Selasa, 19 Jun 2012

Kau Yang Kunanti 23


Apa yang berlaku waktu makan tengahari tadi benar-benar membuatkan Amirah berada dalam keadaan yang begitu tertekan. Sungguh dia tidak menyangka keadaan akan menjadi serumit ini. Masalah dia dengan Hakim masih belum selesai. Kini ditambah pula dengan masalah Faris.
Amirah bersandar pada kerusi sambil memicit dahinya dengan mata yang terpejam. Dia benar-benar berharap agar apa yang berlaku tadi hanyalah mimpi ngeri untuknya. Tapi apakah daya? Apa yang diharapkan itu sudah pun menjadi realiti. Suka atau tidak dia harus menerima.
Perbincangan dia dan Faris sebenarnya masih tergantung. Tiada kata putus yang diberikan buat lelaki itu walaupun Faris amat mengharapkannya. Perbualan terputus begitu sahaja apabila Marissa tiba-tiba menerjah masuh ke biliknya tidak berapa lama selepas itu. Temannya itu telah membungkus makanan untuknya walaupun tidak diminta.
Nasib baik dia dan Faris tidak berada dalam keadaan yang mencurigakan. Jadi Marissa tidak mengesyaki apa-apa. Cuma wajah itu kelihatan sedikit pelik kerana tiba-tiba Faris muncul di bilik Amirah. Sedangkan seminggu ini payah benar lelaki itu mahu keluar dari biliknya.
“Apa yang patut aku lakukan? Ya Allah, kenapa sampai boleh jadi macam ni?”
Wajahnya disembamkan ke meja. Tanpa sedar air matanya mengalir. Menyesali kekhilafan diri. Kalaulah dia tidak melarikan diri dari Hakim pasti semua ini tidak akan berlaku. Faris menyintai wanita yang salah. Kasihan Faris! Akukah yang kejam?
Andai dia tidak mendiamkan diri dengan jolokan orang selama ini, pasti mereka semua tidak akan menggelarkan dia janda! Tapi bagaimana pula jika mereka bertanya akan suaminya? Apa pula yang bakal dia jawab? Tidak pelikkah tinggal menyewa bersama rakan sekerja sedangkan masih bersuami?
Bagaimana harus dia terangkan kepada Faris tentang hal ini? Pasti Faris akan kecewa. Argghh..dia benar-benar buntu. Terasa tidak sanggup mahu melihat riak kesedihan pada wajah majikannya itu.
Ya Allah berikanlah aku pertunjukmu. Kuatkanlah imanku dalam menghadapi semua ujianmu ini. Amin...

Nafas kelegaan dihembus perlahan. Akhirnya...! Berjaya juga dia melafazkan kalimah itu buat Amirah. Ternyata, walaupun sekadar lafaz ia tetap memberi impak yang besar buat diri masing-masing.
Jatuh cinta kali ini benar-benar mengajarnya sesuatu. Bukan senang untuk mendapatkan cintanya kali ini. banyak perkara yang dia perlu lakukan untuk membuatkan Amirah terasa akan kehangatannya cintanya walaupun tanpa melafazkan cinta itu. Dia juga belajar bersabar untuk memenangi hati wanita. Bukan main terjah seperti yang pernah dia lakukan dahulu. Asal suka terus dilafazkan cinta kerana dia yakin tiada wanita yang akan menolak cintanya.
Seperti yang diharapkan dia berjaya mendapatkan cinta dalam masa yang sangat singkat. Dan dia yakin juga siapa yang menjadi teman wanitanya tidak akan berpaling arah kerana pakej seorang lelaki yang lengkap dimilikinya. Rupanya dia silap! Tanpa masa dan kasih sayang dia tetap kehilangan cinta.
Walaupun ada yang mahu mengisi kekosongan hati tetap tidak mampu mengetuk pintu hatinya untuk bercinta. Sebagai lelaki dia juga punya citarasa yang pada pandangan orang terlalu tinggi untuk digapai. Mungkin Tuhan juga marah akan dirinya sehingga mengutuskan seorang janda anak satu untuk dia cintai. Namun dia bersyukur. Menyintai Amirah adalah sesuatu yang paling indah buat dirinya. Tapi bagaimana mahu dia pastikan dia akan mendapatkan cintanya kali ini?
Amirah kelihatan begitu tertekan selepas dia menyatakan perasaannya. Dia tahu Amirah terkejut. Faris yang terkenal dengan sikap memilih menyintai janda seperti dia. Tapi semua ini tidak mustahil bukan? Dalam sekelip mata Allah boleh menterbalikkan hati sesiapa. Seperti yang telah terjadi kepada dirinya.
Jika Marissa tidak mencelah tadi pasti antara dia dan Amirah sudah selesai. Sekarang dia terpaksa mencari masa untuk berbincang dari hati ke hati bersama Amirah. Dia tidak mahu menunggu lagi. Kalau boleh dia mahu terus melamar Amirah. Dirinya dirasakan sudah cukup bersedia untuk menjadi suami dan seorang ayah kepada Nasuha. Dan dia berharap Amirah akan menerima lamarannya.

