Isnin, 26 Disember 2011

Kau Yang Kunanti 13

Honda City menjalar perlahan-lahan memasuki porch. Tanpa mematikan enjin, Hakim bersandar bagi melepaskan lelah. Lelah kerana memikirkan usaha yang hampir berjaya ternyata sia-sia akhirnya. Juga lelah kerana hari ini adalah giliran dia bermalam dengan Sofiana. Walaupun marah, tanggungjawabnya sebagai seorang suami tetap dilaksanakan. Dia tidak mahu kesilapan yang sama pernah dilakukan terulang lagi. Biarlah ia menjadi pengajaran yang tidak akan dilupakan seumur hidup.

Untuk kesekian kalinya, wajah yang sering dirindui menjelma di ruang fikiran. Amirah! Tanpa sedar bibirnya menyeru nama itu. Nama yang cukup indah. Seindah raut suci pemiliknya. Entah bilalah mereka akan hidup bahagia seperti beberapa bulan lepas. Hatinya tidak sabar menunggu saat-saat itu. Saat dimana setiap sudut kehidupan mereka dipenuhi dengan warna-warni kebahagiaan. Tidak seperti sekarang. Seorang di utara, seorang di barat. Hidup tidak sebumbung walaupun suami isteri. Pahit benar hakikat yang harus ditelan. Tapi itulah takdir yang ditentukan untuk mereka berdua. Dia redha! Semua berpunca dari kekhilafan dirinya sendiri.

“Mira, abang rindukan Mira. Abang rindukan anak kita. Baliklah sayang..” keluh Hakim sambil mengurut rambutnya ke belakang. Sebak di dada bila mengenangkan isteri pertamanya itu. Rindu dihati bukan sedikit. Begitu menggebu di jiwa. Tidak sabar rasanya mahu menunggu hujung minggu ini. Sehingga dia merancang memancitkan tayar kereta isterinya itu hanya untuk menghabiskan masa bersama. Tapi lain pula jadinya. Lebih menyakitkan hati apabila dia mengetahui akan kewujudan pesaingnya.

Langsir jendela diselak sedikit bagi membolehkannya mengintai suaminya di dalam kereta. Lokasi bilik yang bertentangan dengan porch kereta membolehkannya berbuat demikian. Sedari tadi dia berada di situ. Menanti saat-saat suaminya melangkah ke dalam rumah mereka. Tapi nampaknya hampir 10 minit Hakim masih di situ walaupun enjin kereta telah lama dimatikan. Tidak senang duduk dia dibuatnya. Lalu langsir jendela dikibar kasar. Rambut lurus yang sedikit menutupi muka ditolak ke belakang dengan rakus. Dia berpeluk tubuh.

Entah bilalah suaminya itu hendak keluar dari tempat bertapaannya itu. Kalau diikutkan rasa hati yang tidak sabar telah lama Hakim dijemputnya. Tapi bagaimana pula dengan segala suprise yang telah disiapkan untuk lelaki itu? Tidakkah tingkahnya itu akan merosakkan segalanya? Dia tidak mahu tampak begitu gelojoh. Dia mahu tampil sopan dan ayu seperti yang pernah dipertontonkan kepada lelaki itu sebelum Hakim mengambil keputusan untuk menikahinya hampir 7 bulan lepas. Yakin dengan cara itu dia mampu memenangi hati suami yang semakin hari semakin dipenuhi cinta isteri pertama.

Seharian dia bekerja di rumah hari ini. Cuti sengaja diambil untuk menjayakan segalanya. Semua itu dilakukan kerana dia tahu giliran Hakim bersamanya malam ini. Sudah terlalu lama masalah mereka dibiarkan berlarutan. Sedangkan Hakim sudah hampir menggapai Amirah dan anak mereka. Jika dia tidak bertindak sekarang, mungkin sahaja dia akan kembali hidup bermadu dalam erti kata yang sebenarnya. Semalaman dia berfikir cara apa lagi yang harus dilakukan untuk menundukkan suaminya itu. Mungkin cara yang sedia ada sudah tidak releven berbanding cinta lelaki itu buat Amirah. Dia sendiri bagaikan tidak percaya! Bagaimana cara yang begitu yakin keberkesanannya seakan kebal ke atas Hakim. Semua itu disedarinya selepas Amirah pergi dari hidup mereka.

