Ahad, 29 Julai 2012

Kau Yang Kunanti 27


Audi A4 milik Hakim kini menyusuri masuk ke perkarangan banglo mewah milik Datuk Faruk sekeluarga. Amirah memandang ke sekeliling. Sudah lama dia tidak menjejakkan kaki ke sini. Keadaan rumah ini masih sama. Landskapnya juga sama. Mungkin ada sedikit perubahan. Tapi tetap cantik dan mendamaikan. Ciri-ciri kehijauan yang diidamkan oleh setiap penghuni kota.
“Sayang, kita dah sampai.” Suara Hakim memecah kebisuan yang menjadi peneman mereka sepanjang perjalanan. Sesekali ada juga suara Hakim bertanya. Tapi hanya dijawab sepatah dua oleh Amirah. Dia malas mahu bersuara. Lagipula, anaknya sedang tidur. Jika terganggu tidur si kecil mulalah hendak merengek. Mereka juga yang susah nanti.
“Nyenyaknya dia tidur.” Hakim mengusap pipi si kecil. Kuat betul tidur hari ini. Selepas bangun dari tidur petang tadi, Nasuha terus aktif semula. Tiada satu kerja yang dapat dilakukan melainkan menemani si kecil yang kelihatan riang bermain. Disebabkan penat, anaknya itu menyambung tidurnya lagi di dalam kereta.
“Tu, mama dah keluar. Tak sabar benar nak jumpa Mira dengan Suha,” beritahu Hakim selepas menangkap kelibat si ibu yang terkocoh-kocoh melangkah keluar. Sudah pastilah mahu mendapat menantu dan cucu kesayangan.
Amirah berpaling ke arah pintu. Benar! Datin Intan sedang menuju ke arah kereta suaminya. Dia pantas membuka daun pintu dan melangkah keluar sambil mengendong Nasuha. Senyuman diberikan buat wanita itu.
“Eh, dah sampai!”
Amirah menghulurkan tangan, mahu bersalaman. Datin Intan menyambut salamnya. Pipinya juga dikucup kiri dan kanan oleh wanita itu.
“Mama apa khabar?”
“Alhamdulillah, sihat! Mira macam mana? Mama tengok semakin berseri menantu mama ni. Semakin cantik,” puji Datin Intan buat menantunya. Tubuh Amirah ditelek dari atas ke bawah.
“Mira pun sihat, ma. Alhamdulillah.”
“Ni cucu nenek ni. Laa..cucu nenek tidur. Baru nenek nak main-main dengan dia.”
Datin Intan mengucup pipi cucunya bertalu-talu. Kucupan itu membuatkan tidur si kecil sedikit terganggu. Nasuha bergerak-gerak sebelum mencelikkan matanya. Anak itu terpisat-pisat sendirian. Namun, sebaik sahaja melihat wajah si nenek terus sahaja senyuman terbit di bibir comel itu.
“Alah, comelnya cucu nenek ni. Meh, sini sayang. Nenek rindu sangat dekat dia.”
Terus sahaja Nasuha di ambil dalam kendongan ibunya. Di agah sehingga si kecil ketawa mengekek. Gembira kerana dapat bertemu dengan neneknya.
“Mira jom masuk. Hakim bawa Mira masuk.”
Nasuha terus dibawa ke dalam rumah. Meninggalkan pasangan suami isteri itu diluar. Amirah menggelengkan kepala dengan gelagat ibu mentuanya itu. Gembira benar dapat bertemu dengan cucu kesayangannya itu.
“Tengok mama tu. Ditinggalnya kita bila dapat cucu dia. Tak patut betulkan, sayang?”
Amirah hanya tersenyum dengan komen Hakim itu.
“Jom masuk, sayang. Abang nak mandi ni. Badan dah rasa melekit dah.”
Si isteri hanya menganggukkan kepala.

