Isnin, 17 September 2012

Kau Yang Kunanti 31


“Hai, ingat jugak jalan balik ke rumah ni? Ingatkan dah tak jumpa jalan nak balik!”
Terpaku langkahnya di situ saat telinganya mendengar ucapan ‘manis’ yang menyambut kepulangannya petang itu. Pantas matanya mencari gerangan empunya suara. Kelihatan Sofiana sedang duduk di ruang tamu sambil meletakkan kakinya di atas moja kopi. Satu perlakuan yang sangat tidak sopan. Bukan sahaja untuk perempuan mengandung. Malah, sesiapa sekalipun.
Mata wanita itu langsung tidak memandang ke arahnya. Mata itu hanya tunak merenung skrin televisyen.
“Assalamualaikum.” Hakim memberikan salam.
Selepas beberapa saat barulah salamnya di jawab. Itu pun kedengaran perlahan sahaja di corong telinga Hakim. Dengan langkah perlahan Hakim mendapatkan isterinya. Sesekali dia menggelengkan kepala. Isteri lain kalau suami pulang akan disambut dengan salam dan kucupan sayang. Ini dia? Disambut dengan kata-kata yang sungguh ‘romantik.’ Entah apalah yang bermain dalam kepala isterinya itu?
“Tak nak salam abang ke?” Hakim bertanya setelah lama menghulurkan tangan untuk disalami Sofiana. Tidak nampak atau sengaja mahu buat perangai? Nak tunjuk protes?
Dengan malas Sofiana mencapai jug ajemari Hakim lalu dibawa ke bibir. Itupun bagai angin lalu sahaja terasa kucupan si isteri di belakang telapak tangannya.
“Kenapa buat muka macam tu?” Hakim bertanya. Dia melabuhkan punggu di sofa berhadapan dengan Sofiana sambil menanggalkan stokin. Walaupun sebenarnya dia sudah mengetahui apa yang menyebabkan Sofiana berkelakuan sebegitu rupa.
“Tolong ambilkan abang air. Abang hauslah.” Pinta Hakim. Namun, permintaannya hanya mendapat jelingan maut daripada isterinya.
“Kak Suri air mana? Tak nampak ke Hakim dah balik ni!” Sofiana memekik memanggil Kak Suri di dapur. Tersentak Hakim dengan suara lantang itu tadi. Sofiana kalau bercakap dengan pembantu tidak pernah lembut. Asyik hendak menengking sahaja.
“Sofi, apa menjerit macam tu? Panggil elok-elok tak boleh ke? Ingat sikit awak tu mengandung!”
Hakim mula menegur. Rimas dia setiap kali pulang ke rumah tidak sah kalau tidak mendengar Sofiana mengherdik dan menengking Kak Suri. Bukan ada salah apa-apa pun wanita itu kepada Sofiana.
Sofiana menjeling suaminya, tajam. Teguran Hakim makin menambah panas hati Sofiana. Sudahlah dia sedang menahan perasan. Tunggu masa sahaja mahu diletupkan.
Namun, dia cuba menyabarkan hatinya. Sengaja mahu mendera Hakim dengan sikap berdiam dirinya. Kerana dia tahu Hakim pasti akan memujuknya sebentar lagi. Suaminya itu tidak betah membiarkannya merajuk terlalu lama. Tapi kali ini dia akan menggunakan peluang itu dengan sebaiknya. Dia akan berpura-pura merajuk panjang. Hakim tidak akan dimaafkan dengan mudah. Pasti lelaki itu nanar mencari idea mahu memujuknya nanti. Dan pada saat itulah dia akan meletakkan syarat buat suaminya. Hakim haruslah bermalam di rumahnya pada malam esok! Barulah dia akan memaafkan lelaki itu.
Sofiana sudah tersenyum di dalam hati. Yakin yang rancangannya akan berjaya. Padan muka Amirah! Pasti madunya itu kecewa kerana Hakim tidak bermalam di sana.
“Minum Hakim.” Pelawa Kak Suri yang datang minuman kepada majikannya.
“Terima kasih Kak Suri. Minta maaflah tadi. Sofi ni memang macam tu. Mood datang bulan memanjang.”
“Tak apa.” Terus Kak Suri menghilangkan diri ke dapur semula. Hendak ketawa juga dia dengan kata-kata Hakim tadi. Tapi ditahan. Bimbang Sofiana akan mengherdiknya lagi.
“Eloklah menjeling suami macam tu. Berdosa tahu? Sudahlah abang balik tak bersambut. Malah, disindir pula!” Bebel Hakim.
Sofiana dan Amirah sangat berbeza wataknya. Amirah tidak lupa untuk menyambut kepulangannya walaupun dingin. Tangannya pasti di salam dan dikucup lembut. Tidak lama kemudian, Amirah akan membawanya minum sejuk untuk menghilangkan dahaga. Tapi Sofiana? Hanya di awal perkahwinan mereka sahaja wanita itu rajin menguruskan rumahtangga. Tapi sekarang wanita itu seakan malas mahu melakukan rutin itu lagi. Nasib baiklah ada Kak Suri. Kalau tidak pasti berhabuk dan bersawanglah rumah ini.
Dia sedar Sofiana sedang memberontak kepadanya. Pasti wanita itu marah kerana panggilannya tidak bersambut. Tapi salah diakah? Sedangkan isterinya itu telah diberitahu untuk tidak menganggu dirinya jika dia bermalam di rumah Amirah. Begitu jugalah sebaliknya jika dia bermalam di sini. Amirah tidak berhak menganggunya.
Pedih telinga Sofiana mendengar bebelan Hakim itu. Pantas dia memandang Hakim dengan pandangan tajam. Dadanya berombak ganas.
