Sabtu, 30 Mei 2009

Antara Benci dan Rindu 27

Ketika aku sampai di rumah jam sudah menunjukkan pukul 5.30 petang. Kereta Yusrizal tidak pula kelihatan di porch. Bermakna lelaki itu belum pulang dari pejabat. Selepas mengambil semua barang-barang di dalam kereta aku mula mengorak langkah memasuki rumah.

"Hah Ifa, dah balik?" tanya mak cik Bibah sambil menghulurkan tangan untuk mengambil barang-barang di tanganku.

"Tak apa mak cik. Ifa boleh bawa sendiri." Aku menegah. Wanita itu hanya menganggukkan kepala tanda memahami.

"Rizal tak balik lagi ke mak cik?"

"Dak lagi. Rizal tu memang macam tu. Selalu balik lambat. Kalau tak pukui 10 malam jangan haqap nak nampak batang hidung dia," beritahu mak cik Bibah. Aku mngerutkan dahi. Nampaknya perangai Yusrizal yang kuat bekerja itu masih tidak berubah. Sebenarnya aku benci pada lelaki yang terlalu kuat bekerja sehingga tiada masa untuk perkara lain. Apa mereka ingat tanggungjawab seorang suami hanya mencari nafkah buat keluarga? Bagaimana pula soal kasih sayang? Keselamatan? Apa perlu ditolak ketepi begitu sahaja? Bila isteri mulai bosan timbullah pula pelbagai masalah dalam rumahtangga. Dan si suami pula akan menyalahkan isteri yang kononnya tidak setia! Hai, macam-macam!

" Tapi haqi ni mak cik qhasa dia balik awai sikit kot," kata mak cik Bibah lagi.

"Kenapa pulak mak cik?"

"Dia telepon mak cik tadi. Suquh masak malam ni. Dia balik makan. Biasanya dia makan kat luaq ja. Tak payah masak," terang mak cik Bibah dalam loqhat Kedahnya. "Lagipun, dah ada bini tak boleh la nak buat peqhangai masa bujang," sambungnya.

Aku tersenyum. Itulah yang sepatutnya dilakukan orang yang sudah berkahwin. Tapi sebenarnya, aku lebih senang jika dia pulang lewat. Tidak perlulah aku berhadapan dengan sikapnya yang menjengkelkan. Lelaki itu memang bermuka tembok! Di hadapan pembantu rumah pun dia tidak segan mempamerkan kemesraan antara kami. Aku pula yang menahan malu. Makin ditepis makin menggila tangannya merayap di tubuhku. Mak cik Bibah pula hanya tersenyum sambil mengangkat bahu. Tanda tidak dapat membantu.

"Ifa naik dululah mak cik, ya? Tak solat lagi ni. Nanti Ifa turun tolong mak cik masak."

"Alah, tak payah la Ifa! Ifa qilet sudah. Biaq mak cik yang buat," larang mak cik Bibah.

"Tak apalah mak cik. Lagipun bolehlah Ifa belajar masak," kataku sambil meletakkan telapak tanganku di tepi bibir seperti sedang berbisik. Tapi siapalah yang hendak mendengar perbualan kami ini sedangkan tiada siapa di rumah melainkan kami berdua sahaja.

"Laa, Ifa tak qeti masak ka?"

"Bukan tak reti langsung. Cuma adalah sesetengah masakan yang Ifa tak tahu buat. Boleh la jugak belajar resepi baru. Nanti mak cik ajar Ifa ye?"

"Yalah. Ifa pi la mandi dulu, pastu semayang. Mak cik nak pi buat qeja kat dapuq dulu, noh?"

Aku menghantar langkah mak cik Bibah ke dapur dengan pandangan mata. Kemudian, aku memanjat anak tangga menuju ke kamarku. Oppss, bukan kamarku. Tetapi kamarku dan juga suamiku.

Aku keluar dari bilik air sambil mengeringkan rambutku dengan tuala kecil. Terperanjat aku apabila mataku menangkap batang tubuh Yusrizal yang sudah terdampar di atas katil. Tubuh lelaki itu masih dibaluti pakaian kerja. Nasib baik juga aku sudah berpakaian sempurna. Kalau tidak....

Semenjak berkongsi bilik dengan Yusrizal, tabiatku yang gemar berkemban selepas mandi sudah berubah. Aku akan memastikan yang tubuhku sudah dibaluti dengan pakaian yang sempurna sebelum aku keluar dari bilik air. Pandangan suamiku itu hanya akan terhad kepada batang leher dan ke atas. Yang lain tertutup rapi.

"Hai sayang, dah lama balik?" tegur Yusrizal.

"Dah lama la jugak," jawabku, malas.

Dapat aku mengesan mata Yusrizal yang tajam merenung batang tubuhku melalui cermin. Aku hanya mengambil langkah untuk tidak mengendahkan pandangannya walaupun hatiku berdebar hebat. Tanganku lincah menyisir rambutku yang panjang dan masih basah itu.

"Cantik rambut Ifa. Dulu tak ada la panjang macam ni kan?"

Lelaki itu sudah berada di belakangku. Entah bila dia di situ aku tidak tahu. Terlau asyik menyisir sehingga tidak sedar keadaan sekeliling.

