Khamis, 2 Februari 2017

Fatin Nabila 3

Kereta yang dipandu oleh Datuk Musa membelok masuk ke sebuah banglo yang tersergam indah dikawasan berbukit milik pasangan suami isteri itu. Fatin terpegun melihat struktur rumah agam itu. Nampaknya pasangan suami isteri ini bukan calang-calang orang. Dia mula rasa kurang selesa dengan keadaan itu. Hatinya mula tertanya-tanya siapa sebenarnya pasangan suami isteri ini.
“Jemput la masuk Fatin.” Pelawa Datin Kamsiah.
“Hah, Fatin. Masuklah. Jangan malu-malu. Bukan ada sesiapa pun. Buatlah macam rumah sendiri.” Giliran Datuk Musa pula mempelawa Fatin.
Fatin hanya tersenyum sambil menganggukkan kepala. Dia melangkah kaki memasuki rumah agam itu setelah menanggalkan kasut.
Sekali lagi Fatin terpaku dengan keadaan rumah itu. Cukup besar dan mewah. Inilah kali pertama dia menjejakkan kaki ke banglo mewah seperti ini. Dia juga tidak pernah termimpi akan tinggal di banglo seperti ini walaupun untuk satu malam. Jika hendak dibanding rumah peninggalan arwah ibu dan ayahnya di kampung memang terlalu jauh bezanya.
“Datuk. Datin.” Tiba-tiba datang seorang wanita tua yang dia kira sebaya dengan usia mak longnya di hadapan mereka. Tumpuannya tidak di situ. Yang menarik perhatiannya ialah panggilan wanita itu kepada pasangan suami isteri itu. Datuk? Datin? Jadi memang benarlah mereka ini bukan calang-calang orang?
“Mak Bedah, kenalkan ini Fatin yang saya ceritakan tadi. Mulai hari ini dia akan tinggal dengan kita.”
Mak Bedah mengangguk tanda faham sambil menghadiahkan senyuman. Fatin turut membalas senyuman itu.
“Fatin, ini mak cik kenalkan Mak Bedah. Mak Bedah ni pembantu rumah kat sini.”
Fatin menghulurkan tangan untuk bersalam. Dia tunduk mengucup tangan wanita itu sebaik sahaja Mak Bedah menyambut salamnya. Wanita tua itu tersenyum senang dengan kelakuan Fatin itu.
“Mak Bedah apa khabar?” Fatin berbasa basi.
“Baik Cik Fatin. Alhamdulillah.”
“Mak Bedah dah kemaskan bilik untuk Fatin?” Tanya Datin Kamsiah.
“Dah Datin.”
“Terima kasih Mak Bedah. Mak Bedah tolong tunjukkan bilik Fatin, ya?” Pinta Datin Kamsiah. “Fatin ikut Mak Bedah ya? Masuk bilik dan berehat dulu. Nanti waktu makan mak cik panggil.”
Fatin hanya menganggukkan kepala. Akur dengan kata-kata Datin Kamsiah. Dia menunduk sedikit sebagai isyarat meminta izin untuk mengekori Mak Bedah. Datin Kamsiah hanya tersenyum tanda mengizinkan.
“Mari Cik Fatin. Mak Bedah tunjukkan bilik. Bilik Fatin best, tahu? Buka saja tingkap terus dapat tengok pemandangan yang cantik.” Celoteh Mak Bedah sambil menolong menjinjit beg pakaian Fatin. Perlahan-lahan mereka memanjat anak tangga untuk menuju ke tingkat atas.
“Yeke Mak Bedah. Dengar pun macam best, tu. Terima kasih Mak Bedah.” Ucap Fatin.
“Eh, kenapa berterima kasih dengan Mak Bedah pula. Bukan rumah Mak Bedah pun. Mak Bedah cuma tolong kemas saja. Fatin patut berterima kasih dengan Datuk dan Datin, tu.”
Fatin hanya tersenyum dengan kata-kata Mak Bedah itu. Untuk kesekian kali, dia terdengar lagi bibir tua itu memanggil pasangan suami isteri itu sebagai Datuk dan Datin. “Yelah, nanti Fatin cakap dengan mak cik dan pak cik.”
