Jumaat, 6 April 2012

Kau Yang Kunanti 17

“Abang...abang!!”

Terbatuk-batuk Hakim saat suara nyaring Sofiana memenuhi segenap ruangan rumah. Air nescafe panas yang belum pun sempat sampai ke anak tekak sebentar tadi ditelan dengan penuh berhati-hati. Bimbang tersedak pula. Perlahan-lahan cawan yang separuh berisi itu diletakkan semula di atas meja.

Habis hilang seleranya sebentar tadi. Entah apalah kali ini?

“Kenapa ni, Sofi? Berlari-lari macam ni? Awak tu mengandung!” Hakim memandang tajam ke wajah isterinya yang kelihatan tercungap-cungap. Mungkin kerana penat berlari sebentar tadi. Risau pula dia melihat keadaan isterinya itu. Bimbang akan memudaratkan kehamilan Sofiana yang sudah mencecah bulan-bulan terakhir.

“Ada apa?” Tanya Hakim lagi sebaik sahaja nafas Sofiana kembali teratur.

“Ni!” Sofiana menunjukkan kad berbalut indah di tangannya. Mata Hakim tunak memandang kad itu. Dia menelan air liur. ‘Macam-mana dia boleh jumpa ni?’ Bisik Hakim di dalam hati.

“Kad jemputan ke majlis Dato’ Kuzir? Kenapa abang tak cakap dengan Sofi pun?”

Hakim menggaru kepala yang tidak gatal. Apa yang harus dijawabnya? Dia ternyata belum bersedia dengan alasan. Sangkanya ia akan kekal menjadi rahsia sehingga majlis itu berlangsung hujung minggu ini.

“Er..abang..abang.” Tergagap-gagap Hakim mencari jawapan. Liar matanya ke sana ke mari seiring otakknya yang sedang ligat berfikir.

“Kenapa?” Sofiana bertanya lagi. Kali ini dengan nada suara yang agak tegas. Dia seperti dapat mengesan sesuatu pada air muka suaminya itu.

“Abang baru sahaja dapat kad jemputan tu hari ni. Terlupa nak beritahu Sofi.” Itu sahaja alasan yang difikirkan sesuai saat ini.

“Yeke?” Sofiana bertanya curiga. Dalam pada itu tangannya sibuk menelek kad di tangan. “Majlis tu hujung minggu nanti, kan?”

Hakim menganggukkan kepala. Sambil menunggu butir-butir bicara Sofiana. Pasti ada sesuatu yang sedang bermain dalam fikiran isterinya itu.

“Ada dua-tiga hari lagi. Sempat ke?” Kata Sofiana sambil mengira sesuatu. Semua itu mengundang pandangan pelik Hakim. Terfikir-fikir apakah yang sedang dikira isterinya.

“Honey, kira apa tu?”

Sofiana tersenyum sambil menjeling suaminya. “Abang, jom keluar?”

“Keluar? Nak keluar ke mana?” Laju sahaja Hakim bertanya.

“Pergi butiklah. Sofi nak cari baju untuk majlis tu nanti. Baju Sofi semua dah lama. Tak sesuai lagi nak pakai. Nanti Sofi nampak gemuk,” ujar Sofiana sambil mengusap perutnya.

“Pergi butik!?” Hakim bertanya kuat. Aduh, inilah sebab kenapa dia merahsiakan jemputan itu.

“Yelah, pergi butik! Kenapa? Abang nampak macam terkejut saja.”

“Sofi nak pergi majlis tu ke?” Hakim bertanya lurus.

“Yelah. Sofi nak cari baju yang paling cantik dan mewah. Barulah setanding dengan mak-mak datin kat sana.” Sofiana tersenyum bangga. Terbayang-bayang gaun indah yang diidam-idamkannya. Perut yang besar tidak akan menjadi penghalang untuk dia tampil bergaya di majlis itu. Berjalan-jalan beriringan dengan Hakim pasti akan memukau pandangan semua orang di sana. Boleh jugalah dia berkenalan dengan orang-orang kaya. Kenalan Dato’ Kuzir tentu dari kalangan orang berada. Dapatlah juga dia menumpang glamor.

