Apa yang berlaku waktu makan tengahari tadi benar-benar
membuatkan Amirah berada dalam keadaan yang begitu tertekan. Sungguh dia tidak
menyangka keadaan akan menjadi serumit ini. Masalah dia dengan Hakim masih
belum selesai. Kini ditambah pula dengan masalah Faris.
Amirah bersandar pada kerusi sambil memicit dahinya
dengan mata yang terpejam. Dia benar-benar berharap agar apa yang berlaku tadi
hanyalah mimpi ngeri untuknya. Tapi apakah daya? Apa yang diharapkan itu sudah
pun menjadi realiti. Suka atau tidak dia harus menerima.
Perbincangan dia dan Faris sebenarnya masih tergantung.
Tiada kata putus yang diberikan buat lelaki itu walaupun Faris amat
mengharapkannya. Perbualan terputus begitu sahaja apabila Marissa tiba-tiba
menerjah masuh ke biliknya tidak berapa lama selepas itu. Temannya itu telah
membungkus makanan untuknya walaupun tidak diminta.
Nasib baik dia dan Faris tidak berada dalam keadaan yang
mencurigakan. Jadi Marissa tidak mengesyaki apa-apa. Cuma wajah itu kelihatan
sedikit pelik kerana tiba-tiba Faris muncul di bilik Amirah. Sedangkan seminggu
ini payah benar lelaki itu mahu keluar dari biliknya.
“Apa yang patut aku lakukan? Ya Allah, kenapa sampai
boleh jadi macam ni?”
Wajahnya disembamkan ke meja. Tanpa sedar air matanya
mengalir. Menyesali kekhilafan diri. Kalaulah dia tidak melarikan diri dari
Hakim pasti semua ini tidak akan berlaku. Faris menyintai wanita yang salah.
Kasihan Faris! Akukah yang kejam?
Andai dia tidak mendiamkan diri dengan jolokan orang
selama ini, pasti mereka semua tidak akan menggelarkan dia janda! Tapi
bagaimana pula jika mereka bertanya akan suaminya? Apa pula yang bakal dia
jawab? Tidak pelikkah tinggal menyewa bersama rakan sekerja sedangkan masih
bersuami?
Bagaimana harus dia terangkan kepada Faris tentang hal
ini? Pasti Faris akan kecewa. Argghh..dia benar-benar buntu. Terasa tidak
sanggup mahu melihat riak kesedihan pada wajah majikannya itu.
Ya Allah berikanlah aku pertunjukmu. Kuatkanlah imanku
dalam menghadapi semua ujianmu ini. Amin...
Nafas kelegaan dihembus perlahan. Akhirnya...! Berjaya
juga dia melafazkan kalimah itu buat Amirah. Ternyata, walaupun sekadar lafaz
ia tetap memberi impak yang besar buat diri masing-masing.
Jatuh cinta kali ini benar-benar mengajarnya sesuatu.
Bukan senang untuk mendapatkan cintanya kali ini. banyak perkara yang dia perlu
lakukan untuk membuatkan Amirah terasa akan kehangatannya cintanya walaupun
tanpa melafazkan cinta itu. Dia juga belajar bersabar untuk memenangi hati
wanita. Bukan main terjah seperti yang pernah dia lakukan dahulu. Asal suka
terus dilafazkan cinta kerana dia yakin tiada wanita yang akan menolak
cintanya.
Seperti yang diharapkan dia berjaya mendapatkan cinta
dalam masa yang sangat singkat. Dan dia yakin juga siapa yang menjadi teman
wanitanya tidak akan berpaling arah kerana pakej seorang lelaki yang lengkap dimilikinya.
Rupanya dia silap! Tanpa masa dan kasih sayang dia tetap kehilangan cinta.
Walaupun ada yang mahu mengisi kekosongan hati tetap
tidak mampu mengetuk pintu hatinya untuk bercinta. Sebagai lelaki dia juga
punya citarasa yang pada pandangan orang terlalu tinggi untuk digapai. Mungkin
Tuhan juga marah akan dirinya sehingga mengutuskan seorang janda anak satu
untuk dia cintai. Namun dia bersyukur. Menyintai Amirah adalah sesuatu yang
paling indah buat dirinya. Tapi bagaimana mahu dia pastikan dia akan
mendapatkan cintanya kali ini?
