Khamis, 19 Mac 2009

Antara Benci dan Rindu 2

“Abang Rizal, tengok sape yang datang ni?”

Mataku membulat. Tidak menyangka, rupanya inilah tujuan Nisa beria benar mahu menarik aku ke ruang tamu. Ingin menemukan aku dengan abangnya! Pada Nisa, aku hadiahkan pandangan kurang senang. Gadis itu hanya tersenyum sumbing. Bukan itu saja, aku dipaksa pula duduk di sofa yang berhadapan dengan abangnya itu. Geram waktu itu tak usah dicakap. Apatah lagi apabila mataku menangkap pandangan mata Yusrizal yang begitu tajam menikam wajahku. Macam tak pernah tengok orang saja. Berbukit rasa menyampahku terhadapnya saat itu.

Macamlah aku tak tahu apa yang sedang dia fikirkan. Mesti tengah mengutuk aku tuh! Buat apalah minah kolot ni datang sini lagi? Tak pun, mesti dia harap aku berambus cepat. Maklumlah, sudah tentulah kedatanganku ini mengganggu ketenteramannya. Eleh, aku pun tak harap nak duduk melongo mengadap muka kau kat sini. Kucing kat rumah aku lagi cantik mukanya daripada kau. Eh, yeke? Tak delah kot. Hakikatnya Yusrizal memang kacak orangnya. Nampaknya tempoh lima tahun perpisahan kami telah menambahkan kekacakan lelaki itu. Sempat juga aku meneliti raut wajahnya. Rambutnya yang dulu dibiarkan panjang telah dipotong pendek. Sejak bila Yusrizal mengemari potongan rambut pendek pun aku tak tahu. Setahuku lelaki ini memang tidak pernah membiarkan rambutnya pendek selepas tamat sekolah. Wajah yang cerah itu kelihatan bersih sekali. Seperti wajah orang yang beriman. Tapi itu hanya pandanganku. Hakikatnya lelaki ini bukan seperti itu. Terlalu sosial. Cakap saja aktiviti maksiat yang ada, semuanya pernah dia lakukan. Cuma dia tidak sampai mengambil dadah dan pil ecstasy.

“Eh Rizal yang kau tenung si Ifa sampai macam tu sekali kenapa?”

Suara mama tiba-tiba memecah kesunyian. Aku mengalihkan pandangan ke sekeliling. Saat itu tidak dapat diungkap rasa malu yang menimpa. Masakan tidak, semua orang diruang tamu itu memandang tepat kearah kami sambil tersenyum mengusik. Aku alihkan pula pandangan ke arah Yusrizal. Lelaki itu kelihatan tersenyum malu sambil menggeleng-gelengkan kepala.

“Tak de papelah mama. Cuma lama tak jumpa dengan Ifa. Lain Ifa sekarang. Ifa apa khabar?” tanya Yusrizal berbasa-basi. Terkejut juga aku dengan teguran itu. Sangkaku Yusrizal tidak akan menegurku lagi selepas penceraian kami. Itulah yang dikatakannya kepadaku lima tahun lepas, bahawa dia tidak mahu melihat wajahku muncul di depan matanya lagi. Bukan saja wajah, malah bayangku pun dia tidak mahu nampak. Saat itu aku sedar betapa hinanya diriku. Bertitik-tolak dari situlah, aku tanamkan kebencian terhadap dirinya. Dan kebencian itu telah menjadikan aku sebagai insan yang baru. Insan yang tidak pernah kenal erti kekalahan.

“Ifa kenapa diam? Kan Rizal tanya tu…” Suara lembut ibu memecahkan kebuntuanku.

Aku seakan baru tersedar. Sekali lagi semua mata memandang kearahku. Dengan malas aku menjawab, “baik.”

“Kalau Rizal nak tahu Ifa ni sambung belajar buat master di London. lepas tu keluarga dia orang pula berpindah, sebab kita tak dapat cari dia orang sebelum ni,” terang mama.

“Oh yeke? Berapa tahun Ifa belajar dekat sana? Selalunya master tak sampai lima tahun kan?”

“3 tahun.”

“So, Ifa buat apa sekarang ni?” tanya lelaki itu lagi. Aku pula sudah semakin malas mahu menjawab. Tapi disebabkan kami sedang manjadi perhatian, terpaksa juga aku ringankan mulut.

