Bulat mata Amirah memandang suaminya itu. Pelbagai
persoalan bermain dalam minda. Kenapa Hakim bertanya seperti itu? Adakah Hakim
ternampak mereka datang bersama? Dan yang paling penting, bagaimana pula Hakim
mengetahui tentang jolokan orang yang mengatakan dia adalah seorang janda?
“Kenapa? Terkejut?” Hakim bertanya disulami senyuman
sinis. “Abang pun terkejut! I need an
explanation.”
Amirah menelan air liur apabila Hakim berdiri tepat di
hadapannya. Matanya meliar menyelami bening mata suaminya. Hakim serius benar!
Renungan mata itu seakan mengunci bibirnya dari berkata-kata.
“Jawab abang, sayang. Kenapa semua orang kat luar tu kata
Mira janda? Mira ke yang beritahu mereka begitu?”
Dia menundukkan wajah. Bibirnya diketap lembut.
Sejujurnya, dia tidak bersedia dengan semua ini. Hakim menyerbu tanpa sempat
dia membuat apa-apa persediaan. Saat inilah yang paling dia takuti.
“Mira...” Wajah isteri didongakkan dengan jemari
kasarnya. Bila mata itu menentang matanya, Hakim terdiam sejenak. Dia seakan
terpaku dengan kejelitaan isterinya ini. Sudah lama dia tidak menatap wajah
suci Amirah sedekat ini. Dan sudah tentu dia tidak pernah menyangka akan
melihat isterinya dalam busana indah seperti ini.
Saat Faris dan Amirah melangkah ke perkarangan banglo
mewah Dato’ Kuzir, semua mata seakan terpaku buat mereka. Dia yang ketika itu
sedang berbual dalam kelompok rakan niaga mereka langsung tidak menyedari akan
hal itu. Kedudukan dia yang membelakangi pintu pagar membuatkan dia langsung
tidak mengambil pusing akan siapa yang datang. Lagipun, tiada guna dia mahu
melihat setiap orang yang melangkah masuk. Dia pergi kesana pun dengan separuh
hati. Sekadar memenuhi jemputan. Dan sebagai orang berniaga, peluang seperti
itu selalu digunakan untuk tujuan meluaskan jaringan.
“Hei, look! Faris and his couple.”
Itu adalah punca dia berpusing ke belakang. Teringin juga
mahu melihat siapa pasangan lelaki itu pada malam ini. Faris! Satu nama yang
tidak perlu diperkenalkan dalam kelompok mereka. Satu nama yang boleh dikatakan
cukup besar dalam industri mereka. Semua ahli perniagaan mengenalinya.
Selain kebijaksanaan menguruskan syarikat, dia juga
terkenal di kalangan wanita kerana ketampanannya. Setahunya sudah ramai yang
mahu mencuba nasib. Tetapi, ditolak mentah oleh lelaki itu. Terlalu memilih!
Itulah jolokan golongan wanita buat Faris. Ada sahaja yang tidak kena!
Namun saat matanya terpaku pada wanita cantik yang sedang
tersenyum di sebelah lelaki itu, hatinya berdetak laju. Amirah! Itu isterinya!
Walaupun tampil berbeza dan penuh elegan, mata suami tidak akan pernah silap
untuk mengenali isteri sendiri.
“Itulah perempuan yang aku cakap hari tu. Cantik, kan?”
Ujar salah seorang daripada mereka.
“Iyeke? Memang cantiklah. Eh, tapi kau cakap perempuan tu
janda anak satu, kan?” Celah yang seorang lagi. Hakim terus berpusing memandang
tuan empunya suara tadi. Serasanya dia tidak tersalah dengar. Janda beranak
satu?!
“Iya, dia janda anak satu! Tapi cuba kau tengok! Meletop
lagi! Macam mana Faris tak terpikat? Lagipun janda ni banyak pengalaman. Lagi
best!”
Hakim mengepal penumbuk di bawah meja apabila
teman-temannya ketawa serentak. Wanita yang sedang mereka katakan itu adalah
isterinya! Sungguh biadap! Suami mana yang sanggup menadah telinga bergitu
sahaja? Takkanlah mereka sedikit pun tidak mengenali Amirah? Isteri pertamanya
itu bukanlah asing di kalangan mereka.