Aku sedikit tersentak apabila Yusrizal merampas sikat di tanganku. Rambutku yang masih sedikit kusut disikat olehnya pula. Aku tidak mampu menghalang melainkan hanya memandang tingkah lakunya itu. Jangtungku berdegup kencang apabila sesekali terasa jari-jemarinya menyentuh kepalaku.

Apabila Yusrizal meletakkan sikat itu di atas meja solek, aku ingin bangun untuk meniggalkan bilik itu. Tidak betah aku tinggal berdua di dalam bilik ini. Nafasku terasa sesak dengan setiap tindakan suamiku itu. Setiap tingkah-lakunya yang romantik pasti akan melenturkan hatiku juga satu hari nanti.

Namun sekali lagi jantung berlari kencang apabila Yusrizal melingkarkan tangan sasanya di leherku. Memelukku dari arah belakang. Dagunya pula diletakkan di atas kepalaku. Bibirnya pula sekali-sekali mengucup rambutku.

"Emmphh..wanginya. Baru lepas syampu rambut ke?"

Tidak pula aku menjawab soalannya. Terasa lemah seluruh tubuhku dengan belaian yang diberikan suamiku sehingga tidak mampu aku membuka mulut. Sedangkan Yusrizal pula masih asyik dengan dunianya.

"Er..sa..saya nak turun masak untuk makan malam." Aku bersuara juga setelah mengumpulkan segala kekuatan yang masih tinggal. Enggan berada dalam situasi ini dengan lebih lama.

"Alah, mak cik Bibah kan ada! Biar ajelah dia yang buat semua tu."

"Tapi saya dah janji nak tolong dia."

"Sayang, abang gajikan mak cik Bibah untuk tolong uruskan rumah ni. Bukan suruh duduk goyang kaki. Biar jelah dia yang buat."

"Saya bosanlah kalau tak buat apa-apa. Tak ada kerja nak buat." Aku mencuba lagi. Manalah tahu kalau-kalau pujukanku berhasil.

"Siapa cakap sayang tak ada kerja. Kerja sayang melayan abanglah," ujarnya sambil ketawa kecil.

Nampaknya lelaki itu masih enggan melepaskan aku. Sedangkan tubuhku sudah menggigil diperlakukan begitu. Apa lagi alasan yang patut aku gunakan untuk melepaskan diri. Aku terfikir-fikir sendiri. Kekalutan semakin mengasak minda apabila bibirnya sudah mula bermain-main di pipiku.

"Er..awak tak solat maghrib lagi kan?" tanyaku. Ini sajalah yang dapat aku fikirkan. Dan aku rasa ianya adalah alasan yang kuat juga untuk aku melepaskan diri.

Ternyata telahanku benar, apabila beberapa saat selepas itu Yusrizal mengangkatkan kepalanya.

"Belum," jawabnya sambil tersenyum malu. "Pandai cari alasan ek?" Yusrizal mencuit hidungku. Aku menarik nafas lega setelah dilepaskan. Suamiku ini sering menguji keimananku apabila bersamanya.

"Oklah, abang nak mandi dulu. Lepas tu nak solat," ujarnya. Dia berlalu ke bilik air setelah mencapai tuala di penyidai. Sempat lagi suamiku itu mengeyitkan mata sebelum menghilangkan diri ke dalam bilik air. Tidak lama selepas itu kedengaran bunyi pancuran air menyembah lantai. Aku pula tidak tunggu lama. Terus sahaja turun ke dapur untuk menolong mak cik Bibah menyediakan makan malam.

"Mak cik nak masak apa hari ni?" sapaku sebaik sahaja memasuki ruang dapur. Kelihatan orang tua itu sibuk menghiris daging.

"Emm mak cik nak buat daging bakaq. Rizal suruh mak cik buat. Nak cecah dengan air asam," terang mak cik Bibah.

"Wah, sedapnya! Ifa pun dah lama tak makan daging bakar cecah dengan air asam."

"Kalau Ifa nak tau, Rizal tu memang suka sangat makan daging bakaq cecah air asam. Seminggu sekali dia suquh mak cik masak. Hah, lepas ni Ifa kena la belajaq buat."

Alamak! Tak cukup dengan ibu yang suka menyindir aku kerana tidak pandai memasak , sekarang mak cik Bibah pula mahu melakukan perkara yang sama.

"Ifa tahu la nak buat mak cik," kataku. Bukan untuk menutup kelemahanku. Aku memang boleh dikatakan sudah handal untuk menyediakan masakan itu. Ibu sudah mengajarku dulu.

"Laa yaka? Mintak maaf laa. Mak cik tak tau," pinta mak cik Bibah. Mungkin rasa tidak enak setelah berkata begitu tadi.

"Ish, tak apalah mak cik. Jomlah kita masak. Dah lewat dah ni."

"Yalah."

Seronok sekali aku dengan mak cik Bibah hari ini. Sambil memasak, pelbagai perkara yang kami bualkan. Mulut mak cik Bibah pula tidak henti-henti bercerita. Dalam pada itu tidak lupa juga diajarnya aku cara memasak dengan betul. Banyak juga aku belajar hari ini. Mak cik Bibah memang guru memasak yang hebat! Kerja memasak pula dirasakan cepat saja. Alih-alih semuanya sudah tersedia di hadapan mata.