“Silakan Fatin. Ni la bilik Fatin. Cantik, kan?”
Mata Fatin meliar ke sekeliling bilik. Hampir terlopong dia dibuatnya. Sungguh seumur hidupnya tidak pernah bermimpi akan berada di dalam bilik yang besar dan mewah ini.
“Cantik Mak Bedah.” Lancar mulutnya mengiyakan. Apa lagi hendak dikata?
 “Fatin rehat la dulu, Fatin mesti penatkan. Mak Bedah turun dulu lah ye, kalau ada apa-apa panggil je Mak Bedah. Rehat tau.. ” Ujar Mak Bedah.
“Eh Mak Bedah?”
Mak Bedah yang baru sahaja mahu beredar kembali menghadap Fatin.
“Ada apa Fatin?”
“Errr..pak cik Musa dan mak cik Kamsiah tu berpangkat Datuk dan Datin, ke?”
“Ya.” Mak Bedah mengangguk. “Fatin tak tahu ke?”
Perlahan-lahan Fatin menggelengkan kepala sambil mengetap bibirnya. “Fatin panggil mak cik dan pak cik saja.”
“Tak apa. Datuk dan Datin tak kisahlah. Mereka berdua tu baik orangnya. Mak Bedah sebagai pembantu rumah ni pun sudah anggap macam keluarga sendiri.”
“Tapi Fatin rasa segan pula. Tak tahu tak apa. Bila dah tahu rasa kekok pula.” Fatin tersengih. Menunjukkan barisan gigi yang cantik tersusun.
“Eh, apa yang nak disegankan? Betullah tu Fatin panggil mak cik dan pak cik. Tapi kalau nak moden sikit panggil untie dan uncle. Speaking Londonlah katakan.” Ujar Mak Bedah disusuli ketawa nakal dihujungnya. Fatin turut ketawa sambil menutup mulutnya. Cuba mengawal ketawanya dari terlepas kuat.
“Dahlah, melalut pula kita. Mak Bedah ada kerja ni. Mak Bedah turun dulu, ya?”
“Yelah. Terima kasih ya, Mak Bedah.”
Mak Bedah hanya mengangguk dan terus berlalu.

Sepeninggalan pembantu rumah itu, Fatin duduk di birai katil sambil matanya meliar ke sekeliling bilik. Dia begitu kagum dengan keindahan bilik itu. Jauh benar bezanya dengan bilik di rumahnya di kampung. Dia tersenyum senang.
“Hai Fatin. Tiba-tiba kau jadi puteri raja pula dapat bilik cantik macam ni.” Fatin bermonolog sendirian. Untuk beberapa ketika Fatin hanya melayan angan. Namun dia sedar yang dirinya hanya menumpang di sini. Mungkin esok atau lusa dia perlu keluar dari rumah ini untuk berpindah kerumah Acik.
Bagaimanapun itu hanyalah telahannya saja. Hakikatnya belum dapat dipastikan kerana sehingga ke saat ini dia masih lagi tidak menghubungi gadis itu. Entah apalah alasan Acik tidak muncul untuk menjemputnya? Sedangkan mereka sudah berjanji sebelum kedatangannya ke sini.
Huh, dia perlu menghubungi Sarah. Pasti rakannya itu sedang risaukan dirinya. Lalu, Fatin menyelongkar beg sandangnya.
“Alamak, bateri mati pula. Patutlah tak dengar telefon ni menjerit. Ni mesti dia tengah risaukan aku.”
Lantas Fatin mengecas telefon bimbit yang sudah agak ketinggalan zaman itu. Mungkin dia saja yang masih menggunakan peranti jenis itu di abad ini. Biarlah, dia sudah biasa. Dapat membuat panggilan dan menghantar mesej itu sudah cukup buat dirinya.
Selepas beberapa ketika menunggu barulah telefon bimbitnya dapat diaktifkan semula. Terkejut dia menerima ‘missed calls’ yang begitu banyak. Kesemuanya daripada Sarah dan Mak Longnya.
‘Mak Long, Fatin minta maaf. Fatin terpaksa buat macam ni. Fatin tak nak kahwin dengan Hj Amran. Tapi Fatin sentiasa sayangkan Mak Long.’ Bisiknya sendirian.
