Khamis, 14 Mei 2009

Antara Benci dan Rindu 18

“Ifa dah fikir masak-masak ke? Abah tak nak Ifa menyesal nanti?”

Keluhan berat terlepas dari mulutku. Kalau diikutkan hati, memang aku tidak sanggup melakukan ini. Tapi apa pilihan yang aku ada?

“Ifa terpaksa abah,” ujarku perlahan.

Ketika itu aku dan abah sedang berada di kantin hospital untuk makan tengahari. Abah begitu gembira setelah aku mengkhabarkan kesediaan Yusrizal untuk membantu. Tapi dia sedikit terkejut bila aku menyatakan syarat yang telah diletakkan oleh lelaki itu sebagai bayaran kepada pertolongannya. Wang lelaki itu tidak mahu.

Pada mulanya aku berniat untuk mendiamkan diri sahaja. Tapi bila difikirkan, lambat-laun perkara ini akan terbongkar juga. Tentu sekali ibu dan abah akan tertanya-tanya jika tiba-tiba aku menyuarakan hasrat untuk rujuk semula dengan Yusrizal. Sedangkan sebelum ini aku yang berkeras menolak. Jadi lebih baik aku beritahu awal-awal. Supaya tidak akan muncul syak wasangka di kemudian hari.

“Ifa, Ifa tak perlu nak berkorban macam ni kalau Ifa tak sendiri tak rela. Kita boleh cuba minta tolong daripada orang lain.”

“Tapi siapa abah? Dah hampir semua saudara-mara kita hubungi. Dan hampir semua kawan-kawan kita dah minta tolong. Tapi tak ada sesiapa pun yang dapat tolong kita. Rizal saja harapan kita abah. Ifa terpaksa bersetuju dengan syarat tu walaupun hati Ifa tak rela. Ifa nak tengok ibu sihat macam biasa,” ujarku lagi. Pada saat ini, aku juga keliru. Hati tertanya-tanya adakah betul tindakan yang aku ambil ini. Memberikan kehidupan kepada ibuku dan mempertaruhkan kehidupanku pula?

Untuk berpatah balik sudah tidak mungkin. Sekarang, aku hanya perlu menhitung hari pernikahanku dengan penuh debar. Yusrizal sudah menetapkan yang kami akan bernikah dalam masa 3 bulan dari sekarang. Segala persiapan dia yang akan tentukan. Aku tidak mampu berkata apa-apa. Hanya mampu mengangguk setuju. Namun, aku sudah memutuskan untuk tidak mahu mengadakan majlis perkahwinan. Cukup dengan majlis pernikahan dan kenduri doa selamat untuk saudara mara terdekat sahaja. Walaupun pada mulanya Yusrizal nampak seperti tidak berpuas hati tapi dia tetap bersetuju denganku. Malu pula hendak mengadakan majlis besar-besaran bila memikirkan ini bukan kali pertama kami bernikah.

“Tapi Ifa jugak yang beria menolak masa keluarga Rizal datang meminang dulu.”

“Itu Ifa tahu abah. Tapi Ifa nak buat macam mana lagi? Ini syarat yang Rizal tetapkan. Ifa kena terima.”

“Ifa, abah tak tahu nak cakap macam mana. Tapi abah nak berterima kasih pada Ifa sebab sanggup berkorban untuk ibu. Ifa anak yang baik. Sanggup membelakangkan kebahagiaan sendiri demi ibu bapa. Abah beruntung dapat anak macam Ifa. Abah doakan semoga Ifa bahagia nanti. cubalah bagi Rizal peluang. Mungkin cara dia untuk dapatkan Ifa agak keterlaluan, tapi abah tahu Rizal akan membahagiakan Ifa kali ni. Jangan mudah putus asa. Jangan biarkan rumahtangga Ifa kali ni jadi macam dulu, ya?”

Aku hanya mengangguk mendengar nasihat abah itu. Jauh disudut hatiku juga mengharapkan sedemikian. Aku juga tidak mahu pisang berbuah dua kali. Apa yang aku nampak selepas ini hidupku hanyalah bersama Yusrizal. Aku akan cuba menjaga rumahtanggaku nanti walaupun ia terbina dari asas yang agak rapuh. Namun, persoalannya sekarang bolehkah aku menerima kehadirannya kembali dalam hidupku? Mampukah aku melupakan semua kenangan silam itu? Adakah Yusrizal mampu membahagiakan aku seperti yang diharapkan abah?

