Sesampai di rumah malam itu, Amirah terus mendukung
Nasuha yang sudah tidur dan diletakkan di atas katil bayi di sudut biliknya.
Kemudian, dia mendapatkan Hakim yang sedang memunggah barangnya dari dalam
kereta. Berniat ingin membantu suaminya itu.
Dia mencapai bagasi yang sudah diletakkan di hadapan
pintu rumah oleh Hakim. Lalu, bagasi itu ditarik ke arah bilik yang telah
dikhaskan untuk suaminya itu. Bilik yang pernah dihuni Marissa sebelum ini.
Entah mengapa tiba-tiba dia terasa rindu dengan temannya itu.
“Sayang?” Amirah berpaling apabila terdengar seperti
Hakim memanggilnya.
“Ya?”
“Kenapa letakkan beg abang dalam bilik ni?” Hakim
bertanya hairan. Bukankah bilik Amirah disebelah sana.
“Ini bilik abang,” jawab Amirah, tenang.
Hakim mengerutkan dahi dengan kata-kata isterinya
sebentar tadi. Matanya silih berganti antara Amirah dan bilik yang terbentang
di hadapannya. Kalau tidak salahnya bilik ini adalah bilik yang pernah dihuni
Marissa. Setelah wanita itu keluar rumah, bilik ini telah kosong. Tapi kenapa
pula dia perlu menghuni bilik ini?
“Bilik abang? Kenapa bilik abang? Bilik kita?”
“There
will be no our room in this house. Your room is yours. My room is mine.”
Makin berkerut dahi Hakim mendengarnya.
“Sayang nak pisahkan tempat tidur kita? Begitu?”
Perlahan-lahan Amirah menganggukkan kepala.
“Tapi kenapa?”
“Sebab Mira belum bersedia. Kita mungkin dah kembali
hidup sebumbung. Tapi untuk kembali macam dulu amat berat untuk Mira lakukan.
Mira perlukan masa.”
Hakim memejamkan mata. Hatinya terhiris dengan semua ini.
Terasa hina benar dirinya jika isteri sendiri tidak mahu tinggal sebilik. Tidak
mahu mengadakan hubungan suami isteri dia masih boleh terima. Dia menghormati
keputusan yang diambil si isteri. Tapi jika wanita itu ingin tidur berpisah
bilik, tidak mungkin dia akan izinkan. Bukan dia mahu memaksa. Tapi jika mereka
berterusan begini, bagaimana dia mahu membuktikan keikhlasan dirinya.
Lagipula, untuk apa mereka tinggal sebumbung jika tidur
dalam bilik berasingan seperti itu?
“Jijik sangatkah abang ni pada Mira?”
Sedikit terlopong Amirah apabila diajukan soalan seperti
itu. Hatinya sudah berkocak hebat dengan nada suara si suami yang diulit
kesayuan.
“Bukan macam tu.”
“Abang tau abang banyak buat salah pada Mira. Tapi tak
bolehkah Mira beri sedikit ruang untuk abang membuktikan keikhlasan abang?”
Semakin gelisah hatinya apabila Hakim merenung ke dalam
matanya dengan pandangan yang sarat dengan kekesalan. Amirah memandang ke
bawah. Kakinya dipijak sesama sendiri bagi menghilangkan rasa yang tidak enak
dari hatinya. Dia tidak boleh lemah. Hasratnya harus dilaksanakan juga.
“Mira belum bersedia. Harap abang faham.”
Hakim menarik nafasnya dalam. Sukar benar dia mahu
menerima kata-kata itu. Lalu, bagasi yang berada di sisi Amirah ditarik dan
dibawa ke kamar isterinya.
Terpinga-pinga Amirah dengan tindakan suaminya itu.
Lantas, langkah suami dituruti. Dia yakin Hakim sedang menuju ke biliknya.
“Abang. Ini bilik Mira. Bilik abang kat sana,” tegas
Amirah lagi. Ketika itu mereka telah pun berada di dalam kamarnya. Hakim
dilihatnya tenang memerhatikan kamar itu. Mungkin sedang membuat penilaian.
Maklum sajalah, kamar ini tidaklah semewah kamar di banglo Hakim.
“Abang tak nak tidur dalam bilik tu. Abang nak tidur
dalam bilik ni.” Hakim berkata selamba. Tubuhnya sudah direbahkan di atas katil
‘queen size’ milik Amirah. Enak
rasanya dapat berbaring setelah melalui hari yang panjang.