"Ifa pi la panggil Rizal. Mesti dah lapaq tu. Biaq mak cik ja yang hidang."

Aku akur. Tanpa menunggu lama aku memanjat anak tangga menuju ke bilik untuk memanggil suamiku. Lagi pula perutku juga sudah terasa lapar apabila melihat daging bakar yang kelihatan enak sekali. Kecur air liurku dibuatnya.

Aku menjenguk ke dalam bilik. Kelihatan suamiku itu enak sekali beradu di atas katil. Aku menggelengkan kepala. Letih benar agaknya sehingga tertidur.

Perlahan-lahan aku mendekatinya. Serba-salah untuk mengejutkannya bangun. Mendengar dengkuran halusnya makin membuatkan aku tidak sampai hati hendak mengejutkannya. Tapi perut lelaki itu juga perlu diisi. Takkanlah aku hendak membiarkannya tidur dengan perut kosong.

"Rizal," panggilku. Tiada reaksi.

"Rizal." Aku memanggil lagi. Masih juga tiada reaksi. Tanpa berfikir panjang aku mengoyang-goyangkan bahunya. Tidak lama selepas itu, Yusrizal membukakan mata. Tangannya menggosok-gosok matanya yang masih mengantuk.

"Sorry, abang tertidur. Mengantuk sangat. Dinner dah siap?"

"Dah. Jomlah turun," ajakku. Lalu mula melangkah untuk meninggalkannya. Namun baru beberapa langkah aku terasa lenganku direntap kasar sehingga membuatkan tubuku hilang timbangan lalu terhumban ke atas ribaan suamiku. Terbeliak mataku dengan tindakannya itu. Kenapa lelaki ini selalu sahaja melakukan perkara-perkara yang memeranjatkan aku?

Aku cuba menolak tangannya yang mamaut pinggangku, tetapi tidak berjaya. Aku memandang wajahnya dengan pandangan geram. Lelaki itu hanya tersenyum mengejek.

"Apa awak ni? Lepaslah. Saya nak bangun ni."

"Itulah balasannya kalau tak menunggu suami."

"Apa pulak?" Aku tidak memahami kata-katanya.

"Yelah, sepatutnya sayang tunggu abang! Kita turun sama-sama. ini tidak, nak turun sorang-sorang pula. Tak baik tinggalkan abang tahu?"

"Macamlah awak tak pandai jalan sendiri," bantahku. Masakan perkara sekecil itu menjadi kesalahan.

"Auuuww!!!" Aku menjerit apabila terasa hidungku digigit, Pantas tanganku menggosok hidungku yang kemerahan. Gila betul! Hatiku menyumpah.

"Apa awak ni! Kenapa gigit hidung saya?" tanyaku, tidak berpuas hati. Sakit hatiku dibuatnya.

Walaupun hidungku terasa sakit, tapi tidak dapat menandingi rasa sakit di hatiku ini.

"Sebab sayang degil sangat!" Senang saja lelaki itu berkata-kata. Aku pantas menolak tubuhnya dan bangun. Baru saja aku mahu mencapai tombol pintu, terasa tanganku direntap sekali lagi.

"Apa lagi ni?"

"Kita turun sama-sama."

Aku malas berbalah dengannya. Lalu hanya membiarkan tangannya menggenggam jemariku. Sampai saja di meja makan, tiba-tiba mak cik Bibah bersuara.

"Eh Ifa, kenapa dengan hidung tu?"

Terkejut aku apabila ditegur begitu. Tangan yang lincah menceduk kuah ke dalam pinggan terhenti. Sempat juga aku menjeling Yusrizal yang menahan tawa. Geram aku dibuatnya sehingga memaksa kakiku memijak kakinya dibawah meja.

"Auuchh!!" lelaki itu terjerit.

"Kenapa Rizal?" kalut mak cik Bibah bertanya.

" Tak ada apa-apalah mak cik. Nyamuk besar agaknya!" jawab Yusrizal sambil menjelingku. Aku pula terasa ingin ketawa. Padan muka!

p/s: ok kawan2..enjoy ek.

Khamis, 28 Mei 2009

Antara Benci dan Rindu 26

Setelah empat hari bercuti, hari ini aku akan kembali bertugas. Kedatanganku ke kelas disambut dengan ucapan 'Selamat Pengantin Baru' daripada pelajar-pelajarku. Riuh-rendah kelas itu jadinya. Kerana takut mengganggu pelajar-pelajar di kelas sebelah cepat-cepat aku menyuruh mereka berhenti daripada membuat bising.

"So, sekarang kena panggil Puan Ifa la ni?" tanya Malik. Aku hanya tersenyum mendengar pertanyaannya itu.

"Puan, sampai hati tak jemput kami?" Ridzuan pula membuka mulut.

"Saya buat majlis kecik aje wan. Kalau jemput ramai-ramai nanti, bukan majlis kecil-kecilan namanya."