“Kalau abang balik sini sekadar nak bebelkan Sofi, baik abang balik rumah bini pertama abang tu!” Herdik Sofiana. Lain yang ditunggu lain pula yang keluar dari bibir Hakim itu. Dia mahukan pujukkan. Bukan leteran!
“Kalau abang tak balik ada orang tu tak berenggang dengan telefon. Dah tak ada ruang nombor orang lain nak masuk. Nombor dia saja penuh!” Sindir Hakim sambil meneguk minuman yang disediakan Kak Suri. Sengaja mahu membakar hati si isteri. Sudah terasa lelah benar dia mahu melayan kerenah Sofiana yang dirasakan makin lama makin menggila.
Sukarnya hati isterinya itu mahu menerima hakikat yang mereka sedang mengamalkan cara hidup berpoligami. Haruslah ada tolak ansur dan bertimbang rasa. Kenapa rasa cemburu dan tidak berpuas hati Sofiana terus ada untuk madunya itu? Padahal, dia yang merampas hak orang lain. Bukan sebaliknya!
Sofiana mengetap bibir geram. Hakim sedang menyindirnya. Semenjak kembali bersama Amirah, wujud sifat lain dari diri suaminya itu. Tegas! Sukar benar dia mahu mengambil peluang. Tapi bukan bermakna dia akan berubah. Dari dahulu Hakim adalah miliknya dan akan terus kekal begitu!
“Kenapa abang tutup telefon? Kalau ya pun abang takut dengan bini pertama abang tu takkanlah sampai waktu bekerja pun abang off handphone? Tak tahu ke orang ni sakit ke apa? Dia dekat sana berseronok saja dengan bini tua!”
Luahan pertama! Fikir Hakim di dalam hati. Wajahnya masih tidak beriak. Selamba sahaja dia menentang mata si isteri yang sudah merah menyala. Menahan geram, mungkin! Sudah kerap benar Sofiana berkelakuan seperti itu. Asal tidak berpuas hati terus diluahkan. Tidak seperti Amirah yang lebih banyak mendiamkan diri. Rasa kesal dan marah jarang kelihatan.
Namun, apabila rasa itu sudah terlalu lama terkumpul ia akan bergumpalan sehingga tidak mampu lagi menerima simpanan. Lalu, ia meledak dan menghasilkan tindakan yang tidak mampu difikirkannya. Dirinya ditinggalkan selama berbulan-bulan. Mujurlah dia dapat menjejak Amirah. Kalau tidak, entah berapa lama mereka akan terpisah?
“Abang memang tak kisahkan Sofi kan? Abang lebih pentingkan Amirah daripada Sofi. Sofi ni pun isteri abang tau. Tengah mengandungkan anak abang! Tinggal beberapa hari saja lagi anak abang dekat dalam ni nak keluar. Sepatutnya dalam waktu macam ni abang lebihkan masa abang dengan Sofi. Amirah tentu boleh jaga dirinya sendiri. Takkan itu pun dia tak boleh bertolak ansur?!”
Kata-kata Sofiana masih tidak mampu merubah riak di wajah Hakim. Masih tenang seperti sebelumnya. Ketenangan itu sedikit membangkitkan kemarahan Sofiana. Kebelakangan ini, ketenangan itu selalu sahaja terpamer pada wajah tampan suaminya. Tidakkah terkesan sedikit di hati Hakim akan kemarahannya ini?
“Abang dengar tak apa yang Sofi cakap ni? Jangan buat muka kayu macam tu boleh tak?” Tempelak Sofiana. Tidak pernah dipeduli tentang perasaan suami jika dia meninggikan suara seperti itu. Apa yang penting rasa tidak puas hatinya harus diluahkan segera.
Perlahan-lahan Hakim bangun lalu mendapatkan isterinya itu. Kedua belah lengan Sofiana ditarik dan matanya mengisyaratkan wanita itu bangun. Terpingan-pinga Sofiana dengan tindakan yang tidak disangka-sangka. Namun, si isteri hanya menurut. Apabila Hakim mula mengorak langkah dia turut melakukan hal yang sama. Dibontoti langkah si suami yang nampaknya sedang menuju ke bilik mereka.
Hati yang marah menjadi sejuk serta-merta. Bibirnya mengukir senyuman malu. Pasti suaminya sedang merindui dirinya. Marahnya tidak dilayan, malah dirinya dibawa ke kamar peraduan mereka. Pandai benar Hakim meredakan marahnya.
Hakim pantas menutup pintu rapat. Tubuh Sofiana di dudukkan di birai katil. Wajah si isteri yang kemerahan di tenung lama sehingga wanita itu menundukkan kepala. Dia sedikit hairan. Tadi bukan main menyinga! Sekarang kenapa isterinya ini tersipu-sipu malu pula? Tiada langsung riak kemarahan yang dapat dilihatnya. Bagus juga. Dapatlah dia berbincang dengan tenang.
Dia berdehem sebelum mengambil tempat di sofa yang terletak bersebelahan dengan katil peraduan mereka. Sedang mencari permualaan ayat pembuka bagi perbincangan mereka ini. Perbincangan permasalahan rumahtangga yang kebelakangan ini semakin menruncing.
Berkerut dahi Sofiana melihat tingkah suaminya itu. Tertanya-tanya kenapa suami duduk menjauh dari dirinya? Sedangkan dia sudah bersedia. Hanya menunggu suaminya bertindak sahaja.
“Abang nak berbincang dengan Sofi. Kat bawah tu tak sesuai. Malu Kak Suri dengar masalah rumahtangga kita.”
