Sabtu, 7 Januari 2012

Kau Yang Kunanti 14

Akhirnya hari yang ditunggu-tunggu menjelma juga. Sedari awal lagi Hakim sudah siap menunggu ibu bapanya di ruang tamu. Semalam pun dia bermalam di rumah ibu bapanya itu. Mujurlah juga semalam adalah giliran dia bermalam di rumah Amirah. Kekadang kalau dia kebosanan pasti Hakim akan datang bermalam di sini. Jadi tidak perlulah dia bersusah-payah mencari alasan yang sesuai untuk diberikan kepada Sofiana jika isterinya itu bertanya. Berpakaian kemas dan segak di pagi hari dengan haruman yang memikat pasti akan mengundang persoalan di benak isterinya itu. Tambahan pula, Sofiana sentiasa mengawal pergerakannya sekarang.

“Hai anak mama ni, dah tak sabar nampak nak jumpa anak, isteri. Ingatkan mama dengan papa yang terlebih awal. Rupanya anak mama ni lagi awal.” Tegur Datin Intan yang baru sahaja turun. Walau dimamah usia, wanita itu masih kelihatan cantik di dalam persalinan birunya.

Hakim hanya tersengih bila ditegur begitu. Memang dia sudah tidak sabar. Perasaan yang dialaminya saat ini melebihi perasaan ketika menunggu hari bahagia dia dan Amirah beberapa tahun lepas. Sukar sekali dia ingin mengambarkan perasaan ini. Sesiapa yang melihat pasti dapat merasai kebahagiaan yang dia alami melalui perlakuannya yang sering meninjau jam di tangan. Masa dirasakan seakan lambat berjalan.

“Dah lama tak jumpa isteri, mama. Memanglah macam tu.” Datuk Faruk yang membuntuti isterinya di belakang mencelah. Kelam-kabut di bersiap walaupun jam dinding baru menunjukkan pukul 10 pagi. Semua itu berikutan desakan anak bertuah mereka. Tahulah tidak sabar ingin berjumpa isteri, tapi tidakkah ia terlalu awal sedangkan temu janji mereka adalah pada pukul 12 tengahari.

“Ada-ada aje mama dengan papa. Dah siap ke? Kalau dah bolehlah kita gerak sekarang.”

“Cuba kamu tengok jam pukul berapa sekarang?” Pinta Datin Intan selamba.

Hakim yang kebingungan hanya menurut. “Pukul 10 pagi. Kenapa ma?”

“Pukul 10 pagi?” Tanya Datin Intan pula.

“Yelah pukul 10. Tak percaya ke? Kalau mama tak percaya tu..jam dinding besar tu ada. Mama tengok puas-puas.” Balas Hakim juga dengan selamba. Semua itu mengundang ketawa kecil Datuk Faruk. Geli hati melihat gelagat anak dan isterinya.

Bahu anaknya dipukul. Hakim mengaduh sakit walaupun pukulan itu terasa seperti kuisan sahaja. Sengaja mahu mengada-ngada dengan mamanya.

“Tahu pun kamu tengok jam. Ingatkan tak tahu. Yang kamu beriya suruh mama dengan papa siap awal-awal ni nak buat apa? Kamu tahu tak berapa lama masa yang diambil ke Subang Jaya dari Wangsa Maju?”

“Dalam 45 minit,” jawab Hakim.

“Tahu pun kamu! Tak sampai sejam pun. Kalau pukul 11 pun sempat lagi. Ini tak, kelam-kabut mama dan papa dibuatnya.”

“Entah kamu ni Hakim. Bukan kamu tak tahu, mama kamu ni nak jumpa menantu pun macam nak pergi jumpa Datin-Datin kat luar tu. Lip-lap-lip-lap. Dah naik pening kepala papa tengok mama kamu ni,” tambah Datuk Faruk sambil mengusik isterinya yang tercinta. Dia tergelak lagi apabila Datin Intan menarik muncung sambil mencubit manja lengannya.

