Khamis, 17 Mei 2012

Kau Yang Kunanti 20


Amirah menatang dulang lalu diletakkan di atas meja kopi di ruang tamu. Marissa yang ssedang membaca majalah terus bangkit dari pembaringan sebaik sahaja terbau pisang goreng semakin mendekat. Sedari tadi dia menunggu Amirah selesai menggoreng pisang. Kecur air liurnya. Terus tangannya mencapai sekeping pisang goreng lalu disumbat ke dalam mulut. Nikmat rasanya.
Tergeleng-geleng Amirah melihat gelagat rakannya itu. Nampak sangat sudah lama tidak merasa pisang goreng.
“Teruk betullah kau ni, Rissa. Makan pisang goreng macam makan burger McDonald. Dah berapa lama tak jumpa pisang goreng ni?” Tanya Amirah sambil mengangkat Nasuha lalu dipangku. Anak itu dibiarkan bermain di atas ribaannya.
“Lama tu tak lamalah. Ada jugaklah dalam 5 bulan. Susah nak cari pisang goreng sedap macam ni. Nasib baik Kak Nana sudi nak sedekahkah seikat pisang dekat kita. Kalau tidak, tak merasalah aku nak makan pisang goreng.”
“Kalau malas nak menggoreng, Kak Nana kasi setandan pisang pun tak guna juga,” sindir Amirah sambil tersenyum.
Marissa menjeling tajam sebaik sahaja disindir sebegitu.
“Aku bukan malaslah. Kalau aku goreng tak sedap. Kalau kau menggoreng sampai menjilat jari,” dalih Marissa sambil menunjukkan aksi.
Sekali lagi Amirah menggelengkan kepala. ‘Ada saja alasannya, fikirnya.’
“Setakat goreng pisang saja Rissa. Kalau dah malas tu cakap sajalah.”
Marissa malas melayan. Suapannya diteruskan. Sesekali pinggan yang terisi pisang goreng itu disuakan kepada Amirah. Jarak yang agak jauh menyukarkan temannya itu menggapai pisang goreng di dalam pinggan.
“Hah, apa cerita kau dengan boss semalam? Tak cerita dekat aku pun lagi!”
Amirah menjeling Marissa sebelum kembali melayani anaknya bermain. “Hakim ada dekat majlis tu.”
“What?!” Hampir tersembur pisang goreng yang sedang dikunyah Marissa. Kuat benar suaranya sehingga mengejutkan Nasuha yang sedang asyik dengan patung ‘barbie’. Nasib baik anaknya itu tidak menangis.
“Kau biar betul? Sofiana ada jugak?”
Amirah pantas menggelengkan kepala. Marissa menarik nafas lega. Dia memang tidak gemar mendengar nama perempuan itu.
Dia pantas mencapai pinggan berisi pisang goreng lalu duduk mencangkung di hadapan Amirah. Teruja mahu mengetahui cerita selanjutnya. Pisang goreng masih lagi dikunyah rakus.
“Lepas tu, apa jadi antara kau dan Hakim? Dia ada kacau kau, tak? Dia pecahkan rahsia kau, tak?”
Tersembur sedikit pisang goreng yang sedang dikunyah wanita itu. Pantas Amirah menepis. Tidak mahu sisa pisang goreng itu mengenainya.
“Eii, teruklah kau ni! Kalau ya pun excited, habiskanlah makan dulu. Apalah nasib dapat kawan gelojoh macam ni?!” Rugut Amirah sekadar di bibir. Sedangkan hatinya tidak memaksudkan apa yang dikata.
Marissa dijeling lagi sambil mengibas-ngibas pakaian yang barangkali terkena tempias Marissa itu. Kelakar pun ada dengan gaya temannya ketika ini. Kalau Razif tengok agaknya kurang seribu.
“Alah, cepatlah cerita! Aku tengah excited ni!” Gesa Marissa. Dia memang tidak sabar mahu mendengar cerita dari sahabatnya itu. Sesekali pipi Nasuha dicuuitnya. Terkebil-kebil anak kecil itu melihatnya. Mungkin tidak memahami kenapa ‘auntie’nya berkelakuan begitu.
“Tak ada apa-apa yang nak diceritakan.”
“Tipu! Baik kau cerita dekat aku cepat! Kalau tak...” Berjeda. Sambil memikirkan apakah yang bakal dia lakukan. Idea untuk membuatkan teman di hadapannya ini membuka mulut.
“Kalau tak...? Amirah bertanya pula. Sengaja mencabar Marissa. Sementelah pula reaksi wanita itu saat ini jelas menunjukkan Marissa sendiri tidak tahu mahu melakukan apa.
“Er..kalau tak...hah! Kalau tak aku report dekat Faris suruh datang sini ambil kau. Aku cakap kau tipu dia. Aku sebenarnya tak ajak kau keluar pun. Kau aje yang reka cerita sebab tak nak keluar dengan  bos kita tu. Amacam?” Ugut Marissa. Siap menjungkitkan kening lagi. Berjaya juga otaknya yang berkarat di hujung minggu ini dikerah mengeluarkan idea yang bernas.