Dia memutuskan untuk menghubungi Sarah. Baru beberapa deringan terus panggilannya bersambung.
“Fatin?! Ya Allah kau kat mana? Aku risau tahu tak? Kenapa tutup telefon?!”
Tanpa sempat memberi salam, Sarah terus melontarkan soalan. Terkejut Fatin dibuatnya.
“Assalamualaikum.”
Sarah yang ternyata berada dalam kelam kabut pantas meredakannya dengan menarik nafas panjang beberapa kali. “Waalaikumussalam.”
“Kut ya pun bagilah salam dulu. Terkejut aku kau tahu tak?”
“Sorry. Aku risau kau tahu tak? Dari pagi tadi call kau tak dapat-dapat. Kau ke mana?”
“Kau tak payah tanya aku ke mana? Acik tu yang kemana? Kenapa dia tak jemput aku? Kau tahu tak berapa lama aku tunggu dia dekat terminal pudu tadi? Batang hidung dia langsung tak nampak.” Fatin terus melampiaskan marahnya. Sunguh dia rasa kecewa dengan sikap Acik yang tidak bertanggungjawab itu. Kalau tidak mahu menolong kenapa beria menyuruh dia datang kemari? Nasib baiklah dia berjumpa dengan orang yang baik-baik. Kalau orang jahat? Hai..dia sendiri pun tidak dapat membayangkan semua itu.
“Okay, relaks. Acik bukan sengaja tak nak jemput engkau. Tapi beg tangannya kena ragut. Handphone dia ada dalam beg tu. Sebab tu dia tak dapat nak hubungi kau.” Terang Sarah. Tidak mahu Fatin tersalah anggap dengan rakan mereka yang baik itu.
“Hah? Betul ke?” Fatin nyata terkejut dengan berita itu.
“Betullah. Takkan aku nak tipu kau pula. Dekat dua jam juga dia pusing-pusing dekat terminal tu. Tapi dia tak jumpa kau. Yelah, cari tanpa handphone ni memang susah.”
“Ya Allah, aku ingat Acik sengaja tak nak jemput aku. Dah tu dia macam mana sekarang?” Lantas Fatin beristigfar dalam hati. Dia rasa berdosa kerana telah berprasangka buruk terhadap teman mereka.
“Dia, okay. Dah buat laporan polis dah. Alah, kau tak payah risaulah pasal dia. Dia tu anak orang kaya. Yang kau patut risau diri kau tu. Kau kat mana sebenarnya dia. Kau okay, tak?”
“Aku okay, Alhamdulillah. Nasib baik ada orang tolong aku. Kalau tak aku tak tahulah apa dah jadi dengan aku sekarang ni.”
“Hah?! Siapa? Lelaki ke perempuan? Kau jangan Fatin. Itu KL, tau. Bukan kampung. Entah-entah orang jahat mana yang kau ikut. Kau beritahu kau kat mana? Aku call Acik sekarang suruh jemput kau.” Sarah sudah kelam-kabut bila memikirkan yang Fatin keseorangan di sana. Bersama dengan orang yang tidak dikenali pula. Tidak sabar rasanya untuk menghubungi Acik dan mengkhabarkan tentang perkara itu.
“Ya Allah, Sarah. Tenang. Aku, okay. Alhamdulillah aku jumpa dengan orang baik-baik. Pasangan suami isteri. Dah tua pun. Sekarang ni aku ada dekat rumah dia orang.” Terang Fatin. Tidak mahu Sarah terlalu risaukan dirinya. Dia bukan budak kecil yang tidak tahu baik dan buruk. Namun, dia sangat menghargai sikap Sarah yang sangat mengambil berat akan dirinya.
“Eh, kau jangan mudah terpedaya Fatin. Dekat sana kau tak boleh senang-senang percaya dengan orang. Rambut sama hitam tapi hati lain-lain. Tua ke muda ke sama saja. Kalau dah jahat tu bukan kira usia. Kau kena hati-hati Fatin.” Bebel Sarah lagi.