Melopong Marissa mendengar cerita Amirah sebentar tadi. Seakan tidak percaya. Jadi betullah tanggapan dia dan teman-teman sekerja selama ini. Faris memang menaruh hati buat Amirah. Siap melamar lagi. Ini memang kerja gila!
“Rissa, aku dah tak tahu nak buat apa! Macam mana aku nak mengadap muka dia esok?”
Teman yang sedang erat memeluk si kecil Nasuha dihampiri. Belakang temannya itu di usap perlahan. Dia faham perasaan Amirah saat ini. Temannya itu berada dalam keadaan yang agak sukar.
“Kau sabarlah Mira. Aku betul-betul tak sangka Faris memang ada perasaan pada kau.”
“Tapi aku masih bersuami Rissa. Berdosa dia menyintai isteri orang. Dan aku juga berdosa sebab menipu status diri.”
“Bukan salah kau, Mira! Kau tak tipu status diri kau. Dia orang yang memandai buat konklusi sendiri yang kau ni seorang janda. Sedangkan dalam fail kau memang jelas tertera yang kau ni dah berkahwin! Bukan janda!”
“Salah aku sebab aku pun tak cuba nak jelaskan keadaan yang sebenar. Selepas Kak Roza berhenti kerja, tak ada siapa yang tahu aku ni masih bersuami.”
Benar! Hanya Kak Roza yang menguruskan proses pengambilan kerjanya. Kak Roza adalah Ekskutif di bahagian Sumber Manusia. Dia yang bertanggungjawab menyimpan semua maklumat pekerja. Dalam sesi temuduga pun hanya Kak Roza dan Dato’ Kuzir yang terlibat. Lelaki itu juga tidak bertanya tentang status dirinya. Soalannya lebih kepada jawatan yang bakal dia sandang di syarikat itu.
Selepas Kak Roza berhenti kerja bukannya tidak ada eksekutif lain yang mengambil alih, tapi untuk meneliti fail pekerja adalah kerja yang jarang-jarang dilakukan. Mungkin sebab itu masih tiada sesiapa yang mendapat tahu akan status dirinya yang sebenar walaupun sudah genap 8 bulan dia bekerja di syarikat itu.
“Kalaulah Kak Roza masih ada, pasti semua ni takkan berlaku, kan Rissa!”
Marissa menganggukkan kepala. Benar! Jika Kak Roza masih ada semua salah faham ini tidak akan berlaku.
“Apa yang patut aku buat, Rissa?”
“Kau buat macam biasa je, Mira. Tak usah nak fikir sangat pasal ni.” Marissa memberikan cadangan. Itu sahaja yang mampu dia cadangkan walaupun dia tidak jelas dengan apa yang sedang dia cadangkan. Situasi yang sukar untuk dia keluarkan Amirah dari dunia ciptaan Faris.
“Kau cakap senangkah. Macam mana aku hadap si Faris setiap hari selepas aku tahu dia sukakan aku? Macam mana dengan lamaran dia tu? Takkan aku nak biarkan sepi macam tu saja?”
“Habis kau nak buat macam mana lagi, Mira? Kau nak beritahu berterus-terang dengan Faris?”
Amirah memejamkan mata erat. Kepalanya disembamkan pada kepala si kecil yang leka bermain. Sesekali kepala itu dikucup syahdu. ‘Sayang, ibu susah hati ni sayang,’ bisiknya di dalam hati. Nasuha yang seperti memamahi mendongak memandang wajah ibunya. Dia tersenyum. Amirah membalas senyuman itu disusuli kucupan sayang di pipi tembam itu. Senyuman si kecil sedikit menghalau resah di hatinya.
“Aku nak berhenti kerja!”
“What?” Marissa melopong sekali lagi. “Kau ni dah gila, ya? Takkan pasal ni sampai kau nak berhenti kerja?”
“Aku dah tak boleh nak pandang muka Faris, Rissa. Aku kasihankan dia. Aku tak sanggup nak beritahu dia yang aku masih bersuami.”
“Mira, be rational okay. We can work something out. Bukannya lari dari masalah. Aku takut kalau kau buat macam tu bertambah masalah kau nanti. Kau yakin Faris takkan tanya kenapa kau nak berhenti kerja? Waktu tu kau nak jawab apa?”
Amirah terdiam dengan provokasi Marissa. Apa yang dikatakan temannya itu ada benarnya. Faris pasti akan bertanya. Takkanlah dia mahu memberitahu bahawa dia mahu melarikan diri dari lelaki itu.