Amirah awal-awal lagi telah memberitahunya tentang pelawaan Faris dan mengingatkannya agar tidak memecahkan rahsia. Kalau tidak memang terpaksalah wanita itu keluar menemani bos mereka hari sabtu yang indah ini.
“Teruklah kau ni! Kau juga yang beriya suruh aku layan dia sebagai majikan. Ni apa cerita pula nak aku keluar dengan mamat tu?”
“Hehee..kalau kau tak nak aku buat macam tu lebih baik kau cerita dekat aku apa yang jadi semalam antara kau dan Hakim.”
“Tak ada apa-apa yang serius berlaku antara aku dan Hakim. Cuma dia ada terdengar orang dekat majlis tu cakap aku ni janda. So, dia nakkan penjelasan. Tapi aku tak jelaskan apa-apa pun. For what? Aku tak salah, kan?”
Terpaksa jugalah Amirah bercerita. Lagipun dia sememangnya tidak betah menyembunyikan semua itu dari pengetahuan Marissa. Namun, apa yang telah ‘sebenarnya’ terjadi antara dirinya dan Hakim di rumah Dato’ Kuzir tidak akan sesekali diceritakan. Mahunya digelakkan temannya itu.
“Betul..betul..betul! Bukan salah kau. Dia orang yang buat kesimpulan sendiri. Reaksi dia macam mana bila tengok kau datang dengan Faris? Mesti dia cemburu, kan?” Marissa bertanya lagi. Masih lagi mahu mendengar cerita selanjutnya. Begitulah Marissa. Selagi tidak memuaskan hatinya, dia tidak akan berhenti.
Amirah menjungkitkan bahu. Cemburukah Hakim? “Yang aku nampak dia macam marah!”
“Dia marah sebab cemburulah tu! Hehehe..padan muka! Apa dia ingat dia kahwin dengan perempuan perosak tu, kau tak cemburu? Itu baru sikit!”
‘Bersemangat lebih dari tuan punya badan pula si Rissa ni!’ Omel Amirah dalam hati.
“Hah! Aku ada idea! Apa kata kau rapatkan lagi diri kau dengan Faris. Biar Hakim bertambah bengang. Nilah masanya kau nak balas dendam.” Cadang Marissa. Biar padan muka Hakim. Bini cantik pun masih ada hati cari perempuan lain. Kalau lebih lawa dari Amirah okaylah jugak. Ini? Hah, tak kuasa!
Amirah membuntangkan mata. Idea gila apa yang keluar petang-petang sabtu begini?
“Kau ni dah gila ke apa? Nak buat Hakim cemburu, konon! Untuk apa? Tak ada faedah semua tu. Lebih baik aku tumpukan pada kerja dan anak aku ni! Tak ada masa nak fikirkan perkara lain. Lagipun, kalau aku rapatkan diri dengan Faris tidakkah itu menambahkan masalah? Makin rancaklah mulut mengata aku nanti!”
Marissa menganggukkan kepala sambil jari telunjuknya mengetuk-ngetuk pinggir bibirnya. Mengiyakan kata-kata Amirah itu! Macam manalah dia boleh mengeluarkan idea seperti itu? Dia pula yang berlebih-lebih. Amirah dilihatnya seperti tidak kisah dengan kehidupannya tanpa suami di sisi.
“Kenapa? Ada orang mengata kau ke semalam?”
Tiada jawapan. Temannya itu sekadar menyibukkan diri dengan melayani anaknya.
“Marsha dengan Hanan ke?” Marissa mula serkap jarang. Tiada yang lain, fikirnya. Kalau di pejabat ketua kepada kumpulan wanita yang tidak menyukai Amirah sudah tentu minah-minah perasan cantik tu! Nak salahkan orang pula bila cinta mereka tidak berbalas. Hanya di sapa angin lalu. Kasihan...!
Diam Amirah untuk kali kedua memberikan jawapan buat Marissa. Memang sahlah ni!
“Kau jangan fikirkan sangat pasal budak dua ekor tu! Mental! Yang penting kita tak kacau orang dan ikhlas nak cari rezeki. Dia orang pun bukan berani nak buat apa-apa pun. Cakap belakang saja lebih!”
Amirah hanya menganggukkan kepala. Memang itulah yang dia sedang lakukan. Dia bekerja untuk mencari rezeki yang halal. Dia perlu menyara kehidupan mereka dua beranak. Walaupun Hakim tidak pernah melupakan tanggungjawabnya buat mereka, tetapi itu bukanlah tiket untuk dia duduk goyang kaki sahaja di rumah. Dia perlu berusaha mencari rezeki sendiri. Tidak selamanya dia bisa bergantung harap buat suaminya itu. Hakim sudah ada tanggungjawab yang lain.

