Isnin, 19 Oktober 2009

Kau yang kunanti 2

Malam itu selepas menidurkan Nasuha, Amirah termenung di ruang tamu. Bermacam-macam perkara yang difikirkannya. Persoalan yang menyesakkan kepalanya saat itu. Sungguh dia tidak menyangka setelah 6 bulan berlalu ternyata Hakim masih tidak lupa dengan tanggungjawabnya sebagai seorang suami. Nafkah untuk isteri dan anaknya tetap diberikan. Terkejut dia apabila melihat buku akaun Bank Islamnya yang tercatat wang masuk setiap bulan. Dia yakin itu adalah pemberian suaminya kerana tiada siapa pun yang mengetahui nombor akaunnya kecuali Hakim. Suaminya itu yang membukakan akaun tersebut untuknya.

Kalaulah Marissa tidak menyebut tentang bank itu sudah tentu dia tidak akan yang dia mempunyai akaun di Bank Islam dengan jumlah simpanan yang begitu banyak. Semua itu disebabkan sikapnya yang tidak pernah mahu menyentuh wang itu. Bukan kerana tidak menghargai pemberian suaminya, tetapi selalunya Hakim akan memberikan wang belanja dapur kepadanya sendiri. Dan pada fikirannya untuk apa lagi wang yang didalam bank itu digunakan? Lebih baik disimpan untuk kegunaan pada masa depan. Hakim ternyata begitu memanjakan mereka anak beranak dengan wang ringgit.

Hujung minggu itu Amirah dan Marissa membawa Nasuha bersiar-siar di taman. Usia anaknya itu sudah hampir dua tahun. Kasihan Nasuha, dalam usia semuda ini dia telah kehilangan kasih sayang seorang ayah. Berdosakah dia kerana telah memisahkan jalinan kasih sayang mereka berdua? Tapi mungkinkah Hakim masih lagi mengingati puterinya ini?

Ahh, mungkin juga dia sudah melupakan anak ini! Maklumlah, Hakim sudah punya sebuah keluarga lain. Mungkin juga Sofiana telah melahirkan kerana madunya itu sudah berbadan dua semasa Amirah meninggalkan suaminya itu. Berapa usia kanduangan Sofiana tidak pula dia ketahui. Mungkin isteri kedua suaminya itu bunting pelamin.

Tapi kalau benar suaminya itu telah melupakan mereka berdua, kenapa setiap bulan Hakim tidak lupa untuk memberi nafkah? Ahh, kusut fikirannya benar fikirannya...

“Apa yang kau fikirkan Mira?”

Amirah mengesot sedikit memberikan ruang buat Marissa melabuhkan punggungnya.

“Tak ada apa-apalah Rissa.” Pantas Amirah menggeleng-gelengkan kepala.

“Tipulah. Aku tahu kau tengah fikirkan sesuatu kan? Mesti ada kena-mengena dengan Hakim kan?”

Perlakuan Amirah yang menunduk secara tidak langsung memberikan jawapan kepada Marissa. Dalam diam dia juga bersimpati dengan nasib yang menimpa temannya itu. Dalam usia yang baru mencecah 27 tahun dia sudah diuji dengan dugaan yang begitu hebat. Bagaimana kalau dia yang diuji sebegitu? Ahh, tidak sanggup dia hendak memikirkannya. Hidup bermadu terlalu pahit untuk dilalui oleh orang lemah sepertinya.

“Rissa kalau kau ditempat aku, apa yang kau akan lakukan?”

Amirah tiba-tiba bersuara. Temannya itu hanya tersenyum. Kemudiannya dia membuang pandang ke arah Nasuha yang sedang bermain seorang diri di atas tikar berhampiran mereka.

“Kau dengan aku berbeza Mira. Kau wanita yang tabah. Sedangkan aku mungkin tak sekuat kau. Kalau aku ditempat kau sudah pasti aku akan meminta perpisahan daripada suami aku. Terus terang aku katakan aku tak sanggup hidup bermadu.”

Sedikit sebanyak apa yang dikatakan Marissa berbekas di hatinya. Perpisahan? Mampukah aku menghadapi perpisahan? Entah mengapa terasa berat kenyataan itu mahu diterimanya sekiranya ia benar-benar berlaku. Tapi kenapa? Bukankah itu yang dia mahukan dulu? Keadaan mereka yang sudah berpisah selama 6 bulan ini sudah seperti penceraian tidak rasmi baginya. Tidak sebumbung dan langsung tidak berjumpa. Cuma nafkah dari Hakim yang masih mengikat mereka berdua.