Riuh rendah banglo milik Datuk Faruk malam itu. Suara si kecil yang ceria membuatkan rumah itu seperti sedang mengadakan pesta. Datuk dan nenek pula tidak jemu melayan keletah cucu yang tersangat aktif daripada biasa.
Amirah hanya tersenyum mendengar keriuhan itu. Jarang sekali anaknya segirang dan seceria ini. Pasti Nasuha akan tidur lena pada malam ini. Atau lebih tepat lagi kepenatan.
Ketika ini dia sedang berada di dapur bagi mencuci pinggan mangkuk yang telah digunakan untuk makan malam mereka. Datin Intan disuruh berehat kerana sudah pasti kepenatan bertukus-lumus di dapur seharian bagi menyediakan makanan kegemarannya. Dia sangat berterima kasih untuk itu. Pembantu rumah juga di benarkan berehat awal setelah mengemas meja makan.
Kenyang benar dia hari ini. Makanan malam yang disediakan Datin Intan enak sekali. Sudah lama dia tidak merasa air tangan ibu mentuanya. Hari ini dia benar-benar melepaskan rindu.
Setelah segalanya selesai, Amirah mendapatkan yang lain di ruang tamu. Hampir terlopong dia melihat si anak yang telah menunggang-langgangkan ruang tamu itu. Bersepah! Ibu mentuanya pula tidak melarang. Penatlah bibik mahu mengemas esok. Amirah menggelengkan kepala melihat telatah anaknya.
“Suha buat apa ni, sayang? Bersepah dah rumah atuk dan nenek,” kata Amirah selepas berjaya menangkap tubuh si kecil. Nasuha hanya meneruskan aktivitinya. Kata-kata si ibu langsung tidak dipedulikan. Malah, dia begitu seronok meletakkan kertas-kertas yang telah dikoyak ke dalam pangkuan Amirah. Isyarat kanak-kanak yang sudah dihafalnya. Pastilah anak itu mahu mengajaknya bermain bersama.
“Biarlah Mira. Dia tengah seronok tu. Lagipun semua majalah-majalah ni dah lama. Biarlah Suha buat main,” getus Datin Intan menyebelahi tindakan cucu kesayangan.
“Bersepah sangat ni mama. Suha ni jangan dibiarkan. Lasak sangat si kecik ni.”
“Tak apa Mira. Biarlah dia nak sepahkan macam mana pun. Mama tak kisah. Mama seronok tengok dia seronok. Cuba Mira tengok, ceria benar dia.” Datin Intan mengusap kepala si kecil.
Amirah tersenyum memandang si anak. Memang jelas nampak keriangan di wajah itu. Keceriaan yang tidak dapat dia berikan. Kasih sayang yang dia berikan adalah kasih sayang seorang ibu. Tidak akan sama dengan kasih sayang yang diberikan oleh mereka. Ternyata selama ini Nasuha begitu mendambakan suasana sebegini. Anak itu telah biasa dibajai dengan kasih sayang yang tidak terperi daripada datuk dan neneknya. Tapi dia telah memisahkan mereka beberapa bulan. Kejamkah dia?
“Mama, papa. Mira minta maaf sebab dah pisahkan Suha daripada mama dan papa. Mira berdosa.”
Datin Intan berpandangan dengan Datuk Faruk. Wajah menantu yang kelihatan suram dipandang silih berganti dengan wajah si suami.
“Papa dan mama faham Mira. Tak usahlah Mira risaukan pasal tu. Yang penting sekarang Mira dan Hakim dah kembali bersama,” ujar Datuk Faruk. Cuba memujuk menantu yang kelihatan menyesal dengan tindakannya. Sejujurnya dia dan isteri tidak pernah menaruh rasa marah terhadap perbuatan Amirah. Dia faham dengan apa yang dilalui wanita itu. Selama ini pun Amirah sangat baik dengan mereka. Mereka bersyukur dikurniakan menantu sebaik Amirah.
Tentang syarat yang dikenakan Amirah kepada Hakim juga mereka tidak kisah. Amirah hanya menjaga haknya. Hak yang telah lama dikianati Hakim dan Sofiana. Lebih baik begitu. Sekurang-kurangnya Hakim tidak berani lagi membuat hal. Dan dia rasa Hakim juga berat hati mahu berenggang dengan Amirah selepas ini. Perubahan menantunya akan mengikat kaki Hakim. Sofiana juga tidak mampu menandingi menantu sulongnya.
“Betul tu, Mira. Janganlah difikirkan sangat tentang hal itu. Apa yang lebih penting sekarang ni Mira tumpukan pada keluarga. Suha, anak yang sedang membesar. Kasih sayang kita amat penting untuk menjamin masa depannya.”
Amirah menganggukkan kepala. Si kecil yang dilayani datuknya menjadi santapan mata. Kata-kata Datin Intan dan Datuk Faruk ternyata benar. Mulai hari ini dia berharap dia telah melakukan sesuatu yang baik untuk Nasuha.
“Mama... mana mama letak kain pelikat Kim?”
Kesemua mereka yang berada di ruang tamu sedikit tersentak dengan suara kuat Hakim dari tingkat atas. Sudah tentulah lelaki itu dari biliknya. Datin Intan sudah menggelengkan kepala. Hakim kalau mencari sesuatu pasti tidak akan jumpa.
“Mira pergi tengok Hakim tu apa yang dia nak? Mira tahukan mana mama selalu letak pakaian dia?”
Dalam keterpaksaan Amirah hanya menganggukkan kepala. Hendak menolak apa pula kata mentuanya. Dia adalah isteri Hakim. Sewajarnya isterilah yang akan mengambil tahu makan dan pakai suami. Bukan ibu lagi.
Perlahan-lahan Mira menapak mendapatkan Hakim di biliknya. Bilik yang pernah mereka huni bersama suatu ketika dahulu. Daun pintu ditolak. Sebaik sahaja kakinya melangkah ke kamar itu hatinya mula berdebar kencang. Berada di dalam satu bilik dengan Hakim membuatkan dia gelisah sendiri. Sudah lama dia tidak merasai suasana sebegini. Pastilah segalanya terasa kekok.
Amirah mencari kelibat Hakim. Kelihatan lelaki itu sedang memunggah almarinya. Ini lagi satu tabiat Hakim yang benar-benar dia tidak digemari. Hanya tahu memunggah lalu dibiarkan begitu sahaja. Kalau mencari sesuatu pasti tidak akan jumpa. Lalu, untuk mengelakkan situasi ini biasanya dia yang akan menyediakan pakaian Hakim. Kalau dibiarkan pasti bersepah. Penatlah dia mahu mengemas semula.
“Mama, mana mama letak ni? Dah penat Kim cari?”
Suara Hakim mematikan lamunan Amirah. Dia pantas mendapatkan Hakim yang masih lagi berusaha mencari. Amirah pantas menarik laci di bawah dan mengeluarkan kain pelikat yang diminta.
Hakim yang menyedari kehadiran si isteri pantas menghentikan gerakan. Mati-mati dia menyangkakan Datin Intan yang memasuki biliknya tadi.
“Nah, kain pelikat yang abang nak!” Amirah menghulurkan kain pelikat itu kepada Hakim.
Hakim menyambutnya dengan senyuman ceria. “Thanks sayang. Abang ingatkan mama tadi.”
Amirah tidak membalas apa-apa. Sebaliknya, dia menyibukkan diri dengan mengemas semula almari pakaian yang telah disepahkan.
“Eh, sayang tak payahlah buat! Abang sepahkan. Jadi, biarlah abang yang kemaskan!”
“Tak apalah. Abang pergilah solat. Abang belum solat lagi, kan?”
Hakim hanya mengiyakan. Sememangnya dia belum lagi menunaikan solat magrib. Magrib pula sudah dihujung waktu. Dia sekeluarga biasanya akan makan malam sebelum magrib. Datin Intan sememangnya menitikberatkan soal pengambilan makan malam. Disebabkan itulah mamanya masih kelihatan cantik dan bergaya dalam usianya sekarang. Ilmu kecantikannya juga telah diturunkan kepada Amirah. Mungkin disebabkan itu isterinya kelihatan cantik dan mengiurkan walaupun sudah beranak satu.
Dia memandang Amirah yang leka mengemas pakaian. Dalam hati terselit rasa bahagia. Tidak lupa mengucap syukur kerana dia masih berpeluang merasai suasana seperti ini. Suasana di mana Amirah menyediakan makan dan pakainya seperti suatu ketika dahulu.
“Sayang tak solat sama? Kita berjemaah?”
“Mira dah solat tadi.”
Hakim mengerutkan dahi. “Sayang solat di mana? Dari tadi sayang tak masuk pun bilik ni?”
Puas Hakim menunggu. Selepas makan malam tadi dia terus ke atas untuk mengerjakan solat. Dia amat berharap Amirah akan menurutinya kerana dia teringin benar mahu bersolat jemaah dengan isterinya. Baru sekarang isterinya muncul. Itupun setelah dia meminta mamanya mencarikan kain pelikat untuknya. Tetapi, dia tetap gembira. Sekurang-kurangnya Amirah muncul juga untuk menbantunya mencari kain pelikat yang diminta.
“Dalam bilik solat. Abang pergilah solat. Waktu dah nak habis.”
Hakim menganggukkan kepala. Namun sesaat kemudian dia kembali berpaling. “Sayang tak nak mandi ke? Sehari tak mandi ni tak apa ke?”
Amirah berhenti mengemas. Seharian dia tidak mandi tentulah rimas. Dia hanya memandikan Nasuha petang tadi. Nasib baik dia sentiasa menyediakan keperluan si anak jika hendak ke mana-mana. Jika tidak, terpaksalah Nasuha memakai pakaian yang sama. Sedangkan dia pula masih tidak membersihkan diri setelah seharian menempuh hari yang panjang. Bagaimana hendak mandi sekiranya dia hanya datang sehelai sepinggang. Tidak mengapalah, sekejap lagi Hakim akan menghantarnya pulang. Di rumah sewanya sajalah dia mandi.
“Tak apalah. Mira mandi dekat rumah sajalah nanti.”
Hakim tersenyum mendengar kata-kata si isteri. Dari riak wajah Amirah dia dapat membaca apa yang tersirat di hati. Perlahan-lahan dia menapak ke almari semula. Pintu ke tiga almari ditolak. Bersusun pakaian wanita di dalamnya. Dia memilih, sebelum menyerahkan sepasang pijamas buat Amirah.
Amirah mengerutkan dahi. Dia tidak menyambut huluran suaminya. Dalam hatinya tertanya-tanya milik siapakah pakaian-pakaian wanita yang bersusun ini? Sedangkan setahunya Hakim tidak tinggal di sini? Mungkin sesekali lelaki itu akan bermalam di rumah orang tuanya. Kerana itulah pakaian Hakim masih berada di sini. Tapi pakaian wanita ini milik siapa? Hampir penuh almari ketiga itu dengan pakaian wanita. Adakah milik Sofiana?
“Ambillah. Lepas tu sayang pergi mandi. Mesti rimas seharian tak mandi, kan?”
Hakim mengerutkan dahi apabila Amirah masih lagi tidak menyambut hulurannya. Isterinya kelihatan seperti berfikir sesuatu. Sesekali mata si isteri singgah pada isi almari yang masih terbuka pintunya.
“Baju-baju perempuan ni semua siapa punya? Sofiana?” Akhirnya Amirah bertanya juga.
Sudah di agak itulah yang bermain-main dalam fikiran Amirah. “Semua ni milik Mira. Ambillah.” Disangkutnya pijamas itu ke bahu Amirah. Hendak menyentuh si isteri bimbang pula terbatal wuduknya. “Pakaian dalam pun ada dalam almari tu. Sayang pilih sajalah yang mana sayang nak. Abang main beli saja. Tapi abang rasa dah betul dah saiz sayang.”
Hakim berkata selamba. Bibirnya sempat menguntum senyuman sebaik sahaja menangkap pipi si isteri yang kemerahan. Dia melihat jam di dinding. Waktu maghrib semakin meninggalkan mereka. Cepat-cepat dia menukar seluar yang dipakai dengan kain pelikat yang disediakan Amirah sebentar tadi.
Amirah pantas membalikkan tubuhnya. Dia malu melihat Hakim menukar pakaiannya. Sudah lama dia tidak berdepan situasi itu. Dalam hati menggerutu geram. Selamba sahaja suaminya itu menukar pakaian di hadapannya.
“Oh ya sayang, sebelum abang terlupa. Mama dan papa nak sayang tidur sini malam ni. Dia orang tak puas lagi nak bermain dengan cucu. Harap sayang tak ada bantahan, ya? Kasihan mama dan papa.”
Sempat lagi Hakim memberitahu sebelum suaminya itu mengangkat takbir. Patutlah Hakim memberikannya pijamas ini bukannya pakaian yang sesuai untuk dia pulang ke rumah. Sekali lagi hatinya mengdongkol geram. Kenapa Hakim tidak memberitahunya sedari awal. Pasti ini semua rancangan licik Hakim. Lelaki itu pasti tahu jika dia menyampaikan niat mama dan papa awal pasti Amirah akan berkeras menolak. Sekarang hendak menolak pun sudah terlambat. Bila sudah berhadapan dengan wajah kedua mentuanya itu pasti dia tidak akan sampai hati hendak menolak.
Dengan hati yang membengkak Amirah menapak jua ke arah almari dan menyambung tugasan yang tergendala sebentar tadi. Setelah siap semuanya dia beralih pula pada almari yang menempatkan pakaian wanita itu. Dia tercari-cari pakaian dalam yang dimaksudkan Hakim. Banyak sekali pakaian wanita di situ. Pelbagai fesyen dan pelbagai gaya. Semuanya kelihatan masih baru dan tidak terusik sedikit pun. Bau pakaian-pakaian itu pun masih berbau ‘kedai’. Benarkah Hakim membelikan untuknya?
Amirah menarik pula laci di bawah almari. Hampir terlopong dia melihatnya. Pelbagai bentuk dan warna. Semuanya pula masih bertanda harga. Menandakan ia masih tidak dipakai sesiapa. Dia meneliti satu persatu. Emm...memang saiznya. Pandai juga suaminya memilih. Ah, lantaklah! Alang-alang Hakim sudah menyediakan semua, baik dia pakai sahaja tanpa banyak soal. Sedikit rasa terharu menyapa hati dengan keperihatinan suaminya.

