Isnin, 19 Oktober 2009

Kau yang kunanti 2

Malam itu selepas menidurkan Nasuha, Amirah termenung di ruang tamu. Bermacam-macam perkara yang difikirkannya. Persoalan yang menyesakkan kepalanya saat itu. Sungguh dia tidak menyangka setelah 6 bulan berlalu ternyata Hakim masih tidak lupa dengan tanggungjawabnya sebagai seorang suami. Nafkah untuk isteri dan anaknya tetap diberikan. Terkejut dia apabila melihat buku akaun Bank Islamnya yang tercatat wang masuk setiap bulan. Dia yakin itu adalah pemberian suaminya kerana tiada siapa pun yang mengetahui nombor akaunnya kecuali Hakim. Suaminya itu yang membukakan akaun tersebut untuknya.

Kalaulah Marissa tidak menyebut tentang bank itu sudah tentu dia tidak akan yang dia mempunyai akaun di Bank Islam dengan jumlah simpanan yang begitu banyak. Semua itu disebabkan sikapnya yang tidak pernah mahu menyentuh wang itu. Bukan kerana tidak menghargai pemberian suaminya, tetapi selalunya Hakim akan memberikan wang belanja dapur kepadanya sendiri. Dan pada fikirannya untuk apa lagi wang yang didalam bank itu digunakan? Lebih baik disimpan untuk kegunaan pada masa depan. Hakim ternyata begitu memanjakan mereka anak beranak dengan wang ringgit.

Hujung minggu itu Amirah dan Marissa membawa Nasuha bersiar-siar di taman. Usia anaknya itu sudah hampir dua tahun. Kasihan Nasuha, dalam usia semuda ini dia telah kehilangan kasih sayang seorang ayah. Berdosakah dia kerana telah memisahkan jalinan kasih sayang mereka berdua? Tapi mungkinkah Hakim masih lagi mengingati puterinya ini?

Ahh, mungkin juga dia sudah melupakan anak ini! Maklumlah, Hakim sudah punya sebuah keluarga lain. Mungkin juga Sofiana telah melahirkan kerana madunya itu sudah berbadan dua semasa Amirah meninggalkan suaminya itu. Berapa usia kanduangan Sofiana tidak pula dia ketahui. Mungkin isteri kedua suaminya itu bunting pelamin.

Tapi kalau benar suaminya itu telah melupakan mereka berdua, kenapa setiap bulan Hakim tidak lupa untuk memberi nafkah? Ahh, kusut fikirannya benar fikirannya...

“Apa yang kau fikirkan Mira?”

Amirah mengesot sedikit memberikan ruang buat Marissa melabuhkan punggungnya.

“Tak ada apa-apalah Rissa.” Pantas Amirah menggeleng-gelengkan kepala.

“Tipulah. Aku tahu kau tengah fikirkan sesuatu kan? Mesti ada kena-mengena dengan Hakim kan?”

Perlakuan Amirah yang menunduk secara tidak langsung memberikan jawapan kepada Marissa. Dalam diam dia juga bersimpati dengan nasib yang menimpa temannya itu. Dalam usia yang baru mencecah 27 tahun dia sudah diuji dengan dugaan yang begitu hebat. Bagaimana kalau dia yang diuji sebegitu? Ahh, tidak sanggup dia hendak memikirkannya. Hidup bermadu terlalu pahit untuk dilalui oleh orang lemah sepertinya.

“Rissa kalau kau ditempat aku, apa yang kau akan lakukan?”

Amirah tiba-tiba bersuara. Temannya itu hanya tersenyum. Kemudiannya dia membuang pandang ke arah Nasuha yang sedang bermain seorang diri di atas tikar berhampiran mereka.

“Kau dengan aku berbeza Mira. Kau wanita yang tabah. Sedangkan aku mungkin tak sekuat kau. Kalau aku ditempat kau sudah pasti aku akan meminta perpisahan daripada suami aku. Terus terang aku katakan aku tak sanggup hidup bermadu.”

Sedikit sebanyak apa yang dikatakan Marissa berbekas di hatinya. Perpisahan? Mampukah aku menghadapi perpisahan? Entah mengapa terasa berat kenyataan itu mahu diterimanya sekiranya ia benar-benar berlaku. Tapi kenapa? Bukankah itu yang dia mahukan dulu? Keadaan mereka yang sudah berpisah selama 6 bulan ini sudah seperti penceraian tidak rasmi baginya. Tidak sebumbung dan langsung tidak berjumpa. Cuma nafkah dari Hakim yang masih mengikat mereka berdua.