Rapat matanya dipejamkan apabila mendengar kata-kata Hakim itu. Jemarinya digenggam sesama sendiri. Nampaknya dia sudah tersalah sangka. Dia termalu sendiri!
“Abang nak tanya. Apa yang penting sangat sampai Sofi call abang every single minutes? Bila abang switch on my handphone I saw so many miscalled from you? What’s wrong?” Hakim bertanya lembut. Dia perlu berdiplomasi dengan isteri keduanya ini. Kalau dia turut sama menyinga bila masalah mereka akan reda?
“Kenapa?” Sofiana bertanya kembali. Panas kembali hatinya. Kenapa? Senangnya suaminya bertanya. Langsung tidak mengambil berat panggilan dari dirinya. Seolah-olah dia bukan sesiapa.
“Sofi ada hantar sms pada abang kan? Abang masih bertanya kenapa? Takkan abang langsung tak baca sms dari Sofi tu? Bukan satu tau. Banyak!”
“Sebab banyak tulah abang tak malas nak baca. Untuk apa Sofi hantar sms banyak sampai macam tu? Membazir saja!”
Diperhatikan wajah yang sedang berkerut seribu itu. Tak puas hatilah tu!
“Kenapa dengan perut Sofi semalam? Tak selesa macam mana?”
Barulah Hakim mula bertanya tentang kandungan Sofiana. Bukan dia suami yang tidak bertanggungjawab. Tapi dia juga punya tanggungjawab lain. Dia perlu adil!
“Baru sekarang abang nak bertanya?” Sofiana mendengus kasar. Dijeling suami di hadapan.
“Lebih elok daripada abang tak bertanya langsung, kan?”
Sofiana mendengus kasar. Sakit hati dengan perlakuan suami yang seperti langsung tidak mengambil kisah akan kesihatan dirinya.
“Cakaplah. Kenapa dengan perut Sofi?”
“Tak selesa,” jawabnya pendek. Jika diberi penjelasan panjang lebar pun bukan Hakim mahu mendengarnya. Lihat wajah tegang suaminya saat ini, dia sudah dapat mengagak.
“Yelah, tak selesa yang macam mana?”
“Tak selesa! Faham tak?”
Itu sahaja! Hendak menggoreng lebih dia tidak tahu bagaimana. Inilah masalahnya kalau menipu. Dalam saat-saat genting begini tiada pula alasan dapat dijanakan.
“Biasalah kalau dah peringkat akhir kandungan. Dan lupa apa doktor pesan? Lagipun, apa gunanya Kak Suri kat sini? Abang ambil Kak Suri bekerja sebab nak dia tengok-tengokkan Sofi kalau abang bermalam di rumah Amirah. Kalau ada apa-apa panggil saja Kak Suri. Bukannya call abang berpuluh kali minta abang balik.”
“Sofi tak nak Kak Suri. Sofi nak abang. Saat-saat macam ni Sofi sangat perlukan abang.” Rengek Sofiana. Berharap Hakim termakan dengan pujuk rayunya.
“Sofi, dengar sini! Berapa kali abang nak tegaskan. Kita berpoligami. Abang kena adil! Abang lalai dulu dalam menjalankan tanggungjawab dan abang tak nak ulang lagi. Jadi abang minta pengertian dari Sofi. Please..jangan ganggu masa abang dan Amirah bila abang bermalam di sana. Itu hak dia. Dan Sofi ada hak Sofi. Amirah juga tak boleh menganggu abang bila abang bermalam di sini. Sofi faham tu kan? Tolonglah bertolak ansur Sofi. Abang tak nak lukakan hati Amirah lagi. Dah banyak kita lukakan hati dia. Jangan jadikan abang suami yang tidak adil! Senget bahu abang nanti!”
Entah berapa kali dia mahu menegaskan perkara itu. Tapi Sofiana tetap dengan keras kepalanya. Langsung tidak mahu bertolak ansur. Sebab itulah dia terpaksa menutup telefonnya bagi mengelakkan dari diganggu oleh Sofiana. Dia tidak mahu Amirah berfikir yang dia telah melanggari syarat-syarat mereka.
Semenjak kembali bersama Amirah dia sudah mula menggunakan dua telefon bimbit. Talian yang biasa digunakan ditutup jika dia bermalam di rumah Amirah. Talian yang baru dia gunakan hanya Kak Suri sahaja tahu nombornya. Tidak dibenarkan wanita itu mendedahkan kepada sesiapa hatta Sofiana sekalipun. Dengan nombor itulah dia dan Kak Suri berhubungan. Lebih tepat lagi Kak Suri lah ‘spy’nya.
Bila difikirkan kelakar pula dia memperlakukan Sofiana sebegitu rupa. Memasang ‘spy’ untuk isteri sendiri. Tapi dia terpaksa melakukan itu. Sofiana perlu diajar menghormati masa orang lain.
Selain Kak Suri, suaminya juga turut diambil bekerja untuk menjadi pemandu buat Sofiana. Dalam keadaan begini, dia tidak mahu Sofiana memandu sendiri. Sangat bahaya!
“Oh, perasaan Mira sajalah yang abang fikirkan? Perasaan Sofi ni macam mana? Sofi sakit macam ni pun abang buat tak tahu saja. Suami jenis apa abang ni?”
Sofiana sudah bangun menentang Hakim. Amirah! Amirah! Amirah! Nama itu tidak pernah lekang dari bibir suaminya. Naik muak dia mendengarnya. Apa lebihnya Amirah sehingga ke saat dia masih juga belum berjaya memisahkan mereka? Malah, apa yang telah berlaku membuatkan Hakim semakin menjauh dari dirinya. Walaupun pada hakikatnya lelaki itu tidak ke mana-mana.