"Kenapa buat majlis kecik Puan. Sepatutnya bila kahwin buat la majlis besar-besaran," celah seorang pelajar wanita pula. Aku mengecam wajahnya tapi namanya aku tidak tahu. Maklumlah, pelajarku ramai. Tak mungkin aku mampu mengingati semuanya.

"Buat kecil-kecil sudahlah. Buat besar-besar membazir je. Yang penting akad nikah tu," balasku pula.

"So, Puan memang tak nak buat majlis persandingan la?"

"Tak tahulah lagi. Jangan risau kalau saya buat majlis persandingan nanti saya jemput kamu semua. Ok?"

"Ok!" jawab pelajar-pelajarku. Aku terpaksa berkata begitu untuk mengelakkan mereka terus bertanya tentang majlis perkahwinanku. Sedangkan aku sudah pasti tidak akan ada lagi majlis perkahwinanku selepas ini. Cukuplah sekadar majlis kecil-kecilan.

"Nama suami Puan sape? Kami dengar anak orang kaya. Betul ke?"

Aku mengerutkan dahi. Dari mana pula mereka tahu akan hal ini. Adakah rakan-rakan pensyarahku telah menceritakan kepada mereka.

"Ok guys, I think enough about that. We'll gonna continue our lesson."

"Alah..." Kedengaran pelajar-pelajarku mengeluh. Mungkin kecewa kerana aku tidak melayan persoalan mereka itu. Malas aku hendak membicarakan tentang itu. Hanya membuang masa. Sedangkan sepatutnya masa yang diperuntukkan untuk mengajar digunakan sepenuhnya. Bukan dengan membicarakan perkara-perkara yang tiada kena mengena dengan pelajaran.

Walaupun kecewa mereka tetap memberikan sepenuh perhatian kepada perbincangan kami. Seperti biasa Malik dan Ridzuan adalah pelajar-pelajar yang paling menonjol. Pembelajaran hari ini adalah lebih kepada mengulang kaji pelajaran yang lepas-lepas. Syukur Alhamdulillah kerana aku sudah berjaya menghabiskan sukatan pelajaran yang telah ditetapkan. Jadi masa yang masih berbaki akan aku gunakan sebaik mungkin demi meningkatkan pemahaman pelajar-pelajarku.

"Any questions?"

Sedar tidak sedar hampir dua jam aku mengajar. Terasa cepat benar masa yang berlalu.

"Are you ready for your final exam?" tanyaku lagi apabila mereka hanya mendiamkan diri. Bermakna tiada soalan-soalan yang mahu ditanyakan kepadaku.

"No!" jawab pelajarku serentak. Aku tersenyum mendengar jawapan mereka. Jawapan yang sudah aku agak sebenarnya.

"Oh dear, you're not suppose to said that. We are already in the end of October. All of you should have enough preparation start from now."

"But Madam, there are lot of assignment to be done. I still have two assignment to be submitted on 31th," kata seorang pelajar wanita berbangsa Cina yang duduk di barisan hadapan sekali. Itu adalah antara alasan-alasan yang kerap kali diberikan oleh mereka jika ditanya mengapa mereka tidak sempat mengulangkaji pelajaran.

"I know. But I'm quite sure that your lecturers for other subject have already given you the assignment early of this semester, right? Why don't you complete your task earlier? So, now you can see how unfortunate you are?"

Pelajar-pelajarku hanya menundukkan kepala. Mungkin menyedari kesilapan mereka. Tapi bila diingatkan, aku juga seperti mereka dahulu. Gemar mengulangkaji pelajaran pada saat-saat akhir. Jadi, teguran yang aku berikan adalah untuk mengingatkan mereka supaya jangan melakukan kesilapan seperti yang aku lakukan suatu ketika dahulu. Ia amat merugikan!

"Alright, nevermind! Actually, today will gonna be our last class for this semester. So, I hope that your expectation from me by attend this class already fulfilled. And I hope my teaching during the whole semester will be useful for your final soon. If you have any problem due to this subject you are invited to come to see me in my room. I will be around during study week. Okay?"

"Madam, can we call you if we have any problems?"

"Yeah, sure! But before ten, okay?"

"Okay!"

"Have any tips, Madam?" Tanya seorang pelajar lelaki sambil tersengih. Itulah yang membezakan pelajar universiti dengan pelajar-pelajar lain. Semuanya mengharapkan tips dari pensyarah sebagai persediaan bagi menghadapi peperiksaan. Tentulah terasa malas mahu mengulangkaji pelajaran di saat-saat akhir ini. Jadi, cara yang paling mudah ialah dengan meminta tips.

"Yeah, of course!" Ujarku, juga tersengih. Pelajar-pelajarku kelihatan gembira sekali. Masing-masing sudah bersedia dengan pen dan kertas.

"Please make revision for all topics. That is effective tips, right?"

"Alaaa…" Mereka sudah mengeluh. Ada juga yang ketawa kerana sudah terasa dikenakan oleh aku. Dan aku pula sudah ketawa besar melihat reaksi mereka itu. Tetapi hanya di dalam hati. Takkanlah aku hendak ketawa lepas. Hilang kredibiliti aku sebagai seorang pensyarah.

