Selasa, 19 Mei 2009

Antara Benci dan Rindu 20

Sudah tiga minggu peristiwa itu berlaku. Dan kini aku boleh menarik nafas lega. Ketumbuhan yang selama ini mengganggu kesihatan ibu telah berjaya dibuang. Wajah ibu sudah tidak nampak pucat lagi. Malah ibu sekarang sudah boleh tersenyum bahagia seperti selalu. Aku amat bersyukur dengan apa yang telah berlaku. Ternyata Tuhan masih sayangkan ibuku kerana memberi peluang untuk ibu melihat dunia yang indah ini. Aku dan abah juga turut berasa bersyukur kerana berpeluang merasai kasih sayang ibu lagi selepas ini. Syukur Alhamdulillah!

“Doktor, bila agaknya mak cik boleh keluar dari hospital?” tanya ibu kepada doktor Hakimi. Seperti biasa lelaki itu tidak pernah lupa untuk memantau tahap kesihatan ibu. Apatah lagi selepas pembedahan.

“Kenapa? Dah bosan?” tanya doktor itu pula kepada ibu.

“Mestilah bosan. Dah sebulan lebih mak cik kat sini. Asyik makan tidur, makan tidur. Tak buat apa-apa. Lama-lama badan mak cik pun jadi macam tong!”

Terhambur ketawa semua yang berada di dalam bilik itu. Bergema bilik itu dengan ketawa yang bergabung. Apa tidaknya, selain keluargaku, keluarga Yusrizal juga turut berada di sini hari ini. Mereka semua baru sahaja sampai pagi tadi. Sejak dikhabarkan tentang penyakit ibu, keluarga itu tidak pernah lupa untuk menjenguk ibu setiap kali hari ahad. Berada jauh di Kuala Lumpur bukan masalah buat mereka itu melawat ibu. Aku sungguh terharu dengan keperihatan keluarga bekas mentuaku itu.

“Alah, Shima berehatlah lama sikit. Awak tu baru lepas dibedah. Biarlah luka pembedahan tu pulih dulu,” kata mama.

“Saya bukan apa Maria, dan bosan sangat dah. Nak tidur pun tak daya rasanya. Hati asyik ingat dekat rumah saja. Lagipun, saya kan dah sihat. Luka pembedahan pun dah nak sembuh dah.”

“Betul ke mak cik nak balik?” tanya doktor Hakimi.

“Betullah doktor. Boleh ke kalau mak cik nak balik?” Mata ibu kelihatan bersinar-sinar penuh mengharap. Sebagai anak aku faham perasaan ibu. Pasti ibu bosan berada di sini. Kalau aku pun akan terasa perkara yang sama.

“Mengikut pada pemeriksaan saya, mak cik pun dah semakin sihat. So, tak ada sebab kenapa saya masih nak tahan mak cik di sini,” jawab doktor Hakimi.

“Maknanya isteri saya ni dah boleh baliklah doktor?” Suara abah pula kedengaran. Abah kelihatan gembira sekali. Apatah lagi apabila doktor Hakimi menganggukkan kepala. Tapi yang paling seronok tentulah ibuku.

“Tapi bukan hari ni. Esok baru mak cik boleh keluar!”

“Esok pun esoklah doktor. Asalkan mak cik dapat keluar dari sini.”

Tersenyum aku dengan kata–kata ibu. Wajah ibu ternyata menunjukkan yang dia betul-betul gembira. Senyum di bibir ibu membuatkan hatiku tenang. Syukur kerana kami sudah berjaya melalui ujian Allah s.w.t.

“Ok, saya keluar dulu. Assalamualaikum.”

“Waalaikumussalam,” jawab kami semua.

“Baguslah kalau Shima dah boleh keluar. Kita pun ada perkara yang nak kena selesaikan ni,” kata mama dengan nada gembira sambil memandang aku dan kemudian Yusrizal.

Aku yang memahami maksud kata-kata mama itu pantas memberikan isyarat mata buatnya. Menandakan yang aku belum bersedia untuk membicarakan soal itu lagi. Sekurang-kurangnya biarlah sampai ibu betul-betul sihat dahulu.

“Perkara apa Maria?” tanya ibu.

“Er..tak ada apa-apalah.”

“Kenapa Maria? Macam ada perkara penting saja.” Ibu masih tidak berpuas hati. Aku sudah gelisah di tempatku. Semua mata tunak memandangku seolah-olah memahami apa yang aku rasa saat ini. Kecuali ibu sahaja yang masih memandang mama meminta kepastian.

“Kenapa ni? Hah, Ifa?” Ibu memandang aku pula setelah menyedari yang semua orang sedang memandangku.

“Tak ada apa-apa bu.”

“Jangan nak tipu ibu. Semua orang nampak pelik sangat ni.”