Hakim yang baru selesai mengaminkan doa berpaling saat terdengar pintu bilik air dibuka. Dia tersenyum melihat tubuh Amirah yang kelihatan segar selepas membersihkan diri. Kepalanya juga sudah tidak ditutupi tudung seperti tadi.  Dia begitu terpesona dengan rambut panjang Amirah yang dilepas bebas. Tidak diikat seperti selalu. Mungkin memberi ruang rambutnya bernafas setelah seharian berbungkus.
“Cantik rambut sayang. Pandai sayang jaga.”
Tiada balasan dari pihak Amirah. Isterinya itu hanya diam sambil menyisir rambut panjangnya. Dari cermin itu dia dapat melihat begitu tajam sekali pandangan Hakim buat dirinya. Sungguh dia malu diperhatikan seperti itu. Tetapi dia bersikap selamba. Tidak mahu si suami sedar akan kegugupannya. Jika lelaki itu tahu pasti dirinya akan menjadi bahan usikan nanti.
“Sayang marahkan abang ke?”
Hampir terlepas sikat di tangan kerana terkejut dengan kehadiran Hakim yang tiba-tiba. Entah bila lelaki itu berada di belakangnya dia pun tidak sedar. Terlalu asyik menyisir rambut panjangnya.
Sorry, abang terkejutkan sayang.” Hakim pantas memohon maaf. Tidak menyangka kehadirannya telah memeranjatkan Amirah.
“Tak apa. Mira tak perasaan abang datang.” Amirah kembali memandang cermin. Dari cermin itu dia dapat melihat wajah bersih suami yang tersenyum memandangnya.
“Sayang tak jawab soalan abang lagi.”
“Soalan mana?” Amirah bertanya semula.
Hakim tersenyum lebar. Ternyata fikiran Amirah tidak di situ. Entah kemanalah fikiran isterinya saat ini.
“Abang tanya sayang marahkan abang ke?”
Amirah meletakkan sikat di atas meja solek semula. Dia memandang Hakim melalui cermin.
“Mira nak marah untuk apa?”
“Sebab abang tak beritahu awal-awal yang mama nak sayang bermalam kat sini.”
Amirah mengetap bibir. ‘Tau pun,’ desisnya di dalam hati.
“Tak adalah.” Gumam Amirah.
Perlahan-lahan Hakim membalikkan tubuh si isteri. Dari tutur kata dia sudah mengetahui yang Amirah sedang memendam rasa.
Sentuhan Hakim membuatkan Amirah seperti terkena kejutan elektrik. Dia mengeraskan badan.
“Abang tahu sayang marah. Abang minta maaf, ya? Mama berharap sangat. Kalau abang beritahu awal pada sayang pasti sayang tak mahu ikut abang.”
Amirah menolak perlahan kedua belah tangan suami yang bergayut di bahunya. Tidak selesa disentuh sebegitu. Lagipun, jarak mereka yang hampir menyukarkannya untuk bernafas.
“Tak apalah, nak buat macam mama. Mira nak turun bawah. Nak tengok Suha.”
Alasan yang diberikan untuk mengelakkan diri saat ini. Dia rimas berlama-lama di situ. Terasa sukar dirinya bernafas kerana setiap masa di awasi sang suami. Hakim yang dikenalinya sangat romantik. Dulu, lelaki itu sentiasa menempel di sebelahnya. Di mana ada dia di situlah Hakim. Jadi, sebelum semua itu berlaku sekarang lebih baik dia melarikan diri. Dia belum bersedia!
Hakim hanya mengangguk kepala. Dia menghantar pemergian si isteri dengan pandangan mata sehinggalah tubuh genit itu hilang dibalik pintu.
Dia mengeluh berat. Amirah masih dingin dengannya. Tapi dia bersyukur sikap Amirah tidak seperti sebelumnya. Sudah boleh membalas kata-katanya dalam nada yang lembut. Tidak lagi marah-marah. Dia perlu bijak menangani si isteri. Amirah dan Nasuha akan dilimpahi dengan kasih sayang yang tidak terhingga. Kalau dulu Amirah memujinya sebagai seorang suami yang romantik. Kali ini dia akan menjadi lebih lagi. Sehingga Amirah lemas dalam kasih sayangnya. Hanya itu yang mampu melembutkan hati wanita itu. Jika dia berkeras juga pasti semua akan menjadi kucar-kacir. Dia telah berjanji untuk membahagiakan Amirah. Berikanlah kesempatan itu Ya Allah.


p/s: sori baru upload n3..internet Ida kena terminate baru-baru ni. Baru byr semalam. Sori la ea kawan2.

Ahad, 15 Julai 2012

Kau Yang Kunanti 26


Fail yang terisi beberapa keping kertas ditolak menghampiri Amirah yang sedari tadi duduk tidak terkutik di sebelah Hakim. Dia hanya memandang tanpa kata. Jiwanya terasa kosong. Kalau sebelum ini dia begitu beria mahu mempercepatkan proses tandatangan perjanjian, tapi kali ini dia begitu keliru. Adakah benar segala tindakannya sekarang? Perkara ini telah di bincangkan dengan Marissa sebelum ini. Dan dia tahu dia perlu berkorban buat anaknya, Nasuha. Hanya itulah cara bagaimana dia menjaga hak anaknya. Takkan sesekali dia membiarkan Sofiana menguasai segala hak mereka sewenangnya.
“Puan bacalah dulu. Kalau tak ada apa-apa bantahan Puan boleh turunkan tandatangan,” kata Encik Iqbal, peguam Faruk Group.
Perlahan-lahan fail tersebut dicapai dan dibaca dengan teliti. Setiap perkataan tidak dibiarkan terlepas dari santapan matanya. Nampaknya Hakim menepati janji. Setiap syarat yang diletakkan tempohari telah dimasukkan berturutan ke dalam dokumen perjanjian.
Any additional condition sayang?” Hakim bertanya. Dilihatnya Amirah agak pendiam hari ini. Sepatah ditanya sepatah juga dijawab. Bimbang pula Hakim melihatnya.
Tanpa menjawab pertanyaan itu, Amirah terus mencapai pen yang dihulurkan oleh Encik Iqbal lalu menurunkan tandatangan. Kemudian, fail itu diserahkan kepada Hakim untuk lelaki itu berbuat perkara yang sama. Akhirnya barulah Encik Iqbal akan menurunkan tandatangan beliau. Sah sudahlah perjanjian ini.
Selesai sesi menurunkan tandatangan Encik Iqbal menyerahkan satu lagi fail.
“Ini dokumen penyerahan dan pengambilalihan saham yang telah ditandatangani oleh semua ahli lembaga pengarah. Sila baca dan faham. Kemudian, Puan boleh sign di sini.” Encik Iqbal menunjukkan tempat yang perlu Amirah turunkan tandatangan.
Agak lama jugalah Amirah mengambil masa untuk menghabiskan semua isi dalam dokumen itu. Kemudian, seperti tadi Amirah menurunkan tandatangan.
“Okay, nampaknya selesai sudah sesi kita pada petang ini. Saya akan minta setiausaha sediakan salinan perjanjian dan diserahkan kepada yang berkenaan,” ujar Encik Iqbal sambil mengemas briefcasenya.
“Kalau tak ada apa-apa saya minta diri dulu.”
Hakim dan Amirah hanya menganggukkan kepala.
“Abang hantar Encik Iqbal dulu. Mira tunggu sekejap, ya?”
Sekali Amirah hanya menganggukkan kepala.