"If nothing else, class dismiss then!"

Dari jauh aku sudah nampak Husni dan Daniel sedang berbual-bual berhadapan dengan bilik Daniel. Aku serba-salah hendak maju atau tidak. Untuk ke bilik, aku perlu juga melintasi mereka kerana bilik aku bersebelahan dengan bilik Daniel.

Namun apabila Husni sudah melambaikan tangannya padaku, terpaksa juga aku meneruskan langkah. Bimbang jika temanku itu dapat mengesan sesuatu antara aku dan lelaki itu.

"Tak ada kelas ke?" tanya aku kepada Husna. Sekadar berbasa-basi.

"Petang nanti pukul 2," jawabnya. "Kau baru lepas mengajar ke?" tanyanya pula sambil melihat buku-buku dan beg laptop yang digantung di bahuku.

"A'ah. Dah last kelas dah hari ni."

"Wah, cepatnya kau habiskan silibus! Aku baru terkial-kial nak mengajar last topic."

"Habiskan awal bolehlah kasi student lebih masa nak buat revision."

"Betul jugak tuh. Hah, kau amacam Daniel? Dah habis silibus ke?" Husni mengalihkan persoalan kepada Daniel pula. Lelaki itu hanya diam sejak aku sampai tadi. Tetapi aku perasan matanya tidak lepas dari wajahku. Walaupun rimas, aku hanya berlagak biasa. Setakat ini tiada seorang pun rakan pensyarah yang tahu bahawa Daniel adalah bekas kekasihku.

"Aku awal-awal lagi dah habis!" jawab Daniel sambil matanya masih merenungku.

"Wah, lagi cepat! Aku je yang ketinggalan ni. Tapi kan orang lelaki memang macam tu Ifa. Buat kerja nak cepat aje."

"Habis ke tak habis, kewajipan kita sebagai pensyarah untuk membantu pelajar di luar kelas tetap ada," jawab Daniel. Mungkin sedikit berdesing telinga kerana kaumnya disindir begitu.

"Ada orang terasa la Ifa."

Aku hanya tersenyum mendengar kata-kata Husni itu. sememangnya Husni gemar berbalah dengan Daniel. Ada saja mahu dibahaskan.

"Eh Ifa, lupa pulak kawan aku ni baru kahwin! So, how's life so far?"

Aku sedikit gusar apabila hal perkahwinan aku tiba-tiba disebutkan. Sempat aku menjeling wajah tegang Daniel apabila isu itu dibukakan. Terpancar rasa tidak senang di wajah itu. Sememangnya aku rasa bersalah kerana terpaksa mengecewakan Daniel sekali lagi. Tapi aku juga tidak sanggup melukakan perasaan tunangnya, Masyitah. Aku wanita! Dan semestinya aku faham perasaan seorang wanita.

"Ok saja. Macam biasa saja," jawabku, ringkas. Tidak mahu mengecewakan perasaan lelaki itu lagi dengan ungkapan-ungkapan bahagiaku pula.

"Ish, takkanlah macam biasa saja. Aku dengar kau kahwin dengan anak orang kaya."

Cukuplah Husni. Jangan bertanya lagi! Hatiku berbisik.

"Life aku macam biasa saja. Macam orang lain jugak. Takde bezanya kahwin dengan anak orang kaya atau tidak."

"Yeke tu. Aku tak percayalah. Mesti kau pa..."

Tiba-tiba telefon bimbit Husni berbunyi. Dalam diam aku menarik nafas lega.

"Hello. Ye saya. Dr nak jumpa saya? Kat mana tu? Okay, okay! Saya datang sekarang!"

Aku dan Daniel hanya memerhati tingkah laku Husni yang seperti menerima panggilan penting.

"I got to go. Dekan nak jumpa dengan akulah. Bye."

"Bye."

Tinggallah aku dan Daniel di situ. Aku tidak tahu hendak berbual apa dengannya. Masing-masing hanya mampu memandang sesama sendiri. Dari pandangan Daniel, aku yakin dia ingin mengatakan sesuatu. Tapi bibir lelaki itu langsung tidak bergerak untuk satu tempoh yang agak lama. Akhirnya aku mengambil keputusan untuk meninggalkan tenpat itu. Apa pula kata rakan-rakan sekiranya terlihat keadaan kami begini. Sedangkan aku sudah berkahwin dan dia sudah bertunang. Walaupun ramai teman-temanku agak maklum akan keakraban hubungan kami, tapi itu tidak bermakna tidak akan timbul fitnah kepada kami berdua di kemudian hari.

"Nanti dulu Ifa."

Aku mematikan langkah.

"Ada apa Daniel?"

Lelaki itu berjalan mendapatkan aku. "You bahagia?"

Soalan apakah ini? Namun begitu aku tetap menganggukkan kepala.

"You tipu kan? I tahu you bencikan Rizal!"

"Daniel, kalau I benci dengan dia, I takkan kahwin dengan dia!"

"Jadi you nak cakap, perasaan benci you tu dah hilang, macam tu? Mudahnya! You dah lupa ke apa yang dia buat pada you dulu?"