Kata-kata Datuk Faruk turut mengundang ketawa Hakim. “Alah, apa salahnya papa, mama? Sampai awal kat sana bolehlah juga tolong-tolong Mira. Kasihan dia nanti. Mesti tengah kelam-kabut siapkan makan tengahari untuk kita. Hakim dah masak sangat dengan perangai Mira tu papa, mama. Dia sangat-sangat menghormati tetamu.” Terang Hakim sambil tersenyum mengingati isteri kesayangannya itu.

“Lagipun, Nasuha dah semakin lasak sekarang. Nanti tak terkawal dia. Mana nak masak, nak tengokkan Suha lagi,” sambung Hakim lagi.

Datin Intan dan Datuk Faruk tersenyum mendengar kata-kata anak mereka itu. Dalam hati mereka turut bersetuju. Nampaknya, perpisahan telah mengajar Hakim erti menghargai.

Bawang merah, bawah putih, halia.. hmmm..apa lagi? Hah, daun kari!

Bagai lipas kudung, Amirah bergerak ke sana sini. Sesekali jam kecil yang sengaja di letak di ruangan dapur dikerlingnya. Masih awal lagi! Dia masih ada satu jam lagi sebelum tetamunya tiba. Tapi masa sejam itu seakan tidak cukup bila dia terpaksa bergilir-gilir memasak dan melayan anaknya bermain. Nasib baik Marissa sanggup menunda masa temu janjinya dengan tunang tersayang. Bolehlah juga membantunya di dapur dan melayani kerenah Nasuha.

Nasuha seperti tahu-tahu sahaja yang abah, datuk dan neneknya akan kemari. Seawal jam 6.30 minit pagi dia sudah mencelekkan mata. Anak itu bagai tidak sabar mahu berjumpa dengan mereka. Puas ditidurkan semula, tapi sikecil berdegil tidak mahu. Semua itu menjadikan kerja-kerjanya semakin sukar. Nasuha tidak boleh ditinggal bermain sendirian terlalu lama. Dia pasti akan menganggu. Tahu-tahu sahaja sudah berada di sebelahnya di ruangan dapur itu. Semua itu merisaukan Amirah kerana ruangan dapur semestinya berbahaya untuk anak kecil seperti Nasuha. Jadi terpaksalah dia dan Marissa bergilir-gilir melayani sikecil itu.

“Ahh, lega rasanya!” Keluh Marissa tiba-tiba. Sambil menumis ramuan, Amirah berpaling memandang temannya itu. Dia hanya menjungkit kening tanda dia mahu wanita itu meneruskan kata-katanya.

“Nasuha dah tidur,” beritahu Marissa sambil mengambil tempat di meja makan.

“Dah tidur? Dah letih sangat agaknya. Pukul 6.30 pagi lagi dah bangun,” balas Amirah.

“Mungkinlah kot. Tadi aku tengok mata dia merah sangat. Aku pun cuba tidurkan dia. Cepat saja dia tidur. Memang dah letih sangatlah tu.”

Marissa memandang Amirah yang sibuk memasukkan bahan-bahan ke dalam periuk. Bau ramuan yang sedang mennggelegak di dalam periuk begitu menggoda perutnya.

“Ada lagi ke kau nak masak ni?”

“Ada lagi dua masakan. Nasib baik Suha dah tidur. Kau nak makan dulu sebelum keluar atau nak makan dengan Razif kat luar je?”

Marissa mendekati Amirah. Dia menjenguk ke dalam periuk. “Sedapnya bau.”

Tersenyum Amirah dengan gelagat temannya itu. “So?”

“Tak bolehlah. Mana lagi aku nak isi makanan kalau aku makan dengan kau orang semua? Marah pulak si Razif tu kalau aku tak temankan dia makan nanti.”

“Yelah, aku tahu. Kau nak keluar sekarang ke ni?”

“Amboi!” Marissa bercekak pinggang. “Macam nak menghalau aku saja. Tahulah nak jumpa suami dengan mentua tercinta.” Temannya itu sudah menarik muncung.

