Ahad, 1 November 2009

Kau yang kunanti 3

“Maaf encik. Encik dah salah orang ni. Saya bukan Amirah,” ujar Amirah setelah mendiamkan diri beberapa ketika. Dia cuba berlagak biasa. Walaupun sukar untuk menafikan, digagahkan jua. Wajah gelisah sebentar tadi cuba dimaniskan dengan senyuman. Dan saat itu juga dia dapat melihat Sofiana menarik nafas lega.

Hati Hakim yang baru sahaja mahu berbunga kembang terus menguncup apabila wanita yang disangkakan Amirah sebentar tadi menafikannya. Hakim hampa namun masih mampu tersenyum lalu meminta maaf kepada wanita itu. Namun, dalam masa yang sama dia masih keliru. Sinar disebalik renungan mata itu masih mampu dikenalinya. Dari segi penampilan memang jauh berbeza. Wanita itu jauh lebih cantik dan bergaya dari Amirah. Tapi bening dan suara itu? Itu milik isteriku! Bisiknya dalam hati. Bila ditenung kembali wajah itu memang agak mirip dengan isteri pertamanya.

“Jomlah bang. Apa yang ditunggu lagi?” rengek Sofiana. Sifat cemburu dan dengki yang sudah lama wujud semakin menjadi apabila dihidangkan dengan adegan itu. Ternyata Hakim masih tidak dapat melupakan Amirah. Apa yang terlalu istimewa tentang wanita itu? Sehingga wanita cantik yang dilanggarnya tadi disangkakan Amirah. Dalm hati Sofiana terasa ingin ketawa. Wanita cantik itu dikatakan Amirah? Logikkah? Kemana agaknya akal fikiran dan kewarasan Hakim?

Amirah dan wanita cantik itu jauh benar perbezaannya. Bagai langit dengan bumi! Seingatnya Amirah bukan begitu. Terlalu selekeh dan kekampungan. Langsung tidak dapat menandingi dirinya yang dirasakan begitu cantik dan menawan. Dan mungkin disebabkan itu isteri pertama suaminya itu telah awal-awal lagi mengundurkan diri. Mungkin Amirah menyedari tiada gunanya bertahan kerana semestinya dia bukan lawanku! Bisik hatinya. Kalau tidak mengapa Hakim lebih rela menemaninya di rumah berbanding Amirah enam bulan yang lalu?

Hakim terasa berat hati hendak meninggalkan tempat itu, namun digagahkan jua kaki melangkah apabila tangan Sofiana mencengkam lengannya kuat. Dia seperti yakin wanita cantik itu adalah Amirah, isteri pertama yang telah menghilangkan diri selama enam bulan. Wajah itu masih tidak dilepaskan dari pandangan matanya. Cuba mencari mencari kebenaran disebalik bening mata yang redup itu. Seakan mengerti wanita itu juga tidak lepas dari menatap wajahnya.

“Mira, apa yang kau tengok tu?”

Satu suara yang tiba-tiba memecah kehingan pantas membuatkan kaki Hakim berhenti melangkah. Dia kembali menoleh. Kelihatan wanita cantik itu sedang bercakap-cakap dengan temannya dengan riak gelisah. Andai tidak salah pendengarannya, dia ada mendengar wanita yang sedang mengendong seorang bayi kecil menyebut nama Amirah. Jika tadi dia sudah berputus-asa, tapi suara itu telah mengubah segalanya. Wanita itu juga menoleh. Pandangan mata mereka bertemu. Hakim dapat mengesan riak kegusaran di wajah itu.

“Eh Mira, aku cakap dengan kau ni! Nah ambik balik Suha ni..nakal betul tadi. Penat aku melayan kerenah dia!”

Hakim bertambah keliru. Suha? Itu nama anak aku! Matanya beralih pula kepada bayi kecil itu. Ya, memang itu anak aku! Walaupun sudah bertambah tembam tapi dia masih mengenali wajah anaknya itu.

Pada masa itulah Amirah terus menarik tangan kawannya dan memaksa rakannya meninggalkan tempat itu. Hakim kalut. Dia memang yakin itu adalah isterinya. Ringan sahaja kakinya hendak mengejar. Namun Sofiana pantas menghalang.

