Hidup tak selalunya indah, langit tak selalunya cerah. Begitulah perumpamaan yang boleh aku tujukan untuk diriku. Kadang-kadang terlintas dihati, apakah salah dan dosaku sehingga aku diuji begini? Terpaksa melalui hari-hari yang mendatang penuh dengan penipuan dan kelukaan. Sungguh tidak kusangka badai yang suatu ketika dahulu pernah bertandang dalam hidupku kembali menyapaku lagi. Entah apalah silapku hingga begini diriku diuji. Terbayang diruang ingatanku wajah lelaki yang sudah lama ingin kulupakan. Semenjak keluarga lelaki itu datang merisikku tujuh tahun lepas, percaturan hidupku berubah. Semuanya ibu dan abah yang tentukan. Aku langsung tidak diberi ruang untuk membuat pilihan. Kadang-kadang aku rasakan aku ini tidak layak untuk membuat keputusan sendiri. Walaupun ia sebenarnya berkaitan dengan hidupku. Sedangkan pada waktu itu usiaku sudah menjangkau 23 tahun. Rasa kecewa dan jauh hati hanya kusimpan kemas dalam lipatan sanubariku. Tiada seorang pun yang tahu betapa siksa hidupku selepas tarikh itu.
Kalaulah aku tidak bertemu kembali dengan Nisa, bekas adik iparku itu…sudah tentu aku tidak perlu melalui semua ini. Terpaksa berdepan dengan lelaki yang amat aku benci!! Tapi apakan daya? Aku hanyalah insan yang lemah. Tuhan yang menentukan segalanya.
Hidupku kembali hilang keceriaannya semenjak 3 bulan lepas….
“Ini Kak Ifa kan?” tegur satu suara. Aku yang leka memilih makanan waktu itu segera berpaling. Aku sedikit kaget. Gadis itu tersenyum riang. Menampakkan giginya yang putih berseri.
“Nisa?”
“YA ALLAH Kak Ifa, akak pergi mana selama ni? Langsung tak dapat dijejak!” ucapnya lantas memelukku. Aku kaget! Pinggan yang penuh berisi hampir terlepas dek terkejut dengan tindakannya. Malu juga bila banyak mata memandang.
Setelah agak lama barulah dia melepaskan aku. “Akak pergi mana selama ni?” tanya Nisa lagi.
“Akak sambung belajar Nisa. Dekat London,”
“Kenapa tak contact kami langsung? Kalau ya pun marahkan abang, janganlah sampai kami disisihkan,”
“Tak, akak tak bemaksud begitu. Err…kita cari tempat Nisa. Susah cakap dekat sini.”
Nisa lantas bersetuju dengan sarananku. Kami mengambil tempat yang sedikit tersorok. Mudah untuk kami berbual. Waktu makan tengahari itu dipenuhi dengan menjawab soalan-soalan Nisa yang tidak henti-henti keluar dari mulutnya. Tapi semua itu hanya berkisarkan kehidupan yang aku jalani dalam tempoh lima tahun selepas berpisah dengan abangnya. Sesekali Nisa ada juga bertanyakan perihal aku dengan abangnya. Tapi aku hanya mendiamkan diri. Bagiku sudah tidak ada keperluan untuk aku menjawabnya. Semuanya sudah berlalu. Aku tidak mahu mengingatinya lagi. Dan bekas adik iparku itu seolah-olah memahaminya.
Kami berpisah apabila waktu makan tengahari tamat. Sebelum berpisah Nisa ada meminta nombor telefon dan alamatku. Aku terpaksa turutkan kerana tidak mahu menghampakannya. Sangkaku itu adalah kebetulan dan tidak akan ada apa-apa yang akan berlaku selepas pertemuanku dengan Nisa. Tapi nampaknya lain pula yang terjadi. Keesokkan harinya aku telah dihubungi oleh seorang wanita yang cukup aku kenal. Walaupun sudah limatahun berpisah tapi kelembutan suaranya masih jelas di ruang ingatanku. Itulah bekas ibu mentuaku, Puan Maria. Terlintas di fikiranku tentulah Nisa yang memberikan nombor telefonku kepadanya. Lama aku berbual dengannya, kerana Puan Maria tidak membenarkan aku meletakkan telefon. Rindu padaku katanya. Ahh, sesungguhnya aku turut merinduinya.
Selepas puas berbual denganku, Puan Maria meminta untuk berbual dengan ibu pula. Aku hanya turutkan kehendak Puan Maria. Selepas itu aku tinggalkan ibu disitu. Malas untuk ambil pusing akan perbualan mereka itu. Hal rang tua-tua tidak elok orang muda masuk campur. Lagipun aku sendiri perlu melakukan persediaan untuk mengajar esok.