Amirah ketawa geli hati. “Bukan macam tulah. Kau kan dah sanggup tolong aku masak, jagakan Suha lagi sampai sanggup tunda temujanji dengan Razif. Kasihan pula dengan tunang kau tu. Dekat kau pun aku kasihan juga. Mesti dah rindu sangat nak jumpa Razif, kan? Suha pun dah tidur tu. Kalau kau nak siap-siap keluar sekarang, bolehlah. Pasal makanan tu, kau jangan risau. Aku akan simpankan untuk kau, eh?” Pujuk Amirah. Mendengar kata-kata Amirah yang terakhir bisa membuatkan gadis itu melompat gembira.

“Ni yang aku sayang kau ni. Simpan tau! Aku nak makan malam nanti. Dah lama aku tak makan kari kepala ikan yang kau masak. Terangkat habis!”

Marissa sememangnya gemarkan masakan Amirah. Bukan sahaja kari kepala ikan, bahkan boleh dikatakan segala apa masakan Amirah digemarinya. Masakan Amirah benar-benar kena dengan seleranya.

“Tapi takkan kari kepala ikan aje? Yang lagi dua tu kau nak masak apa?”

“Asam pedas dengan sambal tumis udang.”

“Emmmphh..sedapnya. Banyak pula tu kau masak. Ni mesti ada sambal belacan juga, kan?”

“Sajalah aku masak banyak-banyak ni. Lagipun ni semua lauk kegemaran mereka. Kari kepala ikan kegemaran mama. Asam pedas pula kegemaran mama. Dan sambal tumis udang ni kege...” Kata-kata Amirah terhenti disitu. Dia seakan baru tersedar apa yang diucapkannya.

“Kegemaran Hakim, kan?” Marissa yang memahami menyambung bicara wanita itu. Manakala Amirah hanya menganggukkan kepala. Dalam hati dia amat mengagumi wanita itu. Walaupun marah dan terluka, masakan kegemaran suami tetap disediakan. Dan dia yakin, marah-marah Amirah hanya marah sayang. Kalau kena gaya pujuknya pasti mereka akan bersatu semula.

“Kau mesti kena simpan dekat aku lauk-lauk tu semua. Kalau kau kasi dia orang habiskan, aku merajuk dengan kau seminggu.”

“Yelah, aku mesti simpan untuk kau nanti. Jangan kau tak makan sudah. Aku yang merajuk seminggu dengan kau pula.”

“Aku mesti makan punya. Okaylah, aku nak naik bersiap. Kau cepatlah masak tu. Dah pukul berapa ni.”

Amirah menghantar pemergian Marissa dengan pandangan mata. Dia tersenyum sendiri. Matanya tertumpu kepada udang yang telah dikupas kulitnya. Untuk apalah dia bersusah-payah menyediakan makanan kegemaran suaminya itu? Adakah dia masih sayangkan Hakim?

Suara tangisan Nasuha mengejutkan Amirah yang sedang leka di dapur. Pantas dia menutup api dan mendapatkan anaknya itu.

“Aikk, anak ibu dah bangun!” Tegur Amirah apabila dilihat anak itu sudah mencelikkan mata. Terlihat sahaja wajah ibunya, bibir kecil itu terus mengukir senyuman. Terus sahaja pipi tembam itu dihujani ciuman si ibu. Hilang terus tangisan yang kuat sebentar tadi. Tangisan itu mungkin sahaja mahu memanggil ibunya yang semestinya tidak sedar bahawa dia sudah bangun tidur. Anak sekecil itu sudah tentulah menggunakan tangisan sebagai medium komunikasi yang utama.

“Kenapa tidur sekejap sangat ni, sayang? Tak sampai sejam pun. Ibu tak siap masak lagi ni. Nanti mesti Suha meragam kalau tak cukup tidur. Sayang tidur lagi, ya?” Pujuk Amirah sambil mengayun buaian. Manakala bibirnya mengalunkan zikir-zikir memuji yang Esa. Kebiasaan yang dilakukan untuk menidurkan anak kecilnya itu. Berharap agar Nasuha kembali tidur dan bolehlah dia meneruskan kerjanya.