Kemarahan Sofiana membuatkan Hakim melepaskan keluhan berat. Inilah yang malas dia hadapi. Bila diajak berbincang tidak pernah isterinya itu bertenang. Bila ditegur terus sahaja menyinga. Bagi Sofiana hanya dia sahaja betul! Nasihat orang langsung tidak meresap ke otaknya.
“Sofi, abang tak nak cari gaduh. Abang balik sini bukan nak bergaduh. Duduk dulu. Tarik nafas dalam-dalam. Kita kena berbincang dalam keadaan tenang barulah jumpa jalan penyelesaiannya. Lagipun, tak elok Sofi marah-marah macam ni. Sofi kan mengandung?”
Sekali lagi Hakim menekan kedua belah bahu Sofiana. Cuba mendudukkan wanita itu sekali lagi. Namun, tangannya ditepis kasar. Sofiana bergerak menjauh. Tidak mahu disentuh suaminya.
“Macam mana Sofi nak bertenang, hah? Cuba abang cakap? Setiap kali balik sini nama perempuan tu saja yang abang sebut. Kita asyik bertekak pasal dia. Rumahtangga kita ni tak aman sebab dia! Abang nak suruh Sofi bertenang?”
“Jangan salahkan orang lain Sofi! Amirah tak ada kena mengena dengan masalah kita. Masalah ni semua berpunca dari sifat iri hati Sofi sendiri. Sedangkan Amirah langsung tak pernah benci dan dendam dengan Sofi. Jangan terus salahkan dia. Dia tak salah! Salahkan abang! Abang yang tak berlaku adil! Abang yang tak pandai mendidik Sofi jadi isteri yang baik!”
Ya! Memang dialah yang sepatutnya disalahkan. Jika bukan kerana hatinya yang terlalu rapuh, mungkin perkahwinan dia dan Sofiana dapat dielakkan. Takkan berlaku segala kesulitan ini. Rumahtangganya bersama Amirah juga tidak akan tergugat.
Tapi siapalah dia yang mahu mempersoalkan takdir. Semua ini adalah takdir hidupnya. Ada hikmah disebalik dugaan yang Allah turunkan buat dirinya. Dan sebagai hambaNya dia wajib redha. Memperbaiki diri ke arah yang lebih baik adalah matlamatnya saat ini. Sebagai ketua keluarga, dia wajib mendidik isteri-isteri dan anak-anaknya nanti.
“Oh, Sofi ni isteri tak baiklah! Amirah tu baik sangat? Kalau dia baik dia tak lari tinggalkan abanglah! Entah-entah lari ikut jantan mana pun tak tahu. Menyundal sana-sini! Itu yang abang kata baik?!”
“Sofi!!”
Pangg..!!
Sofiana memegang pipi yang baru sahaja menerima hadiah daripada Hakim. Seakan tidak percaya dengan apa yang berlaku. Tubuhnya yang sudah tersungkur di atas tilam tidak dipeduli. Apa yang dia rasakan saat ini adalah perasaan marah yang menggila. Desah nafas yang ganas sudah menunjukkan betapa hebat ombak di dada.
“Jangan melampau Sofiana! Jaga sikit lidah kau tu! Jangan sesedap hati nak menfitnah orang tanpa usul periksa! Berdosa tau, tak? Apa nak jadi dengan kau ni, hah? Ya Allah..berubahlah Sofi. Jangan diikutkan sangat perasaan marah tu. Cubalah redha dengan keadaan hidup kita. Tak siapa yang suruh kau pilih jalan ni. Kau sendiri yang nak!”
Hakim juga tidak kurang hebatnya. Merah padam wajahnya menahan marah. Perbincangan yang diharap berlaku dalam keadaan tenang berkahir dengan perbalahan juga. Seperti kata Sofiana, setiap kali dia bermalam di sini pasti ada sahaja pertengkaran yang berlaku. Tiada siapa dapat menghalang mulut Sofiana daripada bersuara walaupun dia telah sedaya upaya mengelak untuk membincangkan tentang itu.
“Sebab perempuan tu abang sanggup tampar Sofi? Abang memang melampau! Langsung tak fikirkan keadaan diri Sofi yang sarat ni. Apa lebihnya dia berbanding Sofi? Sofi pun isteri abang juga. Tapi sikit pun abang tak kisah.”
Dengan bersusah-payah Sofiana mengangkat tubuhnya dan berdiri tegak di hadapan Hakim. Matanya yang bersilau garang menentang mata Hakim. Tidak ada walau sekelumit perasaan takut dan gementar dalam dirinya buat lelaki itu. Lelaki yang patut dia taati.
“Kalau sampai apa-apa terjadi pada kandungan Sofi, abanglah yang sepatutnya bertanggungjawab!”
Sofiana terus keluar dari kamar itu setelah menghempaskan pintu. Dentuman itu seakan menyedarkan Hakim pada apa yang telah berlaku sebentar tadi. Pantas dia meraup wajah.
Ya Allah..apa yang telah aku lakukan?! Sepatutnya aku lebih bersabar. Isteriku sedang sarat mengandung dan aku telah menghadiahkan penampar? Anak dalam kandungan itu tidak bersalah. Bagaimana jikalau kelakuan kasarnya tadi telah mencederakan kandungan Sofiana yang sedang menunggu hari. Mujurlah juga tubuh Sofiana terhumban di atas tilam. Kalau atas lantai?
Astagfirullahalazim. Rasukan syaitan telah menyebabkannya hilang pertimbangan. Hakim menumbuk kasar dinding kamar mereka. Kesakitan pada tangannya langsung tidak diambil peduli. Dia lebih memikirkan Sofiana dan kandungan isterinya itu.
Maafkan abang Sofi. Maafkan abah anakku. Bertahanlah sayang.

