Ahad, 22 April 2012

Kau Yang Kunanti 18


Scarf di leher diikat kemas. Itu adalah sentuhan terakhir untuk dandanannya malam ini. Ya, malam parti hari lahir anak Dato’ Kuzir. Akhirnya dia akan ke majlis itu bersama Faris. Walaupun terasa tidak enak, tetapi perasaan itu ditolak ke tepi. Seperti kata Marissa, tiada apa yang akan berlaku. Dia hanya pergi untuk menunjuk muka. Kemudian, dia boleh balik dan tidur.
Nafasnya ditarik dalam lalu dihembus perlahan. Cuba meredakan segala rasa yang tidak-tidak itu jauh dari hatinya. Clutch di atas katil dicapai lalu dia melangkah keluar dengan penuh yakin.
“Hah, dah siap!?” Belum pun sempat Amirah mencapai tombol pintu, ia telah terbuka dari luar. Pantas dia bergerak ke belakang.
“Kau ni, terkejut aku! Nasib baik tak ter ‘accident’!”
“Sorry..sorry. Lupa nak ketuk pintu.” Marissa pantas memohon maaf. Nasib baik tak kena! Kalau tidak ada juga yang pergi ke majlis glamor tu dengan hidung memerah. “Wow, kalau macam ni bukan setakat Faris, Datuk-Datuk kat majlis tu pun tak berkelip mata!” Puji Marissa. Dia meneliti Amirah dari hujung rambut ke hujung kaki. Kagum sekali dia melihatnya. Amirah tampil begitu berbeza. Dia tampak mewah dan elegan. Sungguh bergaya!
“Ish, apalah yang kau merepek ni!”
Malas melayan, Amirah pantas berjalan melepasi Marissa sambil menarik pintu kamar.
“Betul apa aku cakap? Tengok..! Kau pandai pun pilih baju yang sesuai sendiri. Kan aku dah cakap kau mesti boleh punya. Cuma kau tu malas nak mencuba. Citarasa kau lebih hebat dari aku nampaknya.
“Memang rezeki aku agaknya. Sambil jalan-jalan ternampak patung yang pakai baju ni. Nampak cantik juga. Malas nak fikir aku terus beli.” Beritahu Amirah sambil berjalan menuju ke kamar Nasuha. Anak itu keletihan bermain dengan Marissa petang tadi. Selepas dimandikan terus mahu tidur. Nasuha rindukan Marissa agaknya. Maklumlah, sudah hampir seminggu tidak bersua-muka.
Marissa juga begitu. Sampai sahaja di rumah, tubuh montel Nasuha yang digomol dulu.
“Okay lah ni. Memang Faris tak dapat tidur lena la malam ni,” usik Marissa lagi. Langkah Amirah dituruti. Dia hanya melihat kelakuan teman yang sedang mengucupi dahi si anak. Dalam hati mengagumi sikap ibu muda ini. Sentiasa mengutamakan anaknya dalam apa juga keadaan sekali pun. Juga tabah membesarkan anak walaupun tanpa suami di sisi.
“Rissa, kau tolong jagakan Nasuha,ya?” Pinta Amirah untuk kesekian kalinya. Hendak ditinggalkan dengan Kak Nana bimbang akan menganggu waktu senggang Kak Nana bersama suami malam-malam begini. Nasib baik jugalah Marissa ada mahu membantu. Dapatlah juga dia pergi ke majlis itu dengan tenang.
“Ya, kau janganlah risau! Aku akan jaga Suha macam aku jaga anak aku sendiri. Kau tak percayakan aku ke?” Sedikit berkecil hati wanita itu bertanya. Masuk kali ini sudah berapa kali Amirah meminta perkara yang sama. Sayang benar dengan anaknya. Kalau boleh seekor nyamuk pun tidak dibenarkan singgah pada kulit mulus Nasuha.
Amirah pantas memeluk bahu temannya. Tertawa kecil dia apabila meligat muncung sedepa Marissa. Pandai pula merajuk mak cik ni!
“Janganlah merajuk. Aku minta maaf, okay? Aku berat nak tinggalkan Suha dengan kau. Kau tu pun mesti penat lagi. Baru sampai petang tadi. Ni nak kena jaga anak aku pula.”
“Alah, setakat nak jaga Suha tu tak adanya menyusahkan aku! Lagipun anak kau tu tidur. Kau jangan risaulah aku tidur dalam bilik Suha malam nanti. Kau pun bukan pergi lama, kan?”
Amirah menganggukkan kepala. “Thanks, Rissa.”
“Ya, sama-sama! Kau masak seminggu, eh?”
Amirah ketawa sambil menggelengkan kepalanya. Nak upah juga tu!
“Haa, tu! Bos kesayangan kau dah sampai.”
Mereka sama-sama meninjau ke luar rumah. Benar seperti apa yang dikatakan Marissa. Kelihatan kereta Faris sudah ada di depan rumah mereka. Terpinga-pinga Amirah apabila Marissa terus keluar dan menuju ke arah Faris yang sedang elok bersandar di pintu kereta. Amirah hanya berdiri memerhati di muka pintu. Pelik dia dengan kerenah temannya yang satu itu.
“Bos!” Panggil Marissa sambil melambai-lambai Faris agar mendekatinya. Lelaki itu hanya menurut sambil tersenyum. Sempat juga dia menjeling Amirah yang sedang memerhati mereka di muka pintu. Cantik sungguh wanita itu malam ini. Tidak berkelip matanya meneliti penampilan Amirah yang tampak berbeza dari gaya formalnya di pejabat. Pasti ramai jemputan di majlis Dato’ Kuzir tidak akan menyangka wanita yang berdampingan dengannya malam ini adalah seorang janda.
“Wah, ‘handsome’nya bos malam ni! Barulah sepadan dengan Amirah.”
Faris tersenyum dengan pujian wanita itu. Sekali lagi dia menjeling wanita pujaannya. Tiada langsung tanda-tanda wanita itu mahu mendapatkannya. Masih setia berdiri di muka pintu.
“Ada-ada sajalah you ni, Rissa! Rugilah you tak dapat pergi,” balas Faris.
“Alah, saya dah malaslah pergi majlis macam tu bos! Tak ada ruginya. Berehat kat rumah sambil tengok TV pun lagi best daripada melangut kat majlis tu nanti.”
“Yelah tu. Jangan asyik tengok TV sangat. Ingat you tu baby sitter malam ni!” Faris mengingatkan. Amirah ada memberitahunya tentang hal itu.
“Yelah, saya tahulah! Bos ni macam tak percaya pada saya, je? Sama saja dengan Amirah.” Sekali lagi Marissa menarik muncung sedepa. Takkan ada jodoh kot manusia berdua ni?
“Dah, jangan nak tarik muncung macam tu! Tak ada siapa nak memujuk pun. I bukan tunang you yang pandai serba-serbi tu!” Sindir Faris.
Timbul ideanya untuk menyakat apabila mengenangkan sikap Marissa yang selalu memuji bakal suaminya itu. Razif itulah, inilah. Kalau sudah cinta, hanya yang baik terbentang di depan mata.
“Kawan you tu tak nak pergi, ke? Atau nak jadi jaga kat depan pintu dengan pakaian glamor macam tu?” Bisik Faris sambil matanya tidak lepas dari dipakukan kepada Amirah.
Marissa tergelak kecil. Lantas temannya itu dipanggil dengan lambaian.