Dalam pada itu, matanya sempat lagi mengintai waktu. Pukul 11.30 pagi? Alamak! Suha ni macam tak nak tidur saja,’ kata Amirah di dalam hati. Anak itu kelihatan gembira bermain dengan botol susunya di dalam buaian.

“Sayang ibu ni tak nak tidur lagi ke?” Amirah berbicara dengan anaknya. Pantas anak itu melepaskan botol susu dan mengawang kedua tangannya ke udara. Reaksinya itu senang sahaja di fahami Amirah. Sudah tentu Nasuha ingin bangun dan bermain. Sudah tidak betah lagi berada di dalam buaian itu. Mahu tidak mahu, terpaksa juga Amirah mengangkat anaknya itu dari buaian.

“Nakal anak ibu ni.” Nasuha digomolnya. Hatinya dilanda bahagia apabila dapat mendengar tawa riang permata hatinya itu. Dengan hilai tawa itulah dia mengubat jiwanya yang lara. Derita yang ditanggung seakan pergi buat sementara dengan kehadiran Nasuha, pengarang jantungnya.

“Assalamualaikum..”

Amirah pantas menghentikan perbuatannya. Tawa riang Nasuha pula masih lagi kedengaran sambil kedua belah tangannya memegang pipi si ibu. Masih lagi mahu mengajak ibunya bermain.

“Assalamualaikum..” Sekali lagi kedengaran suara orang memberi salam. Amirah pantas mendukung Nasuha dan bergerak ke tingkap rumah. Dia sudah menelan air liur bila tetamu yang memberi salam sudah kelihatan di depan mata. ‘Awalnya! Baru pukul 11.30 pagi. Katanya semalam nak datang pukul 12.00 tengahari. Aku tak siap masak lagi ni!!!’ Keluh Amirah di dalam hati.

“Waalaikumussalam. Sekejap...!” Amirah melaung dari dalam rumah. Nasuha diletakkan di ruang tamu sementara dia bergerak ke almari di sudut ruang tamu itu untuk mengambil cardigan dan tudungnya. Setelah siap menyarungkan cardigan dan tudung itu, dia kembali mendapatkan anaknya. Tidak lupa juga kunci pagar dicapai sebelum dia bergerak ke luar rumah.

Dari pintu rumah dia sudah dapat melihat dengan jelas wajah-wajah ceria tetamunya. Mulut Nasuha juga mula membuat bising pabila mata itu menangkap kelibat orang-orang yang tidak asing dari hidupnya sebelum ini. Entahkan ingat atau tidak anak itu kepada datuk dan neneknya?

“Suha...rindunya nenek dekat Suha, sayang.” Datin Intan sudah mula mengagah Nasuha dari luar pagar. Kelihatan tidak sabar benar ibu mentuanya itu mahu mendapatkan cucunya ke dalam pelukan.

Sebaik sahaja pintu pagar dibuka, seperti yang dijangkakan tubuh Nasuha yang dicapai dahulu. Kedua belah pipi tembam itu dicium neneknya bergilir-gilir. Tubuh anak itu juga dipeluk erat seakan tidak mahu dilepaskan lagi. Amirah yang melihat terasa seperti ingin mengalirkan air mata. Kejamkah dia kerana memisahkan kasih sayang datuk dan nenek terhadap cucunya?

“Mama apa khabar?” Setelah mempunyai ruang barulah Amirah menyuakan tangan untuk bersalam. Datin Intan menyambut sambil mengucup pipi menantunya itu. Dia juga turut bersalaman dengan Datuk Faruk dan juga tidak dilupakan, suaminya. Walaupun keberatan, dia tetap melakukannya atas sisa hormat yang masih ada.

“Intan, kasilah abang pula dukung Suha. Rindu dah atuk dengan cucu atuk ni.” Pinta Datuk Faruk terhadap isterinya.

“Alah, nantilah. Nenek belum habis rindu ni kan, sayang? Suha pun rindu kat nenek, kan?” Datin Intan bertanya kepada si kecil, Nasuha. Langsung tidak diberi peluang kepada Datuk Faruk mengambil Nasuha dari dukungannya. Amirah dan Hakim hanya tersenyum menyaksikan gelagat kedua mentuanya itu.