Berbulu mata Amirah dengan kelakuan Hakim itu. Sesuka
hati saja merebahkan tubuh di atas katilnya.
“Tolonglah faham abang. Ingat syarat-syarat kita.”
Hakim bangun dari pembaringan. Dia duduk tegak di atas
katil itu.
“Abang ingat. Tak ada satu pun yang abang lupa.”
“Baguslah kalau abang ingat. Sekarang tolonglah pindah ke
bilik sebelah. Lagipun, bilik tu lebih selesa berbanding bilik ni,” desak
Amirah. Suaranya diperlahankan supaya tidak menganggu lena si kecil.
“Syarat kedua, Mira belum bersedia mengadakan hubungan suami
isteri! Betul, kan?” Hakim mengulang kembali syarat yang telah diletakkan
Amirah beberapa minggu lalu. “Dalam syarat tu tak ada pun mengatakan yang
sayang tak mahu tidur sebilik dengan abang. Tidur sebilik tidak bermakna kita
melakukan hubungan. Betul, tak?”
Terdiam Amirah mendengar hujah si suami. Kalaulah masa
boleh diputarkan kembali, sudah tentu Amirah tidak akan lupa menyelitkan syarat
itu sekali. Namun, dia tidak akan menyerah kalah.
“Memanglah Mira tak letakkan syarat tu. Tapi abang kena faham.
Mira cuma belum bersedia untuk tidur sebilik dengan abang.” Amirah beralasan.
Dia tidak mahu tidur sebilik akan menyebabkan mereka terdorong ke arah itu.
Inilah alasan sebenar kenapa dia mahu mereka tidur di dalam bilik yang berbeza.
“Abang tak nampak salah pun kalau kita tidur sebilik.
Abang tahu apa yang sayang risaukan. Tak perlulah sayang risau. Abang kan dah
janji, dan abang akan berusaha menepati janji abang.”
Amirah memandang tepat ke dalam dasar mata suaminya. Cuba
mencari kebenaran akan kata-kata itu. Untuk dua tiga saat Amirah terus
melarikan pandangan. Tidak sanggup menentang pandangan tajam si suami. Apatah
lagi, dia dapat menangkap renungan menggoda yang dilepaskan Hakim untuknya.
Renungan yang telah lama tidak ditatapi. Kelu lidahnya untuk berbicara.
“Tapi..”
“Abang nak mandilah. Badan ni dah rasa masam semacam je.
Sayang tolong sediakan pakaian abang, eh? Thanks sayang. I love you.”
Amirah mengetap bibir geram apabila Hakim sudah mendecit
menghilangkan diri dalam kamar mandi. Nampaknya keputusan Hakim sukar digugat.
Bagaimana dia mahu mengelak daripada suaminya?
Sebuah keluhan berat dilepaskan. Dalam kekalutan
perasaan, permintaan suami dituruti juga. Sehelai T-shirt dan kain pelikat
dikeluarkan daripada bagasi lalu di letakkan di atas katil.
Tudung yang melilit di kepala ditanggalkan. Seharian
berbungkus membuatkan dia juga tidak sabar mahu membasahkan diri.
“Sayang, tolong ambilkan tuala. Abang lupalah.”
Amirah berpaling ke arah kamar mandi. Kelihatan kepala
Hakim terjongol di situ. Melihat wajah yang sedang tersengih itu membuatkan
Amirah mencemikkan bibir.
‘Dah tau nak mandi tu bukan nak bawa tuala.’ Amirah
mengomel sendirian. Dalam pada itu dia mula memunggah bagasi Hakim untuk
mencari tuala yang diminta.
“Abang letak dekat mana tuala abang?”
Ada tiga bagasi kesemuanya. Bagaimana dia hendak
menemukan tuala itu. Kalau berjumpa pun mungkin mengambil masa yang lama.
“Ada tu dalam luggage.
Sayang carilah.”
Sekali lagi Amirah mengetap bibir. Dia berpindah ke
bagasi yang lain pula. Aktiviti memunggah masih lagi diteruskan.
‘Nama saja lelaki. Tapi pakaian mengalahkan perempuan.
Sampai penuh luggage. Nak cari tuala
pun payah,’ omel Amirah lagi.