Amirah sedikit gementar apabila sedar dirinya dipanggil merapati. Entah mengapa dia terasa segan mahu menonjolkan diri. Apatah lagi, sebentar tadi dia dapat mengesan mata Faris yang tidak lari dari merenungnya. Sekarang pun lelaki itu masih lagi memakukan pandangan ke arahnya. Segala langkahnya terasa canggung yang amat. Sedari dia menyarungkan kasut hinggalah dia berjalan, semuanya diteliti Faris. Entah apalah yang menarik dia sendir tidak pasti.
“Ehem..!” Marissa berdehem kuat untuk menyedarkan Faris akan kelakuannya itu. Dia pasti lelaki itu tidak sedar dengan apa yang sedang dilakukan. Jadi, dia rasa bertanggungjawab untuk mengeluarkan lelaki itu dari dunianya sendiri. Apatah lagi, dia kasihan melihat pipi Amirah yang sudah bertukar warna. Mungkin mlalu diperhatikan sebegitu.
Faris pantas tersedar dan tersenyum malu. Dia mengutuk diri sendiri. Terlanjur merenung wanita pujaan sehingga tidak sedar akan dunia sekeliling.
“Dah lewat dah ni bos. Baik korang berdua bertolak sekarang. Nanti terlambat pula,” nasihat Marissa.
Faris dan Amirah menganggukkan kepala. Ada benarnya juga kata-kata wanita itu. Pantas pintu kereta di sebelah pemandu dibukakan untuk Amirah oleh Faris. Kelakuan Faris mengundang senyuman pada bibir munggil Marissa. Walau sekeras mana Faris menafikan perasaannya buat Amirah, tiada siapa yang akan percaya. Lihat sajalah layanan lelaki itu buat Amirah sekarang. Siap tolong bukakan pintu!
Marissa menghampiri pintu kereta dan mengisyaratkan agar Amirah menurunkan cermin. Temannya itu hanya menurut.
“Ingat pesan aku. Layanlah dia sekadar layanan seorang pekerja kepada majikannya!”
Faham dengan kata-kata itu, Amirah menganggukkan kepala. Dia juga sebenarnya sudah mula terasa lain macam dengan layanan Faris buat dirinya sebentar tadi. Adakah dia perlu mengatakan bahawa prasangka Marissa tentang perasaan Faris benar belaka? Tidak! Tak mungkin!