Jambangan bunga mawar merah yang begitu indah di atas meja kerjanya mengundang rasa aneh dalam diri. Siapa pula yang meletakkannya di sini. Matanya meliar ke luar bilik pejabatnya. Takkan salah hantar pula? Tidak pernah pula dia mendapat jambangan sebegini selama dia bekerja di sini.
Eh, ada kad! Pantas Amirah mencapai kad berbentuk hati yang diselitkan bersama jambangan bunga itu.
Khas buat isteriku tersayang..
       Abang terlalu rindukanmu..
       Setiap waktu abang rasakan terlalu perit dilalui tanpamu di sisi..
       Maafkan abang di atas segala kekhilafan diri..
       Pulanglah sayang..
       Abang mencintaimu..

                               Regards
                               HAKIM..suamimu.

Amirah mengetap bibir. Jantungnya berdetak laju. Seakan tidak percaya. Hakim yang menghantar jambangan ini? Tapi untuk apa? Aduh, inilah masalah kalau suaminya iu mengetahui tempat dia bekerja. Entah siapalah yang telah menerima kiriman ini? Adakah mereka telah membaca kad tulisan tangan Hakim ini? Sementelah pula kad ini hanya di letakkan begitu sahaja. Kalau yang tidak amanah, memang kad itu sudah dibaca.
Dalam kekalutan fikiran, terselit juga rasa terharu dengan pemberian Hakim ini. Adakah suaminya mahu menggamit nostalgia lama?
Dahulu sebelum mereka berkahwin inilah yang kerap Hakim lakukan. Mengirimkan jambangan bunga. Dan bunga yang dipilih pastinya mawar merah. Melambangkan cinta yang mengharum dan membara di dalam jiwa. Sungguh bahagia dirasakan ketika itu. Teman-teman sepejabat begitu mencumburuinya. Kata mereka dia begitu bertuah kerana mendapat teman lelaki seperti Hakim. Sanggup berhabis duit membelikannya bunga. Maklum sajalah, sejambak mawar bukannya murah. Dan itu dilakukan khas untuk dirinya sahaja.
Tetapi....benarkah Hakim hanya melakukan semua itu untuk dirinya sahaja? Tidak! Sudah tentu tidak! Sofiana juga pasti dilayan sebegitu rupa. Hatinya tiba-tiba panas membara. Tidak sedar jambangan itu sudah selamat berada di dalam bakul sampah. Langsung tidak peduli dengan wang berpuluh ringgit yang sudah dihabiskan Hakim untuk mengirimkan jambangan itu.