“Jumpa tak, sayang?”
“Tak!”
Amirah berputus asa. Lalu, dia mencapai tualanya dan
menghulurkan kepada Hakim yang setia menanti di sebalik pintu kamar mandi.
Lebar senyuman Hakim di hadiahkan untuknya.
Amirah hanya menghulurkan tuala itu tanpa memandang ke
arah si suami. Bimbang jika lelaki itu ‘menakal’, dia juga yang terkejut beruk.
“Tak jumpa eh tuala abang?”
Amirah menggelengkan kepala. Dia terus sahaja beredar
sebaik sahaja tualanya selamat berada dalam genggaman Hakim. Tuala baru di
ambil di dalam almari untuk kegunaannya.
“Sayang nak mandi?”
Tersentak Amirah apabila ditegur sebegitu. Entah bila
Hakim berada di belakangnya tidak pula diketahui. Macam chipsmore, fikirnya.
Tubuh Hakim dipandang sekilas. Memerah pipinya apabila
tubuh yang hanya bertuala menjadi santapan matanya. Serta-merta hatinya
berdebar kencang. Sudah lama dia tidak berdepan dengan situasi ini. Pastilah
segalanya terasa kekok.
Hakim hanya tersenyum bila menyedari kelakuan isterinya
itu. Pipi yang memerah itu menguatkan andaiannya.
“Malu ke tengok abang macam ni?” Hakim bertanya selamba.
Semakin memerah pipi si isteri dibuatnya. Dia suka melihat Amirah dalam keadaan
malu seperti ini. Nampak sangat ayu di matanya.
“Mira nak pergi mandi.” Kelam-kabut Amirah melarikan diri
daripada suaminya. Tubuhnya terus sahaja menghilang di dalam kamar mandi.
Hakim tersenyum dengan telatah si isteri. Sudah lama dia
tidak melihat Amirah kelam-kabut begini. Amirah..Amirah.. Walaupun sudah lebih
3 tahun berkahwin, sifat malu si isteri masih lagi menebal bila melihat dia
tampil seksi begini. Tapi bagus juga. Terasa seperti masih lagi pengantin baru.
Terhendap-hendap Amirah di balik pintu kamar mandi sambil
matanya meliar mencari kelibat sang suami. Kelihatan suaminya itu sedang
mendodoikan anak mereka yang mungkin terganggu lenanya. Kemudian, lelaki itu
duduk di tengah katil sambil mengadap Samsung Galaxy Tab miliknya. Mungkin
sedang melayari internet.
Aduh, macam mana ni? Amirah gelisah sendiri. Dia terlupa
membawa pakaian bersih sebelum mandi tadi. Takkanlah dia hendak memakai pakaian
yang sudah di letakkan di dalam baldi untuk dibasuh keesokkan harinya?
Tiada pilihan, Amirah terpaksa juga meminta bantuan
Hakim. Hendak keluar dengan hanya bertuala begini memang tidak mungkin.
Malulah. Terasa tebal berinci-inci wajahnya nanti.
“Abang..” Panggil Amirah.
Mungkin panggilannya agak perlahan. Suaminya masih lagi
tidak terkutik. Masih khusyuk mengadap gajetnya itu.
“Abang..” Panggil Amirah lagi sedikit kuat.
Kali ini panggilannya berjaya mengalihkan perhatian si
suami.
“Ada apa sayang?” Hakim sudah terpacak di depan kamar
mandi. Terasa kelakar pula. Tadi dia mengutuk Hakim kerana terlupa membawa
tuala. Sekarang dia pula terpaksa meminta bantuan suaminya untuk mengambil
pakaian bersih untuk dirinya.
“Tolong ambilkan baju kat dalam almari tu. Mira terlupa
nak ambil tadi.”
Hakim mengerutkan dahi. Pelik dia dengan permintaan
isterinya itu.
“Tuala bawa kan?” Hakim bertanya, lurus.
Amirah menganggukkan kepala.
“Dah tu? Nak buat apa dengan baju tu?” Hakim bertanya
lurus. Jujur dia tidak dapat menangkap maksud di sebalik permintaan si isteri.
Namun, timbul juga perasaan hairan dalam diri apabila dilihatnya Amirah seperti
sedang menyembunyikan tubuhnya di balik pintu. Yang kelihatan hanyalah bahagian
hidung ke atas.
