Amirah menarik nafas panjang setelah melangkah keluar
dari kamar itu. Kesesakan yang dirasakan sebentar tadi kian pulih. Baru sekejap
berada di dalam satu kamar bersama Hakim dia sudah terasa lain macam.
Bagaimanapula agaknya selepas ini. Bukankah dia dan Nasuha akan bermalam di
sini? Amirah mengeluh berat.
Perlahan-lahan dia menapak menuruni anak tangga untuk ke
ruang tamu. Suara ceria si comel sudah berbalam-balam kedengaran di corong
telinga. Diganti pula dengan suara seperti membentak geram. Ahh, anaknya sedang
membuat perangai.
Lalu, dia mengintai jam dinding yang digantung pada
ruangan tangga itu. Patutlah, sudah lebih 9 malam. Masa puterinya melelapkan
mata. Sesekali kedengaran juga suara Datin Intan dan Datuk Faruk memujuk si
kecil. Tetapi, bentakan itu semakin menjadi-jadi pula.
“Sayang, kenapa buat nenek macam tu?” Amirah menegur anak
kesayangannya. Nasuha dilihat sedang membaling kertas-kertas yang bertaburan di
lantai ke arah ibu mentuanya. Tubuhnya juga dijauhi dari Datin Intan. Tidak
mahu di sentuh oleh neneknya. Matanya yang sudah memerah di gosok beberapa
kali. Nampaknya telahannya sebentar tadi benar sekali.
“Hah, Mira! Nasib baik Mira turun. Suha mengantuk ni.
Mama nak tidurkan dia tak nak pula.”
Amirah tersenyum. Dia mendekati si kecil. “Sini sayang.”
Dia mendepakan tangan. Ingin menyapa tubuh montel itu ke dalam pelukan.
Nasuha pantas mendapatkannya. Terus dia melentokkan
kepalanya di bahu si ibu. Matanya juga sudah terkelip-kelip menandakan sekejap
lagi pasti anak itu akan terlelap.
“Amboi, kalau dengan ibu dia cepat saja,” gerutu Datin
Intan.
“Ibu..nak syu syu,” gumam si kecil dalam pelukan ibunya.
“Ya sayang. Suha dah ngantuk ya? Kita tidur, ya?”
Punggung si kecil ditepuk-tepuk.
“Pergilah tidurkan dia Mira. Dah penat sangatlah tu.”
Amirah menganggukkan kepala. “Mama dengan papa tak nak
tidur lagi?”
“Sekejap lagilah. Mama nak kemaskan semua ni dulu.”
“Eh, tak payahlah mama! Biar Mira saja yang buat. Mama
dengan papa pergilah tidur.” Tidak betah pula jika dia membiarkan ibu mentuanya
mengemas ruang tamu yang bersepah itu sendirian. Anaknya yang telah menyelerakkan ruang itu,
jadi biarlah dia yang kemaskan. Tentu Datin Intan sudah penat.
“Tak usahlah, Mira. Mira pergilah tidurkan Suha. Kasihan
dia dah mengantuk benar tu. Tak apa biar mama yang kemas. Pergilah.”
“Janganlah macam tu mama. Sekejap lagi Mira turun kemas
lepas Suha tidur. Ya mama? Mama dengan papa pergilah tidur.”
“Tak apa Mira. Biar mama kamu saja yang buat. Mira
pergilah berehat. Mesti dah penat seharian kat pejabat tadi, kan?” Kali ini
Datuk Faruk pula menyampuk. Dia faham apa yang dirasakan Amirah. Pasti
menantunya ini segan membiarkan isterinya mengemas sedangkan yang
menunggang-langgangkan ruang tamu itu cucunya. Ahh, apalah nak dikisahkan. Dia
sendiri pun gembira melihat cucunya gembira.
Tiada pilihan, Amirah sekadar menganggukkan kepala. Ibu
dan bapa mentuanya sudah berkeras. Hendak membantah apa pula kata mereka nanti.
“Tak apa sayang, biar abang saja yang kemaskan. Mira
pergilah tidurkan Suha kat dalam bilik kita.”
Suara Hakim tiba-tiba kedengaran di celah-celah suara
mereka. Amirah pantas berpaling. Kelihatan suaminya itu sedang mendapatkan
mereka.