Amirah kelihatan begitu tertekan selepas dia menyatakan
perasaannya. Dia tahu Amirah terkejut. Faris yang terkenal dengan sikap memilih
menyintai janda seperti dia. Tapi semua ini tidak mustahil bukan? Dalam sekelip
mata Allah boleh menterbalikkan hati sesiapa. Seperti yang telah terjadi kepada
dirinya.
Jika Marissa tidak mencelah tadi pasti antara dia dan
Amirah sudah selesai. Sekarang dia terpaksa mencari masa untuk berbincang dari
hati ke hati bersama Amirah. Dia tidak mahu menunggu lagi. Kalau boleh dia mahu
terus melamar Amirah. Dirinya dirasakan sudah cukup bersedia untuk menjadi
suami dan seorang ayah kepada Nasuha. Dan dia berharap Amirah akan menerima
lamarannya.
Melopong Marissa mendengar cerita Amirah sebentar tadi.
Seakan tidak percaya. Jadi betullah tanggapan dia dan teman-teman sekerja
selama ini. Faris memang menaruh hati buat Amirah. Siap melamar lagi. Ini
memang kerja gila!
“Rissa, aku dah tak tahu nak buat apa! Macam mana aku nak
mengadap muka dia esok?”
Teman yang sedang erat memeluk si kecil Nasuha dihampiri.
Belakang temannya itu di usap perlahan. Dia faham perasaan Amirah saat ini.
Temannya itu berada dalam keadaan yang agak sukar.
“Kau sabarlah Mira. Aku betul-betul tak sangka Faris
memang ada perasaan pada kau.”
“Tapi aku masih bersuami Rissa. Berdosa dia menyintai
isteri orang. Dan aku juga berdosa sebab menipu status diri.”
“Bukan salah kau, Mira! Kau tak tipu status diri kau. Dia
orang yang memandai buat konklusi sendiri yang kau ni seorang janda. Sedangkan
dalam fail kau memang jelas tertera yang kau ni dah berkahwin! Bukan janda!”
“Salah aku sebab aku pun tak cuba nak jelaskan keadaan
yang sebenar. Selepas Kak Roza berhenti kerja, tak ada siapa yang tahu aku ni
masih bersuami.”
Benar! Hanya Kak Roza yang menguruskan proses pengambilan
kerjanya. Kak Roza adalah Ekskutif di bahagian Sumber Manusia. Dia yang
bertanggungjawab menyimpan semua maklumat pekerja. Dalam sesi temuduga pun
hanya Kak Roza dan Dato’ Kuzir yang terlibat. Lelaki itu juga tidak bertanya
tentang status dirinya. Soalannya lebih kepada jawatan yang bakal dia sandang
di syarikat itu.
Selepas Kak Roza berhenti kerja bukannya tidak ada
eksekutif lain yang mengambil alih, tapi untuk meneliti fail pekerja adalah
kerja yang jarang-jarang dilakukan. Mungkin sebab itu masih tiada sesiapa yang
mendapat tahu akan status dirinya yang sebenar walaupun sudah genap 8 bulan dia
bekerja di syarikat itu.
“Kalaulah Kak Roza masih ada, pasti semua ni takkan
berlaku, kan Rissa!”
Marissa menganggukkan kepala. Benar! Jika Kak Roza masih
ada semua salah faham ini tidak akan berlaku.
“Apa yang patut aku buat, Rissa?”
“Kau buat macam biasa je, Mira. Tak usah nak fikir sangat
pasal ni.” Marissa memberikan cadangan. Itu sahaja yang mampu dia cadangkan
walaupun dia tidak jelas dengan apa yang sedang dia cadangkan. Situasi yang
sukar untuk dia keluarkan Amirah dari dunia ciptaan Faris.
“Kau cakap senangkah. Macam mana aku hadap si Faris
setiap hari selepas aku tahu dia sukakan aku? Macam mana dengan lamaran dia tu?
Takkan aku nak biarkan sepi macam tu saja?”
“Habis kau nak buat macam mana lagi, Mira? Kau nak beritahu
berterus-terang dengan Faris?”
Amirah memejamkan mata erat. Kepalanya disembamkan pada
kepala si kecil yang leka bermain. Sesekali kepala itu dikucup syahdu. ‘Sayang,
ibu susah hati ni sayang,’ bisiknya di dalam hati. Nasuha yang seperti memamahi
mendongak memandang wajah ibunya. Dia tersenyum. Amirah membalas senyuman itu
disusuli kucupan sayang di pipi tembam itu. Senyuman si kecil sedikit menghalau
resah di hatinya.
