat Kak Ifa. Abang tak kesian ke dengan Kak Ifa. Dia isteri yang baik tapi kenapa abang buat macam ni pada dia??”

“Nisa baik kau balik. Jangan campur hal abang!!”

“Nisa tak akan balik selagi Nisa tak belasah perempuan ni. Heii perempuan tak tahu malu!! Mari sini kau. Biar aku belasah kau cukup-cukup. Dasar perempuan sundal!!”

Nisa sudah seperti orang gila. Aku sudah tidak mampu hendak melakukan apa-apa melainkan hanya mampu memandang. Air mataku semakin laju menitis. Teruk juga perempuan itu dibelasah Nisa. Tenaga lelaki Yusrizal masih tidak mampu menahan ketangkasan Nisa. Akhirnya Yusrizal memeluk pinggang Nisa dan menarik adiknya itu menjauhi teman wanitanya yang sudah terjelepok dilantai. Namun itu masih tidak mampu menghentikan Nisa. Dengan kaki yang masih bebas dia menendang wanita itu dengan agak kuat.

“Nisa sudah. Jangan sampai abang hilang sabar!!!”

“Lepaskan Nisa. Nisa nak ajar dia cukup-cukup. Dasar perempuan perosak rumahtangga orang!!”

“Abang kata sudah Nisa!!”

Bersama tempikan itu Yusrizal menghadiakan penampar sulongnya buat Nisa. Terduduk gadis itu di sofa. Aku seakan baru tersedar. Laju langkahku mendapatkan Nisa yang sudah teresak-esak menangis. Tubuhnya kupeluk erat.

“Abang kenapa abang tampar Nisa? Dia tak bersalah?” marahku pada Yusrizal.

“Kau diam. Sejak kau hadir dalam hidup aku semuanya porak-peranda. Mulai hari ni aku tak mahu tengok lagi muka kau kat sini. Berambus kau dari hidup aku. bukan saja muka kau malah bayang kau pun aku tak mahu tengok! Mulai hari ni kau bukan isteri aku lagi. Aku ceraikan kau!! Pergilah mana kau nak pergi. Aku tak peduli lagi!! Sekarang berambus!!”

Terpana aku mendengar kalimah itu. Benarkan? Aku telah diceraikan Yusrizal.

“Abang!!”

“Berambus aku kata!!”

Yusrizal menarik aku dan Nisa keluar dari rumah itu. Walaupun aku cuba merayu tapi tidak dipedulikan. Hempasan kuat pintu rumah seakan menyedarkan aku bahawa aku bukan lagi puan di rumah itu. Walaupun berat kaki melangkah aku gagahkan juga. Aku sudah tidak mampu menenangkan Nisa yang semakin galak menangis. Bagaimana hendak kupujuknya jika hatiku sendiri luka berdarah.

Berita penceraian antara aku dan Yusrizal ku khabarkan pada orang tua kami. Tetapi aku tidak mengkhabarkan tentang apa yang berlaku pada hari terakhir aku menjadi isteri Yusrizal. Pada Nisa telah awal-awal lagi kupinta agar jangan membuka cerita. Aku hanya membiarkan Yusrizal yang menjawab segala persoalan yang diutarakan oleh orang tuanya. Alasan yang dia berikan ialah kami tidak sefahaman lagi. Dan dia sudah mempunyai pilihan hati dan ingin menikahi teman wanitanya itu selepas habis tempoh edahku. Aku hanya menelan kata-katanya itu. walaupun pahit itulah yang harusku telan. Mama dan papa cuba memujuknya tapi pendirian anak lelaki mereka bukan senang hendak digoyahkan. Akhirnya mereka terpaksa turutkan.

Masih terbayang diruang mataku linangan air mata mama ketika kali terakhir aku memeluknya. Dan itulah kali terakhir aku menatap wajahnya.

“Akak? Akak menangis?”

Aku terkejut. Pantas air mata yang mengalir kusapu dengan telapak tangan. Terasa seperti semalam tragedi itu berlaku hingga sakitnya begitu mencengkam di jiwa.

“Tak adalah. Mata akak masuk habuk,” dalihku. Aku menghadiahkan senyuman buat Nisa. Tapi Nisa seakan mengerti lalu mengalihkan tempat duduknya di sebelahku. Perlahan-lahan air mataku yang masih berbaki disapunya. Aku jadi malu sendiri.

“Nisa minta maaf kalau soalan Nisa nanti membuatkan akak teringat kisah silam. Nisa janji Nisa takkan tanya lagi soalan macam tu. Maafkan Nisa ya?”

“Tak apalah Nisa. Bukan salah Nisa. Memang dah nasib akak macam tu.”

“Dahlah akak. Jomlah kita masuk.”

Aku mengangguk. Namun belum sempat aku bangun satu suara yang cukup aku kenal menyapa kami.

“Hai..berbual panjang nampak,” sapa Yusrizal. Aku menghadiahkan jelingan buatnya saat matanya menikam mataku. Biar dia rasa.