Deringan telefon bimbit Amirah sedikit menganggu perbualan dua orang teman itu. Selepas meletakkan Nasuha, Amirah bangun mendapatkan telefon bimbitnya. Nama Hakim tertera di skrin telefon itu. Kebelakangan ini Hakim kerap benar menelefonnya. Dia tahu Hakim mengharapkan jawapan. Untuk apa lagi jawapan dipinta sedangkan Hakim telah bertegas tentang itu. Tidak ada jawapan ‘tidak’ yang mahu suaminya itu terima.
“Hello,” sapa Amirah.
“Assalamualaikum, sayang.” Amirah mengetap bibir. Ucapan sayang itu memang tidak akan lepas dari bibir Hakim.
“Waalaikumussalam,” jawab Amirah seikhlas mungkin.
“Sayang sihat?”
“Alhamdulillah.”
“Suha?”
Amirah menjeling Nasuha yang sedang dilayani Marissa. Sesekali kedengaran suara comel itu mengekek ketawa.
“Dia pun sihat.”
“Emm..cerianya dia,” ujar Hakim. Pasti dia juga dapat mendengar suara puterinya yang seorang itu.
“Abang nak jumpa Mira dengan Suha, boleh?”
“Bila?”
“Malam ni.”
“Malam ni?” Aku menjeling jam di dinding. Patutlah! Masih awal lagi rupanya. Baru pukul 8.10 malam. Tapi kalau nak siap makan masa juga. Entah mengapa dia mahu bertolak ansur dengan suaminya kali ini. Mungkin masalah yang sedang melanda membuatkan dia malas bertengkar lagi dengan suaminya.
“Sayang siaplah, ya. Abang dah ada kat kat depan rumah sayang ni.”
“Hah?!” Pantas Amirah bergerak ke tingkap dan mengintai ke luar. Benar! Suaminya memang ada diluar. Hakim melambai apabila menyedari kelibat Amirah di tingkap rumah.
“Kenapa datang baru nak call?”
Dia akan mengambil masa juga mahu menyiapkan diri dan Nasuha. Pasti Hakim akan menunggu lama. Hendak menjemput masuk bimbang mendatangkan ketidakselesaan buat Marissa pula. Lagipun apa pula bakal kata jiran-jiran jika dia membawa suaminya itu masuk ke dalam rumah. Walaupun pada hakikatnya sama sahaja jika jiran-jiran ternampak kelibat Hakim di luar.
“Sayang siaplah. Abang tunggu.”
“30 minutes?”
“Not a big deal for me, darling.”