Fatin hanya tersenyum dengan omelan temannya itu. “In Sha Allah, aku okay Sarah. Kau jangan risau. Mak cik dan pak cik yang bawa aku balik ni memang baik. Kau jangan risau, okay?” Pujuk Fatin lagi.
Sarah menarik nafas dalam sambil cuba berfikir dengan tenang. “Baiklah. Tapi kau kena beritahu jugak aku kau dekat mana? Nanti aku minta Acik jemput kau dekat sana?” Akhirnya Sarah mengalah.
“Tapi aku tak tahu alamat tempat ni. Aku baru saja sampai. Sekejap lagi aku tanyakan dekat mak cik tu. Nanti aku call kau semula, ok? Kau jangan risaulah.”
“Yelah, jangan lambat sangat. Semua orang risaukan kau ni. Mak Long kaulah yang paling risaukan kau. Kasihan aku tengok dia. Menangis depan aku tadi.”
Fatin melepaskan keluhan berat. Dia sudah agak perkara begini akan terjadi. Mak longnya terlalu sayangkan dia. Wanita itu tega memegang amanat arwah adik iparnya. Bila jadi perkara seperti ini pastilah dia yang paling risau.
“Kesian mak long.” Keluh Fatin.
“Itulah. Eh, Fatin. Kau tak nak beritahu dia, ke?”
“Nantilah dulu, Sarah. Bila keadaan dah reda barulah aku beritahu dia. Aku tak nak nanti pak long aku sampai datang cari aku dekat sini.”
“Yelah, aku faham. Tapi tak sampai hati aku tengok mak long kau tadi. Dia betul-betul risaukan kau. At least, kau call lah dia. Beritahu yang kau selamat. Lega sikit hati orang tua tu. Lagipun, dia siap nak minta kak Shila cari kau dekat sana.” Terang Sarah akan kegusaran hatinya.
“Hah? Kak Shila? Kenapa pula? Kak Shila kan dekat Johor? Takkan dari Johor nak datang KL semata-mata nak cari aku?” Lekas Fatin membalas. Kalau iya pun risaukan dirinya, tidak perlulah sampai menyusahkan Kak Shila yang tinggal di Johor itu. Bukannya dekat.
“Mak long kau kata Kak Shila baru sahaja pindah ke KL.”
“Yeke? Tak tahu pula aku. Bila pula Kak Shila pindah?” Tanya Fatin. Lebih kepada menyoal diri sendiri sebenarnya. Kerana dia tidak pula mendengar berita yang kakak sepupunya itu akan berpindah ke Kuala Lumpur.
“Tak tahulah aku. Yang penting sekarang kau telefon mak long kau. Cakap yang kau baik-baik sahaja. Tak perlulah sampai minta Kak Shila cari kau kat sana. Kasihan Kak Shila nanti. Pasal pak long kau tu pandai-pandailah kau deal dengan mak long kau. Aku yakin dia boleh tolong punyalah.”
“Yelah, Sarah. Nanti aku telefon.” Akhirnya Fatin bersetuju. Ada betulnya juga kata temannya itu. Kuala Lumpur bukannya bandar kecil. Mahu cari di mana dalam bandar besar seperti ini? Hanya akan membuang masa dan duit sahaja.
“Hah, lagi satu. Cepat SMS aku alamat kau berada sekarang. Aku nak minta Acik jemput kau. Dia pun risaukan kau, tahu? Kejap lagi aku nak call dia cakap yang kau selamat. Tentu dia happy.”
“Yelah. Kejap lagi aku SMS. Thanks Sarah. Dah banyak kau tolong aku.” Ucap Fatin penuh perasaan. Baginya Sarah adalah temannya yang sangat baik.
“Alah, tak ada hallah. Kau dah selamat ni pun dah cukup. Kalau tidak, tak senang duduk aku memikirkan kau. Risau kau tahu, tak?”
“Yelah aku tahu. Sorry, buat kau risaukan aku.”
“Dahlah. Aku nak call Acik ni. Kau tu jangan lupa SMS alamat kau.”
“Baiklah.”