Sepeninggalan Hakim dan peguam itu, Amirah hanya duduk di kerusi sambil memandang ke sekeliling bilik pejabat suaminya yang cukup besar dan selesa. Bilik pejabat ini sudah tidak asing kepadanya suatu ketika dahulu. Dia ingat selepas berpisah dengan Hakim dia tidak berpeluang lagi menjejakkan kaki ke sini. Tapi rupanya takdir hidupnya masih lagi dengan Hakim. Entahlah, dia sendiri tidak tahu hendak berbuat apa.
Selepas peristiwa tempohari, Amirah terus mengambil keputusan untuk meletak jawatan. Notis 24 jam terus sahaja disampaikan kepada setiausaha Faris keesokan harinya. Dia sudah tidak sanggup mahu berhadapan dengan lelaki itu lagi. Dan dia juga pasti Faris juga tidak mahu memandang wajahnya. Jadi untuk apa lagi dia di sana?
Kebetulan Hakim ada menelefonnya untuk memberitahu dokumen perjanjian telah disediakan oleh peguam Faruk Group. Hanya tunggu untuk ditandatangan sahaja. Atas sebab itulah dia berada di sini hari ini.
Kedengaran pintu ditolak dari luar. Dia tidak menoleh kerana dia tahu pasti Hakim yang memasuki bilik itu setelah menghantar Encik Iqbal sebentar tadi.
Sorry, lama ke sayang tunggu?”
Amirah hanya menggelengkan kepala sebagai jawapan. Kedudukannya masih seperti tadi. Hakim yang sedang bertenggek pada meja di hadapannya langsung tidak dipedulikan. Dia hanya tunduk menekur lantai.
“Sayang kenapa ni? Abang tengok sayang diam saja hari ni. Sayang tak gembira ke?”
Amirah mengeluh perlahan. Sememangnya dia tidak begitu gembira. Selepas kejadian tempohari emosinya terganggu. Dia lebih banyak menyendiri di dalam bilik melayani Nasuha. Hanya anak kesayangannya saja yang mampu mengubah ketidaktentuan emosinya itu.
Sorry..” Perlahan sahaja kedengaran suara itu. Terpinga-pinga juga Hakim meneliti butir bicara isterinya yang menekur itu.
Pardon?” Hakim mendekatkan sedikit kepalanya ke wajah Amirah.
I’m sorry.” Hakim mengerutkan dahi.
“Untuk apa?”
“Pasal hari tu.”
Kenapa dia meminta maaf dia sendiri tidak pasti. Yang dia tahu dia perlu meminta maaf. Dia telah berlaku kurang ajar dengan suaminya sendiri. Bukan dia tidak pernah bertindak begitu sebelum ini. Tapi entah mengapa, kejadian itu begitu menganggu ketenangan hatinya. Mungkin kerana itu ucapan maaf ini terlepas dari bibirnya.
Hey...” Hakim mengangkat wajah ayu yang sedari tadi menunduk. Memaksa sepasang mata cantik itu memandang wajahnya. Senyuman manis dihadiahkan buat isteri tercinta. Berharap senyuman itu berjaya mententeramkan hati yang sedang lara itu.
“Abang tak marah pun. Kalau abang ditempat Mira pun mungkin abang akan buat perkara yang sama. Atau mungkin lebih teruk.”
I know I had being too rude that day. I just..” Bicara Amirah terhenti apabila jemari Hakim sudah menghalang bibirnya dari berkata-kata.
It’s okay. Abang tak marah. Bagi abang, sayang tak ada apa-apa salah pun dengan abang. In fact, I feel grateful of second chances giving to me. Dan abang berjanji dengan diri abang sendiri yang abang takkan sia-siakan peluang yang ada. Thank you so much sayang. Thanks sebab sudi terima abang yang dan banyak lukakan hati sayang. I love you so much,”ujar Hakim.
Dia mencapai kedua belah jemari Amirah lalu dikucup bertalu-talu. Dalam hati dia berasa gembira kerana Amirah tidak menarik tangannya seperti selalu. Kali ini, wanita itu hanya membiarkan perlakuannya. Dia rasa bersyukur. Mungkin kebahagiaan rumahtangga yang hilang dahulu akan mereka kecapi semula.
“Sofiana tahu tak pasal ni?”
Pertanyaan Amirah menghentikan perlakuan Hakim. Lelaki itu terdiam untuk seketika. Namun, tautan tangan mereka tidak dilepaskan. Jemari halus itu dielus lembut.
“Sayang, tak perlulah risau pasal tu. Abang dah jelaskan pada dia yang kita akan bersama semula. Cuma..” Hakim berjeda.
“Cuma?” Amirah meminta Hakim menyambung katanya yang tergantung.
“Cuma pasal perjanjian ni tak perlulah kita beritahu dia. Abang bimbang dia akan tuntut perkara yang sama. Sedangkan papa dan mama tak mengiktiraf hak dia dalam Faruk Group,” beritahu Hakim.
“Dia tak marahkah bila abang beritahu dia yang kita akan bersama semula?”
Hakim tersenyum. Jemari Amirah semakin rancak dielus. “Suka atau tak dia kena terima. Sayang juga isteri abang. Dan kita tak pernah bercerai. Sememangnya kita harus hidup bersama. Bukan hidup terpisah macam ni.”
Kata-kata Hakim kembali membuatkan Amirah menekur lantai. Memikirkan Sofiana cukup menyesakkannya.
“Sayang.... kenapa ni?” Sekali lagi Hakim mengangkat wajah si isteri.
“Sofiana tak suka kan?” Amirah serkap jarang. Jawapan Hakim sebentar tadi cukup menyakinkan bahawa isteri kedua suaminya tidak bersetuju dengan rancangan mereka.
Kegusaran jelas terpancar di wajah Amirah. Dia faham itu. Perlahan-lahan tangan sasa Hakim mencapai bahu Amirah dan memaksa wanita itu bangun berhadapan dengannya. Si isteri hanya menurut. Sekali lagi jemari Amirah dikucup sayang.
“Pasal dia tak usahlah sayang fikirkan. Yang penting kita kembali bersama. Tak ada siapa dapat pisahkan kita, sayang. Kecuali maut! Dan abang janji kali ni abang akan jaga rumahtangga kita sebaiknya. Syarat sayang abang akan cuba penuhi sehabis daya. Abang tak nak kesilapan yang sama berlaku lagi. Abang akan pikat sayang semula. Setapak pun abang takkan biarkan sayang jauh dari abang.”
Suara Hakim yang semakin lama semakin membisik syahdu hampir membuatkan Amirah terbuai. Adakah Hakim sudah kembali pada sifat asalnya? Seorang suami dan ayah yang jiwanya penuh dengan kasih sayang? Ahh, hakikatnya Hakim tidak pernah berubah. Dia tetap seperti dahulu. Jarang meninggikan suara. Layanannya sentiasa lembut. Cuma kesalahan yang pernah dilakukan Hakim adalah tidak adil dalam membahagikan giliran! Tapi impak perlakuan Hakim itu begitu menusuk tangkai hatinya. Dan dia pasti semua wanita di luar sana juga tidak boleh menerima pengabaian seperti itu.
“Sayang, abang sangat-sangat rindukan sayang. Rindukan anak kita. Sangat-sangat rindu,” luah Hakim sepenuh hati. Sememangnya dia sangat merindukan isteri dan anaknya. Syukur, akhirnya kedua orang kesayangannya telah kembali kepadanya. Dendam rindu itu pasti akan terlerai nanti.
“Sayang rindukan abang tak?” Hakim bertanya. Berniat mahu menyelami hati si isteri. Sudah lama mereka tidak berbicara dari hati ke hati seperti ini.
Pertanyaan Hakim tidak mampu dijawab Amirah. Dia hanya menjatuhkan pandangan pada dada bidang suami. Renungan Hakim yang mengharapkan jawapan tidak mahu dibalas. Walaupun hakikat perasaan yang disimpan benar-benar memihak kepada lelaki itu.
“Abang tahu sayang rindukan abang, kan?” Hakim menebak sendiri. Sebagai suami dia sudah arif benar dengan lenggok bahasa si isteri. Cuma Amirah masih sangsi dengannya. Itu adalah batu penghalang yang cukup besar buatnya pada masa ini.
I miss you too sayang. So much.” Hakim bangun lalu mengucup dahi Amirah sebelum tubuh langsing itu di bawa ke dalam dakapan. Pelukannya cukup erat. Seakan tidak mahu dilepaskan lagi wanita kesayangannya pergi.
Amirah sedikit terperanjat dengan perlakuan Hakim. Namun, dia hanya membiarkan. Sekurang-kurangnya pelukan itu berjaya juga menghilangkan kerinduan Amirah yang tertahan berbulan lamanya. Cuma untuk mengangkat tangan membalas pelukan itu dia merasakan tidak mampu. Hatinya yang terluka tidak mungkin langsung terubat hanya dengan sebuah pelukan sayang dari suaminya itu.