“Abang nak pergi mana? Dia tu bukan Amirahlah!” Marah Sofiana tidak berpuas hati. Pada saat itu dia memang yakin itu adalah Amirah, tapi dia perlu menghalang Hakim. Dia tidak mahu wanita itu kembali dalam hidup mereka.

“Tidak Sofi. Abang tahu itu Amirah. Abang masih kenal isteri abang,” balas Hakim.

Sofiana tertawa. “Abang ni dah buta agaknya kot. Tak nampak ke perempuan tu punya cantik. Jauh berbeza dengan Amirah. Amirah tu selekeh tahu tak?”

Hakim memandang Sofiana tajam. Tiba-tiba dia menjadi berang dengan kata-kata itu. Dia tidak suka cara Sofiana mengata isteri pertamanya. Lalu dengan kasar dia merentap tangannya yang berada dalam genggaman Sofiana. Langkahnya diatur laju untuk mengejar Amirah yang mungkin sudah menjauh. Dia tidak mahu kehilangan jejak isterinya itu. Tidak tahu lagi harus dicari isterinya jika itu berlaku. Tidak dipedulikan lagi Sofiana yang melaung memanggil namanya seperti orang gila kerana ditinggalkan. Apa yang ada dalam fikirannya ialah Amirah.

................................................................................................

Dalam pada itu Amirah buru-buru menarik tangan Marissa agar membuntutinya. Tidak dipedulikan mulut comel Marissa yang membebel memarahinya kerana berjalan terlalu laju. Adakalanya bebelannya itu disulami dengan pertanyaan demi pertanyaan. Mungkin bingung dengan kelakuannya seperti melarikan diri dari sesuatu.

“Eh Mira, apsal dengan kau ni?” Marissa bertanya lagi sebaik sahaja tangannya dilepaskan Amirah. Ketika itu mereka sudah sampai ke tempat di mana kereta Amirah diletakkan.

“Cepat masuk Rissa. Aku tak nak terserempak dengan mereka lagi.”

“Tapi kenapa? Siapa mereka tu?”

“Aku tak ada masa nak terangkan sekarang. Balik nantilah aku terangkan. Sekarang cepat masuk dalam kereta!”

Marissa buntu. Namun dituruti sahaja kata-kata temannya itu. Baru sahaja dia hendak membuka pintu kereta tiba-tiba dia terdengar suara lelaki melaung-laung nama Amirah. Dia lantas berpaling ke belakang. Dilihatnya lelaki tadi berlari-lari menuju ke arah mereka. Dia bertambah keliru lalu berpaling semula ke arah Amirah mengharapkan penjelasan. Apa yang dilihat ialah wajah itu tampak begitu gelisah dan berpeluh.

“Rissa cepat masuk dalam kereta!”

Amirah terburu-buru meghidupkan enjin kereta selepas menyerahkan Nasuha kepada Marissa. Baru sahaja dia hendak menutup pintu kereta, Hakim terlebih dahulu menghalangnya. Amirah kaget. Manakala Marissa pula bertambah bingung. Terfikir olehnya apakah hubungan mereka berdua. Kenapa lelaki itu beriya-iya mengajar Amirah? Dan kenapa perlu Amirah melarikan diri sehingga sebegitu rupa? Mungkinkah lelaki itu suaminya? Kalau benarlah tekaannya tidak hairanlah mengapa lelaki itu menjadi rebutan dua wanita. Dia sememangnya kacak!

“Mira, we need to talk!”

“Tak ada apa yang dicakapkan lagi abang.”

“Masih banyak perkara yang perlu kita bincangkan. Tolonglah beri abang peluang!”

“I’m sorry, Mira sibuk!”

“Mira, jangan macam ni. Kita perlu berbincang,” pujuk Hakim. Sekali lagi ditahan pintu kereta yang mahu ditutup Amirah.

“Mira, please..”