Dengan senyuman paksa, Amirah melangkah keluar dari kereta Faris. Sedikit tidak senang dengan layanan yang agak keterlaluan ditunjuk oleh Faris sebenarnya. Seperti tadi, lelaki itu juga membukakan pintu kereta untuknya. Dia pelik! Faris tidak pernah melayaninya seperti itu sebelum ini.
“Okay, my dear princess. Kita dah sampai.”
Ini lagilah pelik! My dear princess? Meliar matanya ke sekeliling. Bimbang jika ada staff Mega Construction yang melihat adegan mereka. Namun, dia sedikit lega apabila tiada sesiapa di situ. Hanya mereka berdua. Faris terpaksa memakirkan keretanya agak jauh kerana kawasan banglo itu sudah dipenuhi kereta para jemputan. Merekakah yang terlewat atau para jemputan lain terlalu awal?
“Jom..!” Ajak Faris.
Amirah yang sedang termanggu pantas menganggukkan kepala. Kotak hadiah dijinjit sama.
“Biar I tolong you bawa hadiah tu?” Pinta Faris.
“Eh, tak apa bos! I boleh bawa. Kecik saja kotak hadiah ni. Tu bos punya yang besar.”
Faris memerhati hadiah di tangannya. Memang agak besar kotak hadiahnya. Dia percaya Amirah boleh membawa hadiahnya sendiri. Tapi dia sengaja meminta sebagai tanda mahu membantu.
Faris mengisyaratkan agar Amirah memulakan langkah. Mereka berjalan beriringan menuju ke rumah Dato’ Kuzir. Inilah kali pertama dia menjejakkan kaki ke rumah presiden Mega Construction itu. Sungguh besar dan mewah. Lihat saja landskap dan struktur rumah itu sendiri. Sangat menganggumkan bagi wanita yang dilahirkan serba kekurangan seperti dirinya. Rumah mentuanya juga tidak semewah ini.
Dari kejauhan dia sudah ternampak para tetamu yang datang dengan pelbagai fesyen pakaian. Kaum wanitalah yang akan lebih terserlah pada malam ini. Sungguh berwarna-warni.
“Faris, finally you are here! Ingatkan tak datang tadi.”
Tersenyum mereka berdua apabila kedatangan mereka disambut oleh Dato’ Kuzir. Faris dan lelaki berusia 60 an itu berjabat salam. Manakala, Amirah pula menyalami Datin Ashikin, iaitu isteri kepada Dato’ Kuzir. Dalam hati dia memuji kecantikan wanita berpangkat nenek itu. Pandai sungguh menjaga tubuh badan sehingga mungkin ramai yang tidak percaya bahawa umurnya juga dalam lingkungan 60 an.
“Mana boleh tak datang, Dato’. Selama ni pernah ke I ponteng majlis penting macam ni. I terlambat ke, Dato’.”
“Tak adalah. Hai, Amirah! Sekarang I tahulah kenapa you lambat. Datang berteman rupanya,” ujar Dato’ Kuzir sambil melemparkan senyuman buat akauntan syarikatnya. Anggun sungguh wanita itu malam ini. Apatah lagi apabila bergandingan dengan Faris yang kacak bergaya itu.
Faris hanya tersenyum menerima usikan itu. Pandangannya di alihkan kepada Amirah di sisi. Berbangga rasa hati bergandingan dengan wanita cantik ini.
“Faris, Amirah. Silakan. Jangan malu-malu. Nanti kita berbual lagi.” Pelawa Dato’ Kuzir.
“Thanks, Dato’. Kami minta diri sekejap, ya?”
“Okay, please enjoy yourself.”
Faris membawa Amirah ke ruang makanan. Pelbagai makanan yang disediakan ala buffet begitu menaikkan selera. Maklum pula, perut kedua mereka belum berisi lagi. Terasa mahu dijamah semuanya. Tapi pasti akan membazir sahaja. Jadi, lebih baik berpada.
Faris begitu gembira melayani Amirah memilih makanan. Senyuman begitu indah menguntum di bibir keduanya. Kemesraan yang terpertontonkan pasti akan membuatkan para jemputan memikirkan mereka adalah pasangan kekasih.
“Amboi, merpati dua sejoli ni! Bukan main lagi bermesra. Sampai tak sedar kami kat sini.”
Terkejut keduanya apabila tiba-tiba di sapa oleh salah seorang staf Mega Construction. Barulah mereka perasan kebanyakan staf hanya duduk di meja berdekatan dengan ruang makanan. Entah macam mana mereka boleh tidak perasan? Mungkin kerana pakaian mereka malam ini yang membuatkan mereka kelihatan berbeza sekali. Sekali pandang memang tidak akan perasan.
“Sorry, Kak Katy! Betul-betul tak perasan,” ujar Amirah. Bimbang juga ada yang akan salah faham. Tambahan pula terdapat beberapa staf yang sebelum ini pernah menabur fitnah buat dirinya. Rasa tidak senang lantas menyerap ke dalam hati.
“Yelah, mana nak perasan kalau dah ada prince charming kat sebelah! Betul, tak?”
“Ish, Kak Katy ni! Dah lama sampai ke?” Amirah menukar topik perbualan. Malas dia mahu menjawab soalan-soalan mereka lebih lama. Apatah lagi apabila terpandang wajah-wajah yang menjeling dan mencebik dirinya. Orang-orang yang memang tidak suka akan dirinya! Apatah lagi selepas hubungan dia dan Faris menjadi rapat.
“Nak tukar topiklah tu!” Tungkas Kak Katy. Faham sangat dengan bahasa tubuh Amirah itu. Dia juga perasan wanita itu tidak selesa. Mungkin kerana Marsha dan Hanan duduk semeja dengannya. Tak habis-habis mereka ini! Ada-ada sahaja orang yang tidak disukai mereka. Malas dia mahu mengambil tahu. Yang penting dia mahu memelihara hubungan baiknya dengan semua staf Mega Construction. Tidak akan mudah terpengaruh walaupun mereka berteman.
“Baru saja sampai. Baru ambil makanan. Tak sempat nak makan pun lagi,” beritahu Kak Katy. “Boss, nampak handsome la hari ni.” Pujinya pula. Pujian yang sememangnya ikhlas dari hati.
Lelaki itu sememangnya pujaan ramai. Termasuklah Marsha dan Hanan. Disebabkan itu, mereka tidak menyukai Amirah. Alasannya hanya satu! Amirah rapat dengan Faris sedangkan wanita itu baru beberapa bulan bersama mereka dia Mega Construction. Marsha dan Hanan yang sudah lebih 2 tahun bekerja juga gagal memikat hati Faris.
Sebelum ini lelaki itu begitu menjarakkan hubungannya dengan staf bawahan. Walaupun mempunyai ramai peminat dari kalangan pekerja syarikat, tidak ramai yang berani menonjolkan diri. Tetapi mengapa dengan Amirah, tembok yang dibina Faris seakan runtuh begitu sahaja?
“I memang sentiasa handsome, kan?” Balas Faris begitu bersahaja sambil tersenyum manis. Sempat Amirah menjeling rakan-rakan sekerja di meja makan. Mereka begitu teruja dengan senyuman macho Faris itu. Ada yang tidak berkelip mata memandang. Ada pula yang sibuk mengeluarkan telefon bimbit masing-masing untuk mengambil gambar Faris ketika itu.
Kak Katy menganggukkan kepala sambil tersenyum senang. Tanda mengiakan kata-kata CEO mereka itu. “Yelah itu semua orang tahu. Tapi kekacakan bos tu macam kurang something saja sebelum ni. Malam ni baru nampak.”
Faris dan Amirah mengerutkan dahi. “Kurang something? Apa yang kurang, tu?” Tanya jejaka itu.
“Senyum!” Kak Katy menunjukkan bibirnya.
Amirah ketawa kecil. Paham sangat apa yang ingin disampaikan oleh Kak Katy. Lelaki di sebelahnya memang terkenal dengan sikap dinginnya di kalangan staf.
Ketawa kecil Amirah mengundang jelingan Faris. Jelingan manja sebenarnya. Takkanlah dia mahu merajuk pula. Itu memang mustahil untuk hal yang sekecil itu.
“Senyuman I ni mahal tau. Kena tol dulu baru dapat.” Gurau Faris. “Tapi senyuman ni akan sentiasa available untuk orang tertentu sahaja. Tak perlu bayar,” ucap Faris sambil menjeling Amirah. Wanita itu mengerutkan dahi. Tidak faham sebenarnya dengan kata-kata lelaki itu. Dan apa yang lebih dia tidak faham, kenapa Faris menghantar isyarat mata sebegitu? Adakah dia orang tertentu itu?
“Wah, saya macam tahu saja siapa orang tertentu, tu? Siapa lagi kalau bukan orang sebelah, kan?”
Faris mengjungkit bahu. Tanda tiada komen selanjutnya. Tapi siapa jua yang melihat senyuman indah menguntum itu pasti tahu maksud disebaliknya. Semua itu mengundang keresahan dalam hati Amirah. Tak mungkin! Entah mengapa terasa senyuman tidak lagi mampu mekar bibirnya seperti Faris. Jika benar, tidak sanggup dia menghadapi kenyataan itu! Siapa dirinya masih menjadi rahsia. Dan bila rahsia itu terbongkar adakah Faris sedia menerimanya? Sudah tentu tidak!
“Er..please excuse me. I nak pergi washroom sekejap.” Amirah menyerahkan pinggan berisi makanan kepada Faris.
“Nak I temankan, ke?” Pertanyaan nakal Faris mengundang jengilan Amirah. Segan dengan Kak Katy yang sedari tadi tersenyum melihat gelagat mereka. Dia juga tidak betah apabila kerap menangkap jelingan dan cebikan daripada peminat-peminat Faris. Seolah-olah dia adalah perempuan penggoda yang tidak sedar diri!