Ruang pejabat yang sudah semakin lengang sedikit pun tidak mengalihkan tumpuan Amirah pada kerjanya. Banyak kerjanya yang tertunggak. Menguruskan kewangan pada syarikat besar seperti Faruk Group ternyata tidak semudah yang disangka. Pengalaman kerja yang dia bawa dari Mega Construction nyata masih belum cukup. Nasib baiklah Uncle Peter ada untuk membantu dirinya. Jika tidak entah bagaimanalah dia mampu belajar secepat ini.
Ketukan dan tolakan di muka pintu membuatkan Amirah mengalihkan pandangan dari skrin komputer.
“Sayang, jom balik.” Ajak Hakim. Begitulah kebiasaannya. Suaminya itu pasti akan mengajaknya pulang bersama. Walaupun pada hakikatnya mereka memandu kereta masing-masing.
Pernah juga staf mereka bertanya kenapa mereka datang dan pulang berasingan? Amirah terpaksa mereka cerita. Kononnya, sebagai persediaan sekiranya mereka terpaksa pulang lewat kerana tuntutan kerja. Nasib baik mereka menerima alasannya dengan baik. Jika tidak alasan apa pula yang dia mahu berikan. Takkanlah dia mahu memberitahu yang suaminya tidak bermalam di rumahnya? Itu namanya cari penyakit!
Amirah menganggukkan kepala sebelum mula mengemas meja dan menutup komputernya. Setelah selesai dia mencapai tas tangan dan memadamkan lampu serta penghawa dingin di bilik pejabat itu.
Hakim melebarkan kuakan daun pintu bagi memberi laluan Amirah melepasinya. Kemudian dia menutup pintu itu semula. Mereka beriringan ke pintu lift. Tiada ucapan yang keluar dari bibir masing-masing. Senyap sahaja. Suasana pejabat juga turut sunyi kerana kebanyakan pekerja sudah pulang walaupun jam baru menunjukkan ke angka 6 petang.
Sejak semalam Amirah perasan Hakim hanya mendiamkan diri. Tidak banyak bicara. Riak wajah itu tampak gusar. Hendak dikatakan sakit tidak pula ada tanda-tanda tidak sihat pada wajah suaminya itu. Tapi riak Hakim saat ini lebih kepada orang yang sedang dalam keresahan. Mungkinkah suaminya itu punya masalah?
“Abang?”
Amirah memanggil suaminya.
Hakim berpaling. Perlahan-lahan bibir itu mengukirkan senyuman tawar.
“Abang ada masalah ke?”
Suaminya itu mengerutkan dahi. “Masalah? Masalah apa? Kenapa sayang tanya macam tu?”
“Yelah. Abang nampak macam susah hati saja.”
Hakim menggelengkan kepala. “Tak ada apa-apalah. Jangan risau, okay?”
Kemudian mereka mendiamkan diri lagi sambil menunggu lift. Sesekali Amirah mengintai wajah suaminya di sisi. Hakim masih lagi seperti itu. Anak mata lelaki itu ke sana sini seperti sedang memikirkan sesuatu. Entah apalah yang lelaki itu fikirkan.
Adakah berkaitan Sofiana? Tapi apa pula yang hendak dirisaukan? Bukankah sekejap lagi dia bakal bertemu isteri mudanya itu?
Dentingan pada kotak lift memecahkan suasana buntu mereka. Hakim memberikan laluan buat Amirah terlebih dahulu sebelum dia turut sama menempatkan tubuh di dalam kotak lift itu.
“Abang?”
Panggil Amirah lagi. Tidak senang hatinya melihat kelakuan Hakim itu. Walaupun hubungan mereka tidaklah begitu baik, tetapi sebagai isteri tidaklah tega dia membiarkan suaminya menyimpan segala masalah sendirian. Bukankah isteri yang baik adalah isteri yang menenangkan suaminya?