“Aku nak berhenti kerja!”
“What?” Marissa melopong sekali lagi. “Kau ni dah gila, ya?
Takkan pasal ni sampai kau nak berhenti kerja?”
“Aku dah tak boleh nak pandang muka Faris, Rissa. Aku
kasihankan dia. Aku tak sanggup nak beritahu dia yang aku masih bersuami.”
“Mira, be rational
okay. We can work something out. Bukannya lari dari masalah. Aku takut
kalau kau buat macam tu bertambah masalah kau nanti. Kau yakin Faris takkan
tanya kenapa kau nak berhenti kerja? Waktu tu kau nak jawab apa?”
Amirah terdiam dengan provokasi Marissa. Apa yang dikatakan
temannya itu ada benarnya. Faris pasti akan bertanya. Takkanlah dia mahu
memberitahu bahawa dia mahu melarikan diri dari lelaki itu.
Deringan telefon bimbit Amirah sedikit menganggu
perbualan dua orang teman itu. Selepas meletakkan Nasuha, Amirah bangun
mendapatkan telefon bimbitnya. Nama Hakim tertera di skrin telefon itu.
Kebelakangan ini Hakim kerap benar menelefonnya. Dia tahu Hakim mengharapkan
jawapan. Untuk apa lagi jawapan dipinta sedangkan Hakim telah bertegas tentang
itu. Tidak ada jawapan ‘tidak’ yang mahu suaminya itu terima.
“Hello,” sapa Amirah.
“Assalamualaikum, sayang.” Amirah mengetap bibir. Ucapan sayang
itu memang tidak akan lepas dari bibir Hakim.
“Waalaikumussalam,” jawab Amirah seikhlas mungkin.
“Sayang sihat?”
“Alhamdulillah.”
“Suha?”
Amirah menjeling Nasuha yang sedang dilayani Marissa.
Sesekali kedengaran suara comel itu mengekek ketawa.
“Dia pun sihat.”
“Emm..cerianya dia,” ujar Hakim. Pasti dia juga dapat
mendengar suara puterinya yang seorang itu.
“Abang nak jumpa Mira dengan Suha, boleh?”
“Bila?”
“Malam ni.”
“Malam ni?” Aku menjeling jam di dinding. Patutlah! Masih
awal lagi rupanya. Baru pukul 8.10 malam. Tapi kalau nak siap makan masa juga.
Entah mengapa dia mahu bertolak ansur dengan suaminya kali ini. Mungkin masalah
yang sedang melanda membuatkan dia malas bertengkar lagi dengan suaminya.
“Sayang siaplah, ya. Abang dah ada kat kat depan rumah
sayang ni.”
“Hah?!” Pantas Amirah bergerak ke tingkap dan mengintai
ke luar. Benar! Suaminya memang ada diluar. Hakim melambai apabila menyedari
kelibat Amirah di tingkap rumah.
“Kenapa datang baru nak call?”
Dia akan mengambil masa juga mahu menyiapkan diri dan Nasuha.
Pasti Hakim akan menunggu lama. Hendak menjemput masuk bimbang mendatangkan
ketidakselesaan buat Marissa pula. Lagipun apa pula bakal kata jiran-jiran jika
dia membawa suaminya itu masuk ke dalam rumah. Walaupun pada hakikatnya sama
sahaja jika jiran-jiran ternampak kelibat Hakim di luar.
“Sayang siaplah. Abang tunggu.”
“30 minutes?”
“Not
a big deal for me, darling.”
Alunan irama sentimental dari corong radio menemani
perjalanan mereka yang entah kemana destinasinya. Sesekali suara Nasuha yang
teruja dengan kehadiran abahnya memecah kesunyian. Anak itu sesekali mengganggu
abahnya memandu. Nasuha mahu berpindah ke pangkuan abahnya seperti selalu.
“Sayang, abah tengah memandu tu!” Amirah pantas menangkap
tangan si kecil yang ligat menarik lengan si abah. Memaksa Hakim mengalihkan
perhatian buat dirinya. Walaupun sepanjang perjalanan Hakim sentiasa mengagah
puterinya itu.