Amirah merenung dirinya di cermin kaca itu. Entah kenapa perasaan tidak senang kerap benar berbisik dalam hatinya saat ini. Perhatian Faris. Usikan rakan-rakan! Benar-benar membuatkan dia terfikir sendiri. Adakah benar tanggapan Marissa terhadap Faris selama ini? Dia amat berharap itu semua tidak benar. Kerana dia wanita yang sememangnya tidak layak untuk dikasihi. Dia masih bersuami! Satu-satu lelaki yang boleh mencintainya adalah suaminya sendiri. Tidak lelaki lain!
Ahh, kenapa dia terlalu memikirkannya? Semua ini belum lagi jelas. Mungkin benar Faris hanya menganggapnya teman sekerja. Kenapa dia perlu berfikir yang bukan-bukan?
Amirah menarik nafas dalam, lalu melepaskannya. Dia perlu tenang menghadapi situasi ini. Tiada apa yang perlu dirisaukan. Asalkan dia menurut kata Marissa iaitu melayani Faris sekadar majikan, sudah tentu semua itu tidak akan berlaku.
Selepas memikirkan semua itu, Amirah keluar dari tempat pertapaannya sebentar tadi. Langkahnya agak laju. Faris mungkin sudah lama menunggunya di meja makan.
“Mira!”
Amirah menghentikan langkah. Dia mengerutkan dahi. Suara itu dia kenal benar. Tapi takkan....
Dia memusingkan tubuh. “Abang?!!”
Hakim mendapatkannya dengan wajah yang tegang. Sungguh dia tidak menyangka Hakim akan turut berada di sini. Adakah Hakim juga rakan niaga Dato’ Kuzir. Ah, tak mungkinlah!
“Aaa...bang. Abang buat apa di sini?” Amirah berbasa-basi. Dia tersangat gugup.
“Memenuhi jemputan,” beritahu Hakim dengan wajah yang tiada secalit senyuman. “Mira pula buat apa dekat sini?”
“Mira kerja dengan Dato’.” Dalam kegugupan Amirah menjawab. Sempat juga dia memandang sekeliling. Bimbang ada yang melihat mereka di sini. Pasti akan timbul persoalan tentang hubungan mereka. Dan apa yang dia takuti jika rahsianya selama ini akan terbongkar. Bagaimana kalau kehadiran Hakim ini akan menyebabkan semua kakitangan Mega Construction mengetahui yang dia sebenarnya masih bersuami? Dan suaminya pula adalah rakan niaga Mega Construction. Aduh..! Memang masalah besar!
“Kerja dengan Dato’?” Hakim bertanya, sinis. “Kenapa selama ni abang tak pernah jumpa Mira dekat sana?”
Amirah mengerutkan dahi. Tidak faham sebenarnya dengan kata-kata itu.
“Abang selalu ke sana for business purpose. Kenapa tak pernah jumpa Mira?” Seakan memahami, Hakim melanjutkan kata-katanya.
I am an accountant. Selalu ada kat bilik saja.”
Benar! Sememangnya tugas sebagai akauntan, sebahagian besar masa kerjanya adalah di bilik. Jika ada apa-apa isu barulah dia akan keluar berjumpa dengan pembantu dan eksekutif di bawahnya.
Hakim menganggukkan kepala. Sebagai isteri Amirah dapat meneka ada yang tidak kena dengan suaminya ini. Hakim seperti sedang menahan kemarahan. Tapi kenapa? Apatah lagi, lelaki itu hanya mendiamkan diri selepas itu.
“Emm..okaylah abang. Mira minta diri dulu.”
Amirah memecahkan kesunyian. Daripada diam sahaja lebih baik dia menyertai Faris di meja makan.
“Apa hubungan Faris dengan Mira? Dan kenapa orang kata Mira seorang janda?”


p/s: blog updated..enjoy!

Jumaat, 6 April 2012

Kau Yang Kunanti 17

“Abang...abang!!”