Dalam kebisingan itu, Hakim seakan berada dalam dunianya sendiri. Sedari Amirah keluar hinggalah sekarang, matanya tidak dibenarkan beralih kearah lain. Terasa rugi jika dia melakukan itu berbanding dengan masa yang dia punya. Jadi, dia perlu menggunakan masa yang ada untuk memahatkan wajah itu ke segenap ruang di pelusuk hatinya. Agar suatu saat jika dia merindu wajah itu akan menemaninya.

“Hakim!!”

Terkejut Hakim bila disergah seperti itu. Terpinga-pinga dia bila semua mata terpaku ke arahnya. Termasuk Nasuha yang masih berada dalam dukungan neneknya. Habis berkecai segala keindahan yang terbentang di depan matanya sebentar tadi. Berkecai dek sergahan papanya.

“Kamu ni kenapa? Nak jadi pak pacak kat tengah panas ni, ke?”

“Err...” Hakim hanya tersengih malu sambil menggarukan kepala. Tidak tahu hendak berkata apa. Apatah lagi bila Amirah turut memandang ke arahnya dengan pandangan yang sukar dimengertikan. Isterinya itu pasti menyedari akan kelakuannya sebentar tadi.

“Hisshh..kamu ni! Kalau rindu sangat dekat isteri pun, masuklah dalam rumah dulu. Lepas tu tengoklah puas-puas. Dah, jom masuk!” Bebel Datuk Faruk kepada anak lelakinya itu. Bukan dia tak perasaan pandangan ‘maut’ Hakim buat Amirah sebentar tadi. Sudah kes parah anaknya itu. Sebagai orang tua pastilah dia mahukan kebahagiaan buat satu-satu anaknya. Tapi apa yang boleh lakukan? Hakim sendiri yang cari penyakit. Sekarang terpulanglah bagaimana Hakim mahu menambat semula hati isteri yang telah terluka. Dia dan isteri tidak akan masuk campur lagi. Cuma sebagai orang tua hanya nasihat yang berguna bisa diberikan.

Setelah menghidangkan minuman sejuk, Amirah kembali sibuk di dapur. Memasak makan tengahari yang belum lengkap hidangannya. Walaupun Datin Intan hendak menolong, tetapi pelawaan wanita itu ditolaknya lembut. Sudah lebih 7 bulan dia tidak memasak untuk keluarga mentuanya itu. Jadi lebih baik di mengambil peluang ini. Lagipun, dia memasak makanan kegemaran mereka. Semua ini mahu dijadikan kejutan buat mereka.

Mujurlah juga Nasuha mahu bermain dengan mereka semua. Jadi bolehlah dia menumpukan kepada kerja memasaknya. Segan juga kepada mama dan papa. Jam sudah hampir pukul 12 tengahari, tapi makan tengahari masih belum terhidang di meja. Walaupun, mama dan papa mengatakan tidak kisah dan sanggup menunggu, tapi dia tetap merasa tidak enak.

“Ehem..”

Amirah berpusing ke belakang apabila terdengar seseorang berdehem. Dia pantas berpusing semula ke hadapan apabila mengetahui siapa gerangan manusia yang berada bersamanya di dapur itu. Tidak langsung dipedulikan Hakim yang begitu leka mengawasi pergerakannya. Walaupun hati berasa rimas, dia tetap meneruskan kerja-kerja memasak secepat yang boleh.

“Mira sihat?” Hakim memulakan bicara.

“Hmmm..” Lama selepas itu barulah kedengaran Amirah menjawab pertanyaan suaminya itu. Itupun dengan menggumam sahaja. Sebenarnya dia masih dikuasai rasa geram buat Hakim. Geram dengan tindakan Hakim yang sesuka hati mengaturkan pertemuan mereka ini. Dia belum bersedia! Tetapi tidak mungkin pula dia menolak.

“Boleh abang tolong?”

“Tak payah. Saya boleh buat semua ni.”