“Anak abah nak bermanja dengan abah, ya? Sekejap ya
sayang. Abah tengah memandu.” Hakim mengusap kepala si kecil. Anak itu
tersenyum ceria diperlakukan sebegitu. Ternyata Nasuha sangat-sangat memerlukan
perhatian dari abahnya. Lebih dua minggu mereka tidak berjumpa.
“A..bah..aa..bah.” Panggil si kecil lagi.
“Ya, sayang. Suha nak pergi mana ni?” Hakim berusaha
melayani anaknya walaupun sedang memandu. Lebih baik begitu kerana sedari tadi
payah benar Amirah mahu mengeluarkan suaranya. Hanya sesekali suara itu keluar.
Itupun kerana berbicara dengan anak mereka.
“Gi ngan ibu..abah.” Nasuha bertepuk tangan. Suka benar
dia dapat berjalan-jalan dengan ibu dan abahnya.
Amirah ketawa kecil dengan keletah anaknya ini. Walaupun
jam sudah hampir menunjukkan pukul 9 malam, namun mata kecil itu masih lagi
kelihatan segar. Selalunya waktu sebegini anak itu sudah terlelap.
“Ceria benar dia dapat keluar,” ujar Hakim. Kata-kata itu
ditujukan buat isterinya.
“Hemm..dah lama dia tak keluar macam ni.” Beritahu
Amirah. Walaupun dia selalu membawa Nasuha keluar, tidak akan sama kerana
mereka hanya keluar berdua. Tanpa Hakim bersama.
Hakim menjeling Amirah. Dia faham dengan maksud isterinya
itu. Memang sejak kebelakangan ini dia jarang dapat meluangkan masa bersama
Nasuha. Terlalu banyak kerja yang dia terpaksa uruskan di pejabatnya. Sehingga
dia tidak punya masa untuk bertemu Nasuha. Tapi dia masih punya masa untuk
diluangkan bersama Amirah. Itupun ketika waktu makan tengahari. Jika dia mahu
bercakap dengan Nasuha dia akan membuat panggilan video ke telefon bimbit
Amirah. Itu sajalah masa yang dia punya untuk puterinya itu.
“Insyaallah lepas ni kita akan selalu luangkan masa
dengan Suha macam ni. Dia anak yang sedang membesar. Perlukan kasih sayang kita
berdua, ibubapanya!”
Tiada ulasan dari pihak Amirah. Sedari awal lagi dia
telah menegaskan bahawa Hakim bebas melawat Nasuha. Tapi untuk meluangkan masa
bersama agak berat untuk dia lunaskan. Namun begitu sebagai ibu bapa, kebajikan
Nasuha juga harus diutamakan. Dia tidak boleh mementingkan diri sendiri.
“Sayang dah fikirkan tentang permintaan abang tu?”
Akhirnya Hakim kembali kepada tujuan asal dia mengajak
Amirah keluar malam-malam begini.
Lambat-lambat Amirah mengangguk. Dia pasti lambat atau
cepat Hakim pasti akan menuntut jawapan darinya.
“Jadi?” Tidak sabar Hakim mahu mengetahui jawapannya. Dia
yakin Amirah tidak akan membantah. Dia kenal dengan isterinya ini. Sifat lemah
lembut masih ada walaupun perwatakannya sudah jauh berubah.
“Apa lagi peluang yang Mira ada?” Balas Amirah dengan
nada sindiran. Sudah dipaksa galak pula mahu menuntut jawapan. Mahu atau tidak
terpaksa juga menurut.
“Thanks sayang.
I love you so much. I promise you will
never regret.”
Hakim mencapai tangan Amirah lalu digenggam erat. Ikutkan
hati mahu sahaja dia memeluk tubuh itu erat. Menandakan betapa gembiranya dia
saat ini.
Tidak lama jemari itu menggengam jemarinya. Amirah pantas
meleraikan tautan jemari mereka. Tida selesa disentuh sebegitu.
“Tapi dengan syarat!”
“So, apa syaratnya?”
Tanpa menunggu lebih lama, Hakim terus sahaja bertanya
sebaik sahaja mereka selamat menduduki meja yang telah ditempah oleh Hakim di
restoran mewah itu.
Amirah menjeling Hakim yang ternyata tidak sabar. Dia
yang meminta mereka berbincang setelah sampai ke destinasi. Bimbang pula
keselamatan mereka jika dia menyatakan syarat-syarat itu di dalam kereta.
Buatnya Hakim terkejut..hishh..nauzubillah.