“Jadi apa yang aku patut aku lakukan Rissa?” Amirah meminta pendapat.

“Kau masih sayangkan dia?”

Amirah terdiam. Agak sukar baginya hendak menjawab soalan yang diutarakan. Saat itu dia sendiri tidak tahu apakah perasaannya terhadap Hakim. Yang dia tahu dia begitu kecewa dengan layanan suaminya itu setelah punya Sofiana. Dia juga rindukan kenangan mereka berdua sebelum kemunculan wanita itu. Saat di mana dia begitu bahagia disayangi oleh seorang lelaki bernama suami. Namun, apabila terbayangkan wajah Sofiana, rasa rindu itu hilang serta-merta. Yang ada hanyalah perasaan benci dan marah yang begitu mencengkam jiwa.

“Entahlah Rissa. Aku pun tak tahu.”

“Mira, aku tak nak kasi kau pendapat apa-apa. Aku tak nak nanti kau menyesal pula menuruti kata-kata aku. Segala keputusan yang kau buat mestilah datang dari hati kau. Cuma, aku nak kau tahu, walau apa pun keputusan kau, aku akan sentiasa menyokong kau.”

Amirah menngangguk-anggukan kepala tanda mengerti. Kemudian dia bangun mengambil Nasuha yang masih leka dengan mainannya. Pipi tembam anak itu dikucup lembut.

‘Hanya sayanglah permata hati ibu. Jangan tinggalkan ibu seperti ayahmu telah meninggalkan kita kerana perempuan lain,’ bisik Amirah dalam hati. Mata galaknya bergenang air. Hatinya mudah saja dirusuh hiba bila terpandangkan wajah anak itu yang mirip benar dengan ayahnya.

“Sudahlah Mira, jangan sedih-sedih lagi. Banyakkan bersabar,” pujuk Marissa sambil mengusap belakang tubuh temannya itu. “Emm..lepas ni jadi tak nak pergi shopping?” Marissa cuba mengalihkan topik yang dia kira bisa membuatkan wanita itu melupakan kesedihannya.

“Mestilah jadi. Dah lama tak shopping ni,” ujar Amirah ceria. Seperti yang dijangkakan Marissa. Semenjak perpisahannya dengan Hakim, dia sudah menjadi wanita yang sedikit boros dan cerewet tentang pakaian dan perhiasan diri. Semua itu gara-gara Marissa yang beriya-iya memintanya mengubah penampilan diri. Katanya Amirah cantik dan masih muda. Cuma kecantikannya itu ditutupi dengan pakaiannya yang agak advance dari usianya. Marissa juga pernah berkata...

“Aku pernah menonton rancangan Apa Apa Aje yang dekat TV3 tu. Sheila Rusly kata kalau kita kecewa, cara untuk mengubati kelukaan adalah dengan mengubah penampilan kita.”

Bila difikirkan mungkin ada juga benarnya. Pakaian yang menutupi tubuhnya selama ini hanyalah baju kurung. Dan wajahnya pula hanya disapukan bedak asas tanpa alat-alat solek. Malah, selepas kelahiran Nasuha penampilan dirinya dihadapan Hakim semakin terabai. Baginya itu semua tidak perlu kerana Hakim begitu menyayangi dirinya. Mungkin inilah salah satu punca mengapa Hakim berkahwin lain. Jika dibandingkan dirinya dengan Sofiana memang banyak perbezaannya. Sofiana adalah seorang gadis yang begitu bergaya semasa di universiti dahulu. Apa sahaja fesyen terbaru akan digayakan walaupun sesekali Amirah akui fesyen yang dipilih Sofiana agak tidak sesuai dengan imej seorang muslimah.

Tapi kini Nur Amirah sudah berubah. Penampilannya sudah tidak seperti dahulu lagi. Pakaiannya tampak lebih kasual sesuai dengan gelaran wanita bekerjaya yang disandangnya. Dia juga sudah pandai bersolek sekarang. Wajahnya tidak lagi pucat seperti dahulu. Kata Marissa, dengan gaya sebegitu Amirah kelihatan seperti anak dara. Ternyata dia begitu jelita. Benar atau tidak dia sediri tidak tahu kerana apa yang lebih penting dia patut mensyukuri apa saja yang dia punya. Apa-apa pun dia begitu berterima kasih kepada temannya itu kerana membuka matanya.