“Keje.”

“Eh Ifa ni, Rizal tu penat bertanya sepatah dia jawab,” tegur abah. Aku hanya mendiamkan diri. Biar semua orang tahu yang memang tidak bercadang hendak beringan mulut dengan Yusrizal. Itu pun sudah kira bertuah aku jawab juga soalan yang diajukan. Kalau langsung tak berjawab macam-mana?

“Biarlah Hassan. Mungkin Ifa tu malu lagi kot. Nanti okeylah tu,” sampuk papa pula.

“Tuan, Puan makan malam dah dihidangkan.”

Alhamdulillah. Nampaknya Mak Idah telah menyelamatkan keadaan.

“Hah, jom kita makan. Saya pun dah lapar ni,” pelawa papa. “Nisa ajak kakak tu makan.”

“Baik papa. Jom Kak Ifa.”

Aku akur. Lagipun seperti papa aku juga lapar. Maklumlah sepanjang perjalanan aku hanya minum air mineral. Selera aku hilang kerana mabuk jalan. Itulah kelemahan aku.

Aku mangambil tempat. Makanan yang terhidang di meja kelihatan begitu menyelerakan. Terasa seperti hendak ditelan semua. Aku mula membayangkan jika aku berada dirumah. Tentulah aku tidak sesopan seperti sekarang. Hehehe…

Keghairahan untuk makan seakan hilang apabila Yusrizal mengambil tempat disebelahku. Aku jadi kaku. Kenapa dalam banyak-banyak tempat dekat sebelah aku juga yang menjadi pilihan? Meja makan ini cukup besar. Pilih saja tempat lain asalkan bukan dekat sini. Tapi mungkin Yusrizal sudah biasa makan di sini. Aku teringat ketika aku masih menjadi isterinya dulu. Aku dan Yusrizal akan duduk ditempat yang sama seperti yang kami duduki sekarang. Dan bermulalah lakonan antara kami. Kami akan berlagak seperti kamilah pasangan yang paling bahagia sedangkan hakikatnya bukan begitu. Walaupun hatiku menangis tapi aku terpaksa turutkan jua permintaan Yusrizal kerana dia tidak mahu kedua mentuaku menghidu kedinginan hubungan kami.

“Eh Ifa, kenapa tak makan? Rizal ambilkan nasi untuk Ifa tu.”

Yusrizal hanya akur akan permintaan papanya. Dua senduk nasi diletakkan di dalam pinggan nasiku. Kalau tadi nasi sebanyak ini kurasakan tidak cukup. Tapi sekarang separuh pinggan pun belum tentu aku dapat habiskan.

“Ifa nak lauk apa? Nanti abang ambikkan.”

Gulp…abang? Sejak bila dia membahasakan dirinya “abang” ni? Kalau dulu yalah jugak. Tapi kata ganti diri itu hanya akan digunakan sekiranya kami berkomunikasi di hadapan keluarga masing-masing. Jika tidak Yusrizal lebih senang ber”aku” dan ber”kau” saja denganku. Takkanlah setelah bercerai pun kata ganti diri itu hendak dikekalkan?

“Ifa..??”

“Err.. tak apa. Nanti saya ambil sendiri.”

Yusrizal hanya menganggukkan kepala. Kemudian dia menumpukan pada makan malamnya semula. Lelaki itu kelihatan berselera benar. Aku pula yang hilang selera. Tapi aku perlu makan jua untuk menghilangkan laparku. Walaupun suasana di meja makan itu agak meriah, namun masih tidak dapat mengeluarkan aku daripada dunia yang kuciptakan sendiri. Banyak perkara yang aku sedang fikirkan. Antanya termasuklah sikap lelaki yang berada disebelahku ini. Entah mengapa aku dapat rasakan kelainan pada sifatnya. Tapi perasaan itu cepat saja kuhakis kerana aku tahu itu semua hanya lakonan Yusrizal. Lakonan yang dilakukan untuk mengaburi mata keluarga kami, sama seperti yang kami lakukan 5 tahun lepas.

1 ulasan:

Hi kawan2..Selepas baca jangan lupa tinggalkan komen tau..wajib!!! hehee..sebabnya Ida suka baca komen kawan2..Nak tau jugak best ke tidak setiap post Ida ni..komen tau!!