“Mira dan Suha lapar. Boleh kita makan dulu tak?”
Hakim mengeluh perlahan. Perasaan ingin tahunya begitu
membuak saat ini. Apakah syarat-syarat yang bakal Amirah letakkan buat dirinya
sebagai persetujuan Amirah kembali ke rumah mereka? Dan membina keluarga kecil
mereka semula?
Tapi tidak sanggup pula dia mahu membiarkan anak dan
isterinya kelaparan. Mungkin mereka boleh berbincang selepas makan nanti.
“Okay.” Hakim terus memanggil pelayan.
“Sekarang dah boleh bincang, kan?”
Hakim memulakan bicara sebaik sahaja Amirah selesai
makan. Sedari tadi dia menanti. Makan pun tidak lalu. Dia hanya menyuap Nasuha
yang dilihatnya berselera benar. Tidak berhenti henti minta disuapkan. Sehingga
tidak menang tangan Hakim dibuatnya.
Selepas kenyang dan disendawakan, anak itu terus
terlentok dalam pangkuannya. Masakan tidak, waktu sekarang sudah melebihi masa
tidurnya.
Amirah menganggukkan kepala.
“Abang dah bersedia nak mendengar syarat-syarat Mira?”
Giliran Hakim pula menganggukkan kepala.
“Pertama, Mira tak nak balik rumah kita!”
“Tapi kenapa?”
Amirah pantas mengangkat tangan. Meminta suaminya jangan
mencelah dulu dan mendengar bicaranya terlebih dahulu.
“Mira nak abang yang pindah masuk rumah sewa Mira selepas
Marissa bernikah bulan depan. Setuju?”
Kata-kata Amirah dicerna satu persatu. Amirah tidak mahu
berpindah ke rumah mereka yang terletak di Damansara. Tapi isterinya itu mahu
dia yang berpindah masuk ke rumahnya. Maknanya mereka masih boleh hidup
bersama? Cuma dirumah yang berbeza?
“Tapi kenapa, sayang? Rumah kita kan jauh lebih selesa?”
Pelik! Kenapa Amirah memilih untuk mereka tinggal di
rumah sewanya sedangkan mereka punya rumah sendiri yang dia kira sangat selesa.
Segala memori mereka juga kekal di sana.
“Mira tak suka rumah tu!” Pantas Amirah menjawab.
“Kenapa?”
Amirah menunduk. Sedaya upaya ditahan air mata yang bakal
gugur.
“Sebab rumah tu banyak mengingatkan Mira pada kelukaan
lalu.” Jawap Amirah perlahan. Namun masih dapat ditangkap oleh Hakim. Lelaki
itu menelan air liur. Matanya menyorot sayu mencari seraut wajah indah milik
isteri yang disembunyikan. Terbit rasa bersalah yang bukan sedikit. Amirah
tidak mahu kembali kerana nostalgia yang berada dalam rumah itu?
“Baiklah, abang setuju.” Hakim menyatakan persetujuan.
Dia tidak mahu memaksa. Kerana paksaan itu hanya akan menjauhkan dirinya dan
Amirah sendiri. Segala kemahuan Amirah akan dia turuti dengan sepenuh hati. Dia
juga tidak mahu Amirah mengingati segala kelukaan yang pernah dia hadiahkan
buat wanita itu sebelum ini. Kalau tinggalkan rumah mereka akan membuatkan Amirah
bahagia dia akan penuhi.
Dalam pada itu dia sudah ada perancangannya yang
tersendiri untuk rumah mereka.
“Syarat kedua?”
Hakim meminta Amirah meneruskan.
Amirah menarik nafas lega. Baguslah kalau Hakim
bersetuju. Tiba untuk syarat kedua yang dia kira akan mengejutkan suaminya.
“Mira setuju kembali pada abang. Tapi Mira belum bersedia
untuk adakan hubungan suami isteri semula.”
Berubah riak di wajah Hakim ketika itu. Dia memandang
wajah isterinya lagi. Kali ini dengan pandangan tidak percaya. Amirah tidak
menginginkan hubungan suami isteri? Jadi untuk apa mereka bersama semula?
“Kenapa? Kenapa syarat ini yang sayang letakkan? Jijik
sangatkah abang ni sampai sayang tak nak abang sentuh sayang?” Soal Hakim.