“Alamak!”

Tangannya yang lincah memilih pakaian terhenti apabila terdengar suara Marissa mengeluh. Cepat dia mengambil Nasuha yang berada dalam dukungan temannya itu.

“Sorry Rissa, kesian kau. Habis baju kena aiskrim. Suha memang nakallah. Tengok apa yang Suha buat dekat auntie Rissa”, marah Amirah kepada anaknya. Namun, anaknya itu langsung tidak memahami apa-apa. Dia hanya leka dnegan aiskrimnya. Amirah membantu Marissa menanggalkan kotoran yang melekat di baju gadis itu. Namun ia tidak mengurangkan kesan kotoran itu.

“Tak apalah Mira. Aku pergi toilet kejap. Meh sini Suha. Baju dia pun kotor sangat tu.”

Tanpa banyak soal Amirah memberikan Nasuha kepada Marissa.

“Kau tu cepat sikit. Lambat betul memilih. Aku pun kalah dengan kau bab-bab shopping ni,” bebel Marissa. Amirah hanya tersengih sambil memandang Marissa membawa anaknya ke tandas. Bila tubuh mereka berdua sudah menghilang, dia kembali menoleh untuk menyambung niatnya memilih pakaian yang tergendala sebentar tadi. Namun tiba-tiba....

“Aaargghh.....saya minta maaf encik,” Amirah pantas memungut kembali barang-barang yang telah jatuh akibat perlanggaran yang tidak disengajakannya itu. Lelaki yang dilanggarnya itu turut membantu. Banyak benar barang-barang. Shopping sakan ni. Semuanya barang-barang perempuan. Mesti kepunyaan wanita yang berada di sebelahnya.

“Tak apa, saya pun salah juga,” ujar lelaki itu, sopan. Namun Amirah menyedari akan kelainan suara itu. Suara itu seakan pernah didengarnya sebelum ini. Dan ia seperti kepunyaan orang yang begitu dirinduinya. Ahh..tak mungkinlah! Sangkaannya sahaja barangkali. Setelah selesai, Amirah lantas bangun untuk menyerahkannya barang-barang itu kepada lelaki yang sudah pun bangun mendahuluinya. Namun saat mata bertentang mata Amirah terasa tubuhnya kaku. Begitu juga dengan pasangan itu. Kedua-duanya memandang Amirah dengan pandangan tidak percaya dan keliru.

“Amirah..” seru lelaki itu perlahan. Saat itu Amirah mulai gusar. Apatah lagi apbila melihat mata Sofiana yang menjeling tajam padanya. Ternyata Hakim masih mengenalinya walaupun penampilannya sudah berubah. Ya Allah, apa yang harus aku lakukan?

“Mira isteri abang...” seru Hakim lagi. Amirah bertambah kalut. Otaknya tidak dapat merencanakan apa-apa dalam beberapa saat. Hanya mampu merenung ke dalam mata suami yang sudah lama ditinggalkan itu.

Rabu, 7 Oktober 2009

Kau yang kunanti 1

Skrin monitor komputer yang tertera penyata kewangan syarikat Amirah renung tanpa jemu. Sedikit pun matanya tidak beralih ke tempat lain. Pada pandangan orang lain wanita itu kelihatan asyik sekali melakukan kerjanya. Sedangkan hakikatnya bukan begitu. Matanya saja disitu tapi tidak fikirannya yang entah kemana beterbangan.

Sudah 6 bulan Nur Amirah menyepikan diri dari orang-orang yang disayangi. Sudah 6 bulan juga Amirah belajar hidup berdikari. Dia tidak mahu menyusahkan sesiapa. Dia juga tidak mengharapkan belas ihsan orang lain terhadap nasib dirinya. Dengan kelayakan yang tidak pernah digunakan, kini dia berjaya menjawat jawatan sebagai akauntan di Mega Construction Sdn Bhd. Walaupun syarikat ini tidak sebesar mana itu sudah cukup untuk baginya untuk menampung hidupnya dan juga puterinya yang baru menganjak usia setahun dua bulan. Biarlah apa pandangan orang pada dirinya, tidak pernah dipedulikan. Dia juga tidak pernah kisah dengan orang sekeliling yang mengenalinya dengan status janda beranak satu. Kerana hakikatnya hanya dia dan teman rumahnya saja yang tahu.