“Mira, sorry kalau aku masuk campur hal korang suami isteri. Tapi aku rasa korang perlu berbincang. Dengar apa yang suami kau nak katakan. Tak elok biar masalah korang berdua berlarutan macam ni.” Akhirnya Marissa bersuara. Kasihan juga dia melihat suami Amirah yang bersungguh-sungguh memujuk tetapi langsung tidak dihiraukan isterinya. Dasyat juga rajuk temannya itu.

Amirah melepaskan keluhan berat. Terasa berat kakinya hendak melangkah keluar dari kereta itu. Entah mengapa dirasakan dirinya tidak kuat untuk berhadapan dengan suaminya itu. Bimbang rindu dan cinta yang masih mendalam ini akan melemahkannya. Tapi dia juga tidak mahu terus bertegang-urat dihadapan Marissa. Oleh itu, setelah beberapa lama Amirah menggagah diri keluar dari kereta itu.

Hakim menarik nafas lega. Dalam hati cukup berterima kasih atas nasihat teman Amirah itu. Mereka mengambil tempat sedikit jauh dari kereta. Bimbang perbualan dan pertengkaran yang bakal berlaku nanti akan sampai ke pendengaran temannya itu.

“Perkara apa yang abang nak bincang dengan Mira?”

Setelah beberapa minit mendiamkan diri, akhirnya Amirah bersuara. Dia memeluk tubuh untuk meredakan debaran di dada saat bertentang mata dengan suaminya itu.

Saat itu mata Hakim meliar ke sekitar tubuh isterinya. Dipandang dari atas ke bawah. Dia seperti tidak percaya wajah yang sentiasa dirindui selama ini telah berada di depan matanya. Sedangkan selama ini sudah jenuh dia mencari isterinya itu. Rama penyiasat persendirian yang dikerah untuk menjejaki Amirah. Tidak cukup dengan itu dia sendiri keluar mencari. Teman-temab rapat isterinya sudah dihubungi tapi semuanya memberikan jawapan negatif. Papa dan mamanya juga kecewa dengan kehilangan Amirah. Ahh, lebih tepat lagi kecewa dengan sikapnya yang mengabaikan isteri pertamanya itu. Lebih kecewa apabila berita perkahwinannya dengan Sofiana sampai ke pengetahuan mereka. Sampai sekarang papa dan mamanya langsung tidak mengiktiraf status Sofiana sebagai menantu mereka. Pada papa dan mama menantu mereka hanyalah Amirah seorang.

Kini baru Hakim tahu mengapa jejak isterinya sukar benar dikesan. Amirah sudah berubah. Perubahan yang tidak pernah disangkakannya selama ini. Isterinya itu benar-benar cantik. Malah dengan penampilan kasual begitu, Amirah tampak seperti gadis perawan dan bukannya seorang ibu. Sehingga membuatkan hati lelakinya tidak jemu menatap wajah putih bersih itu.

“Abang please, tadi abang kata ada perkara yang abang nak bincangkan dengan Mira? Apa dia? Jangan buang masa Mira. Banyak lagi kerja dekat rumah tu,” tempelak Amirah. Dia sebenarnya rimas dengan renungan suaminya itu. Dia tahu Hakim agak terkejut dengan penampilan barunya.

Namun dia akui, dia begitu merindui suaminya itu. Seakan mahu dipeluk Hakim bagi melepaskan rindu yang terbuku di dada. Dia mahu Hakim membelai rambutnya seperti dahulu. Tetapi semua itu hanya dipendamkan apabila perasaan marahnya muncul kembali. Dia tidak mahu dikatakan lemah. Dia mahu Hakim tahu perubahannya ini bukan pada penampilannya saja, malah sikapnya juga. Dia bukan lagi wanita lemah-lembut yang boleh diperbodohkan begitu sahaja.

“Abang rindukan Mira,” luah Hakim penuh perasaan. Dia cuba menarik tubuh Amirah ke dalam pelukannya, tetapi tidak berjaya apabila isterinya itu pantas berundur ke belakang. Dia hampa, namun senyuman manis tetap dihadiahkan untuk isterinya itu.

p/s: sori sebab lambat sangat upload new n3

minggu exam dah start..so mungkin lambat sikit new n3 masuk nanti..

Ida dan final year. Kena lebih tumpuan..

mintak maaf ek kawan2..