Sekali lagi ia tidak berhenti di situ saja. Keesokannya selepas pulang kerumah ibu meminta aku ke ruang tamu. Kulihat abah sudah sedia menunggu. Aku hanya duduk tanpa banyak soal. Selepas mendengar kata-kata ibu, aku seakan terhenyak di tempat duduk. Kata ibu, Puan Maria mengajak kami ke rumahnya pada hujung minggu. Dan mereka telahpun bersetuju. Puas aku memberi alas an untuk mengelak tapi tidak diterima oleh ibu dan abah. Mereka memang beriya-iya hendak aku turut serta. Akhirnya selepas berlaku perang mulut antara aku dengan ibu dan abah barulah aku bersetuju. Seperti biasa, jika melibatkan keluarga itu aku pasti tidak akan dapat membuat keputusan sendiri. Semuanya ibu dan abah yang tentukan. Aku hanya mengeluh, lalu membawa diri ke laman. Tidak tahu berapa aku duduk disitu melihat keindahan langi yang ditaburi bintang-bintang begemerlapan.Cuba meredakan kedukaanku.
“Hai, anak ibu menungkan apa?” tiba-tiba suara lembut menyapa pendengaranku. Lantas aku hadiahkan senyuman manis untuknya. Walaupun hati dilanda duka, tapi untuk mneyakitkan hatinya tidak sama sekali.
“Tak ada apalah ibu. Saja Ifa ambil angin kat luar ni. Kenapa ibu tak tidur lagi? Dah lewat ni.”
“Tau pun dah lewat. Habis kenapa Ifa tak tidur lagi? Esok kan nak bangun awal?” tanya ibu sambil melabuhkan punggungnya disebelahku.
Aku hanya mendiamkan diri. Perlukah aku ke sana? Hatiku memang membantah keras. Tapi kata ibu dan abah bukan boleh dibantah. Pasti aku akan dimarahi mereka. Tidak dinafikan ibu dan abah memang ibu bapa yang baik. Tapi dalam hal yang satu ini akan tidak boleh melawan cakap mereka. Jika tersilap kata buruk padahnya. Kadang-kadang aku terfikir apalah yang membuatkan mereka begitu menyanjungi keluarga bekas menantu mereka itu? Sedangkan hakikat penceraian kami sudah jelas benar. Lelaki keparat itu yang menceraikan aku kerana aku ini hanyalah pilihan keluarga dan bukanlah pilihan hatinya. Aku ini gadis yang kolot dan selekeh. Tidak seperti Anne, teman wanitanya itu. Wanita seksi yang begitu bergaya.
“Kenapa Ifa diam aje? Ada yang tak kena ke?”
“Takdelah ibu. Emm…ibu, kalau Ifa tak pergi ke Kuala Lumpur tu tak bolehkah? Ifa banyak kerja nak siapkan. Ibu dengan abah jelah yang pergi ya?” pujukku lembut. Moga-moga alasanku kali ini diterima. Masuk yang ini sudah kali keberapa aku memujuk ibu. Tapi semuanya hampa kerana ibu mendapat sokongan padu abah. Aku harap dengan ketiadaan abah, hati ibu dapat dilembutkan.
“Kerja apa? Kita pergikan hari ahad?” suara ibu sudah meninggi.
“Tapi bu….?”
“Dah takde tapi-tapi lagi. Esok Ifa mesti ikut ibu dengan abah ke KL. Dah pergi masuk tidur!” perintah ibu. Aku hanya mengeluh hampa. Gagal lagi! Nampaknya aku terpaksa juga mengikut mereka. YA ALLAH kau tabahkanlah hatiku untuk menghadapi semua ini.
“Ifa pergi mana selama ni, nak? Puas kami cari!” ujar Puan Maria dalam esak tangisnya. Sedari tadi tubuhku tidak dilepaskan dari pelukannya. Wajahku jua berkali-kali diciumnya. Suasana pilu itu juga turut membuatkan air mataku tumpah. Penerimaan bekas mentuaku itu sedikit sebanyak mengundang rasa terharu dihatiku. Ternyata mereka tidak membuang aku walaupun sudah lima tahun kami tidak bersua-muka.
“Ifa sambung belajar ma, di London,”
“Patutlah kami tak dapat kesan Ifa langsung. Shima dengan Hassan pindah pun tak beritahu kami. Kalaulah Nisa tak terserempak dengan Ifa dekat konvensyen pendidikan hari tu agaknya sampai sekarang kami tak jumpa dengan Ifa sekeluarga,” marah Puan Maria kepada kami semua.
“Maaflah Maria sebab buat Maria sekeluarga tercari-cari. Selepas Ifa bercerai dengan Rizal kami malu nak contact dengan Maria sekeluarga lagi. Takut Maria sekeluarga berdendam dengan kami,” ujar ibu lembut. Abah hanya mengangguk setuju. Sedangkan perasaan aku yang tidak enak. Kata-kata ibu tadi seolah-olah menyalahkan aku. Sedangkan aku tidak bersalah.