Daniel sudah naik angin. Aku sudah mengagak yang perkara ini akan berlaku tadi. Kenapalah Daniel tidak mahu menerima takdir yang telah ditentukan Ilahi. Jodoh aku bukan dengan dia.

"I dah lupakan semuanya. Dia pun sudah berubah," kataku. Walaupun aku tidak pasti dengan apa yang aku katakan, terpaksa juga aku meluahkannya.

"I tak percaya. I kenal you. Tak mungkin you dapat maafkan dia macam tu saja!"

"Terpulanglah you nak percaya atau pun tidak. I pergi dulu."

Malas aku mahu bertekak dengan Daniel hanya kerana Yusrizal. Tiada gunanya. Lelaki itu adalah suamiku sekarang. Tiada apa yang dapat mengubahnya. Lagipun beg laptop yang kusandang terasa berat sekali. Bahuku juga sudah senget menanggung bebannya.

"You dah lukakan hati I untuk kali kedua Ifa," rintihnya, sayu. Aku memandang wajah itu. Terasa air mataku berlinang. Aku mengaku, aku telah melukakan perasaanya. Lelaki ini terlalu baik sekali denganku. Tidak terhitung budi yang dilimpahnya buat aku. Tapi aku juga manusia biasa yang sudah ditakdirkan jodohku masih kuat dengan bekas suamiku. Apa kuasaku untuk menentang ketentuan Ilahi?

"Maafkan I Daniel. Maafkan I. Lupakanlah I. Bina hidup baru dengan Masyitah. Dia gadis yang baik. I yakin you akan bahagia dengan dia."

"Tak. I takkan bahagia kalau isteri I bukan you. I hanya inginkan you sebagai ratu hati I. Ibu kepada anak-anak I."

"Istigfar Daniel. You tak boleh cakap macam tu. I isteri orang!"

"Kenapa Ifa? Kenapa nasib I macam ni? Kenapa?"

"Menyintai bukan beerti memiliki, Daniel. You kena faham. Cubalah you beri peluang pada orang yang benar-benar menyintai you. Pasti you akan bahagia. I pergi dulu."

Aku melangkah meninggalkan Daniel di situ. Ingin sekali aku mententeramkan perasaanya saat ini. Tapi aku tidak mampu kerana aku isteri orang. Aku juga tidak mahu terus-terusan memberikan harapan padanya. Perasaan bersalah dalam diriku pula semakin mencengkam sehingga memaksa air mataku menitis ke bumi. Maafkan I, Daniel!

p/s: ini dia bab 26..

pada pembaca yang inginkan konflik..

jgn risau konflik pasti ada..

kalau tidak bukan novel namanya..

nantikan kemunculan Anne semula..

heheheee

Selasa, 26 Mei 2009

Antara Benci dan Rindu 25

Hari ini genaplah tiga hari aku menjadi isteri kepada Mohd Yusrizal Bin Mohd Hamzah. Perasaanku sukar diungkapkan sekarang ini. Benci, marah dan perasaan keliru bercampur-baur. Aku seperti tidak mengenali lelaki yang sudah menjadi suamiku sekarang. Terlalu berbeza sekali perwatakannya dengan Yusrizal yang dulu. Lelaki itu terlalu lembut percakapan dan sopan tingkah lakunya. Dan yang paling aku tidak mengerti adalah kejadian pagi tadi.

Aku terjaga ketika jam tepat menunjukkan pukul 6.05 minit pagi. Sayup-sayup telingaku menangkap suara seseorang sedang mengalunkan ayat-ayat suci Al-Quran. Walaupun alunan suaranya agak mendatar tanpa lagu, tetapi bacaannya agak lancar dan tidak tersangkut-sangkut. Malahan, tajwid dan hukum bacaannya juga aku kira agak tepat. Aku meliarkan pandangan ke sekeliling bilik dan mencari arah datangnya suara itu. Tiba-tiba mataku tertancap pada sesusuk tubuh seorang lelaki yang sedang berada di hujung katil. Tubuh lelaki itu dibaluti baju melayu berwarna biru dan bersongkok di kepala. Ketika itu baru aku sedar Yusrizal sudah tiada di sisiku.

Aku mengamati lagi lelaki itu. Hatiku kuat mengatakan itu adalah Yusrizal, suamiku. Tetapi otakku pula menidakkannya. Tak mungkin itu dia! Yusrizal yang aku kenal tidak pandai membaca Al-Quran. Malahan, tidak keterlaluan kalau aku mengatakan yang lelaki itu juga sudah lama tidak menyentuh kalam Allah itu.

Tapi bila difikirkan semula siapa lagi kalau bukan dia. Cuma kami berdua yang menggunakan bilik itu. Tambahan pula susuk tubuh suamiku itu sudah aku hafal benar. Memang dia! Aku mengecilkan pandangan. Seakan tidak percaya dengan apa yang berlaku di hadapanku sekarang. Adakah aku bermimpi? Bisik hatiku sendirian.

"Eh, Ifa dah bangun?"

Aku sedikit tersentak apabila ditegur begitu. Tidak menyangka yang Yusrizal menyedari aku sudah pun terjaga.