Terbatuk-batuk Hakim saat suara nyaring Sofiana memenuhi segenap ruangan rumah. Air nescafe panas yang belum pun sempat sampai ke anak tekak sebentar tadi ditelan dengan penuh berhati-hati. Bimbang tersedak pula. Perlahan-lahan cawan yang separuh berisi itu diletakkan semula di atas meja.

Habis hilang seleranya sebentar tadi. Entah apalah kali ini?

“Kenapa ni, Sofi? Berlari-lari macam ni? Awak tu mengandung!” Hakim memandang tajam ke wajah isterinya yang kelihatan tercungap-cungap. Mungkin kerana penat berlari sebentar tadi. Risau pula dia melihat keadaan isterinya itu. Bimbang akan memudaratkan kehamilan Sofiana yang sudah mencecah bulan-bulan terakhir.

“Ada apa?” Tanya Hakim lagi sebaik sahaja nafas Sofiana kembali teratur.

“Ni!” Sofiana menunjukkan kad berbalut indah di tangannya. Mata Hakim tunak memandang kad itu. Dia menelan air liur. ‘Macam-mana dia boleh jumpa ni?’ Bisik Hakim di dalam hati.

“Kad jemputan ke majlis Dato’ Kuzir? Kenapa abang tak cakap dengan Sofi pun?”

Hakim menggaru kepala yang tidak gatal. Apa yang harus dijawabnya? Dia ternyata belum bersedia dengan alasan. Sangkanya ia akan kekal menjadi rahsia sehingga majlis itu berlangsung hujung minggu ini.

“Er..abang..abang.” Tergagap-gagap Hakim mencari jawapan. Liar matanya ke sana ke mari seiring otakknya yang sedang ligat berfikir.

“Kenapa?” Sofiana bertanya lagi. Kali ini dengan nada suara yang agak tegas. Dia seperti dapat mengesan sesuatu pada air muka suaminya itu.

“Abang baru sahaja dapat kad jemputan tu hari ni. Terlupa nak beritahu Sofi.” Itu sahaja alasan yang difikirkan sesuai saat ini.

“Yeke?” Sofiana bertanya curiga. Dalam pada itu tangannya sibuk menelek kad di tangan. “Majlis tu hujung minggu nanti, kan?”

Hakim menganggukkan kepala. Sambil menunggu butir-butir bicara Sofiana. Pasti ada sesuatu yang sedang bermain dalam fikiran isterinya itu.

“Ada dua-tiga hari lagi. Sempat ke?” Kata Sofiana sambil mengira sesuatu. Semua itu mengundang pandangan pelik Hakim. Terfikir-fikir apakah yang sedang dikira isterinya.

“Honey, kira apa tu?”

Sofiana tersenyum sambil menjeling suaminya. “Abang, jom keluar?”

“Keluar? Nak keluar ke mana?” Laju sahaja Hakim bertanya.

“Pergi butiklah. Sofi nak cari baju untuk majlis tu nanti. Baju Sofi semua dah lama. Tak sesuai lagi nak pakai. Nanti Sofi nampak gemuk,” ujar Sofiana sambil mengusap perutnya.

“Pergi butik!?” Hakim bertanya kuat. Aduh, inilah sebab kenapa dia merahsiakan jemputan itu.

“Yelah, pergi butik! Kenapa? Abang nampak macam terkejut saja.”

“Sofi nak pergi majlis tu ke?” Hakim bertanya lurus.

“Yelah. Sofi nak cari baju yang paling cantik dan mewah. Barulah setanding dengan mak-mak datin kat sana.” Sofiana tersenyum bangga. Terbayang-bayang gaun indah yang diidam-idamkannya. Perut yang besar tidak akan menjadi penghalang untuk dia tampil bergaya di majlis itu. Berjalan-jalan beriringan dengan Hakim pasti akan memukau pandangan semua orang di sana. Boleh jugalah dia berkenalan dengan orang-orang kaya. Kenalan Dato’ Kuzir tentu dari kalangan orang berada. Dapatlah juga dia menumpang glamor.

Ini tidak, asyik-asyik muka kawan-kawannya yang ‘sengkek’ itu juga kelihatan. Dia sudah bosan berada dalam kalangan rakyat sederhana. Dia mahu status yang lebih tinggi.

“Tak usah pergilah Sofi. Biar abang saja yang pergi.” Kata-kata Hakim seperti halilintar memusnahkan impiannya.

“Kenapa pula?” Nada suaranya sudah bertukar keras. Pantang betul dia apabila ada orang yang cuba meranapkan segala mimpinya.

Hakim menelan air liur. Kalau boleh dia tidak mahu mencipta pergaduhan antara mereka. Dia sedang cuba berdiplomasi dengan Sofiana. Hubungan mereka agak baik kebelakangan ini. Takkanlah angin Sofiana akan bertukar arah dalam sekejapan cuma?

“Kenapa Sofi tak boleh pergi?” Sofiana bertanya lagi. Wajahnya terlalu tegang saat ini. Kalau boleh ditelan suaminya itu sudah tentu dia akan melakukannya.

“Sofi kan tengah mengandung? Elok tinggal di rumah saja. Suasana macam tu tak sesuai untuk perempuan mengandung macam Sofi.” Hakim cuba memujuk. Mudah-mudahan isterinya mendengar kata.

“Sofi tak boleh terima alasan abang! Jangan disebabkan Sofi mengandung, abang nak sekat Sofi bersosial.”

“Abang bukan nak sekat Sofi bersosial, honey. Parti macam tu, honey kena faham. Abang pergi bukan untuk seronok. Ni salah satu cara untuk orang business macam abang bersosial dan meluaskan business network. Abang takut Sofi takkan larat nak ikut abang ke sana- sini. Kaki Sofi pun dah bengkak tu? Mesti Sofi dah tak mampu nak berdiri lama. Nak pergi kerja pun Sofi tak larat. Asyik MC saja. Macam mana nak pergi parti macam tu.”