Kuakan daun pintu pantas membuatkan pelukan Hakim terlerai. Amirah juga lekas menjarakkan tubuh mereka. Kelihatan Datuk Faruk melangkah memasuki bilik itu sambil mendukung  Nasuha. Ayah mentuanya itu cepat sahaja mencapai tubuh montel Nasuha sebaik sahaja dia menjejakkan kaki ke pejabat itu. Dia menasihatkan mereka melakukan urusan tandatangan tanpa Nasuha bersama. Lebih senang menjalani prosedur jika tiada anak kecil. Lagipun, katanya dia sangat merindui cucunya. Lalu, Nasuha terus dibawa memasuki bilik pejabatnya.
“Opps..papa menganggu ke?” Datuk Faruk bertanya nakal. Bibir tuanya mengukir senyuman. Perlakuan suami isteri itu tadi jelas dipandangannya. Bukan dia sengaja mahu memecah masuk. Tapi dia sudah biasa begitu jika melawat anak lelakinya waktu bekerja. Terlupa pula yang anaknya tidak bersendirian ketika ini. Suami isteri yang sudah lama terpisah pastilah menggunakan masa yang ada untuk melepaskan rindu.
Dalam diam dia mengucapkan syukur. Mungkin anak dan menantunya akan berbaik semula selepas ini.
“Tak adalah papa. Masuklah. Kenapa dengan Suha tu?” Hakim bertanya. Anaknya itu kelihatan sedang merengek manja dalam dukungan datuknya. Mata dan hidungnya sudah memerah.
“Mengantuk agaknya cucu datuk ni. Mata pun dah layu.”
“Ololo..anak abah ngantuk, ya?” Tubuh Nasuha sudah berpindah ke dalam dukungan abahnya pula. Pipi anaknya dicium sayang. Punggung si anak ditepuk mesra. Mendodoi si kecil agar terlena. Namun, rengekan Nasuha masih belum reda.
“Ini mesti nak ibu dia ni. Kalau nak tidur tak ada ibu tak sahkan, sayang?” Hakim berbicara dengan anaknya. Begitulah sifat Nasuha jika mahu tidur. Hanya ibunya saja yang mampu menidurkannya.
“Ibu..” Panggil Nasuha perlahan dalam dukungan Hakim. Pantas Hakim menyerahkan Nasuha kepada isterinya. “Sayang tidurkan Suha dekat sofalah. Kasihan dia dah mengantuk sangat tu.”
Amirah hanya menurut cadangan Hakim. Anaknya dibaringkan di sofa berangkai tiga. Hakim pantas mengambil bantal kecil dan disendalkan di kiri kanan anaknya. Kepala Nasuha juga dialas dengan bantal. Hakim menghulurkan susu yang sudah disediakan oleh Amirah setiap kali ingin ke mana-mana.
Mungkin kerana terlalu mengantuk, anak itu cepat sahaja tertidur. Susu di dalam botol tidak luak langsung.
“Kasihannya dia. Penat sangat la tu main tadi. Penat papa nak kejar dia. Berlari-lari kat dalam pejabat papa.” Wajah Datuk Faruk kelihatan ceria bercerita tentang keletah cucunya.
Amirah hanya tersenyum mendengarnya sambil menepuk punggung si anak yang sudah lena diulit mimpi. Hakim turut tersenyum. Kepala anaknya diusap lembut. Tidak mahu menganggu tidur si anak yang baru mengundang tiba.
“Macam mana? Dah selesai?” Tanya Datuk Faruk. Tapi dari apa yang dilihat semuanya seperti sudah selesai. Peguam mereka juga sudah tidak ada.
“Alhamdulillah pa. Semua dah selesai,” jawab Hakim sambil tersenyum memandang si isteri. Hatinya cukup senang dengan sifat keibuan yang ada pada Amirah. Terasa cintanya semakin melimpah-ruah buat wanita itu.
“Alhamdulillah.” Datuk Faruk mengucap syukur. Nampaknya impian mereka untuk melihat Amirah dan Hakim bersatu kembali sudah tercapai. Kali ini biarlah rumahtangga anak menantu mereka tiada pergolakan lagi. Dan dia juga berharap Sofiana tidak akan menganggu keharmonian rumahtangga Hakim dan Amirah.
Walaupun dia tidak bersetuju dengan tindakan anaknya mengahwini Sofiana, sebagai orang tua tidak pula dia menyuruh Hakim menceraikan Sofiana semata-mata kerana tidak mahu menerima perempuan itu sebagai menantu. Terpulang kepada Hakim sendiri untuk menguruskan rumahtangganya. Dia dan isteri tidak mahu masuk campur. Bagi mereka hanya Amirah menantu mereka. Hak Sofiana sebagai menantu tidak langsung diiktiraf dalam Faruk Group. Hak itu sedari dulu adalah hak Amirah dan anak-anak dari Amirah. Bukan dari Sofiana. Isteri kedua Hakim hanya berhak menuntut harta Hakim sahaja. Hak itu tidak akan sesekali dia dan isteri nafikan.
“Bila Hakim nak pindah ke rumah Mira ni?”
Hakim tersenyum senang dengan pertanyaan papanya. Sekilas isterinya dijeling lagi.
“Ikut Mira la papa. Kim tunggu signal dari isteri Kim ni aje.”
Kata-kata Hakim membuatkan Amirah memandang suaminya itu. Kedua pasang mata sedang terarah kepadanya. Menanti jawapan.
“Insyaallah minggu depan pa. Sebab kawan serumah Mira tu akan pindah keluar hujung minggu ni lepas dia nikah.”
Sedar tak sedar tarikh pernikahan Marissa dan tunangnya sudah pun hampir. Sebaik sahaja melangsungkan pernikahan Marissa akan berpindah keluar dari rumah sewa mereka dan bercuti selama dua minggu untuk mengadakan persiapan majlis perkahwinannya.
“Baguslah macam tu. Habis tu rumah dekat Damansara macam mana?”
Amirah pantas melarikan pandangan apabila Datuk Faruk bertanyakan soal itu. Disebabkan syaratnya mereka terpaksa meninggalkan rumah mereka di Damansara. Hakim, anak kepada Datuk Faruk terpaksa tinggal di rumah yang tidak semewah mana.
“Rumah tu Kim ingat nak jual pa. Buat sementara waktu ni Kim tinggal dulu dekat rumah sewa Mira tu. Kim tak nak Mira terus terluka bila tinggal di sana. Mungkin Kim akan beli rumah lain untuk kami sekeluarga nanti.”
Amirah mengerutkan dahi? Hakim mahu menjual rumah mereka di Damansara? Tapi kenapa Hakim tidak pernah berbincang dengannya sebelum ini? Kata suaminya tadi, dia tidak mahu Amirah terkenangkan kenangan lalu bila tinggal di sana? Ya, memang itulah sebabnya dia mahu Hakim berpindah masuk ke rumah sewanya. Tapi tidaklah pula disuruh Hakim menjual rumah itu. Adakah Hakim begitu bertekad mahu menjaga hati dan perasaannya? Sedikit sebanyak kesungguhan Hakim itu menjentik sanubarinya.
Datuk Faruk menganggukkan kepala. Dalam diam dia bersetuju dengan perancangannya anaknya itu. Hakim sudah menjadi seorang yang semakin sensitif dengan perasaan isterinya. Biarlah. Itu adalah satu perubahan yang baik. Perpisahan telah mengajar Hakim untuk lebih menghargai.
“Terpulanglah pada Hakim. Papa ikutkan saja. Asalkan anak menantu papa bahagia. Papa dan mama pun tumpang gembira. Cuma papa harap, pandai-pandailah kamu berdua menjaga rumahtangga kamu berdua selepas ini. Jangan lakukan kesilapan yang sama. Kalau ada masalah tu bawa-bawalah berbincang. Jangan ambil keputusan terburu-buru.” Nasihat Datuk Faruk kepada anak dan menantunya. Sebagai orang tua sudah pastilah dia mahu melihat mereka bahagia.
Amirah menundukkan kepala. Dia pasti kata-kata Datuk Faruk itu ditujukan buat dirinya. Kerana tindakan terburu-burunya mereka hidup terpisah selama hampir lapan bulan lamanya.
“Hakim dengar nasihat papa ni. Sebagai lelaki yang mempunyai dua isteri, kamu harus lebih bijak menguruskan rumahtangga. Adil dan saksama itu penting. Berat tanggungjawab suami ni Kim. Senget bahu kamu kalau berlaku tidak adil terhadap isteri-isteri. Berdosa besar!”
Hakim menganggukkan kepala. Dia memahami apa yang cuba disampaikan oleh papanya. Dia sudah belajar dari kekhilafan lalu. Kali ini dia bertekad untuk berubah. Seperti kata papanya, dia harus menjadi lebih bijak. Harus!
“Papa janganlah risau. Insyaallah, Kim akan berlaku adil terhadap isteri-isteri Kim. Pengalaman lalu benar-benar membuatkan Kim sedar akan kesilapan yang telah Kim lakukan. Kim janji yang Kim takkan ulang lagi.”
“Yalah. Papa nak balik ke bilik ni. Mira malam ni makan dekat rumah, ya? Mama dah pesan suruh beritahu Mira tadi. Dia nak masak makanan kegemaran Mira. Jangan lupa, ya? Kasihan mama nanti. Kim, jangan lupa bawa Mira dengan Suha malam ni.”
“Insyaallah papa,” jawab Amirah. Dia mengetap bibir. Nampaknya terpaksalah pula dia ke rumah ibubapa mentuanya di Wangsa Maju malam nanti. Hendak menghampakan kasihan pula. Mama sudah bersusah-payah menyediakan makanan kegemarannya. Lagipun, dia juga jarang melawat ibubapa mentuanya. Hanya Hakim yang kerap dia temui. Itupun Hakim yang akan datang bertemunya. Hendak mengharapkan dia entah bilalah?
“Hmm..mama tu mungkin dah rindukan menantu dan cucunya la tu. Selalu dia bertanya bila abang nak bawa Mira dan Suha ke rumah. Malam ni ikut abang balik rumah, ya? Mama berharap sangat tu,” ujar Hakim sebaik sahaja Datuk Faruk meninggalkan mereka.
Anggukan diberikan sebagai persetujuan. Hakim tersenyum senang. Dipandang si anak yang lena benar tidurnya. Dahi kecil itu dikucup sayang. Hanya tuhan sahaja tahu betapa bahagianya dia saat ini.
Wajah si isteri pula dipandang sayang. ‘Abang takkan persiakan peluang yang sayang berikan,’ bisik Hakim di dalam hati.
Renungan Hakim dibalas cuma seketika. Perhatiannya diberikan kepada si anak yang sudah pun lena. Dia segan dengan renungan itu. Renungan yang mampu membuatkan dadanya berdebar kencang.
Tidak lama lagi mereka akan kembali sebumbung. Entah bagaimanalah nanti. 8 bulan terpisah benar-benar membuatkan dia janggal bila bersama Hakim. Minggu hadapan akan bermulalah rutin hariannya sebagai seorang isteri semula. Tapi kali ini rutinnya agak berbeza. Dia bukan lagi suri rumah sepenuh masa. Dia perlu bijak membahagikan masa pada kerjaya dan juga rumahtangga.