“Anak abah ni dah mengantuk, ya?” Hakim cuba mendapatkan
Nasuha. Namun, si kecil pantas memalingkan wajah sambil menggeleng-gelengkan
kepala. Lehernya ibunya dipeluk erat.
“Oo..sombong dengan abah, ya?”
Akhirnya Hakim hanya mengucup pipi si kecil. “Pergilah,
sayang. Sekejap lagi abang naik.”
Amirah menganggukkan kepala.
“Mira naik atas dulu ya mama, papa.”
“Yelah,” balas keduanya.
Amirah mula mengangkat punggung sambil mendukung Nasuha.
Anak itu kian membesar. Terasa berat Nasuha semakin meningkat. Hendak mendukung
lama pun dia tidak mampu. Nasib baik jugalah Nasuha sudah pandai berjalan.
Pintu bilik ditolak perlahan. Tidak mahu menganggu si
kecil yang mungkin sudah melelapkan mata. Cahaya bilik yang suram menyambutnya
ketika dia melangkah memasuki kamar itu.
Dari pintu bilik matanya menangkap dua tubuh insan-insan
kesayangannya terbaring di atas katil miliknya. Bibirnya menguntum senyuman.
Hakim mendekati mereka setelah pintu kamar ditutup dan dikunci. Perlahan-lahan
dia merebahkan tubuhnya bersebelahan dengan Nasuha. Anak itu diletakkan di
tengah-tengah katil. Manakala, isterinya di sebelah sana.
Hakim membetulkan selimut si anak yang sudah di hujung
kaki. Nasuha memang lasak tidurnya. Kaki kecilnya pula elok sahaja berada di
atas paha si ibu.
Dia mengalihkan kaki si kecil dengan berhati-hati. Tidak
mahu menganggu tidur keduanya. Nasuha bergerak-gerak sedikit apabila terasa
kakinya disentuh. Hakim pantas menepuk paha si kecil untuk mengembalikan Nasuha
kepada tidurnya.
Wajah bersih si isteri direnung sayang. Malam ini selepas
lapan bulan menanti akhirnya mereka berada di dalam satu kamar kembali. Malahan
kini, mereka berada di atas katil yang sama. Dia begitu gembira. Kegembiraan
yang jelas dari hati sehingga dia menitiskan air mata kesyukuran.
Dia mendekatkan wajahnya dengan wajah si isteri. Dahi itu
dikucup lama. Tubuh-tubuh kesayangannya di peluk lembut. Merasai betapa damainya
hati saat ini. Pasti tidurnya malam ini akan nyenyak seperti dahulu.
Perlahan-lahan dia memejam mata. Tidak lama selepas itu lenanya menyapa. Dia
tertidur dalam senyuman.
Dalam keasyikan malam ada insan yang menangis dalam diam.
Walau puas mencuba untuk melelapkan mata, lena itu tidak menyapa. Seraut wajah
yang sangat dirinduinya berlegar-legar di ruang fikiran. Tidak sesaat pun wajah
itu hilang daripada ingatan. Bibirnya pernah menyatakan benci, tapi hatinya
menafikan.
Hati yang hancur semakin parah apabila menerima surat
perletakan jawatan daripada setiausahanya seminggu yang lalu. Kenapa tidak
diserahkan sendiri kepada dirinya? Mungkin wanita itu takut untuk bersemuka
lagi dengannya.
Selepas kejadian pahit yang membuka sebuah hakikat
seminggu yang lepas, dia tidak lagi bertemu sekalipun berpapasan dengan Amirah.
Dia terus keluar pejabat dan tidak kembali pada hari itu. Dia perlu menenangkan
hati yang sedang panas. Untuk kembali bertugas juga dirasakan tidak mampu
keesokkan paginya. Tetapi, disebabkan dia perlu menghadiri mensyuarat penting,
dia terpaksa memunculkan diri walau dengan sebelah jiwa sahaja.
Apabila mesyuarat selesai, Anita menyerahkan surat
perletakkan jawatan tersebut kepadanya. Alangkah terkejutnya apabila surat
tersebut datangnya dari Amirah. Tetapi ridak wajahnya kelihatan tenang pada
pandangan sesiapa sahaja ketika itu.
Dia sama sekali tidak menyangka yang Amirah akan
mengambil tindakan senekad itu. Ahh, Amirah bersuamikan lelaki kaya. Jika dia
tidak bekerja pun kehidupannya sudah cukup mewah kerana Hakim mampu menyediakan
segalanya. Jika hendak dibandingkan dengan dirinya memang jauh panggang dari
api.