Ini tidak, asyik-asyik muka kawan-kawannya yang ‘sengkek’ itu juga kelihatan. Dia sudah bosan berada dalam kalangan rakyat sederhana. Dia mahu status yang lebih tinggi.

“Tak usah pergilah Sofi. Biar abang saja yang pergi.” Kata-kata Hakim seperti halilintar memusnahkan impiannya.

“Kenapa pula?” Nada suaranya sudah bertukar keras. Pantang betul dia apabila ada orang yang cuba meranapkan segala mimpinya.

Hakim menelan air liur. Kalau boleh dia tidak mahu mencipta pergaduhan antara mereka. Dia sedang cuba berdiplomasi dengan Sofiana. Hubungan mereka agak baik kebelakangan ini. Takkanlah angin Sofiana akan bertukar arah dalam sekejapan cuma?

“Kenapa Sofi tak boleh pergi?” Sofiana bertanya lagi. Wajahnya terlalu tegang saat ini. Kalau boleh ditelan suaminya itu sudah tentu dia akan melakukannya.

“Sofi kan tengah mengandung? Elok tinggal di rumah saja. Suasana macam tu tak sesuai untuk perempuan mengandung macam Sofi.” Hakim cuba memujuk. Mudah-mudahan isterinya mendengar kata.

“Sofi tak boleh terima alasan abang! Jangan disebabkan Sofi mengandung, abang nak sekat Sofi bersosial.”

“Abang bukan nak sekat Sofi bersosial, honey. Parti macam tu, honey kena faham. Abang pergi bukan untuk seronok. Ni salah satu cara untuk orang business macam abang bersosial dan meluaskan business network. Abang takut Sofi takkan larat nak ikut abang ke sana- sini. Kaki Sofi pun dah bengkak tu? Mesti Sofi dah tak mampu nak berdiri lama. Nak pergi kerja pun Sofi tak larat. Asyik MC saja. Macam mana nak pergi parti macam tu.”

Sofiana terdiam mendengar hujah suaminya. Memang ada betulnya kata Hakim. Sejak kebelangan ini dia asyik MC kerana kakinya membengkak. Terkadang hendak berjalan pun dia tidak mampu. Tapi digagahkan jua. Risau pula akan dimarahi bos sekiranya terlalu kerap mengambil cuti sakit. Tapi itu bukan alasannya.

“Sofi faham. Tapi Sofi tetap mahu pergi. Abang jangan risau Sofi takkan susahkan abang. Abang berbuallah dengan kawan-kawan business abang tu. Sofi pun nak cari kawan-kawan Sofi sendiri. Manalah tahu lepas ni Sofi dapat kawan-kawan dari kalangan orang berstatus tinggi. Dapatlah juga Sofi tumpang glamor. Abang juga akan bangga dengan Sofi nanti.”

Dia tersenyum sendiri. Masih lagi meneruskan angannya dalam keadaan begitu. Sanggup menahan sakit untuk merealisasikan impiannya.

Sedangkan Hakim sudah tidak tertelan air liurnya. Rupanya itulah rencana Sofiana. Apa jua pujukan tidak akan mampu mengubah niat isterinya itu. Sia-sia saja! Tapi dia juga tidak akan mengalah. Nampaknya dia terpaksa menggunakan ketegasan untuk menghalang niat Sofiana kerana itulah yang paling ditakutinya. Siapa Sofiana dalam hidupnya tidak boleh diketahui oleh rakan-rakan niaganya.

“Sofi jangan degil boleh, tak? Bila abang kata Sofi tak boleh pergi, bermakna Sofi tak boleh pergi.” Hakim sudah menunjukkan taringnya. Hendak berlembut pun tiada guna. Makin hari dia semakin tidak faham dengan perangai Sofiana.

Sofiana membentak geram. Kembang-kempis hidungnya menahan kemarahan. “Sofi tetap nak pergi!” Putus Sofiana, nekad! Dia tetap mahu pergi walaupun ditegah suaminya. Tidak pernah dia di bawa ke majlis sebegitu oleh Hakim. Takkan tahun ini juga dia akan dihampakan?

“Sofi, berdosa ingkar perintah suami! Abang larang ni untuk kebaikan Sofi juga. Fikirkanlah tentang keselamatan anak kita dalam perut tu.”