“Woii..apa yang kau menungkan tu?”

Amirah mengurut dada. Saat itu membuntang matanya merenung Marissa yang tergelak sakan.

“Kau ni Rissa, suka buat aku terkejut. Kalau tiap-tiap hari macam ni boleh mati terkejut aku dibuat engkau!!”

“Hehehe..relaks la. Aku bukan apa. Tiap-tiap hari aku tengok kau termenung. Kenapa? Kau teringatkan suami kau ek?”

Pada waktu itu Marissa sudah pun melabuhkan punggung di atas meja berhadapan dengan Amirah. Semenjak bekerja di sini, Marissa lah yang paling rapat dengannya. Gadis itu bukan sahaja periang malah berperibadi mulia walaupun pada pandangan mata kasar Marissa tampak begitu serius.

Masih dia ingat sewaktu pertama kali dia menjejakkan kaki ke syarikat itu, majikannya telah mengenalkannya dengan Marissa kerana pada waktu itu dia sedang mencari rumah untuk disewa. Kebetulan Marissa juga sedang mencari rakan serumah kerana tidak mampu hendak membiayai sewa bulanan seorang diri. Bekas teman serumahnya sebelum ini telah berkahwin dan mengikut suami ke Sabah.

Tidak dinafikan pada mulanya Amirah agak khuatir untuk tinggal serumah dengan Marissa. Selain berwajah serius, Amirah juga bimbang sekiranya Marissa tidak dapat menerimanya kerana bukan sahaja dia yang bakal menghuni rumah itu, malah anaknya juga. Bimbang sekiranya Marissa tidak biasa dengan tangisan bayi di malam hari. Maklumlah, gadis itu masih belum berumahtangga dan tidak biasa dengan kehidupan sebagai seorang ibu.

Namun ternyata sangkaannya salah belaka. Marissa ternyata gadis yang begitu berbeza dengan lahir wajahnya. Dia mudah menyesuaikan diri dengan Amirah yang beranak kecil. Malahan, gadis itu sudah seperti ibu kedua kepada Nasuha, anaknya. Gadis itu begitu menyayangi Nasuha seperti anaknya sendiri. Sikapnya itulah yang membuatkan Amirah tidak keberatan untuk menceritakan segala masalah yang dihadapinya. Apa sahaja yang telah berlaku dalam hidupnya diceritakan kepada Marissa.

“Kurang ajar punya perempuan!! Sudahlah merampas suami orang, ada hati nak conquer sampai macam tu sekali. Tak sedar diri betul. Kenapa kau tak fight je Mira? That’s your right!”

Itulah kata-kata Marissa selepas mengetahui kisah hidupnya. Kata gadis itu lagi dia tidak suka dengan lelaki yang tidak tidak setia. Sudah ada yang baru, yang lama diabaikan begitu sahaja.

“Harap-harap tunang aku bukanlah macam tu. Tak sanggup aku nak bermadu.”

Amirah hanya tersenyum mendengarnya. Wanita manalah yang sanggup berkongsi kasih. Walaupun bagi lelaki madu itu manis, tapi sepahit hempedu pula bagi seorang wanita. Namun itu semua takdir yang harus dihadapinya. Sebagai manusia dia harus menerima dengan hati yang penuh redha walaupun begitu pahit hendak ditelan. Tapi dalam keadaan dia yang melarikan diri sebegini, sesuaikah tindakannya ini dengan perkataan ‘redha’ itu? Mungkin perkataan itu begitu sepadan suatu ketika dahulu. Ketika berita perkahwinan suaminya dengan Sofiana sampai ke pengetahuannya. Walaupun kecewa yang teramat tapi digagahkan jua bibirnya mengukirkan senyuman. Semua itu didorong oleh rasa takut kehilangan orang yang begitu disayangi di dunia ini. Dia tidak punya sesiapa melainkan suaminya itu. Amirah anak yatim piatu. Dirinya hanya dibesarkan di rumah anak-anak yatim.