Alunan irama sentimental dari corong radio menemani perjalanan mereka yang entah kemana destinasinya. Sesekali suara Nasuha yang teruja dengan kehadiran abahnya memecah kesunyian. Anak itu sesekali mengganggu abahnya memandu. Nasuha mahu berpindah ke pangkuan abahnya seperti selalu.
“Sayang, abah tengah memandu tu!” Amirah pantas menangkap tangan si kecil yang ligat menarik lengan si abah. Memaksa Hakim mengalihkan perhatian buat dirinya. Walaupun sepanjang perjalanan Hakim sentiasa mengagah puterinya itu.
“Anak abah nak bermanja dengan abah, ya? Sekejap ya sayang. Abah tengah memandu.” Hakim mengusap kepala si kecil. Anak itu tersenyum ceria diperlakukan sebegitu. Ternyata Nasuha sangat-sangat memerlukan perhatian dari abahnya. Lebih dua minggu mereka tidak berjumpa.
“A..bah..aa..bah.” Panggil si kecil lagi.
“Ya, sayang. Suha nak pergi mana ni?” Hakim berusaha melayani anaknya walaupun sedang memandu. Lebih baik begitu kerana sedari tadi payah benar Amirah mahu mengeluarkan suaranya. Hanya sesekali suara itu keluar. Itupun kerana berbicara dengan anak mereka.
“Gi ngan ibu..abah.” Nasuha bertepuk tangan. Suka benar dia dapat berjalan-jalan dengan ibu dan abahnya.
Amirah ketawa kecil dengan keletah anaknya ini. Walaupun jam sudah hampir menunjukkan pukul 9 malam, namun mata kecil itu masih lagi kelihatan segar. Selalunya waktu sebegini anak itu sudah terlelap.
“Ceria benar dia dapat keluar,” ujar Hakim. Kata-kata itu ditujukan buat isterinya.
“Hemm..dah lama dia tak keluar macam ni.” Beritahu Amirah. Walaupun dia selalu membawa Nasuha keluar, tidak akan sama kerana mereka hanya keluar berdua. Tanpa Hakim bersama.
Hakim menjeling Amirah. Dia faham dengan maksud isterinya itu. Memang sejak kebelakangan ini dia jarang dapat meluangkan masa bersama Nasuha. Terlalu banyak kerja yang dia terpaksa uruskan di pejabatnya. Sehingga dia tidak punya masa untuk bertemu Nasuha. Tapi dia masih punya masa untuk diluangkan bersama Amirah. Itupun ketika waktu makan tengahari. Jika dia mahu bercakap dengan Nasuha dia akan membuat panggilan video ke telefon bimbit Amirah. Itu sajalah masa yang dia punya untuk puterinya itu.
“Insyaallah lepas ni kita akan selalu luangkan masa dengan Suha macam ni. Dia anak yang sedang membesar. Perlukan kasih sayang kita berdua, ibubapanya!”
Tiada ulasan dari pihak Amirah. Sedari awal lagi dia telah menegaskan bahawa Hakim bebas melawat Nasuha. Tapi untuk meluangkan masa bersama agak berat untuk dia lunaskan. Namun begitu sebagai ibu bapa, kebajikan Nasuha juga harus diutamakan. Dia tidak boleh mementingkan diri sendiri.
“Sayang dah fikirkan tentang permintaan abang tu?”
Akhirnya Hakim kembali kepada tujuan asal dia mengajak Amirah keluar malam-malam begini.
Lambat-lambat Amirah mengangguk. Dia pasti lambat atau cepat Hakim pasti akan menuntut jawapan darinya.
“Jadi?” Tidak sabar Hakim mahu mengetahui jawapannya. Dia yakin Amirah tidak akan membantah. Dia kenal dengan isterinya ini. Sifat lemah lembut masih ada walaupun perwatakannya sudah jauh berubah.
“Apa lagi peluang yang Mira ada?” Balas Amirah dengan nada sindiran. Sudah dipaksa galak pula mahu menuntut jawapan. Mahu atau tidak terpaksa juga menurut.
Thanks sayang. I love you so much. I promise you will never regret.”
Hakim mencapai tangan Amirah lalu digenggam erat. Ikutkan hati mahu sahaja dia memeluk tubuh itu erat. Menandakan betapa gembiranya dia saat ini.
Tidak lama jemari itu menggengam jemarinya. Amirah pantas meleraikan tautan jemari mereka. Tida selesa disentuh sebegitu.
“Tapi dengan syarat!”

“So, apa syaratnya?”
Tanpa menunggu lebih lama, Hakim terus sahaja bertanya sebaik sahaja mereka selamat menduduki meja yang telah ditempah oleh Hakim di restoran mewah itu.
Amirah menjeling Hakim yang ternyata tidak sabar. Dia yang meminta mereka berbincang setelah sampai ke destinasi. Bimbang pula keselamatan mereka jika dia menyatakan syarat-syarat itu di dalam kereta. Buatnya Hakim terkejut..hishh..nauzubillah.
“Mira dan Suha lapar. Boleh kita makan dulu tak?”
Hakim mengeluh perlahan. Perasaan ingin tahunya begitu membuak saat ini. Apakah syarat-syarat yang bakal Amirah letakkan buat dirinya sebagai persetujuan Amirah kembali ke rumah mereka? Dan membina keluarga kecil mereka semula?
Tapi tidak sanggup pula dia mahu membiarkan anak dan isterinya kelaparan. Mungkin mereka boleh berbincang selepas makan nanti.
“Okay.” Hakim terus memanggil pelayan.