Hatinya semakin terbakar apabila dihidangkan dengan lagak
mesra pasangan sejoli itu. Dalam kekalutan perasaan sempat jua dia berfikir.
Kenapa wanita seperti Amirah yang menjadi pilihan Faris? Bukan wanita tinggi
lampai dan berwajah persis model antarabangsa? Bukankah itu lebih sesuai?
Tetapi, jika dia ditempat Faris mungkin dia tidak akan
bertahan jika dihidangkan dengan kecantikan sebegitu. Amirah ternyata begitu
cantik. Lebih berseri pada malam ini. Namun, bagaimana isu janda beranak satu
ini boleh timbul? Adakah Amirah telah memperkenalkan diri sebegitu? Ahh,
terlalu banyak persoalan yang bermain dalam kotak fikirannya. Dan mahukan
jawapan dengan segera.
Baru kini dia terfikir. Lelaki yang telah menggagalkan
rancangannya untuk menumpangkan Amirah sebulan yang lepas sudah tentu adalah
Faris. Jarak yang agak jauh tempohari membuatkan dia tidak dapat mengecam raut
wajah lelaki itu.
Jadi, Farislah pesaing yang dijejak identitinya selama
ini? Sungguh tidak disangka! Rupa-rupanya lelaki itu tidak jauh dari mereka.
Hatinya mula gelisah pabila memikirkan kemungkinan yang satu ini.
Tapi bagaimana boleh Amirah bersama dengan lelaki itu
sedangkan dia masih bersuami? Adakah Faris penyebab Amirah menuntut cerai darinya
selama ini?
‘Ahh, tak mungkin! Aku tak mungkin akan ceraikan Amirah!
Dia isteriku! Dan akan tetap menjadi isteriku sampai bila-bila!’
Tujahan kuat di dada Hakim membuatkannya kembali ke alam
nyata. Dia sedikit terpinga-pinga. Tidak sedar dengan apa yang telah berlaku
sebentar tadi. Matanya tunak memandang isteri yang sedang menunduk sambil
menekup mulut. Dia pelik! Adakah dia telah mengucup bibir mungil itu?
Perlahan-lahan jemarinya dilarikan ke pinggir bibir. Ada
rasa yang pelik di lidahnya. Saat matanya terlihat kesan merah di hujung jari,
dia tersenyum senang. Benar! Dia baru sahaja mengucup bibir mungil itu sebentar
tadi. Nasib baik jugalah kedudukan mereka itu sedikit terlindung dan tidak
menjadi tempat lalu-lalang. Kalau tidak tentu adegan mereka tadi telah menjadi
tontonan orang. Apa agaknya kata tetamu apabila dia tertangkap sedang
berkucupan dengan pasangan Faris.
Amirah menekup bibirnya rapat. Jantungnya berdegup
kencang. Dari mana dia mendapat kekuatan itu dia sendiri tidak tahu. Hakim memang
gila! Sempat lagi mengambil kesempatan. Betapa kuat dia menolak pun, tidak
langsung menggerakkan tubuh itu menjauhi. Tadi bukan main garang! Menyoal
bagaikan dia pesalah undang-undang. Alih-alih bibirnya pula dijadikan mangsa.
Agak lama bibirnya dikucup sebelum dia mendapat kekuatan
untuk menolak tubuh itu dari melekap di bibirnya lebih lama. Lihat sajalah
bibir Hakim sudah ada kesan-kesan merah. Bibirnya juga sudah tentu comot
dikerjakan lelaki itu.
“Mira..abang minta maaf. Abang tak sedar.”
Permintaan lelaki itu menghadirkan rasa benci di hati
Amirah. Jelingan tajam dihadiahkan sebelum dia kembali menghilangkan diri ke
dalam tandas. Bibir yang comot ini perlu dibersihkan. Apa pula kata tetamu
nanti.
Terbalalak mata Amirah apabila imejnya terbias dalam
cermin. Ternyata telahannya benar. Bibirnya memang comot. Bukan sedikit.
Terlalu comot! Kurang ajar punya suami!