“Ibu..” Yusrizal melangkah ke depan lalu bertenggek di atas katil ibu. “Ibu jangan banyak fikir sangat. Ibu rehat dulu. Bila ibu dah sihat betul-betul baru kami beritahu ibu. Jangan risau ni berita gembira bukan berita buruk.” Giliran Yusrizal pula memujuk ibu pula. Serta-merta mulut ibu yang sibuk bertanya tadi terdiam. Termakan dengan pujukan bekas menantu kesayangannya itu.

“Yelah. Ibu rehat. Tapi janji bila ibu dah sihat nanti mesti beritahu ibu. Jangan nak mungkir janji.”

“Janji!” Yusrizal mengangkat tangan seolah-olah sedang bersumpah. Aku hanya memerhati gelagat Yusrizal. Pandai juga dia memujuk ibu.

“Kalau macam tu kita pun kena beransurlah nampaknya. Bagi peluang untuk orang sakit nak berehat,” usik papa.

“Betul tu papa. Kang ada pulak yang tak dapat keluar hospital esok,” usik Nisa pula. Kami semua tertawa apabila ibu memuncung di usik kedua beranak itu.

Selepas bersalaman dengan ibu kami mula beransur. Meninggalkan ibu sendirian untuk berehat.

“Ifa!”

Aku dan abah yang ketika itu sudah hendak melangkah keluar dari bangunan hospital menoleh apbila terdengar namaku dipanggil. Kelihatan keluarga Yusrizal sedang menghampiriku. Tiba-tiba perasaan bersalah di hatiku kerana menonong saja berjalan ke hadapan tanpa mempedulikan mereka semua.

“Ifa dah nak balik ke?”

“Yelah. Kenapa mama?”

“Sebenar macam ni. Kami ingat nak ajak Ifa dengan Hassan ke rumah Yusrizal ni. Kita makan sama-sama. Dah lama tak makan bersama,” ajak papa. Yang lain hanya menganggukkan kepala tanda mengiyakan kata-kata papa.

Terbit rasa serba-salah dalam hatiku ini. Kalau diikutkan hati mahu sahaja aku berkata tidak. Tapi apa pula alasan yang hendak aku persembahkan supaya penolakanku nanti tidak menyentuh hati mereka?Dalam perkara sebegini campur tangan orang memang amat berhasil. Lalu, aku memandang abah dengan pandangan yang sarat dengan penuh makna. Mengharapkan abah bersuara bagi pihakku yang memang tidak mahu menyertai mereka. Tidak betah aku dengan keluarga ini sekiranya Yusrizal turut serta. Masalah aku sekarang ialah Yusrizal! Bukan ajakan mereka!

Sejak kebelakangan ini lelaki itu sering saja muncul di mana-mana. Seolah-olah dia sedang mengekori kemana saja aku pergi. Akalku galak mengatakan lelaki ini sedang mencari peluang untuk bersamaku. Aku jadi rimas dengan semua ini. Tapi aku tidak berani bersuara kerana bimbang dia akan mengungkit tentang duit yang telah aku pinjam darinya beberapa minggu lepas dan mempercepatkan tarikh perkahwinan kami.

Pernah suatu hari aku menyatakan rasa hatiku yang tidak mahu hubungan kami terlalu rapat sebelum aku sah menjadi miliknya. Aku juga lantang menyuarakan bahawa wang yang aku pinjam darinya bukan tiket untuknya untuk memenangi hatiku. Kalau perlu aku akan mencari jalan untuk membayar kembali wang yang aku pinjam darinya dulu. Tapi dengan tegas pula dia mengatakan...

“Kalau Ifa nak sangat kita kahwin minggu depan buatlah. Abang lagi suka. Lagi cepat lagi bagus.”

Pada waktu itu aku ingat dia hanya bergurau, tapi ternyata lelaki itu tidak berniat untuk berolok-olok. Aku pantas mencapai telefon bimbit yang berada di tangannya lalu mematikan talian. Siap buka loudspeaker lagi supaya aku mendengar perbualannya. Entah apa kata mama bila talian itu diputuskan secara tiba-tiba aku sendiri tidak tahu. Yang aku tahu aku perlu memutuskan perbualan itu kerana Yusrizal berhasrat untuk meminta mama mempercepatkan pernikahan kami. Dia juga akan mengatakan aku yang meminta begitu. Memang gila!

Lalu apa lagi pilihan yang aku ada melainkan mengikut saja rentaknya. Tapi aku perlu menggunakan psikologi! Tegas dalam kelembutan. Walaupun perkahwinan ini tetap akan berlansung tapi aku boleh menundanya dari tarikh asal. Hanya tinggal lebih kurang dua bulan saja lagi aku akan menjadi isteri orang. Semakin hampir tarikh itu semakin aku rasakan yang aku tidak bersedia. Aku perlu menunda tarikhnya!