Mungkin strateginya perlu ada nilai tambah. Dan itulah yang sedang dilakukan. Mungkin dia terlepas pandang selama ini. Sekadar usaha mudah yang memerlukan ribuan ringgit nampaknya tidak memadai. Jadi inilah yang bakal berlaku sebentar lagi dan untuk hari-hari seterusnya. Hakim begitu mencintai Amirah kerana keperibadian, kecantikan dan juga kepandaian wanita itu dalam menguruskan rumahtangga mereka. Apa yang dapat dia lihat dan simpulkan adalah...dia perlu menjadi seperti Amirah! Mesti! Dia rasa dia lebih cantik dan moden dari wanita itu. Dan dia pasti dapat melakukan lebih baik dari wanita itu!

Sedang dia berdialog sendirian, kedengaran pintu rumah terbuka. Tahulah dia yang suaminya telah memasuki rumah dan telah meninggalkan tempat pertapaannya tadi. Dengan pantas Sofiana mengemaskan diri di hadapan cermin. Pakaiannya yang agak menjolok mata itu sudah pasti akan menetapkan pandangan mata Hakim kearahnya selepas ini. Harapannya agar bayangan Amirah akan hilang terus dari minda suaminya. Perutnya yang sudah membulat diusap perlahan. Terselit kesal di hati. Kerana anak yang dikandung ini dia sudah kurang kelihatan seksi. Tubuhnya sudah kelihatan sedikit gempal. Dek kerana takut tubuhnya semakin berisi, dia berusaha menyekat selera makannya.

Setelah mengemaskan diri, Sofiana melangkah penuh yakin mendapatkan suaminya di ruang tamu.

“Eh, abang dah balik?” Tegur Sofiana dengan mesra sambil melenggokkan langkahnya.

Hakim yang sedang berbaring di sofa terus membukakan mata saat suara lunak Sofiana menerjah pendengarannya. Terus matanya tertumpu pada langkah si isteri yang sedang mendapatkannya. Dahinya berkerut. Sangkanya dia pasti akan ditujahi dengan sindiran lagi seperti hari-hari sebelumnya. Tapi apa yang terhidang di hadapan matanya sangat-sangat menyimpang dari telahannya.

Dia tidak hairan dengan pakaian Sofiana yang seksi dan menggiurkan kerana dia telah terbiasa dengan semua itu. Itulah pakaian Sofiana ketika di rumah. Cuma sejak berbadan dua pakaian itu seakan dijauhi. Apabila ditanya, jawapan yang diberikan amat mudah.

“Tubuh yang sudah mengembang tidak sesuai lagi dengan pakaian sebegitu.”

Apa yang membuatkan dia tertanya-tanya adalah senyuman dan layanan mesra isterinya itu. Sofiana kelihatan bersimpuh di samping sofa sambil membelai rambutnya yang jatuh di dahi. Bahkan sebelum itu dia disalami. Sesuatu yang jarang-jarang dilakukan wanita itu sebelum ini. Sofiana perlu diingatkan atau ditegur tentang itu. Dilakukan pula dalam keadaan terpaksa. Hanya Amirah yang tidak akan lupa menyalaminya apabila mahu berpisah dan bersua.

“Penat?” Tanya Sofiana dengan nada manja.

“Emm..” Balas Hakim sambil kembali meletakkan kepalanya. Malas memikirkan perubahan Sofiana kerana dia terlalu letih. Ditambahkan pula dengan kekecewaan petang tadi. Terasa tidak mampu lagi otaknya memikirkan perkara lain. Dia mahu berehat. Kalau Sofiana sedang memulakan mukaddimah untuk pergaduhan sekali lagi, baik lupakan saja. Kerana dia benar-benar tiada mood ingin melayan. Tapi kalau benar ini adalah permulaan perubahan sikap isterinya, baguslah. Itu sahaja yang dapat dia katakan buat masa sekarang.

“Letih benar Sofi tengok ni. Banyak kerja sangat ke dekat office?” Dia bertanya lagi. Dalam hati mendongkol geram kerana Hakim seperti tidak mengendahkan dirinya. Sofiana sebenarnya mengharapkan sedikit reaksi dari suaminya untuk perubahan yang dia sedang lakukan ini. Tapi apa yang dia dapat tidak seperti yang diharapkan. Mungkin masih terlalu awal untuk semua itu. Dia akan bersabar kerana suatu saat Hakim pasti akan menjadi miliknya yang mutlak. Bukan sahaja tubuh tapi seluruh hati Hakim hanya untuknya.