Amirah mengetap bibir geram. Sebal dengan pertanyaan
suaminya itu. ‘Banyak pula tanya,’ desis hatinya.
“Tolonglah ambilkan..” Gumam Amirah dalam nada geramnya.
Sekali lagi lelaki itu mengerutkan dahi. Kenapa isterinya
tidak keluar dan mengambil sendiri pakaiannya? Adakah Amirah ingin menukar
pakaiannya di dalam kamar mandi?
Setelah beberapa saat, bibir itu mengukirkan senyuman. Kini
barulah dia mengerti. Mungkin isterinya ini malu untuk tampil berkemban di
hadapannya. Di rumah ibu dan bapanya juga Amirah menukar pakaian di dalam kamar
mandi.
“Sayang malu dengan abang eh? Nak malu apanya sayang?
Bukannya tak pernah abang tengok? Dulu sayang tak malu pun berkemban depan
abang?”
Membahang pipi Amirah ditegur sebegitu. ‘Itu dulu,’
gumamnya di dalam hati. Selepas 8 bulan terpisah semuanya terasa janggal.
Terasa seperti mereka baru diijabkabulkan 3 tahun lepas.
“Tolonglah..” Rayu Amirah.
“Tak nak! Sayang keluar ambil sendiri. Dengan abang pun
nak malu!”
“Abang...” Tanpa sedar Amirah sudah merengek manja. Hakim
tersenyum senang dapat mengusik isterinya itu. Dapatlah juga dia mendengar
suara lemak merdu itu merayu kepadanya.
“Tak nak!” Kali ini Hakim menggelengkan kepala berulang
kali. Menandakan yang dia tidak akan membantu isterinya itu.
“Kenapa berkira sangat ni? Tadi boleh je Mira tolong
ambilkan tuala abang. Sekarang ni bila turn
Mira abang nak refuse pula.”
“Ooo..mengungkit eh? Lagilah abang tak nak tolong. Bye sayang.”
Hakim sudah kembali ke katil. Selamba sahaja dia mencapai Samsung Galaxy Tab
itu dan meneruskan aktiviti yang tergendala tadi.
Melopong Amirah dengan tindakan Hakim itu. Dia menghentak
kaki geram.
“Fine!” Amirah menempik geram. Disusuli dengan hempasan
pintu yang kuat. Tersentak Hakim dengan kelakuan isterinya itu. Anak mereka
yang sedang tidur juga sudah merengek akibat terkejut dengan hempasan pintu
itu. Pantas Hakim bangun lalu mendodoikan si anak semula.
Dia mula berasa bersalah. Pasti isterinya itu sedang
merajuk. Tengoklah. Sehingga sekarang Amirah belum lagi keluar dari kamar
mandi.
Setelah memastikan Nasuha sudah kembali lena, Hakim
pantas mengambil pakaian tidur Amirah di dalam almari. Pakaian yang agak sopan
dipilihnya. Hendak memilih yang seksi sudah pasti si isteri tidak akan
memakainya. Hendak keluar dengan hanya bertuala pun enggan. Inikan pula mahu
memakai gaun malam yang terdedah sana-sini.
Pintu kamar mandi diketuk beberapa kali.
“Sayang, buka pintu ni. Ni abang bawakan baju sayang.”
Senyap. Sekali lagi pintu itu diketuk.
“Sayang, janganlah merajuk. Abang bergurau saja tadi.
Buka pintu, ya. Sejuk kat dalam tu sayang.”
Masih lagi tiada sahutan. Hakim menggaru-garu kepala yang
tidak gatal. Kuat pula rajuknya. Salah orang nak bergurau. Sekarang satu hal
pula nak memujuk.
“Janganlah macam ni sayang. Abang minta maaf sangat-sangat.
Sayang keluarlah. Sayang mintalah apa-apa sebagai hukuman abang. Insyaallah
kalau abang mampu abang akan tunaikan.”
Tidak beberapa kemudian pintu kamar mandi itu dibuka
perlahan-lahan. Terjengul wajah masam mencuka si isteri di sebalik pintu itu.
Hakim menayang sengih. Namun dibalas dengan jelingan oleh Amirah. Pantas baju
ditangan Hakim di sambarnya sebelum pintu kamar mandi itu ditutup rapat.
Terkebil-kebil Hakim di situ.