Sofiana terdiam mendengar hujah suaminya. Memang ada betulnya kata Hakim. Sejak kebelangan ini dia asyik MC kerana kakinya membengkak. Terkadang hendak berjalan pun dia tidak mampu. Tapi digagahkan jua. Risau pula akan dimarahi bos sekiranya terlalu kerap mengambil cuti sakit. Tapi itu bukan alasannya.

“Sofi faham. Tapi Sofi tetap mahu pergi. Abang jangan risau Sofi takkan susahkan abang. Abang berbuallah dengan kawan-kawan business abang tu. Sofi pun nak cari kawan-kawan Sofi sendiri. Manalah tahu lepas ni Sofi dapat kawan-kawan dari kalangan orang berstatus tinggi. Dapatlah juga Sofi tumpang glamor. Abang juga akan bangga dengan Sofi nanti.”

Dia tersenyum sendiri. Masih lagi meneruskan angannya dalam keadaan begitu. Sanggup menahan sakit untuk merealisasikan impiannya.

Sedangkan Hakim sudah tidak tertelan air liurnya. Rupanya itulah rencana Sofiana. Apa jua pujukan tidak akan mampu mengubah niat isterinya itu. Sia-sia saja! Tapi dia juga tidak akan mengalah. Nampaknya dia terpaksa menggunakan ketegasan untuk menghalang niat Sofiana kerana itulah yang paling ditakutinya. Siapa Sofiana dalam hidupnya tidak boleh diketahui oleh rakan-rakan niaganya.

“Sofi jangan degil boleh, tak? Bila abang kata Sofi tak boleh pergi, bermakna Sofi tak boleh pergi.” Hakim sudah menunjukkan taringnya. Hendak berlembut pun tiada guna. Makin hari dia semakin tidak faham dengan perangai Sofiana.

Sofiana membentak geram. Kembang-kempis hidungnya menahan kemarahan. “Sofi tetap nak pergi!” Putus Sofiana, nekad! Dia tetap mahu pergi walaupun ditegah suaminya. Tidak pernah dia di bawa ke majlis sebegitu oleh Hakim. Takkan tahun ini juga dia akan dihampakan?

“Sofi, berdosa ingkar perintah suami! Abang larang ni untuk kebaikan Sofi juga. Fikirkanlah tentang keselamatan anak kita dalam perut tu.”

“Untuk keselamatan anak kita ke keselamatan abang?” Sofiana sudah bangun berdiri tegak dihadapan Hakim. Wajahnya tidak usah dicakap. Bengis mengalahkan singa lapar. Hakim sedikut terkejut dengan tingkah drastik itu. Tahu dia telah menimbulkan perbalahan. Tapi walau bagaimana cara dia mengelakpun, perkara itu tetap akan terjadi kerana Sofiana pantang diusik perasaannya.

“Apa maksud Sofi, ni?”

“Maksud Sofi sangat jelas, abang. Abang sebenarnya tak nak pun kenalkan Sofi pada kawan-kawan abang, kan? Abang nak kurung Sofi kat rumah ni layan abang saja, kan?”

“Apa yang Sofi merepek ni?” Hakim bertanya dalam debaran. Adakah Sofiana sudah tahu?

“Sofi merepek?” Sofiana tergelak sinis. “Abang jangan ingat Sofi bodohlah. Sejak kita kahwin tak pernah abang nak bawa Sofi ke majlis-majlis syarikat abang. Ohh, Sofi lupa! Isteri abang Amirah saja, kan? I am just nobody to you! Sebab tu abang malu nak bawa Sofi?”

Hakim menelan air liur. Benar seperti anggapannya sebentar tadi. Sofiana sudah mengesyakinya.

“Bukan macam tu, honey!” Tubuh Sofiana mahu digapai, tetapi isteriya itu cepat menjauhkan diri. “Abang bukan malu nak kenalkan Sofi pada rakan-rakan niaga abang. Tapi Sofi kena faham. Amirah juga isteri abang. Dia isteri pertama abang. Semua rakan-rakan niaga lebih mengenali dia. Jadi abang tak nak kehadiran Sofi di sana akan menjadi persoalan pada status abang sekarang. Lagipun mama dan papa pun ada dekat majlis tu nanti.”

“Habis, sampai bila abang nak simpan Sofi? Sampai bila mama dan papa abang nak menafikan hak Sofi dalam keluarga abang? Sofi juga menantu mereka. Sofi nak hak Sofi!”

Hati Hakim semakin gusar. Nampaknya Sofiana sudah muka meminta sesuatu yang dia sendiri tahu tidak mungkin akan menjadi miliknya. Sesuatu yang tealah ditakdirkan untuk Amirah sedari awal perkahwinan mereka lagi. Sofiana telah dijelaskan tentang itu sebelum perkahwinan mereka. Dan dia juga telah menegaskan bahawa mungkin isteri keduanya itu tidak akan diterima dan diiktiraf sebagai menantu.

Demi hidup bersamanya wanita itu bersetuju. Kononnya, sanggup menghadapi segala cabaran. Tapi apa kesudahannya? Hakim berpisah dengan Amirah kerana isteri keduanya ini. Salah diriya sendiri juga kerana gagal berlaku adil. Ahh, kenapa dia terlalu bodoh dahulu? Berjanji mahu berlaku adil. Tapi sedari awal lagi dia telah lalai dalam menjalankan tanggungjawab.

Amirah...maafkan abang sayang. Abang akan cuba sebaik mungkin menjaga apa yang menjadi milik sayang selamanya. Takkan ada pengganti, walaupun Sofiana sendiri.

“Abang sudah pernah beri jawapan tu pada Sofi dulu. Sofi fikirkanlah sendiri. Abang naik dulu. Maafkan abang sebab tak dapat bawa Sofi ke majlis tu nanti.”

