Sabtu, 17 Disember 2011

Kau Yang Kunanti 12

“Abang faham…” Lirih Hakim berkata sambil matanya masih tunak memandang skrin telefon yang telah lama gelap. Menandakan talian disebelah telah lama dimatikan.

Dia mengeluh berat. Perlahan-lahan telefon bimbitnya diletakkan di atas meja kopi. Hakim membaringkan dirinya di atas sofa yang sedari tadi menjadi tempat dia bersandar. Lengannya diletakkan di dahi. Gayanya seperti menanggung permasalahan yang begitu berat. Dan sememangnya apa yang ditanggungnya sekarang terlalu menyesakkan. Masalah berkaitan Amirah, isterinya!

Bukan dia penat melayani segala perlakuan kasar Amirah terhadap dirinya. Tidak pernah dia merasai semua itu. Tetapi dia lelah memikirkan cara bagaimana dia hendak menawan hati isterinya semula. Jalan yang harus dia tempuhi terlalu sukar.

Tidak cukup dengan masalah Amirah, sekarang Sofiana juga membuat hal. Sikap mengongkong dan cemburunya semakin menjadi-jadi. Pantang dia bergerak sedikit, laju sahaja mulut itu bertanya. Kalau sekadar bertanya tidak mengapa. Tetapi disertakan sekali dengan bebelan dan segala macam prasangka. Sehingga Hakim bosan untuk mendengar semua itu lagi. Jadi apa yang dia lakukan sekarang adalah mendiamkan diri dan bersikap tidak ambil kisah. Biarlah Sofiana membebel 3 jam tanpa henti pun dia tidak akan tunduk dengan kehendak isterinya itu. Dia punya tanggungjawab yang perlu dipikul seadilnya. Dia sudah bertekad untuk tidak akan mengulangi kesilapan lalu.

Tetapi kesabaran manusia ada hadnya. Dia berdoa di dalam hati agar dia dapat bertahan dengan kerenah Sofiana yang semakin gila. Jika kesabaran itu sudah rapuh dia sendiri tidak dapat membayangkan apakah yang mungkin dia lakukan. Sekarang pun hati dan perasaannya seakan pudar buat isterinya itu.

Kemana rasa yang begitu menebal yang suatu ketika dahulu begitu enggan pergi walaupun dia sedar risiko yang bakal dia hadapi? Kemana hilangnya wajah cantik dan penuh kasih sayang yang sentiasa menghiasi wajah isterinya itu sewaktu menyambut dia pulang dari kerja. Apa yang kelihatan hanyalah wajah yang dihiasi cemburu dan dendam. Wajah itu juga sudah hilang serinya.

Hakim tersedar dari lamunan sebaik sahaja terasa tamparan lembut di pahanya. Entah bila mamanya berdiri di situ dia sendiri tidak tahu. Itulah, terlalu melayani rasa.

“Yang kamu ni macam orang susah hati ni kenapa?” Datin Intan bertanya. Pelik dia melihat anak lelakinya itu sedang berbaring di sofa sambil meletakkan lengannya di dahi. Wajahnya muram dan seperti menanggung beban perasaan.

Hakim hanya tersengih sambil bangun dan mengalihkan kakinya untuk memberi ruang buat ibu tersayang melabuhkan punggung. Segan pula dia apabila Datin Intan tidak lepas dari memandang wajahnya.

“Tak ada apalah mama. Janganlah pandang Hakim macam Hakim ada buat salah je.”

“Bukan kamu memang ada buat salah ke?” Gurau Datin Intan.

“Ma..tolonglah jangan mula.” Balas Hakim. Walaupun sekadar gurauan, tapi Hakim tahu apa yang mahu disampaikan mamanya.

Datin Intan diam untuk beberapa ketika. Dipandang lagi wajah satu-satu anak lelaki yang dia punya. Selain Hakim dia masih ada dua anak perempuan yang masing-masing sudah berumahtangga. Hakim juga sudah berumahtangga. Malah, berbini dua pula. Tapi Hakim jugalah yang telah mengusutkan kepala mereka suami isteri. Sudahlah berkawin senyap-senyap. Sekarang gara-gara isteri kedua, isteri pertama melarikan diri entah ke mana. Nasib baik sudah ditemui. Kalau tidak entah bilalah anak lelakinya akan terus menjadi perindu sepi.

“Yelah. Yang kamu termenung ni kenapa? Apa lagi yang kamu fikirkan? Mira kan dah jumpa. Ni ha..hujung minggu ni nak pergi tengok dia. Apa lagi yang tak kena?”

Hakim memicit kepalanya. “Entahlah mama. Serabut kepala ni. Sofi dengan cemburunya. Amirah dengan rajuknya.”