Selepas bersiap, Fatin mengambil keputusan untuk keluar dari biliknya dan turun ke bawah. Sudah agak lama juga dia terperuk di dalam bilik. Sempat la juga sejam dua melelapkan mata. Maklumlah, dapat katil yang tersangat empuk. Memang tidurnya lena dari biasa.
Suara lelaki dan perempuan bersembang semakin jelas kedengaran di telinganya.
“Hah, Fatin. Jom makan sama. Baru mak cik nak suruh Mak Bedah panggilkan Fatin dekat atas.” Tegur Datin Kamsiah apabila ternampak kelibat gadis itu yang baru menuruni tangga.
Fatin yang masih kekuk hanya tersenyum sambil melangkah mendapatkan pasangan suami isteri itu di meja makan.
“Duduk Fatin. Jangan malu-malu.” Jemput Datuk Musa pula.
Fatin mengambil tempat duduk di sebelah Datin Kamsiah.
“Cukup rehat Fatin?” Tanya Datin Kamsiah.
Lantas Fatin menganggukkan kepala. “Mestilah cukup. Dapat katil empuk macam tu. Terima kasih mak cik dan pak cik berikan bilik yang cantik macam tu dekat Fatin. Tak pernah Fatin rasa tinggal bilik macam tu sebelum ni.”
Datuk Musa dan Datin Kamsiah tersenyum dengan jawapan selamba gadis itu. Mereka faham apa yang cuba disampaikan Fatin. Seorang gadis yang hanya menjalani hidup serba sederhana. Dalam masa yang sama mereka berasa sangat bersyukur di atas nikmat kemewahan yang diberikan pada mereka.
“Buat apa nak ucapkan terima kasih, Fatin. Kami ikhlas. Kalau Fatin nak duduk sini terus pun boleh, kan abang?” Datin Kamsiah mengalihkan pandangan kepada Datuk Musa. Terkejut orang tua itu dengan cadangan isterinya. Namun, cuba dikawal riak terkejutnya dari padangan Fatin. Tidak mahu gadis itu berkecil hati pula.
Datuk Musa menghantar isyarat kurang senang dengan cadangan Datin Kamsiah. Berharap isterinya faham dengan apa yang cuba disampaikan.
Isyarat mata yang dihantar oleh Datuk Musa membuatkan Datin Kamsiah tersedar dari keterlanjurannya. Nampaknya dia sudah terlebih bicara kali ini. Entah mengapa dia terasa begitu senang apabila bersama Fatin. Mungkin juga kerana keinginannya yang sudah terlalu lama untuk memiliki anak perempuan. Namun apakan daya. Dia hanya mempunyai dua anak lelaki yang kedua-duanya jarang menghabiskan masa bersamanya. Seorang masih belajar di England. Dan seorang lagi yang seperti mahu menjauh dari keluarga semenjak peristiwa itu. Hai.. keluh Datin Kamsiah dalam hati.
“Eh, tak bolehlah macam tu mak cik. Esok In Sha Allah kawan Fatin akan datang jemput Fatin. Sebenarnya kawan Fatin kena ragut pagi tadi. Sebab tu dia tak dapat jemput Fatin.” Terang Fatin. Dia sedar akan gelagat kedua pasangan suami isteri itu. Agak ketara buat dirinya. Namun begitu, dia juga tidak merancang untuk menumpang lama di rumah ini. Dia terasa amat kekok berada di kalangan orang-orang kaya seperti ini.
“Lah, yeke? Patutlah dia tak jemput Fatin. Kasihan dia. Dia macam mana? Okay?” Tanya Datin Kamsiah, perihatin.
“Alhamdulillah, dia okay mak cik. Dia dah buat police report.” Jelas Fatin.
“Alhamdulillah. Yang penting dia selamat. Duit hilang boleh cari. Nyawa hilang mana nak cari ganti?” Celah Datuk Musa pula.
“Itulah. Rasa bersalah pula sebab ingat Acik sengaja tak nak jemput, Fatin. Rupa-rupanya dia ada masalah lain.” Keluh Fatin. Memang itulah yang dia rasakan. Tergamak dia berfikiran yang tidak-tidak terhadap teman baiknya itu. Sedangkan gadis itu sedang dilanda kesusahan.