Tetapi, kekuatan dan ketabahan yang cuba disemaikan di dalam jiwa akhirnya roboh juga lantaran pengabaian suaminya saban hari. Sepanjang 3 bulan berkahwin dengan Sofiana hanya 3 hari sahaja Hakim menjenguknya di rumah. Itupun hanya sekejap. Hakim sudah tidak betah tinggal dirumah mereka. Lelaki itu lebih selesa berada di rumah isteri keduanya. Lalu, setelah berfikir panjang jalan inilah yang diambilnya. Mungkin kehadirannya dalam hidup mereka berdua akan merumitkan keadaan. Amirah sedar dirinya hanya menumpang kasih suaminya. Sofiana yang lebih berhak kerana mereka berdua pernah menjadi pasangan kekasih semasa sama-sama menuntut di universiti dahulu. Tetapi hubungan mereka terputus di tengah jalan kerana halangan dari orang tua.

“Weh, kau ni kenapa? Termenung lagi!!” Suara Marissa yang sedikit bernada marah membuatkan Amirah tersedar dari mimpinya.

“Tak ada apa-apalah. Hah, kau ni kenapa datang bilik aku?”

“Kenapa kau tanya? Cuba tengok jam dah pukul berapa sekarang?”

Amirah hanya menurut kata-kata Marissa itu. Hampir tersembul matanya apabila jarum jam sudah menunjukkan ke angka satu.

“Masyaallah dan pukul 1.”

“Ya cik kak dah pukul 1 pun. Lunch time. Dah jom makan. Aku dah lapar ni gila ni. Asyik mengelamun saja kau ni. Ingatkan husband la tu. Kalau dah rindu sangat, kau pergi saja cari dia dekat rumah bini mudanya tu. Senang cerita. Tak payah termenung sana sini. Lepaskan rindu kau habis-habisan,” bebel Marissa.

“Mengarut saja kau ni. Entah dia ingat ke tidak dekat aku ni. Dah 6 bulan aku disini. Tapi tak sekali pun dia datang cari aku. Itu maknanya dia dah bahagia dengan bini muda dia. Biarlah, aku pun tak nak jadi penghalang kebahagian mereka.”

“Habis? Kebahagiaan kau macam mana? Takkan kau nak biarkan macam tu saja. Tak adil namanya. Kau isteri dia jugak,” bangkang Marissa.

“itu aku tahu Rissa. Tapi apa gunanya aku tuntut hak aku pada dia sekiranya dia tak sudi nak beri. Aku jugak yang akan kecewa nanti. Biarlah, mungkin jodoh aku dengan dia sampai di sini. Siapa tahu kalau-kalau ada jodoh aku dengan orang lain?”

“Dengan orang lain? Dengan siapa tu? Hah, aku tahu dengan Encik Faris kan?”

“Ish..kau ni mengarut saja lah. Apa kena-mengena dengan Encik Faris pulak?”

Cepat aku menidakkan andaiannya. Tidak mahu mendengar usikan-usikan Marissa lagi. Gadis itu suka benar menggosipkan aku dengan bos kami iaitu Encik Faris. Seorang lelaki tampan yang masih belum beristeri walaupun sudah menjangkau usia 32 tahun. Tiba-tiba wajah tampannya berlegar-legar di fikiranku..

p/s: hai kawan2..nilah novel pendek yang ida janjikan tu..apa pendapat kawan2..ok x? tinggalkan la komen ek..

Jumaat, 2 Oktober 2009

Lamanya tak update blog kan???

Hai kawan2..terasa lama sangat ida tak update blog..bukan apa banyak sangat assignment..punyalah enjoy cuti sampai tak ingat asignment nak kena submit..berlambak pulak tu..ni ida ada 6 assignment lagi tak sentuh..ponin sangat pale ni ase.. jalan pun dah tak betul..pendek kata mandi tak basah, makan tak kenyang sebab ingatkan assignment..plus ngan manuskrip Antara Benci dan Rindu yang ida kena siapkan tahun ni jugak..tak tahu la sempat ke tak..harap2 sempat la..so tahun depan dah boleh publish..

Sebenarnya ida ada nak buat annoucement skit ni..insyallah dalam waktu yang terdekat ni ida nak post cerita pendek dekat blog..dah lama menyepi kan? so ase macam sunyi je blog ida sekarang ni.. so ingat nak hangat kan balik blog ida ni..cerita yang ida nak post ni tak la panjang sangat macam novel tu..cerita pendek jea..tapi takde la pendek sangat..kurang dari 10 bab kot..moga2 kemunculan cite pendek ida ni dapat mengubat rindu kawan2 pada Antara Benci dan Rindu..

ok sampai kat sini dulu untuk kali ni..daaaa...