Sekali lagi Hakim berpaling kepada isterinya.
“Kenapa sayang?”
“Are you okay?”
Hakim hanya menganggukkan kepala sambil bibirnya mengukirkan senyuman. Senyuman yang tiada langsung manisnya. Tidak seperti selalu. Bibir itu sering sahaja dihiasi senyuman nakal.
“No, you are not!”
“Abang okay, sayang. Jangan risau, ya?” Pipi Amirah diusapnya dengan sebelah tangan. Mungkin berharap dengan usapan dapat memberikan sedikit kepercayaan buat si isteri.
“Dari wajah dan kelakuan abang yang sejak semalam berdiam, Mira tahu abang ada masalah? Pasal Sofiana ke?”
Hakim melepaskan keluhan berat. Jelas sangatkah? Sehingga Amirah dapat mengesannya?
“Ceritalah dekat Mira abang. Mungkin Mira boleh tolong.”
Terharu Hakim mendengar. Inilah sifat Amirah yang sangat dia kagumi. Membuatkan Hakim semakin sayang pada isterinya ini. Perlahan-lahan dahi Amirah dikucupnya lama. Tubuh itu dipeluknya erat.
Amirah yang kehairanan tidak mampu menolak pelukan itu.
“Abang?”
“Syhh..biarkan abang peluk Mira sekejap.” Bisik Hakim di telinganya. Pelukan itu dieratkan lagi. Mengharapkan kehangatan pada tubuh si isteri bisa memberikannya kekuatan dalam menempuhi dugaan yang mendatang.
“Tapi kita dah sampai.” Beritahu Amirah perlahan.
Hakim pantas melonggarkan pelukan. Tidak sedar pintu lift sudah terbuka lebar. Memerah wajah mereka apabila kelakuan mereka tadi sedang diperhatikan oleh jaga bangunan itu.
“Tuan..puan.” Sapa jaga itu sambil menundukkan sedikit kepalanya. Tanda menghormati anak dan menantu pemilik Faruk Group.
“Pak cik baru start shift ke?” Sapa Hakim. Sekadar menghilang rasa malu dalam diri. Entah apalah kata jaga itu. Dalam lift sempat nak berpeluk!
“Ya, tuan. Pak cik baru sampai. Tuan dengan puan dah nak balik ke?”
“Ya pak cik. Selamat bekerja ya pak cik.” Ucap Hakim. Walaupun setinggi mana pun dia berada, sifat hormatkan orang tua sentiasa diutamakan. Itulah pesan Datuk Faruk dan Datin Intan pada dirinya.
“Terima kasih tuan. Hati-hati memandu.”
Mereka bertukar senyuman sebelum jaga itu menghilangkan diri di dalam kotak lift. Mungkin mahu memulakan rondaan.
Sorry, abang tak perasan pintu lift dah terbuka tadi. Kasihan isteri abang. Mesti malu dengan pak cik tadi.”
Amirah mengukirkan senyuman. Memanglah malu! Gila tak malu? Kemesraan mereka sekali lagi menjadi tontonan orang. Cuma kali ini mujur penontonnya hanya seorang.
“Tak apa. Emm..pasal tadi. Betul abang okay? Tapi tadi..”
Hakim menolak rambutnya ke belakang. Menimbang sama ada mahu menceritakan masalahnya kepada Amirah. Mungkin dengan meluahkan kepada isterinya hati yang resah akan terasa sedikit tenang.
“Boleh Mira temankan abang sekejap? Kita pergi minum dulu.”
Permintaan Hakim membuatkan Amirah berfikir sejenak.
“Tak apa ke? Nanti abang terlewat balik rumah Sofiana.”
“Tak apa. Jom!” Jemari runcing Amirah pantas digenggam. Lalu, tubuh itu ditarik membontotinya.
“Eh..!! Amirah menarik tangan Hakim yang telah berada dalam genggamannya. Memaksa lelaki itu menghentikan langkah.
“Tapi kita tak solat lagi.”
Hakim mengukirkan senyuman. “Kita pergi solat dulu, okay?”