 p/s: Blog updated. setelah penat berfikir dapat juga hasilkan n3 26 ni..Thanks pada sesiapa yang memberikan komen pada Ulasan Ida. Thanks juga utk sokongan dan semangat yang telah diberikan. Jangan emo sangat pembaca. Nilailah dengan akal yang bernas. Enjoy ya!

Selasa, 10 Julai 2012

Ulasan Ida

Hai..thanks sbb sudi tinggalkan komen  untuk Ida. Insyaallah semua komen kawan2 untuk setiap entry, Ida dah baca..Kawan2 jujur Ida cakap komen kawan2 untuk Kau yang Kunanti banyak yg negatif daripada positif.. kalau untuk Antara Benci dan Rindu dulu setiap entry mesti ada yg kata best la, cepat sambung la etc. Tapi untuk Kau yang Kunanti ni jarang sangat nak dapat macam tu..Sampai Ida sendiri pun confuse Kau yang Kunanti ni best ke x?

Lately, Ida tengok komen kawan2 makin berbisa. Hero dan Heroin di hentam teruk. walaupun sebenarnya pembaca menghentam Mira dan Hakim tapi Ida terasa juga. Sebab Ida penulis. Macam kawan2 kata kat Ida jea. Paling sedih untuk entry 25. Ada yg kata x logik! Penipu! Stupid?!! Huhuuu..sedih jugak ni..sampai tadi rasa macam nak tutup blog jea. biar habis menulis baru buka balik. Ok x?

Actually Ida bukan x leh terima komen. cuma biarla cara teguran tu lebih menaikkan semangat Ida nak menulis. Da lewat seminggu kan Ida tak masukkan entry. Ida x start pun lg bab 26. Ida x tau nak start cane.. mmg semangat tu pudar terus..Ida cuba nak penuhi semua permintaan pembaca. Tapi makin cuba makin pembaca x suka..x tahulah macam mana..doakan la Ida ada semangat nak menulis semula..

Assalamualaikum...