“Untuk keselamatan anak kita ke keselamatan abang?” Sofiana sudah bangun berdiri tegak dihadapan Hakim. Wajahnya tidak usah dicakap. Bengis mengalahkan singa lapar. Hakim sedikut terkejut dengan tingkah drastik itu. Tahu dia telah menimbulkan perbalahan. Tapi walau bagaimana cara dia mengelakpun, perkara itu tetap akan terjadi kerana Sofiana pantang diusik perasaannya.

“Apa maksud Sofi, ni?”

“Maksud Sofi sangat jelas, abang. Abang sebenarnya tak nak pun kenalkan Sofi pada kawan-kawan abang, kan? Abang nak kurung Sofi kat rumah ni layan abang saja, kan?”

“Apa yang Sofi merepek ni?” Hakim bertanya dalam debaran. Adakah Sofiana sudah tahu?

“Sofi merepek?” Sofiana tergelak sinis. “Abang jangan ingat Sofi bodohlah. Sejak kita kahwin tak pernah abang nak bawa Sofi ke majlis-majlis syarikat abang. Ohh, Sofi lupa! Isteri abang Amirah saja, kan? I am just nobody to you! Sebab tu abang malu nak bawa Sofi?”

Hakim menelan air liur. Benar seperti anggapannya sebentar tadi. Sofiana sudah mengesyakinya.

“Bukan macam tu, honey!” Tubuh Sofiana mahu digapai, tetapi isteriya itu cepat menjauhkan diri. “Abang bukan malu nak kenalkan Sofi pada rakan-rakan niaga abang. Tapi Sofi kena faham. Amirah juga isteri abang. Dia isteri pertama abang. Semua rakan-rakan niaga lebih mengenali dia. Jadi abang tak nak kehadiran Sofi di sana akan menjadi persoalan pada status abang sekarang. Lagipun mama dan papa pun ada dekat majlis tu nanti.”

“Habis, sampai bila abang nak simpan Sofi? Sampai bila mama dan papa abang nak menafikan hak Sofi dalam keluarga abang? Sofi juga menantu mereka. Sofi nak hak Sofi!”

Hati Hakim semakin gusar. Nampaknya Sofiana sudah muka meminta sesuatu yang dia sendiri tahu tidak mungkin akan menjadi miliknya. Sesuatu yang tealah ditakdirkan untuk Amirah sedari awal perkahwinan mereka lagi. Sofiana telah dijelaskan tentang itu sebelum perkahwinan mereka. Dan dia juga telah menegaskan bahawa mungkin isteri keduanya itu tidak akan diterima dan diiktiraf sebagai menantu.

Demi hidup bersamanya wanita itu bersetuju. Kononnya, sanggup menghadapi segala cabaran. Tapi apa kesudahannya? Hakim berpisah dengan Amirah kerana isteri keduanya ini. Salah diriya sendiri juga kerana gagal berlaku adil. Ahh, kenapa dia terlalu bodoh dahulu? Berjanji mahu berlaku adil. Tapi sedari awal lagi dia telah lalai dalam menjalankan tanggungjawab.

Amirah...maafkan abang sayang. Abang akan cuba sebaik mungkin menjaga apa yang menjadi milik sayang selamanya. Takkan ada pengganti, walaupun Sofiana sendiri.

“Abang sudah pernah beri jawapan tu pada Sofi dulu. Sofi fikirkanlah sendiri. Abang naik dulu. Maafkan abang sebab tak dapat bawa Sofi ke majlis tu nanti.”

Hakim terus berlalu. Tidak sanggup dia berlama-lama di situ. Dia tahu Sofiana sedih dengan keputusan yang telah dia ambil. Tapi hak Amirah ibarat amanah buat dirinya. Dia perlu menjaganya sebaik mungkin. Tentang mama dan papa biarlah masa yang menentukan. Jika ditakdirkan suatu hari nanti mereka mahu menerima Sofiana dia amat bersyukur.

Namun, semua itu seakan tidak mungkin. Sofiana sendiri tidak berusaha untuk mengambil hati mereka. Bertemu muka dengan ibu bapanya cuma sekali. Selepas diherdik dan dimarahi orang tuanya wanita itu langsung tidak mahu menunjukkan muka. Jadi, bagaimana dia mahu diterima menjadi menantu?