Jus epal yang dipesannya dihirup perlahan. Sambil menghirup jus dia memandang suaminya. Mata Hakim tunak memandangnya. Mungkin sedang menunggu bicaranya pula.
“Abang tak sepatutnya buat macam tu.” Amirah memulakan bicara.
Hakim telah menceritakan padanya apa yang telah berlaku sehingga membuatkan suaminya resah gelisah sepanjang hari. Walaupun dia bermusuh dengan Sofiana, tapi dia juga prihatin dengan keadaan wanita itu yang sedang sarat mengandung. Anak itu tidak bersalah.
“Abang tahu. Tapi Sofiana sangat melampau. Abang tak boleh terima kata-kata dia yang menghina Mira.”
“Bukan abang tak tahu perangainya macam tu. Dia bukan suka Mira. Itupun abang tergila-gilakan dia sangat sampai sanggup nikah tanpa minta izin Mira dulu.” Sempat lagi dia menyindirnya suaminya. Pasa masa inilah dirasakan waktu yang cukup sesuai untuk dia mengenakan suaminya itu. Padan muka!
Terasa tak tertelan air liur Hakim. Sedar dirinya sedang disindir. Tapi dia tiada daya hendak melawan. Memang kata-kata Amirah itu ada benarnya. Dia yang tidak berfikir panjang!
“Abang minta maaf, sayang. Abang sedar abang salah. Sebab tu abang nak tebus segala kesilapan abang selagi abang diberikan waktu.”
Amirah memandang Hakim lagi. Riak kegelisahan pada wajah itu bertukar menjadi sesal. Mungkin menyesali perbuatannya.
“Walau macam mana marahnya abang pada dia, abang tak boleh mengasarinya. Dia sedang sarat mengandung. Kalau apa-apa jadi pada kandungannya macam mana? Lainlah kalau dia tak mengandung. Abang nak buat apa pun Mira tak nak ambil kisah.”
“Perbuatan tu terjadi dalam sekelip mata sahaja. Abang tak sedar. Sedar-sedar semuanya dah terjadi.”
Hakim cuba menerangkannya sekali lagi. Berharap agar Amirah mempercayai bahawa dia sememangnya tidak sengaja.
“Abang dah bawa pergi klinik? Buat check up apa-apa yang patut.”
Hakim menggelengkan kepala. “Abang dah cuba pujuk dia untuk ke klinik. Tapi dia tak nak. Mungkin dia masih marahkan abang. Abang cuma risaukan keselamatan baby.
“Keselamatan baby? Keselamatan Sofiana tak risau?” Duga Amirah. Masakan hanya keselamatan bayi dalam kandungan sahaja dirisaukan? Tentulah ibu bayi juga sepatutnya diberi perhatian.
Termanggu Hakim seketika. Tidak tahu hendak memberikan jawapan apa. Akhirnya dia hanya menarik senyuman tawar. Hanya sekejap sahaja senyuman itu terukir di bibirnya. Kemudian dia kembali termanggu semula.
“Pujuklah dia lagi bawa ke klinik. Kalau dia tak nak, paksa! Bukan untuk kepentingan orang lain. Dia juga! Tak apa bertegas untuk kebaikan,” nasihat Amirah lagi. Tak salahkan memberi nasihat kepada perkara yang baik? Dia tak rugi apa-apa. Malah, dapat pahala lagi.
Hakim menganggukkan kepala. Menerima nasihat si isteri dengan hati terbuka. Ya, memang dia sedang bertegas dengan Sofiana. Itu yang sampai kena penampar tu. Cakap mulut tak jalan. Mungkin ‘cakap’ dengan tangan lebih meresap ke jiwa. Bak pepatah Inggeris, ‘talk to my hand!’ Sempat lagi Hakim berseloroh dalam hatinya.
“Boleh abang tanya sesuatu?”
“Tanyalah.”
“Kenapa Mira masih lagi advice me to take care of Sofiana? Sedangkan kami dah lukakan hati Mira?” Ingin juga dia menyelami hati si isteri. Apa yang ada tersimpan di dalamnya. Memang masih jelas Amirah tidak menerima mereka dengan sepenuh jiwa. Tapi Amirah juga tidak memaksanya menceraikan Sofiana. Malah sekarang, isterinya ini menasihatkan agar dia menjaga dan tidak mengasari Sofiana. Sesuatu yang jarang dilakukan oleh isteri-isteri lain sekiranya mengetahui dirinya dimadukan.
Amirah hanya mengangkat bahu. “Habis abang nak Mira buat apa? Minta abang ceraikan Sofiana? Tentulah abang tak nak, kan? Mira cuma nak abang jadi lelaki yang bertanggungjawab. Pandai buat pandailah tanggung! Sekarang baru abang tahu betapa susahnya nak menjalankan tanggungjawab pada dua isteri, kan? Dulu tahu nak seronok saja! Memang pada zahirnya abang mampu. Tapi pada hakikatnya abang tak mampu untuk beristeri lebih!”
Tidak terkutik Hakim ditempatnya. Aduh, kena lagi! Hmmm..
“Tapi jangan ingat Mira beri kelonggaran untuk abang. Syarat kita harus abang patuhi. I’m strictly keep hold on that!”