“Wah, ada orang dapat bunga!”
Amirah yang duduk berteleku pantas mengangkat kepala sebaik sahaja terdengar suara temannya. Siapa lagi kalau bukan Marissa yang suka menyibuk di bilik pejabatnya.
“Lor, ni apasal monyok je ni? Sepatutnya bila dapat bunga gembira, suka. Ini tidak, duduk termenung pula. Ingat sikit sekarang dah pukul 10 pagi. Nampak dik Faris, cair tahi telinga dengar dia membebel, tau?”
Amirah melepaskan keluhan berat. Dia sedang berusaha menenangkan diri. Rasa marah yang sedang bermukim dalam dada cuba diredakan. Semua ini hanya bisa membuatkan dia hilang semangat untuk memulakan kerja. Sebab itulah dia hanya duduk berteleku. Sudahlah dia masuk ke pejabat agak lewat kerana ada urusan penting di luar.
“Rissa, siapa yang terima kiriman ni? Ada sesiapa baca kad tu, tak?” Amirah bertanya. Rasa khuatir juga bertali-arus di dalam jiwa.
“Kau jangan risaulah. Aku yang terima kiriman ni. Tapi minta maaf aku dah terbaca kad tu. For good actually. Kalau aku tak baca, aku tak tahulah siapa pengirimnya. Kalau sampai dekat tangan orang lain, mahunya heboh satu pejabat yang kau masih isteri orang.” Beritahu Amirah. Menghilangkan rasa bimbang dalam jiwa Amirah.
Tapi pelik pula. Takkanlah disebabkan memikirkan itu, terus membuatkan wajah temannya ini berubah mendung?
“Eh, itukan bunga yang Hakim beri? Kenapa kau buang? Sayangnya....”
Marissa pantas mencabai jambangan bunga yang telah ditongsampahkan.
“Kalau pun marah, janganlah dibuang bunga ni. Sayanglah...” Ulang Marissa lagi.
“Kalau kau nak, ambillah! Buat menyemak bilik aku saja.”
“Betul?!” Marisa bertanya. Sengaja mahu melihat reaksi Amirah jika dia benar-benar mahu mengambil pemberian Hakim ini. Dia ketawa dalam hati apabila melihat sedikit rasa berat hati terpancar di wajah manis itu.  “Kalau sayang katalah sayang. Sekurang-kurangnya ada juga haruman semula jadi dalam bilik kau ni.”
Amirah melihat sahaja gelagat Marissa yang sedang meletakkan jambangan bunga ke dalam pasu.
“Hah, cantikkan?!”
Amirah sekadar mengangguk tanda setuju. Memanglah cantik! Tapi kenapa setiap kali aku melihat mawar merah ini, marahku datang? Adakah aku masih dibayangi masa silam? Ahh, sudah tentu ya! Walau beribu Hakim berhabis untuknya, belum tentu dapat menghilangkan segala luka yang terpalit dalam. Seperti beberapa minggu lepas. Entah berapa agaknya harga rantai dan gelang yang telah diberikan buat dia dan anak mereka?