Sungguh dia rindukan Amirah. Ingatkan selepas kembali sebumbung keadaan akan balik
seperti biasa. Tapi sebaliknya yang bakal berlaku.
Amirah menggelengkan kepala. Dia hanya menunduk. Tidak
sampai hati mahu melihat riak wajah Hakim saat ini. Dia tahu dia berdosa
meletakkan syarat seperti itu. Sebagai suami isteri hubungan di kamar tidur
adalah wajib. Tapi bagaimana dia mahu merelakan sedangkan hatinya masih lagi
sakit?
“Mira belum bersedia. Harap abang faham.”
Hakim menarik nafas dalam. Pandangan matanya dilemparkan
ke luar restoran. Dia cuba mencari kekuatan. Syarat-syarat yang diletakkan
Amirah menunjukkan betapa isterinya ini masih belum ikhlas menerimanya kembali.
Tapi apakan daya. Dia yang bersalah. Sewajarnya dia menerima hukuman sebegitu.
“Syarat ketiga?”
Amirah memanggungkan kepala. “Abang setuju?”
“Abang ada pilihan lain ke?”
Amirah terdiam. Riak kecewa jelas terpamer di wajah itu.
Berdosakah dia kerana telah mengguris hati seorang suami?
Tidak! Hakim perlu diajar sebegitu! Amirah berusaha
menghalau perasaan bersalah itu sejauh mungkin. Hatinya perlu ditetapkan pada
matlamatnya.
“Syarat ketiga, abang kena berlaku adil. Dan Sofiana tak
berhak mengganggu masa abang dengan Mira walau apa pun yang terjadi!”
“Abang faham. Tapi Sofiana dah sarat sayang. Mungkin dia
perlukan perhatian daripada abang lebih,” ujar Hakim. Meminta Amirah bertolak
ansur terhadap madunya. Sofiana sedang sarat dan akan bersalin dalam sebulan
lagi. Kalau Sofiana mahu bersalin sewaktu dia berada di rumah Amirah bagaimana?
Amirah mengetap bibir mendengarnya. Selepas itu dia
tersenyum sinis. Belum apa-apa lagi lelaki itu sudah membantah. Menunjukkan betapa
dalam apa jua keadaan pun Hakim masih mahu mengutamakan isteri keduanya itu.
“Terpulang. Tapi kali ni Mira tak nak bertolak ansur. Cukup
abang dan Sofiana perbodohkan Mira dulu. Kalau abang rasa berat untuk penuhi
syarat Mira, cukup sampai di sini. Mungkin kita perlu berpisah saja!”
Terkejut Hakim dengan keputusan terburu-buru Amirah.
“Tak, sayang. Bukan maksud abang begitu.”
Tiada langsung niatnya mahu mempermainkan Amirah. Dia sekadar
mahu isterinya itu bertolak ansur dalam keadaan Sofiana sekarang.
“Sofiana juga isteri abang. Dia dah sarat sangat sayang. Bila-bila
masa saja boleh bersalin. Abang tahu sayang masih berprasangka dengan abang
kerana kesilapan abang dulu. Tapi kali ni saja abang minta Mira bertolak ansur.
Lepas ni abang janji akan adil seadilnya dengan Mira. Abang akan ikut
syarat-syarat Mira. Takkan ada gangguan dari Sofiana jika abang bermalam di
rumah Mira. Dan begitulah sebaliknya.”
Amirah merenung tajam ke dalam mata Hakim. Pujukan Hakim
membuatkan hatinya sakit. Dia tahu dalam keadaan Sofiana yang sarat dia perlu
bertolak ansur. Dia juga pernah mengandung dan bersalin. Perhatian dari suami
sangat-sangat diperlukan. Begitu juga Sofiana.
Tetapi setelah apa yang dilalui hatinya keras untuk
berkompromi. Cukuplah sekali dia terkena. Tidak akan dibenarkan kedua-dua
mereka memijak kepalanya lagi.
“Ini baru syarat ketiga abang. Belum lagi Mira utarakan
syarat keempat abang dah menujukkan tanda-tanda protes. Jadi Mira rasa tak
perlulah Mira beritahu syarat keempat tu. Sebab dah terang-terang abang tak kan
mampu melepasi syarat ketiga.”