“Dahlah. Bukan salah Fatin. Semua orang dekat tempat Fatin akan rasa macam tu. Tak perlu rasa bersalah. Mak cik yakin kawan Fatin tu mesti faham. Minta maaf saja dengan dia.”
“Yelah.” Balas Fatin. “Ermm mak cik. Boleh tak Fatin dapatkan alamat rumah ni? Fatin nak bagi dekat kawan Fatin. In Sha Allah, esok kawan Fatin nak datang jemput Fatin.”
Berubah riak wajah Datin Kamsiah saat permintaan Fatin menyapa telinganya. Nampaknya gadis itu tidak main-main dengan kata-katanya sebentar tadi. Fatin memang maksudkan yang dia mahu meninggalkan rumah itu.
Entah mengapa ada rasa ralat dalam hatinya saat itu. Dia seperti tidak mahu melepaskan Fatin pergi. Adakah dia mula menyayangi Fatin? Takkanlah begitu cepat? Atau mungkin rasa ingin memiliki anak perempuan membuatkan dia berasa seperti ini.
“Err, boleh. Tapi Fatin betul-betul nak pergi ke? Tak nak tinggal di sini untuk sehari dua lagi?” Tanya Datin Kamsiah. Berharap! Pandangan aneh Datuk Musa tidak dipedulikan.
“Err, tak mengapalah mak cik. Fatin tak nak menyusahkan mak cik dan pak cik. Mak cik dan pak cik dah tolong Fatin ni pun, Fatin rasa bersyukur sangat.” Tolak Fatin dengan berhati-hati. Tidak mahu mengguris perasaan pasangan suami isteri yang telah berbudi kepadanya.
“Eh, mana ada menyusahkan. Kan abang?” Datin Kamsiah menghantar isyarat mata kepada suaminya. Berharap suaminya dapat memberikan kerjasama.
Datuk Musa yang mengerti terpaksa menganggukkan kepala.
“Malah kami suka kalau Fatin tinggal di sini. Mak cik ada kawan. Tak adalah boring sangat nanti.” Ujar Datin Kamsiah bersungguh-sungguh.
Fatin hanya mampu tersenyum dengan kata-kata itu. Untuk beberapa saat dia tidak mampu untuk membalas. Dia rasa serba salah. Raut wajah Datin Kamsiah seperti sangat berharap untuk dia terus berada di situ dengan lebih lama. Bagaimana cara terbaik untuk dia menolak?
“Err, bukan Fatin tak sudi mak cik. Tapi Fatin datang sini nak kerja. Acik kawan Fatin tulah yang tawarkan Fatin kerja dengan dia. Esok lusa Fatin dah kena lapor diri. Sebab tulah Fatin kena tinggal dengan Acik. Senang Fatin nak ulang alik ke tempat kerja nanti.” Terang Fatin perlahan-lahan. Berharap pasangan suami isteri itu memahami. Dia tidak risaukan Datuk Musa kerana dia yakin lelaki itu memahami. Lagipun, Datuk Musa kelihatan agak keberatan menerimanya dalam rumah ini. Tidak seperti Datin Kamsiah. Oleh kerana itu, dia perlu menjaga hati wanita di sebelahnya ini.
“Ya mak cik faham. Tapi tinggallah di sini dua tiga hari lagi. Kalau Fatin nak, mak cik boleh suruh driver kami hantar dan jemput Fatin. Tak jadi masalah.” Cadang Datin Kamsiah.
“Eh, tak perlulah mak cik sampai nak hantar dan jemput bagai. Segan pula Fatin.” Lekas Fatin menolak. Dia bukan ‘mam besar’ dalam rumah itu sehingga perlu berhantar dan berjemput. Cukuplah setakat ini budi pasangan suami isteri itu buat dirinya. Dia tidak mahu menyusahkan mereka lagi. Tapi bagaimana dia hendak meluahkan penolakan itu?
“Alah, janganlah pergi dulu. Tinggal dengan mak cik sehari dua lagi. Mak cik baru nak kenal-kenal dengan Fatin. Fatin pun belum pun lagi bercerita dengan mak cik. Tinggal dulu dengan mak cik, ya? Nanti baru suruh kawan Fatin tu jemput Fatin. Boleh?”