Deringan teledon bimbit sedikit menganggu tumpuan Amirah yang sedari pagi hanya ditumpukan kepada laporan yang telah diberikan oleh pembantunya. Banyak pula isu yang timbul sehingga dia tiada masa untuk merasa secicip air putih sekalipun.
“Hello,” ucap Amirah tanpa sedikit pun matanya dilarikan daripada skrin komputer ribanya.
“Assalamualaikum sayang..”
Terhenti jemari Amirah yang sedari tadi ligat menekan tetikus. Dia mengeluh perlahan.
“Waalaikumussalam..”
“Sayang sihat?”
“Sihat alhamdulillah.” Jawapnya, pendek.
“Suha macam mana? Dah lama abang tak jumpa dia.”
“Suha sihat juga.”
Berjeda. Hanya kedengaran dengusan nafas memecah kesunyian. Amirah hanya menunggu Hakim meneruskan kata.
“Sayang ada terima bunga yang abang hantar?” Hakim akhirnya kembali ke tujuan asalnya menelefon Amirah.
Amirah menjeling bunga yang telah dihias Marissa di sudut bilik pejabatnya.
“Ada.”
“Sayang suka?”
Amirah mendiamkan diri. Kalau mahu dia jujur, sudah tentu dia terus mengatakan yang dia tidak suka. Walaupun pada hakikatnya rasa terharu sudah menyinggah sedikit dalam hatinya sebentar tadi.
“Kenapa sayang diam aje? Sayang tak suka?” Hakim memahami gelojak di hati isterinya. Kalau orang dulu-dulu berkata diam tanda setuju. Tapi dalam kes Amirah ini, sedikit lain. Dia pasti isterinya pasti tidak sanggup mahu menyatakan hal yang sebenarnya.
“Abang faham kalau sayang tak suka. Dan abang faham juga kalau sayang tak suka abang call sayang ni. Tapi abang rindu sayang. Rindukan anak kita. Rindu untuk hidup dalam sebuah keluarga sempurna macam dulu,” luah Hakim dalam nada yang cukup sayu. Walau terusik, Amirah tetap mengeraskan hatinya.
“Abang dah dapat semua tu dulu. Tapi abang sia-siakan,” kata Amirah setelah sejenak mendiamkan diri.  
“Ya, abang tahu. Abang bodoh! Tapi sayang bolehkan beri abang peluang kedua? Abang janji akan cuba tebus semua kesalahan abang dulu. Abang janji sayang.”
“Tak usah berjanji abang. Mira yang takut dengar abang berjanji itu ini. Mira pun dah serik sangat dengan  janji ni abang. Takut tak dapat ditepati,” sindir Amirah. “Lagipun tak semua manusia akan dapat peluang kedua, abang.”
“Kenapa tak boleh? Sebab Faris?!” Hakim terus menembak. Dengar seperti tuduhan. Memang dia menuduh. Tapi dia amat berharap yang tuduhan itu tidak benar. Dia sendiri tidak sanggup mendengar jika itu adalah satu kebenaran.
“Faris? Kenapa Faris nak dikaitkan dengan kita? Dia tidak ada kena-mengena langsung!” Tuntas Amirah. Geram pula dituduh sebegitu. Tidakkah Hakim tahu betapa susahnya dia mahu menjaga statusnya sebagai seorang isteri. Walaupun hidup berjauhan, dia masih menjaga maruah dirinya.
“Semua orang dekat majlis tu kata Mira adalah pasangan Faris. Lagipun kalian nampak mesra. Abang ni langsung sayang tak pedulikan! Sedangkan abang ni suami Mira? Itu yang Mira kata tak ada apa-apa? Cuba Mira bayangkan perasaan abang ni!”
“Perasaan abang saja abang fikirkan? Perasaan Mira ni macam mana pula? Ada abang pedulikan? Pernah tak abang fikirkan perasaan Mira bila abang duakan Mira? Tanpa pengetahuan Mira rupanya abang dah madukan Mira? Pernah tak abang fikirkan?” Luah Amirah dalam nada tertahan. Suaranya kedengaran begitu sebak. Sukar benar dia mahu meluahkan perasan yang berdarah. Tapi dia harus kuat! Hakim perlu disedarkan dari sifat buruknya. Dia memang suka meletakkan kesalahan di pundak orang lain sahaja.
Terkebil-kebil Hakim dengan luahan Amirah sebentar tadi. Sedikit terkesima. Tidak tahu mahu membidaskan apa. Dia berjeda buat seketika.
“Tapi itu bukannya alasan untuk Mira sesuka hati keluar dengan lelaki lain. Apatah lagi tanpa kebenaran dari suami. Sayang tahu kan itu satu kesalahan?”
“Kalau abang rasa Mira berdosa sebab keluar rumah tanpa izin suami, maka izinkanlah. Redhakanlah. Supaya Mira tak dihambat dosa lagi.”
“Abang sentiasa izinkan sayang. Tapi keizinan ini gunalah dengan sebaiknya,” Terpaksa jugalah Hakim memberikan keizinan walaupun hatinya berat. Bimbang sekiranya keizinan itu digunakan  untuk keluar bersama Faris.
“Janganlah abang risau. Mira tahu jaga diri. Abang tu jagalah Sofiana.”
Hakim menganggukkan kepala. Mengambil kata-kata mereka seperti sesuatu yang positif untuk dirinya.
“Abang akan cuba menjaga kedua-duanya, sayang. Kembalilah pada abang. Sayang tak akan menyesal.”
“Sudahlah abang. Tak payahlah abang nak merayu Mira lagi. Biarlah  kita bawa haluan masing-masing. Mira lebih senang begini.”
“Tidak sayang! Cukuplah kita bawa haluan masing-masing. Dan tiba masanya kita bersatu semula.”
Amirah mengerutkan dahi. Tidak faham dengan apa yang bakal lelaki itu katakan.
“Apa maksud abang?”
“Nanti sayang akan tahu juga. Okaylah sayang. Abang terpaksa pergi dulu. Nanti abang telefon lagi. Bye sayang. I love you so much.”
Klik..
Amirah memandang telefon bimbitnya dengan seribu persoalan. 