Hakim terus berlalu. Tidak sanggup dia berlama-lama di situ. Dia tahu Sofiana sedih dengan keputusan yang telah dia ambil. Tapi hak Amirah ibarat amanah buat dirinya. Dia perlu menjaganya sebaik mungkin. Tentang mama dan papa biarlah masa yang menentukan. Jika ditakdirkan suatu hari nanti mereka mahu menerima Sofiana dia amat bersyukur.

Namun, semua itu seakan tidak mungkin. Sofiana sendiri tidak berusaha untuk mengambil hati mereka. Bertemu muka dengan ibu bapanya cuma sekali. Selepas diherdik dan dimarahi orang tuanya wanita itu langsung tidak mahu menunjukkan muka. Jadi, bagaimana dia mahu diterima menjadi menantu?

Di ruang tamu, Sofiana terhenyak sendirian. Nafasnya berombak ganas. Terasa darahnya naik ke kepala. Amirah..Amirah..Amirah! Kenapa nama itu selalu menjadi penghalangnya? Kenapa nama itu yang selalu didahulukan Hakim? Hingga ke saat ini pun dia gagal menjadi pendamping Hakim untuk ke majlis-majlis syarikat. Apa istimewanya wanita itu sehingga Hakim sanggup pergi sendirian tidak berteman?

Dia mengambil bantal-bantal kecil di sofa, lalu dibalingnya sesuka hati. Salah satu bantal mengenai pasu kecil di atas meja. Mujurlah pasu itu bukan diperbuat dari seramik. Walaupun jatuh, tetap tidak pecah. Cuma isi di dalamnya sudah berterabur ke sana sini. Sofiana hanya menjeling sahaja. Semua itu masih tidak mampu meredakan api kemarahannya. Malah, jika rumah itu dibakar sekali pun dia masih tidak akan puas! Dia hanya akan puas jika perempuan bernama Amirah lenyap dari muka bumi ini.

Tak apa Hakim! Kau boleh pergi sendirian. Pergilah! Tapi aku takkan berputus asa. Kalau aku tak dapat terus lenyapkan Amirah dari fikiran kau, namaku bukan Sofiana!

“Aku tak tahulah, Rissa. Kan best kalau kau ada? Tak adalah aku tercari-cari macam sekarang ni.” Amirah mengeluh di hujung talian. Dia amat berharap pertolongan temannya itu. Majlis tinggal beberapa hari sahaja lagi. Tapi sehingga ke saat ini dia masih gagal mencari busana yang sesuai untuk digayakan pada malam itu. Lalu, dia menelefon Marissa untuk meminta pendapat. Gadis itu memang boleh dijadikan sifu dalam berfesyen ala muslimah sepertinya.

“Alah, bukannya susah pun. Kau pun dah updated tentang fesyen ni. Masa nilah kau nak gunakan kepakaran kau tu. Mesti ada punya. Lagipun buat apa kau nak risau? Kau tu pakai apa pun cantiklah, Mira.”

“Pandailah kau nak ambil hati aku. Aku ni dah beranak satu la.”

“So what? Beranak satu tak bermakna kau dah tak cantik. Kalau macam tu semua perempuan kat dunia tak nak beranak la sebab takut hilang kecantikan diri. Kalau tak cantik tu bukan sebab mengandung atau beranak. Tapi salah diri sendiri sebab tak pandai nak jaga badan.” Marissa sudah mula berleter. Kalau di biarkan boleh malarat minah seorang ini!

“Yelah, yelah! Esok aku pergilah cari lagi. Bos kita ni pun satulah, Rissa. Paksa aku pergi dengan dia. Aku risaulah. Nanti apa pula staff lain kata pasal aku. Kes dulu pun tak habis lagi mereka mengata. Ini tambah satu lagi.” Amirah menyatakan kegusarannya. Ditambahkan pula Faris mempunyai ramai peminat dari kalangan rakan sekerja mereka. Setiap kali dia berbual atau berjalan beriringan dengan Faris pasti ada mata-mata yang memandang dengan pandangan tidak berpuas hati. Cuma sampai ke saat ini masih lagi tiada yang berani mendekati jejaka itu.

Kedengaran ketawa Marissa menerombos corong telefon. “Tulah, bila aku cakap dia sukakan kau, kau tak nak percaya. Tu sebenarnya salah satu cara dia nak mendekati kau. Tapi okay apa? Sekurang-kurangnya ada jugalah orang temankan kau malam tu. Kalau kau pergi seorang diri, bukankah bahaya? Jadi menurut aku lebih baik kau pergi dengan dia. Orang yang kau dah biasa.”

“Yelah, aku faham kata-kata kau tu. Tapi bab dia suka aku tu memang tak benar sama sekalilah, ya? Takkan orang yang bujang, handsome, kaya dan bergaya macam dia tu hendakkan perempuan yang dah beranak satu macam aku ni?”

“Eh, tak salah kan? Kalau kau nak tahu, sekarang ni janda lagi laku dari anak dara. Yelah, janda ni kan dah banyak pengalaman?”

“Woit!! Cukup-cukuplah semua orang kata aku ni janda! Takkan kau pun dah lupa yang aku ni masih bersuami?”

Geram pula mendengar kata-kata Marissa sebentar tadi. Namun, dia tahu Marissa hanya mahu bergurau dengannya.

“Okay..okay, sorry! Alah, itu pun nak marah. Yelah, aku tahu kau masih bersuami. Cuma nasihat aku buat masa sekarang kau jangan fikirkan sangat tentang cakap-cakap orang tu. Biar sajalah mereka nak mengata. Faris bebas nak berkawan dengan sesiapa yang dia suka. Dan lagi satu, layanlah Faris sekadar kau melayan seorang majikan buat masa ni. Hati aku kuat mengatakan dia ada perasaan pada kau. Cara dia perhatikan kau, melayan kau, tak sama dengan pekerja lain. Aku tahu kau pandai bawa diri. Walaupun kau hidup terpisah dengan suami kau, tapi maruahnya tetap kau kena jaga selagi kau masih isterinya.”