“Macam mana Hassan?” Mama pula bertanya. Tidak sabar mahu mendengar persetujuan dari kami.

“Tak menyusahkan ke?”

“Apa yang susahnya Hassan? Kita pergi makan saja. Yang lain semua pembantu rumah yang sediakan. Lagipun tak lama lagi kita dah nak jadi keluarga kan?” kata abah pula. Aku masih lagi memandang abah. Mengharapkan abah memberikan alasan yang membolehkan aku terlepas dari semua ini.

Abah mengalihkan pandangannya kepadaku.

“Apa salahnya?” Dan aku melepaskan keluhan hampa.

Sesampai saja di rumah Yusrizal kami disambut oleh pembantu rumahnya. Gembira sekali orang tua itu apabila melihat kedatanganku. Maklumlah, sejak pertama kali aku menjejakkan kami ke rumah ini beberapa minggu lepas kami sudah serasi. Mulut mak cik Bibah yang becok bercerita tidak berhenti-henti membuatkan aku senang berbual dengannya. Dengan loghat Kedah membuatkan apa saja yang keluar dari mulutnya kedengaran lucu.

“Ada tetamu ghupanya haghi ni. Naseb baek mak cik masak lebih. Rizal pun bukan nak habaq dulu.”

“Alah, Rizal dah tahu mesti mak cik masak lebih. Sebab tu Rizal tak beritahu.”

“Yelah, duduklah dulu. Mak cik nak pi dapuq.”

“Tak siap lagi ke Bibah? Tetamu dah lapar ni?” tanya mama.

“Dah siap dah Puan. Cuma nak hidang ja.”

“Meh la saya tolong.”

“Ifa ikut ma.”

Mama hanya menganggukkan kepala. Mungkin menyedari ketidakselesaanku bila ditinggalkan sendirian.

“Kenapa tak nak beritahu ibu tentang Ifa dan Rizal?”

Aku yang ketika itu sedang menyusun gelas di atas dulang tersentak bila tiba-tiba terdengar ada suara manusia di belakangku. Aku mengurut dada. Nasib baik tidak terlepas dulang dalam peganganku ini.

“Mama, terkejut Ifa!”

“Sorry, mama tak sengaja! Ingatkan Ifa tahu mama ada kat belakang,” kata mama sambil mengusap belakangku. Meredakan sedikit rasa terkejutku tadi.

“Tak apalah. Mama tanya apa tadi?”

“Mama tanya kenapa tak nak beritahu ibu tentang perkahwinan Ifa dan Rizal?”

“Ooo yang tu...biar dululah.”

“Kenapa pula macam tu? Nanti mesti ibu tahu jugak.”

“Biarlah ibu sihat dulu. Nanti barulah Ifa beritahu. Ifa takut mengganggu kesihatan ibu pula.”

“Apa pulak mengganggu kesihatan ibu. Kalau Ifa nak tahu ibu memang suka kalau Ifa dan Rizal rujuk semula.”

“Itu Ifa tahu. Tapi Ifa takut kalau ibu tahu tentang......”

“Mama!!”

Aku dan mama berpaling ke arah pintu dapur. Kelihatan Yusrizal sedang berdiri di situ.

“Ish, budak ni! Yang kamu terpekik tu kenapa? Macamlah mama ni duduk sebatu,” marah mama. Yusrizal hanya tersengih di marahi mamanya.

“Papa panggil,” beritahu Yusrizal.

“Ish, papa kamu ni pun! Bukan boleh tengok kita senang sikit. Ada saja yang dimahunya,” gumam mama. Mungkin tidak berpuas hati kerana perbualan kami diganggu. Walaupun begitu mama tetap berlalu mendapatkan papa yang mungkin berada di ruang tamu bersama abah.

Sepeninggalan mama, Yusrizal pantas mendapatkan aku. Aku mengerutkan dahi tidak mengerti.

“Jangan terlepas cakap. Abang tak ada beritahu apa-apa pun tentang duit yang Ifa pinjam dari abang tu pada family abang,” beritahunya sambil berbisik di telingaku. Tidak mahu sesiapa pun terdengar perbualan kami. Aku membuntangkan mata tidak percaya. Beerti mereka semua masih tidak tahu.

“Kenapa awak tak beritahu?” tanyaku juga dalam keadaan berbisik.

“Mereka tak perlu tahu. Ni rahsia kita berdua saja!”

6 ulasan:

Hi kawan2..Selepas baca jangan lupa tinggalkan komen tau..wajib!!! hehee..sebabnya Ida suka baca komen kawan2..Nak tau jugak best ke tidak setiap post Ida ni..komen tau!!