Di luar Hakim mengetuk-ngetuk pintu tandas sambil
memanggil-manggil namanya. Amirah mendengus geram. Sudah gila agaknya suaminya
ini. Berani benar berbuat begitu. Tidak takutkah jika mereka tertangkap nanti.
Apa pula kata orang?
Tanpa mempedulikan Hakim yang sedang menggila, dia
meneruskan niat untuk memcuci bibirnya. Setelah siap, terus dia keluar dengan
wajah yang sebal.
“Abang ni kenapa? Nanti apa orang kata kalau tengok kita
macam ni?” Marah Amirah tanpa sempat Hakim membuka mulut.
“Biarlah. Salahkah apa yang abang buat ni? Mira isteri
abang. Abang rasa tak salah?”
Balasan Hakim membuatkan Amirah terdiam. Memang benar apa
yang dikatakan lelaki itu. Tiada satu pun salah!
“Tapi semua orang kat luar tu tak tahu kita ni suami
isteri. Tolonglah faham abang. Jangan susahkan Mira, boleh tak?”
Hakim ketawa kecil. “Abang susahkan Mira? Kalau abang ni
betul-betul nak menyusahkan Mira, dari tadi lagi abang dah pergi tumbuk muka si
Faris tu. Suka hati saja bawa isteri orang keluar. Sudahlah semua orang dekat
sini kata Mira ni seorang janda. Habis abang ni siapa?”
“Kenapa abang nak emosi sangat? Mira dengan Faris tak ada
apa-apalah. Kami cuma rakan sekerja. Salahkah kalau kami datang bersama?”
“Rakan sekerja apa kalau mesra macam tu. Lagipun dah
heboh yang dia sudah ada teman wanita. Tapi abang tak sangka ‘teman wanita’ dia
tu isteri abang? Kenapa Mira? Kenapa buat abang macam ni? Mira dah berniat nak
cari pengganti abang ke?”
“Apa yang abang merepek ni? Ish, malaslah nak cakap
dengan abang lagi.”
Dia tidak tahu mahu berkata apa lagi. Bercakap dengan
Hakim hanya akan menyakitkan hatinya saja. Akhirnya dia hanya menghulurkan tisu
buat Hakim sebelum meninggalkan lelaki itu.
Tanpa banyak soal, Hakim menyambut huluran isterinya. Dia
menghantar pemergian Amirah dengan matanya. Tisu di tangan digunakan untuk
mengelap bibirnya yang comot. Walaupun hatinya merusuh, secalit bahagia singgah
menyapa. Kesan merah ditisu mengingatkannya tentang adegan sebentar tadi. Sudah
lama dia tidak merasa bibir mungil itu. Hari ini dia mendapat peluang di
tengah-tengah kekusutan yang melanda mereka.
Kekusutan itu belum terlerai. Dan dia juga belum
mendapatkan jawapan. Tapi tidak mengapa. Dia masih punya masa. Amirah akan
dipastikan tidak akan terlepas dari genggamannya.
“Hai, lamanya kat toilet? You buat apa?” Soal Faris
sebaik sahaja dia mendapatkan lelaki itu di meja makan. Dia melihat pinggan
Faris yang masih tidak terusik.
“You belum makan?”
Faris menggeleng kepala sambil tersenyum. Matanya tunak
memandang wajah jelita itu. Amirah mula berasa segan. Pandangan itu sangat
berbeza dari hari sebelumnya. Kenapa agaknya? Dia juga segan dengan pandangan
beberapa staf Mega Construction yang duduk bersama mereka. Dia dan Faris seakan
menjadi tontonan semua.
“I tunggu you,” balas Faris dengan suara yang sengaja
dilunakkan.
Amirah tersenyum pahit. Dia semakin tidak selesa. Apatah
lagi ramai yang sedang tersenyum-senyum memandang mereka berdua.
“Oh, sorry. I lambat. Jomlah kita makan?” Ajak Amirah.
Dia perlukan ruang menyendiri untuk seketika. Mungkin apabila masing-masing
sibuk dengan makanan di pinggan, mulut juga akan berhenti berbicara. Dia masih
terkejut dengan apa yang berlaku tadi. Bagai terasa bibir Hakim melekap kuat di
bibirnya. Mengingati itu membuatkan hatinya mendongkol geram.