Di ruang tamu, Sofiana terhenyak sendirian. Nafasnya berombak ganas. Terasa darahnya naik ke kepala. Amirah..Amirah..Amirah! Kenapa nama itu selalu menjadi penghalangnya? Kenapa nama itu yang selalu didahulukan Hakim? Hingga ke saat ini pun dia gagal menjadi pendamping Hakim untuk ke majlis-majlis syarikat. Apa istimewanya wanita itu sehingga Hakim sanggup pergi sendirian tidak berteman?

Dia mengambil bantal-bantal kecil di sofa, lalu dibalingnya sesuka hati. Salah satu bantal mengenai pasu kecil di atas meja. Mujurlah pasu itu bukan diperbuat dari seramik. Walaupun jatuh, tetap tidak pecah. Cuma isi di dalamnya sudah berterabur ke sana sini. Sofiana hanya menjeling sahaja. Semua itu masih tidak mampu meredakan api kemarahannya. Malah, jika rumah itu dibakar sekali pun dia masih tidak akan puas! Dia hanya akan puas jika perempuan bernama Amirah lenyap dari muka bumi ini.

Tak apa Hakim! Kau boleh pergi sendirian. Pergilah! Tapi aku takkan berputus asa. Kalau aku tak dapat terus lenyapkan Amirah dari fikiran kau, namaku bukan Sofiana!

“Aku tak tahulah, Rissa. Kan best kalau kau ada? Tak adalah aku tercari-cari macam sekarang ni.” Amirah mengeluh di hujung talian. Dia amat berharap pertolongan temannya itu. Majlis tinggal beberapa hari sahaja lagi. Tapi sehingga ke saat ini dia masih gagal mencari busana yang sesuai untuk digayakan pada malam itu. Lalu, dia menelefon Marissa untuk meminta pendapat. Gadis itu memang boleh dijadikan sifu dalam berfesyen ala muslimah sepertinya.

“Alah, bukannya susah pun. Kau pun dah updated tentang fesyen ni. Masa nilah kau nak gunakan kepakaran kau tu. Mesti ada punya. Lagipun buat apa kau nak risau? Kau tu pakai apa pun cantiklah, Mira.”

“Pandailah kau nak ambil hati aku. Aku ni dah beranak satu la.”

“So what? Beranak satu tak bermakna kau dah tak cantik. Kalau macam tu semua perempuan kat dunia tak nak beranak la sebab takut hilang kecantikan diri. Kalau tak cantik tu bukan sebab mengandung atau beranak. Tapi salah diri sendiri sebab tak pandai nak jaga badan.” Marissa sudah mula berleter. Kalau di biarkan boleh malarat minah seorang ini!

“Yelah, yelah! Esok aku pergilah cari lagi. Bos kita ni pun satulah, Rissa. Paksa aku pergi dengan dia. Aku risaulah. Nanti apa pula staff lain kata pasal aku. Kes dulu pun tak habis lagi mereka mengata. Ini tambah satu lagi.” Amirah menyatakan kegusarannya. Ditambahkan pula Faris mempunyai ramai peminat dari kalangan rakan sekerja mereka. Setiap kali dia berbual atau berjalan beriringan dengan Faris pasti ada mata-mata yang memandang dengan pandangan tidak berpuas hati. Cuma sampai ke saat ini masih lagi tiada yang berani mendekati jejaka itu.

Kedengaran ketawa Marissa menerombos corong telefon. “Tulah, bila aku cakap dia sukakan kau, kau tak nak percaya. Tu sebenarnya salah satu cara dia nak mendekati kau. Tapi okay apa? Sekurang-kurangnya ada jugalah orang temankan kau malam tu. Kalau kau pergi seorang diri, bukankah bahaya? Jadi menurut aku lebih baik kau pergi dengan dia. Orang yang kau dah biasa.”

“Yelah, aku faham kata-kata kau tu. Tapi bab dia suka aku tu memang tak benar sama sekalilah, ya? Takkan orang yang bujang, handsome, kaya dan bergaya macam dia tu hendakkan perempuan yang dah beranak satu macam aku ni?”

“Eh, tak salah kan? Kalau kau nak tahu, sekarang ni janda lagi laku dari anak dara. Yelah, janda ni kan dah banyak pengalaman?”