Fatin menimbang-nimbang di dalam hati. Kalau diikutkan dia mahu menolak sahaja. Tapi bila melihat wajah mengharap Datin Kamsiah dia jadi tidak sampai hati pula.
“Apa yang difikirkan lagi, Fatin? Tinggal sajalah di sini dua tiga hari. Mak cik kamu ni bukan apa. Seronoklah tu lepas ni ada teman berbual. Lagipun pak cik agak busy sekarang. Kalau ada Fatin bolehlah temankan mak cik kamu ni.” Datuk Musa bersuara bagi pihak isterinya. Sudah tidak kuasa hendak menegah. Sudah itu yang dimahukan si isteri. Jadi dia turutkan sajalah. Lagipun dia lihat, Fatin adalah seorang gadis yang baik. Setakat tinggal beberapa hari di rumahnya, apalah hendak berkira sangat.
Bila Datuk Musa sudah bersuara apalagi yang bisa dia katakan. Terpaksalah dia bersetuju dengan cadangan itu. Datin Kamsiahlah orang yang paling gembira. Dia tidak menyangka. Baru sahaja pagi tadi berkenalan dengan mereka kini sudah diminta pula untuk tinggal lebih lama. Ternyata pasangan Datuk dan Datin ini baik hati dan mudah mesra orangnya.

Selepas membantu Mak Bedah dan Datin Kamsiah membersihkan ruang makan dan mencuci pinggan, Fatin membawa diri ke ruang tamu utama rumah itu. Dia menebarkan pandangan ke setiap inci pelusuk ruang itu. Semua indah pada pandangan matanya. Dia sungguh terpesona dan kagum.
Namun, matanya tertumpu pada foto keluarga yang tergantung megah di tengah dinding. Dia melangkah mendekat. Mahu mendapatkan gambaran yang lebih jelas. Kelihatan Datuk Musa dan Datin Kamsiah sedang tersenyum bahagia. Mereka berdua diapit oleh dua lelaki muda. Pasti mereka adalah anak pasangan itu. Handsome! Maklumlah, mak dan ayahnya juga molek paras rupanya.
“Itu foto family keluarga mak cik.”
Datin Kamsiah yang muncul secara tiba-tiba sedikit mengganggu tumpuan Fatin. Dia berpaling ke belakang. Senyuman manis diberikan pada wanita itu.
“And these two gentlemen are my sons. Yang sebelah kanan tu Shahrul Affendi, anak sulong mak cik. Dan yang sebelah kiri tu Sharil Asmadi, anak bongsu mak cik. Mak cik ada dua orang anak saja.” Terang Datin Kamsiah tanpa dipinta. Fatin melihat ada senyuman gembira menguntum di bibir wanita itu saat. Barangkali bahagia apabila bercerita tentang anak-anaknya.
“Mana mereka sekarang, mak cik? Mereka tak tinggal di sini?” Fatin bertanya. Yelah, sunyi sahaja rumah ini. Malah, sedari awal lagi Datin Kamsiah sudah memberitahu bahawa hanya dia, suami serta pembantu rumah mereka yang tinggal di rumah agam ini. Atas alasan itu jugalah Fatin bersetuju untuk mengikut mereka pulang.
“Adi baru sahaja habis belajar di England. Tak lama lagi baliklah tu. Dia pergi bercuti dulu dengan kawan-kawannya sebelum balik ke Malaysia. Fendi memang tak tinggal dengan di sini. Dia tinggal sendiri. Jarang-jarang balik ke sini.”
Fatin dapat mengesan ada sendu pada bicara Datin Kamsiah saat bercerita tentang anak sulongnya. Wajah wanita itu pun agak keruh. Kenapa agaknya, ya? Hendak ditanya bimbang dikatakan menyibuk pula. Jadi Fatin hanya menelan semua pertanyaan itu jauh dalam sanubarinya.










4 ulasan:

Hi kawan2..Selepas baca jangan lupa tinggalkan komen tau..wajib!!! hehee..sebabnya Ida suka baca komen kawan2..Nak tau jugak best ke tidak setiap post Ida ni..komen tau!!