“Sofi dah siapkan makan malam. Abang naik mandi..solat..lepas tu kita boleh makan sama-sama. Abang belum solat lagi kan?”

Hakim kembali membukakan mata. Matanya tunak memandang wajah Sofiana yang ceria. Kalau tidak salah pendengarannya tadi, Sofiana ada mengatakan yang dia telah memasak makan malam? Benarkah begitu? Macam tidak percaya! Selalunya Sofiana hanya akan memasak pabila hujung minggu. Itupun jarang sekali berlaku. Rajin benar isterinya menyiapkan itu semua untuk dirinya. Mungkin isterinya pulang awal dari pejabat hari ini.

“Sofi masak?” Penuh dengan nada kehairanan dia bertanya.

“Aah, kenapa? Tak percaya?” Sofiana mengangguk laju. Sedikit teruja apabila mendapat reaksi yang ditunggu-tunggunya sedari tadi. “Sofi masak ayam goreng berempah kesukaan abang. Tomyam sayur dan cencaluk pun ada. Abang suka tak?”

Kecur air liur Hakim mendengarnya. Perut yang telah kenyang dengan kekecewaan sebentar tadi kembali berbunyi. Sudah lama dia tidak dihidangkan dengan makanan seperti itu. Masakan Sofiana juga boleh tahan sedapnya. Tapi masakan Amirah lebih terangkat. Ahh, dalam keadaan kelaparan begini pun dia masih mahu membandingkan keduanya. Apalah hendak jadi dengan dirinya ini?

“Sedapnya. Dah lama Sofi tak masakkan untuk abang. Apa mimpi ni? Masak makanan kegemaran abang pula tu. Sofi tak kerja ke hari ini?”

“Kerjalah. Saja Sofi pulang awal sebab nak masakkan untuk abang. Malam ni abang kena makan banyak-banyak tau. Biar ada tenaga,” ucapnya sambil melirik manja. Cuba menyampaikan maksud tersirat disebalik kata-kata dan lirikan itu.

“Rajinnya isteri abang. Kalau macam tu abang naik atas dulu. Nak mandi dan solat. Nanti Sofi naik, kita solat sama-sama,” ajak Hakim ceria. Sudah lama dia tidak berbual mesra begini dengan isteri keduanya itu. Sebelum ini pantang bersemua muka pasti bertelagah. Ada saja yang Sofiana tidak berpuas hati. Tapi mulai hari ini mungkin semua itu akan berubah. Dia malas bertanya. Mungkin benar Sofiana telah berubah dan mampu menerima segala takdir untuk mereka bertiga. Alhamdulillah... Langsung tidak mengerti isyarat yang dihantar isterinya itu.

Dalam hati Sofiana merengus kasar. Geram kerana Hakim langsung tidak memahami maksudnya.

“Emm..Sofi uzurlah abang. Abang sajalah yang solat, okay?” Walaupun kegeraman, wajahnya tetap dimaniskan. Dia tidak boleh gagal dalam lakonan ini.

Hakim mengerutkan dahi. Uzur?

“Honey, jangan nak buat lawak kat sini.” Hakim sudah meledakkan tawanya. Apalah kena dengan isterinya itu? Malam-malam begini hendak membuat lawak.

Sofiana sudah dilanda kehairanan. Lawak apa yang dia buat sampai Hakim ketawa begitu? Biasalah kalau perempuan uzur dan tidak boleh solat. Apa yang kelakar sangat?

“Lawak apanya? Dah memang Sofi uzur. Sebab tulah tak boleh solat. Dahlah, Sofi nak ke dapur nak hidangkan makan malam. Lepas abang solat, turun ye? Sofi tunggu kat bawah,” tanpa mengesyaki apa-apa, dia cuba bangun. Agak sukar juga untuk menolak tubuhnya naik kerana kandungan yang sudah mencecah tujuh bulan itu.

“Sofi..” Bahu Sofiana ditekan lembut supaya wanita itu kembali duduk. Bibirnya masih menguntum senyuman. Perlahan-lahan perut isteri yang sudah membulat di sentuh dan di usap lembut. Sofiana turut menguntum senyuman sambil meletakkan telapak tangannya di atas jemari Hakim. Sama-sama merasai pergerakan anak mereka yang mungkin sudah tidak sabar mahu melihat dunia.