“Sekarang dah boleh bincang, kan?”
Hakim memulakan bicara sebaik sahaja Amirah selesai makan. Sedari tadi dia menanti. Makan pun tidak lalu. Dia hanya menyuap Nasuha yang dilihatnya berselera benar. Tidak berhenti henti minta disuapkan. Sehingga tidak menang tangan Hakim dibuatnya.
Selepas kenyang dan disendawakan, anak itu terus terlentok dalam pangkuannya. Masakan tidak, waktu sekarang sudah melebihi masa tidurnya.
Amirah menganggukkan kepala.
“Abang dah bersedia nak mendengar syarat-syarat Mira?”
Giliran Hakim pula menganggukkan kepala.
“Pertama, Mira tak nak balik rumah kita!”
“Tapi kenapa?”
Amirah pantas mengangkat tangan. Meminta suaminya jangan mencelah dulu dan mendengar bicaranya terlebih dahulu.
“Mira nak abang yang pindah masuk rumah sewa Mira selepas Marissa bernikah bulan depan. Setuju?”
Kata-kata Amirah dicerna satu persatu. Amirah tidak mahu berpindah ke rumah mereka yang terletak di Damansara. Tapi isterinya itu mahu dia yang berpindah masuk ke rumahnya. Maknanya mereka masih boleh hidup bersama? Cuma dirumah yang berbeza?
“Tapi kenapa, sayang? Rumah kita kan jauh lebih selesa?”
Pelik! Kenapa Amirah memilih untuk mereka tinggal di rumah sewanya sedangkan mereka punya rumah sendiri yang dia kira sangat selesa. Segala memori mereka juga kekal di sana.
“Mira tak suka rumah tu!” Pantas Amirah menjawab.
“Kenapa?”
Amirah menunduk. Sedaya upaya ditahan air mata yang bakal gugur.
“Sebab rumah tu banyak mengingatkan Mira pada kelukaan lalu.” Jawap Amirah perlahan. Namun masih dapat ditangkap oleh Hakim. Lelaki itu menelan air liur. Matanya menyorot sayu mencari seraut wajah indah milik isteri yang disembunyikan. Terbit rasa bersalah yang bukan sedikit. Amirah tidak mahu kembali kerana nostalgia yang berada dalam rumah itu?
“Baiklah, abang setuju.” Hakim menyatakan persetujuan. Dia tidak mahu memaksa. Kerana paksaan itu hanya akan menjauhkan dirinya dan Amirah sendiri. Segala kemahuan Amirah akan dia turuti dengan sepenuh hati. Dia juga tidak mahu Amirah mengingati segala kelukaan yang pernah dia hadiahkan buat wanita itu sebelum ini. Kalau tinggalkan rumah mereka akan membuatkan Amirah bahagia dia akan penuhi.
Dalam pada itu dia sudah ada perancangannya yang tersendiri untuk rumah mereka.
 “Syarat kedua?” Hakim meminta Amirah meneruskan.
Amirah menarik nafas lega. Baguslah kalau Hakim bersetuju. Tiba untuk syarat kedua yang dia kira akan mengejutkan suaminya.
“Mira setuju kembali pada abang. Tapi Mira belum bersedia untuk adakan hubungan suami isteri semula.”
Berubah riak di wajah Hakim ketika itu. Dia memandang wajah isterinya lagi. Kali ini dengan pandangan tidak percaya. Amirah tidak menginginkan hubungan suami isteri? Jadi untuk apa mereka bersama semula?
“Kenapa? Kenapa syarat ini yang sayang letakkan? Jijik sangatkah abang ni sampai sayang tak nak abang sentuh sayang?” Soal Hakim. Sungguh dia rindukan Amirah. Ingatkan selepas kembali sebumbung keadaan akan balik seperti biasa. Tapi sebaliknya yang bakal berlaku.
Amirah menggelengkan kepala. Dia hanya menunduk. Tidak sampai hati mahu melihat riak wajah Hakim saat ini. Dia tahu dia berdosa meletakkan syarat seperti itu. Sebagai suami isteri hubungan di kamar tidur adalah wajib. Tapi bagaimana dia mahu merelakan sedangkan hatinya masih lagi sakit?
“Mira belum bersedia. Harap abang faham.”