“Kamu juga yang cari masalah. Bukan salah orang lain pun.” Bidas Datin Intan. Walaupun kasihan melihat penderitaan anak sendiri tapi sesekali rasa geram itu tidak dapat disangkal pergi. Oleh itu kekadang jika mempunyai peluang anaknya itu pasti akan disindir-sindir. Biar berbekas sedikit sindirannya di hati Hakim. Supaya semua itu dijadikan sempadan.

“Kim tahu ma. Mama janganlah sindir-sindir Kim lagi.”

“Mama bukan menyindir. Mama cakap aje. Sekarang cuba cakap dekat mama apa yang kamu menungkan tadi. Pasal Amirah?”

Perlahan-lahan Hakim menganggukkan kepala. “Kim risau ma. Walaupun Hakim dah jumpa Amirah, tapi dia tak macam dulu lagi. Kalau nak diikutkan dia masih belum bersedia nak berjumpa dengan mama dan papa. Tapi Kim tak nampak cara lain ma. Mungkin dengan bawa mama dan papa berjumpa dia boleh pujuk Mira balik ke sini.”

“Entahlah Kim. Mama ni pun serba-salah jadinya. Mama tolong kamu macam mana menyokong tindakan anak bertuah mama ni. Kalau mama tak tolong kamu macam mama rela tengok hubungan kamu dengan Amirah putus macam tu je. Bingung mama jadinya. Tapi anggap sajalah mama tak tolong kali ni. In fact, mama pun dah lama nak jumpa dengan Mira dengan Suha, kan?”

Hakim memandang mamanya dengan pandangan tidak puas hati. “Mama...”

“Okay..mama nak memasak.” Pantas Datin Intan berlalu ke dapur meninggalkan anak lelakinya terkebil-kebil sendirian. Nampaknya penasihat cintanya sudah berpaling arah. Terpaksalah dia mencari penasihat cinta yang baru.

Amirah merungut-rungut di dalam hati. Hari sudah hampir gelap. Menandakan sekejap lagi waktu maghrib akan menggantikan asar. Tetapi dia masih di sini. Berdiri di tempat meletakkan untuk kakitangan syarikat tempat dia bekerja sambil mengeluh berat kerana tayar kereta Suzuki Swift kesayangannya telah pancit. Hendak menukar tayar sendiri terasa tidak mampu. Tenaga wanita sepertinya tidak mungkin mampu menggerakkan skru tayar itu.

Hendak meminta tolong, tiada siapa pun kelihatan untuk disandarkan harapan. Sekali lagi Amirah melihat jam di tangan. Sudah berganjak ke pukul 7.32 minit malam. Azan maghrib juga telah kedengaran. Nampaknya terpaksalah dia mendapatkan teksi untuk pulang ke rumah. Kalau dia tidak bergerak sekarang tentu semakin sukar untuk mendapatkan teksi jika hari sudah gelap benar.

Dengan rasa kesal yang masih berbaki di dada, Amirah mencapai tas tangan lalu mengunci keretanya. Kemudian dia melangkah meninggalkan tempat meletak kereta menuju ke jalan besar. Lebih mudah untuk mendapatkan teksi di sana. Mungkin dia boleh meminta pertolongan teman sekerja untuk menukar tanyar keretanya yang pancit itu pada keesokkan hari.

Sudah hampir sepuluh minit Amirah berdiri menunggu teksi. Namun sebuah teksi pun tidak kelihatan melalui kawasan itu. Mungkin waktu maghrib begini para pemandu teksi berehat sambil menunaikan kewajipan mereka kepada Yang Esa. Sedangkan dia pula sudah tentu lewat untuk menunaikan solat dengan keadaan dirinya sekarang.

Sekali lagi Amirah meninjau-ninjau ke jalan raya yang terbentang luas. Dalam hati dia berharap akan ada sebuah teksi yang pemandunya bukan Islam melalui kawasan ini. Dia benar-benar mahu pulang awal. Nasuha perlu diambil dari rumah asuhan. Bimbang puteri kesayangannya itu akan menangis mahukan dirinya. Tolonglah Ya Allah...

Dari kejauhan Hakim tersenyum panjang. Nampaknya peluang untuk bersama isteri tersayang menjelma juga. Sudah agak lama juga mereka tidak bersua-muka. Bukan dia tidak mahu berjumpa Amirah. Tetapi dia mahu memberi waktu untuk isterinya itu tenang buat seketika.