“Ok,” balas Faris tanpa banyak bicara. Dia faham dengan
ketidaksenangan Amirah terhadap layanannya malam ini. Tapi dia mahu Amirah
terbiasa dengan layanan sebegini. Suatu hari nanti apabila dia meluahkan
perasaan, Amirah tidak begitu terkejut.
Perlahan-lahan, Amirah mula menyuap makanan ke dalam
mulut. Namun suapannya terhenti apabila matanya ternampak kelibat Hakim di
dalam kelompok lelaki di hujung taman. Mata lelaki itu tajam merenungnya. Hati
kecilnya berdetak laju. Hakim kelihatan marah benar. Cemburu benarkah suaminya
itu?
Sempat juga matanya meliar mencari kelibat Sofiana di
majlis itu. Tetapi wajah madunya itu langsung tidak kelihatan. Hakim
bersendirikah? Tidakkah itu janggal untuk ahli perniagaan yang sudah berkahwin
sepertinya? Kalau dahulu dialah yang selalu diusung ke sana ke mari oleh Hakim
jika ada majlis-majlis seperti ini. Jadi, mungkin juga Sofiana yang menjadi
pengganti setelah dia menghilangkan diri.
“You tengok apa tu?” Tanya Faris tiba-tiba.
“Nothing.” Pantas Amirah meneruskan suapannya sebentar
tadi. Disangkanya lelaki itu sudah asyik dengan makanannya. Teman semeja mereka
juga sedang asyik mengunyah disulami bualan ringan. Tapi gerak-gerinya masih
juga dalam kawalan lelaki itu.
“Itu Hakim. One of BOD for Faruk Group.”
Hampir tercekik Amirah dibuatnya. Faris perasan
perlakuannya sebentar tadi? Apa agaknya yang difikirkan lelaki itu?
“I perasan dia asyik perhatikan you saja dari tadi?
Kenapa, ya?”
Amirah menelan air liur. Hatinya menggerutu memarahi
Hakim. Perhatikan orang macam nak makan? Kan dah ada yang perasan!
“Tak adalah. Dia tengok orang lainlah tu.”
“Dia memang tengok youlah. Masakan tidak. You are the most beautiful lady tonight.
Semua nak curi-curi pandang. Ni yang buat I tak senang duduk ni. Ramai pula
peminat you malam ni.” Usik Faris. Terselit juga nada merajuk dalam
kata-katanya.
Kalau hendak dikatakan cemburu, memang dia cemburu. Sejak
mereka melangkah kaki ke majlis ini, ramai yang tidak berkelip memandang
pasangannya. Perasaannya kala ini terbahagi dua. Antara bangga dan bimbang.
Bangga kerana dapat mendampingi wanita jelita pujaannya. Dan juga bimbang jika
ada yang terpaut hati dan berniat mahu merampas wanita itu darinya. Kalau sudah
suami orang seperti Hakim pun tidak berkelip memandang Amirah, sudah tentu dia
perlu lebih berhati-hati.
“Ada-ada saja you ni. Sudahlah, habiskan makanan tu. You
janji dengan I nak balik cepat, kan?”
“I cemburu, tahu?” Faris mula berkias. Dia amat berharap
kata-katanya akan terserap masuk terus ke lubuk hati wanita itu yang paling
dalam. Perasaan mahu dicintai dan memiliki begitu kuat malam ini. Moga Allah
memudahkan segalanya. Doa Faris dalam hati.
“Cemburu kenapa pula.” Amirah bertanya dalam keguggupan.
Lelaki ini seperti ada sesuatu yang mahu disampaikan lewat kata-katanya. Dia
mula kegelisahan. Dia berdoa dalam hati semoga apa yang difikirkan saat ini
tidak terjadi. Faris berhak mendapat wanita yang lebih baik daripada dia. Lagi pula
status diri tidak membenarkan.
Mata Faris tepat menikam mata Amirah. Renungan mengancam
yang jarang-jarang dilepaskan untuk seorang wanita. Siapa yang melihat pasti
dipanah asmara.