Aku hanya berserah pada yang maha Esa untung nasibku selepas ini. Apa yang tersurat untuk pasti ada hikmah disebaliknya. Sehingga itu aku perlulah bersedia fizikal dan mental untuk bersama dengan Yusrizal semula. Walaupun jika rumahtangga kami tidak sebahagia pasangan lain, sekurang-kurangnya aku tidak akan selemah dulu. Tak mungkin dia dapat memijak kepalaku lagi.

“Dahlah Ifa, jangan sedih sangat. Jom kita pergi tengok ibu. Kesian ibu tak ada orang temankan,” ajak abah.

“Yelah, tapi abah janji jangan beritahu ibu ek. At least, sampai ibu selamat dibedah,” pintaku.

“Kenapa pulak abah tak boleh beritahu ibu?”

“Ifa takut kalau tiba-tiba ibu tak nak jalani pembedahan pulak bila tahu syarat yang Rizal tetapkan tu. Ifa tahu sangat ibu tu,” beritahuku.

Pada mulanya abah terdiam. Tapi lama-kelamaan bibir abah mula mengukirkan senyuman sambil mengusap-ngusap kepalaku. Mungkin abah juga berpendapat sepertiku.

“Macam mana pembedahan tu doktor? Doktor dah ada tarikhnya?” tanyaku kepada doktor Hakimi. Ketika itu dia sedang mengadakan lawatan rutin terhadap pesakit-pesakitnya. Dialah yang bertanggungjawab merawat ibuku selama ibu aku disini. Ibuku tak dibenarkan pulang ke rumah memandang kami telah memutuskan untuk melakukan pembedahan membuang ketumbuhan di kepala ibu dalam masa terdekat. Jadi mereka bolehlah memeriksa tahap kesihatan ibu dari masa ke masa.

“Jangan risau. As you wish, pembedahan akan dilakukan dalam masa terdekat ni. Atau lebih tepat, minggu depan,” beritahu doktor Hakimi sambil tersenyum. Terserlah kemanisan pada wajah lelaki yang berusia 33 tahun itu.

“Alhamdulillah.” Aku mengucapkan syukur ke hadrat Ilahi sambil menghadiahkan sebuah senyuman buat ibu. Ibu turut membalas senyumanku. Namun terserlah kegusaran di wajahnya. Aku faham sudah tentu ibu terasa gementar menanti hari pembedahan itu. Kalau aku ditempat ibu pun, aku akan terasa perkara yang sama. Lalu, aku mengenggam jemari ibu cuba memberikan kekuatan buatnya.

“Terima kasihlah doktor,” ucap abahku.

“Tak perlu nak ucapkan terima kasih untuk saya. Dah memang tanggungjawab saya,” ujar doktor Hakimi, merendah diri. “Oklah, saya ada beberapa pesakit lagi yang saya perlu periksa. So, saya pergi dulu la ya.”

Aku menganggukkan kepala. Pemergian doktor Hakimi dan seorang jururawat hanya kuhantar dengan pandangan mata sehinggalah tubuh mereka hilang disebalik pintu. Namun, sebaik sahaja pintu itu ditutup ia terbuka semula. Kami bertiga mula memfokuskan pandangan pada pintu bilik yang menempatkan ibu itu. Aku tersenyum senang apabila wajah teman-temanku yang sama mengajar di UUM menyapa mataku. Ramainya! Buat rombongan ke apa ni? Lalu aku bangun bersalaman dengan mereka semua. Ini mesti Husni yang beritahu. Kerana dia adalah antara orang-orang yang telah aku hubungi semasa ingin meminta pertolongan tempohari.

“Thanks for coming. Tak sangka nak buat rombongan Cik Kiah,” ujarku dengan nada bergurau. Dan gurauanku itu disambut dengan hilai tawa teman-temanku. Selepas bersalam dengan aku mereka bersalam dengan ibu pula. Ternyata ibuku juga begitu gembira menerima kedatangan mereka semua.

“How’s your mother?” tanya Kak Yati, berbisik. Dia adalah penyelaras untuk subjek yang aku mengajar semester ini. Aku memanggilnya kakak kerana usianya yang 10 tahun lepas tua dariku. Kebayakkan teman-teman ku lebih tua dari aku. Aku adalah antara yang termuda yang menyandang gelaran pensyarah di fakulti perakaunan.