"Emm..eloklah tu. Waktu subuh pun dah masuk. Jom, kite berjemaah," ajaknya.

Berjemaah? Bolehkah lelaki ini mengimamkan aku? Walaupun aku sering terserempak dengan Yusrizal yang sedang menunaikan solat, tapi itu masih tidak melahirkan tanda tanya di benakku. Tapi sekarang? I'm supprised!

Pun begitu, aku tetap melangkah turun dari katil yang menjadi tempat peraduan kami sejak tiga hari yang lepas. Selepas memcuci muka dan berwuduk aku menyarung telekung. Bersedia untuk menunaikan kewajipanku kepada yang Maha Esa. Dalam pada itu, mahu juga aku lihat sejauh mana kebolehan Yusrizal mengimamkan solatku pagi itu. Kalau boleh pun, mungkin hanya membaca Al-Fathihah sebagai rukun dalam solat dan membaca surah-surah pendek, seperti Al-Ikhlas, Al-Falaq atau An-Nas.

Tetapi sekali lagi aku terkejut. Yusrizal ternyata tidak seperti yang aku bayangkan. Lelaki itu tenang sekali lagi mengimamkan solatku. Bacaannya ternyata lancar. Dan yang pasti bukan surah-surah pendek yang dibacanya, tetapi potongan daripada surah-surah panjang yang termaktub di dalam naskhah Al-Quran menjadi pilihannya. Aku menjadi keliru. Dalam solat sempat aku berfikir adakah benar Yusrizal yang sedang mengimamkan solatku ini adalah Yusrizal yang sama? Sudah semestinya aku tidak khusyuk melakukan solat pagi itu. Tapi aku agak beruntung kerana 27 pahala amalan sudah tercatat untukku kerana berjemaah.

Ketika itu aku kembali teringat kata-kata abah beberapa bulan yang lalu..

"2 hari 1 malam sudah cukup untuk abah mengenali Rizal. Dia memang sudah berubah Ifa. Ifa mungkin tak tahu yang Rizal lah yang menjadi imam solat maghrib dan Isya' untuk kami semua."

Jadi benarlah apa yang dikatakan abah dulu? Yusrizal sudah berubah? Aku semakin keliru.

Sememangnya dari dulu lagi aku menginginkan seorang suami yang beriman. Yang bisa menjadi imamku setiap kali solat dan yang akan membimbingku ke jalan yang diredhai Allah. Adakah Yusrizal lelaki yang aku idam-idamkan itu? Tapi bagaimana pula dengan kelukaan hati yang aku alami ini? Bisakah ia pergi begitu sahaja, hanya kerana kejutan-kejutan yang aku terima selama tiga hari menjadi isteri Yusrizal? Tidak mungkin!

"Dah siap?"

Aku berpaling memandang suamiku lalu menganggukkan kepala. Hari ini aku akan berpindah ke rumahnya. Sedih rasa aku hendak meninggalkan bilik ini. Dan yang paling berat untuk aku lakukan ialah terpaksa berjauhan dengan ibu dan abah. Walaupun jarak rumahku dan rumah ini tidaklah jauh mana jika hendak dibandingkan dengan rumah Yusrizal di Kuala Lumpur, tapi ia tetap mengundang rasa sedihku.

"Kenapa ni? Muram aje?" tanya Yusrizal, mengambil berat. Mungkin menyedari kedinginan aku. Sejak Yusrizal memberitahuku tentang keputusannya yang mahu aku berpindah ke rumahnya, angin aku sudah berubah. Hendak dibangkang aku tidak berdaya. Memang tempat seorang isteri di sisi suaminya. Ibu dan abah pula awal-awal lagi menyokong. Lalu aku hanya menurut. Mujurlah juga keluarga mentuaku sudah bertolak pulang ke Kuala Lumpur sejak semalam. Kalau tidak tentu mereka tidak senang dengan kelakuanku ini.

"Kalau macam tu, kita bertolak sekarang?"

Yusrizal mencapai beg-beg pakaianku. Hanya barang keperluanku saja yang perlu aku bawa kerana rumahnya sudah lengkap segalanya.

"Dah siap?" tanya abah ketika kami melintasi ruang tamu. Ibu yang duduk disebelah abah kelihatan sedih. Sudah tentu ibu berasa berat untuk melepaskan aku.

"Dah siap dah abah. So, Rizal ingat nak bertolak sekarang."

"Yelah," kata abah tanda mengizinkan.

Ibu dan abah menghantar kami ke kereta. Aku tidak akan naik kereta Yusrizal kerana aku akan memandu keretaku.

"Ibu, Ifa pergi dulu ya," kataku sambil menyalami ibu.

"Tak boleh manja-manja lagi tahu lepas ni. Ikut cakap suami. Jaga rumahtangga elok-elok," pesan ibu kepadaku. Aku hanya tersengih mendengar pesanan ibu. Mungkin ibu bimbang aku akan membuat perangai. Maklumlah, kahwin tanpa rela. Agaknya memang sudah tersurat yang aku akan berkahwin dengan cara ini.

Aku mendapatkan abah pula untuk bersalam. "Jangan lupa jenguk kami di sini selalu," pesan abah pula.