Lain pula Amirah. Renungan itu membuatkan dia semakin
gelisah dan berdebar hebat. Tidak pernah dia ditenung sebegitu. Pandangan Faris
benar-benar menusuk ke tangkai hatinya. Walaupun bibir itu tidak dihiasi
senyuman saat ini, tetapi dia seakan dapat melihatnya melalui mata itu.
“Suatu hari nanti you akan tahu juga.” Perlahan sekali
Faris membisikkan kata-kata itu. Hanya untuk halwa telinga wanita jelita di
sebelahnya ini.
Hakim menggengam kuat gelas di tangannya. Marah, geram
dan cemburu bercampur-baur. Sedari tadi segala gelagat Amirah dan Faris dalam pemerhatiannya.
Tiada satu pun yang tertinggal. Rakan-rakan di sekeliling tidak langsung
dihiraukan. Apa yang difikirkan saat ini adalah Amirah. Isterinya! Isteri yang
saat ini sedang bersama dengan lelaki lain.
Suami mana yang tidak sakit hati dan cemburu melihat
isterinya begitu mesra dengan lelaki lain. Kalau diikutkan hati yang sedang
mendidih, sudah tentu Faris akan merasa penumbuk sulungnya. Tapi dia cuba
bertindak waras. Dia tidak mahu semua ini akan menambahkan kebencian Amirah
buat dirinya. Dan dia juga tidak mahu membuat hal di majlis orang. Reputasinya
mereka juga yang akan jatuh. Semua itu hanya akan mengundang masalah.
Lagipun, dia yakin dengan isterinya. Dia pasti Amirah
pandai menjada maruah diri. Sedari tadi perlakuan Amirah dan Faris dilihatnya
tidak melampaui batas. Tidak bersentuhan seperti pasangan lain. Sebab itulah
dia masih mampu mengawal diri. Dia terlalu yakin Amirah tidak akan curang
kepadanya. Dia sangat mengenali wanita itu.
Dalam menanggung sakit hati yang menggila terselit
kelegaan kerana saat ini di mana Amirah bekerja sudah dalam pengetahuannya.
Nampaknya lebih keraplah mereka akan berjumpa selepas ini. Peluang ini tidak
akan dipersiakan. Ini adalah peluang baik untuk dia mendapatkan Amirah semula. Siapa
Amirah dalam hidupnya haruslah diketahui mereka. Amirah adalah isterinya!
Isteri kepada salah seorang ahli lembaga pengarah syarikat pembekal terbesar
kepada Mega Construction. Pasti hakikat itu akan mengejutkan semua orang.
Penampilan baru Amirah benar-benar telah menjadikan dia
seorang yang lain. Sehinggakan tiada seorang pun dapat mengecamnya. Sedangkan
wanita itu sangat-sangat tidak asing di kalangan mereka.
Dan yang pasti gelaran janda itu harus dibetulkan!
Faris memberhentikan keretanya di hadapan pintu pagar
rumah sewa Amirah dan Marissa. Kelihatan rumah itu sudah tiada cahaya.
Menandakan penghuninya sudah melabuhkan malam mereka. Marissa mungkin masih
lagi keletihan.
“Thanks, bosss,” ucap Amirah tanda menghargai usaha Faris
untuk menunaikan janjinya mahu pulang awal. Selepas selesai makan, mereka
menunggu untuk upacara memotong kek. Kemudian mereka terus meminta diri. Penat
jugalah mahu menjawab soalan saat jemputan lain bertanya akan sebab mereka mahu
pulang awal.
“Welcome. Dah gelap dah rumah,” kata Faris sambil
mengintai rumah mereka.
“Marissa penat sangatlah tu. Suha pula biasanya pukul 9
dia dah tidur.”
“Ooh..biasalah budak-budak! So, weekend tak ada plan nak
pergi mana-mana ke?” Tanya Faris. Maklum sajalah esok cuti. Mungkin Amirah dan
Marissa sudah merancang mahu menghabiskan hujung minggu mereka.
“Tak tahulah, boss. Mungkin tak ke mana-mana. Duduk rumah
layan anak sajalah. Okaylah boss, kita jumpa hari isnin nanti.”
Inilah peluangnya! “Eh, nantilah dulu Mira. Kalau I nak ajak
you dan Suha keluar, sudi tak? Dah lama I tak jumpa dengan anak you. Rindu
rasanya.”