p/s: blog updated after 2 weeks..Sori, seperti biasa agak sibuk lately. Enjoy ya. Saya tahu mesti ramai yang x suka part ni..Ada Sofiana kan. Tapi cerita must get to the flow. Every characters must be explore. Kalau tidak  bosan jugak kan.. 

11 ulasan:

  1. Rasanya eloklah Hakim lepaskan Amira dan konsentrate kat Sofiana sbb Sofiana perlu byk bimbingan utk berubah... Sedangkan Amira perlukan seorg suami yg boleh menggembirakan kehidupannya dan bukan terpaksa berkongsi masalah ttg madunya... Hmm.....

    Lepaskanlah Amira tu, Hakim... Dont be selfish...

    BalasPadam
    Balasan
    1. sokong! hidup kembali dgn. Mira lebih banyak menyusahkan Mira;jd tempat mengadu masalah Hakim dgn. Sofiana. Masa nak kahwin tak pulak nak minta kebenaran!

      rasanya org. macam Mira tu ramai lelaki yang menunggu. Hakim tu sebenarnya ego!

      Padam
  2. ala..faris xde ke..rindu kat faris ni..

    BalasPadam
  3. jangan runtuhkan masjid org.. nak hakim dgn amirah juga... Queen...

    BalasPadam
  4. so sweet ngan sikap amirah,leh terima biar pun sigedik sofiana tu menghina nye...dari ape yg hakim crite....ha amek kau sofiana,ingat dapat kena pujuk,tp dapat penampar!!pape pun cam dah terlambat je hakim nk ajar minah gedik tu.dek rindu lah kt faris........hehe.cepat sambung ye dek!!n nak faris gak lh dek!

    BalasPadam
  5. huhu..degil betul sofiana ni..kan dh makan penampar dari hakim..setaakat ni amirah dan hakim dah berusaha utk pertahankan ikatan perkahwinan..hakim cuba blaja menjadi adil..dan mirah plak sabar aja..kalo la org lain...dh bercerai berai apa..geram ar tgk perangai sofiana tu!

    BalasPadam
  6. rasanya eloklah hakim lepaskan amira, biarlah amira dengan faris sebab rasanya faris boleh saja sayang dan jaga amira. tak sukalah cete poligami ne menyesakkan jiwa raga.

    BalasPadam
    Balasan
    1. sy sokong apa yg myra katakan tu.
      amirah nmpk mcm dah x cintakan hakim, dia bt syarat tu pon utk kpntingan anaknya dlm syrkt hakim utk dptkn hak yg sama rata dlm soal harta benda.
      lgpun wanita mana yg suka poligami, kalau stkt ckp tu boleh la tp nak mngalami tu mmng sukar.

      Padam
  7. Ulasan ini telah dialihkan keluar oleh pengarang.

    BalasPadam
  8. Seorang isteri yang baik x akan buat bahu suaminya sengat sebelah bila berpoligami.... betul kata Amira bila bagi kelongaran bukan bererti syarat boleh disalah guna....
    Hakim perlu bertegas dengan Sofi tapi bukan mengasarinya....

    BalasPadam
  9. Still nap Amira dan Hakim. Faris bukan la org yg baik kerana kalau dia gagal dan kecewa, kelab bukan tempatnya. Sepatutnya dia bertawakal kepada Allah dan doakan kebahagian Amira.

    Harap Hakim tahu kebenaran yang Sofi tu hanya memerangkap dia. Bukan ke Sofi dah mmg mengandung masa kahwin dgn Hakim. Kalau tak silap anak yg dikandung bukan anak Hakim....kena revise balik citer ni dari awal....maaf kalau tersilap....

    Harap Hakim dan Amira bahagia...dan Faris insaf dgn ketelanjurannya....Faris sesuai dgn Sofi kot....hahaha sori cik Ida....

    BalasPadam

Hi kawan2..Selepas baca jangan lupa tinggalkan komen tau..wajib!!! hehee..sebabnya Ida suka baca komen kawan2..Nak tau jugak best ke tidak setiap post Ida ni..komen tau!!