“Nisa boleh abang cakap dengan Kak Ifa sekejap,” pinta Yusrizal pada adiknya. Nisa mengalihkan pandangannya padaku. Aku lantas menggeleng. Tidak mahu ditinggalkan. Ditinggalkan bersama Yusrizal membuatkan aku jadi tidak betah. Lagipun memandang wajahnya ibarat mengimbau kembali kenangan yang selama ini cuba kulupakan.

“Baiklah tapi jangan lewat sangat berbual. Kak Ifa dah mengantuk tuh,”

Aku terkejut. Nisa sudah berlalu. Tinggallah aku dengan Yusrizal di disitu. Lelaki itu melabuhkan punggung disebelahku. Makin membuatkan aku gelisah. Entah apalah yang hendak dicakapkan agaknya. Sedangkan padaku sudah tidak ada apa-apa yang hendak dibincangkan antara aku dan dirinya.

“Cantikkan langit malam ni Ifa?” Yusrizal memulakan bicara.

Aku mencebik..itu aje ke nak cakap??

“Kalau itu aje yang awak nak cakap, maaf saya tak ada masa nak dengar. Saya masuk dulu. Dah mengantuk!” ujarku lantas ingin berlalu.

“Nanti dulu Ifa. Please duduk dulu. Abang ada hal nak bincangkan dengan Ifa ni.”

“Awak nak bincang apa lagi. Antara kita dah tak ada apa-apa lagi. Kita dah bercerai. So, sekarang teruskan dengan kehidupan awak dan saya dengan kehidupan saya.”

“Tidak Ifa antara kita masih terlalu banyak perkara yang perlu diselesaikan. Please duduk dulu. Kita berbincang,” pujuk Yusrizal dengan lembut. Entah mengapa aku jadi mual bila mendengar suara lembutnya itu.

“Saya tak mahu. Maaf, saya masuk dulu,” kataku dan mula melangkah.

“Ifa masih marahkan abang??”

Langkah kakiku terhenti. Yusrizal melangkah menghampiriku.

“Abang tahu Ifa masih marahkan abang. Dan abang tahu juga hati Ifa masih terluka. Berilah peluang untuk abang sembuhkannya. Abang akan tebus semua kesalahan abang selama ni. Berilah abang peluang Ifa,” Aku lantas berpaling menghadapnya. Wajahku sudah seakan terbakar kerana marah.

“Apa yang awak cakap ni, hah? Awak dah gila ek?”

“Abang tak gila Ifa. Abang masih waras. Malah abang mengaku inilah satu-satunya perkara yang abang lakukan dengan fikiran yang waras. Selama ini hanya turutkan nafsu abang saja. Bagilah abang peluang Ifa. And I promise you won’t regret!”

Kata-katanya meletuskan tawaku. Apahal dengan Yusrizal ni. Angin tak ada ribut tak ada tiba-tiba jadi gini. Mana perginya sifat kasar lelaki itu? Mana pergi sifat bongkaknya dulu. Apa sudah jadi? Sehingga sanggup merayu pada perempuan yang suatu ketika dahulu dianggap kolot ini.

“Apa dah jadi dengan awak ni sebenarnya? Awak ni memang dah hilang akal kot. Awak sedar pada siapa yang awak tengah merayu ni? Pada perempuan kampung! Yang kononnya kolot, tak tahu bergaya macam teman wanita awak yang seksi tu. Yang ketinggalan zaman, yang….”

“Cukup Ifa… abang tahu abang silap. Intan depan mata abang tak nampak, kaca juga yang abang puja-pujakan. Abang takkan ulang kesilapan abang lagi. Maafkanlah abang Ifa,” rayunya lagi. Rimas aku waktu itu. sungguh aku tidak percaya pada kata-kata yang lahir dari bibirnya itu. Padaku semuanya dusta. Entah apalah tujuan Yusrizal merayu aku begini? Pasti ada udang disebalik mee.. jangan haraplah aku akan termakan dengan lakonan kau lagi. Lelaki hipokrit!!!

“Dahlah..awak ni memang dah gila. Saya nasihatkan esok awak pergi jumpa doctor betulkan apa yang patut. Otak awak tu memang dah mereng sangat-sangat. Saya pun nak masuk tidur. Nanti berjangkit pulak penyakit gila awak tuh. Goodnight.”

Aku terus melangkah tanpa menoleh lagi. Meninggalkan Yusrizal yang terkulat-kulat di situ. Panggilannya langsung tidak aku endahkan. Padan muka!! Baru kau tahu siapa aku sekarang. Ingat senang nak makan pujukan kau. Huh..!!

2 ulasan:

  1. cerita ok!tapi sedih la............pompuan mana yg x marah dan sdih klau suami dia uat mcm tu..........

    BalasPadam

Hi kawan2..Selepas baca jangan lupa tinggalkan komen tau..wajib!!! hehee..sebabnya Ida suka baca komen kawan2..Nak tau jugak best ke tidak setiap post Ida ni..komen tau!!