"Mestilah. Ifa akan jenguk ibu dan abah selalu. Bukan jauh pun Alor Setar dengan Jitra," balasku pula. Abah tersenyum senang dengan jawapanku itu.

Yusrizal pula mendapatkan ibu dan abah untuk bersalam.

"Abah serahkan Ifa pada Rizal. Kami harap Rizal jagalah Ifa dengan baik. Dia sekarang tanggungjawab Rizal." Abah berpesan kepada suamiku.

"Abah dengan ibu jangan risau. Rizal akan jaga Ifa dengan sebaik mungkin. Rizal takkan ulang kesilapan Rizal lagi. Itu janji Rizal!"

Aku hanya mendengar ikrar yang dilafazkan suamiku. Entah benar atau tidak aku tidak pasti. Tapi jauh disedut hatiku mengharapkan Yusrizal akan menunaikan kata-katanya.

Kami sampai ke rumah Yusrizal ketika jam tepat menunjukkan pukul 12 tengahari. Memang masanya untuk makan tengahari. Ditambah pula dengan aroma masakan Mak cik Bibah benar-benar membuatkan perutku berkeroncong.

"Hah, dah sampai pun. Mak cik pun dah siap masak. Bolehlah kita makan sama-sama."

"Mak cik hidangkan dululah. Kami nak bersihkan diri dulu," pinta Yusrizal. Mak cik Bibah tanpa banyak soal bergerak ke dapur untuk melakukan kerjanya. Nampaknya kehidupan aku di sini mungkin tidak sesukar dulu kerana sudah disediakan pembantu rumah.

"Jom Ifa, abang tunjukkan bilik kita."

Aku hanya menuruti langkah suamiku. Di rumah ini juga aku perlu sebilik dengan Yusrizal nampaknya. Kalau tidak memikirkan mak cik Bibah yang turut tinggal di sini, sudah tentu aku akan memujuk Yusrizal untuk tinggal di bilik yang berasingan seperti lima tahun lepas. Manalah tahu hatinya akan lembut lalu membenarkan?

"Masuklah," ajak Yusrizal apabila melihat aku seperti keberatan untuk menjejakkan kaki ke dalam bilik itu. "So, inilah bilik kita!"

Terpesona aku seketika apabila melangkah ke dalam bilik itu. Bukan kerana keluasannya, tapi kerana perhiasannya. Bilik ini telah dihias cantik selayakknya kami sebagai pengantin baru.

"Cantik tak? Mama dengan mak cik Bibah yang hiaskan."

Aku tidak menjawab pertanyaannya. Hanya melangkah dengan selamba memasuki ruang bilik itu. Dua kali ganda luas dari bilik aku. Cantik dan kemas sekali! Aku menuju ke balkoni lalu menolak cermin luncur. Serentak dengan itu udara segar menyapa tubuhku. Suka benar aku dengan suasana begini sehingga lupa dengan dunia sekeliling.

"Ifa suka tak, sayang?" tanya suamiku sambil memelukku dari belakang. Aku yang begitu asyik dengan pemandangan di depan mata hanya mengannggukkan kepala sambil tersenyum senang. Malah, aku meletakkan tanganku di atas tangannya yang sedang melingkar di pinggangku.

"Cantik!" kataku, sepatah. Kagum aku dengan alam ciptaan Tuhan.

"Cantik lagi isteri abang!"

Aku mula sedar diri apabila kata-kata itu keluar dari mulut Yusrizal. Cepat sahaja aku mahu menolak tubuhnya, tetapi tidak berjaya. Setelah penat berusaha aku hanya mendiamkan diri. Membiarkan pelakuannya.

"Dekat sini pun saya kena tidur dengan awak ke?" tanyaku, malu-malu.

"Mestilah. Atau Ifa nak terima offer abang yang kedua tu? Boleh jugak."

Aku hanya mencebikkan bibir. Tak mungkin aku akan terima. Aku rela tidur dengannya daripada menerima offer yang kedua itu. Belum masanya lagi! Yusrizal hanya ketawa kesukaan melihat bibirku yang memuncung itu.

"Tariklah lagi muncung tu. Abang ciumlah karang."

"Awak jangan nak mengada-ngada ek. Tepilah saya nak pergi mandi ni," pintaku sambil menolak tubuhnya. Tapi suamiku itu tidak mengendahkan kataku.

"Tepilah."

"Cium abang dulu!"

Terbeliak mataku mendengar permintaannya itu. Melampaulah tuh!

"Awak jangan nak minta yang bukan-bukan!"

"Abang tak peduli. Kalau Ifa tak nak cium, abang takkan lepaskan Ifa. Tak makan pun tak apa," kata Yusrizal lagi. "Cepat!" Pipinya sudah disuakan kepadaku. Mahu tidak mahu terpaksa juga aku menurut kehendaknya. Sengihan lelaki itu semakin melebar apabila aku mengucup pipinya.

Apabila dia melepaskan tubuhku terus aku menghilangkan diri ke dalam bilik air. Malu dengan apa yang telah aku lakukan sebentar tadi. Terasa wajahku hangat.

p/s: ok, janji dah ditunaikan..

tinggalkan komen ya...