“Jadi apa yang aku patut aku lakukan Rissa?” Amirah meminta pendapat.

“Kau masih sayangkan dia?”

Amirah terdiam. Agak sukar baginya hendak menjawab soalan yang diutarakan. Saat itu dia sendiri tidak tahu apakah perasaannya terhadap Hakim. Yang dia tahu dia begitu kecewa dengan layanan suaminya itu setelah punya Sofiana. Dia juga rindukan kenangan mereka berdua sebelum kemunculan wanita itu. Saat di mana dia begitu bahagia disayangi oleh seorang lelaki bernama suami. Namun, apabila terbayangkan wajah Sofiana, rasa rindu itu hilang serta-merta. Yang ada hanyalah perasaan benci dan marah yang begitu mencengkam jiwa.

“Entahlah Rissa. Aku pun tak tahu.”

“Mira, aku tak nak kasi kau pendapat apa-apa. Aku tak nak nanti kau menyesal pula menuruti kata-kata aku. Segala keputusan yang kau buat mestilah datang dari hati kau. Cuma, aku nak kau tahu, walau apa pun keputusan kau, aku akan sentiasa menyokong kau.”

Amirah menngangguk-anggukan kepala tanda mengerti. Kemudian dia bangun mengambil Nasuha yang masih leka dengan mainannya. Pipi tembam anak itu dikucup lembut.

‘Hanya sayanglah permata hati ibu. Jangan tinggalkan ibu seperti ayahmu telah meninggalkan kita kerana perempuan lain,’ bisik Amirah dalam hati. Mata galaknya bergenang air. Hatinya mudah saja dirusuh hiba bila terpandangkan wajah anak itu yang mirip benar dengan ayahnya.

“Sudahlah Mira, jangan sedih-sedih lagi. Banyakkan bersabar,” pujuk Marissa sambil mengusap belakang tubuh temannya itu. “Emm..lepas ni jadi tak nak pergi shopping?” Marissa cuba mengalihkan topik yang dia kira bisa membuatkan wanita itu melupakan kesedihannya.

“Mestilah jadi. Dah lama tak shopping ni,” ujar Amirah ceria. Seperti yang dijangkakan Marissa. Semenjak perpisahannya dengan Hakim, dia sudah menjadi wanita yang sedikit boros dan cerewet tentang pakaian dan perhiasan diri. Semua itu gara-gara Marissa yang beriya-iya memintanya mengubah penampilan diri. Katanya Amirah cantik dan masih muda. Cuma kecantikannya itu ditutupi dengan pakaiannya yang agak advance dari usianya. Marissa juga pernah berkata...

“Aku pernah menonton rancangan Apa Apa Aje yang dekat TV3 tu. Sheila Rusly kata kalau kita kecewa, cara untuk mengubati kelukaan adalah dengan mengubah penampilan kita.”

Bila difikirkan mungkin ada juga benarnya. Pakaian yang menutupi tubuhnya selama ini hanyalah baju kurung. Dan wajahnya pula hanya disapukan bedak asas tanpa alat-alat solek. Malah, selepas kelahiran Nasuha penampilan dirinya dihadapan Hakim semakin terabai. Baginya itu semua tidak perlu kerana Hakim begitu menyayangi dirinya. Mungkin inilah salah satu punca mengapa Hakim berkahwin lain. Jika dibandingkan dirinya dengan Sofiana memang banyak perbezaannya. Sofiana adalah seorang gadis yang begitu bergaya semasa di universiti dahulu. Apa sahaja fesyen terbaru akan digayakan walaupun sesekali Amirah akui fesyen yang dipilih Sofiana agak tidak sesuai dengan imej seorang muslimah.

Tapi kini Nur Amirah sudah berubah. Penampilannya sudah tidak seperti dahulu lagi. Pakaiannya tampak lebih kasual sesuai dengan gelaran wanita bekerjaya yang disandangnya. Dia juga sudah pandai bersolek sekarang. Wajahnya tidak lagi pucat seperti dahulu. Kata Marissa, dengan gaya sebegitu Amirah kelihatan seperti anak dara. Ternyata dia begitu jelita. Benar atau tidak dia sediri tidak tahu kerana apa yang lebih penting dia patut mensyukuri apa saja yang dia punya. Apa-apa pun dia begitu berterima kasih kepada temannya itu kerana membuka matanya.