“Kenapa pula macam tu pula Shima, Hassan. Bukan salah Ifa. Ni semua salah si Rizal tu sendiri. Intan depan mata tak nampak. Kaca juga yang dicarinya. Saya pun tak tahulah kenapa Rizal tu bodoh sangat waktu tu? Isteri sebaik Ifa diceraikan. Hah, bila dah tak ada baru terkapai-kapai mencari!” kata ayah mentuaku pula. Hati sedikit tenang mendengar katanya. Nyata di mata mentuaku, aku tidak bersalah. Tapi anak lelaki kesayangan mereka yang bersalah. Tapi timbul pula persoalan di benakku pada lewat ucapannya. Benarkah Rizal mencariku selama ini? Namun aku cepat saja sedar. Huh, untuk apa dicari lagi gadis kolot ini, sedangkan dia sudah memiliki teman wanita yang cukup sempurna. Agaknya papa hanya berkata begitu untuk menyedapkan hati kami sekeluarga.
“Eh, marilah masuk. Bersembang dekat luar pula kita ni. Macam dah tak ada rumah,”
“Entah awak ni. Bukannya nak diajak tetamu kita masuk. Datang dari Kedah mesti penat ni,”
“Saya excited sangat abang. Maklumlah dah lama tak jumpa dengan Ifa ni. Makin cantik Ifa sekarang,” puji mama sambil mengelus-elus wajahku. Aku tersenyum malu.
Akhirnya aku melangkah juga kerumah ini. Sesuatu yang tidak pernah aku impikan selepas berpisah dengan Yusrizal. Tapi nampaknya semua itu terjadi jua selepas lima tahun. Rumah ini tidak jauh berubah. Tetap indah seperti kali terakhir aku melihatnya. Makin kelihatan indah dengan keramahan penghuninya. Sedari tadi aku dilayan mesra oleh mama dan papa. Mama pula awal-awal lagi mennyuruh aku bermalam dirumahnya. Rindu katanya. Pada mulanya aku menolak tapi setelah dipujuk pula oleh ibu dan abah memnadangkan esok adalah cuti khas, maka aku terpaksa bersetuju jua.
Aku bimbang sebenarnya. Bimbang jika terserempak dengan Yusrizal. Bagaimana aku hendak menghadapinya? Mesti dia tidak suka dan marah jika melihat aku disini. Maklumlah perempuan kolot ini kembali lagi dalam hidupnya. Perempuan kolot? Huh, itu dulu, tidak lagi sekarang! Pengalaman banyak mengajar aku erti kepahitan. Dan kepahitan itulah telah membuatkan aku berubah. Malah, sebagai seorang pensyarah perakaunan di Universiti Utara Malaysia menuntut aku supaya lebih berkeyakinan. Tempoh lima tahun benar-benar menjadikan aku sebagai Ifa yang lain. Bukan Ifa yang lemah seperti lima tahun lepas. Dengan persiapan yang ada dalam diriku sekarang, tidak ada alasan untuk aku takut dengan Yusrizal lagi. Lagipun aku disini bukan kerananya. Kalau tak disebabkan ibu dan abah yang memaksa, tak mungkin aku disini.
“Hai sis!”
Aku yang sedang leka mengacau gulai sedikit tersentak apabila terasa tubuhku dipeluk dari belakang.
“Nisa, terkejut akak!” marahku sambil menjeling manja. “Dari mana ni? Baru nampak muka. Akak dah lama kat sini,”
“Sorry sis. Ada hal sikit. Akak jom ikut Nisa kejap,” ajak Nisa sambil menarik tanganku.
“Eh, nak pergi mana ni?”
“Alah, jomlah,”
“Nanti sape yang tengokkan kari ni?”
“Alah, mak Idah ada. Mak Idah tolong tengokkan ek?” pinta Nisa kepada pembantu rumah mereka yang sedang membasuh pinggan.
“Baiklah Nisa,”
Aku ditarik oleh Nisa kedepan. Kelam-kabut aku membetulkan langkah kerana bimbang akan tersungkur. Langkah Nisa terlalu laju.
“Nisa, pelan-pelanlah. Jatuh Akak nanti.”
Nisa tidak mengendahkan kataku. Malah terus menarik tanganku.
bez..
BalasPadamxda sambungan ke
xsaba nk tgk dy jmpe gan yusrizal..
best cter nie ! bile keluar eh . nak beli ?
BalasPadaminsyaallah lepas ni giliran Antara Benci dan Rindu pula masuk pasaran..x lama da..jgn lupa dapatkan ya?
BalasPadamsalam kak ida...
BalasPadambest cita nie...
bru ja bli and bru ja abis bca cite nie..
xda novel bru ke??