“Tak apalah abang tolong. Kasihan Mira siapkan makan tengahari seorang. Lagipun, kita dah biasa masak sama-sama kan sebelum ni?”

Malas membalas, Amirah hanya meneruskan kerjanya. Membiarkan sahaja Hakim menyibuk di ruangan dapur yang sederhana besar itu. Cekap sahaja lelaki itu mencapai bahan-bahan masakan tanpa perlu tunjuk ajar dari dirinya. Walaupun bekerjaya lelaki itu juga boleh diharap di dapur.

“Sayang..” Panggil Hakim.

Panggilan itu membuatkan hati Amirah menggerutu geram lagi. Puas ditegah, tetapi panggilan ‘sayang’ itu tetap digunakan. Dia bukan benci, tetapi dia bimbang panggilan itu akan melemahkan tembok pertahanannya.

“Sayang..” Panggil Hakim lagi.

“Ada apa?” Gumam Amirah.

“Nak masak apa udang ni, sayang?” Kedengaran nada suara Hakim bergitu teruja. Mungkin dia sudah boleh mengagak hidangan apa yang bakal disediakan oleh isterinya itu. “Mira nak masak sambal tumis udang, ya?”

“Emm..” Amirah hanya mengiyakan. Untuk apa disangkal. Lelaki itu akan tahu juga nantinya.

“Thanks sayang. Tak sangka sayang masih ingat lagi makanan kegemaran abang. Ni yang tak sabar nak merasa air tangan Mira, ni. Dah lama tak rasa. Rindu sangat dengan masakan Mira. Kari kepala ikan dengan asam pedas kegemaran papa dan mama pun ada? Wah, sedapnya!”

Hakim sudah kelihatan begitu teruja. Tidak menyangka Amirah sanggup memasak makanan kegemarannya walaupun hati dikuasai marah.

“Boleh tak abang tinggalkan Mira kat dapur ni. Pergi sajalah mana-mana asalkan bukan dekat dapur ni. Mama dan papa mesti dah lapar. Mira nak masak cepat. Tak ada masa nak menjawab soalan abang yang entah apa-apa tu.”

Hakim tergelak kecil dengan kata-kata isterinya itu. Nampaknya dia sudah dilabelkan sebagai pengacau oleh isterinya sendiri. Namun sedikit pun dia tidak terasa hati. Memang kehadiran dia di dapur ini adalah untuk mengacau isterinya itu. Sedari tadi dia mencari peluang untuk berbual dengan Amirah. Tapi peluang untuk seakan tidak ada kerana Amirah begitu asyik melayan mama dan papanya. Jadi inilah sahaja peluang yang dia ada untuk berbual dengan isteri kesayangannya itu.

“Tak nak!” Hakim berdegil. Sengaja mengundang kemarahan Amirah buat dirinya. Mungkin dengan berbuat begitu dapatlah juga dia mendengar suara emas Amirah walaupun bernada marah. Semua itu lebih baik daripada berdiam sahaja.

Amirah sudah mengjegilkan mata. “Kenapa pula tak nak?!”

“Sebab abang nak temankan Mira dekat dapur ni. I need privacy. Kalau kat luar nanti Mira mesti mengelak daripada abang, kan?”

“Mana ada!”

“Kalau macam tu, apa salahnya kita masak sama-sama?”

“Suka hati abanglah!”

Akhirnya dia mengalah. Kalau di halang pun adakah Hakim akan menurut?

Seperti yang Hakim mahu, mereka masak bersama. Walaupun hakikatnya lelaki itu hanya menolong mengganggu kerjanya sahaja. Huh..!