Amirah mengangguk faham. Lihatlah, hanya Marissa yang faham hatinya. Hanya temannya ini yang percaya padanya. Beruntung benar dia mempunyai teman seperti Marissa.

“Thanks, Rissa. Kau sahabat aku dunia akhirat. Tak bolehkah kau balik awal. Dapatlah kita ke majlis Dato’ Kuzir tu sama-sama.” Masih lagi berusaha memujuk. Manalah tahu kalau Marissa mengubah fikiran saat-saat akhir kerana bersimpati dengan temannya ini. Tidaklah dia canggung berada di samping Faris nanti.

“Tak bolehlah Mira. Alah, kau pergi sajalah dengan Faris tu. Takut sangat kenapa? Dia pun janji nak tunjuk muka saja di majlis tu, kan? Lagipun kalau aku pergi siapa yang nak jaga Nasuha?”

“Betul juga, kan? Tak apalah. Nak buat macam mana, kan? Tak tahulah kenapa, Rissa. Aku rasa tak sedap hati nak pergi. Macam ada sesuatu akan berlaku.”

“Hish, kau ni! Kenapa fikir yang bukan-bukan ni? Tak ada apa-apalah. Sudahlah, aku nak tidur ni. Dah mengantuklah. Esok jangan lupa pergi cari baju kau tu. Kang ada pula yang pakai baju tahun lepas ke majlis tu?”

Okaylah, Assalamualaikum!”

“Okay, thanks sweetie. Esok I pergi ambil. Okay bye.”

Talian dimatikan. Faris terus membaringkan tubuhnya di atas katil. Dia tersenyum ceria. Sut tuxedo yang dipesan dari Itali kepada sepupunya telah selamat ke Malaysia. Dia akan mengambilnya esok. Dia sebenarnya malas hendak memikirkan tentang pakaian. Lelaki tidak perlu penat memikirkan tentang itu. Pakai kot tahun lepas pun tiada siapa yang akan persoalkan.

Tapi uminya yang beria-ria memesan kepada Anggun selepas mengetahui wanita itu akan ke Itali untuk satu urusan syarikat. Dan dia tanpa banyak soal hanya mengeluarkan duit. Tapi bila difikirkan ada bagusnya juga. Manalah tahu, dengan sut itu dia akan kelihatan lebih menarik di mata Amirah. Wah, rasanya seperti mahu menghadiri majlis penganugerahan anak seni! Faris tergelak sendirian. Ada-ada saja uminya.

Ketukan di muka pintu membuatkan senyuman yang begitu mekar di bibir mati tiba-tiba. Sudah pasti uminya yang berada di luar. Tiada siapa lagi yang tinggal di rumah ini melainkan mereka berdua.

“Ya, umi! Masuklah pintu tak berkunci.” Faris bersuara dari dalam biliknya. Dia bangun dari pembaringan sambil menanti Puan Laila.

“Umi, masuklah.”

Senyuman diberikan buat anak tersayang. “Faris tengah buat apa?”

“Tak ada apa umi. Saja baring-baring sambil berangan.” Beritahu Faris sambil merebahkan kepalanya di ribaan Puan Laila. Boleh dikatakan setiap malam dia akan bermanja dengan uminya. Dan uminya pula tidak akan pernah jemu memanjainya walaupun dia sudah layak bergelar bapa.

“Berangankan Amirah ke?” Serkap Puan Laila sambil membelai rambut anak terunanya.

Faris hanya tersengih manja. Uminya memang pandai meneka hati anaknya ini.

“Bila nak bawa Amirah jumpa umi?”

Sekali lagi uminya bertanya tentang itu. Dia mengeluh berat.

“Belum masanya lagi umi,” ujarnya perlahan. Bimbang uminya akan kecewa dengan jawapan sama yang diberikan setiap kali uminya bertanya tentang itu.

“Habis , bila Faris? Faris dengan dia kan dah kenal lama?”

“Memanglah Faris dah kenal lama dengan Amirah. Tapi hubungan kami sekadar teman sekerja umi.” Jelas Faris untuk kesekekian kalinya. Bukan dia jemu mahu menjawab soalan itu. Tapi dia sendiri masih cuba mencari jawapan kepada persoalan itu.

“Faris belum berterus-terang dengan Amirah, ke?”

Faris menggelengkan kepala. “Faris tak berani.”

“Hish, anak lelaki mana boleh kata macam tu! Buat malu saja.”

“Tapi memang Faris tak berani umi. Amirah tu nampak macam tak tertarik dengan Faris pun.” Faris mula mengadu. Setiap malam dia akan bercerita tentang Amirah. Hati yang gundah akibat cinta tidak berbalas akan kembali tenang disirami kata-kata nasihat dari umi tercinta.

“Belum cuba belum tahu sayang. Cuba bawa Amirah pergi candlelight dinner ke? Terus-terang dengan dia dengan cara baik. Lamar dia jadi isteri. Perempuan selalunya akan cair dengan cara sebegitu. Biar nampak Faris betul-betul ikhlas nak mengambil Amirah sebagai isteri.”

Nasihat uminya lagi. Siap beritahu cara-cara hendak melamar lagi. Faris berfikir sendirian. Bagus juga cadangan umi tu. Tapi bila difikirkan adakah dia cukup berani hendak berbuat begitu. Ahh, dia kena berani! Buat malu sahaja jadi anak lelaki jika malunya mengalahkan perempuan. Dia mesti cepat bertindak. Nampaknya Puan Laila sudah tidak sabar mahu menerima menantu. Rumah ini juga makin hari makin terasa sunyi kerana bebanan kerja yang semakin bertambah. Sejak kebelakangan ini dia akan pulang lewat kerana menyiapkan kerja yang tidak pernah mahu siap. Kasihan uminya sendirian di rumah. Jika ada menantu dan anak sudah tentu uminya tidak akan bosan dan kesunyian lagi.

p/s: blog updated..enjoy ya!!