“Alamak!”

Tangannya yang lincah memilih pakaian terhenti apabila terdengar suara Marissa mengeluh. Cepat dia mengambil Nasuha yang berada dalam dukungan temannya itu.

“Sorry Rissa, kesian kau. Habis baju kena aiskrim. Suha memang nakallah. Tengok apa yang Suha buat dekat auntie Rissa”, marah Amirah kepada anaknya. Namun, anaknya itu langsung tidak memahami apa-apa. Dia hanya leka dnegan aiskrimnya. Amirah membantu Marissa menanggalkan kotoran yang melekat di baju gadis itu. Namun ia tidak mengurangkan kesan kotoran itu.

“Tak apalah Mira. Aku pergi toilet kejap. Meh sini Suha. Baju dia pun kotor sangat tu.”

Tanpa banyak soal Amirah memberikan Nasuha kepada Marissa.

“Kau tu cepat sikit. Lambat betul memilih. Aku pun kalah dengan kau bab-bab shopping ni,” bebel Marissa. Amirah hanya tersengih sambil memandang Marissa membawa anaknya ke tandas. Bila tubuh mereka berdua sudah menghilang, dia kembali menoleh untuk menyambung niatnya memilih pakaian yang tergendala sebentar tadi. Namun tiba-tiba....

“Aaargghh.....saya minta maaf encik,” Amirah pantas memungut kembali barang-barang yang telah jatuh akibat perlanggaran yang tidak disengajakannya itu. Lelaki yang dilanggarnya itu turut membantu. Banyak benar barang-barang. Shopping sakan ni. Semuanya barang-barang perempuan. Mesti kepunyaan wanita yang berada di sebelahnya.

“Tak apa, saya pun salah juga,” ujar lelaki itu, sopan. Namun Amirah menyedari akan kelainan suara itu. Suara itu seakan pernah didengarnya sebelum ini. Dan ia seperti kepunyaan orang yang begitu dirinduinya. Ahh..tak mungkinlah! Sangkaannya sahaja barangkali. Setelah selesai, Amirah lantas bangun untuk menyerahkannya barang-barang itu kepada lelaki yang sudah pun bangun mendahuluinya. Namun saat mata bertentang mata Amirah terasa tubuhnya kaku. Begitu juga dengan pasangan itu. Kedua-duanya memandang Amirah dengan pandangan tidak percaya dan keliru.

“Amirah..” seru lelaki itu perlahan. Saat itu Amirah mulai gusar. Apatah lagi apbila melihat mata Sofiana yang menjeling tajam padanya. Ternyata Hakim masih mengenalinya walaupun penampilannya sudah berubah. Ya Allah, apa yang harus aku lakukan?

“Mira isteri abang...” seru Hakim lagi. Amirah bertambah kalut. Otaknya tidak dapat merencanakan apa-apa dalam beberapa saat. Hanya mampu merenung ke dalam mata suami yang sudah lama ditinggalkan itu.

10 ulasan:

  1. uuuuuuuu..
    suda jmpe..
    curious nk taw,,
    npe hakim tgglkan amira..
    isk2..
    sofiana desak??
    smbung2..

    BalasPadam
  2. waaahhhh !
    sian miraa !
    kakk ! best meyh !
    na agy na agy ! :D

    BalasPadam
  3. best la cite ni..
    agak2 Mira nagn Hakim ke x..

    BalasPadam
  4. eleh..laki..
    perempuan da cantik baru nak suka..nyampah tol,huhu..
    cian kat amirah tu..
    kak ida..sambung ag..best!!!

    BalasPadam
  5. cite makin best ..... cepat sambung....senantiasa menanti

    BalasPadam
  6. akak..akak buat laa cter nie cam antara benci dan rindu..
    best citer cam2..sy suka tau.

    BalasPadam
  7. akak.....
    cpt laa smbung..
    dah x sabar nak tau nie..
    hope akak buat cter nie cam antra benci dan rindu..
    hope sesgt sgt..hehe

    BalasPadam

Hi kawan2..Selepas baca jangan lupa tinggalkan komen tau..wajib!!! hehee..sebabnya Ida suka baca komen kawan2..Nak tau jugak best ke tidak setiap post Ida ni..komen tau!!