Hakim mengeluh berat. Sukarnya mahu melembutkan hati
Amirah. Kenapa isterinya menjadi sekeras ini? Salah diri sendirikah Amirah
berubah sebegini tegas? Ya, dia yakin! Memang salah dirinya. Sifat Amirah dulu
bukan sekejam ini. Dia sangat lemah lembut dan bertimbang rasa.
“Mira..”
“Cukup!” Amirah mengangkat tangan. Dia tidak mahu
mendengar lagi.
“Sayang, abang minta maaf kalau abang dah lukakan hati
sayang lagi. Tapi abang tak boleh abaikan tanggungjawab abang sayang. Sofi
sedang sarat!”
Sedaya upaya Amirah mengawal amarah yang berombak di
dada. Kalau tidak difikirkan mereka berada di retoran ini, sudah lama Hakim
ditengkingnya.
“Tak nak abaikan tanggungjawab?” Amirah ketawa sinis. “Oh,
dengan Sofiana tahu pula tak nak abaikan tanggungjawab. Tapi kalau dengan Mira
abang biarkan begitu saja. Biarkan Mira uruskan Suha sendiri, tu boleh? Kalau dengan
Sofiana, pantang telefon cepat sahaja abang pecut kereta balik? Tapi kalau
dengan Mira beribu alasan pula abang beri. Sofiana sakitlah, muntah-muntahlah!
Abang ingat Mira bodoh? Mira pun pernah mengandunglah!!”
Hakim maraup wajahnya berkali-kali. Kata-kata Amirah benar-benar
menusuk ke tangkai hatinya. Dia dapat melihat dengan jelas bebola mata Amirah
yang merah. Menandakan wanita itu berada dalam keadaan yang sangat marah.
Perit yang ditanggung Amirah begitu jelas tergambar di wajah
isterinya. Kejamnya aku Ya Allah! Sanggup aku memperlakukan anak dan isteriku
sebegitu rupa. Tapi Amirah masih mahu mempertimbangkan permintaanku. Ternyata dia
masih Amirahku yang dulu. Sifat-sifat murni yang ada pada dirinya tidak pernah
hilang. Cuma dia bertegas untuk mempertahankan haknya.
“Maafkan abang, sayang. Banyak salah abang pada Mira dan
anak kita.” Jemari Amirah cuba digenggam. Tapi tangkas ditepis isterinya itu.
“Baiklah. Kalau itu yang Mira nak, abang akan turutkan.
Asalkan dapat menebus segala salah abang pada Mira dulu.”
Akhirnya Hakim melafazkan persetujuan. Biarlah kali ini
dia pula yang bertolak ansur dengan isterinya itu. Tentang Sofiana, tahulah dia
uruskan nanti. Suka atau tidak Sofiana perlu menerimanya. Tiba saatnya dia
berkorban untuk Amirah selepas apa yang Amirah telah korbankan untuk dirinya.
Amirah hanya mendiamkan diri. Hatinya masih sakit.
Nafasnya masih turun naik menandakan marahnya masih belum hilang.
“Boleh abang tahu syarat keempat? Banyak betul syarat
sayang dekat abang kali ni? Abang tahu abang ni tak boleh dipercayai, kan?”
Hakim cuba berlelucon. Cuba menceriakan suasana.
Namun isterinya masih mendiamkan diri. Langsung tiada
tanda Amirah mahu membuka mulut.
“Sayang, dahlah tu! Jangan merajuk, ya? Abang janji abang
akan ikut segala kemahuan Mira. Kalau itu yang dapat membahagiakan Mira. My beloved wife.”
Amirah mengalih pandang ke wajah Hakim yang sedang
tersenyum. “Ingat abang! Sekali sahaja abang tersilap langkah, abang akan
kehilangan Mira dan Suha untuk selama-lamanya!!”
Ugutan Amirah membuatkan Hakim menelan air liur. Terasa perit
tekaknya kala itu. Dia dapat merasakan Amirah tidak main-main kali ini. Hanya
anggukan yang mampu dia berikan tanda persetujuan.
“Keempat dan terakhir, Mira mahukan pegangan saham
sebanyak 20% dalam syarikat abang. Dan Mira juga mahu bekerja di sana.”
Hakim tersenyum senang. “Sayang tak usah risau. Semuanya
abang dah uruskan. Memang itu semua milik Mira dan Suha. Sayang cuma perlu
tandatangan saja selepas ni. Dokumen, peguam syarikat dah uruskan abang rasa. Dan
berkenaan Mira nak bekerja dengan Faruk Group memang abang dan papa sangat
alu-alukan. Beritahu saja jawatan apa yang sayang nak abang akan berikan pada
isteri abang yang tersayang ni.”