Namun, dia tidak tahu bagaimana dia mahu muncul di hadapan Amirah lagi. Kerana dia tahu isterinya itu pasti akan menyambut kehadirannya dengan wajah yang mencuka. Dia tahu kehadirannya tidak sesekali dialu-alukan oleh Amirah. Jadi dia terpaksa menggunakan cara ini, iaitu membuang angin tayar kereta isterinya itu. Jadi bolehlah dia menumpangkan isterinya itu pulang ke rumah. Mujur tiada orang ternampak akan perbuatannnya itu. Jika tidak tentu kantoi!!

Dengan rasa gembira yang menggebu, Hakim mula menekan brek dan menarik gear tangan dari tanda ‘N’ ke ‘D’. Dia bersedia untuk memandu ke arah isterinya. Namun baru sahaja keretanya bergerak, brek di tekan semula. Sebuah kereta Chevrolet kelihatan berhenti berhampiran tempat isterinya berdiri. Amirah pula kelihatan terpinga-pinga dengan kehadiran kereta mewah itu. Tidak berapa lama kemudian, seorang lelaki yang cukup bergaya dan kacak keluar dari kereta itu lalu mendapatkan Amirah. Mereka bercakap-cakap seketika sebelum masing-masing memboloskan diri ke dalam kereta lelaki itu. Perlahan-lahan kereta itu hilang di jalan raya yang tidak putus-putus dilalui ribuan kenderaan setiap hari.

Hakim menghentakkan tangan di stereng kereta. Hatinya mendongkol geram. Rancangannya tidak menjadi. Itu tidak mengapalah. Namun, apa yang lebih menyakitkan hati adalah kehadiran lelaki yang tidak dikenalinya itu. Siapa dia? Mereka kelihatan mesra sekali. Itu sudah tentu! Kalau tidak takkanlah Amirah mahu menumpang lelaki itu. Dia cukup kenal dengan sikap Amirah yang satu itu.

Nampaknya dia sudah punya pesaing. Tempoh perpisahan selama enam bulan telah mengubah keadaan kehidupan mereka. Amirah cantik dan ayu orangnya. Sudah tentu dengan mudah dia mendapatkan pengganti. Tapi bagaimana pula dengan status dirinya yang masih isteri orang. Tak! Tak mungkin! Tiada siapa yang boleh merampas Amirah dari dirinya. Tiada siapa yang dapat memutuskan ikatan perkahwinan yang telah hampir lima tahun terbina. Dia tidak akan membiarkan semua itu berlaku. Dia harus berusaha lebih keras untuk menawan hati Amirah kembali. Itu tekadnya!

“Thanks bos sebab tumpangkan I. I ingatkan you dah balik tadi.” Amirah memulakan bicara sebaik sahaja kereta itu bergerak meninggalkan tempat dia berdiri menunggu teksi tadi. Nasibnya agak baik kerana ada lelaki ini yang sudi menumpangkannya pulang ke rumah. Jika tidak entah pukul berapa agaknya dia sampai di rumah.

“I singgah kedai buku sekejap tadi. Adik I pesan buku kolej dia. Ternampak you dekat situ. Pelik jugak I. Sebab tu I berhenti. Manalah tahu kalau you ada apa-apa masalah. Rupanya tengah tunggu teksi,” ujar Faris sambil sesekali menjeling Amirah di sebelah.

Inilah kali pertama Amirah menumpang keretanya. Entah mengapa terbit rasa bahagia dalam hati bila melihat Amirah tenang duduk disebelahnya. Mungkin suatu hari nanti jika dia sudah beristeri beginilah perasaan yang bakal dia alami. Membayangkan saat-saat indah membawa isteri bersiar-siar dengan keretanya. Ahh, indahnya perasaan itu! Mungkin serunya untuk mendirikan rumahtangga telah menjelma.

“Entahlah macam mana tayar kereta saya boleh pancit pula. Pagi tadi elok aje!” Rungut Amirah.

“Agaknya serpihan kayu atau paku dari bangunan sebelah tempat parkir tu kot.”

“Mungkin juga,” balas Amirah. Sememangnya terdapat bangunan yang berketinggian 30 tingkat sedang didirikan di sebelah bangunan pejabat mereka. Dan berkemungkinan serpihan-serpihan bahan binaan tersebut telah memancitkan tayar keretanya. Tapi bila diingatkan semula tiada langsung serpihan-serpihan tersebut dijumpainya sebentar tadi. Tempat parkir kelihatan licin dan bersih tanpa sampah-sarap. Ahh, pedulikanlah! Yang berlaku telah pun berlaku. Yang penting sekarang tayar kereta itu perlu ditukar.

“So, kereta you tu macam mana nanti? Nak I tolong ke?” Faris menawarkan diri. Tahu bahawa wanita itu memerlukan bantuan seseorang lelaki ketika ini. Nak mengharapkan tenaga seorang wanita tidak bergerak skru tayar itu.