Namun, bila difikirkan mungkin itu lebih baik. Jika
Amirah terus di situ, bagaimana hubungan mereka selepas ini? Rasa marah dan
rasa tertipu ini tidak mungkin akan sembuh begitu sahaja. Hendak menatap wajah
Amirah lagi pun terasa tidak mampu. Teganya Amirah melakukan ini semua
kepadanya. Kenapa tidak berterus-terang sedari awal? Jika status Amirah selama
ini diperjelaskan sudah tentu perasaan cinta ini dapat dibendung agar tidak
merebak. Tapi sekarang? Semuanya sudah terlambat. Perasaan cinta ini begitu
kukuh dalam hati. Disebabkan rasa cinta inilah dia terluka. Sedangkan mereka di
sana sedang berbahagia.
Amirah...
Sebaris nama itu meniti di bibirnya. Sayang dan marah
bertingkah dalam hatinya. Hendak membenci hati masih sayang. Hendak menyintai
bagaimana pula dengan hati yang terluka?
‘Sampai hati kau Mira buat aku macam ni,’ bisik Faris
sendirian. Dia meraup rambutnya untuk ke sekekian kali.
Sudah seminggu dia berkeadaan seperti ini. Hatinya tidak
pernah tenang. Bila bersendirian begini, kesakitan itu sangat terasa. Kehidupan
dirinya sudah tidak seperti dahulu. Waktu kerjanya sudah tidak menentu.
Pulangnya hampir lewat malam. Makan minumnya juga sudah tidak dipedulikan.
Waktu makan tengahari dia sudah tidak bersama teman-temannya lagi. Tidak
sanggup dia mahu berdepan dengan Marissa. Teman yang sudah bersekongkol dengan
Amirah untuk menipunya.
Perubahan dirinya disedari uminya. Uminya ada bertanya,
tapi dia pantas menjadikan kerja sebagai alasan. Sudahnya si ibu tidak bertanya
lagi. Bagaimana agaknya dia mahu menjelaskan perkara itu kepada uminya? Jika
Puan Laila mengetahui semua ini pasti dia sangat kecewa. Sedangkan selama ini
Puan Laila begitu berharap dia mendirikan rumahtangga setelah mengetahui hati
si anak sudah dihuni. Ahh, kusut! Ini semua berpunca daripada Amirah.
Deringan telefon dari telefon bimbitnya mematikan
khayalan Faris. Dengan langkah yang lemah dia mendapatkan telefon bimbit yang
diletakkan di atas katil. Dia mengerutkan dahi apabila melihat nama yang
tertera di skrin telefon bimbitnya. Alex! Sudah terlalu lama mereka tidak
berhubung. Pantas dia menjawab panggilan itu. Teruja mendapat panggilan
daripada teman lama.
“Hello.”
“Hello,
bro. How are you? Still remember me?”
“Hi,
bro. What’s up. Lama tak
dengar cerita.”
“Jangan salahkan aku. Kau yang diam lama sangat. CEO la
katakan.”
Faris tergelak ceria. Panggilan daripada Alex sedikit
menghilangkan kesedihan di hatinya sebentar tadi.
“Sibuklah bro. Kau apa cerita?”
“Aku macam nilah. Single
and available.” Kedengaran ketawa kecil di hujung talian.
Tergelak Faris mendengarnya. “Samalah kita bro.”
“Kau tu yang memilih sangat,” bidas Alex.
Faris mengeluh perlahan. Sekali lagi dia digelar
‘pemilih’. Tapi masih adakah sifat seperti itu dalam dirinya?
“I’m
not anymore, bro.”
“Really?
So, have you any someone special?”
“No,
i don’t have.”
“Aik? Tadi kau kata dah tak memilih. Mestilah dah ada
yang special.”
“It’s
too complicated to be story about.”
“Yes, sound
it is. Apa kata kalau
kita jumpa, bro. Boleh cerita
panjang. Dah lama juga tak jumpa kau ni.” Alex memberikan cadangan. Teruja dia
mahu mendengar cerita teman lamanya ini.”
“Okay. Bila?”
“Weekend ni.
Tempat biasa. Kau ingat lagikan kat mana?”
Faris hanya tersenyum. Dia tahu tempat biasa yang
dimaksudkan temannya itu. Sudah lama dia tidak menjejakkan kakinya ke sana.