“Alhamdulillah, ibu ok. Cuma sesekali sakit dia menyerang tu teruk jugak lah ibu,” jawabku. Kak Yati mengangguk-anggukkan kepala tanda faham sambil matanya menghala ke arah ibu. Aku juga turut mengalihkan pandangan ke arah abah dan ibu yang sedang melayan teman-temanku.

“Ramai yang datang. Tak mengajar ke? Kalau Ifa yelah jugak. Memang tak ada kelas petang ni.”

“Jangan tak tahu, kita orang pun tak ada kelas jugak petang ni.”

“Takkanlah semuanya tak ada kelas. Min tu ada kelas kan sekarang?”

“Emmphh..dia tu memang ada kelas. Tapi dia cancelkan semata-mata nak lawat ibu Ifa ni. Lagipun dia kata nak datang sorang, segan. Tu sebab join kita orang. Tu pun ada lagi yang tak sampai. Mungkin kejap lagilah tu,” beritahu Kak Yati.

“Hah, ada lagi?” tanyaku tidak percaya. Nasib baiklah bilik ibu ni besar juga.

“A, ah. Pensyarah-pesyarah lelaki. Tak ramai. Empat orang saja,” beritahu Kak Yati lagi. Sebaik saja Kak Yati selesai bercakap, pintu bilik terkuak dari luar. Terpacul wajah Mansur, Faizal, Hafizi dan akhir sekali.........Daniel! Dan pandanganku terpaku di situ. Tidak menyangka yang dia datang melawat ibuku hari ini. Sudah agak lama juga aku tidak bersua-muka dengannya. Maklumlah, semenjak 3 minggu ini aku terlalu sibuk. Sibuk dengan tuntutan tugas, ibu dan juga sibuk melarikan diri daripadanya.

“Takziah Ifa atas apa yang berlaku,” ucap Faizal. Aku hanya menganggukkan kepala sambil tersenyum pada teman-temanku itu.

“Thanks sebab sudi datang.”

Mereka bertiga mengangguk dan selepas itu berlalu mendapatkan abah dan ibu. Aku memandang Daniel dengan rasa serba-salah kerana pandangannya tajam sekali menikam mataku. Perlahan-lahan lelaki itu mendapatku.

“Takziah Ifa. Harap you banyakkan bersabar.”

“Thanks.”

“Ada apa-apa yang perlu I tolong?”

Pantas aku menggelengkan kepala. Aku sememangnya tidak berniat untuk meminta pertolongan darinya kerana aku pasti lelaki dihadapanku ini akan menolongku. Kalau itu berlaku sia-sia saja usahaku selama ini untuk mengelakkan diri daripadanya. Pertolongannya itu sudah pasti akan merapatkan hubungan kami semula. Dan itulah yang diinginkan oleh Daniel. Tapi apa bezanya? Perkara itu pun sudah berlaku kepada aku disebabkan aku meminta pertolongan daripada Yusrizal.

“Kalau you pertolongan dari I, just give me a call. You know, everything for you.”

“Thanks but no thanks. Everything will be okay.”

Daniel menghadiahkan senyuman padaku. “Insyallah. Banyakkan berdoa. I nak jumpa dengan your mom.”

“Sure. Silakan.”

5 ulasan:

  1. kesian ifa..
    nsb bdn la..
    sj je rizal 2 wt syrt cm2...huhu..
    p xsbr gk nk tau ksh rizal n ifa bl deorg dh kwin t..
    msty mkin mnrk..
    cpt2 la wt de kwin ngn rizal..hehe

    BalasPadam
  2. Ida ada bakat menulis. Next time may be boleh bukukan cerita ni. Ida boleh jadi macam Kak Hanni Ramsul tu, sebab Ida ada bakat. Teruskan menulis. Akak suka cerita yg Ida tulis ni. Akak doakan utk Ida.

    BalasPadam
  3. best la cite, dah lama tertunggu2 kat penulisan, akhirnya jumpa blog penulis. hari2 buka kot2 ada entri.

    BalasPadam
  4. thanks akak..insyaallah kalau ada syarikat penerbitan yang berminat apa salahnya. nak jugak terbitkan..hehee

    BalasPadam
  5. bertambah best laa..
    hahaha

    BalasPadam

Hi kawan2..Selepas baca jangan lupa tinggalkan komen tau..wajib!!! hehee..sebabnya Ida suka baca komen kawan2..Nak tau jugak best ke tidak setiap post Ida ni..komen tau!!