“Perut ni dah tunggu masa aje lagi nak meletup. Bila masa pulak orang mengandung boleh datang bulan ni, honey?”

Kata-kata Hakim membuatkan Sofiana terdiam tanpa kata. Alamak! Macam-mana boleh lupa ni?

Terasa seperti hendak menyembunyikan wajah di bawah sofa saat ini. Langsung tidak teringat keadaan diri yang sedang berbadan dua. Itulah padah akibat selalu meninggalkan solat. Selama ini pun ada sahaja alasan yang diberikan jika di ajak solat bersama. “Sudah solat’ antara alasan yang kerap digunakan. Dia sikit tidak berasa berdosa kerana membohongi suaminya sendiri.

Memang solatnya yang lima waktu sehari semalam itu tidak pernah sempurna. Semua itu dipandang ringan. Dia menutup aurat pun sekadar menurut kata ibu dan bapanya yang mahu dia berubah bila memasuki alam kampus. Dia yang pada mulanya membantah terpaksa menurut kerana sudah penat mendengar leteran orang tuanya. Pada pandangannya menutup aurat sekadar menyekat keinginannya untuk berfesyen. Namun begitu, dia tidak pernah membiarkan dirinya ditinggalkan fesyen semasa. Dia akan tampil bergaya dan anggun biarpun memakai tudung di kepala. Tidak kisahlah pakaian itu sesuai atau tidak, dia tidak peduli. Dia tidak pernah kisah dengan pandangan orang lain kerana pakaian yang dipilihnya tidak sesuai dengan imejnya yang bertudung. Buat apa nak fikirkan orang lain? Buat sakit kepala sahaja.

Tapi kali ni? Macam mana? Patutlah Hakim ketawa bagai nak gila tadi. Dan dia pula dengan yakinnya memberikan alasan yang dia tidak boleh solat kerana keuzuran. Bodoh betul kau, Sofiana!

“Er.. abang ni! Sofi gurau sajalah. Takkanlah Sofi datang bulan dalam keadaan perut memboyot macam ni. Abang tu busuklah. Pergilah mandi cepat. Nanti Sofi naik. Kita solat sama-sama.”

Hakim hanya tersenyum sebelum meninggalkan isterinya di ruang tamu. Langsung tidak mengesyaki akan cubaan menipu Sofiana sebentar tadi. Dia hanya menerima alasan yang isterinya itu hanya bergurau. Manakala Sofiana pula sudah menarik nafas lega kerana berjaya menyembunyikan kebodohannya sebentar tadi. Perlahan-lahan dia bergerak ke dapur untuk menghidangkan makan malam. Sekejap lagi waktu Isya’ akan menjelma. Dia perlu cepat. Bimbang semua rancangannya tidak menjadi hanya kerana kegagalannya menepati waktu.

Malam itu mereka menghabiskan masa berdua dengan berbual dan bergurau-senda. Sudah lama mereka tidak bemesra seperti ini. Hakim mengucap syukur di dalam hati. Sofiana telah kembali seperti di awal perkahwinan mereka dahulu. Tiada lagi sindiran dan bebelan tidak puas hati. Tiada Amirah dan Nasuha lagi di dalam perbualan mereka. Yang ada hanyalah mereka berdua. Mungkin telahannya petang tadi benar. Isterinya itu sudah mampu menerima takdir yang telah tertulis buat mereka bertga. Dia juga tidak mahu merosakkan mood isteri yang telah bersusah-payah menyediakan makan malam untuknya. Biarlah malam ini mereka merehatkan diri dengan berbicara indah. Tentang masa depan mereka dan juga anak yang bakal lahir. Semoga keindahan ini akan berterusan untuk hari esok.

Mereka memutuskan untuk masuk tidur setelah selesai menonton siaran televisyen. Sofiana dengan manja melentokkan kepalanya di bahu suaminya. Manakala, Hakim erat memeluk bahu isterinya. Tidak lekang senyuman di bibir mereka berdua. Terasa tidak mahu diakhiri hari ini. Hilang seketika ingatan Hakim buat Amirah dan puterinya. Terisi dengan kemanjaan dan kemesraan yang ditunjukkan Sofiana.