Tapi untuk kali ini dia terasa ingin pergi.
“Of course.
Jumpa weekend ni.”
Amirah tersenyum melihat wajah teman yang telah dihias
cantik. Akhirnya, Marissa kini sah menjadi isteri kepada Razif sejam yang
lepas.
“Tahniah Rissa. Kau dah jadi isteri orang,” ucap Amirah
sambil mengucup kedua belah pipi si teman.
“Thanks, Mira. Tak sangka kau sudi datang ke majlis aku
ni walaupun jauh.”
“Kawan aku kahwin mestilah aku datang.”
Marissa tersenyum manis. Memang jelas kelihatan seri
pengantin pada wajah itu. “Kau pun tahniah. Tak lama lagi nak jadi isteri orang
balik,” kata Marissa sambil menjeling Hakim yang sedang mendukung Nasuha. Lelaki
itu kelihatan tersenyum apabila mendengar kata-kata Marissa itu.
“Aku memang isteri orang pun,” jawab Amirah dengan nada
mengendur.
“Yeke? Bukan janda?” Sindir Marissa. Pantas sahaja dia
menyeringai apabila lengannya dihinggapi ‘ketam’ Amirah. Kemudian mereka ketawa
gembira.
“Susahlah kita nak jumpa lepas ni. Kau pun dah nak ke
Indonesia ikut Razif,” rungut Amirah.
“Nampaknya mcam tulah. Nak jumpa selalu tu memang susah.
Tapi aku janji kalau aku balik Malaysia kau mesti orang pertama yang aku nak
jumpa,” janji Marissa. Dia jug terasa berat hati mahu meninggalkan temannya.
Namun apakan daya, tempat isteri adalah di sisi suami.
“Janji ya?”
“Ya, aku janji!” Marissa mengangkat tangan. Kemudian, dia
berpaling ke arah Razif yang kelihatan sedang rancak berbual dengan Hakim.
Jelas terpancar seri pada wajah keduanya. Suaminya tentulah berseri kerana baru
sahaja bergelar suami. Tapi seri pada wajah Hakim? Adakah kerana berjaya
mendapatkan isterinya semula? Hmm..mungkin ya!
“Kau macam mana dengan suami kau sekarang?”
Amirah turut menghalakan pandangan ke tempat yang sama.
“Macam tulah,” balasnya lemah.
“Hey, kenapa ni? Macam tak gembira saja.”
Hanya senyuman tawar di hadiahkan Amirah buat temannya.
Dia tidak tahu mahu mengulas lanjut. Walaupun dia dan suaminya sudah berbaik,
namun hubungan mereka tidak pulih sepenuhnya.
Ingatannya terimbas kembali pada malam mereka bermalam di
rumah mentuanya. Keesokkan pagi apabila dia sedar, tangan Hakim sudah
melingkari pingangnya. Kedudukan mereka agak rapat walaupun Nasuha berada di
tengah mereka. Wajah mereka begitu dekat sehingga helaan nafas lelaki itu dapat
di rasainya.
Sebenarnya dia tidak bercadang untuk tidur sekatil dengan
Hakim. Dia telah bercadang untuk tidur dibawah sahaja beralaskan comforter.
Mungkin akibat kepenatan, dia terus tertidur nyenyak setelah menidurkan
anaknya. Bilakah Hakim memasuki kamar itu pun dia tidak sedar.
“Kau tahukan hubungan aku dengan dia macam mana?”
“Itu aku tahulah. Tapi kau dengan dia kan dah nak hidup
bersama semula.”
“Memang aku dengan
dia nak hidup bersama semula. Tapi hati aku masih sakit. Biarlah masa yang
menentukan.”
Marissa menggosok bahu Amirah lembut. Faham dengan perasaan
si teman. Tetapi dia begitu kagum dengan Amirah. Walaupun disakiti, dia masih
lagi mampu memberikan peluang kedua buat Hakim. Jika dia berada di tempat
Amirah entah apa yang akan dilakukannya?
“Insyaallah, suatu hari hubungan kau berdua akan pulih sepenuhnya.
Kau banyakkan berdoa, okay? Lagipun aku tengok Hakim betul-betul sayangkan
kau.”
Amirah hanya menganggukkan kepala. Dia juga berharap
perkara yang sama. Tapi sementara itu dia hanya berserah kepada yang Esa.