Hakim memandang si isteri yang baru sahaja melangkah
keluar dengan lengkap berpakaian. Tidak sedikit pun Amirah membalas pandangannya.
Wajahnya masih lagi mencuka.
Namun itu semua tidak menghalang mata nakal Hakim
meneliti penampilan Amirah yang kelihatan sangat menggiurkan. Tidak perlu
pakaian seksi dan lenggok menggoda. Amirah punya aura tersendiri untuk
menggodanya. Kecantikan isterinya begitu ketara berbanding lapan bulan dahulu.
Apa agaknya Amirah lakukan pada dirinya?
Kalau dahulu kulitnya agak gelap dan tonanya tidak
sekata. Tapi sekarang, kulit tubuhnya kelihatan cerah berbanding dahulu. Kulit
itu juga tampak lembut walaupun tidak disentuh. Semua itu membuatkan jemari
kasarnya cepat sahaja mahu menyentuh tubuh itu. Kalaulah tidak diingatkan
syarat si isteri sudah pasti Amirah dibawa ke dalam dakapan. Akan diulit tubuh
itu sepanjang malam.
Sesaat kemudian dia beristighfar dalam hati. Jauh benar
fikirannya sebentar tadi. Jika terus dilayan pasti apa yang dibayangi tadi akan
terjadi. Tidak! Dia tidak boleh terlalu mengikutkan perasaan. Akibat daripada
perbuatan itu sangat lumayan. Dia akan kehilangan isteri dan anaknya untuk
selama-lamanya. Yang pasti dia tidak mahu itu terjadi. Dia tidak akan sesekali
benarkan!
“Sayang, meh sini sekejap. Abang nak cakap sikit.” Hakim
menepuk-nepuk tilam si sebelahnya. Berharap agar Amirah mendengar kata. Namun,
dia tersilap. Isterinya dalam mood merajuk. Mana mungkin permintaannya dilayan.
Akhirnya Hakim bangun dan mendapatkan isterinya di meja solek.
Kelakuan si isteri yang sedang melumurkan losyen ke
lengan dan leher benar-benar membuatkan Hakim menelan air liur berkali-kali.
Melihatkan leher jinjang yang putih gebu itu, terasa lemah segala
sendi-sendinya. Ya Allah, tetapkanlah hatiku! Ini baru hari pertama tinggal
sebumbung. Bagaimana dengan hari-hari berikutnya? Mampukah dia bertahan?
“Sayang masih marah dengan abang ke?”
Amirah tidak menjawab. Sikat diambil lalu disisir rambut
lurusnya.
Namun, selepas beberapa saat Amirah tersentak apabila
Hakim menyentuh jemarinya yang lincah dan mengambil sikat dari tangannya.
Kemudian, tanpa disuruh si suami menyambung menyisir rambut panjangnya. Tidak
terkutik Amirah di situ.
“Cantik rambut sayang. Pandai sayang jaga. Dulu tak
adalah panjang sampai macam ni, kan?” Komen Hakim sambil memandang wajah kelat
si isteri melalui pantulan imej di cermin meja solek itu.
“Masamnya muka sayang abang ni. Marah dekat abang lagilah
tu. Okay, sekarang sayang cakap apa
yang abang patut lakukan untuk hilangkan marah sayang tu?”
“Betul nak tahu?”
‘Akhirnya keluar juga emas kat dalam mulut dia tu.’ Desis
hati Hakim. Hakim pantas menganggukkan kepala. Tanda bersedia menerima apa pun
hukuman yang bakal diberikan
“Abang tido dekat sofa mulai hari ni.”.
Hahaha... Padan muka hakim... Belum apa2, dah mula nak mengawal amirah semula... Dan amirah ni lemah sgt ler....
BalasPadamha..ha...tu lah..dah kena tido kat luar
BalasPadamIda, bestlh cite ni nak lagi, harap tak terpaksa
BalasPadamtunggu lama nak baca n3 baru.
terpulang pd penulis utk garapan seterusnya tp bila wujud org ke3 bukanlah satu yg dihrp'n.
BalasPadambila hati dah luka.. mcm2 boleh jadi dan jarang2 bahgia dtg tp mkn hati memang ada..
sy suka jika watak amirah seorang yg tegas dan yg sepatutnya menjadi haknya tidak terlepas...
boleh sambung lg?????
amik ko hakim! kene tdo kt sofa? haha...
BalasPadam