12 ulasan:

  1. ala pompuan, lama2 nanti lembut la hati tu.... klise sngt. mluat la, sya xrsa mana2 pompuan nk bmadu, kalo madu dier baik xpe la juga, cmon mira, xkan selemah tu....... cik writer, xmo la kejam2 sngt, ksian mira,bgi la dia mrsa bhgia pula, sye xska ar hakim ni, sya kalo hero jhat mcm mna pun xpe, tpi jgn curang jer.....
    thanxs cik writer

    BalasPadam
  2. relax cik wani..sy akan cuba wat yg terbaek..

    tp sy nak minta tlg sgt2 dekat pembaca. sebenarnya setelah lama tak menulis sy sendiri dah x igt cerita sy. jd sy nak minta tlg pembaca tlg beritahu sy apa yg sy dah terlepas pandang. macam aritu bila sy baca balik rupanya amira ni anak yatim piatu. tp bila hakim nak melamar amira sy wat hakim nak pergi jumpa family amira pulak. macam mana tu? aduii..

    tlg sy ea pembaca..tlg beritahu kesilapan sy..nnt sy betulkan dalam manuskrip penuh..

    BalasPadam
  3. best nak lagi... kalau boleh cepatlh sambung
    dh tak sabar nak baca sambungannya?

    BalasPadam
  4. best....xkisah klu nk mira terima hakim...tp sblm tu akak nk ler mira dera perasaan hakim.jgn igt bl mira ni lembut dia blh permainkan mira

    BalasPadam
  5. besttttt-Say Hello

    BalasPadam
  6. ehhehe sowi cik ida, ter emo skit tdi.... tu la, sya xrsa mana2 pompuan pun nk bmadu, hmm kan mira prnah beri kata 2, dia xmau bmadu or dorg cerai jer.... mira mesti kecewa coz sofi tu ex hubby dier, nmpk sngt hubby dier xleh lupa cinta yg lama, pompuan memang xsuka bkongsi, terutama hal cinta, kalo nk trima hakim blik, please bgi hakim pula trsiksa jiwa mcm mira yg rsa.....

    BalasPadam
  7. Sebenarnya Hakim tidak layak beristeri lebih...awal2 lagi dia tak bertanggungjawab... dapat isteri muda isteri tua diabaikan. Bila Mira dah berubah penampilannya menjadi lebih cantik... mula Hisham macam gila talak. Lelaki macam ini tidak boleh digantung harap...tidak akan berlaku adil...di akhirat nanti bahu senget sebelah, tapi tulah kan di akhirat siapa nampak.
    Harap cik writer jadikan watak Mira kuat tak mudah tergoda dgn pujuk rayu Hisham, biar Hisham rasa bagaimana susah untuk memujuk Mira kembali kepadanya dan berikan Hisham pengajaran...bukan mudah untuk beristeri lebih...bukan saja berkemampuan dari segi harta, keadilan dan yg lebih penting ialah ugama kerana suami adakah pemimpin.

    ~ kak min ~

    BalasPadam
  8. lama tunggu cite ni di sambung...setakat ni, x terperasaan pulak mana2 part yg tinggal..anyway, keep a good job miss writer..cannot wait for the next chapter!

    BalasPadam
    Balasan
    1. sori sebab buat hannah dengan pembaca lain tunggu lama..bz ngan keje..skrg ni keje makin bertambah..x tau la nak curi masa nak menulis cane..harap2 ada la masa yg nak dicuri tu..huhu

      Padam
  9. terbaekkkkk lah best jalan citer ni.. harap dpt teruskan lg x sabar ni.....

    BalasPadam
  10. benci ngan hakim.amira, tolonglah jangan mudah lembut hati.lelgn aki seperti hakim x boleh dipercayai.klu dia pernah tidak berlaku adil,pasti satu hari nnti dia akan abaikan amira semula.mungkin setelah sofiana bersalin dan anak itu pasti akan mengikat hakim dgn sofiana.
    amira please..cari lah kebahagian sendiri.tunjukkan pada hakim yg kamu pn boleh dapat kebahagiaan dgn org lain(en.faris)

    BalasPadam
  11. BEST DPT SUAMI RINGAN TULANG SUDI MASUK DAPUR TOLONG BUAT APE-2 YG PATUT.............
    HEHEHE.........

    BalasPadam

Hi kawan2..Selepas baca jangan lupa tinggalkan komen tau..wajib!!! hehee..sebabnya Ida suka baca komen kawan2..Nak tau jugak best ke tidak setiap post Ida ni..komen tau!!