Bagi Sofiana pula kemenangan seakan sudah berpihak kepadanya. Hanya dengan satu malam dia berjaya menawan suaminya kembali. Tidak susah rupanya mahu menambat hati Hakim semula. Hanya merubah diri menjadi Amirah, Hakim sudah kembali ke dalam pelukannya. Ternyata hati Hakim terlalu lembut untuk ditakluki. Kalaulah sejak dari dulu lagi dia berbuat begitu sudah tentu Amirah tidak menjadi masalah besar dalam rumah tangga mereka. Nampaknya, dia perlu mengawal perasaan cemburunya itu.

Malam ini tidak akan berakhir begitu sahaja. Sudah lama mereka tidak bemesra di atas katil. Terasa rindu itu membuak-buak saat ini. Akan ditakluki Hakim sepenuhnya malam ini. Biar Hakim sudah tidak ingat kepada Amirah lagi pabila bangun keesokkan harinya. Lalu, keinginan itu ditunjukkan dengan lirikan dan geselan tubuhnya. Hakim yang seakan mengerti tersenyum sahaja.

Tergagau-gagau tangan Hakim mencari telefon bimbit yang menjerit nyaring. Mata yang masih mengantuk seakan melekat dan enggan dibuka. Entah siapa yang menelefonnya pagi-pagi begini?

“Hello..” Ucapnya dengan suara serak akibat baru bangun tidur.

“Assalamualaikum..Hakim! Mama ni!”

Mata yang terpejam terus terbuka saat suara mamanya didengari di hujung talian.

“Waalaikumussalam... Kamu masih tidur lagi ke?

“Aah.. mama! Ada apa mama telefon Hakim pagi-pagi ni?”

“Sorrylah mama ganggu pagi-pagi ni. Mama sebenarnya nak ajak Hakim temankan mama ke Mid Valley hari ni.”

“Mid Valley? Nak beli apa, ma?”

“Mama nak belikan hadiah untuk Amirah dan cucu mama tu. Hujung minggu ni kan kita nak melawat dia orang?”

Mendengar sahaja nama Amirah dan Nasuha terus matanya terbuka luas. Hilang terus kantuk yang menguasai diri sebentar tadi.

“Nak beli hadiah untuk Mi..!” Hakim menutup mulut sambil berpaling ke sebelah. Dia menarik nafas lega apabila dilihat Sofiana di sisi lena tidak terkutik. Perlahan-lahan dia bangun dari katil dan melangkah meninggalkan kamar tidur. Dia tidak mahu Sofiana mendengar perbualan mereka. Bukan perlakuan yang bijak di saat hubungan mereka berdua baru sahaja pulih. Dia masih belum pasti tentang penerimaan Sofiana terhadap Amirah dan Nasuha. Mungkin Sofiana berbaik dengannya semalam hanya untuk membeli jiwanya yang seakan hilang bersama kehilangan Amirah dan anak mereka beberapa bulan lepas. Kalau tidak masakan dalam masa beberapa hari isteri keduanya itu boleh bertukar berwatakan? Walaubagaimanapun, itu hanya telahannya. Mungkin juga Sofiana benar-benar mahu berubah dan mahu mengembalikan kebahagiaan dalam rumahtangga mereka. Namun buat masa ini segala aktivitinya di luar tidak boleh diketahui Sofiana. Dia tidak mahu segala rancangannya berantakkan.

“Untuk Mira dan Suha?” Dia berbisik perlahan. “Yelah, mama. Hakim pun tak beli lagi hadiah untuk dia orang. Nasib baik mama ingatkan.”

Hakim menarik nafas lega. Memang dia sudah berkira-kira hendak keluar mencari hadiah untuk Amirah dan anak mereka hari ini memandangkan hari ini merupakan cuti khas untuk sambutan Maulidur Rasul. Tapi dia hampir terlupa dek kerana melayani Sofiana semalam. Nasib baik mamanya menelefon dan mengingatkannya.

Terbit juga rasa kasihan di hatinya untuk isteri keduanya itu. Sofiana pasti mahu bermesra dengannya semalam. Tapi niatnya itu tidak kesampaian kerana Hakim tertidur akibat terlalu lama menunggu wanita itu keluar dari bilik air. Entah apa yang dilakukan Sofiana sehingga begitu lama. Tahu-tahu sahaja sudah pagi. Itupun kerana dikejutkan oleh panggilan mamanya. Kalau tidak pasti dia terlepas subuh. Dia mengerling jam di dinding. Sudah pukul 6.30 pagi.