Hakim menarik nafas dalam. Pandangan matanya dilemparkan ke luar restoran. Dia cuba mencari kekuatan. Syarat-syarat yang diletakkan Amirah menunjukkan betapa isterinya ini masih belum ikhlas menerimanya kembali. Tapi apakan daya. Dia yang bersalah. Sewajarnya dia menerima hukuman sebegitu.
“Syarat ketiga?”
Amirah memanggungkan kepala. “Abang setuju?”
“Abang ada pilihan lain ke?”
Amirah terdiam. Riak kecewa jelas terpamer di wajah itu. Berdosakah dia kerana telah mengguris hati seorang suami?
Tidak! Hakim perlu diajar sebegitu! Amirah berusaha menghalau perasaan bersalah itu sejauh mungkin. Hatinya perlu ditetapkan pada matlamatnya.
“Syarat ketiga, abang kena berlaku adil. Dan Sofiana tak berhak mengganggu masa abang dengan Mira walau apa pun yang terjadi!”
“Abang faham. Tapi Sofiana dah sarat sayang. Mungkin dia perlukan perhatian daripada abang lebih,” ujar Hakim. Meminta Amirah bertolak ansur terhadap madunya. Sofiana sedang sarat dan akan bersalin dalam sebulan lagi. Kalau Sofiana mahu bersalin sewaktu dia berada di rumah Amirah bagaimana?
Amirah mengetap bibir mendengarnya. Selepas itu dia tersenyum sinis. Belum apa-apa lagi lelaki itu sudah membantah. Menunjukkan betapa dalam apa jua keadaan pun Hakim masih mahu mengutamakan isteri keduanya itu.
“Terpulang. Tapi kali ni Mira tak nak bertolak ansur. Cukup abang dan Sofiana perbodohkan Mira dulu. Kalau abang rasa berat untuk penuhi syarat Mira, cukup sampai di sini. Mungkin kita perlu berpisah saja!”
Terkejut Hakim dengan keputusan terburu-buru Amirah.
“Tak, sayang. Bukan maksud abang begitu.”
Tiada langsung niatnya mahu mempermainkan Amirah. Dia sekadar mahu isterinya itu bertolak ansur dalam keadaan Sofiana sekarang.
“Sofiana juga isteri abang. Dia dah sarat sangat sayang. Bila-bila masa saja boleh bersalin. Abang tahu sayang masih berprasangka dengan abang kerana kesilapan abang dulu. Tapi kali ni saja abang minta Mira bertolak ansur. Lepas ni abang janji akan adil seadilnya dengan Mira. Abang akan ikut syarat-syarat Mira. Takkan ada gangguan dari Sofiana jika abang bermalam di rumah Mira. Dan begitulah sebaliknya.”
Amirah merenung tajam ke dalam mata Hakim. Pujukan Hakim membuatkan hatinya sakit. Dia tahu dalam keadaan Sofiana yang sarat dia perlu bertolak ansur. Dia juga pernah mengandung dan bersalin. Perhatian dari suami sangat-sangat diperlukan. Begitu juga Sofiana.
Tetapi setelah apa yang dilalui hatinya keras untuk berkompromi. Cukuplah sekali dia terkena. Tidak akan dibenarkan kedua-dua mereka memijak kepalanya lagi.
“Ini baru syarat ketiga abang. Belum lagi Mira utarakan syarat keempat abang dah menujukkan tanda-tanda protes. Jadi Mira rasa tak perlulah Mira beritahu syarat keempat tu. Sebab dah terang-terang abang tak kan mampu melepasi syarat ketiga.”
Hakim mengeluh berat. Sukarnya mahu melembutkan hati Amirah. Kenapa isterinya menjadi sekeras ini? Salah diri sendirikah Amirah berubah sebegini tegas? Ya, dia yakin! Memang salah dirinya. Sifat Amirah dulu bukan sekejam ini. Dia sangat lemah lembut dan bertimbang rasa.
“Mira..”
“Cukup!” Amirah mengangkat tangan. Dia tidak mahu mendengar lagi.
“Sayang, abang minta maaf kalau abang dah lukakan hati sayang lagi. Tapi abang tak boleh abaikan tanggungjawab abang sayang. Sofi sedang sarat!”
Sedaya upaya Amirah mengawal amarah yang berombak di dada. Kalau tidak difikirkan mereka berada di retoran ini, sudah lama Hakim ditengkingnya.