12 ulasan:

  1. best2.. nak n3.... nak thu apa yang dirancang hakim

    BalasPadam
  2. si hakim ni ptutnya mau humban saja masuk dlm lori sampah.
    prangai tu x pernah nak berubah.
    jgn la bersikap tamak sgt sampai nak sapu dua2.
    dlm hidup ni x smestinya kita bleh dpt apa yg diinginkan.
    biar la amirah cari kbhgiaan dia dgn faris..

    BalasPadam
  3. Huh! Apa plak si bodoh hakim nak wt tuu.. Nyampahnye! Plsss la.. Kasik amirah ngn faris.
    Hakim tu biar amirah tgglkkn n sofi pon xdpt.. Br pdn muka hakim. Bia pdn sofi tu jugak.. Jahat sgt!bia hakim d bapa tnggal.. Hahahaha

    BalasPadam
  4. Err writer ~ bleh x nak mtk tlg.. Itamkan tulisan sbb kalo on9 thru fon saya xxnammpak la tulisan nyer.. Kaburrrr sgt.

    BalasPadam
    Balasan
    1. kalau hitam x nampak la sbb background nyer dah hitam..sori la ea sy xde masa lg nak tukar background..nnt kalau sy ada masa sy akan tukar..

      Padam
  5. Ulasan ini telah dialihkan keluar oleh pengarang.

    BalasPadam
  6. Hakim patut menghormati kehendak Amirah dan benarkan Amirah utk memulakan kehidupan baru....

    BalasPadam
  7. Setuju sepatutnya Hakim berilh peluang pad Mira utk
    menentukan hala tuju kehidupannya sendiri. Biarlah Mira
    mencari kebahagiaannya sendiri dgn sesiapa saja yg
    tlh ditetapkan utknya bukan lagi merayu utk peluang
    kedua kerana Hakim tlh pun mensia-siakan peluang yg
    tlh diberi oleh Mira. Nak lagi cpt sambung ye...

    BalasPadam
  8. X suke hakim...x suke...meyakitkan hati je igt prgai si hakim ni...nak faris. ..nak amirah trus trg la status dia kat faris kalau faris dh luahkan prasaan dia kat amirah...bile amirah nk bpisah ngan si hakim yer...

    BalasPadam
  9. masalah suami isteri ni memang susah utk di selesaikan...k, menanti plan hakim utk memikat isterinya kembali & perkembangan faris & mira..

    BalasPadam
  10. Eeee....dia ni mmg tamaklah.....dua nak lepas tu tak berlaku adil bencilah......

    BalasPadam
  11. Hakim x menghormati perasaan Amirah.... Hakim orang tamak selalunya rugi tau... macam anjing dengan bayang-bayang .... Hakim pun tahu kan Isteri kedua dia macam mana... jadi ambillah langkah yang boleh membahagiakan Amirah.... Amirah pun ingin hidup bahagia juga......

    BalasPadam

Hi kawan2..Selepas baca jangan lupa tinggalkan komen tau..wajib!!! hehee..sebabnya Ida suka baca komen kawan2..Nak tau jugak best ke tidak setiap post Ida ni..komen tau!!