“Eh, tak menyusahkan bos ke nanti?” Segan pula Amirah hendak meminta pertolongan dari lelaki itu. Itukan majikannya? Terasa lain pula bila meminta pertolongan majikan sendiri.

“Menyusahkan apa pula. Esok lepas habis waktu kerja I tolong tukarkan tayar kereta you tu. Tayar spare you okay, kan?”

“Okay. I tak pernah tukar lagi tayar tu. Thanks bos. Tak sangka I ada seorang bos yang baik hati macam ni,” puji Amirah. Sengaja membodek!

“Hai, baru tahu ke?”

Amirah tersenyum. Senang beramah mesra dengan lelaki itu. Perbualan demi perbualan berlaku antara mereka. Dari hal kerja sampailah ke kehidupan seharian mereka berdua. Banyak juga perkara yang dikongsikan bersama dalam perjalanan ke rumah Amirah yang hanya mengambil masa 15 minit itu. Sedar-sedar kereta mewah yang dipandu Faris telah pun berhenti di hadapan rumah Amirah.

“Thanks bos sekali lagi sebab hantar I balik.”

“Welcome dear. My pleasure to drive you home,” ucap Faris sambil tersengih.

“Really? Wah, kalau macam tu bos bolehlah jadi driver saya? Tak gitu?” Amirah sengaja melayan gurauan Faris.

“Eh, I tak kisah. Bukan setakat driver pergi dan balik kerja, malah kalau you nak kemana pun I sanggup jadi driver tak bergaji you.”

Ketawa Amirah mendengarnya. Baginya itu hanyalah gurauan semata. Sedangkan lain pula Faris. Walaupun kelihatan seperti gurauan, tapi dia amat berharap yang suatu hari nanti gurauan itu akan menjadi kenyataan. Dia tidak kisah dengan status yang disandang Amirah sekarang. Baginya kalau hati sudah terpikat segala kekurangan pasangan akan diterima dengan hati terbuka.

“Okaylah bos. Saya nak pergi ambil anak saya sekejap.”

“Dekat mana?”

“Rumah sebelah ni aje.”

“Ooo..okay. Take care. And kirim salam peluk cium I dekat Suha, ya?”

“Okay bos. Jumpa esok. Assalamualaikum.”

“Waalaikumussalam.”

Faris terus memecut laju keretanya selepas menjawab salam yang dihulurkan. Setelah kereta itu hilang dari pandangan Amirah terus mengorak langkah ke rumah jirannya. Agak lewat dari hari-hari biasa. Bimbang juga jika puterinya itu meragam. Kasihan Kak Nana pula kerana terpaksa melayani kerenah anaknya yang sudah semakin nakal.

p/s: blog updated! hope all of u enjoy..tengah usahakan untuk bab 13. kepada Aina Eyna yang tak putus-putus PM akak di FB this is specially dedicated to u.

9 ulasan:

  1. Best...Lama tunggu...Cepat2 sambung ya :-)

    BalasPadam
  2. Nak Mira dgn Faris boleh???
















    Dah lama menunggu citer ni, mana menghilang? Tertunggu2 nak tahu apa nasib Mira dgn anaknya.
    Endingnya akak nak Mira berpasangan dgn Faris boleh??? Biar padan muka Hakim gila mengoyan, dapat isteri baik tak bersyukur..... teremosi pulak .....hahaha
    Cepat2 sambung ye...

    ~ kak min ~

    BalasPadam
  3. biarlah mira ngan faris.
    Hakim ni tolak tepi la.

    BalasPadam
  4. Salam semua..

    thanks utk komen2 kawan2..Komen kat atas semua nak Faris ni.. cane ea? Ida dah buka poll dlu..dan majoriti pembaca pilih Hakim. Jadi Ida kena ikot pilihan pembaca kan?

    BalasPadam
  5. wahhh. lama menunggu akhirnya ada jugak. sambung lg pliz cik writer. :)

    BalasPadam
  6. ala cik writer, baru jer jumpa blog ni..... x sempat nk undi faris.....

    BalasPadam
  7. actually i tak berapa berkenan ceta bermadu ni, tapi ceta ni best dah lama tunggu, tapi klu asyik mira je yg kena serang susah jugak, dahla laki org ambik, kena serang lagi, mcm mana hakim nak jaga mira, sofiana pun dia tak terjaga, takkan mira je asyik nak beralah, kesian juga dkt hakim tapi sendiri cari penyakit,

    BalasPadam
  8. akhrnya..keluar..hihi-Say Hello

    BalasPadam

Hi kawan2..Selepas baca jangan lupa tinggalkan komen tau..wajib!!! hehee..sebabnya Ida suka baca komen kawan2..Nak tau jugak best ke tidak setiap post Ida ni..komen tau!!