“Woit!! Cukup-cukuplah semua orang kata aku ni janda! Takkan kau pun dah lupa yang aku ni masih bersuami?”

Geram pula mendengar kata-kata Marissa sebentar tadi. Namun, dia tahu Marissa hanya mahu bergurau dengannya.

“Okay..okay, sorry! Alah, itu pun nak marah. Yelah, aku tahu kau masih bersuami. Cuma nasihat aku buat masa sekarang kau jangan fikirkan sangat tentang cakap-cakap orang tu. Biar sajalah mereka nak mengata. Faris bebas nak berkawan dengan sesiapa yang dia suka. Dan lagi satu, layanlah Faris sekadar kau melayan seorang majikan buat masa ni. Hati aku kuat mengatakan dia ada perasaan pada kau. Cara dia perhatikan kau, melayan kau, tak sama dengan pekerja lain. Aku tahu kau pandai bawa diri. Walaupun kau hidup terpisah dengan suami kau, tapi maruahnya tetap kau kena jaga selagi kau masih isterinya.”

Amirah mengangguk faham. Lihatlah, hanya Marissa yang faham hatinya. Hanya temannya ini yang percaya padanya. Beruntung benar dia mempunyai teman seperti Marissa.

“Thanks, Rissa. Kau sahabat aku dunia akhirat. Tak bolehkah kau balik awal. Dapatlah kita ke majlis Dato’ Kuzir tu sama-sama.” Masih lagi berusaha memujuk. Manalah tahu kalau Marissa mengubah fikiran saat-saat akhir kerana bersimpati dengan temannya ini. Tidaklah dia canggung berada di samping Faris nanti.

“Tak bolehlah Mira. Alah, kau pergi sajalah dengan Faris tu. Takut sangat kenapa? Dia pun janji nak tunjuk muka saja di majlis tu, kan? Lagipun kalau aku pergi siapa yang nak jaga Nasuha?”

“Betul juga, kan? Tak apalah. Nak buat macam mana, kan? Tak tahulah kenapa, Rissa. Aku rasa tak sedap hati nak pergi. Macam ada sesuatu akan berlaku.”

“Hish, kau ni! Kenapa fikir yang bukan-bukan ni? Tak ada apa-apalah. Sudahlah, aku nak tidur ni. Dah mengantuklah. Esok jangan lupa pergi cari baju kau tu. Kang ada pula yang pakai baju tahun lepas ke majlis tu?”

Okaylah, Assalamualaikum!”

“Okay, thanks sweetie. Esok I pergi ambil. Okay bye.”

Talian dimatikan. Faris terus membaringkan tubuhnya di atas katil. Dia tersenyum ceria. Sut tuxedo yang dipesan dari Itali kepada sepupunya telah selamat ke Malaysia. Dia akan mengambilnya esok. Dia sebenarnya malas hendak memikirkan tentang pakaian. Lelaki tidak perlu penat memikirkan tentang itu. Pakai kot tahun lepas pun tiada siapa yang akan persoalkan.

Tapi uminya yang beria-ria memesan kepada Anggun selepas mengetahui wanita itu akan ke Itali untuk satu urusan syarikat. Dan dia tanpa banyak soal hanya mengeluarkan duit. Tapi bila difikirkan ada bagusnya juga. Manalah tahu, dengan sut itu dia akan kelihatan lebih menarik di mata Amirah. Wah, rasanya seperti mahu menghadiri majlis penganugerahan anak seni! Faris tergelak sendirian. Ada-ada saja uminya.

Ketukan di muka pintu membuatkan senyuman yang begitu mekar di bibir mati tiba-tiba. Sudah pasti uminya yang berada di luar. Tiada siapa lagi yang tinggal di rumah ini melainkan mereka berdua.

“Ya, umi! Masuklah pintu tak berkunci.” Faris bersuara dari dalam biliknya. Dia bangun dari pembaringan sambil menanti Puan Laila.

“Umi, masuklah.”

Senyuman diberikan buat anak tersayang. “Faris tengah buat apa?”

“Tak ada apa umi. Saja baring-baring sambil berangan.” Beritahu Faris sambil merebahkan kepalanya di ribaan Puan Laila. Boleh dikatakan setiap malam dia akan bermanja dengan uminya. Dan uminya pula tidak akan pernah jemu memanjainya walaupun dia sudah layak bergelar bapa.