“Betul?” Bagaikan tidak percaya Amirah bertanya. Ternyata
Hakim lebih cepat dari dia. Sesungguhnya dia melakukan ini bukan untuk dirinya.
Tapi untuk masa depan Nasuha. Dia bimbang akan timbul msalah dengan Sofiana dan
anaknya dikemudian hari.
“Bagaimana dengan Sofiana dan anak abang tu?”
Hakim mengeluh. “Abang tak boleh buat apa-apa. Papa dan
mama tak megiktiraf dia sebagai menantu. Sedari dulu lagi abang dah ingatkan
dia pasal ni. Dan dia tak ada halangan.”
Tiada apa yang mahu Amirah ulaskan. Salah Sofiana sendiri
kerana mahu mengambil risiko menjadi isteri kedua. Sekarang hanya harta Hakim
sahaja yang mampu Sofiana warisi, bukan dari Faruk Group.
amira ni x serik2 lg ka??yg nak sgt balik dgn hakim tu bt pa?
BalasPadamterus terang ja dgn faris psl status sbnrnya tu.
x pyh nak rumitkan keadaan.
setujuuuu..... xserik langsung
PadamSabar2..panjang lg citer ni..kdg2 kehidupan x selalunya indah..x semestinya yg kita nak akan tercapai.. dan kta terpaksa berkorban utk kebahgiaan org lain. Manusia berhak diberi peluang ke2..
Padamkali ni Ida cuba garapkan cerita yang lebih close to our surrounding and totally akan membuatkan pembaca terganggu emosi.awk ma.berjaya x Ida ganggu emosi korang?? heheh..
harap sgt hakim tersalah langkah.. then gudbye..
BalasPadami prefer amira n suha wif faris.. :P
~mizz acu~
harapan saya hakim tu jd bapa tunggal jer.. no amira also no sofi!!
Padamharap amira tinggal dia.. sofi pon xdpt hakim..
fair enough tuk lelaki belot cm hakim n pompuan gedik cm sofi!!
setujuuuuu
PadamIshhhh... kenapa lah amira masih nak memberi peluang kpd suami yg tak bertanggingjawab tu? Spt yg lain, mmg lebih suka amira ends up with fariz..... Hakim - boleh terus membimbing sofiana utk menjadi isteri yg solehan dan lepaskan amira utk mencari kebahagiaan dgn fariz...
BalasPadambest n3 kalini. padan dgn muka Hakim, elok juga Mira
BalasPadambuat syarat begitu supaya jgn dia dianiaya lagi oleh
Hakim. Jgn ingat selembut-lembut Mira boleh dipijak
kepala dn sekarang lihat ketegasan Mira telah terserlah
apabila selalu saja dilukai. nk lagi jgnlh lama sgt
update n3 baru makin lama makin bestlah...
mintak2 Hakim break rule no. 3 keke
BalasPadamai hope sooo.. :)
PadamKak sue suka Kalau Fariz dengan Amirah.... bukan apa cara Fariz yang lebih matang dan cool sesuai dengan Mira ....
BalasPadamKak Sue sokong dengan syarat Mira pada Hakim, kalau Mira bagi muka mahu si Sofiana ambil kesempatan .... biasalah kan tektik dia... gerammmm....
Mesti Sofiana x tahu tentang rancangan Hakim untuk berbaik semula dengan Mira.... kalau tahu mahu meroyan Sofiana datang serang Mira....
Saham untuk Suha tu x apa lah...
farissssssssssss.... xsuka hakim... laki pmbelot..
BalasPadamfaris..yeah..x suka laki cam hakim tu..sng2 je buat pempuan mcm tunggul x de perasaan..
BalasPadamhopefully dng fariz.
BalasPadamcik penulis mmg best tp lmbt sgat update..klau x silap cite ni sejak 2009 lg..
BalasPadamyea sy tau..sy minta maaf sgt2..tp pembaca juga harus faham situasi sy..menulis kerja yg sy lakukan ketika ada kelapangan..so..jika tiada n3 bermakna sy dalam kesibukan.
Padamthanks pd yg masih menyokong karya sy..dan pd yg mengunjungi blog Ida Farisya juga sy ucapkan terima kasih yg tidak terhingga..