“Insyaallah. Kau doakan aku, ya? Aku pun akan doakan
kebahagiaan kau dengan Razif.”
“Thanks, dear.” Marissa tersenyum gembira dengan
kata-kata Amirah tadi. Sekurang-kurangnya ada juga orang yang bermurah hati
mahu mendoakannya.
“Rissa macam mana dengan Faris?” Amirah merendahkan
suaranya. Bimbang akan didengari si suami yang sedikit jauh dari dirinya. Walaupun
lelaki itu bukan lagi majikannya, tetapi dia mahu bertanya khabar. Perpisahan
mereka terjadi dalam suasana yang tegang. Kata-kata terkahir yang keluar untuk
dirinya dari Faris adalah ‘penipu’. Ternyata Faris sangat marah padanya ketika
itu.
Marissa mengeluh berat sebelum menjawab pertanyaan Amirah.
“Dia dah kembali kepada dirinya yang dulu. Mungkin lagi teruk. Lepas kau resign, kami tak lagi makan bersama. Aku
makan berdua saja dengan Alwi. Tiap-tiap hari mengamuk. Ada saja salah staf di
mata dia. Makan minum tak terjaga. Balik lewat malam. Risau aku dengan
kesihatan dia. Dia kecewa betul dengan kau, Mira.”
Sekali lagi Amirah mengeluh berat. Dia rasa bersalah yang
teramat kerana menyebabkan semua itu berlaku. Kalaulah dia tahu dia perlu
berterus-terang dari awal tentang status dirinya, tentulah dia akan
melakukannya. Tapi sekarang sudah terlewat. Pasti Faris begitu membencinya
sekarang.
“Kasihan dia. Semua ni salah aku kan, Rissa?”
“Syy..Marissa mengusap bahu temannya. Cuba menenangkan
hati yang sarat dengan kekesalan itu.
“Aku yakin dia akan okay tak lama lagi. Kau jangan
risaulah. Everything will be fine soon.”
“Kalau aku nak jumpa dengan dia nak minta maaf, Rissa.”
“Eh, jangan! Aku rasa ini bukan idea yang baik. Kalau kau
jumpa dia sekarang kau rasa dia nak ke dengar cakap kau? Tak, kan?”
Bersungguh-sungguh Marissa memujuk Amirah. “So, adalah lebih baik kau tunggu
marah dia reda dulu. Mungkin waktu tu hati dia lebih terbuka untuk mendengar
penjelasan kau.”
Amirah menganggukkan kepala. Mengiyakan kata-kata teman.
“Bila Hakim nak pindah masuk rumah kita tu?” Marissa
mengubah tajuk perbualan. Dia tidak mahu lagi Amirah terus-terusan menyalahkan
dirinya.
“Hari ni?”
“Hari ni? Terbelalak mata Marissa mendengarnya. “Kenapa
cepat sangat?”
“Entahlah. Barang dia dah penuh kat dalam kereta tu.”
Marissa tersengih nakal. Dia mendekatkan wajahnya ke
wajah Amirah. “Dia dah tak sabar-sabar nak tidur sekatil dengan kau kot?” Katanya
sambil menaikkan kening berulang kali. Sengaja mahu mengenakan temannya itu.
Namun sesaat kemudian dia menggosok bahunya akibat
ditampar kuat oleh Amirah. Wajahnya berkerut seribu. Hilang terus seri
pengantin.
“Kau tahukan syarat-syarat aku?”
“Yelah, aku tahu! Tapi rugilah dengan syarat kau tu.
Kalau tidak dapatlah Suha adik baru.”
Marissa pantas mengelak apabila sekali lagi Amirah mahu
menampar bahunya. Kemudian, dia menjelirkan lidah. Mereka ketawa gembira
bersama.
Kegirangan mereka menarik perhatian suami masing-masing
yang berdiri tidak jauh dari situ. Mereka tersenyum gembira melipat isteri
masing-masing sedang bergurau senda.
alamak pendek sgt tak puas baca...hehe.....tq..best teruskan n3.
BalasPadamsian 2nd hero...x terjaga diri after what the heroine did.
BalasPadamsiannye faris..
BalasPadamHmm... Tak sabar nak tau bagaimana agaknya keadaan amirah apabila hidup bersama serumah dgn hakim balik? Adakah halim akan memungkiri janji2 nya? Adakah faris akan mencari amirah kembali? Hmm.. Macam2....
BalasPadam