Wajah Faris ketika itu sangat berharap. Sedangkan Amirah
sudah kegelisahan. Dia bimbang jika ada jiran yang ternampak kelibat mereka di
dalam kereta ini. Makin rancaklah kejiranan ini mengata ‘janda’ sepertinya.
‘Layanlah dia seperti seorang majikan sahaja.’ Kata-kata
Marissa tiba-tiba melintas di fikirannya.
Kalau dia menerima pelawaan Faris, adakah layanannya
sudah melebihi layanan seorang majikan? Tapi kasihan pula bila melihat wajah
Faris ketika ini. Mungkin Faris benar-benar rindukan Suha. Tapi layanan Faris
malam ini benar-benar meresahkannya. Apatah lagi perlakuan mereka sentiasa
dalam awasan Hakim. Dia cuba untuk berlagak biasa supaya perlakuan mereka tidak
mengundang kemarahan Hakim. Dia kenal benar dengan suaminya. Jika salah
percaturan merasa juga Faris penumbuk sulong Hakim. Dan siapa dirinya pasti
akan diketahui orang.
“Nantilah I fikirkan. Kalau Marissa nak ajak kemana-mana
esok tak dapatlah,” ujar Amirah. Keputusan sebenarnya sudah ada. Tetapi dia
sengaja berlakon seoalah-olah dia akan menimbangkan pelawaan Faris itu. Hati Faris
juga perlulah dijaga. Lagipun lelaki itu adalah majikannya.
“Alah, sesekali keluar dengan I apa salahnya, betul tak?
Dengan Marissa bila-bila you boleh keluar.”
Amirah sudah kematian kata. Aduh, macam mana ni? Ligat
kepalanya bekerja untuk mencari alasan yang lebih relevan dan terus menutup
mulut Faris.
“Betul. Tapi Marissa kan dah nak kahwin. Dia perlukan I
untuk persiapan perkahwinan dia.”
Yes! Alasan yang dia kira sangat bernas. Faris juga
kelihatan sedang memikirkan sesuatu.
“Okaylah kalau macam tu. Mungkin lain kali. Tapi kalau
Marissa tak ada plan esok just give me a call, okay?”
Amirah pantas mengangguk dan melangkah keluar dari kereta
Faris.
“See you on Monday. Pergilah masuk,” suruh Faris.
“You nak tunggu dekat sini, ke?” Amirah bertanya sambil
ketawa kecil. Faris kelihatan masih lagi tidak mahu beredar.
“You masuklah dulu. I tunggu sini. Takkan I nak pergi
sebelum you selamat masuk dalam rumah?”
Jawapan Faris mengundang senyuman manis Amirah. Lelaki
ini sangat bertanggungjawab. Tanpa banyak soal Amirah terus membuka pintu pagar
dan melangkah masuk. Sebelum menghilangkan diri dalam rumah sempat dia
menjenguk keluar dan melambaikan tangan buat lelaki itu.
Faris membalas lambaiannya sebelum memecut pergi.
“Arrrgggghhhh!!!” Hakim menumbuk stereng kereta dengan
kuat.
Dia sengaja mengikuti kereta Faris sebaik sahaja
menyedari mereka berdua mahu meninggalkan majlis itu. Hatinya begitu gelisah
menanti isterinya keluar dari kereta pesaingnya itu.
Tidak lama sebenarnya sebelum Amirah keluar dari kereta
itu. Tapi penantian itu dirasakan begitu lama. Keadaan yang gelap
menyukarkannya untuk melihat apa yang sedang berlaku di dalam kereta menambahkan
kegelisahannya.
Ya Allah, hatinya terasa begitu sakit saat ini. Tapi dia
percaya isterinya tidak akan berlaku curang kepadanya. Dia kenal peribadi
Amirah. Keadaan mereka ini lebih banyak mengajarnya menghargai wanita itu.
Hakim yakin rancangan untuk memenangi hati Amirah perlu
dijalankan dengans segera. Mesti!!
p/s: blog updated..enjoy ya!
hakim ni myibuk ja. dia kan dah ada sofiana jaga ja la pompuan tu, jgn la tamak sgt nak kan amirah gak. biar la amirah ketemu bhgia dgn faris.