“Yang kamu berbisik-bisik ni kenapa? Kamu dekat mana sekarang? Mesti dekat rumah bini muda kamu tu, kan?”

“Emm..” Hakim menjawap malas. Dia tahu mama tidak menyukai Sofiana. Malah untuk menyebut nama isterinya itu pun mama enggan. Benci benar mama terhadap Sofiana. Entah bilalah keadaan akan pulih dan mereka dapat hidup bahagia sebagai sebuah keluarga?

“Patutlah..! Boleh ke temankan mama ni? Jangan kamu nak mengelak pula sebab nak temankan perempuan tu. Dahlah papa kamu tak dapat temankan mama sebab keluar jumpa client. Hari cuti macam ni pun sibuk nak jumpa client.” Bebel Datin Intan. Dalam masa yang sama memberi amaran buat anak lelakinya itu.

“Tak adalah mama. Mestilah boleh. I want to get something for both of them as well.”

“Baguslah kalau macam tu. Pukul 10 pagi nanti Hakim jemput mama dekat rumah. Tak sabar mama nak jumpa menantu dan cucu kesayangan mama tu.”

“Hakim pun sama ma...” Dia berkata perlahan sambil membayangkan wajah kesayangannya itu.

‘Abang rindukan Mira dan anak kita. Tunggu abang ya sayang? Tak sabar nak tunggu hujung minggu nanti.’

p/s: blog updated. hope semua enjoy dengan n3 kali ni.

6 ulasan:

  1. eeeiii tak suka betul dengan watak sofiana ni... keji... kalaulah aku boleh tolk dan gugurkan kandungan agar hati hakim tidak lagi terikat pada si bedebah itu... eeeiiii... geram betul..

    BalasPadam
  2. yahoooooooo..penantian dah berakhir-Say Hello

    BalasPadam
  3. Best :-) Cepat2 sambung ya...
    Saya suka cara penulisan Ida...Teruskan usaha...
    Kalau boleh, biarlah Hakim terus menjadi suami Amira ya...

    BalasPadam
  4. best sgt.kalau boleh biarlah Amirah dgn orang lain.biarkan Hakim bersemangat sikit nk tackle amirah..heheee

    BalasPadam
  5. i still want Amira dgn Hakim. True love Amira suppose xleh kalah dgn cinta Sofiana yg bpura2x. sbb spandai2x tupai melompat akhirnya akan jatuh juga. but i like last night nothing happen confirm bengan sofiana pelan tak jadi. sbb tak ikhlas n ada niat jahat tu k.o. ahaks... padan muka. Hakim ni bila la ko nk tau perangai sebenar isteri kedua ko ni. ish geram ja. tah apa jd ngan ank kedua ko dah la perempuan tu nk diet sian baby tu. silap lps ni amira yg jg baby tu. harap sofiana hancur ti. klu ikut hati jahat mmg nk bg sofiana tu kguguran br la hakim tak terasa terikat dia trap hakim guna anak tu. tah betul ke idak tu anak hakim. pempuan yg bnyk tipu muslihat xleh caya langsung. true love should win. xnak la hadir hero baru ke apa jd suami mira. klu x ceta ni sama ja ngan ceta ln. bila suami kahwin lain mula isteri mintak cerai. fed up la camni. singkat sgt fikiran. dlm islam poligami xsalah yg silapnya suami yg tak pandai nk kawal isteri2x n bbahagi2x kasih sayang setimpal n sama rata. so hope hakim different. sbb dia tau tanggungjawab dia membimbang seorg isteri ke jln benar. get back mira hearth n bentuk sofiana tu jd manusia yg baik. biar madu ni bbaik ke xpun sofiana ni berambus dr hidup hakim n mira.

    BalasPadam
  6. bila nak update cite nie agi....
    best ar cite nie....
    please la update agi....

    BalasPadam

Hi kawan2..Selepas baca jangan lupa tinggalkan komen tau..wajib!!! hehee..sebabnya Ida suka baca komen kawan2..Nak tau jugak best ke tidak setiap post Ida ni..komen tau!!