“Berangankan Amirah ke?” Serkap Puan Laila sambil membelai rambut anak terunanya.

Faris hanya tersengih manja. Uminya memang pandai meneka hati anaknya ini.

“Bila nak bawa Amirah jumpa umi?”

Sekali lagi uminya bertanya tentang itu. Dia mengeluh berat.

“Belum masanya lagi umi,” ujarnya perlahan. Bimbang uminya akan kecewa dengan jawapan sama yang diberikan setiap kali uminya bertanya tentang itu.

“Habis , bila Faris? Faris dengan dia kan dah kenal lama?”

“Memanglah Faris dah kenal lama dengan Amirah. Tapi hubungan kami sekadar teman sekerja umi.” Jelas Faris untuk kesekekian kalinya. Bukan dia jemu mahu menjawab soalan itu. Tapi dia sendiri masih cuba mencari jawapan kepada persoalan itu.

“Faris belum berterus-terang dengan Amirah, ke?”

Faris menggelengkan kepala. “Faris tak berani.”

“Hish, anak lelaki mana boleh kata macam tu! Buat malu saja.”

“Tapi memang Faris tak berani umi. Amirah tu nampak macam tak tertarik dengan Faris pun.” Faris mula mengadu. Setiap malam dia akan bercerita tentang Amirah. Hati yang gundah akibat cinta tidak berbalas akan kembali tenang disirami kata-kata nasihat dari umi tercinta.

“Belum cuba belum tahu sayang. Cuba bawa Amirah pergi candlelight dinner ke? Terus-terang dengan dia dengan cara baik. Lamar dia jadi isteri. Perempuan selalunya akan cair dengan cara sebegitu. Biar nampak Faris betul-betul ikhlas nak mengambil Amirah sebagai isteri.”

Nasihat uminya lagi. Siap beritahu cara-cara hendak melamar lagi. Faris berfikir sendirian. Bagus juga cadangan umi tu. Tapi bila difikirkan adakah dia cukup berani hendak berbuat begitu. Ahh, dia kena berani! Buat malu sahaja jadi anak lelaki jika malunya mengalahkan perempuan. Dia mesti cepat bertindak. Nampaknya Puan Laila sudah tidak sabar mahu menerima menantu. Rumah ini juga makin hari makin terasa sunyi kerana bebanan kerja yang semakin bertambah. Sejak kebelakangan ini dia akan pulang lewat kerana menyiapkan kerja yang tidak pernah mahu siap. Kasihan uminya sendirian di rumah. Jika ada menantu dan anak sudah tentu uminya tidak akan bosan dan kesunyian lagi.

p/s: blog updated..enjoy ya!!

6 ulasan:

  1. ape yg akan berlaku ye kalau di Majlis D Kuzir
    Amira dn Hakim bertemu di majlis tu ye..lebih-lebih lagi Mira dtg pula bersama
    dgn Faris...

    BalasPadam
  2. ooo.. apa nak jadi nanti ek? da la hakim baran.. faris lak xtau amirah bini org.. haishhh.. kesian amirah nti.. :(
    sofi ni awat la jahat sgt..??

    BalasPadam
  3. suka faris!!!!!!!!!!

    BalasPadam
  4. ok...cite semakin suspen...x sabar nak tunggu perbalahan di majlis...cepat2 upload tau ida..

    BalasPadam
  5. lebih suka amirah dengan faris sebab hakim sorang lelaki yg lemah. harap2 amirah dengan faris. faris lagi gentleman. ahahahaha...

    BalasPadam
  6. Cepat2 sambung ya....x sabr nk tahukish diaorg...jalan citerni.memag tersgt la logik.sperti prasaan saya jika jdi cm ni....last mira akan bsama hkimi jgak kn...tapi harap sgt kimi bcrai ngan bini muda dia...jahat btul aku ni hahaha...tapi memang x sangup mira bermadu...myakitkan hati btul dgn si bini muda tu

    BalasPadam

Hi kawan2..Selepas baca jangan lupa tinggalkan komen tau..wajib!!! hehee..sebabnya Ida suka baca komen kawan2..Nak tau jugak best ke tidak setiap post Ida ni..komen tau!!