BalasPadamBest.... tetapi.... saya lebih suka jika Amirah meneruskan hidup dgn Suha & Faris... Dan Hakim menjalani kehidupan seterusnya dgn Sofiana dan anak yg bakal dilahirkan.
BalasPadamBagi saya, Hakim adalah lelaki yg tamak dan ingin memiliki segala2nya tanpa memikirkan perasaan kedua2 isteri... Jika salah seorg isteri tidak rela dimadukan dan minta dilepaskan, kenapa Hakim tamak dan cuma memikirkan ttg keinginan dirinya shj?
Tidakkah Amirah berhak utk "move forward" dan mendapat kasihsayang drp kehidupan berkeluarga secara monogami?
betul saya sokong
BalasPadamBetultu sokong sgt... Hakim jgnlh tamak sgt kalau Mira
BalasPadamdpt dibahagiakan oleh lelaki lain ape salahnya.. lepaskn
lh sebagaimana yg Mira nk biarlah dia mencari kebahagiaan
nya pula/ Lagi pun Hakim pun dh ada Sofiana dn akan
ada anak yg lain cukuplah tu... Kalau boleh biarlah Mira
dgn Faris ye....
nampaknya sy kena bukak pool balik ni. ramai pula yang sokong Faris. tak apa..sampai pertengahan cerita nanti sy akan bg peluang kpd pembaca untuk menentukan hero Kau Yang Kunanti sekali lagi. so kali ni pilih betul2 k..dan sy harap kali ni pembaca akan memilih berdasarkan jln cerita yg sy lakarkan bukan kerana pembawakan emosi pembaca okay.
BalasPadambest, tapi kalau jadikan sofiana tu meninggal ke masa bersalin ok jugak untuk mira dengan hakim untuk stay jadi husband n wife. takpun, mmg just bg hakim ceraikan mira je la, so mira go on dengan faris. just my opinion la. :)
BalasPadamsaya sokong Tanpa Nama yg kat atas sana.. hehehe
BalasPadamfaris lebih ikhlas.. hakim nak mengongkong jer.. tamak gila!!
kalo writer nak wt ngan hakim boleh.. tp NO sofiana!
tp kasikla faris chance ;) dia pon cinta gila amirah tuu
kalo nk hakim dgn mirah gak bleh??jahat x sy...sofiana tu plak mintak dia ubah perangai skit...at least kekal sbgai isteri kedua@madu yg baik kpda mirah...cer kak ida wat kisah yg mcm ni..si faris tu..erm..mintak dia undur diri..lgpun hakim dh ada anak dgn mirah dan si sofiana lak tgh mengandungkan anak hakim gak....x elok la suami isteri bercerai berai ni..ni pendapat sy la..(sebab kdg2 dh bleh agak cerita mcm ni ending dia mcmana)
BalasPadamending cam nih dah biase bace... nak gak kelainan. bile nak smp penamat je mesti suami tu dpt kedua2 isteri, xpun sorang mati atau isteri yang watak jahat tu lak berubah jadi baik
Padamagreed! lebih baek kasik faris chance.. hehe..
Padamye..bersambung...x sabar nak baca bab seterusnya...ending dia kalo buat wife second mati aci tak? he..he...
BalasPadamcite ni best...jln cite bagus...sama dgn novel yg dah keluar baca berkali2 tak puas cuma terlalu lambat untuk tggu n3....
BalasPadamSaya pun.sokong diaorg kat atas...x suke la ngan.hakim...skit hati btul.la...biar ngan.faris jer...dia pun bleh trima anak amirah...hakim.dh la.tamak...x suke..x suke...x suke...heheheh emo.lak
BalasPadamHakim x baik tamak.... belum tahu boleh berlaku adil ok... kalau saya di tempat Amirah pun saya akan minta dilepaskan .... bukan apa? takut Hakim x boleh berlaku adil pada isteri kedua pula.... jadi siapa yang berdosa??? ... Hakim juga kan....
BalasPadamactually nak Amirah dgn Hakim .. tpi tak nak ada Sofiana .. m'ganggu jer .
BalasPadam