Rabu, 4 Julai 2012

Kau yang Kunanti 25


Amirah menentang renungan lembut Faris. Memang jelas terpancar keikhlasannya di situ. Rasa cinta yang pernah diluahkan juga dapat dilihat dari renungan itu. Tapi, sayang. Tiada rasa cinta yang mampu dia berikan buat lelaki itu. Kerana hatinya telah lama diberikan buat orang yang tidak pernah menghargai cintanya. Walaupun cuba berusaha dikikis, rasa itu masih bersisa.
“I hargai perasaan you pada I. Tapi I tak boleh balas perasaan you. I tak cintakan you.”
“Kenapa?”
Riak kecewanya cuba dikawal walaupun di dalam hati hanya Tuhan yang tahu. Tidak pernah dia ditolak selama ini. Ternyata perasaan ditolak mentah-mentah itu terlalu sakit. Selama ini dia hanya tahu memilih dan menolak sesiapa sahaja yang dirasakan bukan citarasanya. Tapi hari ini dia berpeluang merasainya. Mungkinkah ini adalah balasan Tuhan?
“I tak ada jawapan pada soalan you tu Faris. I just don’t love you.” Tanpa sedar Amirah sudah mula memanggil Faris dengan nama.
But why? Apa yang tak cukup dengan I ni? Tak kacak? Tak cukup kaya? Atau sebab you masih risaukan status you tu?”
No!” Amirah berpaling ke belakang lalu menapak menjauhi Faris. Namun tubuh itu masih setia berdiri di sebelah cermin kaca. Lebih tenang memandang permandangan di luar berbanding wajah tegang Faris saat ini.
“Pasti ada sebabnya, kan? Kalau sebab you janda beranak satu menjadikan penghalang hubungan kita, baik you lupakan! Berapa kali I nak cakap yang I tak kisah. Umi I pun tak kisah juga.”
Amirah berterusan menggelengkan kepala. Sukar benar mahu membuatkan lelaki itu faham.
“Sebabnya I tak cintakan you. That’s all!”
“Bohong!!” Suara Faris sudah mula meninggi. Dia geram dengan sikap Amirah yang dirasakan cuba menafikan segala kenyataan yang telah mula berputik di dalam hati. Tak mungkin Amirah tidak menyintainya!
Terangkat sedikit tubuh Amirah apabila ditengking sebegitu. Tidak pernah orang menengkingnya hatta Hakim sekalipun. Suaminya itu sentiasa lembut dan sopan ketika berbicara. Jadi apabila ditengking sebegini mudah sahaja air matanya mahu mengalir.
Faris yang mula menyedari keterlanjurannya terus dihantui rasa bersalah. Dek kerana terlalu kecewa dia tidak sedar yang dia telah membuatkan wanita kesanyangannya mengalirkan air mata. Sungguh itu semua berlaku di luar kawalannya.
“Mi..Mira.. I minta maaf. I tak bermaksud nak tengking you. I just..” Faris menolak rambutnya rakus. Kesal memang jelas terpancar di wajah bersih itu.
“I faham.” Amirah menungkas bicara Faris dalam tangisannya. Sendu yang berlagu dikawal agar tidak menganggu komunikasi mereka. “I tak salahkan you. Tapi tolonglah faham Faris. I tak boleh terima you. I just can’t..”
But why, Mira? Tolonglah bagi jawapan yang memuaskan hati I. I tak boleh nak hidup tanpa you, Mira. Selama 8 bulan I simpan perasaan I. Bila I ada kekuatan, kenapa you menolak?”
“Tolonglah Faris. Cinta tak boleh dipaksa. I memang tak boleh!”
Sekali lagi Faris menolak rambutnya ke belakang. Pusing memikirkan bagaimana lagi mahu memujuk Amirah membalas cintanya? Saat ini dia merasakan seperti kehilangan sesuatu yang sangat berharga. Cinta Amirah! Dia tidak sanggup mahu memikirkan yang dia gagal mendapatkan hati itu.
“Mungkin you boleh belajar menyintai I? I takkan paksa. Bila you benar-benar cintakan I baru kita kahwin. Tapi sebelum tu kita tunang dulu?”
Timbul pula idea itu ketika ini. Mungkin itu lebih baik daripada ditolak mentah-mentah sebegini. Jika Amirah bersetuju dia pasti akan menggunakan peluang ini dengan sebaiknya. Dia akan membuatkan Amirah jatuh cinta padanya secepat yang mungkin. Kerana dia tidak sabar-sabar mahu menjadikan wanita itu yang halal buatnya.
“Tak boleh Faris. I memang tak boleh. Walau macam mana sekalipun I tetap tak boleh kahwin dengan you. Bertunang juga!”
Ya Allah berilah aku kekuatan. Tiba saatnya aku perlu memperbetulkan salah faham ini.
Amirah memejamkan mata. Mengumpul segala kekuatan untuk memberitahu sesuatu yang mungkin akan membuatkan Faris membencinya hingga ke akhir hayat. Maafkan aku, Faris!
“Sebab dia isteri aku!”
Amirah pantas membuka mata semula. Dia sangat terkejut apabila melihat Hakim turut berada di situ. Baru sahaja dia mahu membuka mulut. Tapi bicara telah dicantas oleh orang lain. Suaminya sendiri. Ya Allah, apa yang bakal terjadi selepas ini?
Ternyata kehadiran Hakim turut mengejutkan Faris. Dia memandang lelaki itu dengan pandangan tidak percaya. Apakah benar apa yang dikatakan tadi? Tidak salah dengarkah dia?
‘Sebab dia isteri aku?’
Isteri? Tapi bukankah..?
Dia hanya melihat Hakim mendapatkan Amirah, lalu memaut bahu wanita itu mesra. Kucupan sayang di dahi Amirah juga menyusul selepas itu. Hendak terkual biji matanya saat ini. Tersentap jiwanya menyaksikan semua itu. Tapi kakinya seakan tidak mampu diangkat sedikit pun. Hanya kaku di situ. Kenyataan Hakim tadi benar-benar telah memasung tubuhnya.
“Ka. kau cakap apa tadi?”
“Dia isteri aku! Dan tak mungkin dia menerima lamaran kau kerana dia masih isteri aku.”
“Kau bohong! Mira..?” Dia memandang Amirah meminta penjelasan. Tapi wanita itu hanya diam di dalam pelukan Hakim sambil menundukkan kepala.
“Sayang, dah tiba masanya sayang beritahu semua orang siapa sayang yang sebenar?” Usul Hakim sambil mengusap lembut bahu itu.
Sebenarnya dia berada di sini atas urusan kerja. Sudah lebih dua jam dia berada di sini sebenarnya. Dia mempunyai perbincangan dengan Alwi. Masa rehat selama 15 minit ini digunakan untuk melawat isteri tercinta. Tetapi tidak sangka pula dia berpeluang mendengar pujukan Faris terhadap isterinya. Lebih berupa lamaran sebenarnya.
Dia dapat melihat dengan jelas betapa Amirah berusaha menolak Faris. Dan dia juga merasai yang isterinya bakal berterus-terang tentang statusnya. Dia kasihan melihat Amirah menghadapi semua itu seorang diri. Lalu, sebagai suami dia mengambil tanggungjawab untuk membetulkan segala salah faham. Marissa telah menceritakan segalanya kepadanya. Rupanya bukan salah Amirah! Tapi salah mereka yang sesuka hati membuat kesimpulan setelah dilihatnya Amirah hidup sendiri tanpa suami di sisi.
Berbulu mata Faris melihat kelakuan Hakim terhadap Amirah. Seakan mahu ditarik lelaki itu menjauh dan di hadiahkan penumbuk sedas dua. Sesuka hati mengusap wanita kesayangannya.
Tapi dia menyabarkan hati. Dia perlu mendengar sendiri pengakuan dari mulut Amirah. Adakah benar kata-kata Hakim sebentar tadi.
“Amirah, betulkah apa yang dia cakap? Apa semua ni?”
Amirah memejamkan mata. Jelas kedengaran suara itu merayunya agar berterus-terang. Kemunculan Hakim langsung tidak disangka. Saat dia mengumpul kekuatan untuk bersuara Hakim telah mendahuluinya. Dalam keadaan terkejut terus hilang semangatnya.
“Mira, tolonglah katakan ini semua bohong! Kau!” Faris menuding ke arah Hakim. “Apa tujuan kau sebenarnya? Kau jangan nak menipu aku Hakim! Aku kenal siapa isteri kau! Kenapa tiba-tiba kau nak mengaku Amirah ni isteri kau pula? Kau jangan ingat senang-senang kau dapat perbodohkan aku! Ke tepi!”
Faris sudah menggila. Dia menarik kasar tubuh Hakim agar menjauhi Amirah. Tidak rela wanita itu dipeluk lelaki pendusta itu. Saat ini dia sudah tidak memikirkan siapa lelaki ini kepada syarikatnya. Yang dia nampak Hakim adalah pendusta!
Tanpa sedar perbuatan kasarnya telah menyakiti Amirah. Menyedari akan hal itu, Hakim pantas melepaskan pelukan. Tidak mahu tubuh isterinya disakiti.
Nafas Faris berombak ganas. Menandakan yang dia berada di dalam kondisi yang sangat marah. Marah dan keliru sebenarnya. Dengan sekali tarikan sahaja tubuh Hakim dan Amirah berjaya dijauhkan.
“Aku tak bohong Faris. Amirah memang isteri aku. Dialah isteri aku dulu, kini dan selamanya!”
“Bohong!!” Tengking Faris. Dia tidak mahu mendengar pembohongan itu. Kebisuan Amirah telah merancakkan pembohongan itu. “Aku kenal isteri kaulah. Dan dia bukan Amirah! Nama saja sama! Takkan kau dah lupa bini sendiri sampai nak mengaku staff aku ni isteri kau pula? Pergi balik jenguk isteri kau dekat rumah. Jangan nak menyibuk dekat sini!”
Faris sudah menolak tubuh Hakim ke pintu. Mahu menghalau lelaki itu keluar dan membiarkan dirinya berbincang berdua tanpa gangguan.
“Betul, dia suami I!”
Pengakuan Amirah secara tiba-tiba menghentikan perbuatannya terhadap Hakim. Dia sama sekali tidak percaya dengan apa yang didengarnya.
“No..no..no.” Faris menggelengkan kepala. Tidak semudah itu dia akan percaya. “Isteri Hakim tak mungkin you. Terlalu berbeza. Kalau ya pun you nak mengelakkan dari I, gunalah tektik lain!” Tempelak Faris.
Amirah menggelengkan kepala. Menyangkal tuduhan Faris itu. Lalu dia mendekat ke mejanya dan mencari sesuatu di dalam tas tangannya.
“Ini buktinya!”Amirah menyerahkan dua keping kad kepada Faris. Pantas dirampas oleh lelaki itu. Saat matanya meneliti kedua kad itu terus wajahnya berubah pucat. Tak mungkin! Di tangannya kini adalah kad pengenalan Amirah dan juga kad nikah Hakim dan Amirah. Gambar wanita itu mengingatkannya kepada isteri Hakim dahulu. Dia mengangkat wajah meneliti raut wanita di hadapannya. Mencari persamaan antara keduanya. Pandangan matanya silih berganti antara kad dan Amirah.
Dia terjelepok ke sofa sebaik sahaja menjumpai apa yang dicari. Kenapa dia tidak pernah mengesan semua itu sebelum ini? Bukan sahaja dia, malah semua orang telah tertipu dengan penampilan Amirah. Terlalu berbeza!
“I minta maaf Faris. Inilah sebab mengapa I tak boleh terima you. I masih bersuami.”
Sedih Amirah melihat keadaan Faris saat ini. Inilah sebab mengapa dia tidak mahu berterus-terang dengan Faris tentang hal yang sebenar. Dia tidak mampu melihat riak kecewa itu.
“Kenapa Mira? Kenapa you tipu I? Kenapa?!!!”
Terangkat sedikit tubuh Amirah dek tengkingan itu. Tengkingan yang mampu membuatkan dia teresak-esak kembali. Hakim pantas mendapatkan Amirah dan memeluk tubuh itu mesra. Cuba ditenangkan isterinya. Semua masalah ini berpunca dari dirinya. Kasihan Amirah.
“Jawablah Amirah. Kenapa you tipu I? Kenapa both of you sanggup tipu kami semua?” Lirih pula suara Faris saat ini. Dia sangat-sangat kecewa dengan apa yang telah terjadi. Terasa seperti separuh jiwanya hilang.
“Bukan salah Mira, Faris! Aku yang salah. Kalau tak disebabkan aku semua ini takkan akan terjadi.”
“Ahh, kau orang berdua sama saja! Penipu! You Mira, sanggup you tipu status you selama ni?!”
Suara Faris kembali meninggi. Hatinya sakit kerana ditipu. Juga sakit kerana menyaksikan adegan kedua manusia di hadapannya. Bukan main lagi Hakim menujuk sambil memeluk erat tubuh itu. Langsung tiada rasa bersalah!
Tanpa menunggu lama Faris terus meninggalkan kamar itu sebaik sahaja melemparkan kad-kad di tangannya ke lantai. Berdentum bunyi pintu kamar dihempaskan.