“Tak nak abaikan tanggungjawab?” Amirah ketawa sinis. “Oh, dengan Sofiana tahu pula tak nak abaikan tanggungjawab. Tapi kalau dengan Mira abang biarkan begitu saja. Biarkan Mira uruskan Suha sendiri, tu boleh? Kalau dengan Sofiana, pantang telefon cepat sahaja abang pecut kereta balik? Tapi kalau dengan Mira beribu alasan pula abang beri. Sofiana sakitlah, muntah-muntahlah! Abang ingat Mira bodoh? Mira pun pernah mengandunglah!!”
Hakim maraup wajahnya berkali-kali. Kata-kata Amirah benar-benar menusuk ke tangkai hatinya. Dia dapat melihat dengan jelas bebola mata Amirah yang merah. Menandakan wanita itu berada dalam keadaan yang sangat marah.
Perit yang ditanggung Amirah begitu jelas tergambar di wajah isterinya. Kejamnya aku Ya Allah! Sanggup aku memperlakukan anak dan isteriku sebegitu rupa. Tapi Amirah masih mahu mempertimbangkan permintaanku. Ternyata dia masih Amirahku yang dulu. Sifat-sifat murni yang ada pada dirinya tidak pernah hilang. Cuma dia bertegas untuk mempertahankan haknya.
“Maafkan abang, sayang. Banyak salah abang pada Mira dan anak kita.” Jemari Amirah cuba digenggam. Tapi tangkas ditepis isterinya itu.
“Baiklah. Kalau itu yang Mira nak, abang akan turutkan. Asalkan dapat menebus segala salah abang pada Mira dulu.”
Akhirnya Hakim melafazkan persetujuan. Biarlah kali ini dia pula yang bertolak ansur dengan isterinya itu. Tentang Sofiana, tahulah dia uruskan nanti. Suka atau tidak Sofiana perlu menerimanya. Tiba saatnya dia berkorban untuk Amirah selepas apa yang Amirah telah korbankan untuk dirinya.
Amirah hanya mendiamkan diri. Hatinya masih sakit. Nafasnya masih turun naik menandakan marahnya masih belum hilang.
“Boleh abang tahu syarat keempat? Banyak betul syarat sayang dekat abang kali ni? Abang tahu abang ni tak boleh dipercayai, kan?” Hakim cuba berlelucon. Cuba menceriakan suasana.
Namun isterinya masih mendiamkan diri. Langsung tiada tanda Amirah mahu membuka mulut.
“Sayang, dahlah tu! Jangan merajuk, ya? Abang janji abang akan ikut segala kemahuan Mira. Kalau itu yang dapat membahagiakan Mira. My beloved wife.”
Amirah mengalih pandang ke wajah Hakim yang sedang tersenyum. “Ingat abang! Sekali sahaja abang tersilap langkah, abang akan kehilangan Mira dan Suha untuk selama-lamanya!!”
Ugutan Amirah membuatkan Hakim menelan air liur. Terasa perit tekaknya kala itu. Dia dapat merasakan Amirah tidak main-main kali ini. Hanya anggukan yang mampu dia berikan tanda persetujuan.
“Keempat dan terakhir, Mira mahukan pegangan saham sebanyak 20% dalam syarikat abang. Dan Mira juga mahu bekerja di sana.”
Hakim tersenyum senang. “Sayang tak usah risau. Semuanya abang dah uruskan. Memang itu semua milik Mira dan Suha. Sayang cuma perlu tandatangan saja selepas ni. Dokumen, peguam syarikat dah uruskan abang rasa. Dan berkenaan Mira nak bekerja dengan Faruk Group memang abang dan papa sangat alu-alukan. Beritahu saja jawatan apa yang sayang nak abang akan berikan pada isteri abang yang tersayang ni.”
“Betul?” Bagaikan tidak percaya Amirah bertanya. Ternyata Hakim lebih cepat dari dia. Sesungguhnya dia melakukan ini bukan untuk dirinya. Tapi untuk masa depan Nasuha. Dia bimbang akan timbul msalah dengan Sofiana dan anaknya dikemudian hari.
“Bagaimana dengan Sofiana dan anak abang tu?”
Hakim mengeluh. “Abang tak boleh buat apa-apa. Papa dan mama tak megiktiraf dia sebagai menantu. Sedari dulu lagi abang dah ingatkan dia pasal ni. Dan dia tak ada halangan.”
Tiada apa yang mahu Amirah ulaskan. Salah Sofiana sendiri kerana mahu mengambil risiko menjadi isteri kedua. Sekarang hanya harta Hakim sahaja yang mampu Sofiana warisi, bukan dari Faruk Group.