Amirah menangis teresak-esak dalam pelukan Marissa. Kesedihan yang dirasakan saat ini begitu mencengkam jiwa. Selepas peninggalan Faris, kesedihan itu tidak mampu dibendung lagi. Dia menolak tubuh Hakim yang begitu erat memeluk dirinya. Benar! Kalau tidak disebabkan Hakim pasti semua ini tidak akan berlaku. Dan tidak akan ada satu hati yang kecewa kerana masalah mereka.
“Sayang, sabarlah.” Hakim memujuk. Tidak pernah dilihatnya Amirah menangis seteruk ini. Dia ralat melihatnya.
“Keluar,” pinta Amirah dalam tangisan yang semakin menggila. Dia mahu bersendirian. Kehadiran Hakim hanya akan membuatkan dirinya sedih dan marah.
“Sayang.” Hakim kembali mendapatkan Amirah. Dia tahu isterinya masih bersedih. Kerana itu dia mahu berada di sisi isterinya. Dia mahu menjadi tempat Amirah meluahkan perasaan dan menenangkan dirinya.
Amirah pantas menepis sebelum Hakim berjaya menyentuh tubuhnya. Dia semakin menjauh.
“Tolonglah keluar..”
“No, abang takkan tinggalkan Mira dalam keadaan macam ni!” Hakim masih berdegil.
“Keluar aku kata! Keluar!!” Amirah sudah seperti dirasuk hantu. Tidak peduli jika kakitangan di luar sana mendengar tengkingannya itu. Yang penting dia dapat melepaskan segala kemarahan dan juga kesedihan yang ditanggung.
Tersentak Hakim ditengking sebegitu. Tidak pernah dia melihat Amirah seteruk ini. Apakah kemarahan Faris sangat memberi kesan buat isterinya? Tapi kenapa? Adakah Amirah juga mempunyai rasa yang sama?
“Mira, kenapa ni?” Hakim pantas berpaling ke arah pintu. Kelihatan Marissa terkocoh-kocoh mendapatkan Amirah. Lalu, tubuh itu dipeluk erat. Amirah juga membalas pelukan Marissa. Ternyata dia lebih senang bersama temannya berbanding Hakim sendiri.
“Syyyy..kenapa ni? Hah?” Marissa yang masih keliru memujuk Amirah. Sejujurnya dia tidak tahu apa yang terjadi. Dia juga pelik mengapa Hakim bisa berada di bilik Amirah.
Tadi keadaan di luar sana begitu kecoh. Dia yang baru sahaja keluar daripada tandas pelik dengan situasi yang terbentang di depan mata. Semua kakitangan seperti bercakap sesama sendiri. Tidak lama selepas itu mereka dikejutkan dengan tengkingan yang cukup kuat. Ia datang dari bilik Amirah. Hatinya mula berasa tidak tenang. Pantas kakinya dihayun ke bilik temannya. Mahu mencari tahu apa yang sedang berlaku.
Tiada jawapan yang diterima. Amirah hanya menangis dan terus menangis.
“Kenapa ni Hakim? Kenapa Mira menangis sampai macam ni?” Marissa beralih kepada Hakim pula. Mungkin lelaki itu ada jawapan kepada pertanyaannya saat ini.
“Faris dah tahu semuanya,” ujar Hakim perlahan.
Buntang mata Marrisa mendengarnya. Patutlah dia melihat wajah Faris sangat bengis ketika melintasinya tadi. Rupanya lelaki itu sudah tahu. Pasti Amirah dimarah teruk. Jika tidak dia tidak akan menangis beria begini.
“Ri...Rissa. Fa..ris marah sangat. Dia ka..kata aku penipu!” Amirah bersuara dalam tangisnya.
“Syyy..dahlah. Tak ada apa-apalah tu. Dia marah sekejap je. Nanti sejuklah. Kau sabarlah, ek?” Pujuk Marissa. Entahkan betul atau tidak dia tidak pasti. Tapi yang pasti Amirah perlu ditenangkan.
“Aku tak sangka boleh jadi macam ni, Rissa! Perkara ni tak sepatutnya jadi begini.”
“Aku faham. Tapi perkara dah berlaku, Mira. Kau relakslah dulu, ya?”
“Betul tu Mira. Sekurang-kurangnya Mira tak perlu menipu lagi.” Pujuk Hakim pula.
“Rissa, tolonglah suruh dia keluar. Aku tak nak tengok muka dia kat sini. Sebab dialah perkara ni terjadi. Sebab dia!” Lurus jari telunjuk di halakan kepada Hakim. Wajah itu benar-benar mengundang kemarahannya. Melihat wajah itu seakan membangkitkan api di dalam dadanya.
“Mira..” Hakim cuba berkata-kata.
“Hakim, awak keluarlah dulu. Tinggalkan Amirah dengan saya. Tahulah saya menjaganya.” Pinta Marissa. Itu lebih baik. Dalam keadaan Amirah sebegini, Hakim perlu memberikan masa untuk Amirah bersendirian. Benar kata Amirah, kalau tidak disebabkan Hakim pasti semua ini tidak akan berlaku.
Walaupun keberatan, Hakim terpaksa juga meninggalkan Amirah dan Marissa. Jika dia terus berada di situ pun bimbang akan menyebabkan kesedihan dan tangisan Amirah makin menjadi-jadi.
Dalam masa yang sama hatinya berdetik curiga. Faris sudah diketahui mempunyai perasaan buat isterinya. Tapi bagaimana pula Amirah. Adakah dia juga merasai apa yang dirasakan Faris? Ahh, tak mungkin! Amirah kan sudah jelas menolak Faris tadi? Hakim cuba menyedapkan hatinya sendiri.

Marissa menyuakan mug berisi nescafe panas kepada Amirah. Selepas beberapa ketika, wanita itu sudah kembali tenang. Melihatkan keadaan Amirah sebentar tadi, membuatkan dia faham kenapa wanita itu beria tidak mahu Faris mengetahui status dirinya yang sebenar. Kalau dia di tempat Amirah pun dia tidak sanggup untuk menghadapinya.
“Sudahlah, Mira. Bukan salah kau pun. Dah nak berlaku nak buat macam mana?”
“Tapi dia tuduh aku penipu, Rissa! Satu tuduhan yang aku rasa sangat berat.”
“Alah, kau biarlah dia sejuk seminggu ni dulu. Aku yakin marah Faris tak lama.”
Amirah mengesat air mata yang masih menitis. “Tapi aku dah tak berani nak berdepan dengan dia. Aku takut! Dia marah sangat dengan aku.”
Payah juga, fikir Marissa. Melihat keadaan Faris sebentar tadi, dia juga tidak pasti sama ada dia berani berdepan dengan lelaki itu. Pasti Faris dapat mengagak yang dia bersubahat dengan penipuan ini.
“Bila Hakim nak siapkan dokumen perjanjian kau orang berdua tu?”
Mungkin ini saja cara Amirah melarikan diri dari semua ini. Selepas menyerahkan surat perletakan jawatan, maka bebaslah dia dari kemelut penipuan ini. Tidak perlu lagi berdepan dengan Faris. Dan yang paling penting tak perlu lagi dia menanggung perasaan bersalah setiap kali berdepan dengan Faris.
Tapi dalam masa yang sama, dia turut belas dengan keadaan Faris saat ini. Pasti Faris amat kecewa saat ini. Orang yang dicintai rupa-rupanya isteri orang. Malah, lebih mengejutkan isteri kepada pengarah syarikat pembekal terbesar Mega Construction.
“Entahlah. Aku tak sempat nak bertanya,” balas Amirah perlahan tapi masih jelas di pendengaran Marissa.
“Aku nak baliklah, Rissa.”
“Oh, no..no..no! Kau tak boleh balik dalam keadaan macam ni. Macam mana kau nak drive?”
Niat Amirah sebentar tadi pantas dihalang Marissa. Dia yakin temannya itu dalam keadaan yang tidak stabil untuk memandu.
“Tapi aku nak buat apa lagi? Selepas apa yang terjadi tadi aku dah tak boleh nak fokus, Rissa. Lebih baik aku balik saja.”
“Tinggal dua jam saja lagi, Mira. Kau duduklah dulu kat dalam bilik ni. Buatlah apa-apa yang patut sementara tu. Then, pukul 5.30 kita balik. Aku drive! No excuses!”
Marissa pantas menghalang bicara Amirah. Nanti banyak pula alasannya.
“Okay?”
Tiada pilihan, Amirah hanya menganggukkan kepala. 


p/s: blog updated..Sori lambat ket...sibuk sangat la..enjoy ya!