 p/s: blog upated. Panjang sikit kali ni..enjoy, ya!

16 ulasan:

  1. amira ni x serik2 lg ka??yg nak sgt balik dgn hakim tu bt pa?
    terus terang ja dgn faris psl status sbnrnya tu.
    x pyh nak rumitkan keadaan.

    BalasPadam
    Balasan
    1. setujuuuu..... xserik langsung

      Padam
    2. Sabar2..panjang lg citer ni..kdg2 kehidupan x selalunya indah..x semestinya yg kita nak akan tercapai.. dan kta terpaksa berkorban utk kebahgiaan org lain. Manusia berhak diberi peluang ke2..

      kali ni Ida cuba garapkan cerita yang lebih close to our surrounding and totally akan membuatkan pembaca terganggu emosi.awk ma.berjaya x Ida ganggu emosi korang?? heheh..

      Padam
  2. harap sgt hakim tersalah langkah.. then gudbye..
    i prefer amira n suha wif faris.. :P
    ~mizz acu~

    BalasPadam
    Balasan
    1. harapan saya hakim tu jd bapa tunggal jer.. no amira also no sofi!!
      harap amira tinggal dia.. sofi pon xdpt hakim..
      fair enough tuk lelaki belot cm hakim n pompuan gedik cm sofi!!

      Padam
  3. Ishhhh... kenapa lah amira masih nak memberi peluang kpd suami yg tak bertanggingjawab tu? Spt yg lain, mmg lebih suka amira ends up with fariz..... Hakim - boleh terus membimbing sofiana utk menjadi isteri yg solehan dan lepaskan amira utk mencari kebahagiaan dgn fariz...

    BalasPadam
  4. best n3 kalini. padan dgn muka Hakim, elok juga Mira
    buat syarat begitu supaya jgn dia dianiaya lagi oleh
    Hakim. Jgn ingat selembut-lembut Mira boleh dipijak
    kepala dn sekarang lihat ketegasan Mira telah terserlah
    apabila selalu saja dilukai. nk lagi jgnlh lama sgt
    update n3 baru makin lama makin bestlah...

    BalasPadam
  5. mintak2 Hakim break rule no. 3 keke

    BalasPadam
  6. Kak sue suka Kalau Fariz dengan Amirah.... bukan apa cara Fariz yang lebih matang dan cool sesuai dengan Mira ....
    Kak Sue sokong dengan syarat Mira pada Hakim, kalau Mira bagi muka mahu si Sofiana ambil kesempatan .... biasalah kan tektik dia... gerammmm....
    Mesti Sofiana x tahu tentang rancangan Hakim untuk berbaik semula dengan Mira.... kalau tahu mahu meroyan Sofiana datang serang Mira....
    Saham untuk Suha tu x apa lah...

    BalasPadam
  7. farissssssssssss.... xsuka hakim... laki pmbelot..

    BalasPadam
  8. faris..yeah..x suka laki cam hakim tu..sng2 je buat pempuan mcm tunggul x de perasaan..

    BalasPadam
  9. hopefully dng fariz.

    BalasPadam
  10. cik penulis mmg best tp lmbt sgat update..klau x silap cite ni sejak 2009 lg..

    BalasPadam
    Balasan
    1. yea sy tau..sy minta maaf sgt2..tp pembaca juga harus faham situasi sy..menulis kerja yg sy lakukan ketika ada kelapangan..so..jika tiada n3 bermakna sy dalam kesibukan.

      thanks pd yg masih menyokong karya sy..dan pd yg mengunjungi blog Ida Farisya juga sy ucapkan terima kasih yg tidak terhingga..

      Padam

Hi kawan2..Selepas baca jangan lupa tinggalkan komen tau..wajib!!! hehee..sebabnya Ida suka baca komen kawan2..Nak tau jugak best ke tidak setiap post Ida ni..komen tau!!